Jumaat, 18 Rabiul Akhir 1447H | Sedekah Dan Keikhlasan
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: قالَ رَجُلٌ: لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدِ سَارِقٍ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ علَى سَارِقٍ فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا في يَدَيْ زَانِيَةٍ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ علَى زَانِيَةٍ، فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، علَى زَانِيَةٍ؟ لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدَيْ غَنِيٍّ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ علَى غَنِيٍّ، فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، علَى سَارِقٍ وعلَى زَانِيَةٍ وعلَى غَنِيٍّ، فَأُتِيَ فقِيلَ له: أَمَّا صَدَقَتُكَ علَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عن سَرِقَتِهِ، وأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عن زِنَاهَا، وأَمَّا الغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فيُنْفِقُ ممَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ
Daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda: Seorang lelaki berkata: "Aku akan bersedekah." Lalu dia keluar dan meletakkan sedekahnya (tetapi sedekahnya jatuh) di tangan seorang pencuri. Pagi harinya, orang ramai bercakap: “Semalam, dia bersedekah kepada pencuri!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian, aku akan bersedekah lagi.” Dia keluar dan memberikan sedekahnya dan jatuh kepada seorang pelacur. Pagi harinya, orang ramai berkata: “Semalam, dia bersedekah kepada pelacur!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian. (bersedekah) kepada pelacur? Aku akan bersedekah lagi” Dia keluar sekali lagi dan memberikan sedekahnya (kebetulan) kepada seorang yang kaya. Pagi harinya, orang ramai berkata: “Dia bersedekah kepada orang kaya!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian (sedekahnya jatuh) kepada pencuri, pelacur dan orang kaya.” Maka dia didatangi dalam mimpi dan dikatakan kepadanya: “Sedekahmu kepada pencuri, mudah-mudahan dia insaf dan meninggalkan perbuatan mencuri. Sedekahmu kepada pelacur, mudah-mudahan dia bertaubat dan meninggalkan zina. Sedekahmu kepada orang kaya, mudah-mudahan dia mengambil pengajaran lalu menginfakkan harta yang Allah berikan kepadanya.” (HR Muslim No: 1022) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Niat adalah asas utama dalam semua amal ibadah. Lelaki dalam hadis ini bersedekah dengan niat yang tulus kerana Allah, bukan untuk menunjuk.
2. Hadis ini menceritakan tentang seorang lelaki yang dengan ikhlas ingin bersedekah. Namun, tiga kali sedekahnya "tersalah sasaran" jatuh ke tangan pencuri, penzina, dan orang kaya. Namun dia tetap mengucapkan syukur kepada Allah, dan akhirnya dia diberitahu bahawa setiap pemberian itu berpotensi memberi kesan positif kepada penerimanya.
3. Jangan kita menilai masa depan seseorang berdasarkan dosa atau statusnya hari ini. Jangan terlalu cepat menghakimi hasil sesuatu amal kerana Allah Sahaja yang Maha Mengetahui hikmahnya.
4. Allah SWT kadang-kadang mengatur sesuatu yang kita tidak sangka. Tindakan lelaki dalam hadis ini menjadi asbab hidayah dan perubahan hidup seseorang dimana pencuri, pelacur dan orang kaya, masing-masing terdorong untuk berubah.
5. Sedekah mendidik jiwa dan menyedarkan manusia, termasuk mereka yang melakukan maksiat atau lalai. Ibn Qayyim menyebut bahawa “sedekah yang ikhlas boleh membuka pintu taubat bagi mereka yang tidak pernah terfikir untuk berubah.
6. Hadis ini menegaskan bahawa sedekah yang ikhlas tidak pernah sia-sia, walaupun kelihatan tidak “kena” pada pandangan manusia. Setiap perbuatan baik, jika diniatkan kerana Allah, pasti ada ganjaran dan hikmahnya yang tersembunyi. Kita diajar agar tidak menghukum amal seseorang hanya pada zahir. Yakinlah bahawa Allah Maha Mengetahui niat dan akibat sesuatu perkara.
No comments:
Post a Comment