Tuesday, November 10, 2009

Wanita dan Haji - II


Selasa, 22 Zulkaedah 1430H :- Masalah haid bukan halangan laksana rukun haji mengikut syarat tertentu dan memperoleh mabrur memerlukan kefahaman serta penghayatan yang tulus ikhlas dalam beribadah. Jemaah haji wanita perlu memahami hukum-hakam serta permasalahan berkaitan kewanitaan.

Masalah yang mungkin menimbulkan banyak persoalan kepada jemaah wanita ialah:
  • Istihadah, iaitu darah penyakit atau darah fasad yang keluar daripada kemaluan wanita selain daripada masa haid atau nifas. Jemaah yang mengalami istihadah boleh melakukan semua amalan haji termasuk tawaf di Baitillah. Mereka hendaklah membersihkan kemaluan dan memakai tuala wanita serta memastikan darah tidak mengalir keluar. Selepas berwuduk mereka hendaklah segera melakukan tawaf. Darah yang keluar ketika tawaf adalah dimaafkan. Begitu juga setiap kali hendak menunaikan solat fardu.

  • Edah, tempoh tertentu di mana seseorang wanita tidak boleh berkahwin selepas berlaku perceraian atau kematian suaminya. Satu daripada syarat wajib haji bagi wanita ialah mereka tidak berada dalam edah. Seseorang wanita yang sudah cukup semua syarat untuk menunaikan haji, tiba-tiba berlaku perceraian dengan suaminya atau suaminya meninggal dunia gugurlah kewajipan menunaikan haji pada tahun itu. Allah melarang wanita yang berada dalam edah keluar atau diusir keluar daripada rumah kediaman bersama suaminya. Firman-Nya yang bermaksud: “…Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai edahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ),….” (Surah al-Talaq, ayat 1) Masalah mungkin timbul jika ditakdirkan suami meninggal ketika berada di Tanah Suci. Wanita yang kematian suami wajib berihdad atau berkabung selama tempoh edah iaitu empat bulan 10 hari.
    Ummu Habibah berkata dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak harus bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat berihdad kerana kematian seseorang lebih daripada tiga hari, kecuali kerana kematian suaminya. Dia hendaklah berihdad selama empat bulan 10 hari.” – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Menurut Imam al-Nawawi, ihdad bermaksud meninggalkan wangian dan perhiasan. Ketika berihdad wanita tidak harus menggunakan apa-apa wangian sama ada pada badan, pakaian juga makanan sama seperti berada di dalam ihram. Justeru wanita yang kematian suami ketika mengerjakan haji atau umrah tetap tidak boleh menggunakan wangian walaupun sudah bertahallul. Perkara kedua yang wajib dijauhi ialah perhiasan. Perhiasan merangkumi penggunaan alat solek, pakaian yang cantik dan memakai barang kemas. Jemaah tidak digalakkan membawa barang kemas ke Tanah Suci. Jika membawanya, hendaklah disimpan di tempat yang selamat. Jika tidak ada tempat yang selamat, maka diharuskan memakainya dengan niat memelihara keselamatan barang itu, bukan dengan niat untuk berhias.

  • Solat berjemaah dan solat Jumaat. Menurut jumhur fuqahak, solat berjemaah di masjid adalah sunat muakkad ke atas lelaki. Wanita lebih afdal solat di rumah. Namun mereka harus dan tidak boleh dilarang untuk menunaikan solat berjemaah di masjid. Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Jangan kamu halang wanita-wanita ke masjid. Tetapi rumah sendiri lebih baik untuk mereka.” Jemaah wanita yang hendak ke masjid hendaklah ditemani mahram atau teman wanita yang thiqah. Mereka mestilah menutup aurat dengan sempurna, tidak memakai wangian dan tidak berada dalam saf lelaki semasa menunaikan solat. Adapun solat Jumaat, jemaah wanita tidak digalakkan pergi kerana keadaan terlalu sesak pada hari itu. Kehadiran wanita pastinya menambahkan lagi kesesakan. Berilah keutamaan kepada kaum lelaki yang mana solat Jumaat adalah fardu ke atas mereka. Sedangkan kaum wanita tidak dituntut mengerjakannya. Memadai solat Zuhur di tempat penginapan. Seeloknya lakukan secara berjemaah dengan rakan yang menginap di tempat yang sama. Mereka akan mendapat gandaan pahala 100 ribu kali juga selagi mana tempat penginapan itu berada di bumi Makkah al-Mukarramah.

  • Pakaian dan pergaulan. Sedia maklum bahawa tiada pakaian khusus bagi wanita ketika menunaikan haji atau umrah sebagaimana lelaki yang dilarang memakai pakaian bersarung, berjahit dan bersarung. Wanita hanya perlu memakai pakaian menutup aurat tanpa menutup muka dan memakai sarung tangan. Ketika berada di hotel atau dalam khemah sesama wanita, mereka boleh membuka tudung dan memakai pakaian agak santai walaupun masih dalam ihram. Tetapi apabila keluar daripada bilik, berjumpa suami di tangga atau di lobi, mereka mesti menutup aurat sepenuhnya. Disebabkan tidak faham konsep menutup aurat, terdapat jemaah yang keluar dari bilik, khususnya selepas tahallul dengan hanya memakai serkup di kepala dengan leher dan sebahagian dada terdedah. Begitu juga setelah kembali ke tanah air. Ini tidak sepatutnya berlaku. Menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram adalah wajib ke atas semua wanita, di Tanah Haram atau di Malaysia, ketika dalam ihram atau bukan dalam ihram. Firman Allah yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." – (Surah An-Nuur, ayat 31) Suami juga ingatkan apabila hendak bertemu dengan isteri yang sedang berada dalam khemah ketika di Arafah atau Mina, hendaklah memanggil dan menunggu isteri keluar. Jangan sekali-kali menyelak pintu khemah atau menjengok ke dalam khemah. Mungkin ketika itu terdapat wanita yang tidak memakai tudung atau sedang berbaring dan sebagainya. Secara tidak langsung mereka menanggung dosa melihat aurat wanita yang bukan mahram.
Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Lembaga Tabung Haji

No comments: