Tuesday, February 28, 2017

Tiga Golongan Allah Tidak Bercakap

Selasa, 1 Jamadialakhir 1438H: Dari Abu Dzar r.a., dari Nabi saw., sabdanya: 

"Ada tiga golongan, di mana Allah tidak akan bercakap dengan mereka pada hari kiamat. Mereka itu ialah:

(1) Orang yang suka memberi, tetapi suka menyebut-nyebut pemberiannya itu.
(2) Orang yang menawar-nawarkan dagangannya dengan sumpah palsu.
(3) Orang yang suka berpakaian berjela-jela kerana sangat luasnya.

Hadis Sahih Muslim

Monday, February 27, 2017

Kalimah Ringan Di Lidah, Berat Di Timbangan

Isnin, 30 Jamadilawwal 1438H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Dua kalimat yang ringan di lidah (mengucapkannya) tetapi berat timbangan (pahala)nya, dan keduanya disukai Allah swt. ialah : 

"Subhanallahi wa bi hamdih, subhaanallaahil 'azhiim"(Maha Suci Allah dan Maha Terpuji Dia, Maha Suci Allah Yang Maha Agung)

Hadis Sahih Muslim

Friday, February 24, 2017

Mudah Yang Tidak Berdosa

Jumaat, 27 Jamadilawal 1438H: Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw. katanya: "Apabila Rasulullah saw. diberi pilihan dua urusan atau pekerjaan, beliau memilih yang termudah, selama yang termudah itu tidak mengandung dosa, jika pekerjaan itu mengandung dosa, maka beliau menjauhkan diri daripadanya sejauh-jauhnya. 

Dan beliau tidak pernah mencela seseorang, melainkan apabila orang itu melanggar larangan Allah 'Azza wa Jalla."

Hadis Sahih Muslim 

Tuesday, February 21, 2017

Panas Terik Dari Neraka Jahannam

Selasa, 24 Jamadilawal 1438H: Dari Abu Dzar r.a., katanya: "Kami bersama-sama dengan Nabi saw. dalam suatu perjalanan. Tiba-tiba Muadzin hendak azan. 

Maka bersabda Nabi saw. kepadanya, "Biarkan udara agak sejuk lebih dahulu! " 

Kemudian orang itu hendak azan pula. Beliau pun berkata, "Nantikanlah udara agak sejuk lebih dahulu!" 

Kemudian orang itu hendak azan pula. Beliau pun berkata, "Nantikanlah udara agak sejuk lebih dahulu!" 

Sehingga akhirnya bayangan bukit-bukit kecil telah sepadan dengan tingginya masing-masing. Maka bersabda Nabi saw., "Sesungguhnya panas yang terik itu dari neraka Jahannam".

Hadis Sahih Bukhari.

Monday, February 20, 2017

Balasan Syurga Buat Ibu

Isnin, 23 Jamadilawal 1438H: Dari 'Aisyah r.a. katanya: "Pada suatu hari seorang perempuan miskin datang kepada ku membawa dua orang anak perempuannya. Maka ku beri dia kurma tiga buah.

Lalu perempuan itu memberi anaknya masing-masing sebuah. Sedang yang sebuah lagi diangkat ke mulutnya hendak dimakannya sendiri, tetapi diminta oleh kedua anaknya.

Maka dibelahnya kurma yang hendak dimakannya itu lalu diberikannya kepada kedua anaknya, seorang sebelah.

Aku kagum menyaksikan perempuan itu, lalu ku ceritakan apa yang telah diperbuatnya itu kepada Rasulullah saw.

Maka bersabda beliau, "Sesungguhnya Allah Ta'ala mewajibkan syurga baginya, atau Allah Ta'ala membebaskannya dari seksa neraka."

Hadis Sahih Muslim

Friday, February 17, 2017

Sedang Marah

Jumaat, 20 Jamadilawal 1438H: Muhammad bin Katsir menyampaikan kepada kami dari Sufyan yang mengkhabarkan dari Abdul Malik bin Umair, dari Abdurrahman bin Abu Bakrah bahawa ayahnya pernah menulis surat kepadanya yang berisi sabda Rasulullah SAW,

"Seorang hakim tidak boleh memutuskan perkara di antara dua orang berperkara ketika dia sedang marah.'"

(HR Abu Dawud, 3589)

Thursday, February 16, 2017

Catatan Amal Diangkat

Khamis, 19 Jamadilawal 1438H: Utsman bin Abu Syaibah menyampaikan kepada kami dari Yazid bin Harun, dari Hammad bin Salamah yang mengkhabarkan dari Hammad, dari Ibrahim, dari al-Aswad, dari Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda,

"Pena (catatan amal) diangkat kerana tiga hal: orang yang tidur hingga dia terbangun, orang gila hingga sembuh dan anak kecil hingga dia dewasa.'"

(HR Abu Dawud, 4398)

Wednesday, February 15, 2017

Saat Kewafatan Rasulullah SAW

Rabu, 18 Jamaldilawal 1438H: Dari Aisyah r.a., katanya: Di antara nikmat Allah kepada saya, Rasulullah s.a:w. wafat di rumah saya, di hari giliran saya, antara dada dan leher saya (bersandar kepadanya). Dan Tuhan mempercampurkan air liur saya dengan air liur beliau kerana sugi waktu beliau akan wafat. 

Abdur Rahman datang ke rumah saya, di tangannya ada sugi (pembersih gigi) sedang Rasulullah s.a.w. bersandar kepada saya. Saya lihat beliau memandang kepadanya. Saya ketahui bahawa beliau ingin bersugi. Saya tanyakan: "Akan saya pakaikan sugi itu untuk tuan?" 

Lalu beliau isyaratkan dengan kepala beliau (mengatakan setuju). Lalu saya berikan kepada beliau dan terasa keras oleh beliau. Lalu saya berkata: "Akan saya lunakkankah untuk tuan?" 

Beliau isyaratkan dengan kepala (tanda setuju). Lalu saya lunakkan dengan gigi. Dan di hadapan beliau ada bejana kecil atau bejana besar yang berisi air. 

Lalu beliau masukkan kedua tangan beliau ke dalam air itu dan beliau sapukan ke muka beliau sambil bersabda: "Tiada Tuhan selain Allah! Sesungguhnya bagi kematian itu ada sakaratul maut". Lalu beliau mengangkat tangannya sambil mengucapkan: "Teman Yang Maha Tinggi". Lalu beliau wafat dan rebahlah tangan beliau.

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, February 7, 2017

Ragu-Ragu Dalam Solat

Selasa, 10 Jamadilawal 1438H: Dari 'Abbad bin Tamim, dari pakciknya, katanya: 

"Ditanyakan orang kepada Nabi saw. perihal seorang lelaki yang ragu-ragu dalam solatnya, apakah dia keluar hadas (kentut dll) atau tidak. 

Jawab Nabi saw., "Jangan memutuskan solat, kecuali bila jelas terdengar kentut atau mencium bau."

Hadis Sahih Muslim 

Monday, February 6, 2017

Halal Dan Haram

Isnin, 6 Jamadilawal 1438H: Dari Nukman bin Basyir r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Yang halal sudah nyata, yang haram sudah nyata dan antara keduanya beberapa perkara yang diragukan. 

Barangsiapa meninggalkan apa yang diragukan tentang dosanya, biasanya orang itu meninggalkan pula apa yang sudah nyata berdosa. 

Dan siapa yang berani , melakukan apa yang masih diragukan tentang dosanya, dikhuatirkan ia jatuh pada perkara yang nyata dosanya. 

Segala macam maksiat adalah larangan Allah. Barangsiapa bermain-main sekitar larangan Allah, dikhuatirkan ia akan jatuh ke dalamnya.

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, February 2, 2017

Tidak Diterima Sedekah

Khamis, 5 Jamadilawal 1438H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: 

"Tidak diterima solat seseorang tanpa suci, dan tidak diterima sedekah yang berasal dari kejahatan (seperti mencuri, menipu, menggelapkan atau korupsi (rasuah), rompak, judi dan sebagainya).

Hadis Sahih Muslim 

Tuesday, January 24, 2017

Waktu Matahari Terbit & Terbenam

Selasa, 25 Rabiulakhir 1438H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : 

"Janganlah kamu menunggu-nunggu waktu (solat), kerana sengaja hendak solat tepat pada waktu matahari terbit, dan jangan pula pada waktu matahari terbenam."

Hadis Sahih Muslim 

Monday, January 23, 2017

Surah Al Alaq

Isnin, 24 Rabiulakhir 1438H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya : "Abu Jahil bertanya kepada kawan-kawannya, "Betulkah Muhammad menyentuhkan mukanya (ke tanah ketika sujud) di hadapan kalian?" 

Jawab kawannya, "Betul." 

Kata Abu Jahil, "Demi Lata dan 'Uzza. Jika kulihat dia berbuat seperti itu di hadapanku, akan ku pijak tengkuknya, atau ku tempelkan mukanya ke tanah." 

Kemudian didatanginya Rasulullah saw. ketika beliau sedang solat dengan maksud hendak memijak tengkuk beliau. Setelah dihampirinya, ternyata dia tidak sanggup melakukannya. Bahkan dia mundur sambil menutup muka dengan tangannya. Lalu dia ditanya oleh kawan-kawannya, "Mengapa engkau?" 

Jawab Abu Jahil, "Mengerikan! Ada dinding api menjilat-jilat." 

Sabda Rasulullah saw., "Seandainya dia tambah dekat kepada ku, nescaya tubuhnya dicabuti satu demi satu oleh malaikat." 

Maka turunlah ayat: "Ketahuilah, (Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana melihat dirinya cukup. Sesungguhnya kepada Tuhan mu sajalah kamu kembali Bagaimana pendapatmu tentang orang-orang yang melarang seorang hamba bila dia solat, bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu berada di atas kebenaran, atau dia menyuruh taqwa; dan bagaimana pendapatmu jika dia (yakni Abu Jahil) mendustakan atau berpaling? 

Tidakkah dia tahu bahawa sesungguhnya jika dia tidak berhenti (dari berbuat demikian) nescaya Kami tarik ubun-ubunnya, iaitu ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka. Maka biarlah dia memanggil golongannya (untuk memenangkannya) ; Kami akan memanggil malaikat Zabaniyah. Sekali-kali janganlah kamu mematuhinya (takut kepadanya). Tetapi haruslah sujud dan mendekatkan diri kepada Tuhan mu!"(Al 'Alaq,96: 6-9).

Hadis Sahih Muslim 

Friday, January 20, 2017

Ketika Adam DiCipta

Jumaat, 21 Rabiulakhir 1438H: Dari Anas r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Ketika Allah Ta'ala membentuk tubuh Adam di dalam syurga, Allah meninggalkannya beberapa lama. 
Sementara itu iblis datang mengelilingi dan memperhatikan apa yang sedang dibuat Allah. 

Ketika dilihat iblis tubuh itu berongga, tahulah dia bahawa Adam diciptakan sebagai makhluk yang tak dapat menguasai diri."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, January 19, 2017

Ruh Baik Dan Ruh Jahat

Khamis, 20 Rabiulakhir 1438H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya : "Apabila ruh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya, dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit." 

Kata Hammad, "Kerana baunya harum seperti kasturi." 

Kata penduduk langit, "Ruh yang baik datang dari bumi. Shallallahu 'alaika (Semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam." 

Lalu ruh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla. Kemudian Allah berfirman, "Bawalah dia ke sidratul muntaha, dan biarkan di sana hingga hari kiamat." 

Kata Abu Hurairah selanjutnya, "Apabila ruh orang orang kafir keluar dari tubuhnya, kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian, maka berkata penduduk langit, "Ruh jahat datang dari bumi." 

Lalu diperintahkan, "Bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, January 18, 2017

Halal,Haram, Syubahat & Hati

Rabu, 19 Rabiulakhir 1438H: Dari Nu'man bin Dasyir r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya yang halal telah nyata (jelas) dan yang haram telah nyata. Antara keduanya terdapat perkara yang diragukan (mutasyabihat - syubahat) yang tidak diketahui kebanyakan orang.

Maka siapa yang menjaga dirinya untuk tidak mengerjakan perkara yang diragukan, selamatlah agama dan peribadinya. Tetapi siapa yang jatuh ke dalam syubuhat, bererti dia jatuh kepada yang haram. Tak ubahnya seperti gembala yang menggembala di tepi tanah larangan. Dikhuatirkan dia akan jatuh ke dalam.

Ketahuilah, bahawa setiap kerajaan itu mempunyai larangan, dan larangan Allah Ta'ala ialah segala yang diharamkan-Nya.

Ketahuilah, bahawa di dalam tubuh manusia ada segumpal darah. Apabila gumpalan darah itu baik, maka baik pulalah tubuh itu keseluruhannya. Tetapi apabila gumpalan darah itu rosak, maka rosak pulalah tubuh seluruhnya. Ketahuilah, gumpalan darah itu ialah hati."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, January 17, 2017

Solat Ketika Junub?

Selasa, 18 Rabiulakhir 1438H: Dari Sa'id bin' Abdur Rahman bin Abza dari bapanya,. katanya: "Seorang lelaki datang kepada 'Umar bertanya: "Aku junub, tetapi aku tidak mendapat air. (Bagaimana aku solat?). 

Jawab 'Umar, "Jangan solat!" 

Kata 'Ammar, "Ya, Amirul Mukminin! Tidak ingatkah anda, ketika aku dan anda bersama-sama dalam suatu perjalanan? Lalu kita sama-sama junub dan tidak mendapat air. Ada pun anda tidak solat, tetapi aku berguling-guling di tanah lalu aku solat." 

Sesudah itu Nabi saw. bersabda, 'Sesungguhnya sudah cukup kalau anda memukulkan kedua tapak tangan anda ke tanah, sesudah itu ditiup, lalu di sapukan keduanya ke muka dan ke tangan." 

Kata 'Umar, "Takutlah kepada Allah, hai 'Ammar!" 

Kata 'Ammar, "Jika anda kehendaki, aku tidak akan menceritakan hadis ini."

Hadis Sahih Muslim

Monday, January 16, 2017

Jangan Guna Tangan Kanan

Isnin, 17 Rabiulakhir 1438H: Abu Qatadah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda:

"Apabila seseorang kamu minum, janganlah bernafas ke dalam bejana tempat minum dan apabila kamu buang air janganlah menyentuh kemaluanmu dengan tangan kanan, dan jangan pula bersuci dengan tangan kanan itu."

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, January 12, 2017

Amalan Jahiliyah

Khamis, 13 Rabiulakhir 1438H: Dari Abu Malik Al Asy'ari r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Ada empat macam kebiasaan jahiliyah terdapat di kalangan umat ku, yang belum ditinggalkan mereka :

(1) Membanggakan turunan, 
(2) Mencela turunan orang lain, 
(3) Mempercayai hujan turun disebabkan bintang-bintang, 
(4) Meratapi mayat.

Sabda beliau, "Jika wanita peratap itu tidak taubat sebelum dia mati, nanti di hari kiamat dia akan disuruh berdiri, lalu dipakaikan kepadanya celana terbuat dari minyak tar mendidih, dan baju berpenyakit kulit."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, January 11, 2017

Jangan Takut Menjalankan Perintah Allah

Rabu, 12 Rabiulakhir 1438H: Dari Ubadah bin Shamit r.a. katanya: Kami berjanji setia kepada Rasulullah saw. akan mendengarkan dan mematuhi perintah beliau, hal yang kami sukai atau kurang kami sukai.

Kami tidak akan membantah suatu perintah yang datang dari pembesar yang berhak dan kami akan tegak atau mengucapkan menurut yang sebenarnya, di mana saja kami berada.

Kami tidak boleh takut dalam menjalankan perintah Allah terhadap celaan orang yang mencela.

Hadis Sahih Bukhari