Rabu, 14 Zulhijjah 1446H | Majlis Tanpa Zikir dan Selawat
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا جَلَسَ قَوْمٌ مَّجْلِسًا لَمْ يَذْكُرُوا فِيهِ اللَّهَ وَلَمْ يُصَلُّوا عَلَى نَبِيِّهِ إِلَّا كَانَ عَلَيْهِمْ تِرَّةٌ، فَإِن شَاءَ عَذَّبَهُمْ، وَإِن شَاءَ غَفَرَ لَهُمْ
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah suatu kaum duduk dalam satu majlis, lalu mereka tidak menyebut nama Allah dan tidak berselawat ke atas Nabi mereka, melainkan majlis itu menjadi penyesalan (kerugian) bagi mereka. Jika Allah mahu, Dia akan mengazab mereka, dan jika Dia mahu, Dia akan mengampuni mereka. (HR Tirmizi No: 3380) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Zikir dan selawat perlu menjadi budaya dalam kehidupan harian. Rugilah sesiapa yang berada di dalam sesuatu majlis atau program namun mengabaikan untuk berzikir dan berselawat.
2. Menurut al-Qari, hadis ini menunjukkan bahawa berzikir kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi SAW adalah adab utama dalam sesuatu majlis. Jika tidak dilakukan, ia bukan hanya menyebabkan kehilangan pahala, tetapi boleh mengundang dosa.
3. Allah boleh menghukum atau mengampuni atas kelalaian kita bergantung kepada sebab-sebab tertentu (seperti kejahilan atau taubat selepas itu).
4. Sekadar menyebut nama Allah atau berselawat dalam sesuatu majlis boleh menjadikannya diberkati, dan menyelamatkan kita daripada kerugian akhirat.
5. Ulama menegaskan bahawa zikir kepada Allah dan selawat adalah sebab utama untuk majlis diberkati dan tidak menjadi dosa.
6. Hadis ini menunjukkan bahawa setiap majlis sama ada rasmi atau tidak, ilmiah atau santai, seharusnya disulami dengan menyebut nama Allah dan berselawat seperti dimulakan dengan membaca surah al-fatihah dan ditutup dengan membaca tasbih kafarah.
No comments:
Post a Comment