Ahad, 14 Rabiul Awal 1447H | Berselawat Tuntutan Mukmin
عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَة قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا} . قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ عَلِمْنَا السَّلَامَ فَكَيْفَ الصَّلَاةُ عَلَيْكَ "قُولُوا: اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ". وَكَانَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي لَيْلَى يَقُولُ: وَعَلَيْنَا مَعَهُمْ.
Daripada Ka'b ibnu Ujrah berkata, bahawa ketika ayat ini diturunkan : Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (Al-Ahzab: 56) Lalu kami bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui bagaimana cara mengucapkan salam penghormatan kepadamu, tetapi bagaimanakah caranya mengucapkan selawat untukmu?" Rasulullah SAW. menjawab: Ucapkanlah, "Ya Allah, limpahkanlah selawat buat Muhammad dan keluarganya, sebagaimana telah Engkau limpahkan selawat buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan limpahkanlah barakah buat Muhammad dan keluarganya sebagaimana telah Engkau limpahkan berkah buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” Dan Abdur Rahman ibnu Abu Laila mengatakan, "Dan semoga dilimpahkan pula kepada kami disertakan dengan mereka." (HR Bukhari No: 2497) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang dituntut kepada setiap Mukmin.
2. Menurut Abul Aliyah, yang dimaksud dengan selawat dari Allah ialah pujian-Nya kepada Nabi SAW. Selawat dari para malaikat ialah doa daripada para Malaikat untuk Nabi SAW.
3. Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari Allah adalah rahmat-Nya, dan selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun bagi yang bersangkutan.
4. Al-Qurtubi menafsirkan bahawa perintah berselawat dalam al-Quran bukan hanya satu ibadah sunat, bahkan merupakan tanda penghormatan tertinggi kepada Nabi SAW. Selawat kepada Nabi SAW adalah salah satu ibadah yang mendatangkan syafaat daripada baginda di akhirat kelak.
5. Rasulullah SAW mengajarkan cara berselawat ke atas baginda. Seafdhal-afdhal selawat adalah selawat yang biasa dibaca semasa tasyahud akhir setiap solat (Mustika Hadis 1/259) atau yang dipanggil selawat Ibrahimi:
اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
6. Setiap Mukmin dituntut berselawat setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW. Antaranya dengan lafaz:
– صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ
Atau
– عَلَيْهِ الصّلاَةُ وَالسَّلاَمُ
7. Berselawat bukan sekadar doa untuk Nabi SAW, tetapi ia juga manfaat besar bagi umat kerana ia menjadi sebab turunnya rahmat Allah dan memperoleh syafaat baginda. Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Jom banyakkan selawat sebagai satu daripada cara mencintai Nabi kita.
No comments:
Post a Comment