Monday, September 8, 2025

Keutamaan Orang Berselawat

Isnin, 15 Rabiul Awal 1447H  | Keutamaan Orang Berselawat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مَسْعُودٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُ النَّاسِ عَلَيَّ صَلاةً

Daripada Abdullah Bin Masoud berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang paling hampir denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat keatas ku. (HR at-Tabrani No: 9679) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW adalah amalan yang dituntut.

2.  Mukmin yang paling hampir dengan Rasulullah SAW pada hari kiamat nanti adalah yang paling banyak berselawat ke atas baginda.

3.  Menurut al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi, kelebihan ini diberikan kerana selawat menunjukkan rasa cinta, penghormatan dan penghargaan yang mendalam kepada junjungan Nabi SAW.

4.  Al-Sindi menegaskan bahawa orang yang paling dekat dengan Rasulullah SAW di akhirat adalah mereka yang paling banyak berselawat, kerana selawat itu menjadi sebab untuk memperoleh syafaat Baginda. Kedekatan ini bukan hanya secara fizikal, tetapi juga dalam bentuk kemuliaan, rahmat dan syafaat di sisi Allah.

5.  Imam al-Nawawi menyatakan bahawa selawat bukan sahaja membawa kedudukan tinggi di akhirat, malah di dunia ia menjadi sebab turunnya rahmat, keberkatan hidup, dan dihapuskan dosa-dosa kecil.

6.  Orang yang berselawat keatas Nabi SAW, para malaikat juga akan berselawat keatasnya. Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun baginya. ‘Amir Bin Rabi’ah meriwayatkan,  Rasulullah SAW bersabda:

ما مِنْ عبدٍ يُصَلِّي علَيَّ إلَّا صَلَّتْ عليه الملائكةُ ما دامَ يُصَلِّي علَيَّ فلْيُقِلَّ العبدُ مِنْ ذلِكَ أوْ لِيُكْثِرْ

Tidaklah seseorang hamba berselawat kepadaku melainkan para malaikat sentiasa berselawat untuknya sebanyak mana dia berselawat kepadaku. Maka berselawatlah sama ada sedikit atau banyak. (at-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, 2/182, no. 1654. Ahmad, 24/457, no. 15689)

Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Banyakkan selawat, moga Malaikat memohonkan keampunan buat kita.


Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram

No comments: