Friday, October 30, 2009

Ibadat Haji Cacat Tanpa Ilmu


Jumaat, 11 Zulkaedah 1430H :- MENJELANG bulan haji, individu yang bakal ke Tanah Suci hendaklah menyiapkan diri dengan segala keperluan dan bekalan yang diperlukan. Sesungguhnya ilmu adalah antara bekalan paling mahal di sisi manusia apabila ingin melakukan sebarang bentuk ibadat termasuk ibadat haji. Semua silibus, latihan, kertas perbincangan muzakarah dan fatwa mengenai haji seelok-eloknya dibaca supaya difahami dengan baik demi mencapai haji yang diterima di sisi Allah.

Berbekalkan semua latihan, khususnya di Malaysia yang dilengkapi dengan kronologi dan perjalanan ilmu secara berkursus kepada jemaah, diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya ketika menunaikan ibadat itu di Tanah Suci nanti. Walaupun pelbagai persediaan dilakukan, tidak dapat dinafikan masih ada segelintir jemaah yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan hingga mencacatkan ibadat mereka. Sedangkan, ibadat haji sukar untuk diulang kerana memerlukan perbelanjaan besar. Tambahan ibadat haji adalah wajib sekali seumur hidup dan dalam keadaan negara kita, keutamaan mengerjakan haji diberi kepada jemaah yang baru pertama kali hendak pergi menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Beberapa kesilapan dan kesalahan utama sering dilakukan saban tahun disebabkan salah faham terhadap beberapa perkara dalam ibadat haji ialah:
  • Tidak mengambil berat kepentingan talbiah. Talbiah adalah antara topik perbincangan ulama mengenai hukum hakamnya. Walau bagaimanapun, jumhur ulama mengatakan ia adalah perkara paling dituntut bagi orang mengerjakan ibadat haji dan umrah. Perbualan yang sia-sia serta tidak mengambil berat perkara talbiah jelas bertentangan dengan panduan pernah ditunjukkan Rasulullah SAW. Pandangan jumhur ulama mengatakan bahawa talbiah diucapkan bermula daripada ihram sehingga tiba di tempat lontaran jamrah. Adakah talbiah dengan menguatkan suara? Syeikh ‘Atiah Saqr menjawab dengan membawa pendapat Imam Malik (salah seorang guru Imam Syafi’e) dalam fatwanya bahawa Imam Malik berkata: “Tidak boleh mengangkat suara di masjid, bahkan untuk didengari oleh dirinya saja. Adapun di Mina dan Masjidil Haram, maka hendaklah dia mengangkat suaranya. Ini adalah (khusus) untuk lelaki, manakala bagi perempuan, tidak digalakkan mengangkat suaranya melainkan untuk didengari oleh dirinya saja” (Fatawa al-Azhar, halaman 361)
  • Mengucup kain Kaabah (kain kiswah), makam Nabi Ibrahim dan tiang. Ada segelintir jemaah yang menganggap mencium kain Kaabah adalah amalan yang sangat dituntut dan mendapat berkat. Sebenarnya ia bukanlah dituntut, malah Baginda Rasulullah SAW tidak pernah mengajar dan melakukan perkara itu. Ia secara tidak langsung terkeluar daripada ciri sunnah Baginda SAW ketika melakukan ibadat haji. Yang disunatkan secara jelas adalah mencium Hajar Aswad dan melambainya jika tidak berkemampuan menciumnya, manakala, mengenai sudut Kaabah pula, berlaku peristiwa Abdullah Ibn Abas bersama Muawiyah. Muawiyyah yang duduk di bahagian hujung Kaabah ditegur oleh Abdullah Ibn Abas, Muawiyyah menjawab bahawa tiada sebarang sudut yang boleh dipersiakan. Abdullah Ibn Abas membacakan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh teladan yang baik.” (Surah al-Ahzab, ayat 21) Ibn Abas menambah: “Aku hanya melihat Rasulullah SAW menyentuh dua sudut ini iaitu Rukun Yamani dan Hajarul Aswad.” Akhirnya Muawiyyah bersetuju dengan kata-kata Ibn Abbas. Inilah perbezaan antara orang mempelajari ilmu secara terperinci dan orang yang menganggap remeh dan mudahnya ibadat haji.
  • Mengundur ketika keluar dari masjid. Apabila selesai, jemaah mula berpusu-pusu keluar dari masjid. Malangnya, ada beberapa kumpulan yang mempercayai bahawa sunat keluar dari masjid secara mengundur. Jikalau ia adalah sunnah, tentu Rasulullah SAW yang mempelopori perbuatan itu. Tiada nas dan sahabat tidak pernah melakukan perkara berkenaan. Sesungguhnya inilah antara kejahilan kita mengenai ilmu ibadat haji. Pendapat yang mengatakan ia perlu untuk penghormatan dengan tidak membelakangkan Kaabah adalah batil dan tertolak kerana Kaabah hanya simbol penyatuan umat Islam dan tidak lebih daripada itu. Keluarnya secara biasa sudah menjelaskan bahawa umat Islam bukan menyembah Kaabah, tetapi penciptanya iaitu Allah. “Mereka yang keluar dari masjid di dalam keadaan mengundur kerana berpendapat ia adalah salah satu cara memuliakan Kaabah adalah bercanggah dengan sunnah. Bahkan ia termasuk perkara rekaan yang dilarang oleh Rasulullah.” (Manasik al-Haj wal Umrah, halaman 135)
  • Mentaqdiskan bukit daripada pencipta. Jabal Rahmah antara mangsa kejahilan segelintir jemaah yang menganggapnya sebagai bukit yang memberi keajaiban, mustajab doa pemintanya. Ia satu tanda parahnya luka iman di dalam diri. Secara jelas, tiada nas menunjukkan Nabi Muhammad SAW pernah berdoa khusus dengan mengambil keberkatan bukit itu, manakala, ada beranggapan menaiki Jabal Rahmah adalah syarat sah wukuf di Arafah. Imam Nawawi menjelaskan, “Apa yang masyhur di kalangan orang awam ialah menganggap menaiki Jabal Rahmah antara syarat wukuf. Ia adalah kesalahan. Yang sebenarnya, boleh wukuf di merata tempat dalam kawasan Arafah.” Sementara jemaah berebut-rebut menaiki Jabal Rahmah seolah-olah menganggapnya keramat dari tempat lain. Inilah penyelewengan daripada golongan yang tidak bertanggungjawab. Persidangan Fatwa pada 13 Muharam 1392 menjelaskan beberapa perkara penting antaranya: Tiada nas yang jelas Baginda SAW menggalakkan umatnya menaiki bukit Arafah yang dikenali sebagai Jabal Rahmah. Malah, ia adalah satu perkara baru dan direka-reka. (Ini pendapat Imam Nawawi, Ibn Taimiyyah, Siddiq Hasan Khan) Tiada nas Baginda SAW melakukan solat sunat di atas bukit itu kerana jelas Baginda tidak melakukan sebarang solat sunat, bahkan mencukupi solat Zuhur dan Asar secara jamak dan qasar di sebuah masjid (Masjid Namirah).
  • Meremehkan ibadat haji kerana beranggapan haji boleh ditunaikan setiap tahun. Pemergian ke Makkah tanpa diisi dengan ilmu dan pengetahuan adalah sesuatu yang sia-sia dan merugikan apatah lagi kewajipan haji adalah hanya sekali seumur hidup. Ia jelas dalam riwayat Imam Muslim, “Seorang lelaki bertanya kepada Baginda, “Adakah ia diwajibkan setiap tahun wahai Rasulullah?” Kemudian, Rasulullah SAW mendiamkan diri sehingga ditanya tiga kali oleh pemuda itu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika aku katakan ya, pasti diwajibkan kepada kamu. Ikutilah apa yang aku tinggalkan kepada kamu dan sesungguhnya orang terdahulu menjadi binasa lantaran terlalu banyak bertanya dan berbeza pendapat dengan nabi mereka. Jika aku menyuruh kamu lakukan sesuatu, lakukanlah dan jika aku melarangnya, maka jauhilah.”
Oleh itu, tidak timbul soal semakin kerap ke haji semakin diterima hajinya melainkan orang yang dikenal pasti batal hajinya, maka dia boleh menunaikannya lagi jika berkemampuan. Semoga haji yang akan tiba ini membolehkan kita mempraktikkan sepenuhnya apa yang diajar pengkursus ibadat haji, ataupun bahan yang diperoleh daripada pembacaan ilmu secara tidak langsung. Jika tidak tahu, rujuklah alim ulama atau dapatkan sumber rujukan yang muktabar. Semoga haji kita diterima Allah.

Oleh Zulkarnain Ali ( Penulis ialah Pengurus (Haji Antarabangsa) Lembaga Tabung Haji)

Thursday, October 29, 2009

Ibadat Qurban

Khamis, 22 Zulkaedah 1430H ;- Bulan Syawal, Zulkaedah dan Zulhjijah adalah bulan-bulan haji di mana difardukan Allah ke atas umat Islam akan ibadat haji bagi yang mampu melakukannya, iaitu mampu dari sudut kewangan, persediaan, kesihatan, kenderaan dan yang berkaitan dengannya. Didalam bulan Zulhijjah juga terdapat suatu ibadat sunat yang dituntut oleh agama Islam untuk dilaksanakan ialtu ibadat qurban sempena mengingati peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. yang diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. seperti yang dikisahkan Al Quran (As-Shaaffat : 102) :"Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata :"Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu, maka pikirkan apa pendapatmu !" ia (Ismail) menjawab : "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaallah engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang bersabar".

Para ahli tafsir menyatakan, perintah Allah kepada Ibrahim agar menyembelih putranya sendiri untuk menyampaikan pesan kepada kita, bahwa betapapun besarnya cinta seseorang kepada anak atau apapun yang dimiliki, bukanlah sesuatu yang bererti bila Allah menghendakinya. Disebutkan juga dalam akhir kisah tersebut, Allah memberikan pengganti seekor domba besar atas keberhasilan Ibrahim dan Ismail dalam melaksanakan perintah dan ujian yang amat berat itu, seperti diungkap Al-Quran (As-Shaaffat : 107) :"Dan kamu tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar".

Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 : Maksudnya : "Maka kerjkanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur".

Allah S.W.T.telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 : Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".

Sabda Rasulullah S.A.W.: Maksudnya : "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadis riwayat Tirmidzi)

Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakkadah iaitu sunah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya.

Hukum qurban ini menjadikan wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram. Daging qurban wajib tidak dibenarkan untuk dimakan oleh yang empunya qurban dan tanggungannya.

Diantara fadhilat-fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban ini amat besar antaranya:
Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan". (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Sebagai penebus dosa Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah: Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu". (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah. Sabda Rasullah Sallahahu 'Alaihi Wasallam: Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla." (Hadis riwayat Thabrani)
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda: Maksudnya : "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." (Hadith riwayat Tirmidzi)

Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu katanya, sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam: Maksudnya: "Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami".

Perlu diingatkan tidak memadai jika seseorang itu hanya membeli binatang dengan niat hendak diqurbankan tanpa dilafazkan niat itu. Disyaratkan berniat ketika menyembelih binatang qurban jika dilakukan sendiri. Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korban berkenaan dengan disaksikan oleh orang yang berwakil tadi.

Walaubagaimanapun adalah lebih baik orang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut. Walaubagaimana pun tidak disyaratkan niat jika melakukan qurban nazar. Tidak sah menyembelih korban bagi pihak orang lain yang hidup dengan tiada izinnya. Begitu juga bagi pihak orang yang telah mati dengan tiada wasiat atau pesanan daripadanya. Apabila qurban itu dilakukan kerana wasiat simati maka wajib disedekahkan kesemuanya.

Apabila menjelang 10 Zulhijjah, tidak digalakkan empunya qurban memotong rambut dan kukunya sehingga dia melaksanakan ibadah qurban. Semasa menyembelih binatang qurban disunatkan :

1. Membaca Bismillahirrohmanirrahim
2. Berselawat ke atas Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
3. Menghadapkan binatang itu ke arah kiblat di atas rusuk kirinya.
4. Bertakbir sebelum membaca Bismilah dan selepasnya.
5. Membaca doa : Maksudnya: "Ini adalah nikmat daripada Mu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya."

Sebaik-baiknya ibadah qurban ini dilaksanakan sendiri tetapi harus diwakilkan kepada orang lain.

Wednesday, October 28, 2009

Berbasikal ke Putrajaya

Rabu, 9 Zulkaedah 1430H :- Pada Ahad 25 Oktober 2009, jam 5 petang kelab berbasikal Dang Anum terdiri dari Ana, Hj Mad, Hj Zul, Zainal dan Bro Faizal telah berkayuh ke Putrajaya dari Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam lebih pergi dan balik. Dalam perjalanan balik kami singgah di Surau Uniten untuk menunaikan Fardu Maghrib.

Bergambar berlatarbelakang Masjid Putrajaya


Dibelakang Pusat Pentadbiran Kerajaan Malaysia. Pejabat Perdana Menteri kat situlah.




Merintas Hutan Air Terjun Sg Gabai

Rabu, 9 Zulkaedah 1430H :- Pada hari Sabtu bersamaan 24 Oktober 2004, lebih kurang pukul 7 pagi Ana, Zainal, Hj Mad, Hj Zul, Hj Azmi dan Bro. Zaini telah bertolak ke Air Terjun Sg Gabai Hulu Langat. Tepat pukul 8 pagi kami sampai didestinasi yang ditujui dan dimulai dengan solat Dhuha dan doa memohon pelindungan dan keredhaan Allah. Ekspedisi merintas Hutan di Air Terjun Sg Gabai merupakan salah satu aktiviti yang dirancang sebelum kami semua berangkat ke Kota Kinablu, Sabah menakluk puncak Gunung Kinabalu pada bulan Disember 2009, Insyallah.



Sebelum mendaki di kaki Air Terjun Sg Gabai


Check point di Air Terjun Sg Gabai

Merintas hutan dipinggir Sg Gabai

Sesungguh cabaran itu menguji kesabaran.

Berjalan merintas hutan yg tiada penghujungnya.

Kabus tebal waktu pagi yang menyegarkan fizikal dan mental.

Sepanjang sungai banyak terdapat pokok buluh betong yang saling berkerjasama antara "aur dengan tebing"

Berehat sambil melihat kebesaran ciptaan Allah yang dicipta bukan sia-sia tapi meminta kita berfikir dan mencari hikmah disebaliknya.
Berjalan merintas hutan mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah yang penuh cabaran menguji kekuatan fizikal dan mental. Kepenatan dan kepuasan disudahi dengan mandi dikolam air terjun.

Bahaya Lisan (Lidah) Akhir

Rabu, 9 Zulkaedah 1430H :- Bencana kedua puluh: Mengumpat orang (ghibah)

Allah s.w.t. telah menaskan celaan mengumpat ini di dalam kitabNya yang mulia, dan telah menyamakan orang yang suka mengumpat itu, dengan orang yang memakan daging saudaranya yang telah mati. Allah telah berfirman: “Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain, Adakah seseorang kamu suka memakan daging saudarnya yang telah mati, tentulah kamu sekalian benci memakannya.”(al-Hujurat: 12)

Rasulullah s.a.w. pula bersabda: “Setiap orang Muslim atas Muslim yang lain haram darahnya (tidak boleh membunuhnya tanpa hak), haram hartanya (tidak boleh merampasnya) dan haram kehormatannya (tidak boleh mengumpatnya).”

Ghibah atau mengumpat itu melanggar kehormatan orang, seperti yang dijelaskan oleh sabda Rasulullah s.a.w, “Wahai golongan orang-orang yang telah beriman lidahnya, tetapi belum beriman pula hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan jangan pula mengintip-intip keaiban-keaibannya. Sebab barangsiapa yang mengintip keaiban saudaranya, niscaya Allah akan mengintip keaibannya, dan siapa yang Allah mengintip keaibannya, nescaya Dia akan mendedahkannya, meskipun ia berada di tengah-tengah rumahnya.”

Diriwayatkan dari Mujahid, bahwa dia telah mengulas tentang maksud ayat berikut: “Celakalah untuk setiap pengumpat, penista.”(al-humazah: 1)

Erti pengumpat di sini, ialah menikam peribadi seseorang dengan kata-kata yang memburukkan dan melukai hati. Dan penista pula diumpamakan seperti memakan daging saudara yang telah mati melalui mengumpat.

Didapati bahwa kebanyakan para Salaf Saleh berpendapat, bahwa ibadat itu bukanlah hanya setakat puasa atau bersembahyang saja, tetapi terkira dalam ibadat juga menahan diri dari mengumpat orang lain.

Ibnu Abbas berkata: Andaikata anda ingin menyebut-nyebut keaiban sahabatmu, terlebih dulu sebutkanlah keaiban diri sendiri.

Pengertian mengumpat dan batasnya

Ketahuilah bahwa batas mengumpat itu, ialah apabila anda menyebut sesuatu yang boleh menimbulkan kebencian atau kemarahan saudaramu, bila ia mendengarnya, sama ada yang disebutkan oleh anda sebagai kekurangan-kekurangan pada anggota badannya, atau keturunannya, atau bentuk kejadiannya, atau perbuatannya, atau perkataannya, atau agamanya, atau dunianya ataupun pada pakaiannya, rumahnya dan binatang kenderaannya sekalipun.

Yang dikatakan kekurangan-kekurangan dalam anggota badan, ialah seperti anda mengatakan dia itu rabun juling, botak, pendek, panjang, hitam, kuning dan lain-lain sifat yang boleh menjadikan ia merasa benci dan marah jika mendengarnya.

Mengenai kekurangan-kekurangan dalam nasab keturunan pula, ialah seperti anda mengatakan, bahwa bapanya seorang fasik, jahat dan rendah kelakuannya, ataupun bapanya tukang pikul air, atau sebagainya yang boleh menyebabkan ia marah dan benci.

Mengenai kekurangan-kekurangan dalam bentuk dan rupa, ialah seperti anda mengatakan, bahwa ia itu buruk atau hodoh bentuk kejadiannya, kikir, sombong, bongkak, suka bermegah diri, pemanas, pengecut, degil atau seumpamanya.

Adapun tentang kekurangan-kekurangan dalam perbuatannya mengenai urusan keduniaan ialah seperti anda mengatakan, bahwa iaitu seorang pencuri, penipu, pembohong, taik arak, pengkhianat, zalim suka cuaikan sembahyang, tidak keluarkan zakat, tidak mengambil berat tentang perkara-perkara najis, menderhaka kepada ibu bapa atau seumpamanya.

Manakala perbuatannya yang mengenai urusan keagamaan pula, seperti anda mengatakan, iaitu kurang ajar orangnya, tidak mengendahkan orang, banyak mulut, besar temboloknya, suka tidur banyak, tak tahu meletakkan diri pada tempatnya.

Yang mengenai pakaian pula ialah seperti anda mengatakan bahwa lengan bajunya terlalu panjang, seluarnya terlalu labuh ke bawah, bajunya kotor dan seumpamanya.

Walhasil kata yang menyeluruh dalam pengertian ghibah atau mengumpat, iaitu seperti yang terkandung di dalam Hadis Rasulullah s.a.w, “Ghibah (mengumpat) itu adalah anda menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu yang dibencinya.”

Yang dilarang pula, ialah menyebut perihal saudaramu dengan lidah, sebab dengan sebutan itu anda dapat menyampaikan kekurangan-kekurangan saudaramu dan mendedahkan perkara-perkara yang dibencinya kepada orang lain. Oleh yang demikian, maka membuat sindiran itu samalah seperti berkata terang-terangan, perbuatan samalah seperti perkataan, mengisyarat samalah seperti mengangguk, berkelip mata samalah seperti menunjuk gerak laku. Pendek kata apa saja yang dilakukan olehmu boleh menunjukkan kepada maksud ghibah atau mengumpat, maka ia adalah dilarang dan dihukumkan haram.

Jadi orang yang mengisyaratkan dengan tangannya perihal pendek atau panjangnya seseorang, ataupun ia meniru-niru tentang gaya perjalanan orang itu, maka itu juga adalah ghibah yang dilarang. Menulis mengenai keaiban diri seseorang adalah ghibah juga, sebab qalam atau pena itu ganti lisan.

Termasuk ghibah juga, jika anda menunjukkan sesuatu ucapan kepada seseorang tanpa menyebut namanya, misalnya anda berkata: Si anu yang baru sampai dari pelayaran ataupun setengah-setengah orang yang berjalan di hadapan kita hari ini, bila orang yang ditujukan ucapan itu faham, bahwa ia yang dimaksudkan, maka itu juga ghibah.

Demikian juga, jika seseorang itu tersinggung sebab keaibannya disebutkan dalam sighah (bentuk) berdoa, seperti orang yang berdoa: Alhamdulillah, Tuhan tidak mengenakan aku bala’ itu, atau penyakit itu (disebutkan hadapan orang yang kena bala’ atau penyakit itu).

Termasuk ghibah juga, jika orang mula memuji-muji seseorang yang ingin dikejinya. Misalnya ia berkata: Alangkah baik sekali hal-ehwal orang itu, tetapi malangnya dia juga sama seperti kita sekalian begini dan begitu. Disebut diri orang itu dengan dibandingkan dengan dirinya, dan tujuannya tidak lain melainkan mencaci orang itu.

Di antaranya juga, jika ia menyebut keaiban seseorang di hadapan orang ramai, tetapi mereka tidak dapat mengagak siapa orang yang ditujukan celaan itu, lalu ia menyebut pula: Subhanallah. Hairan betul si fulan itu dengan kelakuannya! Hingga apabila di dengar lagi oleh orang-orang itu, mereka pun faham siapa orang ditujukan celaan tadi. Ini adalah suatu dosa yang besar, sebab si pengumpat itu telah menggunakan nama Allah Ta’ala, iaitu nama Tuhan dijadikan perantaraan untuk merealisasikan cita-citanya yang jahat itu.

Di antaranya juga, kata-kata orang begini: Sungguh sedih aku, apa yang telah berlaku di atas sahabat kita, kerana kecuaian dan perilakunya yang tak baik. Maka orang yang berkata begitu, adalah pembohong orangnya, sebab andaikata ia benar-benar merasa sedih dan dukacita, tentulah ia tidak begitu senang melahirkan kepada orang ramai sesuatu yang akan dibenci oleh sahabatnya.

Di antaranya juga, jika ia berkata: Kasihan si miskin itu, ia telah dicubai dengan suatu bala’ yang besar, mudah-mudahan Allah mengampuni dosa kita dan dosanya. Nyatalah pada lahirnya, ia pura-pura melahirkan doa, tetapi Allah lebih mengetahui tentang isi perutnya dan niat busuknya. Dan oleh kerana kejahilannya, ia tidak sedar bahwa ia telah melibatkan dirinya dalam suatu kutukan besar dari Allah Ta’ala.

Di antaranya, ialah jika ia mendengar ghibah atau umpat dengan penuh takjub dan cenderung dengan maksud agar si pengumpat it akan bertambah semangat dan terdorong terus untuk mengumpat secara berlebih-lebihan. Ia akan menggalakkan si pengumpat itu supaya meneruskan pengumpatannya dengan berkata: Ajaib, aku tak tahu yang dia itu begini. Ataupun dengan berkata: Memang aku tidak menyangka sama sekali bahwa dia boleh berkelakuan semacam itu. Ataupun: Mudah-mudahan Allah selamatkan aku dari bala’ seperti ini. Semua ucapan-ucapan serupa itu adalah sama seperti membenarkan kata-kata si pengumpat itu, manakala membenarkan kata-kata orang yang mengumpat samalah seperti mengumpat juga. Sedangkan orang yang mendiamkan diri saja, tanpa membuat apa-apa bantahan, tutur bersyarikat dengan orang yang mengumpat itu. Dia tetap menerima dosanya juga, kecuali jika ia mengingkarinya dengan lidah, ataupun sekurang-kurangnya dalam hati, kalau ia takut kepada orang itu.

Dalam sebuah Hadis: “Bilamana seorang Mu’min dihinakan di hadapan Mu’min yang lain, dan tidak menolongnya padahal ia berkuasa menolong, niscaya Allah akan menghinakannya di Hari Kiamat di hadapan khalayak ramai.”

Dalam suatu riwayat yang lain: “Barangsiapa yang mempertahankan kehormatan saudaranya secara rahsia, niscaya menjadi wajib atas Allah untuk mempertahankan kehormatannya kelak di Hari Kiamat.”

Sebab-sebab ghibah

Ada beberapa perkara yang menarik orang kepada suka mengumpat, di antaranya:

Pertama: Untuk memuaskan hati, iaitu apabila berlaku sesuatu sebab yang menaikkan kemarahannya, kerana manusia tatkala sedang meluap-luap kemarahannya, hatinya akan merasa puas bila ia dapat menyebut-nyebut keburukan-keburukan orang yang dimarahinya itu. Maka tanpa disedari lidahnya akan menyebut segala yang bukan-bukan ini sekiranya jiwa orang itu tidak dapat dikendalikan oleh jiwa agama. Adakalanya pula seseorang itu dapat mengontrol dirinya ketika dalam kemarahan, akan tetapi dipendamkan kemarahan itu dalam hatinya, sehingga lama-kelamaan menjadi dengki dan dendam khusumat dan akhirnya ia akan tertarik juga kepada sifat mengumpat dengan menyebut-nyebut keburukan orang yang dimarahinya itu.

Pendek kata kedengkian yang menyebabkan dendam khusumat dan kemarahan itu adalah pendorong yang utama kepada sifat ghibah atau pengumpatan.

Kedua: Menurutkan kemahuan rakan handai dan membantu mereka dalam memperkatakan perihal orang lain. Seringkali berlaku ketika berlucu dan bersenda gurau itu, diperbualkanlah tentang hal-ehwal dan urusan orang lain, maka ia akan menjadi serba salah, andaikata ia mengingkarkan kelakuan itu ataupun ia meninggalkan majlis mereka, tentulah rakan handainya akan merasa kurang senang terhadapnya dan mereka akan menyingkirkannya sama sekali. Oleh itu diturutkanlah kemahuan mereka itu, malah ia juga turut campur sekaki dalam celaan dan pengumpatan. Pada anggapannya, sikap itu adalah untuk menjaga perhubungan baik dengan kawan-kawan, tetapi tanpa disedarinya, ia telah tercebur ke dalam bahaya dosa kerana mengumpat. Terkadang-kadang ia terpaksa melahirkan kemarahannya terhadap orang yang dicela itu, ketika kawan-kawan sekalian menampakkan kemarahan terhadapnya, untuk membuktikan simpatinya kepada kawan-kawan dalam suka dan duka.

Nyatalah orang ini telah terlibat dalam sifat mengumpat orang lain, dengan menyebut keaiban-keaiban dan keburukan-keburukannya, disebabkan percampurgaulan yang tidak sihat.

Ketiga: Menunjuk-nunjuk kelebihan peribadinya dengan kemegahan dan keistimewaan, iaitu mengangkat dirinya sebagai lebih mulia dan lebih tinggi kedudukannya dari si fulan atau si fulan.

Keempat: Hasad dan irihati, iaitu menyimpan perasaan tidak enak, bila mendengar orang lain dipuji-puji atau disanjung oleh orang ramai, ataupun kerana sesuatu sebab atau yang lain, maka orang itu dihormati dan dimuliakan, sehingga menyebabkan ia merasa bosan terhadapnya. Oleh itu maka timbullah perasaan dengki dan hasad di dalam hatinya, dicubalah berbagai-bagai cara untuk melenyapkan kenikmatan yang dimiliki oleh orang itu, maka tiadalah didapatinya melainkan dengan jalan mencela atau mengumpatnya, sehingga orang ramai berhenti dari memuji-muji orang itu atau menghormatinya, sebab jiwanya tidak tertanggung lagi untuk mendengar segala kepujian dan penghormatan orang ramai terhadap orang itu.

Kelima: Menghadirkan diri dalam majlis-majlis pencengkeramaan atau senda gurauan serta menghabiskan masa dengan bergelak ketawa, di mana di dalam majlis-majlis serupa itu, biasanya di sebut berbagai-bagai keburukan dan keaiban orang lain yang boleh menimbulkan gelak ketawa. Ini boleh berlaku dengan jalan menceritakan perihal orang dengan melahirkan rasa takjub terhadap perilaku orang itu.

Keenam: Menista dan mengejek-ejek orang dengan tujuan untuk meghinanya. Puncanya ialah sifat takabbur dan bongkak dalam diri sendiri, serta memandang orang lain semuanya rendah, hina, bodoh atau jahil.

Selain yang tersebut di atas tadi, ada banyak lagi sebab-sebab yang boleh menarik manusia kepada tercebur dalam bahaya ghibah, atau pengumpatan itu, dan pokok pangkalnya ialah desas-desus syaitan dan hasutannya. Misalnya ia menyebut nama seorang ketika dalam keadaan takjub dengan berkata: Aku hairan si fulan itu. Bagaimana ia boleh duduk seiringan dengan si alim, padahal ia jahil dan bodoh! Takjub semacam ini meskipun benar, tetapi terkira suatu kemungkaran juga.

Misal yang lain, jika ia berkata kerana belas kasihan: Kasihan si fulan itu. Aku merasa sedih mengenangkan halnya, dan melihat bahaya yang menimpanya. Padahal ia mengucapkan yang demikian itu benar-benar dari tulus-ikhlas hatinya. Itu juga terkira suatu ghibah.

Seterusnya ghibah juga boleh berlaku dalam keadaan marah. Misalnya ia merasa sangat marah, bila melihat seorang melakukan sesuatu kemungkaran di hadapannya, lalu dilahirkannya sikap marahnya itu, dan disebut-sebutkan pula nama pelakunya kepada semua orang. Padahal yang wajib dalam perkara semacam ini, ia merahsiakan nama orang itu dan tidak dijajakan namanya kepada orang lain. Dan sememangnya, tidak ada alasan baginya, mengapa ia mesti memberitahukan nama orang itu kepada orang lain.

Penawar yang dapat mengekang lidah dari mengumpat

Ketahuilah bahwasanya segala keburukan-keburukan akhlak, dan kelakuan yang terkeji dapat dipulihkan semula dengan pati dan inti ilmu pengetahuan dan amalan.

Adapun penawar untuk mengekang lidah dari mengumpat orang secara ringkas, maka hendaklah seseorang itu mengetahui, bahwa suka mengumpat itu akan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan Allah Ta’ala. Tegasnya, bila ia mengumpat orang samalah seperti ia melanggar perintah atau larangan Allah Ta’ala. Maka apabila seseorang itu penuh percaya dengan khabar-khabar (hadis) dan berita-berita yang menegahnya dari ghibah atau mengumpat, hendaklah ia memelihara lidahnya dari mengumpat, kerana takut terjatuh ke dalam dosa. Suatu cara lain yang berguna baginya ialah dengan meneliti diri sendiri terlebih dulu, apakah dalam dirinya itu ada atau tiada keaiban atau keburukan-keburukan. Jika ada, tentulah lebih utama ia membetulkan diri sendiri daripada mengumpat orang lain.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Bertuahlah orang yang sentiasa bekerja kuat untuk membetulkan diri sendiri, daripada menyebut-nyebut keaiban orang lain.”

Apabila terdapat pada diri seseorang sesuatu keburukan, maka sepatutnya ia merasa malu kerana lalai untuk membetulkan diri sendiri sebaliknya mencuba pula untuk membetulkan orang lain. Seterusnya hendaklah ia faham, bahwa jika ia mendapati orang lain itu bersikap lemah, atau tidak berdaya untuk membetulkan dirinya sendiri. Ini jika keaiban-keaiban atau keburukan itu dilakukan oleh orang itu dengan sengaja dan dengan pilihan sendiri bukan terpaksa. Tetapi jika keaiban atau keburukannya itu memang dari asala semula jadinya, maka mencelanya samalah seperti mencela Tuhan yang menjadikannya. Sebab siapa yang mencela sesuatu ciptaan, maka ia telah mencela penciptanya.

Apabila seseorang hamba mendapati dirinya sepi dari keaiban atau keburukan, maka sayugialah hendaknya ia mensyukuri Allah Ta’la yang telah memeliharaya dari segala sifat-sifat yang tidak baik itu. Dan jangan pula ia cuba mengotori peribadinya dengan keburukan-keburukan yang amat tercela kelak. Sebab mencela atau mengumpat orang lain itu diumpamakan seperti memakan daging orang mati, dan ia adalah terkira antara sebesar-besar keaiban.

Bahkan jika ia menginsafi dirinya dan bertenang sejenak, niscaya ia akan dapati, bahwa sangkaannya yang dirinya itu suci dari segala keaiban dan keburukan itu adalah salah. Ini membuktikan juga, bahwa ia masih belum kenal betul-betul dengan diri sendiri. Orang yang menganggap dirinya tidak pernah bersalah adalah berdosa besar.

Cara yang lain untuk menjaga diri dari ghibah, ialah dengan memahami, bahwa orang yang dicelanya itu akan merasakan pedihnya celaan itu, sama seperti dirinya sendiri bila dicela oleh orang lain. Jika sekiranya ia tidak meredhai orang lain mencelanya, maka sewajarnyalah ia juga tidak meredhai orang lain mencelanya, maka sewajarnyalah ia juga tidak meredhai sesuatu bagi orang lain, sebagaimana ridak diredhainya sesuatu itu bagi dirinya sendiri.

Kesimpulannya: Sesiapa yang memang kuat keimanannya tentulah lidahnya akan terpelihara dari ghibah atau mengumpat orang lain.

Menyangka buruk adalah mengumpat di dalam hati.

Ketahuilah bahwa menyangka buruk terhadap orang lain adalah haram, dan samalah seperti haramnya melemparkan kata-kata keji terhadapnya. Sebagaimana haram anda mengucapkan perihal keburukan-keburukan orang dengan lidahmu, maka begitu jugalah dilarang anda mengucapkan keburukan-keburukan di dalam hari, ataupun menyangka buruk terhadapnya. Apa yang dimaksudkan dengan sangkaan buruk itu, ialah sesuatu yang disimpulkan oleh hati, kemudian dilemparkan ke atas orang lain menerusi sangkaan yang buruk.

Adapun segala yang terlintas di dalam hati, ataupun yang dibicarakan di dalam diri, maka yang demikian itu adalah dimaafkan. Tetapi yang dilarang dengan keras, ialah menyangka yang bukan-bukan. Dan sangkaan itu diumpamakan dengan sesuatu yang dirasa tenang oleh jiwa dan dicenderungi oleh hati.

Allah s.w.t. telah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah sebahagian besar dari sangkaan-sangkaan, kerana setengah dari sangkaan itu ada megandungi dosa.” (al-Hujurat: 12)

Sebabnya sangkaan itu diharamkan, bahwa segala rahsia-rahsia hati tiada siapa yang mengetahuinya, melainkan Allah Yang Maha Mengetahui segala perkara-perkara yang ghaib. Oleh kerana itu, tidak wajarlah bagimu untuk mempercayai adanya suatu keburukan di dalam hati seseorang, melainkan setelah ternyata kepadamu keburukannya, yang mana anda menyaksikan sendiri dengan mata kepala tanpa perantaraan orang lain. Apabila perkara itu belum tersingkap lagi, sepertimana yang anda mempercayainya, maka yakinlah bahwa yang menarik anda kepada sangkaan itu adalah syaitan dan hasutannya. Jadi hendaklah anda membohongi sangkaan buruk itu, dan tidak segera terpengaruh dengan ajakan syaitan, kerana syaitan itu adalah sefasik-fasik kaum yang fasik. Allah Ta’ala telah berfirman lagi;

Wahai orang-orang yang beriman, jika sekiranya ada seorang fasik membawa suatu berita kepada kamu, maka hendaklah kamu menyelidikinya terlebih dulu, agar kamu tiada mencela sesuatu kaum tanpa usul periksa.”

Dalam sebuah Hadis pula disebutkan sabdanya: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan darah seorang Muslim serta harta bendanya dan menyangka terhadap dirinya dengan sangkaan buruk.”

Kalau begitu apabila terlintas saja di dalam hatimu bisikan atau hasutan syaitan, supaya menyangka buruk terhadap seseorang, maka hendaklah anda menolaknya. Kemudian, cubalah yakinkan kepada dirimu pula, bahwasanya hal dan keadaan orang itu masih belum tersingkap lagi, dan tiada dapat diketahui perkara yang sebenarnya. Anggaplah segala apa yang anda saksikan daripadanya itu, boleh mengandungi kebaikan dan keburukan.

Bagaimana dapat dikatakan bahwasanya sangkaan yang disimpulkan di dalam hati itu telah menjadi bulat, sedangkan syak dan keraguan masih bergelora dan jiwa sering pula mengatakan tanpa usul periksa?

Untuk menjawabnya, kita katakan bahawasanya tanda-tanda bulatnya sangkaan di dalam hati, ialah apabila sifat hati itu telah berubah dari kebiasaannya terhadap orang yang dilemparkan sangkaan itu. Ia tidak pandang lagi orang itu, sama seperti sebelum ia menyangka buruk terhadapnya. Ia akan menjauhkan diri daripada orang itu, merasa berat untuk berkawan dengannya, tiada mengambil berat terhadap hal-ehwalnya, tiada pernah mencari atau menghormatinya, atau merasas sedih oleh sesuatu yang menimpanya.

Jalan keluar untuk menghindarkan diri dari perilaku ini, hendaklah ia tidak mengikut sangat kehendak hati, yakni tidak merealisasikan sikap serupa itu, sama ada dengan ucapan mahupun perbuatan, baik menerusi hati ataupun anggota. Mungkin sekali ketika itu syaitan akan menghasut bahwa sikap itu timbulnya dari kecerdasan otakmu dan ingatan serta kecerdikanmu yang spontan. Bukankah telah dikatakan bahwasanya orang Mu’min itu dapat melihat sesuatu dengan cahaya dari Allah Ta’ala? Maka ketahuilah, yang sebenarnya itu adalah bisikan dan waswas syaitan semata-mata yang telah menjadikan anda melihat dengan tipu dayanya dan kegelapan petunjuknya.

Walau bagaimanapun, apabila telah ternyata kepadamu kekhilafan atau keterlanjuran seorang Mu’min dengan bukti dan hujah, maka sebaik-baiknya ialah anda menasihatkannya secara rahsia. Dalam pada itu, jagalah dirimu, agar tidak tertipu oleh syaitan, sehingga ia akan menarik kepada mengumpat orang Mu’min itu.

Di antara buahnya (natijahnya) sangkaan buruk itu, ialah mengintip hal-ehwal orang. Sebab biasanya hati itu tidak memadai dengan menyangka buruk saja, malah ia akan berusaha untuk mendapatkan kenyataan atau hakikatnya, maka dilakukan olehnya pengintinpan, dan ini juga dilarang keras oleh Islam.

Allah telah berfirman: “Dan janganlah kamu mengintip-intip.” (al-Hujurat: 12)

Nyatalah sudah, bahwasanya mengumpat, menyangka buruk dan mengintip it disebutkan larangannya di dalam sebuah ayat.

Erti dan maksud mengintip ialah bila seseorang itu, tiada membiarkan hamba-hamba Allah terlindung di bawah naunganNya, maka ia merasa kurang senang selagi tiada mengetahui isi perutnya, dan cuba membuka tutup naungan Allah daripada orang itu, sehingga terbongkar segala rahsianya. Padahal jika dibiarkan tertutup, lebih baik dan lebih selamat bagi hatinya dan agamanya.

Sebelum telah kita terangkan hukum, mengintip dan hakikiatnya di dalam kitab amar mar’uf nahi mungkar, sila rujuk kepadanya lagi.

Sebab-sebab yang membolehkan mengumpat

Ketahuilah bahawasanya jika tiada jalan lain untuk mencapai sesutau tujuan yang betul menurut yang dibenarkan oleh syariat Islam, melainkan dengan menyebut-nyebut keburukan-keburukan orang lain, maka dalam hal yang seumpama ini dibenarkan mengumpat, dan hukumnya tidak berdosa sama sekali.
Mengumpat dibenarkan dalam beberapa perkara saja, iaitu:

Pertama: Bila berlaku penganiayaan, seperti seorang yang terzalim mengadukan kezaliman seseorang kepada hakim, agar hakim dapat mengembalikan haknya daripada orang yang menzaliminya. Dalam hal serupa ini, tidak mungkin jelas perkaranya, melainkan dengan menyebut dan menerangkan keburukan-keburukan si zalim itu untuk membuktikan kezalimannya

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:“Sesunguhnya orang yang mempunyai hak itu, boleh mengucapkan alasan.”

Sabdanya lagi: “Menahan hak orang adalah suatu penganiayaan bagi orang kaya.”

Kedua: Meminta bantuan orang lain untuk mengubah sesuatu kemungkaran dari seseorang atau mengembalikan seorang ashi (derhaka) ke jalan kebaikan.

Ketiga: Ketika meminta fatwa atau penerangan sesuatu hukum dalam agama. Misalnya ia berkata kepada Tuan Mufti: Ayah saya telah menganiaya saya, ataupun isteri saya atau saudara saya telah menzalimi saya. Dikatakan begitu setelah terlebih dulu mengatakan secara sindiran atau dengan membuat alasan-alasan, tetapi Tuan Mufti masih belum faham. Ketika itu barulah dikatakan dengan terang-terangan.

Hal ini berdasarkan kepada suatu riwayat dari Hindun binti Utbah, bahwasanya ia telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w.: Bahawasanya Abu Sufyan itu (suaminya) adalah seorang yang amat pelokek. Ia tiada memberiku untuk keperluanku dan keperluan anakku dengan secukup-cukupnya. Maka sabda Rasulullah s.a.w.: Ambillah apa yang cukup untuk keperluanmu dan keperluan anakmu secara adil.

Dalam peristiwa di atas, Hindun telah menyatakan kepada Rasulullah s.a.w. tentang kekikiran suaminya dan ketidak-adilannya terhadapa dirinya dan anaknya dalam persoalan nafkah. Nabi tidak melarangnya dari berkata begitu, sebab maksud Hindun ialah bertanyakan hukum.

Keempat: Mengingatkan seseorang Muslim kepada sesuatu kejahatan. Misalnya: Jika anda mengetahui sesorang itu jahat, lalu anda mengingatkan orang lain supaya menjauhkan diri dari orang itu. Ataupun orang yang cuba membuktikan dirinya benar di hadapan pun orang yang diminta fikirannya dalam perkahwinan, lalu ia menyebut keburukan orang yang meminang. Ataupun menyatakan keaiban seseorang, agar amanat tiada diserahkan kepadanya atau seumpamanya dengan menyatakan apa-apa yang diketahuinya dengan benar atas tujuan menasihat, bukan kerana memburuk-burukkan atau menjatuhkan namanya di hadapan orang lain.

Kelima: Bila seseorang itu terkenal dengan sesuatu gelaran atau panggilan yang memang menunjukkan sesuatu kekurangan pada dirinya, seperti mengatakan si fulan yang tempang atau yang buta. Maka dalam hal serupa ini, tiadalah dilarang menyebutkannya, kerana itu mustahak disebutkan supaya orang mengenalinya. Begitu juga sebab panggilan itu sudah menjadi kebiasaan, orang yang berkenaan tidak mungkin marah lagi, kerana ia telah termasyhur dengan gelaran itu. Walau bagaimanapun, sekiranya dapat diubah dengan gelaran lain, atau panggilan yang lebih baik, dan senang pula disebarkan kepada orang ramai, maka itulah yang lebih dan senang pula disebarkan kepada orang ramai, maka itulah yang lebih baik dan utama. Oleh kerana itu pernah orang buta dipanggil dan digelar dengan si celik untuk menghindarkannya dari sifat kekurangan itu.

Keenam: Bila seseorang itu memang sengaja terang-terang membuat kefasikan dan bermegah-megah dengan perbuatan itu, maka terhadap orang ini tidaklah terlarang lagi melemparkan ghibah atau pengumpatan, disebabkan kelakuannya yang menentang itu.

Kaffarah (denda) ghibah

Ketahuilah bahwasanya menjadi wajib atas seseorang pengumpat agar menyatakan sesalan atas kelakuannya yang salah itu, kemudian segera bertaubat dan merasa sedih dan dukacita atas perbuatannya, supaya ia terselamat dari balasan Allah Ta’ala. Sesudah itu hendaklah ia meminta maaf dari orang yang diumpatnya, serta menghalalkan perbuatannya itu, supaya ia terlepas dari dosa ghibahnya. Ini jika ia mampu melakukannya dan tidak takut berlaku sesuatu bahaya.

Al-Hasan berkata: Cukuplah si pengumpat itu beristighfar atau meminta ampun kepada Allah Ta’ala dan tak payah lagi minta dihalalkan perbuatannya dari orang yang diumpatnya itu.

Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah kamu sekalian tidak mampu berbuat seperti yang dibuat oleh Abu Dhamdham. Selalu bila ia keluar dari rumah, ia berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku! Saksikanlah bahwasanya aku telah mensedekahkan kehormatanku kepada orang ramai.”

Maksudnya, ia tidak akan menuntut balasan atas sesiapa yang melakukan penganiayaan ke atas dirinya di hari Kiamat, dan tidak akan membuat pengaduan lagi ke sana. Dan bukanlah tujuan dari kata-kata Abu Dhandham ini membolehkan seseorang mengumpat orang lain dengan sesuka hati, tetapi maksudnya ialah ia telah memaafkan dosa orang yang mengumpatnya.

Allah telah berfirman: “Berikanlah pengampunan dan suruhlah dengan kebaikan serta hindarkanlah dirimu dari orang yang bodoh itu.” (al-A’raf: 199)

Dalam sebuah hadis pula, disebutkan bahwasanya Malaikat Jibril berkata kepada Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhya Allah Ta’ala memerintahmu, agar engkau memaafkan orang yang menganiyaimu dan menyambung perhubungan dengan orang yang telah memutuskan perhubungan dengan mu, serta memberi orang yang menahan pemberiannya kepadamu.”

Sekian, Waallahualam

Petikan dari KITAB BIMBINGAN MUKMIN - Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Tuesday, October 27, 2009

Bahaya Lisan (Lidah) 6

Selasa, 8 Zulkaedah 1430H :- Bencana keenam belas: Percakapan dua muka

Orang yang bermuka dua, atau biasanya disebut orang yang mempunyai lidah bercabang dua, ialah orang yang mendatangi kedua-dua orang yang sedang bermusuh-musuh, seraya berkata kepada setiap satu dari keduanya dengan kata-kata yang menghasut permusuhan antara satu sama lain. Ia sering memuji yang satu dan mencaci yang lain, serta berjanji pula untuk menolong tiap-tiap satu ke atas musuhnya. Inilah tanda-tandanya orang itu seorang munafik.

Akan tetapi jika ia mendatangi kedua-duanya, lalu menyampaikan kata-kata yang manis terhadap setiap satu dari keduanya, sedang segala yang dikatanya itu benar pula, maka ia bukanlah terkira orang yang mempunyai lidah yang bercabang dua dan bukan juga seorang munafik, sebab memang biasa ada orang yang berkawan dengan kedua-dua orang yang sedang bermusuh-musuhan. Tetapi dalam berkawan itu, dia suka menyampaikan percakapan seorang kepada yang lain, maka ia dicap seorang yang lidahnya bercabang dua, dan sifat ini adalah lebih buruk daripada sifat mengadu-domba, kerana si pengadu-domba itu hanya membawa cakap-cakap satu pihak kepada pihak yang lain saja. Tetapi orang ini telah melakukan lebih dari itu, yakni membawa cakap kepada kedua-duanya untuk kepentingan dirinya, manakala permusuhan antara kedua orang itu pula dibiarkan saja berlarutan.

Adapun orang yang terpaksa menjaga hati salah satu dari dua pihak yang bertelagah, lalu memuji yang satu tanpa yang lain kerana dharurat, dan ia merasa bimbang hendak meninggalkan perbuatan itu, maka keuzurannya dapat diterima. Sebab memelihara diri dari kejahatan orang adalah harus dan dibolehkan.

Berkata Abu Darda’ r.a.: “Adakalanya kita terpaksa menunjukkan kegembiraan kita di hadapan sesuatu kaum, meskipun hati kita menyumpah-nyumpah mereka itu.”

Berkata Saiyidatina Aisyah radiallahu-anha: Ada seorang lelaki datang meminta izin berjumpa dengan Rasulullah s.a.w., maka baginda bersabda: “ Izinkanlah dia masuk, dan ia adalah seburuk-buruk manusia dari golongan ini.” Apabila orang itu masuk, Rasulullah s.a.w. berbicara kepadanya dengan lemah-lembut kepadanya. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Aisyah! Sejahat-jahat manusia, ialah orang yang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya”.

Tetapi jangan sampai terkeliru dalam hal ini, kerana yang dibolehkan bersikap serupa ini, hanya ketika menyambut orang datang dengan ramah-tamah dan muka yang tersenyum. Selain dari itu, maka tidak boleh diberikan pujian, atau membenarkan kata-kata, atau menganggukkan kepala tanda persetujuan terhadap segala percakapan yang batil atau salah, kerana melakukan serupa itu adalah munafik. Malah mestilah ia mengingkarinya, jika tiada berkuasa, maka bolehlah ia berdiam diri, tetapi hatinya mestilah mengingkati kelakuan itu. Dan dalam keadaan yang terpaksa ada hukum-hukumnya yang tertentu pula.

Bencana ketujuh belas: Memuji

Memuji orang, adakalanya dilarang pada setengah-setengah tempat. Mencela pula samalah seperti mengumpat atau merendahkan kedudukan orang lain, dan hukumnya telah kita sebutkan sebelum ini.

Dalam pujian itu, ada enam pula bahayanya. Empat bahaya bersangkut-paut dengan orang yang memuji dan dua bahaya yang lain ialah orang yang dipuji. Bahaya-bahaya yang bersangkut-paut dengan si pemuji itu ialah;

(1) Bila ia berlebih-lebihan dalam pujiannya, sehingga kesudahannya menjadi dusta pula.

(2) Dengan adanya pujian itu, timbul perasaan riya’ di dalam diri seolah-olah ia menunjukkan cintanya terhadap orang yang dipujinya itu. Adakalanya dalam pujian itu ia, memendamkan perasaan yang tak senang terhadap orang yang dipujinya ataupun ia sendiri tidak meyakinkan semua kata-kata pujiannya itu, maka dengan demikian, ia telah menjadi seorang yang riya’ dan munafik sama.

(3) Dengan adanya pujian itu, ia telah mengatakan sesuatu yang ia sendiri belum tahu, sama ada betul atau tidak yakni ia belum sempat menyelidiki hakikat kata-kata pujiannya itu.

(4)Dengan adanya pujian itu, mungkin sekali ia telah menggembirakan hati orang yang dipujinya, meskipun orang itu seorang yang zalim atau fasik, manakala memberikan pujian kepada mereka itu adalah tidak harus.

Berkata al-Hassan r.a.: Sesiapa yang mendoakan bagi seorang yang zalim supaya panjang umur, maka seolah-olahnya ia suka dan rezda orang itu melakukan maksiat terhadap Allah di bumiNya. Tentang bahaya-bahaya yang boleh menimpa orang yang dipuji pula, iaitu:

(1) Dengan menerima pujian itu, akan timbul dalam dirinya perasaan bongkak dan ujub, dan kedua-duanya termasuk sifat yang membinasakan.

(2) Dengan menerima pujian itu, hatinya akan merasa gembira dan sangat senang, dan sesudah itu akan menjadi cuai tentang kesalahan-kesalahannya, dan menganggap dirinya sudah sempurna disebabkan pujian itu. Kemudian usahanya akan berkurang untuk membuat amalan-amalan yang baik.

Sekiranya pujian itu dapat menyelamatkan orang dari bahaya-bahaya ini, sama ada pada diri si pemuji mahupun yang dipuji, maka tidak mengapalah untuk memberikan pujian itu, malah dalam setengah-setengah perkara mungkin menjadi sunnat, yakni digalakkan.

Seterusnya orang yang dipuji itu hendaklah berhati-hati menjaga dirinya dari bahaya-bahaya sifat bongkak dan ujub.Hendaklah ia sentiasa ingat, bahwa ia lebih mengetahui tentang dirinya dari yang diketahui oleh si pemuji itu, dan andaikata segala rahsia dirinya terbongkar di hadapan orang yang memujinya itu, dan segala lintasan hatinya dapat disingkapkan olehnya tentulah orang itu tidak mahu memujinya.

Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a. ketika ia dipuji orang, selalu berdoa begini: “Ya Allah! Ya Tuhanku! Ampunilah aku terhadap segala yang mereka tidak mengetahuinya. Janganlah menyalahkan aku kerana apa yang mereka katakan itu, dan jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan.”

Sepatutnya orang yang mahu memuji terhadap seseorang itu, hendaklah ia tidak tergesa-gesa memberikan pujiannya, melainkan setelah ia mengetahui benar-benar tentang diri orang yang hendak dipujinya serta kebatinannya.

Sekali peristiwa, pernah Saiyidina Umar Ibnul Khattab mendengar seorang memuji orang lain, beliau lalu berujar, katanya: “Pernahkah engkau memuji orang lain,” beliau lalu berujar, katanya: “Pernahkah engkau berpergian bersama-sama orang itu?” Jawab si pemuji itu: “Belum pernah!” Berkata Umar lagi: “Pernahkah engkau membuat perjanjian atau bermu’amalah dengannya?” Kata orag itu: “Belum.” Umar berkata lagi: “Pernahkah engkau bersama-samanya pada pagi dan petang?” Katanya: “Tidak.” Lalu Saiyidina Umar berucap: “Demi Allah yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, aku tak fikir engkau sudah benar-benar mengenalnya”.

Dalam sebuah Hadis: “Sekiranya seseorang kamu terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah ia berkata: Saya kira si fulan itu begini dan saya tidak mensucikan seseorang manusia pun atas Allah”

Bencana kelapan belas: Menjaga diri dari kesalahan-kesalahan yang merbahaya

Sayugialah seseorang itu menjaga dirinya daripada kesalahan-kesalahan yang merbahaya dalam kandungan percakapannya, dan berhati-hati supaya tidak terlalai dalam perkara ini, terutama sekali bila membicarakan tentang Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala dan sifat-sifatNya. Misalnya sebagaimana yang diutarakan oleh Hadis Rasulullah s.a.w. berikut: “Jangan sekali-kali seseorang kamu berkata: Itu adalah kehendak Allah dan kehendakmu. Tetapi katakanlah: Itu adalah kehendak Allah, kemudian kehendakmu.”

Sebab menggunakan perkataan dan di sini menunjukkan pengertian persyarikatan dengan kehendak Allah Ta’ala dan menyamakan Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan kedudukan manusia. Itu adalah salah dan berlawanan dengan tata penghormatan terhadap Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Ibrahim merasa tidak senang bila mendengar orang berucap: Aku berlindung kepada Allah dan kepadamu. Ataupun jika ada orang berkata: Jika tidak kerana Tuhan dan kerana si fulan…. Berkata demikian adalah salah seperti juga di atas tadi. Tetapi jika ada orang ingin berkata Allah kemudian kepadamu. Ataupun: Jika tidak kerana Allah kemudian kerana si fulan…

Dalam hal ini Ibnu Abbas r.a. berkata: Seseorang kamu boleh bersyirik kepada Allah, ketika ia mensyariatkan anjingnya dalam sesuatu perbuatan. Misalnya ia berkata: Kalaulah tidak kerana anjing kita itu, tentualh kita telah kecurian malam semalam.

Saiyidina Umar Ibnul-Khattab ketika mengulas sebuah Hadis dari Rasulullah s.a.w. yang berbunyi. “Sesungguhnya Allah Ta’ala melarang kamu bersumpah dengan menyebut nama bapa-bapa kamu.” Katanya: Sesudah saya mendengar Hadis itu, saya tidak pernah bersumpah dengan menyebut nama bapa-bapa saya.

Berkata Abu Hurairah r.a.: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Janganlah seseorang kamu mengatakan: Hambaku atau amahku (hamba perempuan). Kamu sekalian adalah hamba-hamba Allah dan sekalian wanita kamu adalah amah Allah.” Tetapi katakanlah: “Budakku atau jariahku.” Begitu juga si hamba itu janganlah mengatakan: “Rabbi atau Rabbati *” tetapi katakanlah: “Tuanku atau puanku, sebab kamu sekalian adalah hamba-hamba Allah dan perkataan ar-Rab ialah bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala.”

* Perkataan Rabbun dalam bahasa Arab selain menunjukkan makna Tuhan juga dimaksudkan dengan tuan punya. Jadi perkataan Rabbi atau Rabbati memberikan maksud tuan punya saya atau puan punya saya. Oleh kerana sebutan seperti itu boleh mengelirukan orang, maka Rasulullah s.a.w. telah melarang orang menggunakannya. – pent.

Berkata Rasulullah s.a.w.: “Jangan kamu memanggil orang munafik dengan perkataan Saiyidina (Tuanku), sebab kalau benar ia menjadi tuan kamu, niscaya kamu telah menyebabkan Tuhan kamu murka kepadamu.”

Tegasnya setiap orang yang berucap itu, hendaklah disertai dengan kewara’an yang dapat memeliharanya dari segala kesalahan-kesalahan serupa itu, dan hendaklah sentiasa berhati-hati agar ia terselamat dari bahaya-bahaya yang tersebut tadi.

Bencana kesembilan belas: Pertanyaan yang pelik-pelik

Memang tidak dilarang bagi orang-orang awam untuk memperbanyakkan amalan-amalan soleh dari berbagai-bagai rupa, tetapi sikap suka bertanya yang bukan-bukan itu memanglah mudah terlintas di dalam hati. Adakalanya orang-orang awam ini suka mendalami dalam perkara-perkara atau liku cabang ilmu pengetahuan, sebab syaitan sering menggambarkan kepada mereka, bahwa mereka itu adalah tergolong para alim ulama yang mempunyai keutamaan dalam ilmu pengetahuan. Hasutan syaitan ini akan terus-menerus mempengaruhi jiwa orang-orang ini, sehingga akhirnya mereka berani berkata sesuatu yang merupakan kekufuran atau terkeluarnya mereka dari Agama Islam, sedangkan mereka tidak mengetahui.

Sebab itulah, sesiapa yang suka bertanya ilmu yang pelik-pelik, sedangkan fahamannya masih belum mampu mencapai darjat fahaman itu, maka ia tentu dicela, tambahan pula jika ia seorang awam, yang pengetahuannya masih cetek dalam serba-serbi liku-liku agama.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan: “Rasulullah s.a.w. telah melarang keras dengan kata-kata qil dan qal,* membelanjakan harta benda dengan boros dan terlampau banyak persoalan.”

*Qil dan qal dua perkataan istilah yang bermaksud cakap-cakap yang tidak diketahui sumbernya dengan jelas. Dalam bahasa Melayu, bolehlah kita maksudkan dengan ucapan orang ramai: Bukankah katanya begitu! Ataupun: Bukankah kata orang begini! Sedang sumber asalnya tidaklah diketahui, sama ada benar atau tidak – pent.

Lalu Nabi Khidir pun berpisah dengan Nabi Musa a.s.*

*Cerita Nabi Musa dengan Khidhir alaihimas-salam boleh dibaca al-Quran surat al-Kahf ayat 60-68. Ceritanya cukup aneh dan bagus untuk dijadikan tauladan hidup – pent.

**Bagi orang yang tidak mengetahui masalah-masalah agama itu, wajib ia bertanya kepada orang yang mengetahui. Hanya ia dilarang untuk mengemukakan masalah-masalah yang berat, yang fikirannya belum dapat menjangkau fahaman serupa itu, ataupun menimbulkan masalah yang pelik-pelik yang belum ada hukumnya dan sebagainya. Tujuannya untuk menghindarkan salah-faham atau kekeliruan dalam memahami hukum-hukumnya, agar tidak tergelincir ke jalan yang salah pula. Jika anda ingin mendalami persoalan ini, sila baca buku: Kuliah Subuh jilid pertama ms. 171-200, PN 1977.

Kalau begitu nyatalah bahawa pertanyaan orang-orang awam tentang persoalan-persoalan yang pelik-pelik, atau rumit di dalam agama itu, termasuk dalam perkara-perkara besar yang membahayakan, maka seharusnyalah mereka dilarang dari mengemukakan pertanyaan-pertanyaan serupa itu, dan jika mereka melakukan juga, maka haruslah ditegah dengan keras.

Petikan dari KITAB BIMBINGAN MUKMIN - Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Monday, October 26, 2009

Berbasikal ke Taman Teknologi Kajang

Isnin, 7 Zulkaedah 1430H :- Dengan izin Allah SWT demi mengeratkan siraturahim dan menjana kekuatan fizikal maka pada 17 Oktober 2009, jam 7.30 am kumpulan berbasikal Dang Anum Seksyen 7, Bandar Baru Bangi telah berbasikal ke Kajang Hill, ke Taman Teknologi Kajang dan berakhir di Pejabat Toll Lebuhraya Likas.

Kumpulan berbasikal diketahui oleh Dr Zainal (mengambail gambar), Hj Mad, Hj Norazmi, Bro Faizal, Hj Azmin, Ana dan ahli baru Hj Amir. Gambar diambil diatas bukit dibelakangnya Toll Lebuhraya Likas.

Rehat sebentar sambil menghilangkan dahaga dan memeriksa basikal masing-masing.

Tanda kepuasan jelas kelihatan diwajah semua, walaupun kepenatan mengayuh jauh. Semuga Allah memberikan kesihatan dan kekuatan kepada semua untuk meningkatkan amalan rohani kepadaNya. Sabda Nabi.....dimanakan kamu habiskan masa sehat kamu, sebelum datangnya masa sakit kamu......?

Bahaya Lisan (Lidah) 5

Isnin, 7 Zulkaedah 1430H :- Bencana keempat belas: Berdusta dalam tutur kata dan sumpah

Sifat ini termasuk dosa yang paling buruk celaan yang amat terkeji sekali. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Jagalah dirimu dari sifat dusta, sebab dusta itu setingkat dengan kecurangan, dan kedua sifat ini akan dihumbankan ke dalam neraka.”

Sabdanya lagi: “Sesungguhnya dusta itu adalah pintu dari pintu-pintu nifaq.”

Lagi sabdanya: “Adalah suatu pengkhianatan yang besar, iaitu apabila anda menyampaikan sesuatu berita kepada saudaramu, sedang ia mempercayai kata-katamu itu, manakala anda membohonginya.”

Diceritakan pada suatu hari, sedang Rasulullah s.a.w. berjalan-jalan, baginda bertemu dengan dua orang yang sedang berjual beli sesekor kambing, dan masing-masing di antara keduanya bersumpah-sumpahan. Kata yang satu: “ Demi Allah aku tidak akan mengurangi harganya dari sekian dan sekian”. Manakala yang lain berkata pula: “Demi Allah, aku tidak akan melebihkan harganya dari sekian dan sekian.” Tidak berapa lama kemudian, kambing itu telah dibeli oleh salah seorang dari keduanya. Maka sabda Rasulullah s.a.w. : “Telah wajib atas salah seorang dari keduanya dosa, mestilah ia membayar kaffarah (denda)”.

Dari Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Tiga orang kelak Allah tidak akan berbicara kepadanya, tidak melihat kepadanya di Hari Kiamat iaitu: Orang yang menganggap berbudi dengan pemberiannya, orang yang melakukan barang jualannya dengan bersumpah palsu, dan orang yang melabuhkan kainnya.”

Sabdanya lagi: Barangsiapa yang bersumpah atas sesuatu sumpah dosa untuk mengambil harta seorang Muslim tanpa hak (yakni secara haram), nanti di Hari Kiamat ia akan bertemu dengan Allah, sedangkan Allah murka ke atasnya.”

Bersabda Rasullah s.a.w. kepada Mu’az: “Aku mewasiatkan anda dengan taqwa Allah, benar tutur kata, menunaikan amanat, menepati janji, menyedekahkan makanan dan merendah diri.”

Dusta yang dibolehkan

Ketahuilah bahwa berdusta itu diharamkan, kerana mengandungi bahaya yang akan menimpa ke atas orang yang ditujukan dusta itu, ataupun ke atas orang lain. Tetapi terkadang-kadang bila dusta itu mengandungi maslahat, maka ketika itu ia dibolehkan. Begitu juga dusta itu kadangkala boleh menjadi wajib, apabila bercakap benar akan membahayakan jiwa orang, seperti mengalirkan darah orang yang telah menyembunyikan dirinya dari seorang zalim, yang mahu membunuhnya, maka ketika itu berdusta adalah wajib.

Demikianlah pula, dusta itu menjadi harus, untuk menghalang peperangan, atau kerana maksud mendamaikan dua orang yang bertentangan, ataupun melunakkan hati orang yang teraniaya, ataupun kerana mempereratkan perhubungan suami-isteri yang barangkali memerlukan kepada berdusta, maka hukum berdusta dalam hal-hal serupa ini adalah harus, tetapi hendaklah ia memada dengan yang perlu saja, dan tidak melampaui batas atau berlebih-lebihan dengan membuat sesuatu yang tidak diperlukan. Di sana ada banyak Hadis yang membuktikan bolehnya berdusta dalam keadaan-keadaan seperti yang ditunjukkan di atas.

Tsauban berkata: “Berdusta itu semuanya haram hukumnya, kecuali yang mendatangkan manfaat bagi seseorang Muslim atau menolak sesuatu mudharat daripadanya”.

Larangan memberi alasan yang dusta

Diberitakan bahwa para Salaf Saleh telah membenarkan memberi alasan dengan berbohong, iaitu jika seseorang itu terpaksa berbohong kerana sesuatu keperluan. Tetapi jika tidak ada hajat atau keperluan untuk berbohong, maka tiadalah dibolehkan memberikan alasan-alasan bohong, atau berbohong dengan terang-terangan, tetapi memberi alasan bohong lebih ringan dosanya.

Misalnya memberi alasan bohong ialah seperti yang diceritakan bahwa Mutarrif datang menghadap Ziad (di istananya), rupanya telah ketara kepada Ziad, bahwa Mutarrif sudah lama tidak menziarahinya, maka Mutarrif pun membuat alasan, bahwa ia sakit, ia berkata: “Sejak berpisah dengan tuanku dahulu, saya tidak mengangkat-ngangkat punggung saya (bangun dari tempat tidur kerana sakit), sehingga Allah mengangkat saya sekarang ini.”

Saiyidina Mu’az bin Jabal pernah diangkat oleh Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a. menjadi Gabenor. Apabila Mu’az kembali ke Madinah, isterinya berkata: “Mengapa kanda tiada membawa oleh-oleh seperti yang dibawa oleh Gabenor-gabenor lain untuk anak isteri mereka”? Kebetulan Mu’az tiada membawa sebarang oleh-oleh pun untuk mereka. Jawab Mu’az: “Dukacita ada seorang pengintip bersama-sama saya ketika itu”. Isterinya menghujah: “Bukankah kanda seorang yang dipercayai oleh Rasulullah s.a.w. dan juga Khalifah Abu Bakar as-Siddiq? Mengapa pula Khalifah Umar mengirim pengintipnya bersama-sama kanda?” Isteri Mu’az kurang puas hati dengan sikap Umar itu, lalu ia pergi memprotes kepada Umar sendiri.

Apabila berita itu sampai kepada Umar, segeralah ia memanggil Mu’az untuk menemuinya. Kemudian Umar bertanya kepada Mu’az: “Apakah saya ada mengirim pengintip bersama-sama engkau?” Mu’az segera menyatakan keadaan yang sebenarnya, lalu berkata: “Saya telah buntu tak ada apa-apa alasan lain yang patut saya katakan kepada isteri saya itu”. Maka Khalifah Umar pun tertawa mendengar alasan Mu’az itu, lalu diberikan kepadanya sesuatu sebagai oleh-oleh seraya berkata: “Ambillah ini sebagai oleh-oleh dan senangkanlah hati isterimu itu”.

Pengintip yang dimaksudkan oleh Saiyidina Mu’az itu tidak lain, ialah Allah Ta’ala.

An-Nakha’i pula, apabila orang yang dibencinya datang mencarinya, sedang ia memang ada dirumah, ia akan berkata kepada khadamnya: “Katakan kepada orang itu suruh ia mencari aku di masjid. Jangan sekali-kali katakan aku tak ada di sini, supaya tidak berdusta”.

Sebabnya alasan-alasan serupa itu dibolehkan, ialah supaya tidak mengecilkan hati orang bila ia mengetahui yang sebenarnya. Misalnya seperti pergurauan Rasulullah s.a.w. yang tersebut sebelumnya: Orang tua tidak masuk syurga. Ataupun seperti katanya kepada yang lain pula: Suamimukah yang pada matanya ada putih-putih? Ataupun kepada yang lain lagi: Kita akan mengangkatmu atas anak unta, iaitu seperti yang telah diceritakan sebelum ini.

Termasuk kata-kata yang dibolehkan ialah apa yang biasanya berlaku dalam tutur kata kita, sebagai menunjukkan mubalaghah atau berlebih-lebihan seperti berkata: Sudah kukatakan kepadamu seratus kali. Maksudnya bukanlah ia telah memahamkan orang itu seratus kali dengan hitungan, tetapi maksudnya ialah memahamkan secara berlebih-lebihan, seolah-olah ia telah berkata sampai seratus kali, sebab jika dikatakan hanya berkata sekali saja, seolah-olah ia telah berdusta.

Adapun tentang dusta yang biasa dipermudahkan oleh orang ramai menyebutnya, misalnya apabila dikatakan kepadanya: Makanlah makanan itu! Maka ia menjawab pula: Saya tak suka! Padahal ia berbohong dalam ucapannya itu. Perbuatan ini adalah dilarang. Dan berdusta dalam hal semacam ini adalah haram hukumnya, meskipun sebenarnya ia tidak mempunyai niat untuk memakan.

Misal yang lain yang hukumnya sama, ialah seperti ia berkata Tuhan mengetahui terhadap apa yang tidak diketahuinya.

Adapun berbohong dalam menceritakan sesuatu mimpi, yang sebenarnya ia tidak bermimpi, maka itu adalah terkira suatu dosa besar. Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Sesungguhnya termasuk dalam sebesar-besar dusta, ialah apabila seseorang itu dipanggil (dibinkan) kepada selain dari ayahnya, ataupun ia berpura-pura mengatakan bermimpi sesuatu, sedangkan sebenarnya ia tidak bermimpi, ataupun ia berkata sesuatu yang didakwakannya sebagai sabdaku, padahal aku tidak berkata serupa itu.”

Bencana kelima belas: Mengadu domba

Allah s.w.t. telah berfirman: “Yang suka membisikkan (mencela), dan yang suka menyebarkan fitnah.”

FirmanNya lagi: “Celaka bagi setiap pengumpat lagi penista.” (al-Humazah:1)

Ada orang yang mentafsirkan perkataan humazah (mencela) itu dengan mengadu-domba atau menghasut.

Allah berfirman lagi: “Pembawa kayu bakar.” (al-Lahab: 4)

Iaitu isteri Abu Lahab yang dikatakan suka mengadu-domba dan menyampaikan kata-kata orang ke sana kemari.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Tidak dapat masuk syurga orang yang suka mengadu-domba.”

Sabdanya lagi: “Orang yang amat tercinta di antara kamu kepada Allah, ialah orang yang terbaik sekali akhlaknya, si pemurah hati yang suka menjamu tetamu, orang yang rapat dengan kawannya dan kawan-kawan pula suka rapat kepadanya. Dan orang yang amat terbenci di antara kamu kepada Allah ialah orang yang suka menyebarkan fitnah (mengadu-domba), orang yang suka memecahbelahkan di antara kawan-kawan, orang yang suka mencari alasan untuk melepaskan diri dari kesalahan-kesalahan.”

Adapun batas mengadu-domba itu ialah mendedahkan segala perkara yang tidak patut disebarkan sama ada ia dibenci oleh orang yang diceritakan perkaranya, ataupun dibenci oleh orang ketiga, sama ada cara mendedahkannya itu dengan perkataan atau dengan tulisan, ataupun dengan isyarat dan gerak geri, sama ada yang didedahkannya itu berupa perbuatan, atau percakapan sama ada ia sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan.

Jelasnya hakikat mengadu-domba itu, ialah membocorkan rahasia orang lain dan melanggar kehormatannya dengan membuka segala rahasia yang ia tidak ingin orang lain mengetahuinya. Oleh itu apa yang dilihatnya dari hal-ehwal orang, hendaklah ia mendiamkan diri saja, tidak dihebahkan dari hal-ehwal orang, hendaklah ia mendiamkan diri saja, tidak dihebahkan kepada orang ramai, kecuali jika penyebarannya itu akan mendatangkan faedah bagi orang islam, ataupun menolak sesuatu maksiat daripadanya. Misalnya jika ia menyaksikan seorang yang mengambil harta orang, maka hendaklah ia menjadi saksi bagi kepentingan orang yang diambil hartanya itu.

Pokok utama yang menyebabkan orang suka mengadu domba itu, ialah sama ada ia memang tidak suka kepada orang yang diadukan dombakannya itu, ataupun ia ingin menunjukkan tanda kesayangannya kepada orang yang diceritakan hal-hal orang yang dibencinya itu. Ia boleh juga disebabkan oleh kebiasaan lidah yang memang suka menceritakan keadaan dan hal orang, serta mencampuri urusan-urusan yang tiada kena mengena dengan diri sendiri, ataupun sudah sememang menjadi tabiat sukakan sifat yang batil itu.

Seterusnya apabila seorang membawa sesuatu berita yang mengadu-domba, maka hendaklah ia jangan tergopoh-gopoh menerima berita itu, dan menyangkakannya benar, sebagaimana firman Allah Ta’ala: “Jika ada orang fasik membawa sesuatu berita kepadamu, maka hendaklah kamu memeriksanya terlebih dulu.” (al-Hujurat: 6)

Kalau boleh, hendaklah ia melarang orang itu dari berbuat adu domba itu, dan menasihatkannya agar ia tidak menyangka jahat atau tidak baik sesuatu yang belum dilihatnya itu. Begitu juga janganlah hendaknya ia suka mengintip-intip untuk mencungkil kesalahan orang.

Berkata al-Hassan: “Barangsiapa yang berani membawa berita adu-domba kepadamu, niscaya ia berani juga mengadu-dombakanmu kepada orang lain.”

Dengan itu jelaslah bahawasanya si pengadu-domba itu harus dibenci dan tidak boleh dipercayai kata-katanya serta ditolak kebenarannya. Betapa tidak, sebab ia juga tidak hairan boleh menjadi orang yang menjalankan tipu daya dan pengkhianatan atas kemu serta merosakkan nama baik kamu di kalangan orang ramai. Si pengadu-domba itu termasuk golongan orang yang berusaha untuk memutuskan perhubungan yang diperintahkan oleh Allah supaya mengeratkannya, dan mereka itu berjalan di muka bumi menyebarkan kerosakan di antara manusia.

Allah telah berfirman: “Hanyasanya jalannya untuk menyalahkan orang-orang yang melakukan penganiayaan ke atas manusia, dan mereka menganjurkan sesuatu (bencana) di atas muka bumi ini tanpa hak (kebenaran).” (asy-Syura: 42)

Orang yang mengadu-domba itu, tidak syak lagi termasuk ke dalam golongan ini.

Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya orang yang paling jahat, ialah orang yang ditakuti oleh orang ramai kerana kecelakaannya.”

Orang yang mengadu-domba juga, termasuk ke dalam kumpulan orang-orang yang jahat.

Apabila Muhammad bin Ka’ab al-Qurazhi ditanya: “Mana satu sikap orang Mu’min yang boleh menjatuhkan kedudukannya.” Jawabnya: “Banyak berbicara suka membocorkan rahasia dan mempercayai semua cakap orang”.

Berkata setengah ahli pendita: Jika pengadu-domba itu sudah berjaya menyampaikan fitnahnya kepadamu, niscaya ia menjadi orang yang berani memaki-makimu, padahal orang yang difitnahkannya itu lebih utama mendapat belas kasihanmu, sebab ia tiada menghadapkan caci-makinya kepadamu

Petikan dari KITAB BIMBINGAN MUKMIN - Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Friday, October 23, 2009

Bahaya Lisan (Lidah) 4

Jumaat, 4 Zulkaedah 1430H, Bencana kesebelas: Menghina atau Mengejek

Menghina orang ataupun mengejek-ejeknya adalah haram menurut syara’. Allah telah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain, sebab mungkin sekali mereka yang dihina itu lebih baik dari yang menghina. Dan jangan pula kaum perempuan menghina perempuan yang lain, barangkali mereka yang dihina itu lebih baik dari mereka yang menghina.” (al-Hujurat: 11)

Yang dimaksudkan dengan penghinaan, ialah memandang rendah atau menjatuhkan taraf orang lain, ataupun mendedahkan segala keaiban-keaiban dan kekurangan-kekurangan mereka dengan tujuan menjadikannya sebagai bahan tertawaan. Ini boleh berlaku dengan menceritakan perihal orang dalam tutur katanya, dalam perilakunya ataupun dengan cara-cara lain yang boleh menunjukkan maksud dan tujuan yang sama. Punca utamanya ialah merendahkan diri orang lain, atau menjadikannya sebagai bahan tertawaan di mata orang ramai, menghina dan memperkecilkan kedudukannya.

Dalam hal ini, Allah telah mengingatkan kita seperti dalam firmanNya di atas: Mungkin sekali yang dihina itu lebih baik dari yang menghina, yakni jangan kamu merendahkan atau memperkecilkannya, sebab mana tahu barangkali orang itu lebih mulia dan baik dari kamu.

Dan kelakuan semacam ini, hanya dilarang terhadap orang-orang yang akan merasa tersinggung hatinya, bila ditujukan penghinaan serupa itu. Tetapi jika orang itu memang bersedia untuk menerima penghinaan, ataupun ia redha dijadikan dirinya sebagai bahan tertawaan orang, umpamanya ia merasa senang bila ditertawakan orang, maka penghinaan yang ditujukan kepadanya itu dikira sebagai senda gurauan saja. Dan mengenai senda gurauan pula, telah pun dijelaskan hukumnya, mana satu yang dicela atau dilarang, dan mana pula yang dikira baik atau dipuji.

Adapun penghinaan yang diharamkan itu, ialah apabila orang yang ditujukan penghinaan itu merasa kurang senang dan akan menjadi marah, disebabkan dirinya direndahkan ataupun diejek-ejek seperti yang sering juga berlaku bila seseorang mentertawakan percakapan orang lain kerana percakapannya salah, atau tidak teratur, ataupun ia mentertawakan kelakuannya tunggang balik dan tidak sempurna, ataupun seperti mentertawakan ingatannya yang selalu terlupa, atau terhadap rupa bentuknya disebabkan ada cacat padanya. Mentertawakan terhadap semua hal-hal yang dalam contoh-contoh di atas adalah terlarang dalam syara’.

Bencana kedua belas: Membocorkan Rahsia

Mendedahkan rahsia orang adalah di antara perkara-perkara yang terlarang dalam syara’, kerana ia akan menyakiti hati orang lain dan tidak mengambil berat dengan kepentingan para sahabat dan rakan handai.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Apabila seseorang telah memberitahu sesuatu perkara, lalu ia pergi, maka itu adalah suatu amanat (tidak boleh disebarkan).”

Sabdanya lagi: “Percakapan di antara kamu adalah amanat.”

Oleh itu maka memecahkan rahasia orang dikira suatu pengkhianatan dan mengkhianati orang lain adalah haram hukumnya, bila ia boleh menimbulkan bahaya atau mudharat pada orang itu. Kalau tidak mendatangkan bahaya atau mudharat, maka itu samalah seperti kita mencelanya.

Bencana ketiga belas: Janji Bohong

Lisan atau lidah manusia memang gemar membuat janji, tetapi seringkali pula jiwa tidak ingin menepati janji yang dibuat oleh lisan tadi. Maka dengan itu jadilah janjinya bohong atau janji yang dimungkiri. Itu adalah tanda-tanda adanya sifat nifaq pada orang itu.

Allah telah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman tepatilah janji-janji.” (al-Maidah:1)

Sabda Rasulullah s.a.w. pula: “Janji itu adalah pemberian.

Allah s.w.t, telah memberikan setinggi pujian ke atas Nabi Ismail a.s. di dalam kitabNya yang mulia dengan firmanNya: “Sesungguhnya ia (Ismail) adalah benar janjinya.”(Maryam: 54)

Apabila Saiyidina Abdullah bin Umar telah hampir menemui ajalnya, beliau berkata: “ Sebenarnya dulu ada seorang Quraisy telah meminang puteriku, dan aku telah mengikat suatu perjanjian untuk menikahkan puteriku itu kepadanya. Demi Allah aku tidak gemar menemui Tuhan, sedang sepertiga dari sifat nifaq itu ikut bersama-samaku. Oleh itu saksikanlah, bahwasanya aku telah menikahkan si Fulan itu dengan puteriku.”

Diceritakan dari Abdullah bin Abul-Khansa’, katanya: “Saya pernah mengikat janji dengan Rasulullah s.a.w. sebelum baginda diangkat menjadi Nabi. Ada barang yang saya janjikan kepadanya akan saya bawa ke tempat yang telah dipersetujui, tetapi malangnya saya terlupa hari itu dan juga esoknya. Maka saya mendatanginya pada hari ketiga, dan saya dapati baginda masih tetap menunggu di tempatnya. Bila saya sampai, maka baginda berkata: “Wahai pemuda! Engkau telah menyakiti aku dengan janjimu, sebab saya berada di sini menunggu sejak tiga hari lalu.”

Ibnu Mas’ud r.a. pula bila berjanji, niscaya ia akan berkata: “Insya Allah. Cara beginilah yang lebih baik.”

Sesudah berkata Insya Allah, jika ia memang faham bahwa menepati janji itu adalah wajib, maka hendaklah ia menepati janji itu, kecuali jika dihalangi oleh keuzuran. Akan tetapi jika ketika membuat janji itu, hatinya telah bertekad untuk memungkirinya, maka itulah yang dinamakan sifat nifaq.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Tiga perkara, barangsiapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik, sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim, iaitu; Bila berbicara ia bohong, bila berjanji ia mungkiri, dan bila menerima amanat ia khianat.”

Sabdanya yang lain: “Empat perkara yang jika seseorang manusia ada di dalamnya, maka ia menjadi munafik, dan barangsiapa mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu, samalah seperti ia mempunyai sifat kemunafikan, sehingga ia menjauhinya lagi: Jika berbicara ia dusta, jika berjanji ia mungkiri, jika membuat pengakuan ia belot dan jika menuntut ia curang.

Sifat-sifat ini hampir-hampir tertimpa ke atas orang yang ketika berjanji, ia siang-siang telah berazam untuk menyalahi janjinya, ataupun yang memungkiri janji tanpa apa-apa keuzuran.

Adapun orang yang berazam untuk menepati janji, tiba-tiba tanpa disangka-sangka pula timbul suatu keuzuran yang menghalangnya dari memenuhi janjinya, maka orng itu tiadalah terkira seorang munafik, meskipun pada lahirnya sifat kemunafikan itu berlaku atas dirinya. Walau bagaimanapun sebaik-baiknya, hendaklah ia cuba menghindarkan diri dari terkena sifat kemunafikan itu, sebagaimana ia menjauhkan dirinya dari hakikat kemunafikan juga, iaitu dengan mencari jalan supaya keuzuran tidak akan berlaku, bila ia membuat sesuatu perjanjian, tanpa ada sebab yang benar-benar dharurat.

Pernah diriwayatkan bahwa Rasulullah s.a.w. menjanjikan seorang khadam kepada Abul Haitsam kemudian pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah dibawakan kepadanya tiga orang tawanan (hamba sahaya). Dua daripadanya telah diberikan kepada orang lain, tinggal seorang lagi pada baginda s.a.w. Maka datanglah puteri baginda Fatimah radiallahu-anha meminta supaya khadam itu diberikan kepadanya, seraya berkata: “Cubalah ayahanda lihat tangan saya ini, semuanya berbekas-bekas kerana selalu menggiling. Tetapi Rasulullah s.a.w. masih ingat dengan janjinya kepada Abul Haitsam seraya berkata kepada Fatimah: Bagaimana dengan janji saya kepada Abul Haitsam?!” Rasulullah s.a.w. telah mengutamakan Abul Haitsam dari Fatimah, puterinya sendiri, dikeranakan janji telah diikat dengan Abul Haitsam, padahal baginda mengetahui bahwa Fatimah menggiling makanan dengan tangannya yang lemah itu.

Sekali peristiwa, Rasulullah s.a.w. sedang duduk membahagikan-bahagikan rampasan-rampasan kaum Huwazin sesudah peperangan Hunain, tiba-tiba berdiri seorang di hadapannya seraya berkata: “Tuan hamba pernah menjanjikan saya sesuatu, wahai Rasulullah!” Baginda lalu menjawab: “Benar katamu. Tuntutlah apa yang engkau ingini!” Orang itu berkata: “Saya menuntut delapan puluh ekor unta, beserta pengembalanya sekaligus.” Maka baginda pun bersabda; “Baiklah, semua itu kuberikan kepadamu.” Kemudian baginda menyambung lagi. “Tuntutan itu ringan saja.”

Petikan dari KITAB BIMBINGAN MUKMIN - Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Thursday, October 22, 2009

Bahaya LIsan (Lidah) 3

Khamis, 3 Zulkaedah 1430H . Bencana ketujuh: Berkata kotor, memaki dan lidah yang cabul

Sifat-sifat ini juga amat dilarang oleh agama, dan ia dikira antara sifat-sifat yang tercela yang bersumber dari kejahatan dan kedurjanaan.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Waspadalah kamu dari kata-kata yang kotor, kerana sesungguhnya Allah Ta’ala tiada suka kepada kata-kata yang kotor dan perilaku yang cabul.”

Rasulullah s.a.w. pernah melarang para sahabatnya supaya jangan memaki kaum Musyrikin yang terbunuh di dalam peperangan Badar, sabdanya: “Janganlah kamu memaki-maki mereka itu, yakni orang-orang Musyrikin yang terbunuh di dalam peperangan Badar itu, sebab caci-makimu itu tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada mereka, malah sebaliknya kamu akan menyakiti hati orang-orang yang masih hidup (dari keluarga si mati itu). Ketahuilah bahwasanya kata-kata yang kotor itu adalah suatu kejahatan.”

Sabdanya lagi dalam sebuah Hadis: “Bukanlah seorang Mu’min itu yang jadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.”

Lagi sabdanya: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang bercakap kotor, berlaku cabul, suka berteriak-teriak dalam pasar.”

Batasan bercakap kotor itu, memadailah dengan membicarakan sesuatu perkara dengan menggunakan ibarat-ibarat yang buruk yang tak senang didengar oleh telinga. Hal-hal serupa ini sering berlaku sekitar membicarakan tentang persoalan-persoalan seks dan liku-likunya. Ibarat-ibarat yang keji itu sering menjadi permainan di mulut orang-orang yang memang buruk kelakuannya, yang biasa diperbualkan antara sesama mereka. Manakala orang-orang yang baik perilakunya sentiasa menjaga diri dari menyebut kata-kata yang kotor serupa itu. Andaikata perlu disebutkan juga, maka mereka tidak pernah menyebutnya secara terang-terangan, malah mereka menggunakan kata-kata sindiran atau kata-kata semakna dengannya saja.

Berkata Ibnu Abbas r.a.: “Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Hidup, Maha Mulia dan Maha Pemaaf. Digunakan maksud persetubuhan itu dengan perkataan bersentuh kulit.”

Maka perkataan-perkataan seperti masis atau mas (menyentuh), dukhul (masuk) adalah kata-kata yang dipakai untuk maksud bersetubuh atau berjimak. Ini semua untuk menjaga bahwa kata-kata yang dipakai dalam al-Quran itu jangan ada yang berbau kotor.

Di sana ada banyak lagi ibarat-ibarat yang kotor, yang tidak layak disebutkan disini, kebanyakan daripadanya digunakan dalam caci-maki, ataupun untuk menunjukkan tanda tidak senang kepada orang yang dilemparkan kata-kata itu. Apabila orang itu merasa malu jika kata-kata seperti itu dilemparkan kepadanya, maka janganlah hendaknya ia berani menyebutnya secara terang-terangan kepada orang lain. Sebab semuanya itu merupakan perkara-perkara yang keji yang harus dijauhi.

Dan punca dari segala kelakuan ini, sama ada bertujuan untuk menyakiti orang lain, ataupun tersebab oleh kebiasaan yang dihasilkan oleh percampurgaulan yang tak sihat dengan orang-orang yang buruk akhlak dan kelakuannya, yang sudah sememang menjadi tabiat mereka suka mencaci-maki dan berbuat pekerjaan-pekerjaan yang keji.

Sekali Peristiwa datang seorang Arab dusun kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata: "Wahai Rasulullah! Berikanlah aku suatu wasiat! Maka Rasulullah s.a.w. pun bersabda: “Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah. Kemudian sekiranya ada orang yang memalukan engkau lantaran sesuatu keaiban yang diketahuinya ada padamu, maka janganlah hendaknya engkau membalasnya dengan memalukannya lantaran sesuatui keaibannya yang engkau mengetahui pula, kelak bencananya akan tertimpa atas orang itu, manakala pahalanya pula akan dicatitkan bagimu. Juga jangan sekali-kali memaki sesuatu.”

Setelah mendengar wasiat Rasulullah s.a.w., maka orang dusun itu pun berkata pula: “Sesudah itu saya tak pernah memaki-maki lagi.” Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “Pencacian seseorang Mu’min adalah fasik (perkara jahat) dan pembunuhnya adalah kekufuran.”

Lagi sabdanya: “Orang yang memaki kedua ibu bapanya adalah terlaknat.”

Dan pada riwayat yang lain: “Seberat-berat dosa besar, ialah bila seseorang itu memaki-maki kedua ibu bapanya.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah seseorang itu akan memaki-maki kedua ibu bapanya?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Bila seseorang memaki-maki bapa orang lain, maka orang itu akan membalas memaki-maki bapanya pula.”

Bencana kedelapan: Melaknat

Melaknat binatang atau benda yang mati (beku), ataupun melaknat manusia, semua ini adalah di larang dan terkira sifat yang tercela dalam agama.

Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Seseorang Mu’min yang sejati, bukanlah orang yang suka melaknat.

Pengertian laknat ialah tersingkir dan terjauh dari rahmat Allah Ta’ala dan melemparkan laknat ke atas seseorang itu tidak diharuskan, kecuali kiranya orang itu memang mempunyai sifat tersebut, yakni terjauh dari rahmat Allah azzawajalla. Terjauh dari rahmat Allah boleh disebabkan kerana kekufuran ataupun penganiayaan. Tetapi melaknat seorang fasik yang tertentu masih dikira merbahaya juga, sebaik-baiknya ditinggalkan saja, meskipun sesudah kematiannya. Malah lebih-lebih dilarang lagi jika melemparkan laknat itu akan menimbulkan kemarahan dan rasa tidak senang dari keluarganya yang hidup.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan sekali-kali kamu memaki-maki orang yang sudah mati, supaya kamu tidak menyakiti hati orang-orang yang hidup.”

Perkara lain yang dikira hampir sama seperti laknat, ialah mendoakan ke atas seseorang dengan kejahatan (hal-hal yang baik), sekalipun ia seorang yang zalim, maka mendoakan ke atasnya masih dilarang juga.

Dalam suatu khabar dikatakan, Rasulullah s.a.w. pernah berkata: “Orang yang teraniaya itu akan mendoakan ke atas si zalim (yang menganiayai) sehingga Allah membalasnya.”

Bencana Kesembilan: Bernyanyi dan bersyair

Yang dilarang dari bernyanyi dan bersyair ialah yang mengandungi bahan-bahan yang tercela daripada keduanya seperti nyanyian-nyayian dan syair-syair yang memuatkan kata-kata yang diharamkan, ataupun yang mengajak kepada melakukan sesuatu yang haram, memuja-muja masa muda seseorang yang tertentu, mengejek-ejek orang, menyerupai kaum wanita, menaikkan semangat untuk melakukan kejahatan, ataupun menggalakkan supaya bercampur gaul dengan orang-orang yang rosak akhlaknya, atau yang suka bergurau melampaui batas, atau yang menghabiskan masa dalam perkara itu atau sebagainya. Semua nyanyian-nyanyian dan syair-syair yang berunsur dari perkara-perkara yang disebutkan ini adalah dilarang. Selain dari yang tersebut dihukumkan mubah atau harus.

Bencana kesepuluh: Bersenda-gurau

Yang dilarang dari bersenda gurauan itu ialah yang tercela darinya, iaitu bila melakukannya amat selalu dan dengan cara yang melampaui batas. Amat selalu kerana ia akan merupakan semacam pekerjaan bagi permainan dan kelucuan, dan melampaui batas pula sebab ia akan menimbulkan terlalu banyak ketawa, dan kadang-kadang sehingga mencetuskan permusuhan pula. Ketika itu akan hilang-lenyaplah perasaan segan dan malu serta saling hormat-menghormati.

Adapun segala senda gurau yang sunyi dari keadaan-keadaan yang tersebut di atas tadi, maka ia tiadalah dikira tercela, sebagaimana yang pernah diriwayatkan oleh nabi s.a.w. sabdanya: “Aku pun turut bergurau senda, tetapi aku tiada mengatakan sesuatu melainkan yang benar belaka.

Sebenarnya semua orang boleh melakukan seperti Rasulullah s.a.w., iaitu bila bergurau hanya berkata yang benar saja. Tetapi kebanyakan orang sebaliknya, apabila saja di buka pintu untuk bersenda gurau, maka maksud mereka tiada lain, melainkan hendak mentertawakan orang ramai dengan apa cara sekalipun.

Berkata Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a.: “Siapa yang suka bergurau saja, niscaya orang akan memandang ringan terhadapnya.”

Said Ibnul-‘Ash berkata kepada puteranya: “Wahai anakku! Jangan engkau berani bergurau senda dengan orang yang berpangkat, kelak ia akan memusuhimu, dan jangan pula kepada orang yang rendah budi, kelak ia akan kurang ajar terhadapmu.”

Seorang pendita berkata: Setiap sesuatu ada benihnya, dan benih permusuhan itu bersenda gurauan. Yang lain pula berkata: Senda gurauan itu akan merampas akal seseorang dan memutuskan perhubungannya dengan kawan-kawan.

Adalah menjadi suatu kesalahan yang besar, jika seseorang itu menjadikan senda gurauan itu sebagai suatu amalan yang dibiasakan pada setiap hari. Atau bersenda gurau secara melampaui batas kemudian mendakwa bahwa ia berpegang dengan perilaku Rasulullah s.a.w. Orang ini sama seperti orang yang sepanjang harinya bersama-sama dengan orang-orang Habsyi (Negro), bergaul dengan mereka dan menyaksikan tarian mereka, kemudian ia mempertahankan kelakuannya itu dengan hujah, bahwa Rasulullah s.a.w. dulu pernah mengizinkan Siti Aisyah (isterinya) untuk menyaksikan tarian orang-orang Habsyi serupa iaitu pada salah satu hari raya, itu adalah pendapat yang salah.

Kesimpulannya: Jika anda boleh bersenda gurau dengan berkata hanya yang hak dan benar saja, tanpa menyakiti hati orang lain, tanpa berlebih-lebihan dalam senda gurauan anda, tanpa menjadikannya suatu kebiasaan atau amalan sehari-hari, maka tiada mengapalah bersenda gurau serupa itu.

Cuba anda perhatikan bagaimana indahnya senda gurauan Rasulullah s.a.w. iaitu seperti diriwayatkan bahwa seorang tua perempuan telah mendatangi Rasulullah s.a.w. Maka baginda telah bergurau dengannya dengan berkata: “Orang tua tidak boleh masuk syurga.” Lalu menangislah si perempuan tua itu, tetapi segera pula Rasulullah s.a.w. berkata lagi: “Anda tidak lagi menjadi tua bangka pada ketika itu! Lalu dibacakan kepadanya firman Allah Ta’ala. “Kami (Allah) pertumbuhkan mereka itu (kaum wanita) suatu tumbuhan. Maka Kami tukarkan mereka itu menjadi dara-dara.(al-Waqi’ah: 35-36)

Dalam sesuatu peristiwa yang lain, diceritakan bahwa ada seorang perempuan datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: “Suamiku menjemputmu ke rumah!” Baginda lalu berkata: “Siapa dia suamimu itu? Apakah ia yang matanya ada putih-putih itu?” Perempuan itu menjawab: “Demi Allah, mata suami saya tidak ada putih-putih”. Kemudian baginda berkata lagi: “Bahkan di matanya ada putih-putih.” Perempuan itu tetap menolak dengan berkata: “Demi Allah, tidak.” Maka barulah Rasulullah s.a.w. menerangkan lagi: “Malah setiap orang memang ada pada matanya putih-putih.” Maksud baginda ialah putih yang mengelilingi mata yang hitam itu.

Ada seorang perempuan lain yang datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Berikanlah saya seekor unta yang boleh mengenderainya”. Baginda berkata: “Bahkan kita akan berikan untukmu anak unta supaya engkau mengenderainya.” Kata perempuan itu pula: “Apa yang akan saya buat dengan anak unta, jika ia tidak boleh mengangkat saya?” Jawab Rasulullah s.a.w. “Tiada ada seekor unta, melainkan ia dulunya anak unta.”

Berkata Anas: Abu Talhah mempunyai seorang putra yang dipanggil dengan nama Abu Umair. Rasulullah s.a.w sering datang kepada mereka dengan berkata: “Wahai Abu Umair! Apa khabar anak burung engkau?” Kerana Abu Umair memang suka sangat bermain-main dengan anak burung tersebut.

Berkata Siti Aisyah radhiallahu-anha: Saya ikut bersama-sama Rasulullah s.a.w. dalam ghazwah (peperangan) Badar, lalu baginda berkata kepada saya:”Mari kita berlumba lari!” Maka saya pun menyingsing lengan dan menggariskan satu garisan tanda di tanah, dan dari situ kami pun berlumba lari? tetapi dia (baginda) telah mendahului saya. Kemudian baginda berkata pula: Ini ganti yang dulu di Dzul-Majaz. Dia mengingatkan saya suatu hari dulu, bila kami sedang berada di Dzul-Majz dan pada ketika itu saya masih kecil lagi. Bapa saya telah memberi saya suatu barang, lalu baginda berkata kepada saya: Berikanlah saya barang itu. Saya enggan memberikan kepadanya, dan saya pun lari. Tiba-tiba baginda berlari di belakang saya, tetapi ia tidak dapat mengejar saya.

Siti Aisyah bercerita lagi: Pada suatu hari isteri baginda Saudah binti Zam’ah berada bersama-sama Rasulullah s.a.w., maka saya pun buatkan makanan khazir, dan bawa makanan itu seraya berkata kepada Saudah: Makan! Saudah menjawab: Saya tak suka makanan ini! Maka saya berkata kepadanya: Demi Allah engkau mesti makan makanan ini, kalau tidak aku akan lumurkan mukamu dengannya. Saudah masih enggan memakannya seraya berkata: Saya tidak ingin memakannya. Maka saya ambil sedikit makanan itu dari dalam piring lalu saya tonyohkan ke muka Saudah, padahal Rasulullah s.a.w. sedang duduk di antara saya dengan Saudah, kemudian baginda merendahkan lututnya untuk Saudah supaya ia boleh membalas. Saudah terus mengambil sedikit makanan itu dari piring, lalu melumurkan muka saya pula. Melihat kejadian itu, Rasulullah s.a.w. hanya ketawa saja.

Dari Abu Salamah pula: Rasulullah s.a.w. sering memanjakan cucuandanya al-Hasan bin Ali r.a dengan menjelirkan lidah kepadanya. Apabila al-Hasan melihat keadaan itu ia ketawa gembira.

Berkata Uyainah al-Fizari: Demi Allah, saya mempunyai seorang anak saja, sekarang ia telah berkahwin dan telah tumbuh rambut mukanya (cambangnya), tetapi saya tak pernah menciumnya sama sekali. Maka baginda pun bersabda: “Siapa yang tak mempunyai belas kasihan, tak akan dibelas kasihani.”

Semua sifat-sifat kelemah-lembutan ini berlaku pada golongan kaum wanita dan kanak-kanak kecil. Rasulullah s.a.w telah memperlakukan yang demikian kepada mereka kerana memandangkan lemahnya hati mereka, bukan kerana kecenderungannya kepada senda gurau semata-mata.

Pernah sekali Rasulullah s.a.w. berkata kepada Suhaib yang sedang makan korma, padahal ia terkena sakit mata. Kata baginda: “Boleh makan korma juga? Bukankah matamu sakit?” Jawab Suhaib: “Saya makan dengan sebelah mata saja, wahai Rasulullah!” Mendengar jawapannya Rasulullah s.a.w. tersenyum saja. Dalam setengah riwayat pula sehingga kelihatan gigi serinya.

Nu’aiman al-Ansari adalah seorang yang suka bergurau. Tiap-tiap kali ia datang ke Madinah ia membeli sesuatu barang di pasarnya, lalu membawanya sebagai hadiah kepada Rasulullah s.a.w. dengan berkata: “Wahai Rasulullah! Saya telah membeli ini dan saya hadiahkan untukmu.” Sekejap lagi datanglah tuan punya barang itu menuntut harga barang yang dibelinya tadi, maka ia membawa orang itu menghadap Rasulullah s.a.w. dengan berkata pula kepada baginda: “Wahai Rasulullah, bayarkanlah harga barang tadi.’ Baginda pun bertanya kepada Nu’aiman: “Bukankah barang itu engkau berikan kepada aku sebagai hadiah?” Nu’aiman menjawab: “Benar, wahai Rasulullah! Tetapi saya tak punya harganya dan saya suka tuan hamba memakannya.” Mendengar yang demikian Rasulullah s.a.w. hanya ketawa, dan segeralah baginda membayar harganya.

Bersenda gurau semacam ini tidaklah salah dilakukan sekali-sekala tetapi tidak boleh dilakukan selalu sangat.

Petikan dari KITAB BIMBINGAN MUKMIN - Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali