Thursday, March 13, 2025

Paling Baik, Berani dan Dermawan

Khamis, 12 Ramadhan 1446H  |  Paling Baik, Berani dan Dermawan

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ وَأَشْجَعَ النَّاسِ وَأَجْوَدَ النَّاسِ

Daripada Anas RA berkata; Nabi SAW adalah orang yang paling baik, paling berani dan paling dermawan. (HR Bukhari No: 2813) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah manusia yang paling sempurna akhlaknya untuk dijadikan contoh terbaik. Muslim yang baik adalah mereka yang menunjukkan perilaku yang mulia dan baik terhadap orang lain, tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka.

2.  Rasulullah SAW juga seorang yang berani, bukan hanya dalam konteks fizikal atau peperangan, tetapi juga dalam memperjuangkan kebenaran dan hak. Kita diajarkan untuk berani menegakkan kebenaran, walaupun menghadapi tekanan atau ancaman. Keberanian dalam menegakkan keadilan dan kebenaran adalah sifat yang perlu dimiliki oleh setiap Muslim.

3. Rasulullah SAW juga orang yang paling dermawan untuk dicontohi khususnya di bulan Ramadan.

عَنْ أَنَسٍ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ قِيلَ فَأَيُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ

Daripada Anas RA, Nabi SAW ditanya tentang puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan. Baginda menjawab: "puasa di bulan Syaban untuk memuliakan Ramadan, " Baginda ditanya lagi, lalu sedekah apakah yang paling utama? Baginda menjawab: "Sedekah di bulan Ramadan." Sunan Tirmizi No 663 Dar Kutub Ilmiyyah. Status Hadis: Daif

4.  Amalan bersedekah sebagai satu daripada cara untuk menjauhkan daripada api neraka. Rasulullah SAW bersabda

عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ قَالَ ذَكَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ النَّارَ فَتَعَوَّذَ مِنْهَا وَأَشَاحَ بِوَجْهِهِ … قَالَ اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَ

Daripada Adi bin Hatim dia berkata; "Nabi SAW menyebutkan tentang neraka, lalu baginda meminta berlindungan darinya sambil mengusap wajahnya, baginda bersabda …. "Takutlah kalian kepada neraka walau dengan setengah biji kurma, jika tiada, hendaknya dengan perkataan yang baik." (HR Bukhari No: 5677) Status: Hadis Sahih

5.  Sifat suka bersedekah adalah pengikat dan penghubung kasih sayang kita dengan orang lain

6.  Allah akan menggantikan apa yang disedekahkan dengan keberkahan harta di dunia dan pahala yang besar di akhirat. Firman Allah:

وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

“Dan apa saja yang kamu sedekahkan, maka Allah akan menggantinya, dan Dia-lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya” (Sabaa’:39).

7.  Sedekah akan menjadi penghindar daripada api neraka walaupun sebiji buah kurma.

Renunglah kisah ini:

Daripada Aisyah RA  bahawa keluarga Rasulullah SAW  pernah menyembelih seekor kambing, kemudian disedekahkan kepada orang-orang miskin, lalu Rasulullah  bertanya: “Apa yang tertinggal daripada (daging) kambing tersebut?”. ‘Aisyah  menjawab: “Tidak ada yang tertinggal darinya kecuali (bahagian) bahu (dari) kambing tersebut”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Itu bererti semua daging kambing tersebut tertinggal tetap dan kekal pahalanya kecuali bahagian bahunya”

JOM infaq bersama Yayasan Pendidikan Hidayah.

yph.my/infaq

Contohilah Rasulullah SAW melalui sifat kebaikan, keberanian dan dermawan dalam kehidupan harian kita.


Wednesday, March 12, 2025

Berbuka Dengan Rotab atau Tamar atau Air

Rabu, 11 Ramadhan 1446H  | Berbuka Dengan Rotab  atau Tamar atau Air

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ قَالَ أَبُو عِيسَى وَرُوِيَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُفْطِرُ فِي الشِّتَاءِ عَلَى تَمَرَاتٍ وَفِي الصَّيْفِ عَلَى الْمَاءِ

Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW selalu berbuka dengan kurma basah (rotab) sebelum solat, jika baginda tidak mendapatinya, maka (baginda berbuka) dengan kurma kering (tamar) dan jika tidak mendapatkan kurma kering, baginda berbuka dengan meneguk air tiga kali. Abu 'Isa berkata, ini merupakan hadis hasan gharib. Abu 'Isa berkata lagi, diriwayatkan juga bahawa Nabi SAW berbuka pada musim dingin dengan kurma dan pada musim panas dengan air. (Sunan Tirmizi No: 696) Dar Kutub Ilmiyyah Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW akan berbuka terlebih dahulu sebelum menunaikan solat Maghrib.

2.  Rasulullah SAW kebiasaannya akan berbuka puasa dengan rotab (kurma basah, lembut dan baru) kerana ia mudah dicerna dan badan boleh mendapat tenaga dengan segera.

3.  Jika tiada rotab, Rasulullah SAW akan berbuka dengan tamar (kurma kering).

4.  Seandainya ketiadaan rotab dan tamar, Rasulullah SAW akan berbuka dengan air.

5.  Pada musim sejuk, Rasulullah SAW akan berbuka dengan tamar (kurma kering)

6.  Pada musim panas, baginda SAW akan berbuka dengan meminum air.

7.  Rotab dan Tamar merupakan makanan paling kaya kandungan gula glukosa sekitar 55% dan  45% fruktosa.

8.  Glukosa dalam kurma (rotab dan tamar) akan cepat berubah menjadi frutose, kemudian diserap melalui sistem pencernaan untuk menjadi tenaga dengan cepat. Penyerapan gula kurma dalam tubuh manusia sangat cepat antara 30 dan 45 minit berbanding nasi yang memerlukan lebih kurang 4 jam untuk dicernakan. Justeru, berbuka puasa dengan kurma dapat memberi tenaga segera kepada tubuh manusia di samping dapat mencegah keletihan yang bersangatan.

9.  Pengambilan kurma dalam pemakanan boleh mengelakkan daripada sembelit, penyakit jantung dan merendahkan kolesterol jahat. Kurma mengandungi peratusan serat tidak larut dan larut air antara 10 dan 20%. Serat tidak larut air sangat penting untuk membantu pergerakan najis dalam sistem penghadaman manusia seterusnya boleh mencegah sembelit. Manakala, serat larut air penting untuk mencegah penyakit jantung, dan mencegah peningkatan kolesterol jahat dalam darah.


Tuesday, March 11, 2025

Melewatkan Sahur Menyegerakan Berbuka

Selasa, 10 Ramadhan 1446H  |  Melewatkan Sahur Menyegerakan Berbuka
 
عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِبِلَالٍ أَنْتَ يَا بِلَالُ تُؤَذِّنُ إِذَا كَانَ الصُّبْحُ سَاطِعًا فِي السَّمَاءِ فَلَيْسَ ذَلِكَ بِالصُّبْحِ إِنَّمَا الصُّبْحُ هَكَذَا مُعْتَرِضًا ثُمَّ دَعَا بِسَحُورِهِ فَتَسَحَّرَ وَكَانَ يَقُولُ لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا أَخَّرُوا السَّحُورَ وَعَجَّلُوا الْفِطْرَ

Daripada Abu Dzar RA bahawa Nabi SAW bersabda pada Bilal: "Wahai Bilal, kalau subuh telah beranjak ke langit maka itu bukanlah subuh, subuh itu nampak seperti ini, "lalu baginda menyuruh untuk sahur dan baginda pun sahur seraya bersabda: "Umatku akan selalu dalam kebaikan selama mengakhirkan sahur dan mempercepat berbuka." (Musnad Ahmad No: 20996) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah contoh dalam kita melakukan ibadat termasuk amalan berbuka dan bersahur ketika berpuasa.

2.  Antara amalan yang perlu dicontohi ketika berpuasa ialah segera berbuka apabila masuk waktu berbuka.

3.  Melewatkan bersahur juga merupakan amalan Rasulullah SAW dan para sahabat yang kita digalakkan mengikutinya kerana ada kebaikan dari segi kesihatan juga keberkatan dalam ibadat puasa.

4.  Waktu sahur dilewatkan seperti yang diceritakan oleh  Anas bin Malik RA dari Zaid bin Tsabit:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

"Kami makan sahur bersama Nabi Muhammad SAW lalu kami solat (subuh) berjamaah", Anas berkata kepada Zaid: "berapa jarak waktu antara azan (subuh) dan sahur?" Zaid menjawab: "sekitar bacaan al-Quran 50 ayat" (HR Bukhari No: 550) Status: Hadis Sahih

Berdasarkan hadis ini,  jarak waktu selesai sahur Nabi SAW dengan waktu subuh sangat dekat, hanya sekitar jangkaan waktu bacaan 50 ayat al-Quran yang dibaca dengan kadar sederhana, tidak cepat dan tidak lambat (sekitar 10 hingga 15 minit sebelum subuh) yang juga disebut waktu imsak (atas dasar berhati-hati).

Amr B. Maimun al-Audi menyatakan, “Para sahabat Muhammad SAW adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling terakhir (lewat) dalam bersahur.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 4/199)

Semoga kita dapat mengikuti sunah Nabi SAW dengan bersegera berbuka apabila masuk waktu dan melewatkan sahur.


Monday, March 10, 2025

Sahur Dengan Kurma Kering

Isnin, 9 Ramadhan 1446H  |  Sahur Dengan Kurma Kering

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW baginda bersabda: Sebaik-baik (makanan) ketika seseorang mukmin bersahur adalah tamar (kurma kering).” (Sunan Abi Daud No: 2345) Maktabah Asriyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sahur adalah makan dan minum yang dilakukan pada waktu sebelum fajar sebagai persiapan untuk berpuasa. Sahur merupakan amalan sunnah yang sangat dianjurkan dalam Islam. Ia memiliki banyak kebaikan, sama ada dari segi rohani, jasmani, mahupun dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.

2.  Sebaik-baik makanan untuk bersahur adalah tamar (kurma kering).

3.  Syeikh Abd al-Muhsin al-‘Abbad mensyarahkan hadis ini menyebut: “Pada hadis ini menunjukkan pujian pada sesiapa yang bersahur dengan tamar, kerana pada tamar itu terdapat kekuatan yang tersendiri. Terdapat satu hadis sahih yang menceritakan, "Rumah yang tiada tamar padanya, maka akan lapar penghuninya", kerana tamar merupakan makanan asasi yang utama di sisi mereka. Hal ini menunjukkan bahawa bersahur dengan tamar itu dipuji, kerana perkataan ni'ma (نِعْمَ) ini menunjukkan sighah pujian sebagaimana yang diketahui. (Syarh Sunan Abi Daud, oleh Syeikh Abd al-Muhsin al-'Abbad, 8/255)

4.  Kurma merupakan makanan paling kaya kandungan gula glukosa sekitar 55% gula dalam kurma berbentuk glukosa, sedangkan 45% lagi membentuk fruktosa.

5.  Glukosa dalam kurma akan cepat berubah menjadi fruktosa, kemudian diserap melalui sistem pencernaan untuk menjadi tenaga. Khususnya jaringan yang perlu tinggi energi, seperti: sel-sel otak, sel-sel saraf, sel-sel darah merah dan sel-sel tulang belakang.

6.  Selain glukosa, kurma juga mengandung sejumlah lemak, protein, dan beberapa vitamin seperti vitamin A, B2, B12. Kurma mengandung beberapa mineral, terutama kalsium, sulfat, sodium, fosfor, potassium, magnesium, florin, kuningan, manganese, cobalt, zinc, serta sejumlah selulosa.

At-Thabrani dalam Mu’jam al-Kabir, dari  Uqbah bin Amir RA

أن النبي صلى الله عليه وسلم أخذ حفنة من تمر، فقال: نعم سحورٌ للمسلم

Bahawa Nabi SAW pernah mengambil segenggam kurma, kemudian  bersabda, “Ini sebaik-baik hidangan sahur orang Muslim.” (Mu’jam al-Kabir, 17/282).

Selain mengambil nasi bersama ikan dan sayur di waktu sahur, elok juga makan sedikit kurma kering (tamar).


Sunday, March 9, 2025

Sahur Waktu Mustajab Berdoa

Ahad, 8 Ramadhan 1446H  |  Sahur Waktu Mustajab Berdoa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepada-Ku, maka Aku tunaikan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepada-Ku, Aku ampunkannya.” (HR Bukhari No: 1094) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syeikh Mustafa al-Bugha berkata: Allah turun ke langit dunia bermaksud turunnya Ketetapan Allah, Rahmat-Nya, Kelembutan-Nya dan Pengampunan-Nya.


2.  Sepertiga akhir malam adalah waktu istimewa untuk ahli ibadah (sekitar jam 3 pagi hingga sebelum subuh).

3.  Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) merupakan waktu mustajab doa (doa diperkenan).

4.  Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) waktu Allah mengampunkan dosa kepada yang memohon keampunan.
وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُون

Ketika waktu sahur (akhir-akhir malam), mereka berdoa memohon keampunan”  (Surah Az Zariyat ayat: 18)

5.  Menghidupkan malam dengan doa dan ibadah, terutama pada sepertiga malam terakhir, memerlukan ketekunan dan kesungguhan. Ia adalah ujian kesabaran dan keikhlasan seorang hamba dalam beribadah kepada Allah. Walaupun waktu ini sangat berharga, hanya mereka yang tekun dan ikhlas yang akan mendapatkan manfaatnya. Rugilah mereka yang bangun di penghujung malam hanya untuk makan sahur atau ke bilik air semata-mata.

Rebutlah peluang waktu istimewa ini dengan solat sunat seperti tahajud  dan  berdoa memohon Rahmat serta  keampunan daripada dosa.

Jadikan ibadat Ramadan kali ini menyuburkan amalan kita bagi membangunkan jiwa taqwa.


Saturday, March 8, 2025

Sahur Itu Barakah

Sabtu, 7 Ramadhan 1446H  |   Sahur Itu Barakah

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Daripada Abi Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: "makan sahur itu barakah, maka janganlah kalian tinggalkan meskipun salah seorang dari kalian hanya minum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah 'azza wajalla dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang makan sahur." (HR Ahmad No: 10664) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Makan ketika bersahur itu memiliki keberkatan. Antara bentuk barakah dari makan sahur adalah mampu memberikan tenaga, menguatkan semangat, dan meringankan beban bagi mereka yang berpuasa.

2.  Bersahurlah kita  sebagai mengambil barakah atau kebaikan dan kelebihan, walaupun hanya dengan seteguk air.

3.  Ibn Hajar al-‘Asqalani mensyarahkan hadis ini: "Berkat pada sahur terhasil daripada sudut yang pelbagai, iaitu mengikut sunnah, serta berlawanan dengan ahli kitab, dan ianya menguatkan tenaga untuk melakukan ibadah puasa, serta menambahkan semangat untuk berpuasa, menahan daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar, penyebab memberi sedekah kepada yang meminta, dan sebab kepada berzikir dan berdoa, waktu mustajab untuk berdoa, dan waktu niat untuk berpuasa bagi yang lupa berniat sebelum tidur. (Lihat Fath al-Bari, 4/140)

4.  Allah dan para malaikat berselawat ke atas orang yang makan dan minum untuk bersahur. Selawat Allah ke atas orang yang bersahur adalah pujian-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang bersahur, manakala selawat para malaikat ke atas mereka yang bersahur pula merupakan doa pengampunan dari malaikat buat mereka yang bersahur.

5.  Waktu sahur itu sendiri pula termasuk antara waktu mustajab berdoa, waktu terbaik beribadah, dan waktu diampunkan bagi mereka yang memohon keampunan.

6.  Keberkatan bersahur terbahagi kepada dua jenis keberkatan:

a.  Keberkatan Syar'iyyah: iaitu keberkatan dalam mengikut sunnah baginda Rasulullah SAW, mendapat ganjaran dan pahala, penyebab kepada berzikir, berdoa, beristighfar pada waktu sahur yang merupakan waktu mustajab doanya serta beroleh keampunan.

b.  Keberkatan Badaniyah: iaitu keberkatan pada sahur tersebut memberikan bekalan nutrien dan tenaga kepada badan serta menguatkan semangat untuk berpuasa, dan menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar.


Friday, March 7, 2025

Bersahur Membezakan Puasa Muslim

Jumaat, 6 Ramadan 1446H  |   Bersahur Membezakan Puasa Muslim

عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Daripada Amru Ibnu Al-Ash RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:  "Perbezaan antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur." (HR Muslim No: 1836) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ibadah puasa yang diwajibkan ke atas umat Islam sama juga dengan ibadat puasa yang telah pun diwajibkan kepada ahli kitab (yahudi dan nasrani). Tetapi terdapat beberapa perbezaan di antaranya ialah :

a.  Umat Islam diwajibkan berpuasa setahun sekali iaitu pada bulan  Ramadhan.
b.  Disunatkan bagi orang Islam yang hendak berpuasa makan sahur sebelum masuk waktu subuh.

2.  Ibadat puasa Muslim perlu berbeza dengan ibadat puasa ahli kitab iaitu dengan bersahur.

3.  Sahur adalah makan atau minum yang dilakukan sebelum fajar (subuh) bagi mereka yang berpuasa walaupun dengan seteguk air atau sebiji kurma kerana ia memberikan keberkatan dan kekuatan sepanjang hari puasa.

4.  Umat Islam yang berpuasa dengan niat ikhlas kerana Allah akan mendapat ganjaran pahala yang melimpah-limpah di akhirat dan beroleh berbagai-bagai pertolongan di dunia lagi.

5.  Antara fadhilat atau kelebihan bersahur bagi yang berpuasa:

a. Memberi tenaga sepanjang hari berpuasa
b. Mendapat keberkatan dan kelebihan
c. Membezakan puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab.

6.  Dalam berpuasa, kita diajar untuk mengikuti sunnah Rasulullah SAW dalam segala aspek, termasuk dalam amalan sahur. Dengan menjaga amalan ini, kita bukan hanya mengikuti petunjuk Rasulullah, tetapi juga meraih pahala yang besar dari Allah.


Thursday, March 6, 2025

Memasuki Syurga Menerusi Pintu Ibadat

Khamis, 5 Ramadhan 1446H  |   Memasuki Syurga Menerusi Pintu Ibadat

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلَاةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلَاةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَى مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ كُلِّهَا قَالَ نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang menginfaqkan dua jenis (berpasangan) dari hartanya di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga; (lalu dikatakan kepadanya): "Wahai hamba Allah, inilah kebaikan (dari apa yang kamu amalkan). Maka barangsiapa dari kalangan ahli solat dia akan dipanggil dari pintu solat dan barangsiapa dari kalangan ahli jihad dia akan dipanggil dari pintu jihad dan barangsiapa dari kalangan ahli puasa dia akan dipanggil dari pintu ar-Rayyan dan barangsiapa dari kalangan ahli sedekah dia akan dipanggil dari pintu sedekah". Lantas Abu Bakar Ash-Shidiq radliallahu 'anhu bertanya: "Ya Rasulullah, Demi bapa dan ibuku, jika seseorang dipanggil diantara pintu-pintu yang ada, itu sebuah kepastian, namun apakah mungkin seseorang akan dipanggil dari semua pintu?". Rasulullah menjawab: "Benar, dan aku berharap kamu termasuk diantara mereka". (HR Bukhari No: 1764). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ramadan bulan infak. Orang yang menginfak sepasang daripada hartanya di jalan Allah (banyak atau berterusan), dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga. Ibnu Hajar menyatakan, orang yang menginfaq dua barang dari harta apapun yang berasal dari jenis yang sama, akan dipanggil masuk syurga dari pintu infaq.  .

2.  Amalan fardu seperti solat, jihad, puasa, zakat dan haji yang dilakukan  semasa di dunia, akan menyediakan  daripada ibadat tersebut, antara pintu-pintu ke syurga.

3.  Mereka yang ahli solat, ahli jihad, juga ahli sedekah, akan dipanggil menerusi pintu-pintu di syurga antaranya pintu solat, pintu jihad dan pintu sedekah untuk masuk ke syurga.

4.  Ahli puasa akan dipanggil dari pintu syurga yang bernama ar-Rayyan

5.  Hadis ini mengajarkan kita untuk tidak hanya fokus pada satu jenis ibadah. Sebaliknya, kita harus berusaha menjadi orang yang mampu melaksanakan berbagai jenis ibadah, sehingga kita berpeluang untuk dipanggil dari banyak pintu syurga.

Berusahalah menyempurnakan pelbagai ibadat SOLAT, JIHAD, SEDEKAH dan PUASA. Semoga ia menjadi antara pintu-pintu Syurga buat kita di akhirat nanti.


Wednesday, March 5, 2025

Ar-Rayyan Pintu Khas Syurga Untuk Orang Berpuasa

Rabu, 4 Ramadhan 1446H  |  Ar-Rayyan Pintu Khas Syurga Untuk Orang Berpuasa

عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

Daripada Sahl RA, Nabi SAW telah bersabda: "Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan Ar-Rayyan, yang pada hari Kiamat tidak akan ada orang yang masuk ke syurga melewati pintu itu kecuali orang-orang yang berpuasa. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Lalu dikatakan kepada mereka; Mana orang yang berpuasa?, maka orang yang berpuasa berdiri menghadap. Tidak akan ada seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada lagi seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut". (HR Bukhari No: 1896) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.

2.  Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa.

3.  Pintu tersebut dinamakan “Ar-Rayyan” yang berasal dari kalimah “Array” dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama. Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila  memasukinya akan hilanglah segala kehausannya selama-lamanya sebagaimana apabila kita sesat di padang pasir yang panas dalam keadaan kehausan dan apabila disebutkan air maka akan terasa kehausan itu semakin berkurangan walaupun sebenarnya kita belum meminumnya lagi. Bayangkanlah apabila kita dapat menikmati air tersebut tatkala kehausan. Betapakah nikmatnya tidak dapat diperkatakan.

4.  Al-Rayyan membawa maksud: Orang yang tidak merasa dahaga. Ia kalimah atau sifat yang sangat sesuai kepada orang yang berpuasa.

5.  Berkata Mulla al-Qari: “Maksud al-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat.”

6.  Syurga itu indah dan terlalu mahal harganya. Sudah pasti untuk memasukinya memerlukan rahmat Allah SWT yang Maha Luas. Di bulan Ramadhan ini, rahmat Allah SWT mencurah-curah untuk hamba-Nya yang berpuasa dan sudah disediakan kepada orang yang berpuasa satu pintu untuk memasukinya. Orang yang berpuasa Ramadan, pada hari kiamat akan memasukki syurga melalui pintu Ar-Rayyan (pintu yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa).

Ayuh kita laksanakan ibadah puasa dengah sungguh-sungguh, semoga kita menjadi salah seorang yang akan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan.


Tuesday, March 4, 2025

Menghidupkan Malam Ramadan Menjadi Penghapus Dosa

Selasa, 3 Ramadhan 1446H  | Menghidupkan Malam Ramadan Menjadi Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mendirikan Ramadhan – di malam hari (menghidupkan Ramadan dengan puasa disiang hari, solat sunat, tilawah, iktikaf, zikir dan lain-lain)  kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu" (HR Bukhari No: 36) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mendirikan Ramadan atas dasar iman bermaksud menghidupkan Ramadan dengan puasa disiang hari, dimalam hari solat sunat tarawih, solat witir, solat tahajud, tilawah al-Quran, iktikaf, berdoa, berwirid dan lain-lain amal solleh kerana meyakini akan amalan sunnah.

2.  Ihtisab membawa maksud mengharap pahala semata-mata dari Allah SWT. Tidak merasa berat melaksanakan ibadah. Tidak dilakukan atas dasar riya’, mencari pujian atau hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

3.  Semoga ibadat puasa di siang hari, qiam di malam hari sama ada untuk solat sunat, tilawah, zikir, doa, iktikaf mahupun bangun sahur, akan menjadi sebahagian daripada elemen menghapuskan dosa-dosa yang lalu

4.  Antara ibadat di malam hari di bulan Ramadan ialah solat sunat Tarawikh. Orang yang solat sunat bersama imam hingga selesai solat, dituliskan baginya seolah-olah ia bersolat sepanjang malam. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ ..... فَقَالَ إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ ...

Daripada Abu Zar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 'Barangsiapa yang berdiri bersama imam (solat sunat malam), hingga selesai (hingga imam beredar) dituliskan baginya ganjaran pahala orang yang qiam sepanjang malam.'  (HR Tirmizi No: 734) Status: Hasan Sahih

Ayuh, pastikan kita menghidupkan malam Ramadan dengan dapat bersama solat tarawikh di masjid atau surau bersama imam hingga selesai kerana ganjarannya ditulis pahala seperti ia qiam sepanjang malam. Rugilah kita yang balik awal dari masjid atau tidak menunggu sehingga selesai sedangkan imam masih bersolat.



Monday, March 3, 2025

Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa Setahun Yang Lalu

Isnin, 2 Ramadan 1446H  |  Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa Setahun Yang Lalu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu". (HR Bukhari No: 37) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berpuasa  atas dasar iman ialah melaksanakan ibadat puasa  dengan meyakini akan kewajipan melaksanakan ibadat puasa kerana perintah Allah.

2.  Ihtisab adalah melakukan ibadat puasa dengan ikhlas, menyempurnakan ibadat puasa dengan memelihara perkara yang boleh merosakkan puasa dan hanya mengharap pahala dari Allah. Tidak merasa berat melaksanakannya dan tidak hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

3.  Puasa yang dilakukan atas dasar keimanan dan penuh keikhlasan akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu (dosa kecil). Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ مَا اجْتُنِبَتْ الْكَبَائِرُ

Daripada Abi Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Solat lima waktu yang didirikan, satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar". (HR. Ahmad No: 8830) Status Sahih

4. Hadis ini menekankan bahawa ibadah puasa tidak hanya melibatkan tindakan fizikal (iaitu menahan diri daripada makan dan minum), tetapi yang lebih penting adalah niat yang ikhlas dan tawakal kepada Allah. Puasa harus dilakukan dengan keyakinan iman, bukan sekadar sebagai kebiasaan atau terpaksa. Niat yang ikhlas kepada Allah akan membawa keberkatan dan ganjaran yang lebih besar.

Semoga ibadat Puasa yang dilaksanakan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu dan menjadikan kita hamba yang bertaqwa di sisi Allah.


Sunday, March 2, 2025

Makan dan Minum Ketika Berpuasa Kerana Terlupa

Ahad, 1 Ramadhan 1446H  |   Makan dan Minum Ketika Berpuasa Kerana Terlupa

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ

Daripada Nabi SAW bersabda: "Jika seseorang lupa lalu dia makan dan minum (ketika sedang berpuasa) maka hendaklah dia meneruskan puasanya kerana hal itu bererti Allah telah memberinya makan dan minum" (HR Bukhari No: 1797) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang terlupa lalu dia makan atau minum di siang hari ketika berpuasa, puasanya tetap sah dan dia perlu memberhentikan pengambilan makanan atau minuman segera.

2.  Orang yang terlupa tadi hendaklah meneruskan ibadat puasanya seperti biasa. Puasanya tidak perlu dibatalkan kerana perbuatan makan atau minum itu berlaku disebabkan oleh kelalaian atau lupa.

3.  Hadis ini memberikan penjelasan bahawa jika seseorang lupa, puasanya tidak batal dan mereka tidak perlu menggantikannya atau mengqadha puasa tersebut. Hal ini menenangkan hati mereka yang khawatir akan hal tersebut.

4.  Bagi orang yang terlupa, makanan dan minuman yang telah masuk ke dalam perutnya menunjukkan bahawa perbuatan makan atau minum yang berlaku akibat kelupaan bukan disebabkan oleh keinginan atau niat untuk melanggar puasa, tetapi ia merupakan suatu pemberian daripada Allah. 

5.  Hadis ini mencerminkan kasih sayang Allah yang besar terhadap hamba-Nya. Allah tidak membebani kita dengan kesulitan yang tidak mampu ditanggung. Jika seseorang berpuasa dan secara tidak sengaja melanggar puasanya akibat lupa, Allah tidak menghukum, tetapi memberikan kemudahan dan peluang untuk meneruskan puasa.


Saturday, March 1, 2025

Ibadah Puasa dan Anugerah

Sabtu, 30 Syaaban 1446H  |  Ibadah Puasa dan Anugerah

عَنْ أَبِي صَالِحٍ الزَّيَّاتِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ فَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَسْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ بِفِطْرِهِ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ

Daripada Abu Shalih Az Zayyat bahawa ia mendengar Abu Hurairah radliallahu 'anhu berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Allah 'azza wajalla telah berfirman; 'Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah bagi-Ku, dan Akulah yang akan memberinya pahala. Puasa itu adalah perisai. Apabila kamu berpuasa, maka janganlah kamu rosakkan puasamu dengan rafats, dan jangan pula menghina orang. Apabila kamu dihina orang atau pun diserang, maka katakanlah, 'Sesungguhnya saya sedang berpuasa.' Demi Allah, yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kesturi. Dan bagi mereka yang berpuasa ada dua kebahagiaan. Ia merasa gembira ketika berbuka lantaran puasanya, dan gembira ketika berjumpa dengan Rabbnya juga kerana puasanya." (HR Muslim No:  1944) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap amalan yang dilakukan oleh anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah untuk Allah dan hanya Allah yang akan memberi ganjaran pahalanya.

2.  Puasa itu adalah perisai atau pendinding seseorang dari melakukan perbuatan buruk, dosa, dan godaan nafsu. Puasa bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga menahan diri daripada segala perbuatan yang boleh merosakkan pahala puasa.

3.  Bagi orang yang berpuasa, mereka perlu menjaga puasanya dari dirosakkan dengan sebab rafats (perhubungan suami isteri di siang hari) termasuk perbuatan dan perkataan yang kasar, kotor, lucah dan buruk serta hina, sama ada yang diucapkan, ditulis serta ditularkan.

4.  Orang yang berpuasa, jika dihina, dimarah ataupun diserang, maka hendaklah ia bersabar dan katakanlah: Sesungguhnya saya sedang berpuasa.

5.  Bagi orang yang berpuasa, mulutnya mungkin akan berbau yang kurang enak, namun bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kasturi.

6.  Untuk orang yang berpuasa, mereka akan dikurniakan dengan dua kebahagiaan:

a.  Gembira ketika berbuka puasa
b.  Gembira ketika berjumpa dengan Allah dihari akhirat kerana ibadat puasa yang dilaksanakan dengan Ikhlas akan menjadi syafaat untuknya pada hari kiamat.
 
Bangunkan Jiwa Taqwa. Ahlan Ya Ramadan. Semoga  Ramadan tahun ini lebih baik untuk kita dengan kualiti dan kuantiti amal yang bertambah bagi mengapai Taqwa. Ramadan Aku Kembali Mendamba Redha Ilahi. Andaikan  Ramadan Tahun Ini Terakhir Buat Kita.