Tuesday, December 2, 2025

Silaturahim Menjemput Rezeki Dan Keberkatan Umur

Selasa, 11 Jamadil Akhir 1447H  | Silaturahim Menjemput Rezeki Dan Keberkatan Umur

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ عَلَيْهِ فِي رِزْقِهِ وَيُنْسَأَ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Daripada Anas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaknya ia menyambung silaturahim (kekerabatan)." (Sunan Abu Daud No: 1443) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara kebahagiaan seorang ialah apabila hidup dalam suasana saling berkasih sayang sesama anggota masyarakat.

2.  Saling berkasih sayang dituntut dalam menjaga hubungan silaturahim khususnya dengan ahli keluarga seperti kedua ibu bapa, adik beradik, ibu dan bapa saudara, sepupu  dan lain-lain.

3.  Antara kelebihan Muslim yang sentiasa menjaga hubungan silaturahim:

a.  Dilapangkan rezeki (murah rezeki)
b.  Dipanjangkan umur (umur yang barakah dalam keadaan sihat dan beramal soleh).

4.  Imam Nawawi menjelaskan maksud dilapangkan rezeki ialah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan kepada harta juga dikurniakan ketenangan dalam kehidupan. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)

5.  Ulama memberikan maksud “dipanjangkan umur” dalam hadis:
a.  Dipanjangkan umur secara hakiki.
b.  Dipanjangkan dari sudut keberkatan umur dimana seseorang diberi peluang melakukan lebih banyak amal, kebaikan, dan manfaat.

6.  Manakala dalam hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda SAW menjawab:

تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا  وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ  وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ  وَتَصِلُ الرَّحِمَ

“Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim. (HR Bukhari No: 5983)

7.  Imam Nawawi menyebut: “Adapun maksud silaturrahim, ia adalah berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan. Terkadang dalam bentuk kebaikan dengan harta, terkadang dengan memberi bantuan tenaga, terkadang dengan mengunjunginya, dengan memberi salam, dan sebagainya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 1/287)

Marilah kita memelihara hubungan silaturahim dan ikatan kekeluargaan dengan adik beradik dan ahli keluarga yang lain.


Monday, December 1, 2025

Menyambung Silaturahim

Isnin, 10 Jamadil Akhir 1447H  | Menyambung Silaturahim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي قَرَابَةً أَصِلُهُمْ وَيَقْطَعُونِي وَأُحْسِنُ إِلَيْهِمْ وَيُسِيئُونَ إِلَيَّ وَأَحْلُمُ عَنْهُمْ وَيَجْهَلُونَ عَلَيَّ فَقَالَ لَئِنْ كُنْتَ كَمَا قُلْتَ فَكَأَنَّمَا تُسِفُّهُمْ الْمَلَّ وَلَا يَزَالُ مَعَكَ مِنْ اللَّهِ ظَهِيرٌ عَلَيْهِمْ مَا دُمْتَ عَلَى ذَلِكَ

Daripada Abu Hurairah bahwasanya seorang laki-laki pernah berkata; "Ya Rasulullah, saya mempunyai kerabat. Saya selalu berusaha untuk menyambung silaturahim kepada mereka, tetapi mereka memutuskannya. Saya selalu berusaha untuk berbuat baik kepada mereka, tetapi mereka menyakiti saya. Saya selalu berusaha untuk lemah lembut terhadap mereka, tetapi mereka acuh tak acuh kepada saya." Lalu Rasulullah SAW bersabda: 'Jika benar seperti apa yang kamu katakan, maka kamu seperti memberi makan mereka debu yang panas, dan selama kamu berbuat demikian maka pertolongan Allah akan selalu bersamamu.'(HR Muslim No: 4640) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara tanggungjawab Muslim ialah berbuat baik dengan kerabat dengan sentiasa menghubungkan silaturahim.

2.  Allah sentiasa mengurniakan kebaikan kepada orang yang berbuat baik kepada orang lain.

3.  Orang yang berusaha menyambung silaturahim dengan kerabatnya walaupun tidak disambut oleh mereka, akan sentiasa mendapat pertolongan Allah disisinya.

4.  Al-Qurtubi menyatakan bahawa sesiapa yang bersabar atas kezaliman keluarga dan tetap menjaga hubungan, Allah akan menjadi penolong dan pelindungnya dalam bentuk: ketenangan jiwa, keberkatan hidup, dijaga daripada kezaliman, serta dibalas dengan kebaikan di dunia dan akhirat.

5.  Antara ganjaran orang yang berusaha menyambung silaturrahim adalah syurga. Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وصلوا الأرحام وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ

“Wahai orang ramai, Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat.” (HR Ibnu Majah No: 3251)

6.   Jangan membalas kejahatan dengan kejahatan. Hadis ini mengajar bahawa kesabaran dan kebaikan adalah lebih kuat daripada kemarahan. Perbuatan baik yang ikhlas boleh melembutkan hati pihak yang memutuskan hubungan dan mendorong mereka kembali kepada kebenaran.

Ayuh berbuat baik dan kukuhkan silaturahim walaupun mereka ingin memutuskannya. Doakan kebaikan untuk mereka.


Sunday, November 30, 2025

Sayangi Anak

Ahad, 9 Jamadil Akhir 1447H  |  Sayangi Anak

عَنِ أَبَا هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قَالَ قَبَّلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ وَعِنْدَهُ الأَقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ التَّمِيمِيُّ جَالِسًا‏.‏ فَقَالَ الأَقْرَعُ إِنَّ لِي عَشَرَةً مِنَ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا‏.‏ فَنَظَرَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ قَالَ ‏ "‏ مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ ‏"‌‏.‏

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW telah mencium al-Hasan bin 'Ali di hadapan al-Aqro' bin Haabis at-Tamimiy yang Ketika itu sedang duduk bersama baginda. Lalu al-Aqro' berkata, "Sesungguhnya aku mempunyai 10 orang anak, namun aku tidak pernah mencium seorangpun daripada mereka". Maka Rasulullah SAW pun memandang kepada al-'Aqro' lalu baginda bersabda: "Barangsiapa yang tidak menyayangi (orang lain) maka ia juga tidak akan disayangi" (HR Al-Bukhari, no 5997) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kasih sayang adalah fitrah dan akhlak Islam. Sifat kasih sayang adalah ciri utama seorang Mukmin.

2.  Sebagai ibu bapa, perlu mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan penuh perhatian.

3.  Mengikut Imam al-Nawawi: sesiapa yang tidak menzahirkan kasih sayang kepada manusia, dia tidak layak menerima rahmat Allah di dunia dan akhirat.

4.  Menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak khususnya semasa mereka masih kecil dengan perbuatan seperti mencium, memeluk dan bergurau, akan membentuk jiwa yang seimbang dan penyayang.

5.  Tanpa ciuman juga pelukan terhadap anak-anak boleh menyebabkan hilangnya sifat kasih sayang di hati ibu bapa terhadap anak-anaknya. Terhakisnya sifat kasih sayang inilah yang menyebabkan tidak berlaku proses pendidikan yang baik kepada anak-anak bahkan menyebabkan berlakunya sikap penderaan terhadap mereka.

6.  Pendidikan anak memerlukan kelembutan dan kasih sayang. Didikan dengan kekasaran akan menjauhkan hati anak-anak dan menanam kebencian, sedangkan kelembutan membina keakraban dan kepercayaan.

7.  Jika kita menyayangi dan mengasihi anak-anak, nescaya kita juga akan disayangi dan dikasihi oleh anak-anak apatah lagi ketika kita berada dihari tua.

8.  Setiap Muslim hendaklah menzahirkan kasih sayang  terhadap anak, pasangan, keluarga, bahkan terhadap semua makhluk kerana sifat rahmah inilah yang menjadi asas keimanan dan kunci kepada rahmat Allah di dunia dan akhirat.


Saturday, November 29, 2025

Setiap Pemberian Makanan Itu Sedekah

Sabtu, 8 Jamadil Akhir 1447H  | Setiap Pemberian Makanan Itu Sedekah

عَنِ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِي كَرِبَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَطْعَمْتَ نَفْسَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ وَلَدَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ زَوْجَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ خَادِمَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ

Daripada Al-Miqdam bin Ma'di Karib berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apa sahaja yang engkau berikan untuk makan kepada diri kamu, maka itu adalah sedekah untukmu. Apa sahaja yang kamu berikan untuk makan kepada anakmu maka itu menjadi sedekah bagimu.  Apa sahaja yang kamu berikan untuk makan kepada isterimu maka itu menjadi sedekah bagimu. Apa sahaja yang kamu berikan untuk makan kepada  pelayanmu maka itu menjadi sedekah bagimu." (HR Ahmad No: 16550) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut melakukan sedekah.

2.  Sedekah mempunyai ruang yang amat luas dan tidak terbatas pemberian kepada fakir miskin sahaja. Termasuk ganjaran pahala sedekah ialah memberi atau menyediakan makanan kepada orang lain termasuk perbelanjaan terhadap diri, keluarga dan orang di bawah tanggungan. 

3.  Antara bentuk sedekah seseorang ialah menyediakan keperluan makan dan minum yang halal dengan niat kerana Allah kepada:

a.  Diri sendiri
b.  Isteri
c.  Anak-anak
d.  Pembantu

4.  Nafkah kepada diri sendiri dianggap ibadah. Makan dan minum yang halal dengan niat untuk memperoleh tenaga bagi beribadah juga dikira sebagai amal soleh. Maka, menjaga kesihatan dan keperluan diri dengan niat yang betul termasuk dalam kategori sedekah.

5.  Hadis ini menegaskan bahawa setiap nafkah yang dibelanjakan dengan niat yang ikhlas akan menjadi sedekah yang berpahala.
Islam tidak memisahkan antara urusan dunia dan akhirat; bahkan perbuatan seharian seperti memberi makan, menyediakan keperluan asas, menafkahkan rezeki kepada keluarga, dan menjaga kebajikan pekerja adalah ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

6.  Tunaikanlah hak yang menjadi tanggungjawab seorang lelaki.  Berilah makan kepada yang berhak untuk mendapatkannya, terutama pemberian yang menjadi tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga. Sama ada untuk diri, anak, isteri dan pembantu.


Friday, November 28, 2025

Amal Yang Dicintai Allah

Jumaat, 7 Jamadil Akhir 1447H  |  Amal Yang Dicintai Allah

أَبَا عَمْرٍو الشَّيْبَانِيَّ يَقُولُ حَدَّثَنَا صَاحِبُ هَذِهِ الدَّارِ وَأَشَارَ إِلَى دَارِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِي بِهِنَّ وَلَوْ اسْتَزَدْتُهُ لَزَادَنِي

Abu Amru Asy Syaibani berkata, "Pemilik rumah ini menceritakan kepada kami - seraya menunjuk rumah Abdullah bin Masud - ia berkata, "Aku pernah bertanya kepada Nabi SAW, "Amal apakah yang paling disukai oleh Allah?" Baginda menjawab: "Solat pada waktunya." Abdullah bertanya lagi, "Kemudian apa kagi?" Baginda menjawab: "Kemudian berbuat baik kepada kedua ibu bapa. "Abdullah bertanya lagi, "Kemudian apa lagi?" Baginda menjawab: "Jihad di jalan Allah." Abdullah berkata, "Baginda menyebutkan tiga perkara ini kepadaku, sekiranya aku minta tambah, nescaya baginda  akan menambahkannya untukku." (HR Bukhari No: 496) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pelbagai amal soleh dituntut untuk kita lakukan. Ada amal yang utama untuk dilakukan, ada amal yang paling dicintai Allah bergantung kepada keadaan, masa dan tempat.

2.  Tiga amal yang paling disukai Allah:

a.  Solat pada waktunya dengan kita berusaha melaksanakan kewajipan ibadat solat di awal waktu.

b.  Berbakti kepada ibu bapa dengan berusaha melakukan kebaikan, berbakti kepada kedua ibu bapa dan mengembirakannya, sama ada semasa dia hidup mahupun selepas kematian mereka.

c.  Berjihad dijalan Allah dengan berkorban harta, diri, keselesaan untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar

3.  Islam menuntut keseimbangan antara tanggungjawab individu kepada Allah seperti solat dan tanggungjawab sosial kepada ibu bapa dengan berbakti kepada mereka juga tanggungjawab kepada ummah melalui jihad dan pengorbanan.

4.  Berusahalah melakukan amal yang dicintai Allah melalui penjagaan waktu solat, berbakti kepada ibu bapa dan berjihad di jalan Allah dalam pelbagai ruang amal kebaikan.


Thursday, November 27, 2025

Reda Allah Dari Reda Ibu Bapa

Khamis, 6 Jamadil Akhir 1447H  | Reda Allah Dari Reda Ibu Bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Daripada Abdullah bin Amr RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Keredaan Allah bergantung kepada keredaan ibu bapa, dan kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan ibu bapa." (HR Tirmizi No:1821) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Berbakti kepada ibu bapa adalah jalan untuk mendapat redha Allah dan syurga. Redha ibu bapa menjadi syarat utama bagi kehidupan yang diberkati dan diterima amalnya.

2.  Adab seorang anak ialah berbakti dan berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Menurut Imam Al Ghazali antara adab anak kepada orang tuanya; mendengarkan perkataannya, mentaati perintahnya (selagi tidak bertentangan syarak), tidak berjalan di hadapannya, tidak meninggikan suara, serta berusaha untuk mendapatkan keredaannya.

3.  Menderhakai ibu bapa mengundang kemurkaan Allah dan menghapuskan keberkatan hidup antaranya si anak meninggikan suara, menyakitkan hatinya, mengabaikan nafkah serta kesihatannya juga memalukan ibu bapa.

4.  Keredaan Allah berkait langsung dengan keredaan ibu bapa. Apabila seseorang berbuat baik kepada ibu bapanya, memuliakan mereka dan mengelakkan daripada menyakiti hati mereka, maka Allah meredainya.
Sebaliknya, apabila seseorang derhaka atau mengguris hati ibu bapanya, maka ia menjemput kemurkaan Allah.

5.  Ketaatan kepada ibu bapa mesti dilakukan dengan penuh ihsan, kasih sayang dan adab. Antaranya tidak meninggikan suara, tidak menyakiti hati mereka dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan mereka.

6.  Ketaatan kepada ibu bapa tidak boleh mengatasi ketaatan kepada Allah. Jika ibu bapa menyuruh kepada perkara yang bertentangan dengan Syarak, maka tidak boleh ditaati namun tetap wajib berbuat baik dan bercakap dengan lemah lembut kepada mereka.

7.  Derhaka kepada ibu bapa adalah antara dosa besar yang menutup pintu rahmat dan menjadi penghalang kepada kejayaan di dunia dan akhirat.
Maka, berbaktilah kepada ibu bapa selagi mereka hidup, dan doakan mereka setelah meninggal dunia agar Allah mengekalkan redha dan rahmat-Nya kepada kita.


Wednesday, November 26, 2025

Berbakti Kepada Ibu

Rabu, 5 Jamadil Akhir 1447H  |  Berbakti Kepada Ibu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَتَى رَجُلٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا تَأْمُرُنِي قَالَ بَرَّ أُمَّكَ ثُمَّ عَادَ فَقَالَ بَرَّ أُمَّكَ ثُمَّ عَادَ الرَّابِعَةَ فَقَالَ بَرَّ أَبَاكَ

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata; Seorang laki-laki mendatangi Rasulullah SAW seraya bertanya; "Apa yang engkau perintahkan kepadaku?" maka baginda bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu, "lalu ia mengulangi pertanyaannya, dan baginda bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu," lalu ia mengulangi pertanyaannya hingga yang keempat kalinya, maka baginda bersabda: "Berbaktilah kepada bapamu." (HR Ahmad No: 8850)  Status: Hassan

Pengajaran:

1.  Berbakti kepada ibu adalah kewajipan tertinggi seorang anak selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul.

2.  Keutamaan berbuat baik kepada ibu melebihi dari ayah sama ada dalam kasih sayang, penjagaan mahupun kebajikan. Mengikut Ibn Battal, ibu perlu diutamakan kerana ibu mengalami tiga kepayahan: 

a.  Pertama ketika mengandung;
b.  Kedua ketika melahirkan dan;
c.  Ketiga ketika menyusu dan membesarkan.

3.  Ayah juga mempunyai hak yang wajib ditunaikan oleh anak. Walaupun ibu lebih diutamakan, ayah tetap berhak dihormati dan ditaati, kerana dia menjadi pelindung dan pemberi nafkah kepada keluarga.

4.  Keutamaan pada sianak ialah berbakti kepada ibu kemudian kepada bapa.

5.  Islam menuntut umatnya menghargai jasa dan pengorbanan kedua-dua ibu bapa sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

Berusahalah untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu dan bapa kerana ia adalah ibadah besar yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, serta menjadi jalan menuju syurga bagi mereka yang melakukannya dengan penuh kasih, hormat dan ikhlas.


Tuesday, November 25, 2025

Membalas Jasa Ibu bapa

Selasa, 4 Jamadil Akhir 1447H |  Membalas Jasa Ibu bapa

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ فَقَالَ أَحَيٌّ وَالِدَاكَ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ

Abdullah bin 'Amru radliallahu 'anhuma berkata: "Datang seorang laki-laki kepada Nabi SAW lalu meminta izin untuk pergi berjihad. Maka Baginda bertanya: "Adakah kedua orang tuamu masih hidup?" Laki-laki itu menjawab: "ya". Lalu Baginda berkata: ‘Maka berjihadlah dengan berbakti kepada mereka berdua ". (HR Bukhari No: 2782) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berkhidmat dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah dituntut seperti membantu dari sudut kewangan, penjagaan terutama semasa mereka tidak sihat atau tua serta mencurahkan kasih sayang.

2.  Berkhidmat dan berbakti kepada kedua ibu bapa adalah sebahagian daripada jihad. Jihad dalam bentuk khidmat dan pengorbanan untuk kedua ibu bapa. Menurut Ibn Ḥajar berjihad dalam usaha menggembirakan mereka, memenuhi keperluan mereka, dan menanggung kesusahan dalam menjaga mereka sebagaimana seorang mujahid menanggung kesukaran di medan perang.

3.  Ada sahabat yang Rasulullah SAW tidak izinkan untuk pergi berjihad dan diminta berbakti kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup. Tidak semua jihad di medan perang wajib fardhu ain kepada semua orang di setiap masa.

4.  Islam menekankan keseimbangan antara tanggungjawab agama dan tanggungjawab keluarga. Semangat jihad di medan perang mempertahankan agama serta tidak mengabaikan hak dan kebajikan kepada ibu bapa.

5.  Berbakti juga dituntut selepas ibubapa meninggal dunia. Antaranya Menunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan juga hutang kepada manusia. Hadis Nabi SAWdaripada Ibn Abbas RA,

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا قَالَ: نَعَمْ قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadhan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha’ puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk tunaikan.” (HR Bukhari No: 1953)

Berbuat baiklah kepada ibu bapa  yang telah berjasa kepada kita. Sama ada semasa mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Ia adalah satu bentuk jihad yang sangat mulia.


Monday, November 24, 2025

Dosa Besar Menderhaka Kepada Ibu bapa

Isnin, 3 Jamadil Akhir 1447H  |   Dosa Besar Menderhaka Kepada Ibu bapa

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْكَبَائِرِ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ

Daripada Anas radliallahu 'anhu berkata; Nabi SAW ditanya tentang  dosa-dosa besar. Maka baginda bersabda: "Menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua orang tua, membunuh orang (tanpa hak) dan memberi kesaksian palsu". (HR Bukhari No: 2459) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dosa besar ialah kesalahan yang dijanjikan azab yang pedih jika  pelakunya  tidak melakukan taubat nasuhah  hingga diampunkan dosanya oleh Allah.

2.  Antara dosa besar tersebut:

a.  Syirik kepada Allah (menyekutukan Allah dengan sesuatu sama ada dalam ibadah, kepercayaan, atau niat.) Dosa syirik tidak diampunkan jika ia mati tanpa bertaubat.

b.  Derhaka kepada kedua ibu bapa (tidak menghormati, menyakiti hati seperti meninggikan suara, berkata kasar, juga mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa) merupakan dosa besar yang mengundang kemurkaan Allah.

c.  Membunuh sesama manusia kecuali dengan sebab yang dibenarkan syarak (seperti hukuman qisas atau mempertahankan diri).

d.  Memberi kesaksian palsu (berbohong dalam pengakuan atau keterangan bagi menzalimi orang lain, menipu dalam urusan hukum, atau memutarbalikkan kebenaran).

3.  Setiap anak tidak boleh menyakiti kedua ibu bapaknya, baik dengan perkataan, tindakan mahupun perbuatan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Derhaka kepada ibu bapa merupakan dosa besar kedua selepas dosa perbuatan syirik.

4.  Hadis ini menegaskan keutamaan menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Dosa besar sering berpunca daripada pelanggaran terhadap hak Allah (seperti syirik) dan hak manusia (seperti derhaka, membunuh, dan menipu).

5.  Muslim yang beriman hendaklah sentiasa menjauhi dosa besar dengan memelihara tauhid, berbakti kepada ibu bapa, menghormati nyawa manusia, dan bersikap jujur dalam semua urusan.


Sunday, November 23, 2025

Mencela Ibu bapa

Ahad, 2 Jamadil Akhir 1447H  |  Mencela Ibu bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْكَبَائِرِ أَنْ يَشْتُمَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَهَلْ يَشْتُمُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ نَعَمْ يَسُبُّ أَبَا الرَّجُلِ فَيَشْتُمُ أَبَاهُ وَيَشْتُمُ أُمَّهُ فَيَسُبُّ أُمَّهُ

Daripada Abdullah bin Amr RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Termasuk Al-Kaba`ir (dosa-dosa besar), ialah apabila seseorang mencela kedua orang tuanya." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah mungkin seseorang mencela kedua orang tuanya?" Baginda menjawab: "Ya, apabila ia mencaci bapa seseorang, maka orang itu pun akan membalas dengan mencaci bapanya. Dan bila ia mencaci ibu seseorang, lalu orang itu pun akan mencaci ibunya." (HR Tirmizi No: 1824)  Status:  Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Termasuk dosa besar apabila seseorang mencaci atau mencela kedua ibu bapanya.

2.  Apabila seseorang mencaci atau memaki  ibu atau bapa orang lain, ia secara tidak langsung turut mencaci dan memaki ibu atau bapanya sendiri.

3.  Seseorang boleh mendapat dosa besar walaupun secara tidak langsung menjadi punca penghinaan terhadap ibu bapanya.

4.  Menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa orang lain bermakna kita menghormati dan mengasihi ibu bapa kita.

5.  Islam menuntut agar kita menghormati orang lain dan keluarga mereka. Menghina atau mencaci keluarga orang lain adalah tanda lemahnya iman dan akhlak.

6.  Berbuat baik, berlemah lembut dan hormatilah ibu bapa kita dan ibu bapa orang lain. Frman Allah SWT:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

“Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Isra’:24)

7.  Islam menuntut setiap Muslim agar menjaga lidah, akhlak dan pergaulan supaya tidak menimbulkan permusuhan yang akhirnya membawa kepada penghinaan terhadap keluarga sendiri. Kehormatan ibu bapa mesti dijaga dalam setiap keadaan, kerana reda Allah terletak pada reda mereka, dan kemurkaan Allah pada kemurkaan mereka.


Saturday, November 22, 2025

Anak Tidak Mampu Membalas Jasa Ibu Bapa

Sabtu, 1 Jamadil Akhir 1447H  |  Anak Tidak Mampu Membalas Jasa Ibu Bapa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَجْزِي وَلَدٌ وَالِدًا إِلَّا أَنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكًا فَيَشْتَرِيَهُ فَيُعْتِقَهُ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW  bersabda: "Seorang anak tidak akan mampu untuk membalas kebaikan orang tuanya, kecuali jika dia menemui orang tuanya sebagai seorang hamba, lalu dia membeli dan memerdekakannya." (HR Tirmizi No: 1829) Status: Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak amat besar dan tidak ternilai. Bermula dari kesusahan si ibu ketika mengandungkannya, melahirkan hinggalah membesarkannya.

2.  Seorang anak tidak akan mampu membalas kebaikan ibu bapanya yang telah mengasuh, membimbing dan memberikan pendidikan di samping keperluan fizikal.

3.  Seorang anak tidak boleh berasa cukup atau puas dalam berbakti, kerana hak ibu bapa tidak pernah habis walaupun setelah mereka meninggal dunia.

4.  Perbandingan membalas jasa keduanya diumpamakan jika orang tuanya seorang hamba, lalu si anak membeli dan memerdekakannya.

5.  Hadis ini mengingatkan bahawa tiada balasan duniawi yang dapat menebus jasa dan kasih ibu bapa, walaupun anak itu berbakti dengan sepenuh tenaga dan harta. Anak tidak dapat menandingi jasa ibubapa yang telah membesarkannya sejak kecil, menanggung susah payah dan mendidiknya.

6.  Seorang anak hendaklah sentiasa berusaha berbakti, mendoakan dan menggembirakan hati kedua ibu bapanya, kerana itulah jalan sebenar menuju keredaan Allah SWT dan syurga-Nya.

Daripada kedua ibu bapa, kita dilahirkan ke dunia. Berkhidmatlah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa semampu yang boleh.


Friday, November 21, 2025

Gembirakan Ibu bapa

Jumaat, 30 Jamadil Awal 1447H   |  Gembirakan Ibu bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ جِئْتُ أُبَايِعُكَ عَلَى الْهِجْرَةِ وَتَرَكْتُ أَبَوَيَّ يَبْكِيَانِ فَقَالَ ارْجِعْ عَلَيْهِمَا فَأَضْحِكْهُمَا كَمَا أَبْكَيْتَهُمَا

Daripada Abdullah bin 'Amr RA, ia berkata; terdapat seorang laki-laki yang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata; aku datang membaiah engkau untuk berhijrah, dan aku telah meninggalkan kedua orang tua ku dalam keadaan menangis. Kemudian baginda bersabda: "Kembalilah kepada mereka berdua dan buatlah mereka tertawa sebagaimana engkau telah membuat mereka menangis!" (HR Abu Daud: 2166) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kewajipan anak ialah sentiasa mengembirakan kedua ibu bapanya.

2.  Berbakti kepada ibu bapa adalah kewajipan besar selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Tiada amal yang dapat menggantikan berbuat baik terhadap ibu bapa selagi mereka masih hidup.

3.  Rasulullah SAW menyuruh lelaki tersebut menggembirakan semula hati ibu bapanya, supaya ia menebus kesedihan yang telah ditimbulkan. Hal ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan hubungan emosi dan kasih sayang dalam keluarga, terutama terhadap kedua ibu bapa.

4.  Kasih sayang dan keizinan ibu bapa sewajarnya menjadi pertimbangan dalam setiap keputusan besar kehidupan kita apatah lagi jika ia melibatkan perasaan serta kebajikan ibu bapanya.

5.  Kebahagiaan ibu bapa adalah sebahagian daripada tanda keimanan dan akhlak yang mulia.

6.  Rasulullah SAW mendidik umatnya bahawa berbakti terhadap ibu bapa adalah jalan paling hampir menuju keredaan Allah dan pintu ke syurga. Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan kedua orang tua. Hadis Nabi SAW:

رِضَا الرَّبِّ فِى رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسُخْطُهُ فِى سُخْطِهِمَا

“Reda Allah terletak pada reda kedua orang tua dan murka Allah terletak pada murka kedua orang tua” (HR Tabrani dari Ibnu Umar).

7.  Lakukan sesuatu yang sentiasa membuatkan kedua orang tua kita gembira. Tidak ada hadiah yang berharga melainkan sesuatu yang membuatkan kedua ibu bapa gembira di dunia dan gembira di syurga.

Bagi setiap anak yang masih memiliki kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya, buatlah sesuatu yang mengembirakan kedua mereka.


Thursday, November 20, 2025

Jangan Jadi Orang Celaka

Khamis, 29 Jamadil Awal 1447H   | Jangan Jadi Orang Celaka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata bahawa Nabi SAW bersabda: "Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!" lalu para sahabat bertanya; "Siapakah yang celaka, wahai Rasulullah?" Jawab Nabi SAW: "Barang siapa yang sempat bersama kedua ibu bapanya ketika mereka sudah tua (dalam usia lanjut), atau salah seorang dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya)."  (HR Muslim No: 4628) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Jangan jadikan kita orang yang celaka dan dimurkai Allah.

2.  Orang yang celaka adalah mereka yang masih ada ibu atau bapa yang sudah tua tapi tidak berusaha berbakti kepada mereka. Betapa berat dosa anak yang mengabaikan ibu bapa, khususnya ketika mereka telah mencapai usia tua.

3.  Berbakti kepada ibu bapa adalah jalan menuju syurga. Peluang untuk menjaga dan berkhidmat kepada ibu bapa, terutamanya ketika mereka tua, adalah peluang keemasan untuk memperoleh reda Allah SWT.

4.  Kedua ibu bapa ketika sudah tua amat memerlukan layanan, bantuan, dan kasih sayang anak-anak; maka sesiapa yang gagal melaksanakan tanggungjawab ini adalah termasuk dalam kalangan orang yang rugi dan tercela.

5.  Celakalah anak-anak yang tidak sanggup berbakti dan menjaga kedua ibu bapa lalu menghantar kerumah orang tua. Dibiarkan orang tua tanpa diziarahi.

6.  Ibn Ḥajar menegaskan bahawa hadis ini mengandungi peringatan keras bahawa berbakti kepada ibu bapa merupakan antara sebab utama seseorang dimasukkan ke dalam syurga, manakala derhaka kepada mereka menjadi punca kebinasaan dan kemurkaan Allah SWT.

7.  Bagi yang masih ada ibu atau bapa yang sudah tua, rebutlah peluang berbakti dan berbuat baik kepada mereka dengan segala daya upaya.

8.  Daripada Abu Darda’ RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

الوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الجَنَّةِ، فَإِنْ شِئْتَ فَأَضِعْ ذَلِكَ البَابَ أَوْ احْفَظْهُ

“Ibubapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga (paling utama), Jika kamu mahu sia-siakanlah pintu itu atau peliharalah ia”.(HR Tirmizi No:1900)

Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini berkata bahawa kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa. Barangsiapa yang mentaati orang tua maka dia telah mentaati Allah dan barangsiapa yang memurkai mereka sesungguhnya mereka dimurkai Allah. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 21,23/6]

Wednesday, November 19, 2025

Tiga Golongan Mustajab Doa

Rabu, 28 Jamadil Awal 1447H   |  Tiga Golongan Mustajab Doa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada keraguan padanya; doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang bermusafir, dan doa ibu bapa terhadap anaknya." (HR Tirmizi No: 1828) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Muslim dituntut sentiasa berbuat baik dalam pergaulan dan perhubungan dengan anggota masyarakat termasuk kedua ibu bapa.

2.  Elakkan hubungan yang buruk hingga menjadi penyebab kita menzalimi orang lain.

3.  Tiga golongan doanya mustajab di sisi Allah:

a)  Doa dari orang yang dizalimi
b)  Doa orang yang  sedang bermusafir
c)  Doa dua ibu bapa kepada anak

4.  Menurut Imam al-Nawawi doa orang yang dizalimi dimustajabkan kerana kezaliman mengundang kemurkaan Allah SWT; justeru doa orang yang teraniaya menjadi sebab Allah menzahirkan keadilan-Nya.

5.  Doa orang yang bermusafir dimakbulkan kerana perjalanan yang jauh biasanya disertai dengan kesulitan, keletihan, dan pergantungan yang tinggi kepada Allah SWT. Menurut Ibn Ḥajar, keadaan musafir merupakan antara waktu paling mustajab untuk berdoa kerana hati seseorang ketika itu bersih daripada kesombongan dan lebih tunduk kepada Allah SWT.

6.  Kedudukan ibu bapa amat mulia di sisi Allah SWT. Doa mereka, sama ada untuk kebaikan atau keburukan, boleh memberi kesan besar terhadap kehidupan anak. Oleh itu, ibu bapa berhati-hati dalam mendoakan anak. Perbanyakkan doa kebaikan untuk anak-anak.

7.  Pastikan kita tidak melakukan sesuatu yang buruk kepada tiga golongan ini sehingga menjadi penyebab mereka berdoa yang buruk untuk kita

Semoga kita mendapat doa yang baik dari orang yang sedang bermusafir. Bagi  kedua ibu bapa, pastikan apa yang keluar dari mulut dan yang terlintas dalam  doa untuk anak-anak adalah yang baik-baik kerana ia boleh menjadi mustajab. Doa ibubapa memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga bahagia.

Bersama membina keluarga bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama

#PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tiga Golongan Mustajab Doa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada keraguan padanya; doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang bermusafir, dan doa ibu bapa terhadap anaknya." (HR Tirmizi No: 1828) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Muslim dituntut sentiasa berbuat baik dalam pergaulan dan perhubungan dengan anggota masyarakat termasuk kedua ibu bapa.

2.  Elakkan hubungan yang buruk hingga menjadi penyebab kita menzalimi orang lain.

3.  Tiga golongan doanya mustajab di sisi Allah:

a)  Doa dari orang yang dizalimi
b)  Doa orang yang  sedang bermusafir
c)  Doa dua ibu bapa kepada anak

4.  Menurut Imam al-Nawawi doa orang yang dizalimi dimustajabkan kerana kezaliman mengundang kemurkaan Allah SWT; justeru doa orang yang teraniaya menjadi sebab Allah menzahirkan keadilan-Nya.

5.  Doa orang yang bermusafir dimakbulkan kerana perjalanan yang jauh biasanya disertai dengan kesulitan, keletihan, dan pergantungan yang tinggi kepada Allah SWT. Menurut Ibn Ḥajar, keadaan musafir merupakan antara waktu paling mustajab untuk berdoa kerana hati seseorang ketika itu bersih daripada kesombongan dan lebih tunduk kepada Allah SWT.

6.  Kedudukan ibu bapa amat mulia di sisi Allah SWT. Doa mereka, sama ada untuk kebaikan atau keburukan, boleh memberi kesan besar terhadap kehidupan anak. Oleh itu, ibu bapa berhati-hati dalam mendoakan anak. Perbanyakkan doa kebaikan untuk anak-anak.

7.  Pastikan kita tidak melakukan sesuatu yang buruk kepada tiga golongan ini sehingga menjadi penyebab mereka berdoa yang buruk untuk kita

Semoga kita mendapat doa yang baik dari orang yang sedang bermusafir. Bagi  kedua ibu bapa, pastikan apa yang keluar dari mulut dan yang terlintas dalam  doa untuk anak-anak adalah yang baik-baik kerana ia boleh menjadi mustajab. Doa ibubapa memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga bahagia.



Tuesday, November 18, 2025

Menghubungkan Silaturahim Sahabat Kedua Ibu bapa

Selasa, 27 Jamadil Awal 1447H  | Menghubungkan Silaturahim Sahabat Kedua Ibu bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَعْرَابِ لَقِيَهُ بِطَرِيقِ مَكَّةَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ عَبْدُ اللَّهِ وَحَمَلَهُ عَلَى حِمَارٍ كَانَ يَرْكَبُهُ وَأَعْطَاهُ عِمَامَةً كَانَتْ عَلَى رَأْسِهِ فَقَالَ ابْنُ دِينَارٍ فَقُلْنَا لَهُ أَصْلَحَكَ اللَّهُ إِنَّهُمْ الْأَعْرَابُ وَإِنَّهُمْ يَرْضَوْنَ بِالْيَسِيرِ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ إِنَّ أَبَا هَذَا كَانَ وُدًّا لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أَبَرَّ الْبِرِّ صِلَةُ الْوَلَدِ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ

Daripada Abdullah bin Umar RA dia berkata; "Seorang laki-laki desa bertemu dengannya di salah satu jalan menuju kota Mekah. Lalu Abdullah memberi salam kepadanya dan menaikkannya ke atas keldai yang ditungganginya, dan memberinya serban yang sedang dipakainya di kepala." Kata Ibnu Dinar; "Maka kami berkata kepada Abdullah bin Umar; 'semoga Allah membalas kebaikan kamu. Sesungguhnya orang desa itu lebih suka yang sederhana." Jawab Abdullah; "Sesungguhnya bapa orang ini dahulu adalah sahabat baik Umar bin al-Khathab (ayahnya). Aku mendengar Rasulullah SAW  bersabda: "Sesungguhnya sebaik-baik bentuk kebaktian  ialah apabila seorang anak melanjutkan hubungan (silaturahim) dengan keluarga sahabat baik ayahnya." (HR Muslim No: 4629) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berbuat baik kepada kedua ibu bapa bukan sahaja semasa hidup mereka, malah perlu berterusan selepas keduanya meninggal dunia.

2.  Selain daripada mendoakan kebaikan untuk kedua ibu bapa, seorang anak juga disuruh menghubungkan ukhuwah dan silaturahim dengan keluarga  dan sahabat ibu bapa.

3.  Berbuat baik dengan sahabat baik ibu bapa juga adalah antara cara berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia. Islam menuntut kita menghargai hubungan silaturahim dan kasih sayang yang berpanjangan.

4.  Menurut Imam al-Nawawi: Kebaktian yang paling sempurna selepas kewafatan ibu bapa ialah dengan si anak menjaga hubungan dan berbuat baik kepada orang-orang yang pernah menjadi sahabat dan teman rapat kepada ibu bapanya.

5.  Kebaikan yang kecil tetap bernilai besar di sisi Allah seperti menumpangkan seseorang menaiki kenderaan menuju ke sesuatu tempat  juga memberi pakaian, walaupun kepada seorang Badwi, dikira sebagai amal kebajikan yang agung.

Semoga kita sentiasa berbakti kepada ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia dengan cara menghubungkan silaturahim keluarga dan sahabat handai ibu bapa.


Monday, November 17, 2025

Amalan Anak Soleh

Isnin, 26 Jamadil Awal 1447H  |  Amalan Anak Soleh

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أُمِّيَ افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَإِنِّي أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ فَلِي أَجْرٌ أَنْ أَتَصَدَّقَ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ

Daripada ‘Aisyah RA bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Nabi SAW:
“Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia secara tiba-tiba (tanpa sempat berwasiat), dan aku menyangka bahawa sekiranya dia sempat berbicara, pasti dia akan berwasiat untuk bersedekah. Adakah aku akan mendapat pahala jika aku bersedekah bagi pihaknya?” Baginda SAW bersabda: “Ya.” (HR Muslim No: 3082) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Anak yang soleh akan sentiasa berbakti untuk kedua ibu bapanya.

2.  Anak yang soleh masih boleh berbakti kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia melalui doa, sedekah, dan amal jariah atas nama ibu bapa.

3.  Pahala amal soleh yang dilakukan oleh sianak akan turut diperolehi oleh kedua ibu bapa yang beriman.

4.  Menurut al-Imam al-Qurtubi, berbuat baik kepada ibu bapa tidak terhenti apabila mereka meninggal dunia, tetapi boleh diteruskan melalui:
a)  Doa kepada mereka
b)  Sedekah atas nama mereka
c)  Menunaikan nazar atau hajat yang tidak sempat dilaksanakan oleh mereka
d)  Menghubungkan silaturahim dengan sahabat-sahabat mereka.

5.  Hadis ini menegaskan bahawa pahala sedekah yang dilakukan oleh anak dengan diniatkan untuk ibu bapa akan sampai kepadanya dan menjadi sebab keampunan serta rahmat Allah. Hadis ini mengajar kita agar tidak melupakan ibu bapa setelah mereka tiada, sebaliknya terus berbuat baik melalui amal jariah, doa, dan kebajikan atas nama mereka.

Semoga amal baik yang dilakukan oleh anak yang soleh turut menyumbang ganjaran amal baik untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

B

Sunday, November 16, 2025

Pemberian Pada Anak Menjadi Pelindung Neraka

Ahad, 25 Jamadil Awal 1447H  |  Pemberian Pada Anak Menjadi Pelindung Neraka

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ دَخَلَتْ امْرَأَةٌ مَعَهَا ابْنَتَانِ لَهَا تَسْأَلُ فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي شَيْئًا غَيْرَ تَمْرَةٍ فَأَعْطَيْتُهَا إِيَّاهَا فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ ابْنَتَيْهَا وَلَمْ تَأْكُلْ مِنْهَا ثُمَّ قَامَتْ فَخَرَجَتْ فَدَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا فَأَخْبَرْتُهُ فَقَالَ مَنْ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ الْبَنَاتِ بِشَيْءٍ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنْ النَّارِ

Daripada ‘Aisyah RA berkata; Telah datang seorang wanita bersama dua puterinya menemuiku untuk meminta sesuatu namun aku tidak mempunyai apa-apa selain sebiji kurma lalu aku berikan kepadanya. Lalu wanita itu membahagi kurma itu menjadi dua bahagian yang diberikannya untuk kedua puterinya sedangkan dia tidak memakannya sedikitpun. Lalu wanita itu berdiri untuk segera beredar. Ketika itulah Nabi SAW datang kepada kami, lalu aku menceritakan perkara tersebut kepada baginda. Lalu Baginda bersabda: “Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada kehadiran anak-anak perempuannya (lalu dia berbuat baik kepada mereka), maka mereka akan menjadi pelindung baginya daripada api neraka”. (HR Bukhari No: 1329) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan keperluan ahli keluarga khususnya anak-anak, termasuk penyediaan makanan, pakaian tempat tinggal, pendidikan dan sebagainya.

2.  Ibu bapa yang soleh akan mendahulukan keperluan anak-anaknya walaupun terpaksa mengikat perut.

3.  Ibu bapa yang bersusah payah memberikan sesuatu makanan atau menyediakan keperluan seperti pembiayaan pembelajaran dan lain-lain kepada anaknya, akan menjadi saham melindunginya dari api neraka.

4.  Anak perempuan bukan beban, tetapi rahmat dan antara jalan bagi ibu bapa untuk ke syurga.

5.  Menurut Imam al-Nawawi, mendidik anak perempuan memerlukan kesabaran, perhatian, dan pengorbanan, terutama dalam konteks masyarakat Arab pada zaman itu yang memandang rendah kedudukan anak perempuan. Oleh itu, sesiapa yang bersabar, mendidik, dan mengasihi anak perempuannya dengan baik, maka anak-anak itu akan menjadi pelindung daripada api neraka.

6.  Islam memuliakan peranan wanita dan ibu sebagai pendidik generasi dan sumber kasih sayang. Seorang ibu yang sabar, mengasihi, dan berkorban untuk anak-anaknya, akan mendapat perlindungan daripada api neraka.


Saturday, November 15, 2025

Tangan Di atas Lebih Baik Dari Di bawah

Sabtu, 24 Jamadil Awal 1447H  |  Tangan Di atas Lebih Baik Dari Di bawah

عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ

Daripada Hakim bin Hiram RA dari Nabi SAW berkata: “Tangan yang diatas lebih baik dari pada tangan yang di bawah. Mulakanlah (pemberianmu) untuk orang-orang yang menjadi tanggunganmu. Sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka barangsiapa yang berusaha memelihara dirinya (daripada meminta), Allah akan memeliharanya dan barangsiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya”. (HR Bukhari No: 1338) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tangan yang di atas (memberi) adalah lebih baik daripada tangan di bawah (meminta-minta atau mengemis).

2.  Berusahalah menjadi pemberi berbanding penerima. Orang yang memberi lebih baik dan barakah rezekinya berbanding orang yang menerima.

3.  Menghulurkan sedekah dan sumbangan hendaklah dimulakan terlebih dahulu kepada ahli keluarga yang menjadi tanggungan kita seperti isteri, anak-anak juga ibu bapa.

4.  Sedekah yang paling baik adalah lebihan daripada keperluan asas seseorang. Al-Qurtubi menjelaskan bahawa Islam tidak menggalakkan seseorang bersedekah sehingga memudaratkan dirinya atau keluarganya, kerana itu bertentangan dengan hikmah syariat yang mengutamakan keseimbangan.

5.  Bagi ketua keluarga, berusahalah mencari rezeki untuk keperluan keluarga dan elakkan diri dari meminta-minta.

6.  Allah akan memelihara dan mencukupkan keperluan kepada orang yang berusaha dan bekerja mencari rezeki.

7.  Islam mendidik umatnya supaya berusaha, berdikari, dan tidak hidup bergantung kepada belas ihsan orang lain.


Friday, November 14, 2025

Sedekah Mengikut Keutamaan

Jumaat, 23 Jamadil Awal 1447H  |  Sedekah Mengikut Keutamaan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَدَّقُوا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ أَنْتَ أَبْصَرُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bersedekahlah kalian", lalu seorang lelaki berkata Wahai Rasulullah aku hanya memiliki satu dinar, baginda menjawab: "Bersedekahlah dengannya untuk dirimu," ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah kepada isterimu, " ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah kepada anakmu, " ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah kepada pembantumu," ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Engkau lebih tahu siapa yang berhak engkau beri." (HR Nasai No: 2488) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW  menganjurkan agar kita bersedekah jika memiliki harta. Setiap yang dibelanjakan kepada orang lain, ia akan mendapat pahala  sedekah.

2.  Jika kita memiliki harta atau wang ringgit, belanjakanlah untuk keperluan mengikut keutamaan dengan panduan tertib menurut syariat:

i.  Untuk diri sendiri  dengan menunaikan hak tubuh badan seperti makanan, minum, pakaian dan keperluan lain yang wajib.

ii.  Untuk isteri (keperluan isteri yang menjadi tanggungjawab suami yang wajib berbentuk nafkah seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain).

iii.  Untuk anak (keperluan anak-anak seperti makan minum, pelajaran dan lain-lain).

iv.  Untuk pembantu, pekerja atau sesiapa yang berada dibawah tanggungannya.

v.  Mereka yang dirasakan layak dan berhak mengikut keutamaan.

3.  Menurut Imam al-Nawawi, sedekah kepada diri sendiri bermaksud menggunakan harta untuk memenuhi keperluan hidup yang halal, seperti makan, pakaian, tempat tinggal, dan kesihatan. Ia juga bertujuan menjauhkan diri daripada meminta-minta dan bergantung kepada orang lain.

4.  Sedekah yang paling utama ialah yang memberi manfaat paling besar, bermula dengan tanggungan terdekat yang wajib dipelihara. Dengan itu, sedekah yang baik bukan sekadar banyak, tetapi strategik dan penuh hikmah.

Ayuh bersedekah mengikut keutamaan kepada yang berhak dan bukan hanya kepada orang miskin tetapi termasuk nafkah dan keperluan keluarga.


Thursday, November 13, 2025

Setiap Pemimpin Akan Dipertanggungjawabkan

Khamis, 22  Jamadil Awal 1447H  | Setiap Pemimpin Akan Dipertanggungjawabkan

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْأَمِيرُ رَاعٍ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW bersabda: "Setiap kamu adalah pemimpin. Setiap kamu akan diminta bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. Seorang ketua adalah pemimpin. Seorang suami juga pemimpin atas keluarganya. Seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya." (HR Bukhari No: 4801) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap kita adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan setiap yang berada di bawah kepimpinan kita. Kepimpinan adalah amanah, bukan keistimewaan.

2.  Seorang ketua sama ada sebagai pemimpin Negara, negeri, daerah, organisasi, jabatan, unit termasuk keluarga, besar atau kecil tetap akan dipertanggungjawabkan kepimpinan dibawahnya..

3.  Sebagai suami akan ditanya kepimpinannya terhadap isteri, anak-anak serta yang berada di bawah tanggungjawabnya.

4.  Sebagai isteri ada tanggungjawab dalam rumahtangga, sama ada terhadap suami mahupun anak-anak.

5.  Suami dan isteri mempunyai tanggungjawab kepimpinan bersama dalam rumah tangga. Dalam membina keluarga bahagia, suami dan isteri sewajarnya saling bekerjasama berperanan memimpin dan mencorakkan rumahtangga.

6.  Setiap Muslim mesti menunaikan amanah kepimpinan dengan penuh ihsan sama ada sebagai pemerintah, ketua keluarga, guru, atau ibu bapa.  Setiap kepimpinan akan dinilai bukan pada pangkat, tetapi pada amanah dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab.

Laksanakanlah amanah tanggungjawab yang ada dengan sebaik mungkin kerana ianya akan dipertanggungjawabkan.


Wednesday, November 12, 2025

Pemberian Nafkah Kepada Keluarga Adalah Sedekah

Rabu, 21 Jamadil Awal 1447H  |  Pemberian Nafkah Kepada Keluarga Adalah Sedekah

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ فَقُلْتُ عَنْ النَّبِيِّ فَقَالَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَنْفَقَ الْمُسْلِمُ نَفَقَةً عَلَى أَهْلِهِ وَهُوَ يَحْتَسِبُهَا كَانَتْ لَهُ صَدَقَةً

Daripada Abu Mas'ud Al-Anshari maka aku berkata; Dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Apabila seorang muslim memberi nafkah pada ahli keluarganya dengan niat mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah, maka perbelanjaan itu dikira sebagai sedekah untuknya." (HR Bukhari No: 4932) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bagi seorang suami dan bapa kepada anak-anak, memberi nafkah keperluan kepada ahli keluarga adalah tanggungjawab wajib. Nafkah kepada isteri, anak-anak dan keluarga bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi ibadah yang berpahala besar jika dilakukan dengan niat mencari keredaan Allah.

2.  Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga isteri dan anak-anak-anak mengikut kemampuannya. Menyia-nyiakannya akan menyebabkan berdosa. Sabda Rasulullah SAW:

كفى بًالمرء إثما أن يضيع من يقوت

“Cukuplah seseorang dikatakan berdosa jika ia menyia-nyiakan orang yang menjadi tanggungannya” (HR Abu Daud 1692) Status:  Hadis Sahih

3.  Memberi nafkah  ke atas orang yang berada di bawah tanggungannya adalah sedekah. Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga dengan sebab perkahwinan, merangkumi makan minum, rumah kediaman, penjagaan kesihatan, perlindungan, kasih sayang, pendidikan dan lain-lain.

4.  Dalam masyarakat hari ini, walaupun isteri sama-sama bekerja, namun tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami. Isteri masih boleh membantu di mana yang sesuai sebagai pelengkap. Sumbangan isteri kepada keluarga juga dikira sebagai sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah SWT.

5.  Keluarga ialah institusi pertama tempat beramal kebajikan. Seorang Muslim tidak boleh mengabaikan keperluan dan kebajikan ahli keluarganya. Seorang suami atau bapa tidak sepatutnya merasa terbeban dalam menanggung keluarga, bahkan berasa gembira kerana setiap sen yang dibelanjakan menjadi ganjaran di sisi Allah SWT.


Tuesday, November 11, 2025

Ciri Wanita Untuk Dikahwini

Selasa, 20 Jamadil Awal 1447H  |  Ciri Wanita Untuk Dikahwini

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Wanita itu dikahwini kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah Wanita yang beragama, nescaya kamu akan beruntung dan beroleh kebahagiaan." (HR Bukhari No: 4700) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Perkahwinan adalah ibadah yang digalakkan bagi yang berkemampuan untuk menyalurkan naluri seks yang halal serta dibenarkan oleh syarak untuk mencari keredhaan Allah.

2.  Wanita ideal yang dipilih menjadi isteri sebaiknya memiliki empat ciri berikut:

a)  Berharta
b)  Berketurunan baik (termasuk keturunan yang ramai)
c)  Cantik
d)  Beragama

3.  Pemilihan wanita yang berdasarkan kepada harta, keturunan dan kecantikan semata-mata tidak digalakkan oleh Islam. Pemilihan ini tidak dapat menjamin sepenuhnya kebahagiaan rumahtangga serta pendidikan anak-anak yang bakal dilahirkan.

4.  Pemilihan jodoh sama ada bagi lelaki mahupun wanita hendaklah mengutamakan kepada mereka yang beragama dan beramal dengan kehendak agama (soleh dan solehah). Selepas aspek beragama, barulah dilihat aspek harta, keturunan dan kecantikan.

5.  Memilih pasangan yang beragama sebagai keutamaan dan pra syarat akan melahirkan kehidupan yang Sakinah mawaddah warahmah serta menjadikan hidupnya sentiasa kaya dengan akhlak, rohani dan jasmani serta beruntung di dunia dan akhirat.

6.  Imam Nawawi menjelaskan maksud: “فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ” ialah pilihlah wanita yang beragama, kerana wanita yang beragama akan mendidik keluarga atas dasar taqwa, menjaga maruah, dan membawa ketenangan hidup.

7.  Rasulullah SAW juga mengingatkan kita:

لاَ تَزَوَّجُوا النِّسَاءَ لِحُسْنِهِنَّ فَعَسَى حُسْنُهُنَّ أَنْ يُرْدِيَهُنَّ وَلاَ تَزَوَّجُوهُنَّ لأَمْوَالِهِنَّ فَعَسَى أَمْوَالُهُنَّ أَنْ تُطْغِيَهُنَّ وَلَكِنْ تَزَوَّجُوهُنَّ عَلَى الدِّينِ وَلأَمَةٌ خَرْمَاءُ سَوْدَاءُ ذَاتُ دِينٍ أَفْضَلُ

Janganlah kalian menikahi para wanita semata-mata kerana kecantikan mereka, kerana kecantikannya mungkin akan merosakkan mereka (kerana tertipu dan sombong dengan kecantikan). Jangan juga menikahi para wanita kerana harta mereka kerana berkemungkinan harta akan menyebabkan mereka jatuh dalam maksiat dan kejahatan. Akan tetapi, hendaklah kalian berkahwin dengan perempuan atas dasar agama. Seorang hamba perempuan yang sumbing pada mulut dan telinga tetapi mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna lebih baik (daripada perempuan yang merdeka yang membelakangi perintah agamanya. (HR Ibn Majah No: 185).

8.  Hadis ini menggariskan prinsip penting dalam membina rumah tangga bahagia, iaitu menjadikan agama sebagai kriteria tertinggi dalam memilih pasangan. Kecantikan, keturunan, dan kekayaan hanyalah hiasan sementara, tetapi agama dan akhlak yang baik menjamin kebahagiaan yang kekal.

Bersama membina keluarga bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama

Monday, November 10, 2025

Paling Sempurna Iman

Isnin, 19 Jamadil Awal 1447H   | Paling Sempurna Iman

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُهُمْ خِيَارُهُمْ لِنِسَائِهِمْ

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang terbaik di antara mereka adalah yang paling baik terhadap isterinya." (HR Ahmad No: 7095) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kesempurnaan iman seseorang diukur melalui akhlak dan budi pekertinya.

2.  Orang yang memiliki Iman yang sempurna ialah orang yang berjaya menggabungkan kekuatan iman dengan akhlak mulia iaitu lemah lembut, sabar, berlapang dada, memaafkan, serta menjauhi sifat kasar dan sombong.

3.  Kemuliaan akhlak seseorang lelaki paling jelas dilihat pada sikap terhadap isterinya. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa kebaikan lelaki kepada isteri termasuklah:

•  bertutur dengan lembut,
•  menafkahkan dengan ihsan,
•  bersabar dengan kelemahan isteri,
•  menzahirkan kasih sayang serta penghormatan.

4.  Kebaikan sebenar bermula dalam rumah tangga. Seorang yang baik kepada isterinya menunjukkan kekuatan iman, keperibadian, dan kepimpinan rohani dalam keluarga.

5.  Akhlak baik terhadap wanita adalah tanda kemuliaan dan keimanan. Islam menolak kezaliman, kekasaran, dan penghinaan terhadap wanita dalam apa jua bentuk.

6.  Berakhlak baik, berlemah lembut dan penyayang terhadap ahli keluarga termasuk dalam kesempurnaan iman. Hadis Nabi SAW:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَأَلْطَفُهُمْ بِأَهْلِهِ

Daripada Aisyah dia berkata, Rasulullah SAW bersabda; "Sesungguhnya termasuk orang yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan paling lembut terhadap keluarganya." (HR Tirmizi No: 2537)

Jadilah orang yang paling baik akhlak dalam kehidupan termasuk dalam berkeluarga untuk menjadi mukmin yang paling sempurna.

Bersama membina keluarga bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama

Sunday, November 9, 2025

Jadilah Wanita Solehah

Ahad, 18 Jamadil Awal 1447H   | Jadilah Wanita Solehah

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا وَصَامَتْ شَهْرَهَا وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Daripada Abdurrahman bin Auf RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya (kehormatannya) dan taat kepada suaminya, nescaya akan dikatakan kepadanya; 'Masuklah kamu ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang kamu kehendaki'." (HR Ahmad No: 1573) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Wanita yang solehah di hari akhirat diberi kelebihan untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang ia kehendaki dengan syarat ia memenuhi empat kriteria berikut:

a)  Melaksanakan solat lima waktu dengan sempurna

b)  Berpuasa wajib di bulan Ramadhan

c)  Menjaga kemaluan (maruah diri)

d)  Taat dan berbakti kepada suami.

2.  Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa “حَفِظَتْ فَرْجَهَا” bermaksud wanita menjaga kesucian diri daripada perbuatan keji dan juga memelihara kehormatan perkahwinannya dengan tidak berlaku curang, serta menutup aurat dan menjauhi fitnah.

3.  Ketaatan kepada suami merupakan ibadah yang besar ganjarannya.
Selagi tidak bercanggah dengan hukum Allah.

4.  Hadis ini menonjolkan kemuliaan wanita dalam Islam. Kebahagiaan dan keselamatan akhirat dapat dicapai melalui ketaatan kepada Allah dan tanggungjawab terhadap suami. Wanita yang menjaga ibadahnya, kehormatannya, dan keluarganya akan mendapat penghormatan tertinggi daripada Allah, iaitu memasuki syurga dari mana-mana pintu yang diingini.
Berusahalah menjadi wanita yang solehah.

Bersama membina keluarga Bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama


Saturday, November 8, 2025

Jadilah Suami Mithali

Sabtu, 17 Jamadil Awal 1447H  | Jadilah Suami Mithali

عَنْ الْأَسْوَدِ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ فِي بَيْتِهِ قَالَتْ كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ تَعْنِي خِدْمَةَ أَهْلِهِ فَإِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ

Daripada Al Aswad berkata, "Aku pernah bertanya kepada 'Aisyah tentang apa yang dilakukan oleh Nabi SAW ketika berada di rumah. Maka 'Aisyah pun menjawab, "Baginda selalu membantu urusan keluarganya, apabila tiba  waktu solat maka baginda keluar untuk melaksanakannya (di masjid)." (HR Bukhari No: 635) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW menunjukkan contoh apabila berada di rumah dengan membantu kerja-kerja rumah tangga seperti menjahit pakaian, memerah susu, menampal kasut dan melayani ahli keluarganya.

2.  Membantu urusan rumah bukanlah merendahkan martabat seorang suami, bahkan menzahirkan kasih sayang dan tanggungjawab.

3.  Rasulullah SAW juga tidak mengabaikan ibadat solat fardhu di masjid apabila sampai waktunya di samping peranannya dalam masyarakat.

4.  Pemimpin yang baik ialah yang dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah,  keluarga (rumah tangga) dan kemudian tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara dengan baik dan sempurna.

5.  Keluarga yang bahagia akan terhasil apabila suami dan isteri dapat melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan saling membantu dalam urusan harian tanpa mengabaikan kewajipan kepada Allah S.W.T.

6.  Sifat tawaduk, kasih sayang, dan tolong-menolong dalam keluarga membawa keberkatan dan keharmonian rumah tangga.

Para suami sewajarnya mencontohi Rasulullah SAW dalam kehidupan berkeluarga dengan membantu urusan harian isteri di rumah dan menjaga kewajipan terhadap Allah seperti solat fardhu yang ditunaikan di masjid.

Bersama membina keluarga bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama


Friday, November 7, 2025

Sedekah Kepada Ahli Keluarga

Jumaat, 16 Jamadil Awal 1447H    | Sedekah Kepada Ahli Keluarga

عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Daripada Az Zuhriy berkata, telah mengkhabarkan kepada saya Sa'id bin Al Musayyab bahawa dia mendengar Abu Hurairah RA dari Nabi SAW  bersabda: “Sedekah yang paling baik ialah sedekah yang diberikan ketika seseorang itu masih berkecukupan (tidak berhajat kepada orang lain), dan mulakanlah dengan (menafkahkan kepada) orang yang berada di bawah tanggunganmu.” (HR Bukhari No: 1337) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Amalan bersedekah atau pemberian kepada orang lain adalah amalan mulia yang dituntut kepada setiap Muslim.

2.  Sedekah yang terbaik ialah sedekah yang tidak membawa kepada kemudaratan diri atau tanggungan, sebaliknya dilakukan dengan kemampuan dan keikhlasan.

3.  Keutamaan nafkah dan sedekah diberikan kepada ahli keluarga terlebih dahulu seperti isteri, anak dan ibu bapa sebelum bersedekah kepada orang luar.

4.  Antara perkara yang membawa kebahagiaan dalam berkeluarga adalah saling melaksanakan tanggungjawab. Satu daripada tanggungjawab ketua keluarga ialah menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

5.  Bersedekah atau pemberian yang sebaiknya adalah selepas menyempurnakan hak dan tanggungjawab ke atas ahli keluarga. Firman Allah:

وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ

“Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ” Yang lebih dari keperluan.” (Al Baqarah: 219).

Al ‘afwu dalam ayat di atas bermakna sedekah itu di luar keperluan asas (Ibnu Katsir, 2: 145).

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَتُكَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الْقُرْبَى الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

Rasulullah SAW bersabda: "Sedekahmu pada orang-orang miskin bernilai satu sedekah, sedangkan sedekahmu pada kerabatmu bernilai dua iaitu; (1) sedekah dan (2) menyambung silaturahim." (Musnad Ahmad No: 17197) Isnad Hasan

6.  Hadis ini menekankan prinsip keseimbangan antara tanggungjawab keluarga dan kebajikan masyarakat. Sedekah yang paling afdhal ialah sedekah yang dilakukan dengan penuh tanggungjawab, dalam keadaan mampu, serta dimulakan dengan ahli keluarga sendiri.

Mulakan pemberian kepada ahli keluarga terlebih dahulu termasuk ibu bapa serta kaum kerabat yang terdekat, lebih-lebih lagi apabila kita mengetahui ada ahli keluarga kita yang ada masalah kewangan.

Bersama membina keluarga bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama

Thursday, November 6, 2025

Jadilah Orang Yang Paling Baik Pada Ahli Keluarga

Khamis, 15 Jamadil Akhir 1447H  | Jadilah Orang Yang Paling Baik Pada Ahli Keluarga

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ

Daripada Aisyah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik antara kamu ialah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Apabila sahabat kamu meninggal dunia maka biarkanlah dia (jangan kamu membicarakan keburukannya)." (HR Tirmidzi No: 3830) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Perkahwinan bertujuan untuk mewujudkan rumah tangga dan ahli keluarga yang bahagia.

2.  Bagi mewujudkan kebahagiaan dalam berumah tangga, kita perlu berlaku baik terhadap ahli keluarga antaranya dengan saling memenuhi hak dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri, bapa dan ibu serta anak.

3.  Sebaik-baik kita adalah orang yang paling baik pergaulannya terhadap ahli keluarganya.

4.  Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Mubarakfuri  ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. Rujuk Tuhfat al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (10/269).

5.  Bertimbang rasa, bertolak ansur dan saling menyayangi antara pasangan dan anak-anak merupakan antara faktor yang menjamin keharmonian rumahtangga.

6.  Contohilah Rasulullah SAW dalam berbuat baik dan memberi layanan kepada ahli keluarganya kerana Rasulullah SAW paling baik layanan terhadap isteri dan anak-anaknya.

7. Islam melarang umatnya mengungkit atau menceritakan keburukan orang yang telah meninggal dunia kerana ia termasuk dalam perbuatan ghibah (mengumpat) yang diharamkan, melainkan untuk tujuan syarak seperti pengajaran atau penjelasan hukum.

Bersama membina keluarga bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama

Wednesday, November 5, 2025

Elak Jadi Peminta

Rabu, 14 Jamadil Awal 1447H  | Elak Jadi Peminta

عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: مَنْ تَكفَّلَ لِي أَنْ لَا يَسْأَلَ النَّاسَ شَيْئًا، أَتَكفَّلْ لَهُ بِالْجَنَّةِ؟ فَقُلْتُ: أَنَا. فَكَانَ لَا يَسْأَلُ أَحَدًا شَيْئًا.

Daripada Thawban RA bekas hamba yang telah dimerdekakan oleh Rasulullah SAW beliau berkata, Rasulullah bersabda:  "Siapakah yang sanggup berjanji kepadaku bahawa dia tidak akan meminta sesuatu daripada manusia, maka aku akan menjamin untuknya syurga?." Maka Thawban berkata: "Aku (wahai Rasulullah)." Dan Thawban pun tidak pernah meminta sesuatu daripada sesiapa pun selepas itu."(HR Abu Daud No: 1643) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam menggalakkan umatnya menjaga kehormatan diri dan menjauhi sifat suka meminta-minta.

2.  Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menyatakan bahawa hadis ini mendorong umat Islam agar bergantung sepenuhnya kepada Allah, dan tidak menjadikan manusia tempat bergantung untuk urusan dunia.

3.  Imam al-Ghazali berkata, meminta tanpa keperluan adalah kehinaan diri, dan membunuh rasa percaya kepada rezeki Allah.

4.  Besar pahala dan kemuliaan orang yang menjaga diri daripada mengemis dan meminta-minta, terutama jika dia mampu berusaha sendiri.

5.  Janji Rasulullah dengan syurga kepada orang yang menjaga maruah dan kehormatan diri daripada meminta menunjukkan tingginya nilai sifat ‘iffah (menjaga kehormatan diri) dalam Islam.

6.  Tidak bergantung kepada manusia secara berlebihan, terutama dalam hal dunia akan membentuk jiwa yang kuat, berdikari, dan yakin bahawa rezeki Allah itu cukup bagi sesiapa yang bertawakal dan berusaha.

7.  Umat Islam diajar supaya tidak malas atau mengharapkan bantuan tanpa sebab, walaupun daripada sesama Muslim. Dalam keadaan darurat, Islam membenarkan seseorang meminta pertolongan, tetapi dengan adab dan keperluan yang wajar.


Tuesday, November 4, 2025

Kewajipan Berdakwah Dan Hukum Meninggalkannya

Selasa, 13 Jamadil Awal 1447H  |  Kewajipan Berdakwah Dan Hukum Meninggalkannya

عَنْ هُشَيْمٍ وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي ثُمَّ يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوا إِلَّا يُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمْ اللَّهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ

Daripada Husyaim:  Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan pada suatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mencegahnya tetapi mereka tidak berbuat demikian, melainkan Allah akan menimpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab (HR Abu Daud No: 4338) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Kewajipan setiap Muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya SAW adalah berdakwah iaitu al-Amr bi al-Ma’ruf  dan al-Nahi an al-Munkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada perkara yang mungkar).

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 104::

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya:“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

2.  Setiap kita bertanggungjawab terhadap masyarakat. Diam terhadap maksiat walaupun mampu mencegahnya, adalah satu kesalahan besar.

3.  Sikap berdiam diri di atas perkara mungkar akan menyebabkan turunnya azab Allah SWT bukan hanya kepada seorang malah seluruh anggota masyarakat walaupun ada yang soleh dalam masyarakat tersebut.

4.  Imam al-Nawawi meriwayatkan daripada Abi al-Qasim al-Qusyairi dan kata-kata ini disandarkan kepada Abi Ali al-Daqqaq bahawa “barangsiapa yang diam akan sesuatu kebenaran, dia adalah syaitan bisu.” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 20/2].

5.  Cegahlah kemungkaran mengikut kemampuan kita. Daripada abu Sa’id al Khudri RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim No: 78) Status: Hadis Sahih

6.  Jadilahlah kita umat terbaik yang sentiasa berperanan mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada yang mungkar.


Monday, November 3, 2025

Umat Seperti Buih

Isnin, 12 Jamadil Awal 1447H  |  Umat Seperti Buih

عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:  يُوشِكُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ الْأُمَمُ مِنْ كُلِّ أُفُقٍ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ عَلَى قَصْعَتِهَا قَالَ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمِنْ قِلَّةٍ بِنَا يَوْمَئِذٍ قَالَ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنْ تَكُونُونَ غُثَاءً كَغُثَاءِ السَّيْلِ يَنْتَزِعُ الْمَهَابَةَ مِنْ قُلُوبِ عَدُوِّكُمْ وَيَجْعَلُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ قَالَ قُلْنَا وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الْحَيَاةِ وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

Daripada  Tsauban, pembantu Rasulullah SAW berkata; Rasulullah SAW  bersabda; "Akan tiba suatu masa dimana bangsa-bangsa dari seluruh pelusuk dunia mengerumuni kamu seperti orang-orang lapar mengerumuni piring makanan." Kami bertanya (para sahabat); Apakah ketika itu bilangan kami sedikit wahai Rasulullah? Rasulullah SAW bersabda; "Tidak, bahkan kamu ketika itu ramai, tetapi kamu seperti buih di atas air banjir. Allah akan mencabut rasa gerun dari hati musuh terhadap kamu dan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit Wahan" Kami (para sahabat) bertanya; Apakah  Wahan itu wahai Rasulullah? Rasulullah SAW bersabda; "Cinta dunia dan takut mati." (HR Ahmad No: 21363) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Akan sampai suatu masa umat Islam bilangannya ramai namun penghayatan kepada amalan Islam amat longgar. Penghayatan terhadap al-Quran dan al-Hadis tidak dihiraukan, semangat jihad dan pengorbanan semakin luntur.

2.  Umat Islam ramai bilangannya, tetapi tiada kekuatan sebenar  seperti buih di atas air yang tidak punya arah dan kekuatan.

3.  Musuh Islam mengerumuni umat Islam seperti mengerumuni makanan kerana tidak ada lagi rasa gerun di atas kehebatan yang ada pada umat Islam. Sifat yang ada pada umat Islam adalah ingin memenuhi keperluan nafsu masing-masing.

4.  Walaupun bilangan umat Islam ramai namun umpama buih, tiada kekuatan dan kemuliaan. Ditiup angin pecah dan berterbangan, tidak tahan lama menghadapi suasana dan cabaran. Lemah tidak bermaya kerana mereka menyeleweng daripada panduan al-Quran. Berbeza di zaman Rasulullah dan para sahabat, walaupun bilangan mereka sedikit namun mereka boleh mengalahkan musuh yang ramai.

كَم مِّن فِئَةٍ قَليلَةٍ غَلَبَت فِئَةً كَثيرَةً بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ

Maksudnya: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." (Surah al-Baqarah ayat: 249)

5.  Umat Islam lemah kerana telah dicampakkan kedalam hati mereka  sifat al-wahan iaitu kecintaan kepada dunia dan bencikan kematian (mereka hanya berlumba mendapatkan kepentingan keduniaan seolah-olah mereka tidak akan mati).

6.  Umat Islam akan hilang kehebatan dan dihina musuh apabila mereka lebih mencintai dunia dan takut berkorban demi agama. Umat Islam kehilangan jati diri, keberanian dan semangat jihad, akibat terlalu mencintai dunia dan takut mati.

7.  Nilai kekuatan umat Islam bukan dari segi bilangan tetapi yang lebih penting adalah dari aspek kualiti, mereka yang menghayati dan beramal dengan ajaran Islam.




Sunday, November 2, 2025

Beruntunglah Orang Yang Asing

Ahad, 11 Jamadil Awal 1447H  |  Beruntunglah Orang Yang Asing

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Islam muncul dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang terasing." (HR Muslim No: 208) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam dimulai dalam keadaan asing hanya sedikit orang yang menerima sebagaimana keadaan awal di Mekkah dan di Madinah. Islam pada awalnya tidak dikenali, ditolak dan ditentang. Kemudian ia mula tersebar dan ramai masuk Islam berbanding agama lain.

2.  Islam akan kembali asing di akhir zaman, sebagaimana awal kemunculannya. Syariat Islam hanya diamalkan oleh segelintir orang yang taat seperti di zaman awal sahabat, padahal umatnya ramai.

3.  Maka beruntunglah “orang-orang yang asing”  iaitu mereka yang tetap berpegang kepada kebenaran walaupun ditolak oleh masyarakat ramai, dan mereka akan mendapat ganjaran besar di sisi Allah.

4.  Umat Islam yang mengamalkan sunnah dianggap asing, ketinggalan zaman, tidak mengikuti arus semasa dan dituduh dengan pelbagai tuduhan yang menyakitkan. Sementara cara hidup lain seperti budaya barat diangkat dan dipandang mulia dalam masyarakat.

5.  Sebagai Muslim, kita hendaklah sentiasa istiqamah di atas ajaran Islam serta memelihara diri daripada terlibat dengan gejala sosial dan penyelewengan yang menyebabkan pandangan negatif masyarakat terhadap Islam.

6.  Beruntunglah orang yang asing (sedikit) kerana tetap berpegang kukuh dengan syariat Islam ditengah-tengah masyarakat yang lalai dan meninggalkan cara hidup Islam.

7.  Menurut Ibnu Ajlan: maksud ‘thuba lil ghuroba’ (beruntunglah orang yang sedikit) adalah, merekalah yang mendapat kebaikan terus menerus. 

8.  Rasulullah SAW memuji sikap mukmin yang istiqamah mengamalkan al-Quran dan al-Sunnah ketika masyarakat menjauhi dan memandang hina terhadapnya.


Saturday, November 1, 2025

Dosa Yang Tidak Ditunda Balasannya

Sabtu, 10 Jamadil Akhir 1447H  |  Dosa Yang Tidak Ditunda Balasannya

عَن أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال : كُلُّ ذُنُوبٍ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مِنْهَا مَا شَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، إِلَّا الْبَغْيَ، وَعُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ، وَقَطِيعَةَ الرَّحِمِ، يُعَجِّلُ اللَّهُ لِصَاحِبِهَا فِي الدُّنْيَا قَبْلَ الْمَوْتِ

Daripada Abu Bakrah RA, dari Nabi SAW bersabda: Setiap  dosa akan ditunda balasannya oleh Allah SWT hingga hari kiamat, kecuali al-baghy (zalim), durhaka kepada orang tua dan memutuskan silaturahim, Allah akan menyegerakan azabnya di dunia sebelum kematian menjemput.” (HR Al Hakim, Al Mustadrak No 7345). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap dosa seorang insan akan menerima balasan azab daripada Allah melainkan mendapat keampunan Allah.

2.  Ada diantara dosa daripada perbuatan maksiat seorang hamba itu akan dipercepatkan balasannya semasa hidup di dunia lagi di samping azab di hari akhirat antaranya:

a)  Dosa al-baghy (menzalimi hak orang lain sama ada dengan kuasa, kekayaan juga tindakan, ia adalah sifat tercela dan perbuatan melampau batas yang mempunyai akibat negatif sama ada pada pelaku dan masyarakat antaranya merampas hak orang lain, menindas pekerja atau rakyat, menuntut sesuatu yang tidak halal, memberontak, rasuah dan sebagainya)

b)  Dosa derhaka kepada orang tua (menyakiti hati, meninggikan suara, mengabaikan tanggungjawab, atau bercakap kasar kepada ibu bapa)

c)  Dosa memutuskan silaturahim (tidak bertegur sapa dengan ahli keluarga terdekat, menimbulkan permusuhan, atau enggan membantu walau mampu)

3.  Balasan atau azab terhadap dosa ini akan dirasai di dunia sebelum datangnya kematian, sama ada dalam bentuk kesempitan hidup, kegagalan dalam urusan hidup, penyakit juga hilang keberkatan umur, rezeki dan ketenangan jiwa.

4.  Kezaliman, derhaka kepada ibu bapa dan memutuskan silaturrahim adalah dosa yang sangat berat di sisi Allah. Berusahalah menjauhi perbuatan dosa yang akan disegerakan balasannya semasa hidup lagi.


Friday, October 31, 2025

Rasulullah SAW Enggan Solatkan Jenazah Mati Syahid

Jumaat, 9 Jamadil Akhir 1447H | Rasulullah SAW Enggan Solatkan Jenazah Mati Syahid

عَنْ زَيْدِ بْنِ خَالِدٍ الْجُهَنِيِّ أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تُوُفِّيَ يَوْمَ خَيْبَرَ فَذَكَرُوا ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ فَتَغَيَّرَتْ وُجُوهُ النَّاسِ لِذَلِكَ فَقَالَ إِنَّ صَاحِبَكُمْ غَلَّ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَفَتَّشْنَا مَتَاعَهُ فَوَجَدْنَا خَرَزًا مِنْ خَرَزِ يَهُودَ لَا يُسَاوِي دِرْهَمَيْنِ

Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani bahawa seorang sahabat Nabi SAW meninggal dunia pada hari peperangan Khaibar. Kemudian sahabat memberitahu hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Lalu baginda bersabda: "Solatkanlah jenazah sahabat kamu itu!". Maka berubah wajah para sahabat kerana terkejut mendengar sabda Baginda. Lalu baginda menegaskan: "Sesungguhnya sahabat kalian telah mengkhianati harta rampasan perang di jalan Allah." Kemudian kami segera memeriksa barang-barangnya, dan kami menjumpai perhiasan milik orang  Yahudi yang harganya tidak sampai dua dirham. (HR Abu Daud No: 2335) Sanad Tsiqah

Pengajaran:

1.  Setiap harta yang kita miliki perlu dipastikan bersih dan halal hasil dari sumber yang benar dan baik.

2.  Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan jenazah sahabat yang mengambil harta yang bukan haknya walaupun nilainya kecil (tidak sampai 2 dirham atau lebih kurang RM 2.00).

3.  Perbuatan ghulul iaitu mengambil harta yang berkaitan dengan hak orang lain atau dengan cara menzalimi orang lain seperti rasuah, mencuri, harta rompakan, menipu atau sebarang sumber yang haram.

4.  Menurut al-Nasafi, ghulul adalah apabila seseorang mengambil sesuatu dengan sembunyi-sembunyi  ( ‘Abd Allah bin Ahmad, Tafsir al-Nasafi, h.191). Dengan kata lain segala macam bentuk pangambilan dan penyimpangan harta, seperti rasuah, penipuan, manipulasi dan mencuri, termasuk perbuatan ghulûl. Kalimah ghulul secara umum digunakan untuk setiap pengambilan harta oleh seseorang secara khianat, atau tidak dibenarkan dalam tugas yang diamanahkan kepadanya.

5.  Larangan mengambil harta yang bukan hak ini walaupun nilainya kecil sehingga menyebabkan Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan, enggan mendoakan untuk pengampunan dan keselamatan untuk jenazah tersebut menunjukkan baginda sangat marah dengan perbuatan itu.

6.  Jika nilai harta yang sekecil itu Rasulullah SAW tidak mahu menyembahyangkan jenazah tersebut apa lagi kalau jumlah yang lebih besar.

7.  Hadis ini adalah amaran tegas terhadap ketidakjujuran dalam urusan harta awam. Perkara kecil di mata manusia boleh menjadi sebab besar bagi azab di akhirat, jika melibatkan hak bersama.

Thursday, October 30, 2025

Makan Dari Sumber Haram

Khamis, 8 Jamadil Akhir 1447H  |  Makan Dari Sumber Haram

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ إِلَّا كَانَتْ النَّارُ أَوْلَى بِهِ

Daripada Kaab bin Ujrah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah daging manusia tumbuh dari barang yang haram kecuali neraka lebih berhak atasnya (HR Tirmizi No: 558) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Setiap makanan atau minuman yang dimasukkan ke dalam mulut, pastikan ianya dari sumber yang halal dan baik.

2.  Makanan dan minuman daripada sumber yang haram seperti hasil mencuri, rasuah, riba, menipu dalam jual beli, menindas, salah guna kuasa, membuat tuntutan palsu, makan harta anak yatim tanpa hak akan menumbuhkan daging pada tubuh badan kita. Apa sahaja sumber yang batil adalah diharamkan dan berdosa.

3.  Daging yang tumbuh hasil daripada makanan dan minuman yang haram tidak layak masuk ke syurga melainkan mendapat pengampunan daripada Allah SWT.

4.  Imam al-Ghazali menyatakan bahawa makanan haram akan menggelapkan hati dan menyebabkan doa tidak diterima dan amalnya tertolak.

5.  Ketahuilah, hasil yang diperolehi secara salah adalah haram dan tidak berkat. Sanggupkah kita memberi makan dan minum kepada anak isteri serta keluarga kita dari sumber yang haram? Ingatlah, memakan makanan dari sumber yang haram maka nerakalah lebih utama baginya.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ فَالنَّارُ أَوْلَى بِهِ

Maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh dari yang haram maka Neraka lebih layak baginya.”(HR at-Thabrani dalam Al-Kabir, 19/136; Sahihul Jami’, 3594.)

Ibnu Mas’ud berkata: “Perbuatan Shuht” adalah seseorang menyelesaikan hajat saudaranya maka orang tersebut memberikan hadiah kepadanya lalu dia menerimanya. Lalu dengan harta haram itu ia makan, berpakaian, berkendaraan, membeli rumah, atau menyewanya, melengkapkan perabot didalamnya serta mengenyangkan perutnya dengan yang haram tersebut. Nerakalah tempat yang layak baginya.


Wednesday, October 29, 2025

Pemberi, Penerima dan Pengantara Rasuah Dilaknat

Rabu, 7 Jamadil Akhir 1447H  | Pemberi, Penerima dan Pengantara Rasuah Dilaknat

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا

Daripada Thauban RA berkata: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya” (HR Ahmad No: 22399), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (1415) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW melaknat mereka yang terlibat dengan rasuah sama ada pemberi, penerima mahupun pengantara atau orang tengah.

2.  Para ulama’ sebahagiannya menafsirkan maksud dilaknat dengan makna ia termasuk dalam dosa besar. Imam al-Zahabi memasukkan rasuah ini dalam salah satu daripada dosa-dosa besar melalui kitabnya al-Kabair.

3.  Mereka yang terlibat dengan rasuah sama ada secara langsung mahupun tidak langsung termasuk orang yang menjadi pemudah cara atau orang tengah adalah dilaknat dan mereka akan menanggung dosa dan balasan di akhirat.  Kaedah fiqh menyatakan:

الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya: Menolong perbuatan maksiat juga adalah maksiat.

4.  Imam Ibnul Arabi mengatakan: Rasuah adalah setiap suatu pemberian yang diberikan untuk membeli dan membayar seseorang yang memiliki jawatan untuk membantunya memiliki sesuatu yang tidak halal baginya.

5.  Pengharaman rasuah dalam al-Quran diambil daripada celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah. Allah SWT berfirman:

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ

Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya) (Surah al-Maidah Ayat: 42)

Imam al-Baghawi menjelaskan ayat ini dengan mengatakan: “(Ayat) ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka’ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 3/58)

Said bin Jubair menghuraikan ayat ini dengan mengatakan bahawa makna أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ adalah rasuah kerana rasuah adalah memakan harta yang diharamkan Allah.

6.  Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, rasuah bukan hanya jenayah kewangan tetapi pengkhianatan terhadap amanah dan merosakkan aqidah, kerana menunjukkan hilangnya rasa takut kepada Allah.


Tuesday, October 28, 2025

Pelaku Rasuah Dilaknat Allah dan Rasul

Selasa, 6 Jamadil Akhir 1447H  |   Pelaku Rasuah Dilaknat Allah  dan Rasul

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Daripada Abdullah bin 'Amr RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:"Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah" (HR Tirmizi No: 1337) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Amalan memberi dan menerima rasuah adalah perbuatan keji bukan hanya haram tetapi termasuk dalam dosa besar dan pelakunya dilaknat oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

2.  Rasuah merupakan sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 22/219)

3.  Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun dan sebagainya.

4.  Rasuah bukan sekadar salah laku moral, tetapi merupakan pengkhianatan terhadap amanah masyarakat dan agama. Rasuah membawa kepada ketidakadilan, kezaliman, penindasan dan keruntuhan sistem masyarakat. Rasuah menyekat hak orang lain dan mengangkat yang tidak layak.

5.  Rasulullah SAW juga mengancam neraka ke atas mereka yang terlibat.

الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي فِي النَّارِ

Maksudnya: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah berada dalam neraka.” (HR al-Tabarani dalam al-Kabir No: 4415) Status: Hadis Sahih

6.  Setiap pemberian atau penerimaan sesuatu dengan jalan yang batil atau salah adalah dosa besar dan dilarang. Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah ayat: 188).

7.  Pemberi dan penerima rasuah akan dijauhkan dari Rahmat, kasih sayang dan keampunan Allah. Ia adalah amaran keras, kerana tidak semua dosa dilaknat oleh Allah, tetapi rasuah termasuk di antaranya. Jangan sekali-kali terlibat dengan Rasuah yang mengakibatkan kita dilaknat oleh Allah dan Rasul.


Monday, October 27, 2025

Jangan Ambil Yang Bukan Hak

Isnin, 5 Jamadil Akhir 1447H  |  Jangan Ambil Yang Bukan Hak

عَنْ أَبِي حُمَيْدٍ السَّاعِدِيِّ قَالَ اسْتَعْمَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا مِنْ الْأَسْدِ يُقَالُ لَهُ ابْنُ اللُّتْبِيَّةِ قَالَ عَمْرٌو وَابْنُ أَبِي عُمَرَ عَلَى الصَّدَقَةِ فَلَمَّا قَدِمَ قَالَ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا لِي أُهْدِيَ لِي قَالَ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ وَقَالَ مَا بَالُ عَامِلٍ أَبْعَثُهُ فَيَقُولُ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا أُهْدِيَ لِي أَفَلَا قَعَدَ فِي بَيْتِ أَبِيهِ أَوْ فِي بَيْتِ أُمِّهِ حَتَّى يَنْظُرَ أَيُهْدَى إِلَيْهِ أَمْ لَا وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا يَنَالُ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنْهَا شَيْئًا إِلَّا جَاءَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَحْمِلُهُ عَلَى عُنُقِهِ بَعِيرٌ لَهُ رُغَاءٌ أَوْ بَقَرَةٌ لَهَا خُوَارٌ أَوْ شَاةٌ تَيْعِرُ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى رَأَيْنَا عُفْرَتَيْ إِبْطَيْهِ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ هَلْ بَلَّغْتُ مَرَّتَيْنِ

Daripada Abu Humaid As Sa'idi dia berkata, "Rasulullah SAW mengambil seorang lelaki dari suku Al-Asad bernama Ibnu Luthbiyah sebagai pekerja. Amru dan Ibnu Abu 'Umar berkata (Nabi SAW mengupah lelaki tersebut) untuk mengumpulkan harta zakat. Ketika lelaki tersebut menyerahkan zakat yang dikutip, dia berkata, "Zakat ini kuserahkan kepada kamu  (Rasulullah), dan ini pemberian orang kepadaku sebagai hadiah." Abu Humaid berkata, "Rasulullah SAW lalu naik ke atas mimbar dan berkhutbah, setelah baginda memuji-muji Allah, baginda menyatakan: "Adakah patut seorang petugas yang aku tugaskan untuk mengurus suatu tugas, dia berkata, 'Ini untuk kamu, dan ini hadiah orang kepadaku!.' Mengapa dia tidak duduk saja di rumah ibu bapanya menunggu orang menghantarkan hadiah kepadanya? “Demi (Allah), yang jiwaku berada di tanganNya. Tidaklah seseorang mengambil sesuatu daripadanya (harta secara tidak halal), melainkan dia akan datang pada hari Kiamat sambil memikul ditengkuknya. Jika (yang diambil) seekor unta, maka (unta itu) bersuara. Jika (yang diambil) seekor lembu, maka (lembu itu pun) bersuara. Atau jika (yang diambil) seekor kambing, maka (kambing itu pun) bersuara." Kemudian baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kami melihat putih kedua ketiaknya, kemudian baginda bersabda: 'Ya Allah, telah aku sampaikan.' Baginda mengatakannya dua kali." (HR Muslim No: 3413) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap pekerja yang diupah melakukan suatu pekerjaan, menjadi kewajipan kepadanya melaksanakan pekerjaan tersebut dengan amanah bukan mengkhianatinya.

2.  Pekerja yang amanah dan jujur hanya akan mengambil upah yang diberi dan tidak sekali-kali mengkhianatinya.

3.  Sesiapa yang mengambil sesuatu yang lain daripada upah yang dibayar kepadanya, akan dipersoal di hari kiamat.

4.  Hadiah kepada penjawat awam dalam konteks ini dianggap sebagai rasuah atau salah guna kuasa, kerana tidak akan diberikan kepadanya jika dia bukan seorang yang berjawatan.

5.  Menerima sebarang bentuk hadiah lebih-lebih lagi daripada orang yang berurusan dengan bidang kerjanya adalah dilarang kerana dibimbangi ada tujuan lain.

6.  Rasulullah SAW mengingatkan bahawa setiap harta kita akan dipersoal dari mana sumbernya dan kemana dibelanjakan:

لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ …… وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ

Maksudnya: “Tidak berganjak dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya - tentang hartanya dari mana diperolehi dan kemana dibelanjakan” (HR Tirmizi No: 2341).

Sebagai warga negara yang bertanggungjawab dan memiliki semangat patriotik dan cintakan negara, pastikan setiap kita memelihara amanah yang diberi. Pastikan juga harta yang kita perolehi adalah yang bersih dan halal. Jangan sesekali mengambil dan menerima yang bukan hak kita.


Sunday, October 26, 2025

Pesanan Buat Musafir

Ahad, 4 Jamadil Awal 1447H  |  Pesanan Buat Musafir

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلاً قَالَ : يَا رَسُولَ اللهِ  إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُسَافِرَ فَأَوْصِنِي  قَالَ : عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ  وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ  فَلَمَّا أَنْ وَلَّى الرَّجُلُ  قَالَ : اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ  وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak bermusafir. Maka berilah wasiat kepadaku. Baginda bersabda: Engkau hendaklah bertakwa kepada Allah dan bertakbir ketika menaiki di tempat yang tinggi. Kemudian ketika orang itu ingin pergi, Baginda SAW berdoa untuknya: Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya, dan mudahkanlah perjalanannya.” (HR Tirmizi No: 3445) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Ramai dalam kalangan kita mengambil kesempatan untuk bermusafir sama ada bercuti rehat bersama keluarga mahupun menziarahi ahli keluarga pada hujung minggu juga cuti sekolah. Sebelum bermusafir, mintalah nasihat daripada orang yang soleh atau berilmu. Wasiat yang baik akan menjadi panduan sepanjang perjalanan.

2.  Musafir itu satu bentuk ibadah jika niatnya baik, seperti menuntut ilmu, ziarah, berniaga secara halal, atau berjihad. Maka perjalanan itu perlu disertai dengan amalan sunnah dan adab Islam.


3.  Antara pesanan Rasulullah SAW kepada orang yang ingin bermusafir:

a.  Sentiasa bertaqwa kepada Allah. Takwa adalah bekalan utama dalam setiap keadaan, termasuk ketika bermusafir, kerana ia melindungi kita daripada dosa dan maksiat.

b.  Apabila menaiki tempat yang tinggi hendaklah bertakbir.

4.  Syeikh al-Mubarakfuri yang mensyarahkan hadis ini menyatakan ia merupakan pesanan supaya orang yang bermusafir itu:

a.  Sentiasa bertakwa kepada Allah SWT.

b.  Sentiasa takut dan menjaga diri daripada melakukan maksiat kepada-Nya.

c.  Mengingati kebesaran Allah SWT dan bersyukur dengan segala kurniaan-Nya (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/406)

5.  Bagi kita yang mengetahui ada ahli keluarga atau sahabat yang akan bermusafir, doakanlah mereka dengan doa ini:

اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ  وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ

Maksudnya: “Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya (cepat sampai ke destinasi), dan mudahkanlah perjalanannya (jauh daripada bahaya juga gangguan)”


Saturday, October 25, 2025

Rasulullah SAW Enggan Solatkan Jenazah Berhutang

Sabtu, 3 Jamadil Akhir  | Rasulullah SAW Enggan Solatkan Jenazah Berhutang

عَنْ سَلَمَةَ بْنِ الْأَكْوَعِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ صَلِّ عَلَيْهَا قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ قِيلَ نَعَمْ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ قَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ

Daripada Salamah bin Akwa` RA bahawa dia berkata: “Pernah suatu ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah SAW, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah SAW: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Adakah dia mempunyai hutang?” Mereka menjawab, “Tidak”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu harta?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon, “Wahai Rasulullah, solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah SAW, “Adakah dia mempunyai hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW bersabda, “Apakah dia meninggalkan sesuatu harta (untuk membayar hutang)?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu. Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW, “Adakah dia mempunyai hutang?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah berkata: “Mohon solatkan ke atas jenazah ini wahai Rasulullah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.” (HR Bukhari No: 2286) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hutang adalah perkara penting yang perlu diambil berat. Hutang yang belum diselesaikan boleh menyebabkan urusan akhiratnya terganggu, termasuk dari aspek penghormatan ke atas jenazahnya.


2.  Setiap hutang yang dibuat perlu dijelaskan dengan segera, sama ada hutang kepada individu mahupun hutang pada bank atau organisasi.

3.  Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan jenazah orang yang berhutang sehinggalah ada yang menjelaskan hutang tersebut. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tindakan Nabi SAW adalah untuk mendidik dan menakutkan umat tentang kesan buruk hutang, bukan kerana jenazah itu tidak layak disolatkan.

4.  Berusahalah sedaya upaya mengelakkan diri daripada berhutang kecuali diyakini mampu untuk membayarnya semula.

5.  Bagi orang yang berhutang, pastikan hutang ditulis dan dimaklumkan kepada ahli waris agar dapat diselesaikan daripada harta pusaka yang ditinggalkan apabila berlaku kematian kepada penghutang.

6.  Pentingnya perancangan kewangan sebelum mati. Muslim digalakkan membuat wasiat dan meninggalkan harta yang cukup untuk melangsaikan hutang jika ada.


Friday, October 24, 2025

Sebaik-baik Pakaian

Jumaat, 2 Jamadil Awal 1447H  |  Sebaik-baik Pakaian

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: البِسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبِيَاضَ فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ، وَإِنَّ خَيْرَ أَكْحَالِكُمْ الإِثْمِدُ: يَجْلُو الْبَصَرَ، وَيُنْبِتُ الشَّعَرَ

Daripada Abdullah bin Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: "Pakailah pakaian berwarna putih kerana ia adalah sebaik-baik pakaian kamu, dan kafankanlah orang-orang mati kamu dengannya. Dan sebaik-baik celak kamu ialah al-Ithmid, kerana ia mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu mata (rambut)." (HR Abu Daud No: 3878) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam menganjurkan kesederhanaan dalam berpakaian, dan warna putih adalah sunnah yang terbaik.

2.  Pakaian berwarna putih adalah sebaik-baik pakaian kerana ia melambangkan kesucian dan kebersihan serta tidak melambangkan sesuatu yang berlebihan, warna  sederhana amat sesuai dengan adab tawaduk dalam Islam.

3.  Menggunakan kain kafan warna putih untuk jenazah melambangkan kesederhanaan dan kesucian dalam menghadap Tuhan.

4.  Penjagaan diri termasuk penggunaan celak seperti ithmid juga dianjurkan. Ithmid adalah sejenis batu mineral hitam kemerah-merahan, dihancurkan halus dan digunakan sebagai celak mata.

5.  Celak Ithmid boleh memberi kesan kesihatan kepada mata jika digunakan dengan betul, mampu mencerahkan pandangan mata dan membantu menumbuhkan bulu mata atau rambut halus di sekeliling mata.