Thursday, February 28, 2013

Nikmat Syurga Yang Teristimewa

Khamis, 17 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. katanya Nabi saw. bersabda: "Allah Ta'ala berfirman kepada penduduk syurga.
 
"Hai penduduk syurga!"
 
Maka menjawab penduduk syurga. "Kami siap memenuhi panggilan dan perintah-Mu, wahai Tuhan kami. Segala kebaikan berada di tangan Engkau."
 
Lalu bertanya Allah Ta'ala, "Adakah kamu merasa puas?"
 
Jawab mereka, "Bagaimana kami tidak akan puas, bukankah Engkau telah memberi kami segala kenikmatan yang belum pernah Engkau berikan kepada makhluk lain?"
 
Tanya, "Mahukah kalian Aku beri nikmat yang lebih istimewa dari itu?"
 
Jawab mereka, "Wahai Tuhan, nikmat apa pulakah yang lebih istimewa dari itu?"
 
Jawab Allah Ta'ala, "Akan Ku curahkan kepada mu keredhaan-Ku, di mana Aku tidak akan pernah marah kepada mu sesudah itu untuk selama-lamanya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2421.

Wednesday, February 27, 2013

Bersedekahlah, Hai Kaum Wanita!

Rabu, 16 Rabiulakhir 1434H: Dari Zainab r.a., isteri 'Abdullah, katanya Rasulullah saw. bersabda : "Bersedekahlah, hai kaum wanita! Bersedekahlah, sekalipun dengan perhiasanmu!"
 
'Kata Zainab, "Mendengar sabda Rasulullah saw. tersebut, lalu aku pulang menemui 'Abdullah - suamiku seraya aku berkata kepadanya: "Anda seorang lelaki yang cepat kaki ringan tangan. Rasulullah saw. memerintahkan kepada kami kaum wanita, supaya kami bersedekah. Cubalah datangi beliau, tanyakan kepada beliau, apakah sudah cukup memadai sedekahku kepada keluarga? Jika tidak memadai, akan ku alihkan kepada orang lain."
 
Jawab 'Abdullah, "Sebaiknya engkau sajalah yang mendatangi beliau."
 
"Maka pergilah aku." kata Zainab. "Di sana, di pintu rumah Rasulullah saw., ku dapati seorang wanita Ansar yang bermaksud sama dengan ku. Sebagaimana biasa, orang-orang yang ingin bertemu dengan Rasulullah saw, selalu diliputi rasa gentar. Kebetulan Bilal keluar mendapatkan kami.
 
Kata kami kepada Bilal, "Tolonglah kami menyampaikan kepada Rasulullah saw., bahawa dua orang wanita sedang berdiri di pintu hendak bertanya : Apakah cukup memadai jikalau kami keduanya bersedekah kepada suami kami masing-masing dan kepada anak-anak yatim yang berada dalam pemeliharaan kami? Dan sekali-kali janganlah beliau diberitahu siapa kami."
 
Maka masuklah Bilal menanyakan kepada Rasulullah saw. pertanyaan mereka itu. Tetapi Rasulullah saw. balik bertanya, "Siapa kedua wanita itu?"
 
Jawab Bilal, "Seorang wanita Ansar bersama-sama dengan Zainab." "Zainab yang mana?" tanya Rasulullah lagi.
 
Jawab Bilal, "Isteri 'Abdullah,"
 
Sabda Rasulullah saw., "Masing-masing mereka mendapat dua pahala. Iaitu pahala kerana karib kerabat dan pahala kerana sedekah."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0953.

Tuesday, February 26, 2013

Syirik & Seksa Kubur

Selasa, 15 Rabiulakhir 1434H: Dari Zaid bin Tsabit r.a. katanya: "Ketika Nabi saw. berada di sebidang kebun Bani Najjar mengenderai keldai, kami ada bersama-sama beliau. Tiba-tiba keldai itu membelok sehingga beliau hampir jatuh. Kiranya di sana terdapat empat atau enam kubur.
 
Tanya beliau, "Siapakah di antara kalian yang tahu, kubur-kubur ini milik siapa?"
 
Seorang lelaki berkata: "Aku!"
 
Tanya Nabi saw., "Bila mereka meninggal?"
 
Jawab, "Mereka mati dalam syirik."
 
Sabda Rasulullah saw., "Mereka sedang diseksa dalam kubur. Seandainya aku tidak khuatir yang kamu semua akan takut menguburkan mayat, akan ku mohon kepada Allah Ta'ala supaya Dia memperdengarkan kepada mu sekalian bagaimana dahsyatnya seksa kubur seperti yang terdengar olehku."
 
Kemudian beliau hadapkan mukanya kepada kami seraya bersabda, "Berlindunglah kamu dengan Allah dari seksa neraka!"
 
Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari seksa neraka."
 
Sabda beliau, "Berlindunglah kamu semua dengan Allah dari seksa kubur!"
 
Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari seksa kubur."
 
Sabda beliau, "Berlindunglah kamu semua dengan Allah dari fitnah, baik yang nyata mahupun yang tersembunyi."
 
Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari fitnah, baik yang nyata mahupun yang tersembunyi."
 
Sabda beliau, "Berlindunglah kamu semua dari fitnah (bencana) Dajjal!"
 
Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari fitnah Dajjal."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2444.

Monday, February 25, 2013

Pintu Taubat Sentiasa Terbuka

Isnin, 14 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., bahawasanya Nabi saw. bersabda: "Zaman dahulu ada seorang pembunuh yang telah membunuh korbannya sembilan puluh sembilan orang. Lalu dia bertanya kepada penduduk negeri, "Siapa ulama yang paling alim di negeri ini?"
 
Maka ditunjukkan orang seorang rahib (pendeta Yahudi). Lalu didatangi rahib itu seraya mengatakan bahawa dia telah membunuh sembilan puluh sembilan orang. Kemudian dia bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab Rahib: "Tidak!" Maka dibunuhnya rahib itu, dan genaplah korban pembunuhannya seratus orang.
 
Kemudian dia bertanya pula kepada penduduk; "Siapa ulama di negeri ini?" Maka ditunjukkan orang kepadanya seorang ulama yang alim. Dia menceritakan kepada orang alim itu bahawa dia telah membunuh korbannya seratus orang. Kemudian bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab ulama, "Ya, sudah tentu. Pintu taubat selamanya tidak pernah tertutup. Siapa yang sanggup menutup pintu taubat bagi Anda. Pergilah Anda ke negeri Anu, kerana di sana penduduknya menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama-sama dengan mereka dan jangan kembali lagi ke negeri Anda, kerana negeri Anda telah rosak."
 
Maka pergilah orang itu ke negeri yang ditunjuk sang ulama. Setengah perjalanan tiba-tiba orang itu meninggal.
 
Maka bertengkarlah malaikat rahmat dengan malaikat 'adzab. Kata malaikat rahmat, "Orang ini telah taubat dan dia sedang menghadap dengan hati yang taubat itu kepada Allah Ta'ala."
 
Kata malaikat 'adzab, "Dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit jua pun." Tiba-tiba datang seorang malaikat dengan rupa manusia, lalu dia berdiri di tengah-tengah mereka seraya berkata, "Ukurlah jarak kedua negeri itu, ke mana yang lebih dekat bawalah dia ke situ." Setelah diukur ternyata yang lebih dekat ialah negeri yang di tujunya. Maka dibawalah dia oleh malaikat rahmat."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2372.

Friday, February 22, 2013

Mati Jahiliyah

Jumaat, 11 Rabiulakhir 1434H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa melihat Amir (pembesar negeri) melakukan suatu tindakan yang tidak disukainya hendaklah dia bersabar, kerana siapa memisahkan diri dari jemaah walaupun hanya sejengkal, lalu dia mati, maka matinya sama dengan mati jahiliyah."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1816.

Thursday, February 21, 2013

Satu Masa Kelak..

Khamis, 10 Rabiulakhir 1434H : Dari Abu Musa r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Kelak akan datang suatu masa, di mana seorang lelaki berkeliling membawa emas untuk disedekahkannya, tetapi dia tidak mendapatkan orang yang bersedia menerima sedekahnya itu.
Akan terjadi pula kelak, seorang lelaki di ekori oleh empat puluh orang wanita yang kesemuanya menginginkan lelaki itu untuk menjadi suaminya. Hal itu akan terjadi, kerana jumlah lelaki jauh lebih sedikit daripada perempuan. "

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0965.

Wednesday, February 20, 2013

Bagaikan Hujan Jatuh Ke Bumi

Rabu, 9 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Musa ra., dari Nabi saw. sabdanya: "Perumpamaan agama yang aku diutus Allah 'Azza wa lalla dengannya iaitu berupa petunjuk dan ilmu. ialah bagaikan hujan yang jatuh ke bumi.
 
Di antaranya ada yang jatuh ke tanah subur yang dapat menyerap air maka tumbuhlah padang rumput yang subur.
 
Di antaranya pula ada yang jatuh ke tanah keras sehingga air tergenang kerananya. Lalu air itu dimanfaatkan orang banyak untuk minum, menyiram kebun dan berternak.
 
Dan ada pula yang jatuh ke tanah tandus, tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.
 
Seperti itulah perumpamaan orang yang mempelajari agama Allah dan mengambil manfaat daripadanya, belajar dan mengajarkan, dan perumpamaan orang yang tidak mahu tahu dan tidak menerima petunjuk Allah yang aku diutus dengannya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2127.

Tuesday, February 19, 2013

Kafir Kepada Suami

Selasa, 8 Rabiulakhir 1434H: Ibnu Abbas r.a. memberitakan, bahawa orang banyak berkata kepada Rasulullah saw.: "Kami melihat anda seolah-olah anda mengambil sesuatu di tempat anda, sesudah itu kami lihat pula anda undur."
 
Jawab Nabi saw., "Aku melihat syurga, lalu aku ingin memetik buah-buahannya. Kalaulah buah-buahan itu dapat ku petik, sesungguhnya dapat untuk makanmu seumur dunia. Dan diperlihatkan pula kepada ku neraka. Belum pernah aku menyaksikan pemandangan yang sangat mengerikan seperti hari ini. Ku lihat kebanyakan isinya kaum wanita."
 
Tanya mereka, "Kenapa begitu ya, Rasulullah?"
 
Jawab beliau., "Kerana kekafiran mereka!"
 
Tanya mereka, "Apakah mereka kafir kepada Allah?"
 
Jawab Nabi saw., "Mereka kafir terhadap teman hidup (suami) mereka dan terhadap kebaikan yang dia terima daripadanya. Sekalipun engkau telah berbuat baik kepada mereka sepanjang masa, kemudian dia melihat sesuatu kesalahan daripadamu, lantas ia berkata: "Saya tidak pernah sedikit pun melihat kebaikan daripadamu."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0552

Monday, February 18, 2013

Islam Lebih DiCintai

Isnin, 7 Rabiulakhir 1434H: Dari Anas r.a., katanya: "Ada seorang lelaki meminta kambing kepada Nabi saw. sepenuh lembah antara dua bukit, lalu diberi oleh beliau.
 
Kemudian orang itu datang kepada kaumnya seraya berkata. "Hai, kaumku! Islamlah kalian semuanya! Demi Allah, sesungguhnya Muhammad telah memberi ku suatu pemberian yang banyak sekali tanpa dia takut miskin."
 
Maka berkata Anas, "Jika ada seseorang masuk Islam kerana menginginkan harta dunia, dia itu bukan Islam, sehingga Islam itu sendiri lebih dicintainya daripada harta benda dunia dan segala yang ada di atasnya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2142.

Friday, February 15, 2013

Pekerjaan Itu Dinilai Menurut Akhirnya

Jumaat,4 Rabiul Akhir 1434H:  Dari Sahal r.a., bahawa ada seorang laki-laki yang paling cukup keberaniannya mempertahankan kaum Muslimin dalam suatu peperangan bersama dengan Nabi saw. Lalu beliau memperhatikan laki-laki itu dan berkata: "Siapa yang ingin hendak memperhatikan seorang isi neraka, hendaklah diperhatikannya orang: Ini!"
 
Lalu ada seorang di antara orang banyak mengikuti laki-laki itu, sedang dia ketika itu masih termasuk seorang yang amat berani melawan kaum musyrik. Akhirnya dia luka dan ingin hendak cepat mati. Maka diletakkannya ujung pedangnya antara dua susunya sehingga pedang itu keluar (tembus) di antara kedua bidang bahunya.
 
Orang yang mengikuti laki-laki yang bunuh diri itu segera datang menemui Rasulullah saw. dan mengucapkan: "Saya mengakui bahawa anda sebenarnya Utusan Allah."
 
Nabi bertanya: "Mengapa begitu?"
 
Jawabnya: "Anda mengatakan kepada si Anu, bahawa siapa yang ingin hendak memperhatikan seorang isi neraka, maka hendaklah memperhatikan orang itu, padahal dia termasuk orang ya ng paling berani membela kaum Muslimin. Kerana itu, saya merasa, bahawa dia tidak akan mati dalam keadaan serupa itu. Setelah menderita luka, dia ingin cepat mati, lalu dibunuhnya dirinya."
 
Ketika itu Nabi bersabda: "Sesungguhnya ada seorang yang mengerjakan pekerjaan isi neraka, pada hal dia termasuk isi syurga. Dan ada pula yang mengerjakan pekerjaan isi syurga, padahal dia termasuk isi neraka. Sesungguhnya pekerjaan itu dinilai menurut akhirnya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1782.

Thursday, February 14, 2013

Bayi Pertama Lahir Dalam Islam

Khamis,3 Rabiul Akhir 1434H - Dari Asma' (binti Abu Bakar Shiddiq) r.a. katanya: "Ketika dia mengandung anaknya 'Abdullah bia Zubair, dia masih berada di Mekah. Kemudian dia hijrah ke Madinah, padahal dia sudah hamil tua. Sesampainya di Quba' dia melahirkan. Lalu dia membawa anaknya kepada Rasulullah dan meletakkannya di pangkuan beliau. Rasulullah meminta kurma sebuah lalu dikunyahnya. Sesudah itu, disuapkannya ke mulut bayi tersebut. Itulah makanan yang pertama-tama masuk ke mulut bayi itu, kurma yang telah bercampur dengan air ludah beliau. Kemudian Nabi saw. mendoakan berkat baginya. Itulah bayi yang pertama-tama lahir dalam Islam."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2013.