Thursday, June 22, 2017

Teruskan Mencari Lailatul Qadar

Khamis, 27 Ramadhan 1438H: Humaid bin Mas'adah menceritakan kepada kami, Yazid bin Zurai' menceritakan kepada kami, 'Uyainah bin 'Abdur Rahman memberitahukan kepada kami di mana ia berkata: 

"Ayahku memberitahukan kepada ku di mana ia berkata: "Masalah Lailatul Qadar itu disebut-sebut di hadapan Abu Bakrah kemudian ia berkata: 

"Saya tidak mencarinya kerana sesuatu yang saya dengar dari Rasulullah s.a.w. kecuali pada sepuluh terakhir, kerana sesungguhnya saya mendengar baginda bersabda: 

"Carilah Lailatul Qadar itu pada sembilan malam yang masih tersisa, atau tujuh malam yang masih tersisa, atau lima malam yang masih tersisa, atau tiga malam atau malam terakhir." 

Ia berkata: "Abu Bakrah mengerjakan solat pada 20 hari bulan Ramadan itu seperti solat-solatnya pada saat-saat yang lain di sepanjang tahun, apabila telah masuk sepuluh (terakhir) maka ia bersungguh-sungguh." 

Abu 'Isa berkata: "Hadis ini adalah hadis hasan sahih."

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 2. Hadis No 0791

Wednesday, June 21, 2017

Malam 27 Ramadhan

Rabu, 26 Ramadhan 1438H: Ibnu Abi Umar ceritakan kepada kami, Sufyan menceritakan kepada kami dari Allah bin Abi Lubabah dan Ashim yang mendengar Zirr bin Hubaisy berkata: 

"Barang siapa melakukan ibadah sesaat setiap malam selama satu tahun, tentu dia memperoleh Lailatul-Qadar,

Ubai berkata: "Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa Abu Abdur Rahman sesungguhnya dia telah mengetahui bahawa Lailatul-Qadar adalah pada sepuluh akhir dari bulan Ramadhan dan sesungguhnya Lailatul-Qadar adalah malam 27 bulan Ramadhan tetapi dia menghendaki agar manusia tidak berpegang kepada perkiraan itu kemudian Ubai bersumpah yang pasti bahawa Lailatul-Qadar adalah. malam 27 bulan Ramadhan".

Ziir berkata kepada Ubai: "Dengan dasar apa kamu berkata demikian hai Abal-Mundair?"

Dia berkata: "Dengan dasar tanda yang diberitahukan Rasulullah SAW kepada kita iaitu bahawa matahari pada waktu itu terbit tanpa ada cahaya". 

Hadis ini adalah hadis Hasan Sahih Sunan At-Termizi Jilid 5. Hadis No 3409

Tuesday, June 20, 2017

Pahala Sama Beribadah Malam Lailatul Qadar

Selasa, 25 Ramadhan 1438H: Dari Khalid dalam hadisnya (maula Zubair) dari Tubai' dari Ka'ab berkata:

"Barangsiapa berwuduk dan dia menyempurnakan wuduknya, kemudian dia solat (kata Abdur Rahrnan: "Kemudian dia solat Isyak di akhir sepertiga malam"), lalu sesudah itu, dia solat sunat empat rakaat dengan sempurna, iaitu dia menyempurnakan ruku' dan sujudnya serta meresapi apa yang dibacanya; maka pahalanya sama dengan beribadah pada malam lailatui qadar." 

Sunan An-Nasai Jilid 5. Hadis Nombor 4798.

Monday, June 19, 2017

Beribadah Dengan Penuh Keimanan

Isnin, 24 Ramadhan 1438H: Dari Zuhri katanya: "Aku telah diberitahu oleh 'Urwah ibnu Zubair bahawasanya Aisyah pernah berkata: 

"Pada suatu malam di bulan Ramadhan Rasulullah saw mengerjakan solat malam berjamaah di masjid. Dan seterusnya kata Aisyah

"Nabi hanya menanjurkan sahabat-sahabatnya untuk gemar beribadah di malam hari di bulan Ramadhan, dan anjurannya itu tidak bersifat perintah, kerana itu beliau bersabda

"Barangsiapa yang beribadah di malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan berharap pahala dari Allah, maka dia akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu". 

Kata 'Urwah: "Demikianlah keadaan itu terus berlangsung hingga Rasulullah saw pulang ke rahmatullah".

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2,Hadis No 2161

Friday, June 16, 2017

Tujuh Akhir Ramadhan

Jumaat, 21 Ramadhan 1438H: Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Bahawasanya beberapa orang lelaki sahabat , Nabi saw. diperlihatkan kepada mereka Malam Qadar dalam tidur mereka pada tujuh yang akhir (bulan Ramadhan).

Rasulullah saw. bersabda: "Aku melihat apa yang kamu lihat, dan aku setuju dengan tujuh yang akhir. Maka siapa hendak mencari-carinya carilah pada tujuh yang akhir."

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, June 15, 2017

Sepuluh Akhir Yang Ganjil

Khamis, 20 Ramadhan 1438H: Dan 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 
 
"Bersiap-siaplah untuk mendapatkan Malam Qadar itu pada bilangan ganjil daripada sepuluh yang akhir dari bulan Ramadhan."
 
Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, June 14, 2017

Carilah Lailatul Qadar

Rabu, 19 Ramadhan 1438H; Harun bin Ishaq Al-Hamdani menceritakan kepada kami, 'Abdah bin Sulaiman memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Hisyam bin 'Urwah dari ayahnya dari 'Aisyah di mana ia berkata:
"Rasulullah s.a.w. biasa beri'tikaf pada sepuluh terakhir dalam bulan Ramadan, dan bersabda: "Bersungguh-sungguhlah kamu (untuk mendapatkan) Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadan."
Masalah yang sama diriwayatkan pula dari 'Umar, Ubayy bin Ka'b, Jabir bin Samurah, Jabir bin 'Abdullah, Ibnu 'Umar, Al-Falatan bin 'Ashim, Anas, Abu Sa'id, 'Abdullah bin Unais, Abu Bakrah, Ibnu 'Abbas, Bilal dan 'Ubadah dan Ash-Shamit. Abu 'Isa berkata: "Hadis 'Aisyah itu adalah hadis hasan sahih; sedangkan kata yujaawiru ertinya adalah beri'tikaf. Banyak riwayat dari Nabi s.a.w. bahawasanya baginda bersabda:
"Carilah Lalatul Qadar itu pada sepuluh terakhir pada setiap yang ganjil." Diriwayatkan dari Nabi s.a.w. tentang Lailatul Qadar iaitu bahawasanya Lailatul Qadar itu adalah pada malam 21, 24, 25, 27, 29 dan malam terakhir dari bulan Ramadan."
Asy-Syafi'i berkata: "Itu hanyalah pendapat saya. Dan Allah Maha Mengetahui; di mana Nabi s.a.w. menjawab suatu pertanyaan sewaktu ditanya tentang Lailatul Qadar. Dikatakan kepada baginda bahawa kami mencarinya pada malam ini, kemudian baginda bersabda: "Carilah Laiatul Qadar itu pada malam ini."
Asy-Syafi'i berkata: "Riwayat yang paling kuat menurut pendapat saya ialah bahawa Lailatul Qadar itu jatuh pada malam tanggal 21."
Abu 'Isa berkata: "Diriwayatkan dari Ubbay bin Ka'b bahawasanya ia bersumpah bahawa Lailatul Qadar itu berada pada malam 27 di mana ia berkata: "Rasulullah s.a.w. memberitahukan kepada kami dengan tanda-tanda malam itu kemudian kami menyebut-nyebut dan menghafalnya."
Diriwayatkan dari Abu Qilabah bahawasanya ia berkata: "Lailatul Qadar itu berkisar pada sepuluh terakhir."
'Abd bin Humaid memberitahukan yang demikian kepada kami, 'Abdur Razzaq memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ma'mar dari Ayyub dari ABu Qilabah dengan maksud seperti itu."
Hadis Sunan At-Termizi Jilid 2. Hadis Nombor

Tuesday, June 13, 2017

Malam Qadar Sepuluh Terakhir Ramadhan

Selasa, 18 Ramadhan 1438H: Diceritakan oleh Abu Salamah r.a., katanya: "Aku datang bertanya kepada Abu Sa'id Al Khudri, tanyaku: "Tidakkah lebih baik kita pergi ke Nakhl supaya kita dapat bercakap-cakap di sana?

Lalu kami pergi ke sana. Aku berkata kepadanya, "Ceritakanlah kepada ku, apa yang telah tuan dengar dari Nabi saw. tentang Malam Qadar"

Katanya, "Rasulullah sedang iktikaf sepuluh hari pertama bulan Ramadhan. Kami pun iktikaf pula bersama-sama dengan beliau. Maka datanglah malaikat Jibril mengatakan, "Yang tuan inginkan itu (malam qadar) belum datang."

Nabi saw. meneruskan lagi iktikaf beliau pada sepuluh hari pertengahan bulan. Kami pun iktikaf pula bersama-sama dengan beliau. Lalu datang pula malaikat Jibril mengatakan: "Yang tuan inginkan belum datang. "

Keesokan pagi dari malam kedua puluh bulan Ramadhan, Nabi saw. berpidato.

Sabda beliau: "Barangsiapa iktikaf bersama-sama dengan ku, hendaklah diteruskannya, kerana kepada ku telah diperlihatkan Malam Qadar itu, tetapi aku lupa tanggalnya.Malam qadar itu ialah dalam sepuluh yang akhir (Ramadhan) di bilangan ganjil. Saya bermimpi seolah-olah saya sujud di tanah basah."

Atap masjid terbuat dari pelepah kurma. Di langit, kami tidak melihat awan sedikit pun. Tetapi tidak lama kemudian, datanglah awan gelap dan hujan pun turun dengan lebatnya. Kami solat bersama-sama dengan Nabi saw. dan kami melihat tanah dan air melekat di kening dan di puncak hidung Nabi, sesuai benar dengan mimpi beliau. "

Hadis Sahih Bukhari

Friday, June 9, 2017

Malam Ke -21 Ramadhan

Juma'at, 14 RamadhanDari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Rasulullah saw. i'tikaf pada sepuluh awal bulan Ramadhan, kemudian dilanjutkannya pada sepuluh pertengahan, dalam sebuah kubah kecil yang pintunya ditutup dengan tikar.

Lalu beliau ambil tikar itu dan diletakkannya di sudut gobah. 
Kemudian diulurkannya kepalanya seraya berujar memanggil orang banyak.

Maka mendekatlah mereka kepada beliau, lalu beliau bersabda: 
"Aku telah i'tikaf sejak sepuluh awal bulan untuk mendapatkan Malam qadar, kemudian sepuluh yang pertengahan.Kemudian dikatakan kepada ku bahawa malam qadar itu terdapat pada sepuluh yang akhir. Maka siapa yang suka i'tikaf, silakan!"

Lalu orang banyak i'tikaf bersama-sama dengan beliau. Sabda beliau pula, "Aku bermimpi melihat malam qadar di malam yang ganjil, di mana pagi-pagi aku sujud di tanah basah."

Memang, pagi-pagi malam kedua puluh satu beliau solat Subuh sedangkan hari hujan sehingga masjid tergenang air. Aku melihat tanah dan air.

Setelah selesai solat Subuh, Nabi saw. keluar sedangkan di kening dan di hidungnya ada tanah basah. Malam itu ialah malam kedua puluh satu dari sepuluh yang akhir bulan Ramadhan."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, June 8, 2017

Orang Yang Paling Pemurah

Khamis, 13  Ramadhan 1438H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya : "Rasulullah saw. adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadhan. 

Kerana setiap tahun Jibril tetap menemui beliau tiap-tiap malam, hingga habis Ramadhan Rasulullah saw. memperdengarkan bacaan Quran kepadanya (dan Jibril menyemak). 

Di hari-hari Jibril mendatanginya, beliau tambah giat berbuat kebajikan melebihi angin lalu."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, June 7, 2017

Makan Sahur

Rabu, 12 Ramadhan 1438H: Dari Tsaur dari Khalid bin Ma'dan katanya:

"Rasulullah saw pernah mengajak orang untuk makan sahur, sabda beliau: "Marilah kita ikut menghadiri makan siang yang penuh barakah, yakni makan sahur."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis No 2131

Tuesday, June 6, 2017

Solat Malam Rasulullah

Selasa, 11 Ramadhan 1438H: Dari Al-Aswad ibnu Yazid katanya; "Ketika aku bertanya pada Aisyah tentang solat malam Rasulullah saw, maka kata Aisyah: 

"Biasanya beliau tidur dulu di awal malam, kemudian beliau melakukan solat malam di pertengahannya. Jika telah tiba waktu sahur, maka beliau segera melakukan solat witir. 

Kemudian beliau kembali ke tempat tidurnya untuk beristirahat, atau jika beliau ingin berkumpul dengan isterinya, maka beliau segera melakukannya. 

Dan jika telah mendengar azan, maka beliau segera bangkit, jika beliau dalam keadaan junub, maka beliau segera mandi, kalau tidak, maka beliau hanya berwuduk lalu segera ke masjid."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 1654

Friday, June 2, 2017

Segera Berbuka & Mangakhirkan Sahur

Jumaat, 7 Ramadhan 1438H: Dari Khaitsaman dan Abu 'Athiyah katanya: "Aku pernah berkata pada Aisyah: 

"Kami mempunyai dua teman dari sahabat Rasulullah saw.

Yang satu suka menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan sahur.

Sedangkan yang lain suka mengakhirkan berbuka puasa dan menyegerakan sahur, bagaimana pendapatmu?"

Tanya Aisyah: "Siapa diantara kalian yang suka menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan sahur?"

Jawabku: "Dia adalah Abdullah ibnu Mas'ud."

Kata Aisyah: "Yang dikerjakan oleh Abdullah ibnu Mas'ud. itulah yang sesuai dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw."

Hadis Sunan An-Nasai

Thursday, June 1, 2017

Perbezaan Puasa Dengan Ahli Kitab

Khamis, 6 Ramadhan 1438H: Dari 'Amru bin 'Ash r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Perbezaan puasa kita dengan puasa Ahli Kitab, ialah makan sahur."

Hadis Sahih Muslim