Khamis, 3 Zulkaedah 1446H | Pekerjaan Paling Baik
عن سعيد بن عمير الأنصاري قال : سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَىُّ الْكَسْبِ أَطْيَبُ قَالَ : عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ
Daripada Said bin Amir al-Ansari berkata, Rasulullah SAW ditanya, “Pekerjaan apakah yang paling baik?” Baginda menjawab, “Pekerjaan seseorang yang dilakukan dengan tangannya sendiri dan setiap perniagaan yang baik.” (HR. Baihaqi No: 1222) Status: Sahih lighairihi
Pengajaran:
1. Setiap kita wajib melakukan usaha dan ikhtiar bekerja mencari nafkah dan perbelanjaan kehidupan.
2. Sumber nafkah hendaklah diperoleh daripada sumber yang halal dan diharuskan syarak.
3. Pekerjaan yang paling baik ialah yang dilakukan dengan tangan sendiri (Usaha sendiri dan tidak bergantung kepada yang lain) juga perniagaan yang halal.
4. Pekerjaan dengan tangan sendiri bermaksud pekerjaan yang dilakukan seseorang tanpa meminta-minta. Pekerjaan tersebut termasuk yang menggunakan tulang empat kerat seperti buruh, tukang, operator juga yang menggunakan kelayakan akademik seperti doktor, guru, pegawai tadbir dan yang lain-lain.
5. Perniagaan yang baik bermaksud perniagaan atau perusahaan yang bersih dari penipuan dan kecurangan. Baik kecurangan timbangan mahupun kecurangan dengan menyembunyikan cacatnya barang yang dijual. Termasuk yang diperolehi secara haram, menipu juga menindas orang lain.
6. Keberkatan dalam rezeki lebih penting daripada jumlah rezeki yang diperoleh. Keberkatan datang apabila rezeki itu dicari dengan cara yang halal dan digunakan ke jalan yang diredai Allah.
Selamat Hari Pekerja. Pekerja Kesuma Bangsa
No comments:
Post a Comment