Selasa, 23 Rabiul Awal 1447H | Menjaga Hak Sesama Muslim
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة
Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim Adalah saudara bagi muslim yang lain. Ia tidak boleh menzaliminya dan tidak membiarkannya (diserahkan kepada musuh atau dalam kesusahan). Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan memenuhi hajatnya. Siapa yang menghilangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan menghilangkan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan pada hari kiamat, dan sesiapa yang menutup aib seorang muslim di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat. (HR Bukhari No: 2262) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain
2. Imam Nawawi menjelaskan dalam Syarh Sahih Muslim bahawa hadis ini mengandungi prinsip asas ukhuwah Islamiyyah yang menuntut setiap Muslim melindungi, membantu, dan menjaga saudaranya.
3. Sebagai orang Islam, kita perlu menjaga hak orang Islam yang lain antaranya:
a. Tidak boleh berlaku zalim atau menganiaya ke atas orang Islam yang lain sama ada dengan perbuatan, perkataan atau tindakan.
b. Tidak boleh membiarkan saudaranya dalam keadaan dizalimi tanpa bantuan, bahkan wajib mempertahankan jika mampu.
4. Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah akan memperkenankan hajatnya.
5. Orang Islam yang menghilangkan kesusahan orang Islam yang lain semasa di dunia, Allah akan menghilangkan kesusahannya dan mempermudahkan kehidupannya di hari kiamat.
6. Orang yang menutup kekurangan, aib atau keburukan Muslim yang lain semasa di dunia, nescaya Allah akan menutup aib dan kekurangannya semasa di akhirat kelak.
7. Menurut Al-Qadhi Iyadh dalam Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim (16/360): “Ditutupnya aib si hamba pada hari kiamat berkemungkinan 2 keadaan:
a. Allah SWT akan menutup maksiat dan aibnya dengan cara tidak mengumumkannya kepada manusia di padang mahsyar.
b. Allah SWT tidak akan menghisab aibnya dan tidak akan menyebut aibnya tersebut.”
Setiap kita perlu berhati-hati terutama dalam penggunaan media sosial. Mudahnya membuka aib, membuat fitnah dengan menzalimi terhadap individu tertentu. Namun, ia tidak bermaksud menyembunyikan kezaliman atau kemungkaran yang membahayakan orang lain, kerana dalam keadaan itu menegur atau melaporkannya adalah lebih utama. Sama-samalah kita memelihara hak saudara Islam kita yang lain.
Selamat Menyambut Hari Malaysia 2025
#
No comments:
Post a Comment