Friday, August 29, 2025

Muslim Yang Utama

Jumaat, 5 Rabiul Awal 1447H  | Muslim Yang Utama

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam yang bagaimanakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lidah dan tangannya". (HR Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.

2.  Menjaga lidah daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan lain-lain adalah dituntut.

3.  Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa lidah boleh menjadi punca fitnah, ghibah (mengumpat), namimah (adu domba), penghinaan, penipuan, dan syirik. Oleh itu, menjaga lidah daripada kata-kata yang menyakiti orang lain adalah tanda kesempurnaan Islam seseorang.

4.  Memelihara tangan dari melakukan perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya mencuri, memukul, merampas haka tau merosakkan harta benda malah termasuk menulis dan menyebarkan sesuatu yang berbentuk umpatan, fitnah, menghina, mengadu domba dan lain-lain.

5.  Individu yang paling utama di sisi Allah adalah mereka yang sentiasa dirasai kebaikannya serta tidak menyakiti dan memudaratkan orang lain yang berada disekelilingnya sama ada melalui lisan mahupun perbuatannya.

6.  Kita perlu ingat, apa yang ditulis, ditutur mahupun perlakuan kita  terhadap orang lain akan diminta pertanggungjawaban dihadapan Allah. Firman Allah:

إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra 17 ; Ayat 36)

7.  Imam al-Khaththabi berkata, hadis ini bermaksud bahawa kaum muslimin yang paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak Allah  dengan baik, dia juga dituntut menunaikan hak-hak sesama kaum muslimin dengan baik pula.

8.  Seorang Muslim yang sempurna Islamnya ialah yang tidak menyakiti orang lain dengan perbuatannya. Marilah kita menjadi  Muslim yang utama dengan menjaga lisan dan tangan kita daripada menyakiti dan menzalimi orang di sekeliling kita tanpa mengira bangsa dan agama.


No comments: