Rabu, 16 Rabiul Akhir 1447H | Sedekah Menjadi Pelindung
وَعَنْ مَرْثَدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: حَدَّثَنِي بَعْضِ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ ظِلَّ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ الْقِيَامَة صدقته
Daripada Marthad bin ‘Abdillah, beliau berkata: "Telah menceritakan kepadaku sebahagian sahabat Rasulullah SAW bahawa dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Sesungguhnya naungan bagi orang beriman pada hari kiamat adalah sedekahnya.'" (Musnad Imam Ahmad No: 23490) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Hari Kiamat adalah hari yang penuh kepanasan dan huru-hara. Matahari akan berada sangat dekat di kepala, manusia akan ditimpa kepanasan yang luar biasa, dan masing-masing tenggelam dalam peluh mereka mengikut kadar amalannya.
2. Sedekah menjadi penaung di Hari Kiamat. Mengikut Ibn Hajar, maksud “naungan” di sini ialah perlindungan dari azab, ketakutan, dan kepanasan hari kiamat.
3. Kita dituntut untuk bersedekah dalam pelbagai bentuk tidak hanya wang atau harta, tetapi juga termasuk senyuman, pertolongan, ilmu, nasihat, makanan, doa dan seumpamanya.
4. Dalam hadis yang lain, Nabi SAW menyebut 7 golongan yang mendapat naungan Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya, dan salah satunya ialah:
وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ
"Seorang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya." (HR Bukhari No: 620).
5. Hadis ini menggambarkan bahawa sedekah adalah pelindung dan penyelamat di hari kiamat, hari di mana setiap manusia dalam kesusahan dan memerlukan naungan. Oleh itu, setiap mukmin disarankan untuk menjadikan sedekah sebagai amalan harian, kerana manfaatnya bukan hanya di dunia, tetapi berpanjangan hingga ke akhirat.
No comments:
Post a Comment