Thursday, October 31, 2024

Pahala Berterusan Walaupun Sakit dan Musafir

Khamis, 28 Rabiul Akhir 1446H   |  Pahala Berterusan Walaupun Sakit dan Musafir

أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى وَاصْطَحَبَ هُوَ وَيَزِيدُ بْنُ أَبِي كَبْشَةَ فِي سَفَرٍ وَكَانَ يَزِيدُ يَصُومُ فَقَالَ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ سَمِعْتُ أَبَا مُوسَى مِرَارًا يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Abu Burdah bin Abu Musa bahwa ia menemani Yazid bin Abu Kasyabah dalam suatu perjalanan, dan pada waktu itu Yazid sedang berpuasa. Abu Burdah berkata kepadanya; Saya berkali-kali mendengar Abu Musa berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seorang hamba sakit atau dalam menempuh perjalanan, maka dicatat baginya pahala kebaikan sebagaimana ketika ia bermukim dan dalam keadaan sihat." (HR Bukhari No: 2774) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Laksanakan amal ibadah setiap masa khususnya ketika  kita sihat dan bermukim

2.  Orang yang sakit, walaupun tidak dapat mengerjakan amal solleh seperti mana ketika dia sihat, dia akan tetap mendapat ganjaran pahala jika semasa dia sihat, dia melaksanakan amal tersebut. (contohnya semasa dia sihat, setiap magrib dia ke masjid dan mendengar kuliah – waktu dia sakit, tidak dapat menghadirinya – Malaikat tetap mencatat ganjaran pahala seolah-olah dia hadir)

3.  Allah juga memberi ganjaran yang sama kepada orang yang bermusafir. Contohnya  amalan puasa sunat yang dilakukan semasa tidak bermusafir. Ketika dia bermusafir, dia tidak berpuasa. Dia turut mendapat pahala puasa tersebut.

Marilah kita laksanakan amal solleh semasa kita sihat dan tidak kemana-mana. Moga Allah memberikan ganjaran yang sama walaupun kita tidak dapat laksanakan semasa kita sakit dan bermusafir


Wednesday, October 30, 2024

Bertawakal Umpama Burung

Rabu, 27 Rabiul Akhir 1446H  |  Bertawakal Umpama Burung

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا يُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا

Daripada Umar bin Al-Khaththab RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Jika sekiranya kamu bersungguh-sungguh bertawakal kepada Allah, nescaya Allah memberi rezeki kepada kamu seperti rezeki seekor burung yang keluar di waktu pagi dengan perut kosong dan pulang di waktu petang dengan perut terisi penuh kenyang." (HR Tirmidzi No: 2266) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim diperintahkan agar bertawakal iaitu menyerahkan segala urusan kepada Allah dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu selepas usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh.

2.  Bertawakal dengan menyerahkan semata-mata kepada Allah tanpa usaha dan ikhtiar adalah menyalahi pengajaran daripada hadis ini.

3.  Jadilah seperti burung yang keluar pada waktu pagi dalam keadaan perutnya kosong namun berusaha mencari makanan dan akan pulang pada waktu petang dalam keadaan perut yang penuh dengan makanan.

4.  Muslim yang berusaha mencari rezeki dan bertawakal bersungguh-sungguh, nescaya dia tetap akan memperoleh rezeki seperti burung.

5.  Muslim tidak boleh menganggur dan berpeluk tubuh tanpa usaha dan ikhtiar. Contohilah burung yang keluar dari sarang mencari makanan kerana rezeki itu mengikut sebab dan musabab.

6.  Tawakal akan menimbulkan ketenangan jiwa dan ketenteraman dalam menghadapi sebarang perkara. Bertawakal dengan penuh yakin bahawa kejayaan dan kegagalan bukanlah hak mutlak manusia.


Tuesday, October 29, 2024

Bersifat Jujur dan Jauhi Dusta

Selasa, 26 Rabiul Akhir 1446H  |  Bersifat Jujur dan Jauhi Dusta

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Daripada Abdullah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur hingga ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan menghantar kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan mengiringi ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta." (HR Bukhari No: 5629) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap Muslim dituntut memiliki sifat kejujuran dalam setiap amal dan perbuatan.

2. Orang yang jujur akan sentiasa melakukan kebaikan dan amal soleh.

3. Sifat jujur yang dimiliki secara berterusan akan menjadi tabiat kebiasaan yang akhirnya membentuk akhlak kepada seseorang

4. Sifat jujur akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang Muslim di dunia menjadi orang yang soleh dan menuju ke syurga.

5. Sifat dusta dan berbohong yang dimiliki akan mendorong seseorang kepada kejahatan.

6. Sifat dusta dan bohong yang menjadi kebiasaan secara berterusan kepada seseorang, akhirnya akan membentuk tabiat dan akhlak yang buruk.

7. Sifat dusta akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang ke neraka. Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ

Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepda orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta (Mukmin: 28).


Monday, October 28, 2024

Mukmin Yang Menakjubkan

Isnin, 25 Rabiul Akhir 1446H  |  Mukmin Yang Menakjubkan

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :﴿عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ﴾

Daripada Abdurrahman bin Abi Ya’la dari Shuhaib RA, dia berkata telah bersabda Rasulullah SAW: ”Sungguh menakjubkan kepada orang yang beriman, kerana segala urusannya adalah baik baginya. Hal yang demikian itu tidak akan terdapat kecuali hanya pada orang mukmin; yaitu jika ia mendapatkan kebaikan, ia bersyukur, kerana (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan kebaikan untuknya. Jika ia tertimpa musibah, ia bersabar, kerana (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan kebaikan baginya.” (HR Muslim No: 5318) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Mukmin yang sempurna keimanannya akan sentiasa mendapat kebaikan dalam urusannya kerana dia sentiasa bersyukur. Manakala apabila ditimpa kesusahan dia bersabar dengan ujian tersebut kerana dengan kesabaran itu dapat menaikkan kedudukannya serta dianugerahkan pahala tanpa batasan daripada Allah SWT.

2.  Seseorang yang tidak beriman akan ditimpa musibah kerana hatinya sentiasa keluh kesah, jiwa yang selalu meronta dan terseksa. Hati sentiasa dipenuhi perasaan hasad dengki, kemarahan dan memberontak. Tidak redha walaupun telah banyak diberikan pelbagai nikmat kerana dia tidak bersabar di atas musibah tersebut.

3.  Pentingnya sifat syukur apabila seseorang mendapat kebaikan dan bersabar apabila ditimpa musibah kerana ianya menjadikan seseorang itu sebenar-benar Mukmin tetapi amatlah sedikit dalam kalangan hamba yang diberikan  dua sifat ini. Justeru, taufik dan hidayah Allah SWT amat diperlukan untuk meraih anugerah ini kerana sifat syukur dan sabar itu adalah sebaik-baik nikmat.

4.  Seseorang yang tidak beriman, apabila ditimpa musibah, hatinya sentiasa keluh kesah, jiwanya selalu meronta dan terseksa. Hatinya sentiasa dipenuhi perasaan hasad dengki, kemarahan dan tidak berpuas hati.

Ayuh kita usahakan agar menjadi mukmin yang menakjubkan dengan memiliki sifat SYUKUR dan SABAR dalam hidup ini.


Sunday, October 27, 2024

Taubat

Ahad, 23 Rabiul Akhir 1446H  |  Taubat

عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَبْسُطُ يَدَهُ بِاللَّيْلِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ النَّهَارِ وَيَبْسُطُ يَدَهُ بِالنَّهَارِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ اللَّيْلِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا

Daripada Abu Musa al-Asy'ari RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah 'Azzawajalla 'menghulurkan tangannya' (bersedia menerima taubat) pada waktu malam supaya orang yang melakukan kejahatan pada waktu siang bertaubat; dan Allah 'menghulurkan tangannya' (bersedia menerima taubat) pada waktu siang supaya orang yang melakukan kejahatan pada waktu malam bertaubat; sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat (berlaku kiamat)." (HR Muslim no: 2759) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Luasnya rahmat Allah dalam menerima taubat hambaNya.

2.  Allah SWT dengan rahmatNya sentiasa menerima taubat hambaNya yang melakukan kesalahan kemudian bertaubat selagi nyawa belum sampai ke halkum. Firman Allah:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ . أُولَئِكَ جَزَاؤُهُمْ مَغْفِرَةٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Ali Imran ayat:135-136)

3.  Allah mengampunkan semua dosa kecuali syirik.

4.  Jadilah kita orang yang sentiasa memohon keampunan sepanjang masa.


Saturday, October 26, 2024

Amalan Hati

Sabtu, 23 Rabiul Akhir 1446H  | Amalan Hati

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ : إِنَّ اللهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَ أَمْوَالِكُمْ وَ لَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوْبِكُمْ وَ أَعْمَالِكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata: Nabi SAW telah bersabda: ”Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kalian, juga tidak kepada harta kalian, akan tetapi Allah melihat kepada hati dan amal kalian”. (HR Muslim No: 2564). Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ganjaran pahala  di atas setiap amalan adalah bergantung kepada hati yang benar-benar ikhlas dan niat yang benar

2.  Penting setiap Muslim untuk menjaga niat dalam melakukan setiap amal agar hati sentiasa benar dan bersih daripada sifat-sifat mazmumah serta membuahkan sifat taqwa kepada Allah SWT

3.  Kepentingan menjaga amalan hati terlebih mendahului daripada amalan yang dilakukan oleh anggota badan kerana hanya amalan yang  dilakukan dengan ikhlas akan diterima dalam setiap amalan yang disyariat.

4. Allah tidak mengukur kepada rupa seseorang juga harta yang dimiliki atau yang dikeluarkan, namun ia bergantung pada amal dan keikhlasan.


Friday, October 25, 2024

Pahala Meneroka Kebiasaan Baik

Jumaat, 22 Rabiul Akhir 1446H  |    Pahala Meneroka Kebiasaan Baik

عَنْ جَرِيْرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ قَالَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

“Dari Jarir bin Abdullah dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa mengadakan kebiasaan yang baik dalam Islam, lalu kebiasaan baik tersebut diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka akan dicatat untuknya pahala sebanyak yang diperoleh oleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikit pun pahala yang mereka peroleh. Sebaliknya, barang siapa mengadakan kebiasaan yang buruk dalam Islam, lalu kebiasaan buruk tersebut diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa yang mereka peroleh sedikit pun.” (HR Muslim No 4830). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Muslim yang memulakan sesuatu kebiasaan yang baik atau ilmu serta penghasilan baru yang bermanfaat dan diikuti oleh orang lain, dia akan mendapat ganjaran pahala sebanyak orang yang mencontohinya.

2.  Elakkan dari memulakan sesuatu yang buruk dan jahat kerana dibimbangi akan diikuti oleh orang lain dan kita turut akan mendapat ganjaran dosa.

3.  Contohkan sesuatu yang baik dan boleh diikuti oleh orang lain untuk kita memperolehi ganjaran pahala daripada setiap yang mencontohi secara bersambungan dan berterusan. Antaranya melalui penulisan, produk, amalan yang baik (tidak bercangah dengan syarak) dan bermanfaat.

4.  Pahala orang yang mengikut kebiasaan baik tidak akan berkurangan dengan sebab pahala yang diperoleh oleh orang yang memulakan.

JOM kita mulakan sesuatu amalan atau kebiasaan yang baik agar ia diikuti oleh orang lain untuk kita mendapat ganjaran berterusan sebanyak bilangan orang yang mengikuti.


Thursday, October 24, 2024

Bersyukur Atas Nikmat

Khamis, 21 Rabiul Akhir 1446H  |  Bersyukur Atas Nikmat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ.

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan bentuk tubuh, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.” (HR Bukhari No: 6490). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Allah SWT telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Allah SWT juga memberikan kepada setiap hamba akan kelebihan dan kekurangan dalam sesuatu perkara sebagai ujian. Menerusi ujian tersebut Allah SWT akan menilai hakikat keimanan seseorang hamba, adakah dia benar-benar bersyukur dengan kelebihan atau bersabar di atas kekurangan yang diberikan.

2.Seorang yang benar-benar beriman akan memiliki hati yang sentiasa mengekalkan sifat syukur diatas segala nikmat dan rezeki yang dimiliki. Dia akan sentiasa menjauhi sifat hasad dengki terhadap nikmat yang diperoleh orang lain serta mengurangkan kerisauan hati daripada mengejar harta duniawi. Syukur dan sabar dengan ujian dan godaan duniawi seperti kemiskinan dan musibah boleh diperoleh secara memandang kepada orang lain yang lebih daif atau yang lebih rendah daripadanya.

3.Memandang kepada seseorang yang memiliki kelebihan harta dan tubuh badan akan menyebabkan bertambah keinginan atau kerunsingan yang membawa kepada kedengkian dan mengikis sifat syukur. Adapun jika memandang kepada seseorang yang kurang daripadanya, maka ia akan menjadikan seseorang itu lebih bersyukur, bertambah ketenangan dan merasa cukup dengan pemberian Allah SWT.

4. Seringlah memandang orang yang lebih rendah atau kurang daripada kita agar kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita miliki. Namun dalam perkara yang berhubung dengan akhlak, ilmu dan ibadah maka lihatlah orang  yang lebih baik sebagai ikutan kita.


Wednesday, October 23, 2024

Miliki Sifat Santun dan Malu

Rabu, 20 Rabiul Akhir 1446H  |    Miliki Sifat Santun dan Malu

حَدَّثَنَا يُونُسُ قَالَ زَعَمَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ أَشَجُّ بْنُ عَصَرٍ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ فِيكَ خُلَّتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ قُلْتُ مَا هُمَا قَالَ الْحِلْمُ وَالْحَيَاءُ قُلْتُ أَقَدِيمًا كَانَ فِيَّ أَمْ حَدِيثًا قَالَ بَلْ قَدِيمًا قُلْتُ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَبَلَنِي عَلَى خُلَّتَيْنِ يُحِبُّهُمَا

Telah menceritakan kepada kami Yunus ia berkata, Abdurrahman bin Ubay berkata, Asyajj bin Ashr berkata, "Rasulullah SAW bersabda kepadaku: "Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua sifat yang keduanya dicintai oleh Allah 'azza wajalla." Saya bertanya, "Sifat apakah itu?" baginda menjawab, "Al Hilm (santun, tidak mudah marah) dan rasa malu." Saya bertanya lagi, "Apakah kedua sifat itu telah ada padaku sejak lama atau baru melekat?" baginda menjawab: "Sejak lama." Saya berkata, "Segala puji Allah yang telah memberiku dua sifat yang dicintai-Nya." (Musnad Ahmad No: 17160) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dua sifat yang dicintai Allah kepada pemiliknya:

a.  Al-Hilm iaitu sifat santun, mampu menahan emosi atau tidak mudah marah
b.  Malu iaitu sifat yang mendorong seseorang untuk meninggalkan segala keburukan sama ada  perkataan, perbuatan dan sikap yang dapat mencegah dirinya dari kelalaian.

2.  Antara bentuk malu:

a.  Malu melakukan kejahatan seperti mengadu domba
b.  Malu kerana merasa lemah
c.  Malu kepada diri sendiri

3.  Malu itu punca dari iman. Hadis Rasulullah SAW:

اَلحَيَاءُ والإِيمَانِ قُرَنَاءُجَمِيعًا  فَإِذَا رَفَعَ أَحَدَهُمَارَفَعَ الآخَرَ

Rasa malu dan iman adalah sama, apabila salah satu daripadanya hilang, maka yang lain akan hilang juga (HR al-Hakim dan Tabrani)

4.  Milikilah iman yang sempurna dengan sifat malu untuk berbuat dosa seperti dosa mengadu domba dan membuat fitnah.

5. Marilah kita miliki sifat hilm mampu menahan emosi atau tidak mudah marah dan malu yang dicintai Allah.


Tuesday, October 22, 2024

Sifat Santun dan Berhati-hati

Selasa, 19 Rabiul Akhir 1446H  | Sifat Santun dan Berhati-hati

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِأَشَجِّ عَبْدِ الْقَيْسِ إِنَّ فِيكَ خَصْلَتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ الْحِلْمُ وَالْأَنَاةُ

Daripada Ibnu Abbas bahawa Nabi SAW bersabda kepada Asyaj bin Abdil Qais: "Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua sifat yang dicintai oleh Allah, iaitu, lemah lembut dan sifat berhati-hati (sabar)." (Sunan Tirmizi No: 1934) Status: Hadis hasan Sahih

Pengajaran:

1. Allah mencintai orang yang memiliki sifat:

a.Lemah lembut (santun)
b.Berhati-hati (sabar)

2.Menurut Said bin Ali Al-Qattani: Al-Hilm (lemah lembut) adalah sebagai penahan diri dari gejolak marah, iaitu suatu keadaan pertengahan antara 2 sifat negatif (marah dan hina).

3.Al-Hilm (lemah lembut) itu ialah menahan diri dari sifat amarah. Seorang yang memiliki sifat hilm adalah orang yang boleh menguasai dirinya dan mengendalikan emosinya serta menjaga ketenangan jiwanya (tidak bertindak terburu-buru).

4.Seorang yang memiliki sifat al-Hilm adalah orang yang berlapang dada dan hatinya sentiasa terbuka. Ia sangat mudah untuk memaafkan kesalahan orang lain, malah ia akan cepat merasa dan mengakui kesilapan jika tersilap.

5. Al-Anah - Sifat Berhati-hati (sabar) adalah sifat yang tidak tergesa-gesa atau terburu-buru. Sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap sesuatu dengan tidak terus membuat tindakan atau menghukum tanpa memikirkan kesan baik dan buruk.

Marilah kita miliki sifat al-hilm iaitu mampu menguasai diri dengan tidak terburu-buru bertindak balas. Berusaha memiliki sifat al-Anah iaitu sentiasa berhati-hati menghadapi sebarang perkara dengan tidak bertindak dengan tergesa-gesa.


Monday, October 21, 2024

Jangan Marah

Isnin, 18 Rabiul Akhir 1446H  |  Jangan Marah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَب

Dari Abu Hurairah radliallahu 'anhu bahawa seorang laki-laki berkata kepada Nabi SAW: "Berilah aku wasiat?" baginda bersabda: "Janganlah kamu marah." Laki-laki itu mengulangi pertanyaannya, baginda tetap menjawab: "Janganlah kamu marah." (HR Bukhari No: 5651) Status: Hadis  Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah meninggalkan pesanan penting agar "Jangan Marah" yang diulang jawapan yang sama apabila ditanya berulang oleh sahabat. Menunjukkan pesanan ini amat penting.

2.  Marah adalah pokok berbagai kejahatan, dan menahan diri darinya adalah pokok segala kebaikan.

3.  Marah akan menimbulkan perbuatan yang diharamkan seperti memukul, menyakiti orang, mengeluarkan perkataan-perkataan yang diharamkan termasuk dalam bentuk tulisan seperti memfitnah, mencaci maki, berkata kotor, dan berbagai bentuk kezaliman termasuk mencederakan dan membunuh.

4.  Imam Ahmad menafsirkan bahawa akhlak yang baik adalah dengan meninggalkan sifat marah.

5.  Ibnu Mubarak apabila ditanya apakah himpunan akhlak yang baik yang terhimpun dalam satu kalimah!” Beliau menjawab, “Meninggalkan Marah.”

Berusahalah kita mengawal sifat marah yang diwasiatkan oleh Rasulullah 

Sunday, October 20, 2024

Istiazah Mengawal Marah

Ahad, 17 Rabiul Akhir 1446H   |   Istiazah Mengawal Marah

عَنْ عَدِيِّ بْنِ ثَابِتٍ حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ صُرَدٍ قَالَ اسْتَبَّ رَجُلَانِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَحْنُ عِنْدَهُ جُلُوسٌ وَأَحَدُهُمَا يَسُبُّ صَاحِبَهُ مُغْضَبًا قَدْ احْمَرَّ وَجْهُهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي لَأَعْلَمُ كَلِمَةً لَوْ قَالَهَا لَذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ لَوْ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ فَقَالُوا لِلرَّجُلِ أَلَا تَسْمَعُ مَا يَقُولُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنِّي لَسْتُ بِمَجْنُونٍ

Dari Adi bin Tsabit telah menceritakan kepada kami Sulaiman bin Shurd dia berkata; "Dua orang lelaki memaki hamun di antara satu sama lain  di hadapan Rasulullah SAW, sementara kami duduk di sisi Baginda. Salah seorang daripada mereka memaki temannya dengan rasa marah  sehingga merah padam mukanya. Lalu Baginda Nabi SAW bersabda: "Aku mengetahui (aku akan ajarkan) satu kalimah kalau  dia mengucapkan iaitu: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang kena rejam. Lalu mereka (para sahabat yang hadir) berkata kepada lelaki itu: Apakah kamu tidak dengar? Lalu beliau mengulangi apa yang disebutkan Nabi. Lelaki itu berkata kepadanya: Aku bukanlah seorang gila!" (HR Bukhari No: 5650) Status: Hadis  Sahih

Pengajaran:

1.  Marah itu dipengaruhi oleh syaitan. Mengikut Imam al-Ghazali, berlakunya sifat marah itu kerana urat saraf manusia ditarik oleh syaitan.

2.  Orang yang sedang marah, jika tidak dikawal, boleh menyebabkan hilang pertimbangan seperti orang hilang akal. Dia boleh bertindak diluar kewarasan.

3.  Rasulullah mengajar agar membaca istiazah apabila seseorang itu marah iaitu

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم

Firman Allah:

وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah Engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. Fussilat: 36

Kawallah kemarahan kita dengan sentiasa membaca istiazah memohon perlindungan dari hasutan Syaitan.


Saturday, October 19, 2024

Cara Mengawal Marah

Sabtu, 16 Rabiul Akhir 1446H  |   Cara Mengawal Marah

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَنَا إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلَّا فَلْيَضْطَجِع

Daripada Abu Dzar RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda kepada kami: "Jika salah seorang dari kalian marah dan ia dalam keadaan berdiri, hendakah ia duduk. Jika rasa marahnya hilang (maka itu yang dikehendaki), jika tidak hendaklah ia berbaring  (HR Abu daud No: 4151)  Status: Hadis  Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah sebaik-baik contoh dan pemberi nasihat untuk diikuti.

2.  Rasulullah SAW mengajar cara mengawal marah antaranya jika marah dalam keadaan berdiri, hendaklah duduk (orang yang berdiri, dia dalam keadaan bersedia untuk bertindak berbanding ketika duduk).

3.  Jika masih marah ketika dalam kedudukan duduk, hendaklah orang tersebut menukar posisi dengan berbaring (kedudukan berbaring sangat kecil kemungkinan untuk bertindak).

4.  Diam juga satu daripada cara mengawal marah. Rasulullah bersabda:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ

Dari Ibnu 'Abbas dari Nabi SAW baginda bersabda: Apabila seorang dari kalian marah, hendaklah ia diam. (HR Ahmad No: 2029)

Berusahalah melakukan sesuatu untuk mengawal sifat marah. Jika marah semasa berdiri, tukar posisi kepada duduk, jika marah lagi, tukar kepada berbaring. Diam juga satu cara mengawal marah.


Friday, October 18, 2024

Orang Yang Kuat Berjaya Menahan Marah

Jumaat, 15 Rabiul Akhir 1446H   |  Orang Yang Kuat Berjaya Menahan Marah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah orang yang kuat itu yang pandai bergusti, tapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan nafsunya ketika ia marah." (Sahih Bukhari No: 5649) Status: Hadis  Sahih

Pengajaran:

1.  Mukmin yang kuat lebih  disukai Allah daripada mukmin yang lemah.

2.  Kekuatan seseorang bukan terletak pada fizikalnya semata-mata.

3.  Orang yang kuat adalah yang berjaya mengawal nafsu menahan marah

4.  Orang yang sedang marah akan hilang kewarasan fikiran, hilang pertimbangan, lidahnya akan memaki hamun dan anggotanya mungkin bertindak diluar kawalan.

5.  Kekuatan mukmin bukan terletak kepada kemenangan semasa berkelahi tetapi kemampuan menguasai emosi di saat ia sedang marah.

6.  Latihlah diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, lemah lembut dan pemaaf. Kawal dan kuasai diri ketika didatangi perasaan marah, iaitu dengan mengingati akibat buruk yang akan menimpa dan kelebihan pahala orang yang menahan marah.

Berusahalah mengekang hawa nafsu dan mengawal emosi diri ketika berlaku perselisihan agar tidak cepat marah. Jadilah insan yang lambat marah dan jika marah, ia cepat reda.


Thursday, October 17, 2024

Menahan Marah Diganjari Bidadari

Khamis, 14 Rabiul Akhir 1446H  |  Menahan Marah Diganjari Bidadari

عَنْ سَهْلِ بْنِ مُعَاذِ بْنِ أَنَسٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَظَمَ غَيْظًا وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يُنْفِذَهُ دَعَاهُ اللَّهُ عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُخَيِّرَهُ فِي أَيِّ الْحُورِ شَاءَ

Daripada Sahl bin Mu'adz bin Anas dari Ayahnya, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mampu menahan amarahnya sedangkan ia mampu melampiaskannya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan seluruh makhluk pada hari Kiamat hingga Allah memberinya (kebebasan) memilih bidadari yang ia suka." (HR Ibnu Majah No: 4176) Status: Hadis  Hassan

Pengajaran:

1.  Beruntung mereka yang sentiasa mampu mengawal marah

2.  Muslim yang mampu mengawal marah ketika dia boleh dan berpeluang untuk marah, di hari akhirat akan diganjari dengan kelebihan boleh memilih mana-mana bidadari di syurga.

3.  Muslim yang mampu mengawal marah, memiliki akhlak terpuji yang dijanjikan syurga. Sabda Rasulullah:

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ....لاَ تَغْضَبْ وَلَكَ الْجَنَّةُ

Daripada Abi Darda, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda…."Jangan kamu marah, maka kamu akan masuk Syurga (Tabrani No: 1762)


Wednesday, October 16, 2024

Balas Keburukan Dengan Kebaikan

Rabu, 13 Rabiul Akhir 1446H  |   Balas Keburukan Dengan Kebaikan

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي ذَوِي أَرْحَامٍ أَصِلُ وَيَقْطَعُونَ وَأَعْفُو وَيَظْلِمُونَ وَأُحْسِنُ وَيُسِيئُونَ أَفَأُكَافِئُهُمْ قَالَ لَا إِذًا تُتْرَكُونَ جَمِيعًا وَلَكِنْ خُذْ بِالْفَضْلِ وَصِلْهُمْ فَإِنَّهُ لَنْ يَزَالَ مَعَكَ مِنْ اللَّهِ ظَهِيرٌ مَا كُنْتَ عَلَى ذَلِكَ

Daripada 'Amru bin Syu'aib dari bapanya dari datuknya, dia berkata; Seorang laki-laki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata; "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai sanak saudara, aku menyambung silaturahim tetapi mereka memutuskannya, aku memaafkan tetapi mereka berbuat zalim, aku berbuat baik tetapi mereka berbuat jahat, apakah aku harus membalas perbuatan mereka?" maka Baginda SAW menjawab: "Jangan engkau lakukan, dengan begitu bererti engkau tinggalkan mereka semua, tetapi ambillah kebaikannya dan sambunglah hubungan silaturahim dengan mereka, kerana sesungguhnya Allah akan sentiasa memberimu pertolongan selama engkau mampu konsisten begitu." (HR Ahmad No: 6648) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Balaslah keburukan orang lain dengan kebaikan

2.  Orang yang berusaha menghubungkan silaturahim, memaafkan perbuatan orang yang menzaliminya, sentiasa berbuat baik kepada orang lain yang berbuat buruk padanya akan sentiasa mendapat pertolongan dari Allah

3.  Segala amalan ikhlas daripada kita tetap akan mendapat ganjaran dan balasan kebaikan daripada Allah

4.  Islam melarang pelaku buruk dibalas dengan keburukan. Walaupun orang lain memutuskan silaturahim, kita diperintah menghubungkannya. Orang berbuat aniaya serta kezaliman pada kita, kita sewajarnya memaafkan mereka.

Dalam hubungan kita berkeluarga dan bermasyarakat, balaslah keburukan dengan kebaikan. Jadilah kita orang yang pemaaf dan penyambung kasih sayang.

Tuesday, October 15, 2024

Dosa Orang Yang Memulakan Celaan

Selasa, 12 Rabiul Akhir 1446H  | Dosa Orang Yang Memulakan Celaan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُسْتَبَّانِ مَا قَالَا فَعَلَى الْبَادِئِ مَا لَمْ يَعْتَدِ الْمَظْلُومُ

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Dua orang yang saling mencela, maka dosanya atas orang yang memulainya terlebih dahulu selama yang dizalimi tidak membalasnya." (HR Ahmad No: 6907) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam melarang perbuatan menghina dan mencela sesama Islam.

2.  Dua orang yang saling mencela, maka dosa perbuatan tersebut ke atas orang yang memulakan celaan terlebih dahulu selama orang yang dicela tidak membalasnya.

3.  Bersabar dengan celaan dan hinaan orang lain akan mendatangkan ganjaran pahala.

Jangan menjadi orang yang berdosa kerana mencela dan menghina orang lain.


Monday, October 14, 2024

Saling Mencela Itu Adalah Syaitan

Isnin, 11 Rabiul Akhir 1446H  |   Saling Mencela Itu Adalah Syaitan

عَنْ عِيَاضِ بْنِ حِمَارٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ رَجُلٌ مِنْ قَوْمِي يَشْتُمُنِي وَهُوَ دُونِي عَلَيَّ بَأْسٌ أَنْ أَنْتَصِرَ مِنْهُ قَالَ الْمُسْتَبَّانِ شَيْطَانَانِ يَتَهَاتَرَانِ وَيَتَكَاذَبَانِ

Daripada Iyadl bin Himar ia bertanya, "Saya berkata, "Wahai Rasulullah, seorang laki-laki dari kaumku mencaciku sementara ia sendiri tidak lebih mulia dariku, maka apakah saya berdosa jika membalas cacian darinya?" baginda bersabda: "Dua orang yang saling mencaci adalah dua syaitan yang saling merendahkan dan saling berkata-kata dusta." (HR Ahmad No: 16836) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Jangan merasa diri kita lebih baik daripada orang lain sehingga mendorong kita mencela, mengejek dan menghina orang lain.

2. Orang yang dicela perlu sentiasa bersabar di atas perbuatan cacian orang lain ke atasnya.

3.  Rasulullah SAW menyebutkan dua orang yang berbalah sambil mencela dan mencaci itu adalah syaitan.

4.  Orang yang saling mencaci akan berlumba membuat dosa dengan memperlekeh, menghina, merendahkan lawannya serta berbohong.

Semoga kita tidak tergolong dari golongan syaitan. Berusahalah menjauhi perbuatan  suka mencela dan menghina orang lain.


Sunday, October 13, 2024

Gambaran Orang Sombong Di akhirat

Ahad, 10 Rabiul Akhir 1446H   |  Gambaran Orang Sombong Di akhirat

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُحْشَرُ الْمُتَكَبِّرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَمْثَالَ الذَّرِّ فِي صُوَرِ الرِّجَالِ يَغْشَاهُمْ الذُّلُّ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَيُسَاقُونَ إِلَى سِجْنٍ فِي جَهَنَّمَ يُسَمَّى بُولَسَ تَعْلُوهُمْ نَارُ الْأَنْيَارِ يُسْقَوْنَ مِنْ عُصَارَةِ أَهْلِ النَّارِ طِينَةَ الْخَبَالِ

Daripada Amru bin Syu'aib dari ayahnya dari datuknya dari nabi SAW bersabda: "Orang-orang sombong dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru, mereka diiring menuju penjara di neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas, mereka diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka yang namanya thinatul khabal." (HR Tirmizi No: 2416) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Sombong adalah sifat Iblis yang merasa dirinya lebih mulia dan lebih baik serta merendahkan orang lain.

وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَٰئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَٰفِرِينَ ٣٤

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. (Surah al-Baqarah: 34).

2.  Orang yang sombong tidak akan masuk syurga. Sabda Nabi Muhammad SAW:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong”. (HR Muslim No:51)

3.  Orang yang sombong akan dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru.

4.  Orang sombong akan  diiring menuju ke neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas

5.  Orang yang sombong akan  diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka (nanah) yang namanya thinatul khabal (lumpur kebinasaan).

6.  Sikap sombong merupakan satu sikap yang amat dilarang keras dalam Islam. Firman Allah SWT:

وَلَا تَمْشِ فِي الأرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَنْ تَخرِقَ الأَرْضَ وَلَنْ تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang” (Surah al-Israa’ ayat: 37)

Marilah kita bersifat RAHMAH dengan menjauhi sifat sombong. Sifat sombong itu apabila merasa dirinya lebih baik dari orang lain malah memperlekeh atau merendahkan mereka.


Saturday, October 12, 2024

Tidak Masuk Syurga Pemilik Sifat Sombong

Sabtu, 9 Rabiul Akhir 1446H   |   Tidak Masuk Syurga Pemilik Sifat Sombong

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
 
Daripada Abdullah bin Mas'ud RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidak akan masuk syurga, orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari kesombongan." Seorang laki-laki bertanya, "Sesungguhnya laki-laki menyukai apabila baju dan kasutnya bagus - cantik (apakah ini termasuk kesombongan)?"Baginda menjawab: "Sesungguhnya Allah itu cantik dan  menyukai yang cantik, kesombongan itu menolak kebenaran dan meremehkan manusia." (HR Muslim No: 131) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sifat sombong adalah sifat iblis, merasa dirinya lebih baik dari yang lain

2.  Imam Nawawi  berkata: Hadis ini berisi larangan dari sifat sombong iaitu menyombongkan diri kepada manusia, merendahkan mereka, serta menolak kebenaran

3.  Tidak masuk syurga sesiapa yang memiliki sifat sombong dalam dirinya walaupun sebesar biji sawi.

4.  Sifat sombong mendorong seseorang menolak kebenaran dan merendah serta memperlekeh orang lain.

5.  Dalam Kitab Riadussolihin menyebutkan: Menolak kebenaran adalah dengan menolak dan berpaling darinya serta tidak mahu menerimanya. Sedangkan meremehkan manusia yakni merendahkan dan meremehkan orang lain, memandang orang lain tidak ada apa-apa dan melihat dirinya lebih dibandingkan orang lain

6.  Suka kepada kecantikan pakaian tidak termasuk kepada sifat kesombongan.


Friday, October 11, 2024

Adakah Kita Umat Seperti Buih?

Jumaat, 8 Rabiul Akhir 1446H  |  Adakah Kita Umat Seperti Buih?

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

Daripada Tsauban ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Hampir  umat-umat berkerumun memusuhi kamu (umat Islam), seperti orang yang kuat makan mengerumuni makanan di dulang." Seorang laki-laki bertanya, "Apakah kami waktu itu jumlahnya sedikit?" baginda menjawab: "Jumlah kamu  pada waktu itu sangat banyak, namun kamu seperti buih laut. Sungguh Allah mencabut kehebatan gerun yang ada pada kamu daripada hati musuh, dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-Wahn." Seseorang lalu bertanya, "Wahai Rasulullah, apa itu Al-Wahn?" baginda menjawab: "Cintakan dunia dan takutkan mati." (HR Abu Daud No: 3745) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Akan sampai suatu masa umat Islam bilangannya ramai namun penghayatan kepada amalan Islam amat longgar. Penghayatan terhadap al-Quran dan al-Hadis tidak dihiraukan, semangat jihad dan pengorbanan semakin luntur.

2.  Musuh Islam mengerumuni umat Islam seperti mengerumuni makanan kerana tidak ada lagi rasa gerun di atas kehebatan yang ada pada umat Islam. Sifat yang ada pada umat Islam adalah ingin memenuhi keperluan nafsu masing-masing.

3.  Walaupun bilangan umat Islam ramai namun umpama buih, tiada kekuatan dan kemuliaan. Ditiup angin pecah dan berterbangan, tidak tahan lama menghadapi suasana dan cabaran. Berbeza di zaman Rasulullah dan para sahabat, walaupun bilangan mereka sedikit namun mereka boleh mengalahkan musuh yang ramai.

كَم مِّن فِئَةٖ قَلِيلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةٗ كَثِيرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّبِرِينَ ٢٤٩

"Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 249)

4.  Umat Islam lemah kerana telah dicampakkan kedalam hati mereka  sifat al-wahan iaitu kecintaan kepada dunia dan bencikan kematian (mereka hanya berlumba mendapatkan kepentingan keduniaan seolah-olah mereka tidak akan mati).

5.  Penyakit al-Wahan berpunca dari kekosongan rohani, mereka hanya mengutamakan hawa nafsu dengan menumpukan kepentingan dunia dan menggunakan pelbagai cara dan tipu daya sehingga hilang nilai akhlak. Yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, fitnah dan dengki terhadap orang lain.

6.  Nilai kekuatan umat Islam bukan dari segi bilangan tetapi yang lebih penting adalah dari aspek kualiti, mereka yang menghayati dan beramal dengan ajaran Islam.

Marilah kita berusaha membina kekuatan serta bersatu padu demi menunaikan tanggungjawab ukhuwah sesama kita dan saling bertolong bantu memastikan kekuatan Islam dihadapan, bukan kepentingan peribadi.


Thursday, October 10, 2024

Jangan Biarkan Mukmin Direndahkan

Khamis, 7 Rabiul Akhir 1446H  | Jangan Biarkan Mukmin  Direndahkan

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ بْنِ سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ أُذِلَّ عِنْدَهُ مُؤْمِنٌ فَلَمْ يَنْصُرْهُ وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يَنْصُرَهُ أَذَلَّهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Umamah bin Sahal bin Hunaif dari bapaknya dari Nabi SAW baginda bersabda: "Barangsiapa yang di sampingnya ada seorang Mukmin yang direndahkan, lalu dia tidak menolongnya padahal dia mampu, nescaya Allah Azzawajalla akan merendahkannya di hadapan semua makhluk pada Hari Kiamat" (HR Ahmad No: 15416) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut memelihara hak persaudaraan dengan memiliki sifat berkasih sayang dan bersaling bantu dalam perkara kebenaran.

2.  Jika saudara Islam kita dizalimi, dianiaya atau diperlakukan dengan sesuatu yang buruk maka menjadi tanggungjawab kita untuk membantu dan mempertahankannya.

3.  Mukmin yang membiarkan saudaranya direndahkan sedangkan dia mampu untuk menolongnya, di akhirat nanti dia akan direndahkan di hadapan semua makhluk.

4. Saudara Muslim kita di Palestin telah setahun diserang oleh Zionis Israel hampir setiap hari dengan jumlah yang telah gugur syahid melebihi 40,000 dan yang cedera hampir 100,000. Kini serangan mula merebak ke Beirut, kawasan timur dan selatan Lubnan.

Marilah kita sentiasa bersolidariti dengan menunjukkan keprihatinan untuk membela serta melakukan sesuatu terhadap saudara kita yang dianiaya dan dizalimi paling tidak mendoakan kesejahteraan dan keselamatan serta menghulurkan bantuan termasuk wang ringgit.


Wednesday, October 9, 2024

Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain

Rabu, 6 Rabiul Akhir 1446H   | Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Cintailah orang yang kamu cintai sekadarnya. Boleh jadi orang yang sekarang kamu cintai suatu hari nanti menjadi orang yang kamu benci. Dan bencilah orang yang kamu benci sekadarnya, boleh jadi suatu hari nanti dia menjadi orang yang kamu cintai.” (Sunan Tirmidzi No: 1997) Status: Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Sifat cinta dan kasih adalah fitrah manusia namun biarlah berpada. Contohnya mencintai pasangan juga ahli keluarga yang berlebihan sehingga jika berlaku kematian, atau orang yang disayangi meninggalkannya, impak kesedihan amat mendalam yang boleh membawa kecelakaan padanya.

2.  Maka cintailah saudaramu sewajarnya dengan memberikan hak-haknya tanpa berlebihan dan tanpa meremehkan haknya.

3.  Hasan Bashri RA berkata, “Hendaknya kalian mencintai jangan berlebihan dan membenci tidak berlebihan. Telah ada orang-orang yang berlebihan dalam mencintai satu kaum akhirnya binasa. Ada pula yang berlebihan dalam membenci satu kaum dan mereka pun binasa.”

4.  Jika seseorang berlebihan dalam membenci lawannya, mungkin suatu masa nanti hubungan mereka menjadi baik maka mereka akan malu untuk menjadi sahabat dan kawan kerana merasa malu disebabkan berlebihan dalam membencinya sebelum ini. Kebencian berlebihan juga boleh membinasakan.

Ingatlah firman Allah SWT:

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ   وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ  وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan itu adalah keburukan bagi kamu. Allah itu lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: 216)

5.  Awasilah sifat benci yang boleh mendorong kita berlaku zalim kepada orang lain juga menjadi penyebab kita tidak berlaku adil terhadap mereka.

Firman Allah surah al-Maidah ayat 8:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍انُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨ 

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.


Tuesday, October 8, 2024

Berinteraksi Dan Bersabar Dengan Manusia

Selasa, 5 Rabiul Akhir 1446H  |  Berinteraksi Dan Bersabar Dengan Manusia

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ الَّذِي يُخَالِطُ النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنْ الْمُؤْمِنِ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ

Daripada Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda: Seorang mukmin yang bergaul (berinteraksi) dengan manusia dan bersabar atas perbuatan buruk mereka lebih besar ganjaran untuknya dari mereka yang tidak bergaul (berinteraksi) dengan manusia dan tidak bersabar atas perbuatan buruk mereka." (HR Ibnu Majah No: 4022) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kewujudan kita di tengah-tengah masyarakat Islam dan bukan Islam atau masyarakat yang tidak menghayati Islam adalah suatu yang dipuji. Kehadiran kita menjadi sumber peluang bagi memperoleh kebaikan yang banyak bagi sesiapa yang bersifat positif dan mahu meraihnya.

2.  Keberadaan muslim dalam kelompok manusia merupakan peluang untuk menyampaikan dakwah, menjadi pengislah kepada kejahilan dan kejahatan. Melaksanakan tugas amar makruf nahi mungkar memerlukan kesabaran.

3.  Berada di tengah-tengah kelompok manusia yang pelbagai, bermakna satu anjuran untuk melakukan engagement dengan semua golongan dan kaum sama ada Islam mahupun bukan Islam. Dalam melakukannya, pastilah akan menghadapi pelbagai kerenah, amalan buruk dan kesulitan.

4.  Muslim yang ingin ganjaran besar di sisi Allah ketika berinteraksi dengan masyarakat termasuk yang bukan Islam juga pelaku maksiat, berpeluang berdakwah dengan menasihat, menegur, membimbing dan memimpin mereka melalui sifat ramah dan rahmah bukan kebencian dan permusuhan.

5.  Bersabar menghadapi pelbagai ragam kelompok semasa bergaul dan  engagement dilakukan akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah.

6.  Mereka yang memilih untuk berada di luar dari tengah-tengah manusia atau di tengah-tengah keburukan manusia  tidak seharusnya merasa dirinya lebih suci daripada mereka yang berada di tengah-tengah manusia dan kejahatan.

7.  Penting bagi setiap Muslim untuk mempertingkatkan amal-amal peribadinya secara konsisten agar menjadi contoh kepada orang lain dan menjadi benteng terpengaruh dengan kejahatan juga keburukan mereka.


Monday, October 7, 2024

Akhlak Seseorang Bergantung Akhlak Temannya

Isnin, 4 Rabiul Akhir 1446H  | Akhlak Seseorang Bergantung Akhlak Temannya

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Seorang laki-laki itu bergantung dengan agama teman pergaulannya (sahabat rapat), maka hendaklah salah seorang melihat siapa yang menjadi teman pergaulan (Sunan Abu Daud No: 4193) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

a.  Keperibadian seseorang berkait rapat dengan kebiasaan teman atau sahabat baik yang ia sering bergaul (tingkah lakunya sering dipengaruhi oleh  tingkah laku dan gaya hidup teman rapatnya) .

b.  Setiap ibu bapa perlu meneliti akhlak dan peribadi teman rapat anaknya. Jika teman pergaulan anaknya berakhlak buruk, perlu segera dijauhi.

c.  Larangan bergaul dan berkawan rapat dengan individu dalam masyarakat mencakupi pelaku dosa besar, bersahabat dengan mereka akan mendatangkan kemudaratan pada agama.

d.  Carilah teman rapat yang Soleh. Kata Imam Ahmad Ibn Hanbal:

وَإِخْوَانُهُ الأَدْنُونَ كُلُّ مُوَفِّقِ   بَصِيرَةٍ بِأَمْرِ اللهِ يَسْمُو إِلَى الْعُلاَ

“Saudara yang dekat dengannya adalah setiap orang yang (menjadi sahabat kita, yang dengan sebab dia, kita) beroleh taufik, (dengan sebab kita berkawan dengan dia, kita dapat) memahami perintah Allah serta (dengan sebab dia, kita) suka kepada hal-hal yang meninggikan darjat (di sisi Allah)” 

Ayuh pastikan dengan siapa kita berkawan rapat dan bergaul.


Sunday, October 6, 2024

Bergaul Dengan Orang Soleh

 Ahad, 3 Rabiul Akhir 1446H   | Bergaul Dengan Orang Soleh

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُصَاحِبْ إِلَّا مُؤْمِنًا وَلَا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلَّا تَقِيٌّ

Daripada Abu Sa'id RA ia mendengar Rasulullah SAW  bersabda: "Janganlah berteman kecuali dengan orang mukmin dan jangan ada yang memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa." (Sunan Tirmizi No: 2318) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Jadikanlah orang beriman dan berakhlak mulia sebagai sahabat akrab kita.

2.  Syarah Sunan Abi Daud menjelaskan: Tabiat atau kebiasaan itu adalah sesuatu yang dicuri (diambil) dari orang lain (dibimbangi bila bergaul dengan orang yang tidak berakhlak akan menyebabkan seseorang meniru akhlak buruk tersebut).

3.  Berilah makan kepada orang-orang yang soleh dan bertakwa.

4.  Al-Khathabi menyatakan: Larangan memakan makanan kecuali orang yang bertakwa hanya berlaku pada makanan undangan bukan makanan kerana keperluan  (kita disuruh membantu kepada sesiapapun lebih-lebih lagi kepada yang memerlukan termasuk non muslim juga binatang).

Pastikan teman karib kita orang yang soleh. Moga kesolehannya menjangkit pada kita.


Saturday, October 5, 2024

Agama Itu Nasihat

Sabtu, 2 Rabiul Akhir 1446H  |   Agama Itu Nasihat

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْم الدَّارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ   وَسَلَّمَ قَالَ : الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ . قُلْنَا لِمَنْ  قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ

Daripada Abu Ruqayyah Tamim Ad-Daary RA, bahawasanya Nabi SAW  bersabda, “Agama itu nasihat”. Kami pun bertanya, “Untuk siapa (nasihat itu)?”. Baginda menjawab, “Nasihat itu adalah untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, Imam-imam kaum muslimin dan seluruh muslimin (rakyatnya)”. (HR Muslim No: 50) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Agama ini terletak pada  nasihat menasihati kerana dengan nasihat akan menjadikan seseorang menunaikan hak-hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan rakyat.

2.  Ibnu Mubarak pernah ditanya : Amal apakah yang paling utama? Beliau menjawab: Memberi nasihat kerana Allah. 

3.  Nasihat untuk Allah bermaksud beriman kepada Allah dengan mentauhidkan Allah, menunaikan hak-hak Allah sama ada hak yang wajib mahupun yang sunat. Ikhlas dalam beramal, menjauhi maksiat dan berjihad dijalanNya.

4.  Nasihat untuk kitab-Nya bermaksud menunaikan hak Al-Quran: hak untuk dipelajari, dibaca, dijadikan sebagai petunjuk dan hidayah dengan membenarkan beritanya dan melaksanakan perintahnya.

5.  Nasihat untuk Rasul bermaksud dengan cara membenarkan ajarannya, mengimani semua yang dibawa, mencintai dan mencontohi akhlaknya, berselawat serta menghidupkan sunnahnya, mentaati perintah dan larangannya, melawan para musuhnya, membela para pengikutnya, menghormati hak-haknya, memuliakannya, mengikuti seruannya juga menyebarluaskan sunahnya.

6.  Nasihat untuk imam kaum muslimin dengan cara menolong dan mentaati pemimpin dan pemerintah  dalam perkara kebenaran dan keadilan, patuh kepada mereka dalam urusan kebaikan, menegur dan mengingati mereka dikala mereka lalai dari kewajipan dengan penuh hikmah.

7.  Nasihat untuk kaum Muslimin dengan memberikan bimbingan kepada mereka apa yang dapat memberikan kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat, memimpin mereka, memberikan bantuan kepada mereka, menutup aib dan cacat mereka, menghindarkan diri dari hal-hal yang membahayakan dan mengusahakan kebaikan bagi mereka, menyuruh mereka berbuat makruf dan mencegah mereka berbuat kemungkaran. Mengasihi mereka, memuliakan yang tua dan menyayangi yang muda, memberikan nasihat kepada mereka, menjauhi kebencian dan kedengkian, melindungi harta dan kehormatan mereka baik dengan ucapan mahupun perbuatan.

Semoga agama menjadi penasihat dan peringatan kepada kita untuk saling nasihat menasihati, ingat mengingati agar menjadi Muslim yang menunaikan hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan rakyat.


Friday, October 4, 2024

Kebaikan dan Dosa

Jumaat, 1 Rabiul Akhir 1446H  |  Kebaikan dan Dosa

عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سِمْعَانَ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ: سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ فَقَالَ: الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ.

Daripada an-Nawwas bin Sim‘an al-Ansari RA, beliau berkata: "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang erti kebaikan dan dosa." Maka Rasulullah SAW bersabda: “Kebaikan adalah berakhlak yang mulia. Manakala dosa adalah sesuatu yang mengelisahkan hatimu (ketika dosa tersebut dilakukan, hati gementar dan bimbang) serta kamu tidak suka orang lain mengetahuinya." (HR Muslim, No: 2553) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Fitrah manusia sukakan kebaikan juga inginkan kebaikan. Kebaikan itu adalah akhlak yang baik.

2.  Akhlak yang baik terhasil daripada ketaatan kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

3.  Hati yang tenang adalah jiwa yang memiliki nur (cahaya) sehingga dapat membezakan antara perkara yang benar dan salah, perkara yang jujur dan yang bohong, perkara yang terpuji dan tercela, kerana itulah petunjuk yang datang daripada jiwa seseorang yang sentiasa melakukan kebaikan. Sabda Nabi SAW:

الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ

Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu. (HR Ahmad No:18006)

4.  Manusia yang fitrahnya suka melakukan kebaikan akan menyebabkan hati tenang. Manakala perkara dosa pula akan menggementarkan hati. Apabila melakukan dosa, hati akan sentiasa berada dalam keadaan ketakutan, berdebar-debar, resah gelisah, cemas, bimbang dilihat atau diketahui oleh orang lain.

5.  Pelaku dosa sentiasa bimbang dan tidak mahu jika perlakuan buruknya diketahui oleh orang lain.


Thursday, October 3, 2024

Ikuti Pesan Rasulullah SAW Dalam Solat Malam

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Khamis, 29 Rabiul Awal 1446H  |  Ikuti Pesan Rasulullah SAW Dalam Solat Malam

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَنْهَاةٌ لِلْإِثْمِ

Daripada Abu Umamah dari Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: "Hendaknya kalian melakukan solat malam kerana solat malam adalah amalan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian, dan mendekatkan kepada Tuhan kalian, menghapus keburukan, serta mencegah dosa." (Sunan Tirmidzi No: 3472) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Solat malam atau qiamullail adalah amalan orang-orang yang soleh. Allah SWT memuji para hamba-Nya yang soleh yang sentiasa melakukan solat malam dan bertahajud:

كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“Mereka sedikit tidur di waktu malam; dan di akhir-akhir malam mereka memohon keampunan (kepada Allah).” [Adz-Dzaariyaat/51: 17-18]

2.  Solat malam adalah amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, sebagai makanan spiritual membina kekuatan dalaman diri setiap Muslim.

3.  Solat malam boleh menghapuskan keburukan atau kesalahan serta dosa.

4.  Solat malam juga boleh mencegah seseorang dari melakukan dosa dan maksiat.

Peruntukkanlah sedikit waktu pada waktu malam sebelum solat subuh untuk melakukan solat sunat malam agar ia menjadi sebahagian dari kebiasaan kita sepertimana amalan orang yang soleh.

Wednesday, October 2, 2024

Ikuti Pesan Rasulullah SAW Dalam Beramal

Rabu, 28 Rabiul Awal 1446H  |  Ikuti Pesan Rasulullah SAW Dalam Beramal

عَنْ أَبِي عَمْرٍو الشَّيْبَانِيِّ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِابْنِ مَسْعُودٍ أَيُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ سَأَلْتُ عَنْهُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ الصَّلَاةُ عَلَى مَوَاقِيتِهَا قُلْتُ وَمَاذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَبِرُّ الْوَالِدَيْنِ قُلْتُ وَمَاذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَالْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Daripada Abu 'Amru Asy Syaibani bahawa seorang lelaki berkata kepada Ibnu Mas'ud, "Amal apakah yang paling utama?" ia berkata; "Aku pernah bertanya Rasulullah SAW tentang hal itu, maka baginda pun menjawab: "Solat pada waktunya, " aku bertanya lagi, "Wahai Rasulullah, lalu apa lagi?" baginda menjawab: "Berbuat baik kepada kedua orang tua, " aku bertanya lagi, "Wahai Rasulullah, lalu apa lagi?" baginda menjawab: "Jihad di jalan Allah." (HR. Tirmidzi No: 158) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Antara amal yang paling utama bagi seorang Muslim adalah:

1.  Solat di awal waktu

2.  Berbuat baik kepada ibu bapa (sama ada semasa mereka masih hidup mahupun selepas meninggal dunia)

3.  Berjihad di jalan Allah (dalam pelbagai relong mengikut kemampuan, ruang dan kesempatan yang ada)

Marilah kita melakukan amal-amal yang menjadi keutamaan dalam kehidupan 

Tuesday, October 1, 2024

Ikuti Pesan Rasulullah SAW Ketika Makan

Selasa, 27 Rabiul Awal 1446H  |  Ikuti Pesan Rasulullah SAW Ketika Makan

عَنْ عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ يَقُولُ: كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

Daripada Umar bin Abi Salamah katanya: Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Nabi SAW tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Nabi SAW berkata kepadaku: Wahai anak, sebut nama Allah (baca Bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambillah makanan) yang hampir denganmu. (HR Bukhari No: 5061) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar agar beradab dalam setiap perkara termasuklah ketika makan.

2.  Antara adab makan dalam Islam:

a.  Memulakan dengan bacaan Basmallah (Bismillah)

b.  Makan menggunakan tangan kanan

c.  Mulakan makanan yang paling hampir dengan kita

3.  Makanan dan minuman yang tidak menyebut nama Allah akan disertai oleh syaitan. Rasulullah bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَسْتَحِلُّ الطَّعَامَ الَّذِى لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

“Sesungguhnya syaitan menghalalkan makanan yang tidak disebutkan nama Allah padanya. (HR. Abu Daud No. 3766). Status: Hadis Sahih

Ikuti pesan Rasulullah SAW dalam makan dan minum.