Jumaat 26 Rabiul Awal 1447H | Enam Larangan
عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الْأُمَّهَاتِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنَعَ وَهَاتِ وَكَرِهَ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ
Daripada Al-Mughirah bin Syu'bah berkata; Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mengharamkan atas kalian durhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, meminta-minta tetapi enggan memberi (menunaikan kewajipan), Allah membenci orang yang banyak bercakap perkara yang sia-sia (mempercayai setiap khabar angin serta menyebarkan), banyak bertanya (yang tidak berfaedah) dan menyia-nyiakan harta (boros atau membazir)". (HR Bukhari No: 2231) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
Rasulullah SAW melarang setiap Muslim daripada melakukan perkara berikut:
1. Mendurhakai ibu. Berbakti kepada ibu adalah satu kewajipan.
2. Menanam anak perempuan hidup-hidup. Anak adalah amanah Allah yang mesti dipelihara, dididik, dan dimuliakan.
3. Larangan meminta tetapi enggan memberi. Ia bermaksud suka meminta hak daripada orang lain tetapi enggan menunaikan kewajipan. Perbuatan ini dikeji kerana menzahirkan sifat tamak dan tidak bertanggungjawab.
4. Larangan bercakap perkara sia-sia iaitu bercakap tanpa manfaat, berdebat atau bertengkar tanpa tujuan yang baik, menyebarkan khabar angin, atau suka memanjangkan cerita. Ibnu Hajar menjelaskan sebagai sifat orang yang suka menukilkan cerita tanpa menyemak kesahihannya dan boleh membawa kepada fitnah dan permusuhan dalam masyarakat.
5. Banyak bertanya yang tidak berfaedah atau bertujuan untuk menguji atau mengadu domba.
6. Boros terhadap harta (tidak berjimat). Harta adalah amanah Allah. Membazir atau menggunakannya tanpa tujuan yang baik adalah perbuatan yang dimurkai, kerana harta seharusnya digunakan untuk manfaat diri, keluarga, masyarakat dan agama.
Marilah kita menjadi Muslim yang baik dengan taat kepada kedua ibu dan bapa, mengasihi anak-anak dengan diberikan didikan dan asuhan, menunaikan kewajipan sebelum menuntut hak, memastikan setiap yang dibicarakan dan disebarkan adalah benar dan bermanfaat bukan sia-sia atau fitnah, kurangkan bertanya yang bukan ikhlas untuk mendapatkan maklumat dan berjimat dalam membelanjakan harta.
No comments:
Post a Comment