Wednesday, May 31, 2023

Kalimah Mengumpat Umpama Membusukkan Seluruh Air Laut

Rabu, 11hb Zulkaedah 1444H: Kalimah Mengumpat Umpama Membusukkan Seluruh Air Laut

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم حَسْبُكَ مِنْ صَفِيَّةَ كَذَا وَكَذَا قَالَ غَيْرُ مُسَدَّدٍ تَعْنِي قَصِيرَةً ‏.‏ فَقَالَ ‏"‏ لَقَدْ قُلْتِ كَلِمَةً لَوْ مُزِجَتْ بِمَاءِ الْبَحْرِ لَمَزَجَتْهُ ‏"‏ ‏.‏ قَالَتْ وَحَكَيْتُ لَهُ إِنْسَانًا فَقَالَ ‏"‏ مَا أُحِبُّ أَنِّي حَكَيْتُ إِنْسَانًا وَأَنَّ لِي كَذَا وَكَذَا ‏"‏

Daripada ‘Aisyah RA dia berkata : Aku berkata kepada Nabi SAW : Cukuplah bagimu dari keburukan Safiyah seperti ini. Berkata sebahagian perawi : Dia (‘Aisyah) mengisyaratkan bahawa Safiyah itu rendah. Baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau telah mengucapkan suatu kalimah yang mana jika dicampurkan (kalimah itu) dengan air laut nescaya akan tercampurlah (rosaklah dan bertukarlah) ia.” ‘Aisyah berkata : Aku menceritakan kepada baginda mengenai seseorang, baginda berkata : “Tidaklah aku suka bercerita mengenai seseorang walaupun aku diberi itu dan ini (dari benda-benda keduniaan).” 

(Sunan Abu Daud No: 4875) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Mengikut Imam Ghazali, mengumpat itu ialah engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya sekiranya sampai perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh badannya, keturunannya, akhlaknya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, atau dunianya termasuk pakaiannya, rumahnya atau haiwannya’. (Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)

2.  Mengumpat boleh terhasil dengan perkataan, penulisan, isyarat, gelaran dan lain-lain, walau sekecil mana pun perkara itu, ia dikira mengumpat.

3.  Cukuplah hadis ini menerangkan betapa buruknya mengumpat. Hanya dengan satu perkataan, bahkan dalam hadis di atas ‘Aisyah RA hanya mengisyaratkan sahaja bahawa Safiyah RA itu rendah (pendek), maka ia cukup untuk mengotorkan air laut seluruhnya.

4.  Berkata al-Nawawi: Makna ‘tercampurlah ia’ dalam hadis di atas ialah air itu bercampur dengan kalimah itu sehingga bertukar rasanya atau baunya disebabkan buruknya perkataan mengumpat  itu.

5.  Ramai pengguna laman sosial hari ini sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja menulis seakan gembira mempersenda mana-mana tokoh figura yang tidak digemari tanpa disedari perilaku tersebut sebahagian dari cemuhan dan umpatan yang ditegah agama. Sama ada melalui pelbagai posting juga gambar yang dimuat naik serta yang di tularkan.

6.  Moga kelak kita di akhirat, tidak termasuk dari kalangan orang-orang yang berkata:

يَٰحَسۡرَتَىٰ عَلَىٰ مَا فَرَّطتُ فِي جَنۢبِ ٱللَّهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ ٱلسَّخِرِينَ ٥٦

“Sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan” [al-Zumar: 56].

Tuesday, May 30, 2023

Muslim Yang Menyelamatkan

Selasa, 10 Zulkaedah 1444H: Muslim Yang Menyelamatkan

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya". 

(Sahih Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.

2.  Menjaga lisan daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan lain-lain adalah dituntut.

3.  Memelihara tangan dari melakukan perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya memukul malah termasuk menulis, memforward sesuatu yang berbentuk fitnah, menghina, mengadu domba dan lain-lain adalah dilarang.

4.  Mudahnya orang pada hari ini melakukan dosa besar yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat, memfitnah, mengadu domba di media elektronik dan diviralkan seperti TikTok, FB, WhatsApp, telegram, tanpa sedikitpun terdetik dihati bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis akan diminta pertanggungjawab dihadapan Allah. Firman Allah:
إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا

“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra 17 ; Ayat 36)

5.  Imam al-Khaththabi rahimahullâh berkata, hadis ini bermaksud bahawa kaum muslimin yang paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak Allah  dengan baik, dia juga dituntut menunaikan hak-hak sesama kaum muslimin dengan baik pula.

6.  Muslim yang paling utama ialah yang lisan dan tangannya menyelamatkan dirinya dan Muslim yang lain.

Thursday, May 25, 2023

Haji Mabrur Menghapuskan Dosa Seperti Bayi

Khamis, 5 Zulkaedah 1444H: Haji Mabrur Menghapuskan Dosa Seperti Bayi

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّه

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa  melaksanakan ibadat haji semata-mata kerana Allah dan ia tidak menuturkan perkataan keji dan tidak melakukan kefasikan (keluar dari ketaatan) maka ia akan kembali seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya (bersih dari dosa).

 (Sahih Bukhari No:1690) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Orang yang melaksanakan ibadah Haji dengan tidak melakukan perkara yang dilarang akan diampunkan dosanya bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

2.Haji mabrur adalah haji yang dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT (bukan kerana hendak melancong, berjual beli dan seumpamanya). Pelaksanaaan haji dengan kaifiyat (tata cara) yang betul sebagaimana yang diajarkan Nabi SAW akan menghasilkan pahala yang besar (syurga) dan keampunan dosa. Justeru, seseorang yang mahu melaksanakan ibadah haji mestilah memahami hukum-hukam berkaitan haji dan menjauhi perkataan yang kotor dan perbuatan fasiq.

3.Apabila seseorang melaksanakan ibadat haji dan menjauhi apa-apa yang Allah haramkan, berupa rafats dan fusuq iaitu meninggalkan perbuatan fasik dengan melakukan ketaatan, dan tidak meninggalkan apa-apa yang Allah wajibkan, serta tidak melakukan apa yang Allah haramkan - maka ia kembali dari ibadat haji dalam keadaan bersih dari dosa. Sebagaimana seseorang keluar dari perut ibunya tanpa membawa dosa, maka orang memenuhi syarat ini - dia akan bersih dari dosa.

4.Setiap Muslim yang akan melaksanakan ibadah haji hendaklah segera bertaubat (menyesali dan meninggalkan perbuatan maksiat) dan bertekad tidak akan mengulangi dosa-dosa tersebut. Bagi kesalahan dan dosa berkaitan dengan manusia atau mengambil haknya, hendaklah segera meminta maaf dan mengembalikan hak-hak mereka sebelum pergi melaksanakan haji. Sesungguhnya haji merupakan jalan menuju ke syurga dan membebaskan diri daripada api neraka.

5.Ibadat haji yang dilaksanakan akan menjadi penghapus dosa apabila dilaksanakan mengikut peraturan dan meninggalkan larangan. Imam al-Nawawi dalam Al-majmu berkata: “Apabila seseorang ingin mengerjakan ibadat haji maka ia wajib mempelajari tatacaranya, kerana tidak sah ibadah dari orang yang tidak mengetahuinya.”

Wednesday, May 24, 2023

Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

Rabu, 4 Zulkaedah 1444H: Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَجَّلُوا إِلَى الْحَجِّ يَعْنِي الْفَرِيضَةَ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَا يَدْرِي مَا يَعْرِضُ لَهُ

Daripada Ibnu Abbas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah kamu menunaikan haji (yang wajib) kerana kamu tidak mengetahui apa-apa yang mungkin menimpa” 

(Musnad Ahmad No: 2721) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1. Menunaikan ibadat haji suatu kewajipan kepada mereka yang berkuasa dan berkemampuan. Jangan ditangguh dengan sengaja.

2. Mengikut Imam Shafi’i kewajipan menunaikan haji tidaklah mesti disegerakan tetapi tidak pula bererti boleh dilambatkan.

3. Segera menunaikan haji dalam keadaan kita sihat dan mampu adalah penting sebagai langkah berjaga-jaga. Apatah lagi jika telah mendapat surat tawaran. Jika dilewatkan berkemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan langsung kerana luput masa atau berlaku sesuatu bencana.

4.Jika ada kemudahan untuk tidak menunggu giliran yang mungkin lama lagi; contohnya menggunakan package yang lebih bayarannya dan kita berkemampuan, maka elok diusahakan pemergian itu.

Tuesday, May 23, 2023

Kewajipan Ibadah Haji

Selasa, 3 Zulkaedah 1444H: Kewajipan Ibadah Haji

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ الْحَجَّ فَحُجُّوا فَقَالَ رَجُلٌ: أَكَلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلَاثًا فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: لَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ

Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasûlullâh SAW pernah berkhutbah: “Wahai sekalian manusia, Allâh telah mewajibkan haji bagi kalian, maka laksanakanlah ibadat haji.” Seorang laki-laki bertanya, “Wahai Rasûlullâh, apakah setiap tahun (kewajiban mengerjakan ibadat haji)?” Maka baginda diam, sehingga orang tadi bertanya tiga kali. Kemudian Rasûlullâh SAW bersabda, “Jika aku mengatakan ‘ya’, maka tentu wajib (haji setiap tahun), dan kamu tidak mampu.” 

(Sahih Muslim No: 1337) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Ibadat Haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukalaf.

2.Kewajipan ibadat haji hanya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan dan berkuasa.

3.Mereka yang tiada halangan dari sudut wang ringgit, kesihatan mahupun kemudahan untuk mengerjakan ibadat haji, namun masih tidak berusaha menunaikankannya atas alasan "belum sampai seru" dibimbangi jika meninggal dunia akan menjadi Yahudi atau Keristian.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَمْنَعْهُ عَنْ الْحَجِّ حَاجَةٌ ظَاهِرَةٌ أَوْ سُلْطَانٌ جَائِرٌ أَوْ مَرَضٌ حَابِسٌ فَمَاتَ وَلَمْ يَحُجَّ فَلْيَمُتْ إِنْ شَاءَ يَهُودِيًّا وَإِنْ شَاءَ نَصْرَانِيًّا

Daripada Abu Umamah, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa tidak terhalang untuk melakukan haji oleh suatu hajat yang jelas atau oleh penguasa yang zalim atau penyakit yang menahannya, kemudian ia meninggal dunia dan belum melakukan haji, boleh jadi ia meninggal dunia dalam keadaan sebagai Yahudi atau sebagai Nasrani." (HR Darimi No: 1719) Status: Isnad Dhaif

4.Kewajipan menunaikan ibadah haji adalah kepada mereka yang berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain termasuk mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang ditinggalkan.

5.Walaupun pada tahun ini ada yang masih belum berpeluang untuk mendapat giliran, paling tidak anda telah berusaha menabung dan mendaftar dengan Tabung Haji sebagai persiapan menunaikannya.

6.Bagi pandangan Imam Ahmad Ibn Hanbal, jika seseorang memiliki lebihan harta seperti harta tak alih (i.e. rumah lebih dari satu, kenderaan lebih dari satu) atau sesuatu yang lebih daripada keperluan, maka wajib ia menjual sebahagian daripadanya untuk keperluan menunaikan haji.

Monday, May 22, 2023

Pesanan Untuk Orang Yang Akan Bermusafir

Isnin, 2 Zulkaedah 1444H: Pesanan Untuk Orang Yang Akan Bermusafir

عَنْ سَالِمٍ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ يَقُولُ لِلرَّجُلِ إِذَا أَرَادَ سَفَرًا ادْنُ مِنِّي أُوَدِّعْكَ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوَدِّعُنَا فَيَقُولُ أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

Daripada Salim RA bahawa Ibn Umar RA berkata kepada seseorang apabila hendak melakukan musafir: “Datanglah  kepadaku, aku ingin menyampaikan ucapan perpisahan sebagaimana Rasulullah SAW mengucapkan kepada kami, kemudian beliau mengucapkan:

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.” 

(HR Tirmizi, No. 3443) Status: Hadis Sahih
.
Pengajaran:

1.Musafir adalah perjalanan seseorang daripada satu tempat ke satu tempat yang lain. Contohnya mengerjakan ibadat fardhu haji ke Mekah. Ianya boleh menyebabkan kesulitan dan kemudharatan kerana menimbulkan kesukaran, keletihan dan menghalang keselesaan, kerehatan serta kesempurnaan dalam beribadah sepanjang perjalanan.
 
2.Justeru, Rasulullah SAW telah mengajar para sahabat mengenai sunnah yang sangat baik untuk diamalkan apabila seseorang hendak melakukan musafir ialah mengucapkan doa kepadanya.

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.”

3. Terdapat juga dalam hadis Riwayat Anas RA, bahawa seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW memberitahu dia akan bermusafir, lalu Nabi SAW mendoakannya:

زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ

“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.” (Sunan Tirmizi No: 3444) Status: Hadis Sahih

4. Kebiasaannya, bermusafir akan menyebabkan hilangnya kesenangan dan keselesaan dalam melakukan amalan harian mahupun beribadah. Oleh sebab itu, Islam telah memberikan rukhsah (keringanan) kepada seseorang yang bermusafir. 

5. Sebagai Muslim hendaklah kita mendoakan orang yang akan bermusafir dan berpesan kepada mereka untuk sentiasa bertaqwa dan menjaga amalan ibadah sepanjang perjalanan tersebut.

6. Sempena musim orang bertolak untuk bermusafir mengerjakan ibadat haji, doakanlah mereka dengan doa di atas semoga mereka memperoleh kekuatan dan kemudahan sepanjang berada di sana dan mendapat haji yang mabrur.

Mari kita doakan  Duyufurrahman (tetamu Allah)  dengan lafaz:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

“Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

Friday, May 19, 2023

Jauhi Prasangka Dan Mencari Aib Orang

Jumaat, 28 Syawal 1444H: Jauhi Prasangka Dan Mencari Aib Orang

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara." (HR Bukhari No: 5604) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang beriman dilarang menaruh prasangka buruk kepada orang lain kerana ia akan mendorong kepada perbuatan menuduh tanpa bukti yang menjadi dosa besar. Ibnu Sirin berkata: “Jika sampai kepadamu berita yang tidak kamu sukai tentang saudaramu, maka carilah uzur untuknya. Jika kamu tidak mendapati uzur maka katakan, barangkali dia memiliki uzur yang aku tidak mengetahuinya.

2.  Islam menyuruh agar tidak mendiamkan diri jika kemungkaran berlaku di hadapan kita dengan mencegah atau menasihat dengan hikmah mengikut kemampuan.

3.  Muslim dilarang mencari-cari isu atau kelemahan orang lain. Lebih-lebih lagi isu atau kelemahan itu ditulis dan ditularkan di media elektronik seperti Tiktok, FB, Whatsapp, telegram dan sebagainya hingga mengaibkan peribadi seseorang.

4.  Setiap kita juga dilarang saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci. Raikanlah perbezaan yang ada pada kita dengan saling bermaafan.

5.  Setiap Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim.

Wednesday, May 17, 2023

Pahala Mengajak Kepada Kebaikan

Rabu, 26 Syawal 1444H: Guru Pemangkin Generasi Madani

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: "Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun." 

(HR Muslim No: 4831) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sesiapa sahaja yang berperanan mengajak, menasihat serta membimbing kepada kebaikan, mereka adalah seorang guru.

2.  Guru yang ingin mendapat ganjaran pahala berterusan akan   sentiasa melengkapkan dirinya dengan ilmu yang benar sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.

3.  Seorang guru akan sentiasa berusaha gigih dan bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu kepada orang lain tanpa mengira penat lelah bagi melahirkan generasi baharu yang berilmu dan memberi impak kepada kehidupan masyarakat dan negara.

4.  Guru yang menyampaikan, mendidik dan mengajar sesuatu ilmu yang benar, dia akan mendapat ganjaran pahala sama seperti pahala orang yang beramal dengan apa yang telah diajarkannya itu.

5.  Semakin ramai bilangan pelajar yang dibimbing dan diajar melakukan perkara yang baik dan bermanfaat, semakin banyak pahala yang diperolehi secara berterusan.

6.  Orang yang mengajar, membimbing dan menunjukkan yang buruk dan jahat, dia akan memperolehi ganjaran dosa sebanyak orang yang mengikuti dan beramal dengannya.

Tuesday, May 16, 2023

Guru dan Pahala Yang Berterusan

Selase, 25 Syawal 1444H: Guru dan Pahala Yang Berterusan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang selalu mendoakannya." 

(HR Muslim No: 3084) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim bergantung dengan amal yang mereka lakukan semasa hidup.

2.  Ada amalan yang dilakukan oleh seorang Muslim semasa hidup akan berterusan mengalir pahalanya walaupun dia telah meninggal:

a.  Sedekah yang pernah kita buat semasa hidup sama ada berbentuk wakaf, derma, pemberian, hadiah dan sebagainya. Selagi ia dimanafaatkan oleh makhluk samada manusia, binatang mahupun tumbuhan, ganjaran pahalanya akan tetap berterusan untuk orang yang mati.

b.  Ilmu bermanfaat sama ada ilmu agama mahupun ilmu dunia yang digunakan untuk kemaslahatan hidup termasuk buku, artikel, juga dalam bentuk elektronik seperti laman sesawang, FB, telegram, whatsapp.    Selagi ilmu tersebut diamalkan atau faedahnya dimanfaatkan, maka ganjaran pahala akan diperolehi oleh mereka yang menyampaikan atau yang memulakan.

c.  Anak solleh yang sentiasa mendoakan rahmat dan keampunan kepada kedua ibu bapa.

Monday, May 15, 2023

Penyebab Ramai Dihumban Ke Neraka

Isnin, 24 Syawal 1444H: Penyebab Ramai Dihumban Ke Neraka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَكْثَرَ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ الْأَجْوَفَانِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْأَجْوَفَانِ قَالَ الْفَرْجُ وَالْفَمُ قَالَ أَتَدْرُونَ أَكْثَرَ مَا يُدْخِلُ الْجَنَّةَ تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Sesungguhnya kebanyakkan penyebab manusia masuk neraka adalah disebabkan dua lubang.  

 Para sahabat bertanya; "Wahai Rasulullah, apakah dua lubang itu?" 

Maka baginda bersabda: "Kemaluan dan mulut. Baginda bersabda: Tahukah kalian apa penyebab kebanyakan orang masuk syurga? Jawab baginda:  taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik." 

(HR Ahmad No: 9319) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Seseorang akan ditempatkan kedalam neraka ataupun syurga bergantung pada amalan semasa di dunia.

2.  Kebanyakan penghuni neraka adalah berpunca daripada dosa mulut dan kemaluan:

a.  Dosa kemaluan seperti berzina, liwat, homoseks, lesbian, gay tidak menjaga auratnya selain mahram dan sebagainya.

b.  Dosa mulut atau lidah seperti makan dan minum dari sumber yang haram, mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengumpat, memfitnah, menghina, merendah-rendahkan orang lain, mengadu domba dan lain-lain termasuk yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan di media sosial.

3.  Mudahnya orang pada hari ini melakukan dosa mulut yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan. Memperkatakan serta forward sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat, memfitnah, mengadu domba di media elektronik dan diviralkan seperti FB, WhatsApp, telegram, tanpa terdetik dihatinya bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis dan diviral akan diminta pertanggungjawaban dihadapan Allah.

4.  Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan makna mulut di dalam hadis ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 6/120]

5.  Seseorang akan ditempatkan kedalam syurga disebabkan rahmat Allah atas amalan soleh yang dilakukan.

6.  Kebanyakan penyebab seseorang masuk syurga nanti adalah berpunca dari sifat taqwanya serta akhlak terpuji yang dimiliki.

Thursday, May 11, 2023

Jangan Saling Bermusuh

 Khamis, 20 Syawal 1444H: Jangan Saling Bermusuh

عَنْ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّام

Daripada Anas bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Janganlah kamu saling membenci, jangan saling iri hati, saling bermusuhan, saling memutuskan hubungan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari" 

(Sahih Bukhari No: 5718) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Umat Islam dilarang saling membenci sesama mereka

1.  Sifat iri hati dan cemburu kelebihan yang ada pada orang lain perlu dijauhi. Elakkan saling berdengki sesama Muslim

2.  Sifat bermusuhan dengan sesama Muslim adalah dilarang kerana setiap Muslim adalah bersaudara.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka bermusuh" (Sahih Bukhari No: 6765) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

3.  Muslim boleh berbeza pandangan namun perlu saling memaafkan

4.  Elakkan diri daripada tidak bertegur atau menjauhi saudara Muslim melebihi tiga hari.

Wednesday, May 10, 2023

Jauhi Perbuatan Keji Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

Rabu, 19 Syawal 1444H: Jauhi Perbuatan Keji Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali daripada orang yang celaka (berbuat keji)." 

(Sunan Tirmizi No: 1923) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki

2.  Allah akan mencabut sifat kasih sayang daripada seseorang yang melakukan perbuatan keji.

3.  Perbuatan keji (seperti memfitnah, mengumpat dan mencela) termasuk segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang  memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim.

4.  Salman al-Farisi menyatakan: Jika sifat kasih sayang dicabut bermakna sebahagian dari imannya juga akan dicabut maka jika sudah demikian maka dia tidak akan menemui Allah melainkan dalam keadaan telah menjadi syaitan yang dilaknat dan suka melaknat.

Monday, May 8, 2023

Tunaikan Permintaan

Isnin, 17 Sywal 1444H: Tunaikan Permintaan

عَنْ ابْنِ الْمُنْكَدِرِ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ مَا سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ شَيْءٍ قَطُّ فَقَالَ لَا

Daripada Ibn al-Munkadir, aku mendengar Jabir RA berkata; "Nabi SAW tidak pernah apabila diminta sesuatu lalu baginda berkata; "Tidak." 

(Sahih Bukhari No: 5687) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah seorang pemurah

2.  Rasulullah SAW juga tidak pernah menghampakan harapan dan permintaan orang lain

3.  Rasulullah SAW menunaikan permintaan orang lain tanpa merasa bimbang kehabisan harta.

Ayuh kita mencontohi sifat pemurah Rasulullah SAW.

Friday, May 5, 2023

Jadilah Hamba Allah Yang Bersaudara

Jumaat, 14 Syawal 1444H: Jadilah Hamba Allah Yang Bersaudara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara." (Sahih Bukhari No: 5717) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar agar kita menjauhi prasangka buruk kepada orang lain

2.  Islam menyuruh agar tidak mendiamkan diri jika kemungkaran berlaku di hadapan kita (perlu dicegah atau dinasihat)

3.  Muslim dilarang mencari-cari isu atau kelemahan orang lain.

4.  Setiap kita juga dilarang saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci.

5.  Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim.  Menjaga persaudaraan dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan orang lain, jangan berdengki, elakkan membenci, tidak membelakangkan orang lain dan bantu sahabat dengan mencegah dia daripada melakukan maksiat.

Wednesday, April 19, 2023

Rugilah Jika Ramadan Berlalu Dosa Tidak Diampunkan

Rabu, 28 Ramadhan 1444H: Rugilah Jika Ramadan Berlalu Dosa Tidak Diampunkan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Rugi (celaka) orang yang disebutkan namaku (nama Rasulullah SAW) di hadapannya, tetapi ia tidak mahu berselawat kepadaku. Rugi (celaka) orang yang masuk Ramadan, kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosa-dosanya diampuni. Rugi (celaka) seorang yang mendapatkan kedua orang tuanya di waktu tua (lanjut usia), tetapi keduanya tidak dapat menyebabkannya masuk Syurga.” 

 (Sunan Tirmizi No: 3545) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Satu daripada adab kita terhadap Rasulullah SAW ialah apabila nama baginda disebut, kita hendaklah menyahutnya dengan berselawat ke atas junjungan baginda SAW. Antaranya dengan lafaz

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Rugi mereka yang tidak menyahut dan berselawat ke atas Nabi SAW.

Sabda Nabi SAW:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

“Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi. No: 3469]. Status: Hadis Sahih
 
2.  Ramadan adalah bulan anugerah Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW untuk melaksanakan ibadat puasa di siang hari dan menghidupkan malam hari dengan pelbagai ibadat di malam hari.

3.  Alangkah ruginya kita jika tidak berusaha bersungguh-sungguh menjadikan ibadat puasa, ibadat di malam hari bermula daripada berbuka puasa, solat maghrib, solat isya, solat tarawih, solat tahajud, solat witir, solat sunat yang lain, tilawah, bersahur dan berdoa diwaktu sahur, bersedekah sebagai instrumen pengampunan dosa-dosa yang lalu.

4.  Memuliakan kedua orang tua bererti memuliakan Allah, kerana itu Allah menghubungkan berbuat baik kepada keduanya dengan bertauhid kepada Allah di dalam firman-Nya [Al-Israa': 23]:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

“Dan Rabb-mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkan-lah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Rugi mereka yang masih ada orang tua tidak berbuat baik kepada keduanya, tidak menunaikan tanggungjawab sebagai anak, menyayangi dan membantu segala keperluan mereka. Santunilah keduanya dengan sebaik mungkin.

5.  Marilah kita muhasabah apakah ibadat puasa kita serta menghidupkan ibadat malam hari yang dilakukan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu.

Jika ada dosa kita sepanjang ramadan berbentuk fitnah, umpatan dan sebagainya yang berkaitan dengan orang lain,  mohonlah kemaafan. Moga kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang celaka.

6.  Semoga Ramadan yang kita lalui benar-benar menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan kita kembali kepada fitrah bersih dari dosa.

Tuesday, April 18, 2023

Dua Kegembiraan Orang Berpuasa

Selasa, 27 Ramadhan 1444H: Dua Kegembiraan Orang Berpuasa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ …. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ .....

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda… Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti…. 

(H.R. Muslim No : 1945)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bagi orang puasa, mereka akan mendapat kegembiraan ketika berbuka kerana dapat makan dan minum serta menghilangkan  rasa lapar dan dahaga selepas menahannya di siang hari.

2.  Kegembiraan kedua apabila dapat bertemu Allah kelak. Ia hanya akan terhasil dari puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, menjaga segala syarat, kehendak dan mengharap keredhaan Allah. Hal ini penting untuk kita meraih kegembiraan yang hakiki di akhirat dengan ganjaran keampunan.

3.  Bukan sekadar rasa nikmat selepas menahan lapar, iaitu tidak sekadar letih jasmani. Tapi yang kita inginkan juga nikmat rohani. Hubungan dan ikatan kita dengan Allah SWT  menerusi amalan kita. Ibadat yang benar-benar bertunjangkan keikhlasan dan kehambaan dalam menjalaninya.

4.  Marilah kita berusaha meraih kedua-dua kegembiraan. Kita menjaga dan melatih mulut, pandangan dan segala pancaindera yang lain agar akur kepada perintah Allah.

5.  Mohon jauh dari puasa yang sia-sia. Jika hanya kegembiraan yang pertama kita raih, rugi dan sia-sialah kita. Rugi juga jika hanya perut yang lapar, tapi nafsu masih sentiasa kenyang. "Dedah aurat, pergaulan bebas, asyik dengan hiburan, web lucah, mengumpat, menghina, dedah aib, berkata kotor, menyebarkan fitnah dan perkara yang tidak betul menerusi WhatsApp, Telegram, FB serta  bermacam-macam lagi dosa lain. Andai solat yang ditinggalkan, maka tiada guna seluruh puasanya".

Monday, April 17, 2023

Zakat Fitrah Menyucikan

Isnin 26 Ramadhan 1444H: Zakat Fitrah Menyucikan

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ

Daripada Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai satu pembersihan bagi orang-orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai makanan untuk orang miskin. Sesiapa yang membayar zakat fitrah sebelum solat (Aidil Fitri) maka ia adalah zakat yang diterima (oleh Allah) baginya. Sesiapa yang membayarnya selepas solat (Aidil Fitri) maka ia adalah sedekah seperti sedekah biasa. 

(Sunan Abi Daud No: 1609) Maktabah Asriyyah  Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Zakat fitrah menjadi pembersih (penampal kekurangan-kekurangan puasa seseorang sepanjang Ramadhan)  yang disebabkan oleh perbuatannya yang mungkin sia-sia atau perkataannya yang mungkin kotor. Dengan membayar zakat fitrah, amalan seseorang di sepanjang bulan Ramadhan kembali bersih seperti salji putih.

2.  Zakat fitrah bertujuan untuk memastikan orang miskin mendapat makanan yang secukupnya agar dengan itu mereka dapat meraikan Aidil Fitri dalam suasana kecukupan bersama seluruh umat Islam yang lain. Islam tidak ingin melihat di hari pertama Syawal ada orang yang meminta-minta padahal di kalangan umat Islam ada yang meraikannya dalam suasana kecukupan.

3.  Zakat fitrah boleh dibayar bermula dari 1hb Ramadhan sehingga sebelum solat Sunat Eidil Fitri pada 1hb Syawal. sama ada secara online mahupun kepada amil yang dilantik.

4.  Zakat fitrah yang dikeluarkan selepas solat sunat hari raya eid fitri tidak menjadi zakat tetapi hanya menjadi sedekah biasa. Dia tetap menanggong dosa kerana tidak membayar zakat pada masa yang ditetapkan.

5.  Golongan yang wajib membayar zakat fitrah adalah yang memenuhi syarat berikut:

a.  Islam

b.  Hidup ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan iaitu ia sempat bertemu dengan juzuk terakhir Ramadhan dan juzuk terawal Syawal.

c.  Orang yang mampu, mempunyai lebihan harta pada malam hari raya dan juga siangnya setelah ditolak belanja keperluan diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya (termasuklah binatang peliharaannya) merangkumi makanan, pakaian, sewa rumah dan juga hutang. Walaupun nilai lebihan hanya bernilai cukup untuk zakatnya seperti RM 7.00 Jika tidak mempunyai lebihan harta yang mencukupi untuk membayar harga zakat yang ditetapkan maka tidak wajib ia mengeluarkan zakat fitrah

Friday, April 14, 2023

Melipat Gandakan Amal Di Sepuluh Akhir Ramadan

Jumaat, 23 Ramadhan 1444H: Melipat Gandakan Amal Di Sepuluh Akhir Ramadan

قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Aisyah Radhiyallahu anha, berkata:  “Rasulullah SAW lebih giat (dalam beribadah) pada sepuluh hari terakhir (Ramadan) yang tidak baginda lakukan pada hari-hari lainnya.” (Sahih Muslim No: 2009) Dar Ihya Kutub Arabiyyah.  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah mempergiatkan amal ibadah pada 10 terakhir daripada bulan Ramadan melebihi daripada waktu lain.

2.  Antara ibadat yang boleh dilakukan pada 10 terakhir Ramadan ialah iktikaf di masjid, perbanyakkan ibadat khusus seperti membaca al-Quran, sedekah, berzikir, solat sunat seperti solat duha, solat tahajud, solat tasbih dan lain-lain.

a.  Dikatakan Saidina Umar sibuk menunaikan solat sepanjang malam hingga fajar.
b.  Qatadah pernah mengkhatam seluruh al-Quran setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan

3.  Ada orang yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menumpukan ibadat sepanjang 10 hari terkahir Ramadan.  Anda bagaimana?

4.  Imām Ibn Rajab Al-Hanbali berkata : Ketahuilah bahawa seorang mukmin itu terhimpun baginya dua jihad untuk dirinya. (Iaitu) jihad pada waktu siang dalam berpuasa serta jihad pada waktu malam dalam melakukan qiamullail. Sesiapa yang menghimpunkan antara dua jihad ini dan melunaskan hak keduanya serta bersabar dalam melakukannya, dia telah memperoleh ganjaran pahala yang tidak terhitung. Rujuk Lathā’if Al-Ma’ārif, Ibn Rajab (1/171)

5.  Mari kita lipat gandakan amalan di sepuluh hari terakhir daripada Ramadan ini.

a.  Menjaga solat terawih dan pergi awal ke masjid, bersungguh untuk berada di saf paling hadapan dan tidak beredar sehinggalah imam meninggalkan tempatnya.

b.  Banyakkan Iktikaf. Usahakan pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan dengan mengajak ahli keluarga, jiran dan kenalan ke Masjid sekurang-kurangnya bermula waktu magrib sehingga tamat solat tarawikh.

c.  Perbanyakkan doa. "Sesungguhnya doa di waktu sahur adalah anak panah qadar".  Doa untuk diri dan keluarga, doa untuk dakwah ini,  doa untuk kesejahteraan umat Islam di Malaysia. Juga doa kesejahteraan umat Islam di Palestin, Syria, Iraq, Rohinga dan di seluruh dunia. Semoga Allah mengembalikan hak mereka dan melegakan musibah mereka

Thursday, April 13, 2023

Perbanyak Doa Keampunan Di Malam Lailatul Qadar

 Khamis, 22 Ramadhan 1444H: Perbanyak Doa Keampunan Di Malam Lailatul Qadar

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا قَالَ قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata, “Aku pernah bertanya pada Rasulullah SAW, iaitu jika ada suatu hari yang aku tahu bahawa malam tersebut adalah lailatul qadar, apakah doa yang mesti aku ucapkan?” Jawab Rasululullah SAW: “Berdoalah: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni  (Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku” 

(Sunan Tirmizi No: 3513) Dar Kutub Ilmiyyah.  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan menuntut kita memperbanyak amal ibadah termasuklah memperbanyakkan doa.

2.  Rasulullah SAW menganjurkan kita agar perbanyakkan doa memohon ampun di sepuluh malam terakhir dari Ramadhan khususnya apabila menemui lailatul qadar.

3.  Kita bertawasul dengan sifat ‘afwu (Maha Pemaaf Allah) dengan memohon agar Allah  memaafkan dosa yang kita lakukan.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku”

Wednesday, April 12, 2023

Memburu Lailatul Qadar Sepuluh Malam Terakhir Ramadan

Rabu, 21 Ramadhan 1444H: Memburu Lailatul Qadar Sepuluh Malam Terakhir Ramadan

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ وَيَقُولُ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Daripada Aisyah Radliallahu 'anha berkata: Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan dan bersabda: "Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam yang akhir dari Ramadan". (Sahih Bukhari No: 1916) Dar Ibn Kathir.  Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW menyuruh beriktikaf pada 10 malam terakhir dari Ramadan untuk memburu lailatul Qadr.

2.  Bersungguh beramal pada 10 malam terakhir Ramadan untuk memperoleh lailatul Qadar yang ganjaran amalan pada malam tersebut lebih baik daripada 1000 bulan atau lebih baik daripada 83 tahun 4 bulan.

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣)

"malam kemuliaan  (lailatul Qadr) itu lebih baik daripada seribu bulan" (al-Qadr: 3).

3.  Sepatutnya kita tidak hanya memilih malam-malam tertentu untuk memburu lailatul Qadar kerana tidak ada satu tarikh yang tepat dan ia dirahsiakan untuk menjadi pendorong kepada kita mencarinya pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.

4.  Bangunkan ahli keluarga kita untuk bersama merebut peluang bertemu lailatul Qadar.

5.  Perbanyakkan iktikaf, pelihara solat fardhu berjemaah di masjid, tingkatkan tilawah al-Quran, perbanyakkan doa dan permohonan ampun kepada Allah.

6.  Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan: Sebahagian ulama mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas RA bahawa: “Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah juga. Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jugalah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159).