Rabu, 24 Rabiul Awal 1447H | Berhati-hati Dalam Berbicara
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ
Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebab (kata-kata tersebut) ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun. (HR Tirmizi No: 2314) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa sebahagian manusia memandang remeh perkataan yang diucapkannya sehingga dia tidak menyangka perkataan tersebut menjadi penyebab kepada dia dihumban ke neraka. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 12/79).
2. Imam al-Nawawi menjelaskan dalam al-Adzkar bahawa hadis ini memberi peringatan tentang bahaya kata-kata yang kelihatan ringan pada pandangan manusia, tetapi besar di sisi Allah. Kadang-kadang perkataan yang dianggap biasa boleh mengandungi unsur syirik, penghinaan agama, fitnah, mengumpat, atau menyakiti hati orang lain.
3. Menurut al-Qurtubi, kata-kata yang boleh menjerumuskan seseorang ke neraka termasuklah:
a. Mengucapkan kalimah kufur walaupun bergurau.
b. Menghina atau memperlekeh hukum Allah.
c. Menyebarkan fitnah dan berita palsu.
d. Mengumpat atau mencela orang lain.
4. Dalam menyampaikan info atau maklumat, seseorang mesti bertanggungjawab dalam segala ucapan dan penyampaiannya sama ada secara lisan mahupun tulisan.
5. Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, angka “70 tahun” adalah kiasan kepada masa yang sangat lama, bukan semestinya bilangan literal. Hal ini menunjukkan betapa beratnya dosa perkataan tersebut. Perkataan yang salah boleh menjadi punca azab yang panjang di akhirat.
6. Setiap info atau berita yang diucap, ditulis mestilah benar serta tidak akan mengundang kepada keaiban dan pembohongan. Jangan sampai mengundang kemurkaan Allah SWT dan berlaku kekacauan di dalam masyarakat. Firman Allah SWT:
إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).(Surah An-Nur, 11).
Al-Maraghi berkata: Allah SWT menerangkan hukuman yang menimpa ke atas orang yang ikut serta menyebarkan berita dusta; mereka semua akan mendapat hukuman yang setimpal dengan peranan yang dimainkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4730).
7. Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menyebut bahawa kebanyakan dosa manusia berpunca daripada lidah. Ia lebih berbahaya daripada senjata kerana satu perkataan boleh meruntuhkan maruah, memutuskan silaturrahim, bahkan membawa kekufuran.
Moga kita sentiasa berhati-hati dalam menuturkan kata, menulis serta menyebarkan sebarang maklumat termasuk di media sosial.
No comments:
Post a Comment