Thursday, December 16, 2010

Hari Assyura - 10 Muharam

Khamis; 10 Muharam 1432H : Umat Islam digalakkankan berpuasa pada 10 Muharam atau dikenali dengan Hari Asyura. Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharram.

Menurut tradisi masyarakat Islam, Nabi Muhammad SAW melakukan puasa Asyura sejak di Makkah lagi memandangkan puasa Asyura merupakan amalan biasa masyarakat tempatan. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda turut mendapati yang kaum Yahudi turut berpuasa pada hari Asyura (atau bagi mereka adalah Yom Kippur yang juga pada hari kesepuluh). Ketika itu, baginda mengesahkan dan mensyariatkan puasa sehingga ia menjadi satu kewajiban kerana baginda merasakan masyarakat Islam lebih dekat dengan Nabi Musa. Ibn Hajar al-asqalani, dalam pernyataannya terhadap Sahih Bukhari mengatakan yang syariat puasa telah dijadikan kepada bulan Ramadhan setahun kemudian. Kini, masyarakat Islam melakukan puasa pada 10 Muharram sebagai amalan sunat dan bukan kewajiban.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puasa yang lebih utama selepas Ramadhan ialah puasa di dalam bulan Allah yang dimuliakan iaitu bulan Muharram. Manakala sembahyang sunat yang afdhal selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat di waktu malam (terutama di malam bulan Ramadhan). (HR Muslim)

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (HR Muslim).

Diriwayatkan daripada Mu`awiyah bin Abu Sufyan r.a berkata: ”Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:"Ini adalah hari `Asyura dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa sedangkan aku berpuasa. Maka sesiapa yang hendak berpuasa maka berpuasalah dan sesiapa mahu (tidak berpuasa) maka berbukalah dia (boleh tidak berpuasa)." (HR Bukhari)

Dari Abu Qatadah al-Anshari r.a. katanya:”Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapuskan dosa tahun yang lalu". (HR Muslim)

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:”Rasulullah saw. bersabda, maksudnya: "Berpuasalah kamu pada hari `Asyura' dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya." (HR Ahmad)

Keterangan :

1. Setiap mukmin dituntut melaksanakan segala amal ibadat sebaik mungkin. Di samping mengerjakan ibadat wajib kita juga hendaklah sentiasa melakukan ibadat sunat. Tujuannya adalah untuk menampal segala kekurangan dan kelemahan dari segi pelaksanaan amalan yang wajib itu. Dengan lain perkataan, bagi mengimbangi segala amal ibadat yang dilaksanakan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan, sedangkan dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberi pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” ( an-Nah: 97).

2. Hari 'Asyura merupakan hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram. Rasulullah saw. telah menggalakkan umat Islam agar berpuasa pada hari terseut kerana ia mempunyai kelebihan yang tersendiri di samping kelebihan bulan Muharram itu sendiri

3. Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu`a' (sembilan Muharram) itu adalah untuk :

i. Menyalahi atau membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari `Asyura' (sepuluh Muharram) sahaja.
ii. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari `Asyura' kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.
iii. Bagi maksud menyambung puasa hari `Asyura' dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari `Asyura'. (lihat I`anah Ath-Thalibin 2/301)
Oleh kerana itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari `Asyura' tanpa berpuasa pada hari Tasu`a', supaya berpuasa pada hari kesebelas Muharram. Bahkan Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla' disunatkan berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram.

4. Allah memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya. Hal ini termasuklah peluang-peluang melakukan amal ibadat yang diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda berbanding dengan amalan-amalan yang dilakukan pada waktu-waktu biasa. Contohnya Allah memuliakan bulan Muharram dan menggalakkan kita berpuasa sunat. Peluang ini mungkin dipandang remeh bagi orang yang tidak mengetahui akan kelebihan yang ada padanya tetapi hakikatnya itulah nilai yang menentukan sejauh manakah kepekaan seseorang Muslim itu dalam mencari keredhaan Allah SWT dengan cara yang terbaik iaitu ia tidak mensia-siakan nikmat sihat dan kelapangan waktu yang dikurniakan padanya kerana apabila seseorang itu sudah ditimpa sakit ataupun sibuk barulah mereka terasa akan kekurangan diri dalam mempersiapkan bekalan di hari akhirat kelak. Oleh itu marilah kita bersama-sama menyahut seruan Rasulullah ini mudah-mudahan ketaqwaan kita kepada Allah SWT semakin meningkat.

1 comment:

zainal said...

Apa azam tahun hijrah tahun ini. Masih kekal yg lama kerana masih belum capai? atau ada azam baru? Azamlah sesuatu walaupun kecil sebelum kita hijrah ke kubur.