Tuesday, October 31, 2023

Perintah dan Larangan

Selasa, 16 Rabiulakhir 1445H: Perintah dan Larangan

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنِ صَخْرٍ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ یَقُوْلُ : مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ

Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman ibn Sokhrin RA beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesuatu yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang aku perintahkan kepada kamu, maka hendaklah kamu lakukannya seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak bertanya dan banyak perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka."   (HR Bukhari No: 6777) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap muslim mestilah menjauhi semua larangan Rasulullah SAW kerana apa yang dilarang oleh Baginda pada hakikatnya adalah larangan Allah SWT yang wajib dipatuhi.

2.  Setiap Muslim mestilah melaksanakan segala perintah dan menjauhi larangan dengan semampu yang boleh. Perintah wajib atau fardhu mestilah dilakukan tanpa kelonggaran kecuali kelonggaran yang diizinkan syara’ iaitu kerana uzur atau sakit

3.  Perintah yang disuruh melakukan sekadar terdaya ialah perintah yang sunat. Dilaksanakan sekadar yang termampu, tanpa memaksa diri dan keterlaluan di luar kemampuan.

4.  Sifat terlalu suka bertanya perkara yang bukan-bukan, berbahas, banyak soal jawab dan membantah suruhan dan larangan para Nabi dan Rasul adalah perangai umat yang terdahulu. Lantaran itu, mereka telah ditimpa kesusahan dan kebinasaan. Umat Muhammad SAW diberi peringatan agar jangan mengulangi kesilapan ini.

5.  Larangan banyak bertanya adalah dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah, atau pertanyaan berbentuk mempersendakan atau menghina seseorang serta bertanya tentang masaalah yang tidak berlaku.


Monday, October 30, 2023

Kehormatan Muslim

Isnin, 15 Rabiulakhir 1445H; Kehormatan Muslim

عَنِ ابْنِ عُمَر رَضِيَ الله عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُوْلَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى یَشْهَدُوا أَنْ لا إِلَهَ إِلاَّ الله، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ، وَیُقِيْمُوا الصَّلاةَ، وَیُؤْ تُوا الزَّكاةَ. فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى الله تعالى

Daripada lbnu 'Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad utusan Allah, sehingga mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah mereka dan harta mereka daripada aku, melainkan dengan hak lslam, dan hisab perhitungan amal mereka terserah kepada Allah Ta'ala."  (HR Bukhari No: 25) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sesiapa yang mengucap dua kalimah syahadah, dia menjadi seorang Islam dan nyawa, darah serta hartanya dijamin terpelihara.

2.  Seorang Islam yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat selepas memeluk Islam, dia memperolehi hak seorang Islam dan mempunyai kewajipan terhadap orang Islam lain.

3.  Pemerintah dibolehkan memerangi orang yang enggan membayar zakat dan mengingkari solat. Tentang meninggalkan solat, ulama berpandangan:

a.  Imam Syafi’e dan Imam Malik berpendapat bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja wajib dihukum bunuh, namun tidak dikatakan kufur.

b.  Imam Ahmad bin Hambal berpendapat bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, wajib dibunuh kerana kekufurannya.

c.  Imam Abu Hanifah pendapat orang yang meninggalkan solat dengan sengaja kerana malas atau memandang ringan tidak dikufurkan dan tidak wajib dijatuhkan hukuman bunuh, hanya wajib dipenjarakan sehingga ia kembali mengerjakannya.

4.  Diperbolehkan pemerintah menghukum  mati bagi setiap muslim jika dia melakukan perbuatan yang menuntut dijatuhkan hukuman tersebut seperti: Berzina bagi orang yang sudah menikah (muhshan), membunuh orang lain dengan sengaja dan meninggalkan agama (murtad).

5.  Allah lebih mengetahui rahsia hati setiap kita dan Allah akan memperhitungkannya. Jika kita seorang mukmin yang sebenar, maka kita akan ditempatkan ke dalam syurga. Sebaliknya, jika kita penipu dan munafik, kita akan dihumban ke dalam neraka


Sunday, October 29, 2023

Agama Itu Nasihat

Sabtu, 14 Rabiulakhir 1445H: Agama Itu Nasihat

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْم الدَّارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ   وَسَلَّمَ قَالَ : الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ . قُلْنَا لِمَنْ  قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ

Daripada Abu Ruqayyah Tamim Ad-Daary RA, bahawasanya Nabi SAW  bersabda, “Agama itu nasihat”. Kami pun bertanya, “Untuk siapa (nasihat itu)?”. Baginda menjawab, “Nasihat itu adalah untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, Imam-imam kaum muslimin dan seluruh muslimin (rakyatnya)”. (HR Muslim No: 50) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Agama ini terletak pada  nasihat menasihati kerana dengan nasihat akan menjadikan seseorang menunaikan hak-hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan rakyat.

2.  Ibnu Mubarak pernah ditanya: Amal apakah yang paling utama? Beliau menjawab: Memberi nasihat kerana Allah. 

3.  Nasihat untuk Allah bermaksud beriman kepada Allah dengan mentauhidkan Allah, menunaikan hak-hak Allah sama ada hak yang wajib mahupun yang sunat. Ikhlas dalam beramal, menjauhi maksiat dan berjihad dijalan-Nya.

4.  Nasihat untuk kitab-Nya bermaksud menunaikan hak Al-Quran: hak untuk dipelajari, dibaca, dijadikan sebagai petunjuk dan hidayah dengan membenarkan beritanya dan melaksanakan perintahnya.

5.  Nasihat untuk Rasul bermaksud dengan cara membenarkan ajarannya, mengimani semua yang dibawa, mencintai dan mencontohi akhlaknya, berselawat serta menghidupkan sunnahnya, mentaati perintah dan larangannya, melawan para musuhnya, membela para pengikutnya, menghormati hak-haknya, memuliakannya, mengikuti seruannya juga menyebarluaskan sunahnya.

6.  Nasihat untuk imam kaum muslimin dengan cara menolong dan mentaati pemimpin dan pemerintah  dalam perkara kebenaran dan keadilan, patuh kepada mereka dalam urusan kebaikan. Menegur dan mengingati pemimpin dikala mereka lalai dari kewajipan dengan penuh hikmah. Nasihatilah mereka dengan hikmah agar menjadi pemimpin yang berintegriti, baik dan diredhai Allah.

7.  Nasihat untuk kaum Muslimin dengan memberikan bimbingan kepada mereka apa yang dapat memberikan kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat, memimpin mereka, memberikan bantuan kepada mereka, menutup aib dan cacat mereka, menghindarkan diri dari hal-hal yang membahayakan dan mengusahakan kebaikan bagi mereka, menyuruh mereka berbuat makruf dan mencegah mereka berbuat kemungkaran. Mengasihi mereka, memuliakan yang tua dan menyayangi yang muda, memberikan nasihat kepada mereka, menjauhi kebencian dan kedengkian, melindungi harta dan kehormatan mereka baik dengan ucapan mahupun perbuatan.

Semoga agama menjadi penasihat dan peringatan kepada kita untuk saling nasihat menasihati, ingat mengingati agar menjadi Muslim yang menunaikan hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan rakyat.


Saturday, October 28, 2023

Halal Haram dan Syubahat

Sabtu, 13 Rabiulakhir 1445H: Halal  Haram dan Syubahat

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَ إِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَ بَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَ عِرْضِهِ وَ مَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَ إِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَ هِيَ الْقَلْبُ

Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer RA. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubahat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubahat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubahat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, dibimbangi binatang yang digembalai akan menceroboh masuk ke dalamnya (untuk makan). Ketahuilah bahawa setiap raja itu ada sempadan (kawasan larangan) dan sesungguhnya sempadan (kawasan larangan) Allah itu ialah perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa di dalam jasad manusia ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati.” (HR Bukhari  No: 52) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap mukmin mestilah berusaha mengenali dan mempelajari perkara halal dan haram seterusnya melaksanakan yang halal dan meninggalkan yang haram demi menjaga kemuliaan agamanya.

2.  Perkara yang kesamaran, yang belum jelas halal haramnya adalah perkara syubahat yang mesti dijauhi, demi menjaga maruah diri dan kemurnian agama.

3.  Banyak melakukan syubahat akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan haram.

4.  Antara sikap wara’ adalah meninggalkan perkara syubahat. Petanda ketakwaan seseorang jika dia meninggalkan perkara-perkara yang syubahat kerana khuatir akan terjerumus kepada hal-hal yang diharamkan.

5.  Sempadan murka dan redha Allah SWT ialah perkara haram. Sesiapa yang melewati garisan dan terjebak melakukan perkara haram, maka dia telah melewati sempadan kemurkaan Allah.

6.  Hati adalah raja, ia adalah anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruh anggota badan yang lain.

7.  Setiap Muslim perlu memberikan perhatian terhadap masalah hati, kerana daripada hati punca tingkah laku seseorang. Baiknya amal perbuatan anggota badan merupakan pertanda baiknya hati.


Friday, October 27, 2023

Menghapuskan Kemungkaran dan Bidaah

Jumaat, 12 Rabiulakhir 1445H: Menghapuskan Kemungkaran dan Bidaah

عَنْ أُمِّ المُؤْمِنِيْنَ أُمِّ عَبْدِ اللهِ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ  .

Daripada ummul Mukminin Ummu Abdullah Aisyah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: “sesiapa yang mengada-ngadakan sesuatu perkara mengenai urusan agama kami, yang bukan daripadanya maka Ia adalah ditolak“.  (HR Bukhari no: 2550) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  lslam adalah agama yang sudah sempurna dasar dan prinsipnya. la tidak perlu ditokok tambah lagi.

2.  Perkara baru (bidaah) yang diada-adakan atau ditokok tambah, ubah suai atau pengurangan dalam urusan ibadat dan tiada sandaran di dalam syariat mestilah ditolak.

3.  Setiap amal ibadat yang di lakukan tidak diterima melainkan dengan niat yang ikhlas dan bertepatan dengan sunnah.

4.  Setiap muslim mestilah menjauhkan diri daripada terjebak dalam perbuatan bidaah dalam ibadat, kerana ia boleh membawa kepada kehancuran diri, agama dan setengahnya pula membawa kepada kufur.

5.  Imam Syafi’i berkata: “Apa yang diada-adakan dan menyanggahi al-Quran, sunnah, ijmak, maka ia adalah bidaah yang sesat. Manakala perkara baru yang baik yang diwujudkan dan tidak menyanggahi semua itu, maka ia adalah bidaah yang terpuji.”


Thursday, October 26, 2023

Manusia dan Kehidupan

Khamis, 11 Rabiulakhir 1445H: Manusia dan Kehidupan

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ  بن مَسْعُود قَالَ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا

Daripada Abdullah bin Masud mengatakan, telah menceritakan kepada kami Rasulullah SAW seorang yang jujur lagi di benarkan, baginda bersabda: “Sungguh salah seorang diantara kalian diciptakan kejadiannya dalam perut ibunya selama empat puluh hari daripada air mani, kemudian menjadi segumpal darah juga seperti itu (40 hari), kemudian menjadi segumpal daging juga seperti itu (40 hari), kemudian Allah mengutus malaikat bagi meniupkan ruh padanya, dan diperintahkannya menulis empat perkara iaitu; rezekinya, umurnya, amalnya, dan celaka atau bahagianya.’ Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, sungguh salah seorang dari kamu mengerjakan amal perbuatan ahli syurga, sehingga jarak antara dirinya dan syurga hanyalah satu hasta, namun suratan takdir telah ditetapkan baginya lalu ia mengerjakan amal perbuatan ahli neraka dan akhirnya ia pun masuk neraka. Ada pula seorang yang mengerjakan amal perbuatan ahli neraka, hingga jarak antaranya dan neraka hanya satu hasta, namun suratan takdir telah ditetapkan baginya hingga kemudian ia mengerjakan amal perbuatan ahli syurga dan akhirnya ia pun masuk syurga.’ (HR Muslim No: 4781) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah telah menetapkan proses kejadian manusia di dalam rahim ibu melalui 4 peringkat:

a.  Air mani yang dihimpunkan dengan seperma wanita selama empat puluh hari

b.  Segumpal darah dimana air mani menjadi segumpal darah  selama empat puluh hari

c.  Segumpal daging selepas menjadi segumpal darah selama empat puluh hari

d.  Ditiupkan ruh oleh malaikat menjelang janin berumur 120 hari dan malaikat menulis empat perkara iaitu; rezekinya, umurnya, amalnya, dan celaka atau bahagianya

2.  Manusia dijadikan daripada air mani menunjukkan ianya adalah makhluk yang lemah dan memerlukan pertolongan Allah.

3.  Manusia diciptakan daripada dua unsur yang penting iaitu unsur jasmani dan rohani. Kedua-dua unsur tersebut memerlukan tuntutan dan keperluan yang berbeza. Jasad memerlukan kepada makanan dan minuman serta keperluan fizikal. Begitu juga rohani memerlukan makanan dalam bentuk zikrullah dan ibadat.

4.  Manusia diperintahkan supaya sentiasa berusaha dan berikhtiar serta berdoa dan mengharap rahmat Allah agar sentiasa berada dijalan yang diredhai Allah untuk mendapat balasan syurga.

5.  Balasan syurga itu bergantung kepada rahmat Allah dengan menjadikan kita  istiqamah dengan amal solleh hingga ke akhir hayat. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW agar kita tetap di atas agama ini:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ

“Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)

6.  Semoga kita sentiasa istiqamah melakukan amal yang solleh dan berdoa mengharap rahmat Allah agar sentiasa diredhai dan mendapat ganjaran syurga.


Wednesday, October 25, 2023

Rukun Islam

Rabu  10 Rabiulakhir 1445H: Rukun Islam

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Daripada Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Islam dibangunkan di atas lima (tiang); bersaksi tidak ada Ilah selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa di bulan Ramadan”. (HR Bukhari No: 7) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam dibangunkan atas lima  perkara iaitu rukun Islam yang terdiri daripada kalimah syahadah, Solat 5 waktu, zakat, puasa dan ibadat haji.

2.  Syahadah adalah satu pengakuan yang dilahirkan oleh perkataan yang terbit dari keyakinan hati yang terhasil dari ilmu pengetahuan tentang pengakuan keimanan kepada Allah dan RasulNya.

3.  Solat ialah melaksanakan ibadat sembahyang dengan sebaik-baiknya mengikut rukun dan peraturan dengan khusyuk berserta ikhlas dan kehadiran hati ketika melaksanakannya.

4.  Zakat adalah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang diwajibkan kepada orang yang berhak menerimanya.

5.  Berpuasa adalah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari.

6.  Ibadat Haji adalah menunaikan segala pekerjaan ibadat di Mekah menurut peraturan yang ditetapkan kepada setiap mukalaf yang berkemampuan dan berkuasa.

7.  Kewajipan menunaikan ibadah haji adalah kepada mereka yang berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain termasuk mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang ditinggalkan.

8.  Bagi pandangan Imam Ahmad Ibn Hanbal, jika seseorang memiliki lebihan harta seperti harta tak alih (i.e. rumah lebih dari satu, kenderaan lebih dari satu) atau sesuatu yang lebih daripada keperluan, maka wajib ia menjual sebahagian daripadanya untuk keperluan menunaikan haji.

9.  Barangsiapa menunda-nunda sampai lebih lima tahun, padahal sudah memiliki kemampuan, maka dia benar-benar jauh dari kebaikan.

Nabi SAW bersabda :

يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ : إِنَّ عَبْدًا أَصْحَحْتُ جِسْمَهُ وَأَوْسَعْتُ عَلَيْهِ فِى الْمَعِيشَةِ تَأْتِى عَلَيْهِ خَمْسَةُ أَعْوَامٍ لَمْ يَفِدْ إِلَىَّ لَمَحْرُومٌ

Allâh Azza wa Jalla berfirman, “Sesungguhnya seorang hamba yang telah Aku anugerahi kesihatan badan, Aku telah luaskan penghidupannya, telah lewat padanya lima tahun, (namun) dia tidak mendatangiKu (iaini: melakukan ibadah haji), dia benar-benar dicegah (dari kebaikan). (HR al-Baihaqi No : 10695) Status: Hadis Sahih

Marilah kita berusaha membangun dan memperkukuhkan lima rukun Islam dengan sebaiknya.

Tuesday, October 24, 2023

Tiga Tunggak Agama: Islam, Iman dan Ihsan

Selasa, 9 Rabiulakhir 1445H: Tiga Tunggak Agama: Islam, Iman dan Ihsan

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنْ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ قَالَ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا قَالَ أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ قَالَ ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيًّا ثُمَّ قَالَ لِي يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ.

Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata: Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya.  Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.  Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi:Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).  Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu. (HR Muslim No: 9) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bertanya adalah salah satu cara untuk memperolehi ilmu.

2.  Apabila menghadiri majlis ilmu, digalakkan dengan penampilan kemas dan bersih.

3.  Tiga tunggak agama, iaitu rukun lslam, rukun iman dan ehsan

4.  Islam dari segi bahasa ialah tunduk dan menyerah kepada Allah SWT. Dari segi syarak bermaksud ad-Din yang dibina di atas 5 tunggak Rukun Islam iaitu: 

a.  Syahadah (penyaksian) bahawa tiada Ilah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad SAW itu Utusan Allah SWT.

b.  Mendirikan Solat dalam waktunya, dengan rukun dan syarat yang sempurna. Juga menjaga sunat dan adabnya.

c.  Mengeluarkan Zakat.

d.  Berpuasa pada bulan Ramadhan.

e.  Menunaikan Haji sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan.

5.  Iman dari segi bahasa ialah membenarkan. Dari segi syarak adalah keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap Rukun Iman:

a.  Beriman kepada Allah Yang Maha Esa

b.  Beriman kepada para Malaikat-Nya yang sentiasa taat dan patuh kepada setiap arahan-Nya.

c.  Beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan syariat-Nya

d.  Beriman kepada para Rasul yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk memberi petunjuk kepada makhluk-Nya.

e.  Beriman kepada Hari Kiamat dan peristiwa yang berlaku selepas itu

f.  Berimann  kepada  taqdir (ketentuan) Allah SWT dan kehendak-Nya.

6.  Ihsan adalah ikhlas dalam beribadah kepada Allah dan disertai dengan penuh ketekunan seolah-olah kita melihat Allah. Jika tidak mampu mencapai tahap tersebut, maka ingatlah bahawa Dia melihat segala perbuatan kita, kecil atau besar.  

7.  Antara tanda dekatnya berlaku Kiamat ialah:

a.  Berlakunya kerosakan akhlak di mana ramai anak derhaka dan menyanggahi orang tua mereka. Mereka memperlakukan keduanya seperti hamba, dan mereka sebagai tuannya.

b.  Terbalik dan bercampur baurnya urusan, sehingga sehina-hina manusia menjadi Raja dan Pemimpin. Urusan diserahkan kepada bukan ahlinya sehingga berlakunya penyalahgunaan kuasa dan harta. Mereka bermegah-megah dengan bangunan pencakar langit dan merasa bongkak terhadap makhluk.  


Monday, October 23, 2023

Perbuatan Bergantung Kepada Niat

Isnin, 8 Rabiulakhir 1445H:  Niat dan Hijrah Kerana Allah

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ: إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.

Daripada Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab RA, dia berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan  tergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang ia menginginkannya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya (yang dia niatkan). (HR Bukhari No: 1) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap amal seseorang itu bergantung kepada niat.

2.  Niat merupakan syarat diterima atau tidaknya sesuatu amal perbuatan. Amal ibadah tidak akan menghasilkan pahala kecuali berdasarkan niat (kerana Allah).

3.  Ikhlas melakukan sesuatu amal semata-mata kerana Allah adalah dituntut pada semua amal dan ibadah.

4.  Ganjaran pahala seorang mukmin akan diberi berdasarkan kadar niatnya.

5.  Orang yang berhijrah atau melakukan sesuatu perbuatan kerana dunia, maka dia hanya akan dapat dunia yang diinginkan.

6.  Orang yang berhijrah kerana wanita, dia juga hanya akan dapat seperti yang diniatkan.

7.  Orang yang berhijrah kerana Allah, dia akan memperoleh apa yang diniatkan dengan ganjaran pahala.

8.  Hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang buruk dan dilarang oleh Allah kepada melakukan sesuatu yang lebih baik dan diredai Allah. Mari bersama berhijrah.


Sunday, October 22, 2023

Jangan Biarkan Mukmin Direndahkan

 Ahad, 7 Rabiulakhir 1445H: Jangan Biarkan Mukmin  Direndahkan

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ بْنِ سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ أُذِلَّ عِنْدَهُ مُؤْمِنٌ فَلَمْ يَنْصُرْهُ وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يَنْصُرَهُ أَذَلَّهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Umamah bin Sahal bin Hunaif dari bapaknya dari Nabi SAW baginda bersabda: "Barangsiapa yang di sampingnya ada seorang Mukmin yang direndahkan, lalu dia tidak menolongnya padahal dia mampu, nescaya Allah Azzawajalla akan merendahkannya di hadapan semua makhluk pada Hari Kiamat" (HR Ahmad No: 15416) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut memelihara hak persaudaraan dengan memiliki sifat berkasih sayang dan bersaling bantu dalam perkara kebenaran.

2.  Jika saudara Islam kita dizalimi, dianiaya atau diperlakukan dengan sesuatu yang buruk maka menjadi tanggungjawab kita untuk membantu dan mempertahankannya.

3.  Mukmin yang membiarkan saudaranya direndahkan sedangkan dia mampu untuk menolongnya, di akhirat nanti dia akan direndahkan di hadapan semua makhluk.

4. Saudara Muslim kita di Palestin sedang dianiaya dengan di bom rumah kediaman dan harta mereka termasuk hospital, pembunuhan beramai-ramai sedang dilakukan. Sehingga 20 Okt (semalam) seramai lebih 4000 telah syahid dan lebih 13,000 cedera akibat dibom. Adakah kita akan membiarkan sahaja tanpa apa-apa tindakan dari kita?

Ayuh kita mempertahankan saudara yang dianiaya dan dizalimi di Palestin dengan turut sama bersolidariti, mendoakan kesejahteraan dan keselamatan dan menghulurkan bantuan termasuk wang ringgit. Salurkan sumbangan anda melalui MyCARE, dengan klik link di bawah: http://mycare.qrd.by/palestinjhr


Friday, October 20, 2023

Masjid Al-Aqsa Masjid Kedua Dibina Di Muka Bumi

Jumaat, 5 Rabiulakhir 1445H: Masjid Al-Aqsa Masjid Kedua Dibina Di Muka Bumi

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ مَسْجِدٍ وُضِعَ فِي الْأَرْضِ أَوَّلُ قَالَ الْمَسْجِدُ الْحَرَامُ قُلْتُ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ الْمَسْجِدُ الْأَقْصَى قُلْتُ كَمْ بَيْنَهُمَا قَالَ أَرْبَعُونَ سَنَةً وَأَيْنَمَا أَدْرَكَتْكَ الصَّلَاةُ فَصَلِّ فَهُوَ مَسْجِدٌ وَفِي حَدِيثِ أَبِي كَامِلٍ ثُمَّ حَيْثُمَا أَدْرَكَتْكَ الصَّلَاةُ فَصَلِّهْ فَإِنَّهُ مَسْجِدٌ

Daripada Abu Dzarr RA dia berkata, "Saya telah bertanya kepada Rasulullah SAW: "Apakah masjid pertama yang dibina di atas muka bumi ini?" Rasulullah SAW menjawab: "Masjid al-Haram" Saya bertanya lagi: "Kemudiannya?" Balas Rasulullah SAW: "Masjid al-Aqsa". Saya bertanya lagi: "Berapakah jarak antara keduanya (tempoh binaan kedua-dua masjid ini)?" Balas Rasulullah SAW: "40 tahun, dimana sahaja kamu dapat bersolat pada keduanya, maka bersolatlah, dan bumi (tanah) itu masjid untukmu." (HR Muslim No: 808) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Masjid al-Aqsa adalah masjid ke dua yang dibina sejak Nabi Adam AS selepas Masjidil Haram Mekah. Masjid al-Aqsa adalah kiblat sekalian nabi dan kiblat terawal umat Islam.

2.  Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitarnya dianggap sebagai kawasan suci umat Islam. Al-Quran menggelarkan Palestin sebagai tanah yang suci (Al-Ardh Al-Muqaddasah). Firman Allah:

يَٰقَوْمِ ٱدْخُلُوا۟ ٱلْأَرْضَ ٱلْمُقَدَّسَةَ ٱلَّتِى كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا۟ عَلَىٰٓ أَدْبَارِكُمْ فَتَنقَلِبُوا۟ خَٰسِرِينَ

"(Nabi Musa berkata lagi): Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)." (Surah al-Maidah, Ayat 21)

3.  Imam Al-Tabari dalam tafsirnya. (Jami' Al-Bayan Fi Ta'wil Al-Quran) menyebut: Masjid al-Aqsa termasuk dalam Tanah Suci.

4.  Masjid Al-Aqsa mempunyai kedudukan dan keistimewaan di mata umat Islam. Ia bukan sahaja berkait dengan akidah bahkan ia dianggap kawasan suci umat Islam. Hakikatnya, sebarang usaha untuk mencemarkan kesucian Masjid al-Aqsa adalah merupakan satu perbuatan yang boleh mengguris dan menimbulkan kemarahan umat Islam

5.  Isu Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin bukan isu untuk rakyat palestin sahaja. Ia bukan semata-mata isu individu. Ia adalah isu yang melibatkan umat Islam keseluruhannya. Kelalaian umat Islam terhadap isu yang berlaku di Palestin akan menyebabkan musuh mudah untuk menguasainya. Pihak yang cuba mencemarkan kesuciannya wajib untuk dikecam dan diambil tindakan.

Ayuh bersama membantu saudara Muslim di Gaza selain daripada doa, kita bersolidariti dengan rakyat Palestin termasuk kewangan. Salurkan sumbangan anda melalui MyCARE, dengan klik link di bawah: http://mycare.qrd.by/palestinjhr


Thursday, October 19, 2023

Kelebihan Membantu Jihad Kerana Allah

Khamis, 4 Rabiulakhir 1445H: Membantu Keperluan Mujahid Mendapat Ganjaran 

عن زيد بن خالد الجهني رضي الله عنه: مَنْ جَهَّز غَازِياً فِي سَبِيلِ الله فَقَد غَزَا، وَمَنْ خَلَّف غَازِياً في أهلِه بخَير فقَد غزَا 

Daripada Zaid bin Khālid Al-Juhani RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang mempersiapkan keperluan orang yang berperang pada jalan Allah, maka dia dianggap telah ikut berperang. Dan barangsiapa yang menjaga keluarga orang yang berperang dengan baik maka dia dianggap telah ikut berperang." (HR Bukhari No: 2843) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Orang yang membantu mempersiapkan keperluan bagi orang yang berjihad di jalan Allah seperti menyediakan kenderaan, senjata serta barang keperluannya maka ia akan mendapat pahala seperti orang yang berjihad. Imam Nawawi Rahimahullah menyatakan, orang tersebut mendapat pahala dengan sebab perang. 

2.  Orang yang membantu menjaga kebajikan ahli keluarga para mujahid seperti memenuhi keperluan mereka, membantu hal ehwal urusan keluarga mereka, juga akan mendapat pahala seolah-olah mereka turut pergi berperang.

3.  Gaza telah dikepung dari darat, laut dan udara sejak 16 tahun yang lalu dan ia merupakan penjara terbuka yang terbesar di dunia malah sentiasa diserang tentera rejim apartheid Israel. Usahakan apa sahaja bantuan yang kita mampu termasuk peperangan media, bersolidariti dengan rakyat Palestin seperti demo, surat bantahan, bantuan kewangan dan sebagainya. Moga ia menjadi sebahagian daripada jihad kita.

4.  Orang yang menolong orang lain dalam ketaatan kepada Allah, maka baginya pahala seperti pahala orang tersebut. Jika memberi bantuan kepada penuntut ilmu dalam membelikan buku-buku untuknya, membayar yuran pengajiannya, membiayai keperluannya, maka baginya pahala seperti pahala penuntut ilmu tersebut tanpa mengurangi sedikit pun pahala penuntut ilmu tersebut.

5.  Marilah kita membantu saudara Muslim kita di Gaza dengan segala kemampuan yang kita ada. Salurkan sumbangan anda melalui MyCARE melalui link di bawah: http://mycare.qrd.by/palestinjhr


Wednesday, October 18, 2023

Kelebihan Solat di Masjidil Aqsa

Rabu, 3 Rabiulakhir 1445H: Solat di Masjidil Aqsa

عن أبي ذر – رضي الله عنه - قال: تذاكرنا ونحن عند رسول الله – صلى الله عليه وسلّم - : أيهما أفضل؛ أمسجد رسول الله – صلى الله عليه وسلّم - أم بيت المقدس ؟ فقال رسول الله – صلى الله عليه وسلّم - :   ( صلاة في مسجدي أفضل من أربع صلوات فيه ، ولنعم المصلى هو، وليوشكن لأن يكون للرجل مثل شطن فرسه من الأرض حيث يرى منه بيت المقدس خير له من الدنيا جميعاً ) .أو قال: ( خير له من الدنيا وما فيها )

Daripada Abu Dzar RA berkata: “Kami pernah berbincang-bincang ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW tentang mana yang paling utama antara kedua masjid; Masjid Rasulullah SAW (Masjid Nabawi) atau Masjid Baitul Maqdis? Rasulullah SAW bersabda, “Solat di masjidku lebih utama empat kali berbanding solat di Masjid Baitul Maqdis, itulah sebaik-baik orang yang solat. Akan ada suatu masa seorang lelaki tidak memiliki sekadar tali busur panahnya pun daripada sebidang tanah namun dia melihat bahawa Baitul Maqdis lebih baik baginya berbanding seluruh dunia.” Dalam riwayat yang lain, “lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Dikeluarkan oleh Al-Hakim: 8618, dan ia hadis sahih)

Pengajaran:

1.  Kelebihan solat di Masjid Nabawi empat kali ganda solat berbanding solat di Masjid Aqsa (sekali solat di masjid Nabawi menyamai 250 kali solat di masjid Aqsa serta 1000 kali solat di masjid yang lain) kecuali di Masjidil Haram.

2.  Masjid Baitul Maqdis amat bererti kepada umat Islam. Para sahabat amat mengambil berat terhadapnya. Kelebihan berdamping dengan Baitul Maqdis dan melihatnya walaupun dari jauh, itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.

3.  Masjid Baitul Maqdis serta keberkatan tanah di sekelilingnya perlu dinaungi dan amat digalakkan umat Islam untuk berusaha memilikinya (bersungguh-sungguh) dengan memperjuangkan kemerdekaan Baitul Maqdis.

4.  Memastikan Masjidil Aqsa kekal berada dalam penjagaan umat Islam secara umum dan dalam tangan pemerintah umat Islam secara khusus. Palestin Sentiasa Dihati Kita.

5.  Memberikan kesedaran kepada umat Islam agar prihatin terhadap tanggungjawab kepada Baitul Maqdis, menjaga, mempertahankan tanah suci serta penduduk sekitarnya, berusaha mendedahkan perancangan jahat musuh yang menghalau penduduk asal serta usaha  membina Haikal Yahudi di tempatnya.

6.  Wajib bagi negara Islam dan negara umat Islam, pertubuhan-pertubuhan Islam untuk mengambil tanggungjawab membebaskan Masjid Aqsa dari dijajah musuh serta menjaga Baitul Maqdis serta sekitarnya.

Ayuh bersama membantu saudara Muslim di Gaza melalui MyCARE. Salurkan sumbangan anda di:

http://mycare.qrd.by/palestinjhr


Tuesday, October 17, 2023

Kesempurnaan Iman Dengan Mencintai Saudara Muslim

Selasa, 2 Rabiulakhir 1445H:  Kesempurnaan Iman Dengan Mencintai Saudara Muslim

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidak beriman  (sempurna iman) seseorang dari kalian sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri". (HR Bukhari, no: 13) Status: Hadis Sahih

Pengajaran: 

1.  Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memiliki sifat saling mengasihi sesama Muslim dengan memuliakan, menghormati dan menyayangi mereka.

2.  Jika kita suka diri mendapat nikmat dalam hal keagamaan, maka wajib baginya mengasihi saudara Muslim yang lain agar mendapat nikmat yang sama. Ia adalah tanda kesempurnaan iman.

3.  Jika kita suka memperolehi nikmat dunia, kita juga sewajarnya suka agar saudara muslim yang lain juga memperolehinya.

4.  Jangan sesekali kita memiliki sifat dengki dan khianat dengan nikmat yang dimiliki oleh saudara kita yang lain.

5.  Ambillah iktibar kisah Aus dan Khazraj di Madinah yang mana kedua-dua kaum ini  begitu taksub dan fanatik dengan kaum masing-masing namun Allah telah satukan hati mereka dengan kasih sayang dan mereka saling mencintai antara satu sama lain apabila menerima Islam. Mereka bersatu atas nama Islam dan mereka berjuang atas nama Islam.

6.  Ingatlah bahawa setiap mukmin ini bersaudara. Firman Allah:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara” (al-Hujurat: 10)

7.  Saudara kita seagama adalah tanggungjawab kita untuk membantu jika mereka memerlukan bantuan, memberi nasihat ketika mereka memerlukan nasihat, meminjamkan telinga kita untuk mendengar masalah dan kisah mereka, memberi sokongan dan dorongan kepada mereka dan akhir sekali jangan kita lupa untuk mendoakan kepada mereka kerana doa adalah senjata terbaik apatah lagi doa yang tidak diketahui oleh saudaranya sendiri.

Semoga Allah memberikan kita taufik untuk berkasih sayang sesama saudara kita yang beriman sebagaimana kita suka mendapatkan hal yang sama walau dimana mereka berada.


Monday, October 16, 2023

Jadilah Cermin Mukmin Lain

Isnin, 1 Rabiulakhir 1445H: Jadilah Cermin Mukmin Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُؤْمِنُ مِرْآةُ الْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنُ أَخُو الْمُؤْمِنِ يَكُفُّ عَلَيْهِ ضَيْعَتَهُ وَيَحُوطُهُ مِنْ وَرَائِهِ

Daripada Abu Hurairah dari Rasulullah SAW bersabda: "Seorang mukmin itu cermin bagi mukmin yang lain, dan seorang mukmin itu saudara bagi mukmin yang lain; ia membantu saudaranya ketika kehilangan (ikut menanggung kesusahannya) serta menjaganya (membelanya) dari belakang." (HR Abu Daud No: 4272) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Seorang Mukmin apabila melihat akhlak mulia pada diri saudara mukminnya, maka dia akan mencontohinya. Jika dia melihat berbagai sifat tercela dalam diri saudaranya, dia mengetahui bahawa dirinya memiliki keburukan yang sama, maka dia segera berusaha membersihkan dan menyingkirkan sifat-sifat tercela itu dari dirinya.

2. Seorang Mukmin apabila melihat sifat tercela pada diri saudara mukminnya, dia akan segera menasihatkan saudaranya itu untuk menghilangkannya. Dia menjadi cermin bagi saudara Mukminnya. Dengan nasihat yang diberi diharap dia sendiri dapat melihat aibnya, seperti cermin yang menampakkan keburukan wajah seseorang.

3. Seorang Mukmin akan memandang Mukmin yang lain sesuai dengan keadaan hatinya. Jika hatinya baik, suci, jujur dan bersih dari sifat tercela, maka dalam pandangannya semua Mukmin yang lain juga baik. Dia berprasangka baik kepada seluruh Mukmin dan sama sekali tidak akan berfikiran buruk terhadap orang lain.

4. Seorang mukmin akan saling bertolong bantu sesama mukmin jika berada di dalam kesusahan dan membela mukmin yang lain jika mereka dianiaya atau dizalimi seperti saudara Islam kita di Palestin. Mereka adalah cerminan kita.

Marilah kita jadi cermin kepada saudara Mukmin kita yang lain.


Sunday, October 15, 2023

Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah

Ahad, 29 Rabiulawal 1445H:  Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah

حَدَّثَنَا هَاشِمٌ حَدَّثَنِي عَبْدُ الْحَمِيدِ حَدَّثَنِي شَهْرٌ حَدَّثَنِي أَبُو ظَبْيَةَ قَالَ إِنَّ شُرَحْبِيلَ بْنَ السِّمْطِ دَعَا عَمْرَو بْنَ عَبَسَةَ السُّلَمِيَّ فَقَالَ يَا ابْنَ عَبَسَةَ هَلْ أَنْتَ مُحَدِّثِي حَدِيثًا سَمِعْتَهُ أَنْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ فِيهِ تَزَيُّدٌ وَلَا كَذِبٌ وَلَا تُحَدِّثْنِيهِ عَنْ آخَرَ سَمِعَهُ مِنْهُ غَيْرِكَ قَالَ نَعَمْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ قَدْ حَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَحَابُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَصَافُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَزَاوَرُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَبَاذَلُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَنَاصَرُونَ مِنْ أَجْلِي

Telah menceritakan kepada kami Hasyim telah menceritakan kepadaku Abdul Hamid telah menceritakan kepadaku Syahr telah menceritakan kepadaku Abu Dzabyah ia berkata; Bahawasanya Syurahbil bin As Simth memanggil Amru bin Abasah As Sulami dan bertanya, "Wahai Ibnu Abasah, apakah Anda mahu menceritakan kepadaku suatu hadis yang telah Anda dengar dari Rasulullah SAW tanpa ada tambahan ataupun kedustaan? Dan janganlah anda ceritakan kepadaku suatu hadis dari sahabat lain yang ia mendengarnya dari baginda selain anda. Amru bin Abasah berkata; Baiklah, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah Ta'ala telah berfirman: 'Sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling merapatkan barisan kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling menolong kerana Aku.'"(HR Ahmad No: 18621) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Setiap Muslim berhak mendapat kecintaan Allah apabila:

1.  Saling mengasihi kerana Allah

2.  Saling merapatkan hubungan (ukhuwah) kerana Allah

3.  Saling menziarahi kerana Allah

4.  Saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Allah

5.  Saling bantu membantu dan tolong menolong kerana Allah

Jadikanlah diri kita orang yang disayangi Allah kerana penyayangnya kita kepada orang lain. Marilah kita prihatin ke atas saudara Islam kita di Gaza yang melalui penderitaan berterusan akibat kekejaman oleh Zionis Israel. Yang kita mampu dari jauh mendoakan keselamatan dan ketabahan buat mereka serta sedikit bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka.

Ayuh bersama membantu mangsa-mangsa di Gaza melalui MyCARE. Salurkan sumbangan anda di:

http://mycare.qrd.by/palestin


Saturday, October 14, 2023

Kesempurnaan Iman

 Sabtu, 28 Rabiulawal 1445H: Mengasihi Sesama Muslim Tuntutan Iman

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, Nabi SAW, bersabda: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”. (HR Bukhari No: 12 ) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mengasihi sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2.  Menyayangi dan mengasihi saudara Muslim yang lain walau dimana mereka berada, bangsa apapun mereka adalah antara kriteria sifat berukhuwah dan tanda kesempurnaan iman seseorang.

3.  Ibn Qayyim menyatakan kasih sayang dalam berukhuwah:

a.  Kasih sayang itu adalah sifat memberikan manfaat kepada orang lain
b.  Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada sahabat atau menjauhkannya daripada bencana.

4.  Saudara kita di Palestin yang melalui kesusahan dan keperitan mempertahankan bumi para anbiya dan Masjidil Aqsa dengan darah dan nyawa. Tahukah kita dalam tempoh seminggu sejak Sabtu lalu, Israel Zionis telah berlaku kejam dengan melepaskan sekitar 6,000 bom ke atas Gaza? Adakah kita juga turut merasainya dengan bersusah payah membela dan membantu mereka? 

5.  Mari kita saling membantu agar saudara Muslim kita mendapat kebaikan dan kebahagiaan seperti mana kita juga memperolehinya. Buktikan kesempurnaan iman kita dengan saling berkongsi senang dan susah.  Paling tidak dengan doa juga sumbangan wang ringgit dari kita.

Ayuh bersama membantu mangsa-mangsa di Gaza melalui MyCARE. Salurkan sumbangan anda di:

http://mycare.qrd.by/palestin


Friday, October 13, 2023

Sunnah Bermusafir Di Tiga Masjid

Jumaat,  27 Rabiulawal 1445H:Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Aqsa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏  لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صلى الله عليه وسلم وَمَسْجِدِ الأَقْصَى ‏.‏

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Janganlah kamu bersusah payah mengembara  (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW (Masjid Nabawi) dan masjid al-Aqsa”. (HR Bukhari No: 1189) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Masjid adalah tempat yang mulia untuk dikunjungi dan menjadi tempat untuk beribadat.

2.  Tiga buah masjid yang disuruh agar bersusah payah bermusafir padanya bagi tujuan ibadah ialah Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Aqsa.

3.  Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat para Nabi dan kiblat terawal umat Islam serta salah satu masjid yang sangat digalakkan untuk diziarahi dan menunaikan solat didalamnya. Malangnya sejak penguasaan rejim zionis ke atas Baitul Maqdis, kesucian Masjid al-Aqsa sering diceroboh. Pelbagai usaha dilakukan oleh rejim untuk menafikan hak umat Islam terhadap Masjid al-Aqsa.

4.  Walaupun kita tidak berpeluang untuk menziarahi Masjid al-Aqsa, kita masih bertanggungjawab untuk membantu umat Islam di Palestin yang menjadi benteng terakhir mempertahankan Masjid al-Aqsa dalam apa juga bentuk seperti doa dan sumbangan harta. Rasulullah SAW ditanya oleh Maimunah (pembantu Rasulullah SAW):

يا رسولَ اللَّهِ أفتِنا في بيتِ القُدُسِ قال ائتوهُ فصلُّوا فيهِ قالَتْ كيفَ والرُّومُ إِذ ذاكَ فيهِ قال صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ فإِن لَم تَستَطيعُوا فابعَثوا بِزيتٍ يُسرَجُ في قناديلِهِ

Daripada Maimunah maula Nabi SAW: "Wahai Rasulullah, berilah fatwa kepada kami tentang Baitul Maqdis. Baginda SAW bersabda: "Datangilah ia dan solatlah di dalamnya. Maimunah berkata: "Bagaimana (untuk datang dan solat) dengan keadaan Rom berada di dalamnya? Baginda SAW bersabda: "Jika kamu tidak mampu (untuk pergi ke Baitulmaqdis) kirimlah minyak ke sana untuk dinyalakan lampu-lampunya." (HR As-Sakhawi) Status: Hadis Hasan.

Isu Baitul Maqdis, Masjid al-Aqsa dan Palestin adalah perkara yang berkait dengan Iman. Menjadi kewajipan setiap orang Islam mengambil cakna dan membantu semampu mugkin antaranya memastikan perjuangan dan kehidupan umat Islam Palestin tetap kukuh. 

Menjadi tanggungjawab setiap kita menyalurkan bantuan.

Ayuh bersama membantu Dana Bantuan Kemanusiaan Gaza melalui MyCARE. Salurkan sumbangan anda di:

http://mycare.qrd.by/palestin


Thursday, October 12, 2023

Semua Bersaudara Sesama Muslim

Khamis, 26 Rabiulawal 1445H:Menunaikan Tangungjawab Ke atas Muslim

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة

Bahawa Abdullah bin Umar RA mengkhabarkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan dibiarkan dianiaya orang lain. Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat. (Sahih Bukhari No: 2310) Dar Ibn Kathir.  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain walau dimana mereka berada.

2.  Sebagai orang Muslim, menjadi kewajipan kepada kita untuk  menjaga hak orang Islam yang lain antaranya:

a.  Tidak boleh berlaku zalim atau menganiaya ke atas orang Islam yang lain

b.  Tidak boleh membiarkan orang Islam yang lain di zalimi contohnya di Palestin

3.  Dalam isu umat Islam di Palestin dan pembebasan Masjidil Aqsa adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk tidak membiarkan kezaliman berterusan. Menjadi kewajipan kita membantu mereka paling tidak dengan wang ringgit dan doa. 

4.  Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah akan memperkenan hajatnya.

5.  Orang Islam yang melapangkan kesempitan orang Islam yang lain semasa di dunia, Allah akan melapangkan dan mempermudah kehidupannya di hari kiamat

6.  Menjadi tanggungjawab seorang Muslim menutup aib atau keburukan saudara Muslim yang lain.

7.  Orang yang menutup kekurangan, aib atau keburukan sahabatnya semasa di dunia, nescaya Allah akan menutup aib dan kekurangannya semasa di akhirat kelak.

8.  Menurut Al-Qadhi Iyadh dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (16/360): “Ditutupnya aib si hamba pada hari kiamat berkemungkinan dua keadaan:

a.  Allah akan menutup maksiat dan aibnya dengan cara tidak mengumumkannya kepada manusia di padang mahsyar. 

b.  Allah Taala tidak akan menghisab aibnya dan tidak akan menyebut aibnya tersebut.” 


Wednesday, October 11, 2023

Membela Muslim Yang Dizalimi

Rabu, 25 Rabiulawal 1445H: Membela Muslim Yang Dizalimi 

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ رَدَّ عَنْ عِرْضِ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ أَنْ يَرُدَّ عَنْهُ نَارَ جَهَنَّمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Darda' dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa membela harga diri saudaranya sesama muslim (mempertahankan kehormatan dan maruah), maka sudah menjadi hak Allah untuk menghindarkannya dari neraka pada hari Kiamat." (HR Ahmad No: 26260) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Menjadi kewajipan seorang Muslim mempertahankan kehormatan dan maruah diri saudaranya yang diketahui seorang yang baik, jika ia dizalimi oleh orang lain.

2.  Sebagai Muslim, apabila kita mengetahui ada dalam kalangan umat Islam di zalimi hak mereka, seperti di Palestin, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mengembalikan kehormatan dan hak mereka dengan apa jua yang kita mampu seperti sumbangan wang ringgit serta doa dari kita.

3.  Orang yang mempertahankan kehormatan dan maruah diri saudara Muslim yang lain, nescaya Allah akan menghindarkannya daripada api neraka pada hari kiamat.

Marilah kita saling menjaga maruah saudara Muslim kita walau dimana mereka berada dengan apa juga kemampuan yang kita ada. Semoga kita akan dipelihara daripada api neraka di akhirat nanti.

Semoga kita sentiasa tergolong dalam kalangan orang yang perihatin terhadap orang lain, menolong saudara kita yang dizalimi. Jangan sekali-kali kita membiarkannya tanpa pembelaan.

Ayuh bersama membantu Dana Bantuan Kemanusiaan Gaza melalui MyCARE. Salurkan sumbangan anda di:

http://mycare.qrd.by/palestin

#PalestinDiHatiTaufanAlAqsa
#BangunkanJiwamu
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor


Tuesday, October 10, 2023

Berkasih Sayang Sesama Islam

Selasa, 24 Rabiulawal 1445H: Berkasih Sayang Dalam Islam

عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ  مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Daripada an-Nu'man bin Basyir RA, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan seseorang Mukmin sesama Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu badan. Apabila ada salah satu anggota badan yang menanggung kesakitan, maka seluruh badannya akan turut terjaga (tidak akan tidur) dan terasa panas (merasakan sakitnya)." HR Bukhari No : 6011) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Umat Islam adalah seumpama satu badan yang saling mencintai, mengasihi dan menyayangi. Ianya terbentuk daripada ikatan persaudaraan dalam Islam.

2.  Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya

3.  Nilai kebersamaan dan saling menyayangi ini akan terbina apabila ada orang Islam yang memerlukan bantuan, maka orang Islam lain akan saling membantu dan meringankan beban yang dipikul bersama-sama.

4.  Saudara kita di Palestin di zalimi. Hak mereka ke atas Masjid Aqsa dan bumi Palestin dirampas. Masjid umat Islam diceroboh. Mereka sedang dihujani dengan peluru dan bom di saat kita bergembira di tanah air kita. Ratusan yang syahid dan cedera. Adakah kita merasai nilai kebersamaan dan persaudaraan dengan mereka?

5.  Sewajarnya kita merasai keperitan dan penderitaan mereka. Mengambil tahu dan mengusahakan semampu mungkin bantuan ke atas mereka. Hak mereka yang menjadi tanggungjawab kita.

6.  Hak-hak yang lahir daripada persaudaraan diwajibkan kerana iman. Wajib memberikan komitmen sama seperti wajibnya menunaikan solat, puasa, zakat dan haji.

7.  Marilah kita menzahirkan keprihatinan terhadap isu Palestin ini antaranya melalui solat hajat dan Qunut Nazilah, bermunajat mendoakan keselamatan, kesejahteraan dan ketabahan umat Islam di palestin. Sebarkan info kesedaran isu pembebasan Masjidil Aqsa dan kekejaman Yahudi keatas umat Islam Palestin serta menghulurkan sumbangan kepada rakyat Palestin.

Ayuh bersama membantu Dana Bantuan Kemanusiaan Gaza melalui MyCARE. Salurkan sumbangan anda di:

http://mycare.qrd.by/palestin


Monday, October 9, 2023

Kelebihan Solat Malam

Isnin , 23 Rabiulawal 1445H: Ikuti Pesan Rasulullah SAW Dalam Solat Malam

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَنْهَاةٌ لِلْإِثْمِ

Daripada Abu Umamah dari Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: "Hendaknya kalian melakukan solat malam kerana solat malam adalah amalan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian, dan mendekatkan kepada Tuhan kalian, menghapus keburukan, serta mencegah dosa." (Sunan Tirmidzi No: 3472) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Solat malam atau qiamullail adalah amalan orang-orang yang soleh. Allah SWT memuji para hamba-Nya yang soleh yang sentiasa melakukan solat malam dan bertahajud:

كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“Mereka sedikit tidur di waktu malam; dan di akhir-akhir malam mereka memohon keampunan (kepada Allah).” [Adz-Dzaariyaat/51: 17-18]

2.  Solat malam adalah amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, sebagai makanan spiritual membina kekuatan dalaman diri setiap Muslim.

3.  Solat malam boleh menghapuskan keburukan atau kesalahan serta dosa.

4.  Solat malam juga boleh mencegah seseorang dari melakukan dosa dan maksiat.


Sunday, October 8, 2023

Antara Amalan Paling Utama

Ahad, 22 Rabiulawal 1445H: Ikuti Pesan Rasulullah SAW Dalam Beramal

عَنْ أَبِي عَمْرٍو الشَّيْبَانِيِّ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِابْنِ مَسْعُودٍ أَيُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ سَأَلْتُ عَنْهُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ الصَّلَاةُ عَلَى مَوَاقِيتِهَا قُلْتُ وَمَاذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَبِرُّ الْوَالِدَيْنِ قُلْتُ وَمَاذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَالْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Daripada Abu 'Amru Asy Syaibani bahawa seorang lelaki berkata kepada Ibnu Mas'ud, "Amal apakah yang paling utama?" ia berkata; "Aku pernah bertanya Rasulullah SAW tentang hal itu, maka baginda pun menjawab: "Solat pada waktunya, " aku bertanya lagi, "Wahai Rasulullah, lalu apa lagi?" baginda menjawab: "Berbuat baik kepada kedua orang tua, " aku bertanya lagi, "Wahai Rasulullah, lalu apa lagi?" baginda menjawab: "Jihad di jalan Allah." (HR. Tirmidzi No: 158) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Antara amal yang paling utama bagi seorang Muslim adalah:

1.  Solat di awal waktu

2.  Berbuat baik kepada ibu bapa (sama ada semasa mereka masih hidup mahupun selepas meninggal dunia)

3.  Berjihad di jalan Allah (dalam pelbagai relong mengikut kemampuan, ruang dan kesempatan yang ada)

Marilah kita melakukan amal-amal yang menjadi keutamaan dalam kehidupan kita.


Saturday, October 7, 2023

Sunnah Ketika Makan

Sabtu, 21 Rabiulawal 1445H: Ikuti Pesan Rasulullah SAW Ketika Makan

عَنْ عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ يَقُولُ: كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

Daripada Umar bin Abi Salamah katanya: Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Nabi SAW tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Nabi SAW berkata kepadaku: Wahai anak, sebut nama Allah (baca Bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambillah makanan) yang hampir denganmu. (HR Bukhari No: 5061) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar agar beradab dalam setiap perkara termasuklah ketika makan.

2.  Antara adab makan dalam Islam:

a.  Memulakan dengan bacaan Basmallah (Bismillah)

b.  Makan menggunakan tangan kanan

c.  Mulakan makanan yang paling hampir dengan kita

3.  Makanan dan minuman yang tidak menyebut nama Allah akan disertai oleh syaitan. Rasulullah bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَسْتَحِلُّ الطَّعَامَ الَّذِى لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ 

“Sesungguhnya syaitan menghalalkan makanan yang tidak disebutkan nama Allah padanya. (HR. Abu Daud No. 3766). Status: Hadis Sahih

Ikuti pesan Rasulullah SAW dalam makan dan minum.


Friday, October 6, 2023

Ucapan Bila Melihat Yang Disukai Atau Dibenci.

Jumaat, 20 Rabiulawal 1445H: Contohi Rasulullah SAW Jika Melihat Suatu Yang Disukai dan Dibenci

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Daripada 'Aisyah RA dia berkata; "Apabila Rasulullah SAW melihat sesuatu yang baginda sukai, baginda akan mengucapkan: "Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna." dan apabila baginda melihat sesuatu yang dibenci, baginda mengucapkan: "Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan." (Sunan Ibnu Majah No: 3793) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW mengajar kepada kita adab apabila melihat sesuatu sama ada yang disukai atau yang dibenci.

2.  Apabila melihat sesuatu yang disukai, hendaklah kita mengucapkan kalimah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ
"Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya semua kebaikan menjadi sempurna."

3.  Apabila melihat sesuatu yang kita benci hendaklah kita  mengucapkan kalimah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
   "Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan

Mari kita amalkan kalimah terpuji apabila melihat sesuatu yang disukai mahupun juga yang dibenci


Wednesday, October 4, 2023

Contohi Rasulullah SAW Akhlak Terbaik

Rabu, 18 Rabiulawal 1445H: Contohi Rasulullah SAW Dalam Kecerian Wajah

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Daripada Abu Dzar, Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali kalian menganggap remeh suatu kebajikan meskipun hanya berupa keceriaan wajah ketika bertemu dengan kawanmu" HR Muslim No 4760. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap amal baik walaupun kecil, tetap mendapat ganjaran di sisi Allah

2.  Berwajah ceria atau senyum apabila bertemu sahabat adalah antara amal kebaikan yang dituntut

3.  Sikap ceria, senyum, gembira dan bertutur dengan kata-kata yang baik ketika berinteraksi dengan orang lain adalah suatu tuntutan akhlak Islam.

4.  Penampilan wajah yang ceria ketika bertemu dapat mewujudkan ikatan ukhuwah sesama muslim.

5.  Jangan memandang remeh perkara yang mungkin kecil tetapi memberi kesan dan ganjaran yang besar antaranya senyuman.

Marilah kita sentiasa berwajah ceria dengan senyuman sebagai menyahut sunah Nabi walaupun amalan ini dilihat kecil kerana senyuman itu sedekah.

Tuesday, October 3, 2023

Kelebihan Berselawat

Selasa, 17 Rabiulawal 1445H: Berselawat Diampun Dosa dan Diangkat Darjat

عَنْ بُرَيْدِ بْنِ أَبِي مَرْيَمَ قَالَ حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ  قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ

Daripada Buraid bin Abu Maryam dia berkata; telah menceritakan kepada kami Anas bin Malik dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah akan mengucapkan selawat kepadanya sepuluh kali, dihapuskan darinya sepuluh kesalahan, dan diangkat sepuluh darjat untuknya." (HR An-Nasa'i No:1280) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang berselawat ke atas Rasulullah SAW sekali, Allah akan membalas dengan sepuluh kali.

2.  Orang yang berselawat sekali akan dihapuskan sepuluh kesalahannya

3.  Orang yang berselawat sekali akan diangkat sepuluh darjat untuknya di sisi Allah.


Sunday, October 1, 2023

Rahmat Kepada Semua

 Ahad, 15 Rabiulawal 1445H: Rahmat Kepada Semua

عن أبي موسى الأشعري  رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم قال لن تُؤْمِنوا حتى تَراحموا قالوا يا رسولَ اللهِ كُلُّنا رحيمٌ قال إنه ليس برحمةِ أحدِكم صاحِبَه ولكنَّها رحمةُ الناسِ رحمةُ العامَّةِ

Daripada Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah). Para Sahabah berkata: Wahai utusan Allah, kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda: “(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap kawannya, tetapi rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah secara umum” (Riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 Hadis Hasan Lighairihi)

Pengajaran:

1.  Islam adalah agama rahmah. Rahmah adalah kata terbitan daripada kata akar ra-hi-ma / yar-ha-mu yang bermaksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam al’Arabiy al-Asasiy, 1989)

2.  Memiliki sifat rahmah dengan berkasih sayang sesama Muslim adalah tanda keimanan seseorang.

3.  Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim malah juga kepada seluruh manusia termasuk juga yang bukan Islam serta makhluk alam yang lain seperti binatang dan tumbuhan.

4.  Umat Islam haruslah memahami bagaimana proses ummah dijelmakan dalam peradaban Islam dari sudut kesatuan masyarakat manusia. Al-Quran mengarahkan untuk kita melakukan engagement dengan pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.” (hujurat: 13)

5.  Memiliki sifat rahmah kepada manusia secara umum termasuk bukan Islam dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia dengan saling mengenali serta berusaha melakukan usaha dakwah melalui pelbagai pendekatan termasuk menunjukkan contoh terpuji. Menyayangi orang lain agar mereka juga mendapat hidayah dan taufik menjadi hamba Allah yang diredhai.

Zahirkanlah sifat rahmah kita sebagai Muslim kepada orang lain termasuk kawan dan lawan dengan engagement yang berterusan agar kita benar-benar memiliki sifat RAHMAH.