Khamis, 22 Zulhijjah 1446H | Doa Selepas Azan
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ: اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ، وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ، آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ، وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ، حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Daripada Jabir ibn Abdillah: Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang berdoa setelah mendengar Azan:
)اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ، وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ، آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ، وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ(
'Ya Allah, Tuhan yang memiliki seruan yang sempurna ini dan solat yang akan didirikan, kurniakanlah kepada Muhammad al-wasilah (kedudukan tertinggi di syurga) dan kelebihan, dan bangkitkanlah dia ke tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan', maka dia akan mendapat syafaatku pada hari kiamat. (HR Bukhari No: 614) Status Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menyatakan bahawa doa ini adalah sunat muakkad (sangat digalakkan) selepas mendengar azan. Bukan sekadar lafaz, tetapi mengandungi makna besar dalam mengiktiraf kedudukan Rasulullah SAW dan keinginan untuk mendapatkan syafaatnya.
2. Membaca doa ini menunjukkan cinta dan pengiktirafan terhadap kedudukan Nabi Muhammad SAW.
3. Mendapat syafaat Nabi SAW pada hari kiamat adalah kelebihan yang sangat besar, kerana pada hari itu semua manusia dalam keadaan penuh ketakutan dan harapan.
4. Imam al-Qurtubi menyebut bahawa syafaat ini adalah untuk orang yang benar-benar menghayati doa ini dengan keimanan dan keikhlasan, bukan sekadar melafazkannya secara rutin.
5. Doa selepas azan ini sangat ringkas tetapi mengandungi nilai keimanan yang tinggi. Bukan sahaja menguatkan hubungan kita dengan Allah dan Rasul-Nya, malah juga menjadi sebab mendapat pertolongan (syafaat) pada hari akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment