Wednesday, August 12, 2009

Sabar Perisai Mukmin

Rabu, 12 Sya'aban 1430H - Menurut perspektif Islam, sebarang musibah dan ujian yang menimpa manusia mewajarkan satu renungan dan muhasabah diri setiap Muslim terhadap perjalanan hidup yang telah dan sedang berlangsung pada saat ini. Dari satu sudut, setiap Muslim wajar merenung apakah kesilapan atau kecuaian yang pernah dilakukannya sehingga menghadapi ujian begitu hebat daripada Allah. Dari sudut lain pula, kehidupan ini pada dasarnya sarat dengan ujian dan dugaan Allah bagi menguji sejauh mana keimanan dan ketakwaan setiap Muslim terhadap Allah. Muslim yang berjaya ialah mereka yang sentiasa mengambil iktibar, merenung diri dan seterusnya bersyukur kepada Allah.
Maka amat tepatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan dalam kehidupan ini melainkan orang yang benar-benar mahu mendengar dan merenung diri atau orang yang berilmu dan berkata benar. Wahai manusia! Kalian berada pada satu zaman yang penuh kemelut dan krisis. Di samping itu, masa juga berjalan begitu pantas. Pada waktu itu, kalian menyaksikan sesuatu yang asing dan baru akan berlaku silih berganti siang malam serta sesuatu yang jauh akhirnya menjadi lebih dekat di samping berselang-selang satu demi satu apa yang dijanjikan Allah.” – (Hadis riwayat Ibnu ‘Asakir)
Ini bermakna kehidupan di dunia ini tidak sunyi daripada kemelut, krisis, musibah dan malapetaka di mana tidak seorang pun manusia akan terlepas daripadanya. Masa pula seakan tidak lagi memberikan kesempatan bagi manusia untuk membuat pilihan sama ada esok atau lusa. Ini kerana malam dan siang bersilih ganti menghadirkan seribu satu dugaan dan ujian yang terhampar sepanjang perjalanan hidup manusia bagi menguji tahap keimanan dan ketakwaan yang bertakhta di jiwa sanubari.
Malah, dunia ini tidak lagi memberikan kebaikan dan keberkatan hidup kecuali kepada seorang yang sedia mendengar dan menginsafi diri atau seorang yang memanfaatkan ilmunya untuk menyampaikan kebenaran. Sabar dalam menghadapi musibah adalah perisai terbaik dan perhiasan wajib bagi setiap orang Islam kerana kehidupan dunia ini umpama medan ujian dan peperiksaan yang datang silih berganti kepada manusia. Allah berfirman dalam surah al-Taghabun, ayat 11 yang bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Oleh itu, sesiapa yang dapat menghadapinya dengan sabar dan tenang bermakna dia telah lulus dalam ujian itu dan akan terus diuji Allah sehingga menjadi Muslim yang benar-benar bertakwa kepadaNya.Kenyataan ini selari dengan sabda Rasulullah SAW apabila baginda ditanya sahabat yang bermaksud: “Siapakah orang yang paling banyak sekali terkena ujian? Jawab baginda: Para Nabi dan seterusnya orang yang seumpama mereka. Maka barang siapa yang tebal imannya nescaya banyaklah ujian yang akan menimpanya dan barang siapa yang lemah imannya sedikitlah pula ujiannya.” – (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Dalam waktu yang sama, berhadapan dengan keadaan yang sukar itu, setiap orang Islam perlulah sentiasa berdoa kepada Allah agar dijauhkan daripada segala ujian dan musibah. Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Bersihkanlah hartamu dengan zakat, ubatilah sakitmu dengan sedekah dan tolaklah olehmu bala bencana dengan doa.” (Hadis riwayat Tabrani)
Bukankah doa itu sebenarnya senjata ampuh seorang mukmin bila berada pada saat-saat genting, lebih-lebih lagi apabila ditimpa musibah. Siapakah lagi pelindung dan penyelamat yang berupaya menyelamatkan dan menghindari manusia daripada bencana selain Allah yang Maha Berkuasa.

No comments: