Sabda Nabi s.a.w. maksudnya: "Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah,
sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ianya pada hari akhirat nanti adalah
kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan
menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." ( Riwayat
Muslim dalam Sahihnya, kitab al-Imarah..)
Dalam riwayat al-Imam Muslim yang lain : Daripada Abu Zar, bahawa Rasulullah
S.A.W bersabda: "Wahai Abu
Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka
untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke
atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim.
Dalam hadith ini Rasulullah SAW tidak memberikan jawatan sekalipun kepada Abu
Zar, seorang sahabat yang sangat dikasihi baginda, apabila dilihat ciri-ciri
kelayak tidak wujud sepenuh. Abu Zar adalah seorang sahabi yang soleh lagi
warak dan zuhud. Namun begitu, amanah jawatan dan politik berhajat ciri-ciri
yang yang lebih dari itu, yang bukan semua individu memilikinya. Justeru itu
tidak semua sahabah layak mengendalikan urusan siyasah atau politik seperti
al-Khulafa ar-Rasyidun. Demikian juga bukan semua mereka kuat agama boleh
mengendalikan urusan politik.
Hadith ini juga menjelaskan besarnya
tanggungjawab kepimpinan dan pengurusan di dalam Islam dan bukan sebarangan
individu yang benar-benar mampu memikulnya. Justeru itu memberikannya kepada
seseorang yang tidak memiliki keahlian atau kelayakan adalah punca kerosakan
masyarakat dan umat. Kerosakan sistem masyarakat menatijahkan kerosakan
individu keseluruhannya. Nabi SAW sering memberi amaran tentang kemusnahan
hidup apabila amanah dikhianati.
Sabda Nabi SAW Maksudnya:
"Daripada Abu Hurairah dia berkata: “Ketika Nabi SAW di dalam suatu
majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badawi lalu
bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah SAW meneruskan
ucapannya. Ada
yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi baginda tidak suka
apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan baginda
tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, baginda bertanya:
"Manakah orang yang menyoal". Jawab (badawi tersebut): "Saya di
sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah
maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah
menghilangkan amanah itu". Sabda baginda: "Apabila diserahkan urusan
kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat". ( Riwayat al-Bukhari.)
Firman Allah (maksudnya) :"Sesungguhnya
Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan
apabila kamu berhukum di kalangan manusia hendaklah kamu berhukum dengana
`adil." ( Surah
an-Nisa': ayat 58)
Kata al-Imam al-Qurtubi : "Ayat ini adalah pusat segala hukum-hakam yang
mengandungi seluruh isi agama dan syara'." Katanya juga: "Yang sebenarnya ayat ini adalah umum untuk semua
manusia, ianya menyentuh para pemerintah mengenai amanah yang mereka tanggung
dalam membahagikan harta-harta, menolak segala kezaliman dan adil dalam
pemerintahan. Demikian juga, ayat ini juga menyentuh golongan yang selain
mereka.." (Al-Jami` li Ahkam al-Quran, 5/256, cetakan Dar
al-Fikr, Beirut ).
Itulah titah perintah Allah, agar posisi penting di dalam kepimpinan umat hanya
diberikan kepada yang benar-benar layak menyendalikannya sehingga tidak
berlakunya kepincangan, kecacatan dan kezaliman. Persoalan amanah merangkumi
setiap aspek hidup, terutamanya persoalan kenegaraan. Termasuk dalam rangkaian
amanah persoalan pentadbiran rumahtangga, pejabat, kampung, sekolah dan
seumpamanya. Namun huraian para ulama banyak tertumpu kepada persoalan sistem
politik dan negara kerana natijah kerosakan adalah besar jika amanah
mengenainya diabaikan. Sekiranya pemimpin yang dipilih berkelayakan maka
sejahteralah seluruh rangkaian di bawahnya. Sekiranya cacat maka cacatlah
seluruh rangkaian dibawahnya.
Di atas nama amanah maka seseorang dituntut membuat pemilihan dan perlantikan
yang tepat dengan tuntutan jawatan yang ada. Sekiranya tidak, maka dia dianggap
pengkhianat. Apakah ciri-ciri yang jika seseorang melandasinya maka dia tidak
dianggap khianat dalam perlantikan?
Ciri-ciri pemimpin yang perlu di pilih:
Ciri-ciri pemimpin yang perlu di pilih:
Secara umumnya pemilihan yang bertanggungjawab berteraskan dua ciri asas yang
mesti ada pada tokoh yang bakal dipilih iaitu ciri al-Quwwah dan al-Amanah.
Maka tugasan yang diberikan kepada seseorang wajar
dilihat pada dua ciri utama yang disebut di dalam nas di atas. Ini seperti yang
dihuraikan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam as-Siyasah
asy-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar-Ra`iyyah iaitu:
Pertama: Al-Quwwah iaitu kekuatan, kemampuan dan kemahiran menjalankan
tugas. Ciri-ciri al-Quwwah atau kemampuan merujuk bidang
tugas yang diberikan. Contohnya, jika jawatan berkenaan berkaitan ekonomi
konsep al-Quwwah merujuk kepada kemahirannya dalam pengurusan ekonomi. Bagi
bidang kehakiman maka al-Quwwah merujuk kepada pengetahuan dalam persoalan
hukum-hakam. Dalam bidang ketenteraan merujuk kepada persoalan kepakaran medan
perang, semangat juang dan keberanian.
Kedua: Al-Amanah iaitu bersikap amanah atau bertanggungjawab. Ini
merujuk kepada tiga perkara utama iaitu: Takutkan Allah, Tidak menjual
ayat-ayat Allah dengan harga yang murah untuk mendapat habuan dunia dan tidak
takutkan manusia.
Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: "Hendak dipastikan orang yang terbaik bagi setiap
jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah
dan al-Amanah.
Ini seperti yang Allah firmankan:
(maksudnya) "Sesungguhnya
orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi
amanah." ( Surah al-Qasas ayat: 26)
Firman Allah dalam menyifatkan Jibril: (maksudnya) "Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah
yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril). Yang mempunyai kekuatan, yang
mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai `arsy. Yang
ditaati (di alam malaikat) lagi dipercayai) . ( Surah
al-Takwir ayat 19-21)
Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah lagi:
"Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya.
al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman
dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya
dan kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. ...
al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu
mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan
kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan
takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak
takutkan manusia.
Inilah tiga ciri yang ditetapkan Allah bagi setiap
yang memerintah manusia, firman Allah: (maksudnya): "Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi)
takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Barang
siap yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah
orang-orang kafir” ( Surah al-Maidah: ayat 44 )..
Oleh itu sesiapa yang melantik atau memilih seseorang
bagi mengendalikan sesuatu urusan yang berkait dengan umat tanpa diteliti
persoalan al-Quwwah dan al-Amanah atau persoalan kemampuan dan amanah bererti
telah menyerahkan urusan bukan kepada ahlinya. Perbuatan itu mengundang
kemurkaan Allah.
Di mana pun jawatan yang dipegang , sama ada pemimpin
negara di peringkat negara atau negeri atau apa sahaja, maka setiap tugasan
yang bakal diserahkan kepadanya berpandukan konsep al-Quwwah iaitu kemampuan
untuk melaksanakan dan al-Amanah iaitu perasaan takutkan Allah dari melakukan
pengkhianatan atau kecuaian. Sekiranya dua perkara ini dipastikan, maka sudah
tentu tanggungjawab kepimpinan tidak akan dicemari, kekusutan masyarakat tidak
akan timbul.
Kadangkala kita mungkin bertembung dengan satu masalah iaitu ketandusan tokoh
untuk sesuatu jawatan melainkan dua orang atau jenis kelompok sahaja, seorang
atau satunya daripadanya memiliki al-Quwwah atau kekuatan dan kemampuan tetapi
kurang amanah, sementara seorang lagi satu kelopok lagi memiliki ciri amanah
iaitu solih dan bertanggungjawab tetapi lemah atau tidak berkemampuan, siapakah
yang patut dipilih?
Dalam hal ini maka para `ulama al-siyasah al-syar`iyyah menyatakan pemilihan
dalam keadaan sebegini hendaklah dilihat kepada jenis atau keadaan jawatan yang
hendak diserahkan, kemudian menilai siapakah yang paling boleh memberi manfaat
dan paling kurang mudharatnya apabila menduduki jawatan tersebut. Sekiranya
jawatan berkenaan berteraskan kepada kekuatan seperti medan peperangan maka hendaklah didahulukan
yang memiliki kekuatan dan keberanian walaupun kurang solih ataupun tidak baik
peribadinya. Sekiranya jawatan berhajat kepada amanah yang lebih seperti
mengendalikan kewangan maka hendaklah didahulukan yang amanah walaupun ada
kelemahan dalam pengurusannya.
Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: [i]"Apabila dua orang lelaki, salah
seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah
didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang
mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, lelaki
yang kuat dan berani walaupun padanya ada kejahatan diutamakan dari lelaki yang
lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.
Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad:
Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat
tetapi jahat dan seorang lagi solih tetapi lemah, siapakah yang layak
berperang? Jawab al-Imam Ahmad: "Yang kuat dan jahat, kekuatan untuk kepentingan orang
Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri adapun yang solih tetapi lemah maka
kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam"
Oleh itu usaha untuk memilih pemimpin yang memiliki dengan sempurna kedua-dua ciri ini
adalah tanggungjawab besar umat agar terpeliharanya kita daripada golongan yang
khianat dan merosakkan masyarakat. Perlu disedari, apa ertinya jika generasi
pakar teknologi atau ilmu-ilmu lain yang tanpa amanah atau dalam kata lain
tiada perasaan takutkan Allah yang akan menyebabkan mereka
menggunakan kepintaran dan kecekapan untuk merosakkan tanggungjawab, melanggar
hukum-hakam Allah sekaligus merosakkan umat. Pun begitu kita juga tidak mahu
menyerahkan tugasan kepimpinan umat kepada suatu kelompok manusia yang baik,
salih atau pandai agama tetapi jahil tentang selok belok pentadbiran dan
perlaksanaannya sehingga mudah ditipu oleh golongan musuh dan pengkhianat yang
menyebabkan kelemahan dan kelembapan perjalanan urusan umat. Maka menjadi
tanggungjawab umat mencari pemimpin yang solih lagi takutkan Allah dengan
melaksanakan seluruh arahan dan meninggalkan seluruh tegahanNya di samping
pakar dan cekap dalam mengendalikan pentakbiran dan urusan.