Friday, August 21, 2009

Ramadhan Bulan Penuh Rahmat dan Berkat

30 Sya'aban 1430H - Rasulullah SAW bersabda , diriwayatkan oleh Salman ra,
Pada hari terakhir Sya'aban, Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami , “ Wahai manusia kini muncul kepadamu satu bulan yang besar (mulia), bulan yang tersangat berkat terkandung di dalammya satu malam yang terlebih tinggi nilainya daripada seribu bulan. Inilah bulan yang Allah fardhukan puasa di siang hari dan menjadikan solat Tarawih sebagai sunnah di malam hari. Sesiapa yang ingin menghampirkan diri kepada Allah (taqarrub) melalui amalan baik dibulan ini, maka akan dibalas kepadanya dengan ganjaran seolah-olah dia melakukan amalan fardhu dibulan lain pada tahun itu.
Barangsiapa melakukan amalan fardhu akan dibalas kepadanya dengan tujuh puluh amalan fardhu pada bulan lain. Ini sesungguhnya bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran yang sejati ialah “Jannah”, Inilah bulan simpati terhadap sesama lainnya, dibulan inilah rezeki orang-orang beriman bertambah. Barangsiapa memberi makan ( untuk berbuka puasa ) kepada orang yang berpuasa maka dibalas kepadanya dengan keampunan terhadap dosa-dosanya dan bebas daripada api neraka Jahannam dan dia juga memperolehi ganjaran yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tadi tanpa sedikitpun mengurangi pahala orang yang berpuasa itu.
Maka kami pun berkata: “Ya Rasulullah tidak kesemua kami mempunyai sesuatu yang dapat diberikan kepada orang yang berpuasa makan untuk mereka berbuka. “ Jawap Rasulullah SAW, “ Allah akan mengurniakannya balasan kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar kepada orang yang berpuasa, ataupun seteguk air atau sehirup susu untuk dia berbuka puasa. “ Inilah bulannya yang pada awalnya Allah menurunkan Rahmat, dipertengahannya Allah memberikan keAmpunanNya dan pada akhirnya Allah memBebaskan hambaNya daripada api neraka Jahaanam.”
Di dalam bulan ini berusahalah segiat-giatnya memperbanyakkan empat perkara. Dua di antaranya ialah untuk menyukakan Allah SWT sedangkan yang dua lagi kamu tidak boleh lakukan tanpaNYa. Perkara yang dapat menyukakan Allah SWT ialah kamu hendaklah memperbanyakkan membaca kalimah tayyibah dan beristighfar. Dan perkara yang kamu tidak dapat lakukan tanpanNya ialah kamu bermohon kepada Allah untuk masuk Syurga dan berlindung denganNya daripada dicampak ke dalam neraka Jahannam.
Barangsiapa memberi minum kepada orang yang berpuasa, maka Allah akan memberikannya minuman daripada telaganya ( haud ) yang sekali minum dia tidak akan kedahagaan lagi sehinggalah dia memasuki `Jannah’.” ( Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah didalam sahihnya).

Pengajaran Hadis:

1. Persiapan menghadapi Ramadhan pada akhir bulan Syaaban supaya kita sedar dan tidak akan membiarkan bulan Ramadhan berakhir tanpa memperolehi sebarang manfaat daripadanya khususnya pada malam “Lalatul Qadr”.
2. Perintah melaksanakan Solat Tarawih pada malamnya sebagai sunnah untuk memperolehi keredhaan Allah.
3. Ganjaran amalan berlipat ganda. Amalan nafil (sunat) pada bulan Ramadhan diberikan ganjaran seumpama pahala fardhu pada bulan biasa manakala amanlan fardhu pada bulan Ramadhan diberi ganjaran sebanyak tujuh puluh amalah fardhu pada masa-masa lain.
4. Memperbanyak membaca Al Quran. Terdapat hubungan yang rapat antara Ramadhan dan tilawatul_Quran. Hampir semua kitab-kitab Allah diwahyukan pada bulan ini. Pada bulan ini juga Al Quran telah dibawa daripada “Lauhul-Mahfuz” kepada “Sama’ud Dunya” dan daripada sinilah diturunkan sedikit demi sedkit kepada Rasulullah SAW dalam jangkamasa selama 23 tahun
5. Membaca Al Quran bersama-sama teman.Para ulama berkata adalah “mustahab: membaca AI Quran dengan cara seorang membaca sedangkan yang lainnya mendengar.Didalam sesetengah riwayat dikatakan Rasulullah SAW pernah membaca AlQuran sambil Jibril as ,mendengarnya. Maka bacalah AlQuran sebanyak-banyaknya apabila ada masa terluang.
6. Rasulullah SAW menasihatkan kita supaya memperbanyakkan membaca kalimah Taiyibah, Istighfar,memohon memasuki Jannah dan berlindung dariapda Jahannam.
7. Ramadhan bulan kesabaran. Kesukaran dalam bulan ini hendaklah ditanggung dengan gembira dan tabah hati, janganlah merungut-rungut sebagaimana orang merungut ketika cuaca panas. Begitu juga jika terlepas waktu sahur, jangan mengomel-ngomel. Keletihan waktu tarawih patut dizahirkan dengan kesyukuran dan jangan anggap sebagai satu beban dan bala yang menyebabkan hilang amalan pahalanya disisi Allah.
8. Ramadhan bulan simpati kepada fakir miskin. Simpati hendaklah dilakukan dengan amali. Hadis menyebutkan “Barangsiapa memberi makan kepada orang lapar, memberi pakaian kepada orang yang terlanjang,memberi pelindungan kepada musafir, pastilah Allah akan menyelamatnya daripada huru-hara hari kiamat.” Rasulullah SAW ditanya sahabat apakah amalan mereka yang istimewa. Raslullah SAW bersabda:”memaafkan si penzalim, kasih kepada perlaku maksiat dan disamping mencintai orang-orang awam, berkongsi rezeki dengan orang miskin.”.
9. Keutamaan memberi makan orang yang berbuka. Para malaikat memohon rahmat pada malam-malam Ramadhan ke atas orang yang memberi makan untuk orang yang berbuka puasa daripada sumber yang halal, kemudian pada malam Lailatul Qadar, Jibirl as berjabat tangan dengannya. Tanda-tandanya ialah hatinya lembut, sambil air mata mengalir daripada matanya.
10. Ramadhan dibahagikan permulaan dengan rahmat, pertengahan keampunan dan akhinya kebebasan.
11. Melayan dengan lemah-lembut terhadap pekerja yang berpuasa
12. Kalimah yang baik untuk diamalkan iaitu kalimah Tayyibah yang dikatakan didalam hadis sebagai zikir yang terafdhal. Di dalam hadis lain dinyatakan bahawa; " Jika seorang menyebut kalimah ini dengan penuh ikhlas, pintu-pintu jannah akan segera terbuka untuknya dan tidak ada sesuatu yang boleh menghalanginya menuju ke Arasy Illahi." Syaratnya ialah pengucap tadi hendaklah menjauhi dosa-dosa besar. Kedua memperbanyakan ucapan “istighfar” ialtu memohon keampunan kepada Allah Taala. Sebuah hadis dikatakan bahawa;” Barangsiapa beristighfar dengan sebanyaknya-banyaknya, Allah akan membuka jalan keluar daripadanya segala kesukaran dan membebaskannya daripada segala kesedihan. Dia juga akan memperolehi rezeki daripada punca yang tidak disangka-sangka. Rasulullah SAW juga bersabda; “ Setiap orang adalah pendosa, tetapi yang terbaik daripada yang berdosa tadi ialah yang bertaubat dan memohon keampunan.”. Apabila seorang melakukan suatu dosa, satu titik hitam akan menghinggapi hatinya, tetapi apabila dia bertaubat, titik hitam itu akan terhapus.,jika tidak titik hitam tersebut akan melekat di hatinya selama-lamanya. Selain daripada itu hendaklah berdoa untk “Jannah” dan berlindung daripada “Jahannam”(neraka ).
"Hikmah & Fadhilat Ramadhan oleh M.Muhammad Zakariyya."

No comments: