Tuesday, October 31, 2017

Bukan Umat Rasulullah Saw

Selasa, 11 Safar 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang tidak mematuhi Imam dan memencil dari jemaah, lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah. 

Siapa yang mati terbunuh di bawah bendera kefanatikan, bermusuhan, dan berperang kerana fanatik kesukuan(kebangsaan), dia bukanlah umat ku.

Dan siapa keluar dari umat ku lalu menyerang umat ku, membunuh orang-orang baik dan orang-orang jahat tanpa mempedulikan apakah dia orang mukmin atau tidak, dan tanpa mengindahkan janji yang telah dibuatnya, orang itu juga bukan umatku."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1815

Monday, October 30, 2017

Tak Sempurna Solat Tanpa Ummul Quran

Isnin, 10 Safar 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Siapa yang tidak membaca Ummul Quran (Fatihah) dalam solat, maka solatnya tidak sempurna (Nabi mengulangnya sampai tiga kali)."

Lalu ditanyakan orang kepada Abu Hurairah, "Bagaimana kalau kami solat mengikut Imam?"

Jawabnya, "Bacalah perlahan-lahan! Kerana aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, bahawa Allah Ta'ala berfirman: "Solat itu Ku bagi dua antara-Ku dan hamba-Ku. Untuk hamba Ku ialah apa yang dimintanya."

Apabila dia mengucapkan 'Alhamdu lillahi rabhil 'alamin', maka Allah Ta'ala menjawab, 'Hamadani 'abdi' (Hamba Ku memujiKu).

Apabila dia mengucapkan 'Arrahmanirrahim' (yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang), maka Allah Ta'ala menjawab, 'Atsna 'alayya 'abdi' (HambaKu menyanjung Ku).

Apabila dia mengucapkan 'Maliki yawmiddin' (Maha Penguasa hari kemudian), maka Allah Ta'ala menjawab, 'Majjadani 'abdi' (HambaKu mengagungkanKu), atau 'Fawwadha ilayya 'abdi. (HambaKu berserah diri kepada Ku).

Apabila dia mengucapkan 'Iyyaka na'budu wa iyyaka nasla'in' (kepada Engkau saja kami menyembah dan kepada Engkau saja kami meminta tolong), maka Allah ta'ala menjawab, 'Hadza bayni wa bayna 'abdi, wa li 'abdi ma saala' (inilah bahagianKu dan bahagian HambaKu, Untuk hamba-Ku apa yang dimintanya).

Apabila dia mengucapkan 'Ihdinash shirathal mustaqim, shirathalladzina an 'amta 'alaihim ghairil maghdhubi 'alaihim waladhdhaallin' (Pimpinlah kami ke jalan yang lurus, yakni jalan orang yang tidak Engkau murkai dan tidak pula jalan orang yang sesat), maka jawab Allah ta'ala, 'Hadza li 'abdi, wa li 'abdi ma saala' (inilah bahagian hambaKu, untuknya apa yang dimintanya).

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0349.

Friday, October 27, 2017

Sia-Sia Jumaat

Jumaat, 7 Safar 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw., bersabda:

"Bila engkau berkata kepada sahabatmu : Diam!" padahal imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya sia-sia sajalah Jumaat kamu."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0803

Thursday, October 26, 2017

Terlupa Rakaat Solat

Khamis, 6 Safar 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. mengimami kami solat pada salah satu dua solat petang, mungkin solat Zohor atau solat Asar.

Setelah dua rakaat beliau memberi salam, kemudian beliau pergi ke sebatang pohon kurma di arah kiblat masjid, lalu beliau bersandar ke pohon itu, kelihatan seperti orang marah.

Di antara jemaah terdapat Abu Bakar dan 'Umar, namun keduanya takut berbicara. Orang-orang yang suka cepat-cepat telah keluar sambil berujar, "Solat dipendekkan."

Tiba-tiba Dzulyadain berdiri seraya berkata, "Ya, Rasulullah! Apakah solat dipendekkan ataukah anda lupa?"

Nabi saw. menengok ke kanan dan ke kiri, lalu bersabda: "Betulkah apa yang dikatakan Dzulyadain itu?"

Jawab mereka, "Betul, ya Rasulullah! Anda solat hanya dua rakaat."

Kerana itu Nabi saw. solat dua rakaat lagi, lalu memberi salam. Sesudah itu beliau takbir, lalu sujud. Kemudian takbir, lalu bangkit. Kemudian takbir, lalu sujud lagi. Sesudah itu takbir, lalu bangkit. "

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0529

Wednesday, October 25, 2017

Sujud Sahwi

Rabu, 5 Safar 1438H: Dari 'Abdullah bin Buhainah r.a., katanya : "Pada suatu ketika Rasulullah saw. mengimami kami solat. Setelah dua rakaat, beliau langsung berdiri tanpa duduk (tasyahud awal), dan jemaah yang banyak turut pula berdiri mengikuti beliau. 

Tatkala solat telah selesai, dan kami sedang menunggu-menunggu beliau mengucapkan salam, ternyata beliau takbir, lalu sujud dua kali ketika duduk sebelum salam; setelah itu barulah beliau memberi salam."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0523.

Tuesday, October 24, 2017

Rupa Keldai

Selasa, 4 Safar 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:  

"Tidak percayakah orang-orang yang mengangkat kepalanya mendahului imam, bahawa Allah akan menukar rupanya dengan rupa keldai?"

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0380.

Monday, October 23, 2017

Tujuh Golongan Yang Mendapat Naungan Allah SWT

Isnin, 3 Safar 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Ada tujuh golongan yang mendapat naungan dari Allah swt. pada hari kiamat kelak, di mana tidak ada sama sekali naungan pada hari itu melainkan naungan dari Allah swt.:

(I) Imam (raja atau penguasa) yang adil,
(2) Pemuda yang menjadi dewasa dalam beribadat kepada Allah,
(3) Orang yang hatinya tergantung di masjid.
(4) Dua orang yang saling mencintai satu sama lain kerana Allah. Mereka berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
(5) Seorang lelaki yang dirayu oleh seorang wanita bangsawan yang cantik untuk berbuat mesum, lalu dia menolak dengan kata: "Aku takut kepada Allah."
(6) Orang yang bersedekah dengan diam-diam, sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang disedekahkan tangan kirinya.
(7) Orang yang mengalir air matanya ketika berzikir, mengingat dan menyebut nama Allah dalam keadaan bersunyi diri."


Hadis Sahih Muslim

Monday, October 16, 2017

Makan Sebelum Solat

Isnin, 25 Muharram 1439H: Dari lbnu 'Abbas r.a., katanya: "Pada suatu kali Rasulullah saw. mengenakan pakaiannya, lalu beliau pergi solat. 

Tiba-tiba ada orang menghadiahkan roti dan daging untuk beliau, maka beliau makan tiga suap. 

Kemudian beliau mengimami solat orang banyak tanpa menyentuh air lebih dulu."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0307.

Friday, October 13, 2017

Solat 2 Rakaat Hari Jumaat

Jumaat, 22 Muharram 1439H: Dari Jabir bin 'Abdullah r.a., katanya: "Sulaik Al Ghathafani pernah datang ke Jumaat ketika Rasulullah saw. sedang berkhutbah, lalu dia langsung saja duduk.

Maka bersabda Rasulullah saw. kepadanya, "Hai, Sulaik! Berdirilah, lalu solatlah lebih dahulu dengan singkat dua rakaat."

Kemudian beliau menambahkan, "Apabila kamu datang ke Jumaat, dan imam sedang berkhutbah, maka solatlah lebih dahulu dengan singkat dua rakaat."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0825.


Thursday, October 12, 2017

Membaca Amin

Khamis, 21 Muharram 1439H:Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Apabila imam telah selesai membaca 'ghairil maghdhubi 'alaihim waladh dhallin', lalu orang di belakangnya membaca 'Amin', dan bacaannya itu bersamaan dengan amin penduduk langit, diampuni Allah dosa-dosanya yang telah lalu."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0363.

Wednesday, October 11, 2017

Luruskan Saf Dalam Solat

Rabu, 20 Muharram 1439H: Berita dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., bahawa beliau bersabda:

"Imam itu ditetapkan untuk diikuti. kerana itu janganlah kamu menyalahinya.

Apabila dia rukuk, rukuk pulalah kamu.

Apabila dia membaca Sami'allahu liman hamidah, maka baca pulalah Rabbana lakal hamdu.

Dan apabila dia sujud, sujud pulalah kamu, apabila dia duduk, duduk pulalah semuanya.

Dan luruskan saf (barisan) dalam solat; sesungguhnya meluruskan saf itu sebaik-baik solat."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0402.

Tuesday, October 10, 2017

Orang-Orang Munafik

Selasa, 19 Muharram 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh.

Kalaulah mereka tahu pahala keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.

Inginlah aku rasanya menyuruh seseorang menggantikan ku mengimami solat, sesudah itu aku pergi dengan beberapa orang membawa ikatan-ikatan kayu bakar ke rumah-rumah orang yang tidak datang solat berjemaah, lalu dibakar rumah-rumah mereka."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0610.

Monday, October 9, 2017

Solat Zohor & Asar

Isnin, 18 Muharram 1439H: Dari Abu Qatadah r.a., katanya: "Rasulullah saw. biasa solat mengimami kami. 
 
Pada dua rakaat pertama Zohor dan Asar beliau membaca Fatihah dan surah yang kadang-kadang diperdengarkan beliau bacaannya kepada kami. 
 
Biasanya beliau memanjangkan bacaan pada rakaat pertama solat Zohor, dan memendekkannya pada rakaat kedua." 
 
Demikian pula pada solat Subuh." 
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0404.

Tuesday, October 3, 2017

Tiga Golongan Manusia Di Hari Kiamat

Selasa, 12Muharram 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ada tiga golongan manusia yang tidak akan dilihat dan tidak akan disucikan Tuhan pada hari kiamat, dan mereka itu akan memperoleh seksa yang berat. 
 
Pertama, orang yang mempunyai kelebihan air tetapi tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan dalam perjalanan. 
 
Kedua, orang yang berjanji setia kepada Imam (Penguasa) tetapi hal itu dilakukannya hanya kerana kepentingan dunia. Kalau Imam memberikan keuntungan dunia kepadanya ia gembira. Tetapi kalau tidak, ia jadi marah. 
 
Ketiga, orang yang berjualan setelah Asar, seraya berkata: Demi Allah, tiada Tuhan selainNya. Barang-barang saya ini telah ditawar orang sekian. Lalu kata-katanya itu dipercaya orang lain." 
 
Lalu beliau membaca ayat yang bererti: "Orang-orang menjual janji Allah dan sumpah mereka dengan harga yang murah di akhirat mereka tidak akan mendapat apa-apa. Tuhan tidak akan berbicara kepada mereka, tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat nanti. dan tidak akan menyucikan mereka dari dosa mereka. Mereka akan memperoleh seksa yang pedih." (Ali Imran. 77) 
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1143

Monday, October 2, 2017

Apabila Solat Menjadi Imam

Rabu, 20 Muharram 1439H: Berita dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., bahawa beliau bersabda:

"Imam itu ditetapkan untuk diikuti. kerana itu janganlah kamu menyalahinya.

Apabila dia rukuk, rukuk pulalah kamu.

Apabila dia membaca Sami'allahu liman hamidah, maka baca pulalah Rabbana lakal hamdu.

Dan apabila dia sujud, sujud pulalah kamu, apabila dia duduk, duduk pulalah semuanya.

Dan luruskan saf (barisan) dalam solat; sesungguhnya meluruskan saf itu sebaik-baik solat."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0402.