Saturday, September 30, 2023

Rasulullah SAW Pembawa Rahmat

 Sabtu, 14 Rabiulawal 1445H: Rasulullah SAW Pembawa Rahmat 

عَنْ أَبِي صَالِحٍ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُنَادِيهِمْ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ, إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ.

Daripada Abu Soleh RA, beliau berkata: "Adalah Nabi SAW (pada suatu hari) menyeru para sahabat: "Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada seluruh alam)." (Hadith riwayat Ad-Darimi, No: 15, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, No: 98, beliau berkata: " Hadith ini adalah sahih dengan mengikuti syarat-syarat yang telah digariskan oleh Imam al-Bukhari & Muslim).

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah rahmat yang diutus untuk seluruh alam.
Firman Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya:107).

2.  Menurut Ibnu Abbas, Allah mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh manusia, baik mukmin mahupun kafir. Rahmat bagi orang mukmin iaitu Allah memberinya petunjuk dengan sebab diutusnya Rasulullah. Baginda penyebab memasukkan orang-orang beriman ke dalam syurga dengan iman dan amal mereka terhadap perintah Allah. Sedangkan rahmat bagi orang kafir, berupa tidak disegerakannya bencana seperti yang menimpa umat-umat terdahulu yang mengingkari perintah Allah.

3.  Rahmat adalah kasih sayang. Nabi SAW diutuskan semata-mata untuk membawa risalah ketauhidan, iaitu dengan mengeluarkan manusia daripada lembah penghambaan sesama manusia kepada semata-mata menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Esa. Risalah tauhid ini disampaikan dengan penuh rahmat melalui jalan dakwah iaitu mengajak manusia beriman kepada Allah SWT. Tatkala manusia itu beriman maka alam pun akan mendapat manfaat diatas keimanan tersebut. Itulah rahmat dan hadiah yang besar daripada Allah SWT kepada seluruh alam.

4.  Ibn Qayyim al-Jauziyah menyatakan bahawa rahmat itu adalah kasih sayang iaitu sifat memberikan manfaat kepada orang lain juga sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada orang lain atau makhluk alam juga menjauhkannya daripada bencana.


Friday, September 29, 2023

Rasulullah SAW Contoh Akhlak Terbaik

Jumaat, 13 Rabiulawal 1445H: Rasulullah SAW Contoh Akhlak Terbaik

حَدَّثَنِي أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْجَدَلِيُّ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ كَيْفَ كَانَ خُلُقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَهْلِهِ قَالَتْ كَانَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا لَمْ يَكُنْ فَاحِشًا وَلَا مُتَفَحِّشًا وَلَا سَخَّابًا بِالْأَسْوَاقِ وَلَا يُجْزِئُ بِالسَّيِّئَةِ مِثْلَهَا وَلَكِنْ يَعْفُو وَيَصْفَحُ

Telah menceritakan kepadaku Abu Abdullah Al Jadali dia berkata; Saya bertanya kepada Aisyah; "Bagaimanakah akhlak Rasulullah SAW terhadap keluarganya." Aisyah berkata; "Baginda adalah orang yang paling baik akhlaknya, tidak pernah berbuat keji, tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor, tidak berteriak-teriak di pasar, dan tidak pernah membalas dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya), akan tetapi baginda seorang yang pemaaf dan pengampun." (HR Ahmad No: 24797) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah orang yang paling baik akhlak terhadap keluarga dan orang lain.

2.  Rasulullah SAW tidak pernah melakukan perbuatan keji seperti perbuatan syirik.

3.  Rasulullah SAW tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor serta tidak terjerit-jerit di pasar (shoping kompleks) atau di mana sahaja.

4.  Antara akhlak terpuji Rasulullah SAW ialah tidak pernah membalas dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya).

5.  Rasulullah SAW adalah seorang yang pemaaf kepada orang lain.

6.  Berusahalah kita mencontohi Rasulullah SAW dengan tidak mengeluarkan kata-kata kotor, terjerit-jerit dimana sahaja kita berada termasuk dalam bentuk tulisan di media sosial. Jadilah kita orang yang bermaaf. 

Thursday, September 28, 2023

Contohi Akhlak Rasulullah SAW

Khamis, 12 Rabiulawal 1445H:  Contohi Akhlak Rasulullah

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: خَدَمْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ سِنِينَ وَاللهِ مَا قَالَ لِي: أُفًّا قَطُّ وَلَا قَالَ لِي لِشَيْءٍ: لِمَ فَعَلْتَ كَذَا وَهَلَّا فَعَلْتَ كَذَا 

Daripada Anas bin Malik RA berkata : Aku telah berkhidmat kepada Rasulullah SAW selama 10 tahun, Demi Allah, Baginda SAW tidak pernah berkata kepadaku “ Uff ” dan tidak pernah berkata kepadaku kerana sesuatu : Kenapa awak buat begini ? Kenapa awak tidak buat begini ?  (HR Muslim No : 2309) Status: Hadis Sahih. 

Pengajaran : 

1.  Rasulullah SAW memiliki akhlak yang sangat terpuji. Tutur katanya sangat lembut dan penuh hikmah kepada sesiapa sahaja walaupun terhadap hamba. 

2.  Kalimah Uff adalah ucapan atau suara yang menunjukkan rasa tidak hormat dan menyakitkan hati. Mungkin bagi kita adalah kata-kata seperti: “ah !! , Ish !! Hoi !! Hey!! Bodo!! dan sebagainya. 

3.  Tutur kata merupakan antara penyebab utama seseorang itu mendapat dosa kerana terlalu mudah untuk menyebut perkataan yang tidak baik atau diterjemah dalam bentuk tulisan di media sosial. Menjaga tutur kata juga adalah tanda orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.

4.  Rasulullah SAW tidak pernah berkata perkataan kasar kepada sahabat hatta kepada pekerja seperti perkataan “Uff ”. Baginda juga tidak  memarahi orang yang berkhidmat dengannya. 

5.  Marilah kita membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menjadikan Rasul sebagai contoh terbaik dalam kehidupan kita. Antaranya menjaga tutur kata dengan tidak mengeluarkan kata-kata yang buruk termasuk dalam penulisan. Firman Allah: 

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (al-Ahzab: 21).


Wednesday, September 27, 2023

Berselawat Dalam Majlis

Rabu, 11 Rabiulawal 1445H:Berselawat Dalam Majlis

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى الرَّجُلُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً فِي الْمَجْلِسِ أَجْزَأَ عَنْهُ مَا كَانَ فِي ذَلِكَ الْمَجْلِسِ

Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang berselawat kepada Nabi SAW sebanyak sekali di dalam sesebuah majlis, maka ianya telah mencukupi sepanjang ia berada di majlis tersebut. (Sunan at-Tirmidzi No: 3468) Status: Hassan Sahih

Pengajaran:

1.  Majlis yang diberkati, di dalamnya disertakan dengan kalimah Allah dan selawat ke atas Nabi SAW

2.  Berselawat sekali apabila berada dalam satu majlis atau program mencukupi bermaksud sangat mudah untuk dilakukan tetapi memiliki pahala yang sangat besar termasuk keampunan.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dari Abdullah bin ‘Amr RA, ia berkata:

مَنْ صَلَّى عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَمَلاَئِكَتُهُ سَبْعِيْنَ صَلاَةً, فَلْيُقِلَّ عَبْدٌ مِنْ ذَلِكَ أَوْ لِيُكْثِرْ.

“Barangsiapa yang berselawat kepada Rasulullah SAW sekali sahaja, maka Allah dan para Malaikatnya akan berselawat kepadanya sebanyak tujuh puluh selawat, maka perbanyaklah seorang hamba dalam membacanya.” (Al-Musnad Imam Ahmad X/106-107 No. 6605) Status: Hadis Hasan

3.  Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun baginya.

4.  Memperbanyak selawat pada bila-bila masa amat digalakkan

Selamat memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW dan perbanyakkanlah berselawat kepada baginda SAW.


Tuesday, September 26, 2023

Gigit Dengan Gigi Geraham Sunnah Rasulullah SAW

 Selasa, 10 Rabiulawal 1445H:Gigit Sunnah Rasulullah SAW Dengan Gigi Geraham

حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ أَبِي الْمُطَاعِ قَالَ سَمِعْتُ الْعِرْبَاضَ بْنَ سَارِيَةَ يَقُولُ قَامَ فِينَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً وَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ وَذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَظْتَنَا مَوْعِظَةَ مُوَدِّعٍ فَاعْهَدْ إِلَيْنَا بِعَهْدٍ فَقَالَ عَلَيْكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا وَسَتَرَوْنَ مِنْ بَعْدِي اخْتِلَافًا شَدِيدًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَالْأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Telah menceritakan kepadaku Yahya bin Abi Al Mutha' ia berkata; aku mendengar 'Irbadh bin Sariyah berkata; "Pada suatu hari Rasulullah SAW berdiri di tengah-tengah kami. Baginda memberi nasihat yang sangat menyentuh, membuat hati menjadi gemetar, dan airmata berlinangan. Lalu dikatakan; "Wahai Rasulullah, engkau telah memberikan nasihat kepada kami satu nasihat perpisahan, maka berilah kami satu wasiat." Baginda bersabda: "Hendaklah kalian bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat meskipun kepada seorang hamba Habasyi. Dan sepeninggalku nanti, kalian akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat, maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulaf ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham, dan jangan sampai kalian mengikuti perkara-perkara (bid’ah) yang dibuat-buat, kerana sesungguhnya semua bid’ah itu adalah sesat." (HR Ibnu Majah No: 42) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah SAW meninggalkan wasiat untuk kita laksanakan:

1.  Hendaklah kita bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat kepada pemimpin yang benar dan hak, meskipun kepada seorang hamba Habasyi.

2.  Sepeninggalan Rasulullah SAW,  akan berlaku banyak perselisihan yang dahsyat. Sebagai orang beriman, kita mesti berpegang teguh dan bersungguh-sungguh sunnah Rasulullah SAW dan sunnah para khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk (menggigit dengan gigi geraham). Mengigit dengan gigi geraham lebih kuat dan mantap berbanding mengigit dengan gigi kacip yang boleh terlepas.

3.  Berpegang teguh dengan sunnah yang dimaksudkan ialah teguh dan berterusan mengikuti dan mencontohi semua jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam segenap lapangan hidup. Juga mengikuti jalan hidup khulafa ar-Rashidin.

Jadilah seperti Saidina Abu Bakar Ash Shiddiq RA yang menyatakan:

لَسْتُ تَارِكًا شَيْئًا كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يَعْمَلُ بِهِ إِلَّا عَمِلْتُ بِهِ إِنِّي أَخْشَى إِنْ تَرَكْتُ شَيْئًا مِنْ أَمْرِهِ أَنْ أَزِيْغَ

“Tidaklah aku biarkan satupun yang Rasulullah SAW amalkan kecuali aku mengamalkannya kerana aku takut jika meninggalkannya sedikit saja, aku akan menyimpang.” (Atsar R. Abu Daud No. 2970)

4.  Jangan terlibat dengan perkara bid’ah yang dikeji. Bid’ah yang dikeji mengikut Ibnu Hajar al-Asqalani adalah menambah atau mengurangkan dalam hal agama yang tiada dalil syarak dan ia adalah amalan yang dikeji oleh syarak.


Monday, September 25, 2023

Al Quran Dan Sunnah Panduan Hidup Diredhai

 Isnin, 9 Rabiulawal 1445H: Al-Quran dan Sunnah Panduan Hidup Diredhai

عَنْ مَالِك أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Daripada Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi " (Muwatta’ Malik No: 1661 Dar Ihya Ulum Arabiyyah) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW meninggalkan pusaka yang amat berharga untuk diwarisi oleh orang beriman agar sentiasa berada di dalam petunjuk dan hidayah Allah.

2.  Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan dua pusaka yang wajib di amalkan dan dijadikan panduan dalam kehidupan ini.

3.  Al-Quran adalah kitab hidayah dan panduan untuk kehidupan. Berusahalah mempelajari, membaca, memahami dan melaksanakan tuntutan al-Quran.

عن جابر عن النبي صلى الله عليه وسلم قال اَلقُرْءَانُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ وَمَاحِلٌ مُصَدَّقٌ مَن جَعَلَهُ أَمَامَهُ قَادَهُ إِلَى الْجَنَّةِ وَمَن جَعَلَهُ خَلْفَ ظَهْرِهِ سَاقَطَهُ إِلَى النَّارِ

Daripada Jabir RA dari Nabi SAW bersabda: Al-Quran adalah pemberi syafaat (yang mana) syafaatnya akan diterima dan sebagai penghujah (yang mana) hujahnya disokong. Barangsiapa meletakkan al-Quran di hadapannya maka al-Quran akan memandunya ke syurga dan barangsiapa yang meletakkan al-Quran di belakangnya maka al-Quran akan mencampakkannya ke neraka”   (HR Ibn Hibban No: 124) Status: Hadis Sahih

4.  Sunnah adalah penjelas bagi al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Al-Sunnah adalah jalan, tingkah laku, amalan, pembawaan atau cara hidup Rasulullah SAW sama ada melalui percakapan, perbuatan mahupun perakuan.

5.  Menerusi sunnah, orang beriman dapat memahami asas ibadah yang diterangkan dalam al-Quran serta dalam bidang-bidang lain yang diperlihatkan oleh Rasulullah SAW seperti muamalah, jinayat, akhlak, pentadbiran dan lain-lain.

Sunday, September 24, 2023

Kelebihan Berselawat Ke Atas Nabi SAW

Ahad, 8 Rabiulawal 1445H: Keutamaan Orang Berselawat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مَسْعُودٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُ النَّاسِ عَلَيَّ صَلاةً

Daripada Abdullah Bin Masoud berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang paling utama bersamaku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku. (HR at-Tabrani No: 9679) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW adalah amalan yang dituntut.

2.  Mukmin yang paling utama akan bersama Rasulullah SAW pada hari kiamat nanti adalah yang paling banyak berselawat ke atas baginda.

3.  Orang yang berselawat keatas Nabi SAW, para malaikat juga akan berselawat keatasnya. Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun baginya. ‘Amir Bin Rabi’ah meriwayatkan,  Rasulullah SAW bersabda:

ما مِنْ عبدٍ يُصَلِّي علَيَّ إلَّا صَلَّتْ عليه الملائكةُ ما دامَ يُصَلِّي علَيَّ فلْيُقِلَّ العبدُ مِنْ ذلِكَ أوْ لِيُكْثِرْ

Tidaklah seseorang hamba berselawat kepadaku melainkan para malaikat sentiasa berselawat untuknya sebanyak mana dia berselawat kepadaku. Maka berselawatlah sama ada sedikit atau banyak. (at-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, 2/182, no. 1654. Ahmad, 24/457, no. 15689)


Saturday, September 23, 2023

Orang Menolak Syurga

Sabtu, 7 Rabiulawal 1445H:  Orang Yang Enggan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan, " Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?" Nabi menjawab: "Siapa yang taat kepadaku masuk syurga dan siapa yang mendurhakaiku dialah orang yang enggan." (HR Bukhari No: 6737) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap umat Nabi Muhammad SAW akan masuk ke syurga dengan syarat mentaati dan mengikuti apa yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala yang dilarang. 
  
2.  Taat dan patuh kepada Nabi SAW itu antaranya dengan mentauhidkan Allah serta istiqamah dalam melaksanakan syariat Allah seperti menunaikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan puasa Ramadhan, berbakti kepada kedua orang tua, menjaga dari perkara yang haram seperti perbuatan zina, minum yang memabukkan, serta melakukan perkara haram yang  lain.

3.  Orang yang enggan dan tidak mahu mentaati syariat yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah SAW adalah orang yang enggan untuk masuk syurga. Orang tersebut mencegah dirinya untuk masuk ke dalam syurga dengan melakukan amal keburukan dan meninggalkan syariat yang diwajibkan.

4.  Wajib bagi setiap muslim untuk mentaati segala perintah Allah, serta mengikuti Nabi Muhammad SAW dalam setiap syariat yang baginda bawa. Firman Allah: 

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya” (Al Hasyr: 7)


Friday, September 22, 2023

Perbanyakkan Selawat Ke Atas Nabi SAW

Jumaat, 6 Rabiul Awal 1445H: Tuntutan Perbanyakkan Selawat Untuk Nabi

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَة قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا} . قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ عَلِمْنَا السَّلَامَ فَكَيْفَ الصَّلَاةُ عَلَيْكَ "قُولُوا: اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ". وَكَانَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي لَيْلَى يَقُولُ: وَعَلَيْنَا مَعَهُمْ.

Daripada Ka'b ibnu Ujrah berkata, bahawa ketika ayat ini diturunkan : Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (Al-Ahzab: 56) Lalu kami bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui bagaimana cara mengucapkan salam penghormatan kepadamu. Maka bagaimanakah caranya mengucapkan selawat untukmu?" Rasulullah SAW. menjawab: Ucapkanlah, "Ya Allah, limpahkanlah selawat buat Muhammad dan keluarganya, sebagaimana telah Engkau limpahkan selawat buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mahamulia. Dan limpahkanlah berkah buat Muhammad dan keluarganya sebagaimana telah Engkau limpahkan berkah buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguh¬nya Engkau Maha Terpuji lagi Mahamulia.” Dan Abdur Rahman ibnu Abu Laila mengatakan, "Dan semoga dilimpahkan pula kepada kami disertakan dengan mereka." (HR Bukhari No: 2497) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang dituntut kepada setiap Mukmin.

2.  Abul Aliyah telah mengatakan bahawa yang dimaksud dengan selawat dari Allah ialah pujian-Nya kepada Nabi SAW. Selawat dari para malaikat ialah doa mereka untuknya.

3.  Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari Allah adalah rahmat-Nya, dan selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun bagi yang bersangkutan.

4.  Rasulullah SAW mengajarkan cara berselawat ke atas baginda. Seafdhal-afdhal selawat adalah selawat yang biasa dibaca semasa tasyahud akhir setiap solat (Mustika Hadis 1/259) atau yang dipanggil selawat Ibrahimi:

اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

5.  Setiap Mukmin dituntut berselawat setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW. Antaranya dengan lafaz:

–   صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ
Atau

–   عَلَيْهِ الصّلاَةُ وَالسَّلاَمُ

Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW. Abi Umamah berkata Rasulullah bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَإِنَّ صَلاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً

Banyakkanlah berselawat ke atasku di setiap hari Jumaat kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya ke atasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku. (Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 3/249, no. 5791) Status: Hadis Hasan


Thursday, September 21, 2023

Rasulullah SAW Penyelamat Umat

Khamis, 5 Rabiulawal 1445H: Rasulullah Penyelamat Umat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَتِ الدَّوَابُّ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهِ فَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya perumpamaan diriku dengan umatku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Ketika itu, binatang dan kelekatu berjatuhan ke dalamnya. Maka aku mencegah kalian, namun kalian melemparkan diri ke dalamnya. (HR Bukhari No: 6483) Status : Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW diutus untuk memberitahu manusia akan ancaman azab api Neraka yang menanti di Akhirat bagi mereka yang berbuat maksiat juga yang tidak beriman.

2.  Rasulullah SAW berusaha untuk menyelamatkan manusia dari menjadi ahli Neraka. Baginda SAW menyampaikan Islam sebagai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

3.  Imam An-Nawawi berkata: hadis ini membawa maksud bahawa Rasulullah SAW menggambarkan perbuatan orang jahil dan ingkar yang bergelumang dengan maksiat dan syahwat sebenarnya melemparkan diri ke dalam api Neraka, seperti kelekatu yang terbang ke dalam api kerana mengikut keinginan dan tidak mampu membezakan bahaya atau tidak, sedangkan Baginda SAW berusaha menghalang mereka dari terjatuh ke dalamnya.

4.  Teknik memberikan perumpamaan yang boleh digambarkan oleh akal, adakalanya diperlukan bagi menyampaikan dakwah dan menyedarkan jiwa umat.

5.  Jangan jadikan kita seperti kelekatu yang terhumban ke dalam api kerana tidak dapat membezakan antara bahaya dan bahagia. Ikutilah perintah dan larangan Rasulullah SAW yang sayang dan kasih kepada umatnya agar tidak terhumban ke dalam neraka.

6.  Jadikan diri kita pewaris tugas Rasulullah sebagai pendakwah untuk menyelamatkan diri kita dan orang lain daripada api neraka.

Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Berusahalah kita mencintai Rasulullah SAW dengan mencontohinya.


Wednesday, September 20, 2023

Kemanisan Iman

Rabu, 4 Rabiulawal 1445H: Kemanisan Iman

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Daripada Anas bin Malik dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya. Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. Dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka"(HR Bukhari No: 15) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tiga perkara jika dimiliki akan menjadikan seseorang mendapat kemanisan iman:

a.  Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari segala-galanya di dunia.

b.  Mencintai seseorang hanya kerana Allah.

c.  Tidak suka kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

2.  Mencintai Rasulullah SAW mewajibkan adanya penghormatan, ketundukan dan mengikuti serta mencontohi apa yang dilakukan oleh baginda (mengagungkan sunnahnya).

Allah berfirman:

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣١

“Katakanlah: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’” [Ali ‘Imran: 31]

Ibnu Katsir ketika menafsirkan ayat ini menyatakan: “Ayat ini adalah pemutus hukum bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah namun tidak mahu menempuh jalan yang dilalui Rasulullah SAW, maka orang itu dusta dalam pengakuannya sehinggalah ia mengikuti syariat dan agama yang dibawa Rasulullah SAW dalam semua ucapan dan perbuatannya.” 

3.  Di antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan mengamalkan Sunnahnya, menghidupkan, dan mengajak kaum Muslimin untuk mengamalkannya, serta berjuang membela As-Sunnah dari orang-orang yang mengingkari As-Sunnah dan melecehkannya. Termasuk cinta kepada Nabi SAW adalah menolak dan mengingkari semua bentuk bid’ah yang menyesatkan.

4.  Mencintai seseorang adalah semata-mata kerana Allah. Ibnul Qayyim al-Jauziyyah berkata: “Setiap kecintaan dan pengagungan kepada manusia hanya dibolehkan dalam rangka mengikuti kecintaan dan pengagungan kepada Allah. Mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW  adalah penyempurnaan kecintaan dan pengagungan kepada Allah”.

Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Marilah kita menunjukkan kecintaan kepada Nabi SAW.


Monday, September 18, 2023

Percintaan Yana Agong

Isnin, 2 Rabiul Awal 1445H: Mencintai Rasulullah SAW

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ  أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak sempurna keimanan seseorang dari kalian sampai ia mencintai aku melebihi kedua orang tuanya dan anaknya.” (HR Bukhari No: 13) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW memulakan dengan sumpah “Demi Dzat yang jiwaku berada ditangan-Nya”, menunjukkan apa yang akan disampaikan oleh baginda adalah suatu yang amat penting.

2.  Pesanan penting tersebut ialah tentang syarat kesempurnaan iman pada seseorang, dengan mencintai Rasulullah SAW melebihi kasih dan sayang kita kepada ibu bapa serta anak-anak.

3.  Cinta kepada ibu bapa melahirkan rasa hormat serta kesanggupan kita untuk berbakti kepadanya. Cinta kepada anak dengan cara kita memenuhi permintaannya. Sementara cinta kepada Rasulullah SAW mesti lebih hebat daripada itu.

4.  Jika cinta kepada ibu bapa kerana ia telah melahirkan, mendidik, membesarkan juga memberi nafkah kepada kita, cinta kepada Rasulullah SAW kerana ia telah menyampaikan petunjuk dan menyelamatkan kita dari kesesatan.

5.  Cinta kepada Rasulullah SAW melebihi kecintaan kepada orang tua dengan cara mengagungkan serta mentaati perintah Rasulullah SAW, mencontohi dan melaksanakan sunnah yang ditunjukkan oleh baginda mesti diutamakan. 

Kita telah memasuki bulan Rabiul Awal, mengingatkan kita bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Mari kita memperlihatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW melebihi kecintaan terhadap ibu bapa serta anak-anak kita.

Saturday, September 16, 2023

Larangan Berbisik

Sabtu, 30 Safar 1445H: Larangan Berbisik 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا كُنْتُمْ ثَلاَثَةً فَلاَ يَتَنَاجَى رَجُلاَنِ دُونَ الآخَرِ حَتَّى تَخْتَلِطُوا بِالنَّاسِ أَجْلَ أَنْ يُحْزِنَهُ

Daripada Abdullah RA, Rasulullah SAW bersabda : Jika kamu bertiga, maka janganlah dua orang berbisik antara keduanya tanpa menyertakan orang yang ketiga, hingga kamu melibatkan dengan manusia lain (orang yang ketiga). Kerana (perkara) itu boleh membuatnya sedih (menyinggung perasaannya). (HR Bukhari No: 6290) Status : Hadis Sahih 

Pengajaran : 

1.  Islam sangat mengambil berat dalam hal adab menjaga keharmonian masyarakat. 

2.  Rasulullah SAW melarang kita berbisik berdua sedangkan pada masa tersebut ada orang lain di sisi kita hingga mendatangkan kesedihan kepadanya. Sikap ini akan melahirkan perasaan negatif, menimbulkan perasangka buruk serta bibit kebencian yang mengeruhkan perhubungan. 

3.  Firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadilah, ayat 10 : 

إِنَّمَا ٱلنَّجۡوَىٰ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ لِيَحۡزُنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ

Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita.

4.  Selemah-lemah tahap ukhuwah adalah bersangka baik dan berlapang dada. Apabila dua orang berbisik tanpa yang ketiga, termasuk berbicara menggunakan bahasa yang tidak difahami oleh orang ketiga, ia akan menimbulkan sangkaan-sangkaan yang buruk dan boleh menjejaskan ukhuwah. 


Friday, September 15, 2023

Menjaga Hak Sesama Muslim

Jumaat, 29 Safar 1445H:Menjaga Hak Sesama Muslim

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة

Bahawa Abdullah bin Umar RA mengkhabarkannya Rasulullah SAW  bersabda: Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan membiarkan muslim lain dianiaya. Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutup aib seorang muslim di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat. (HR Bukhari No: 2262) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain

2.  Sebagai orang Islam, perlu menjaga hak orang Islam yang lain antaranya:

a.  Tidak boleh berlaku zalim atau menganiaya ke atas orang Islam yang lain

b.  Tidak boleh membiarkan orang Islam yang lain di zalimi

3.  Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah akan memperkenankan hajatnya.

4.  Orang Islam yang melapangkan kesempitan orang Islam yang lain semasa di dunia, Allah akan melapangkan dan mempermudahkan kehidupannya di hari kiamat.

5.  Orang yang menutup kekurangan, aib atau keburukan Muslim yang lain semasa di dunia, nescaya Allah akan menutup aib dan kekurangannya semasa di akhirat kelak.

6.  Menurut Al-Qadhi Iyadh dalam Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim (16/360): “Ditutupnya aib si hamba pada hari kiamat berkemungkinan 2 keadaan:

a.  Allah SWT akan menutup maksiat dan aibnya dengan cara tidak mengumumkannya kepada manusia di padang mahsyar.

b.  Allah SWT tidak akan menghisab aibnya dan tidak akan menyebut aibnya tersebut.”

Setiap kita perlu berhati-hati terutama dalam penggunaan media sosial. Mudahnya  membuka aib,  membuat fitnah dengan menzalimi terhadap individu  tertentu. Sama-samalah kita memelihara hak saudara Islam kita yang lain.


Thursday, September 14, 2023

Berinteraksi Dan Bersabar Dengan Manusia

Khamis, 28 Safar 1445H: Berinteraksi Dan Bersabar Dengan Manusia

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ الَّذِي يُخَالِطُ النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنْ الْمُؤْمِنِ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ

Dari Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda: Seorang mukmin yang bercampur (berinteraksi) dengan manusia dan bersabar atas perbuatan buruk mereka lebih besar ganjaran untuknya dari mereka yang tidak bercampur (berinteraksi) dengan manusia dan tidak bersabar atas perbuatan buruk mereka." (HR Ibnu Majah No: 4022) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kewujudan kita di tengah-tengah masyarakat Islam dan bukan Islam atau masyarakat yang tidak menghayati Islam adalah suatu yang dipuji. Kehadirannya menjadi sumber peluang bagi memperoleh kebaikan yang banyak bagi sesiapa yang bersifat positif dan mahu meraihnya.

2.  Keberadaan muslim dalam kelompok manusia merupakan peluang untuk menyampaikan dakwah, menjadi pengislah kepada kejahilan dan kejahatan. Melaksanakan tugas amar makruf nahi mungkar memerlukan kesabaran.

3.  Berada di tengah-tengah kelompok manusia yang pelbagai, bermakna satu anjuran untuk melakukan engagement dengan semua golongan dan kaum sama ada Islam mahupun bukan Islam. Dalam melakukannya, pastilah akan menghadapi pelbagai kerenah, amalan buruk dan kesulitan.

4.  Muslim yang ingin ganjaran besar di sisi Allah ketika berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam atau pelaku maksiat berpeluang berdakwah dengan menasihat, menegur, membimbing dan memimpin mereka melalui sifat RAHMAH bukan kebencian dan permusuhan.

5.  Bersabar menghadapi pelbagai ragam kelompok semasa bergaul dan  engagement dilakukan akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah.

6.  Mereka yang memilih untuk berada di luar dari tengah-tengah manusia atau di tengah-tengah keburukan manusia  tidak seharusnya merasa dirinya lebih suci daripada mereka yang berada di tengah-tengah manusia dan kejahatan.

7.  Penting bagi setiap Muslim untuk mempertingkatkan amal-amal peribadinya secara konsisten agar menjadi contoh kepada orang lain dan menjadi benteng terpengaruh dengan kejahatan juga keburukan mereka.

Wednesday, September 13, 2023

Akhlak Seseorang Bergantung Akhlak Temannya

Rabu, 27 Safar 1445H: Akhlak Seseorang Bergantung Akhlak Temannya

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Seorang laki-laki itu bergantung dengan agama teman pergaulannya (sahabat rapat), maka hendaklah salah seorang melihat siapa yang menjadi teman pergaulan (Sunan Abu Daud No: 4193) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

a.  Keperibadian seseorang berkait rapat dengan kebiasaan teman atau sahabat baik yang ia sering bergaul (tingkah lakunya sering dipengaruhi oleh  tingkah laku dan gaya hidup teman rapatnya) .

b.  Setiap ibu bapa perlu meneliti akhlak dan peribadi teman rapat anaknya. Jika teman pergaulan anaknya berakhlak buruk, perlu segera dijauhi.

c.  Larangan bergaul dengan individu dalam masyarakat mencakupi pelaku dosa besar, bersahabat dengan mereka akan mendatangkan kemudaratan pada agama.

d.  Carilah teman rapat yang Soleh. Kata Imam Ahmad Ibn Hanbal:

وَإِخْوَانُهُ الأَدْنُونَ كُلُّ مُوَفِّقِ   بَصِيرَةٍ بِأَمْرِ اللهِ يَسْمُو إِلَى الْعُلاَ

“Saudara yang dekat dengannya adalah setiap orang yang (menjadi sahabat kita, yang dengan sebab dia, kita) beroleh taufik, (dengan sebab kita berkawan dengan dia, kita dapat) memahami perintah Allah serta (dengan sebab dia, kita) suka kepada hal-hal yang meninggikan darjat (di sisi Allah)” 


Tuesday, September 12, 2023

Bergaul Dengan Orang Soleh

Selasa, 26 Safar 1445H: Bergaul Dengan Orang Soleh

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُصَاحِبْ إِلَّا مُؤْمِنًا وَلَا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلَّا تَقِيٌّ

Daripada Abu Sa'id RA ia mendengar Rasulullah SAW  bersabda: "Janganlah berteman kecuali dengan orang mukmin dan jangan ada yang memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa." (Sunan Tirmizi No: 2318) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Bergaullah dengan mereka yang beriman dan berakhlak mulia.

2.  Syarah Sunan Abi Daud menjelaskan: Tabiat atau kebiasaan itu adalah sesuatu yang dicuri (diambil) dari orang lain (dibimbangi bila bergaul dengan orang yang tidak berakhlak akan menyebabkan seseorang meniru akhlak buruk tersebut).

3.  Berilah makan kepada orang-orang yang soleh dan bertakwa.

4.  Al-Khathabi menyatakan: Larangan memakan makanan kecuali orang yang bertakwa hanya berlaku pada makanan undangan bukan makanan kerana keperluan  (kita disuruh membantu kepada sesiapapun lebih-lebih lagi kepada yang memerlukan termasuk non muslim juga binatang).

Monday, September 11, 2023

Agama Itu Nasihat

Isnin, 25 Safar 1445H: Agama Itu Nasihat

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْم الدَّارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ   وَسَلَّمَ قَالَ : الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ . قُلْنَا لِمَنْ  قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ

Daripada Abu Ruqayyah Tamim Ad-Daary RA, bahawasanya Nabi SAW  bersabda, “Agama itu nasihat”. Kami pun bertanya, “Untuk siapa (nasihat itu)?”. Baginda menjawab, “Nasihat itu adalah untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, Imam-imam kaum muslimin dan seluruh muslimin (rakyatnya)”. (HR Muslim No: 50) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Agama ini terletak pada  nasihat menasihati kerana dengan nasihat akan menjadikan seseorang menunaikan hak-hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan rakyat.

2.  Ibnu Mubarak pernah ditanya : Amal apakah yang paling utama? Beliau menjawab: Memberi nasihat kerana Allah. 

3.  Nasihat untuk Allah bermaksud beriman kepada Allah dengan mentauhidkan Allah, menunaikan hak-hak Allah sama ada hak yang wajib mahupun yang sunat. Ikhlas dalam beramal, menjauhi maksiat dan berjihad dijalanNya.

4.  Nasihat untuk kitab-Nya bermaksud menunaikan hak Al-Quran: hak untuk dipelajari, dibaca, dijadikan sebagai petunjuk dan hidayah dengan membenarkan beritanya dan melaksanakan perintahnya.

5.  Nasihat untuk Rasul bermaksud dengan cara membenarkan ajarannya, mengimani semua yang dibawa, mencintai dan mencontohi akhlaknya, berselawat serta menghidupkan sunnahnya, mentaati perintah dan larangannya, melawan para musuhnya, membela para pengikutnya, menghormati hak-haknya, memuliakannya, mengikuti seruannya juga menyebarluaskan sunahnya.

6.  Nasihat untuk imam kaum muslimin dengan cara menolong dan mentaati pemimpin dan pemerintah  dalam perkara kebenaran dan keadilan, patuh kepada mereka dalam urusan kebaikan, menegur dan mengingati mereka dikala mereka lalai dari kewajipan dengan penuh hikmah.

7.  Nasihat untuk kaum Muslimin dengan memberikan bimbingan kepada mereka apa yang dapat memberikan kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat, memimpin mereka, memberikan bantuan kepada mereka, menutup aib dan cacat mereka, menghindarkan diri dari hal-hal yang membahayakan dan mengusahakan kebaikan bagi mereka, menyuruh mereka berbuat makruf dan mencegah mereka berbuat kemungkaran. Mengasihi mereka, memuliakan yang tua dan menyayangi yang muda, memberikan nasihat kepada mereka, menjauhi kebencian dan kedengkian, melindungi harta dan kehormatan mereka baik dengan ucapan mahupun perbuatan.

Semoga agama menjadi penasihat dan peringatan kepada kita untuk saling nasihat menasihati, ingat mengingati agar menjadi Muslim yang menunaikan hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan Rakyat. 

Sunday, September 10, 2023

Syirik Kecil

Ahad, 24 Safar 1445H: Syirik Kecil

عَنْ مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً

Daripada Mahmud bin Labid Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil. Para Sahabat bertanya : apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah. Nabi saw bersabda : Itulah Riya’. Allah SWT akan befirman pada hari kiamat kelak : pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalam kamu).” HR Ahmad No: 23630. Status: Sanad Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syirik kecil merupakan perkara yang perlu dijauhi kerana ia menghilangkan segala pahala amal soleh yang dilakukan.

2.  Rasulullah SAW bimbang umatnya akan terjerumus dengan Syirik kecil iaitu Riya’.

3.  Riya’ adalah perbuatan seseorang  menunjukkan amal untuk dilihat, disebut atau disanjung oleh manusia lain. Di hari kiamat nanti, orang yang riya’ dalam beramal akan diminta untuk menuntut ganjaran daripada manusia yang ingin disanjung atau disebut.

4.  Riya’ boleh berlaku pada agama, tubuh badan, percakapan mahupun amalan seseorang, contohnya:
a.  Riya’ pada agama dan tubuh badan dengan menzahirkan kekurusan dan berpakaian lusuh supaya orang menganggapnya bersungguh melakukan ibadah serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat
b.  Riya’ pada percakapan dengan memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang Islam ataupun berzikir kuat di hadapan orang ramai.
c.  Riya’ pada amalan seperti menzahirkan qiam dan ruku’ yang lama ketika bersolat di hadapan orang ramai.

5.  Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang yang menangis dalam sujud di masjid beliau berkata :”Hai kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah.”

6.  Berusahalah melaksanakan ibadah dengan ikhlas dan bermujahadah melawan sifat riya’ yang datang dalam diri. Jika ibadah tersebut ada pilihan, maka lebih baik dilakukan secara sembunyi seperti bersedekah tidak secara terang-terangan.

7.  Berdoalah agar dijauhi perbuatan syirik.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syirik yang aku sedari. Dan, aku memohon ampun kepada-Mu atas dosa-dosa yang tidak aku ketahui.


Saturday, September 9, 2023

Kebaikan Dan Dosa

Sabtu  23 Safar 1445H: Kebaikan dan Dosa

عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سِمْعَانَ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ: سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ فَقَالَ: الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ.

Daripada an-Nawwas bin Sim‘an al-Ansari RA, beliau berkata: "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang erti kebaikan dan dosa." Maka Rasulullah SAW bersabda: “Kebaikan adalah berakhlak yang mulia. Manakala dosa adalah sesuatu yang mengelisahkan hatimu (ketika dosa tersebut dilakukan, hati gementar dan bimbang) serta kamu tidak suka orang lain mengetahuinya." (HR Muslim, No: 2553) Status: Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Fitrah manusia sukakan kebaikan juga inginkan kebaikan. Kebaikan itu adalah akhlak yang baik. 

2.  Akhlak yang baik terhasil daripada ketaatan kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

3.  Hati yang tenang adalah jiwa yang memiliki nur (cahaya) sehingga dapat membezakan antara perkara yang benar dan salah, perkara yang jujur dan yang bohong, perkara yang terpuji dan tercela, kerana itulah petunjuk yang datang daripada jiwa seseorang yang sentiasa melakukan kebaikan. Sabda Nabi SAW:

الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ

Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu. (HR Ahmad No:18006)

4.  Manusia yang fitrahnya suka melakukan kebaikan akan menyebabkan hati tenang. Manakala perkara dosa pula akan menggementarkan hati. Apabila melakukan dosa, hati akan sentiasa berada dalam keadaan ketakutan, berdebar-debar, resah gelisah, cemas, bimbang dilihat atau diketahui oleh orang lain.

5.  Pelaku dosa sentiasa bimbang dan tidak mahu jika perlakuan buruknya diketahui oleh orang lain.

Friday, September 8, 2023

Adab Menggunakan Media Sosial

Jumaat , 22 Safar 1445H: Adab Menggunakan Media Sosial

عَنْ حَفْصِ بْنِ عَاصِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Daripada Hafsh bin ‘Ashim, dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW baginda bersabda, “Cukup seseorang dikatakan dusta, jika dia menceritakan segala apa yang dia dengar (tanpa tabayyun).” (HR. Muslim no. 5). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dusta ialah memberitahu kepada orang ramai satu berita atau satu cerita yang tidak benar. Apabila dia membaca atau dia mendengar sesuatu maklumat, tanpa siasat dan tanpa bukti, dia terus menyampaikan kepada orang lain malah mungkin ada tambah menambah, bagi menyedapkan cerita.

2.  Setiap kita perlu berhati-hati sebelum kita menceritakan atau menyebar sesuatu maklumat yang diterima. Ambil sikap tawaqquf (diam hingga ada dalilnya) itu lebih baik dari berlumba-lumba menjadi orang pertama yang menyampaikan. 

3.  Imam Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim ketika menjelaskan hadis ini menyatakan: Seseorang boleh dikatakan berdusta, apabila segera menceritakan khabar yang diperolehi, kerana berita yang didengar boleh jadi ditokok tambah. 

4.  Media sosial hari ini sering menyebarkan maklumat yang berbeza daripada yang asal. Contohnya petikan ucapan, video atau gambar mungkin juga diedit dan disebarkan yang boleh menimbulkan kontrovesi. Lalu di olah dan diulas dengan gambaran yang berbeza daripada cerita asal  atau keseluruhan ucapan. Oleh sebab itu apa yang didengar atau sesuatu yang ditulis boleh jadi benar, boleh  jadi tidak. Jika seseorang menceritakan atau menyebarkan setiap apa yang ia dengar atau setiap apa yang di terima seperti menerusi whatsaap, telegram, FB dan sebagainya, maka ia telah berdusta kerana memberitakan sesuatu yang sebenarnya mungkin tidak terjadi atau tidak benar. Kalaupun benar mungkin boleh jatuh kepada mengumpat kerana sengaja membuka aib orang lain serta membuka ruang kepada maki hamun dalam komen nitezen.

Ingatlah Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya (tabayyun), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan (al-Hujurat: 6)

5.  Imam al-Syaukani berkata;“Yang dimaksudkan dengan ‘tabayyun’ adalah memeriksa dengan teliti, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sesuatu peristiwa dan khabar yang datang, sehingga menjadi jelas dan terang baginya.”

6.  Tidak semua berita yang benar itu boleh disebarluaskan jika ia boleh menimbulkan salah faham, keresahan juga kekacauan kepada masyarakat. Kata Abdullah bin Masud RA dalam Muqaddimah Sahih Muslim:  

مَا أَنْتَ بِمُحَدِّثٍ قَوْمًا حَدِيثًا لَا تَبْلُغُهُ عُقُولُهُمْ إِلَّا كَانَ لِبَعْضِهِمْ فِتْنَةً

“Tidak boleh engkau menceritakan (suatu berita) kepada sekelompok orang, berupa berita yang tidak boleh mereka fahami malah akan menjadi sumber kerusakan (keresahan atau kekacauan) kepada mereka.” 

7.  Berhati-hatilah apabila menyebar atau share sesuatu maklumat. Latihlah diri agar tidak terus share info yang diterima. Moga kita tidak menjadi pendusta. Justru diam itu lebih baik daripada menyebarkan berita palsu.


Thursday, September 7, 2023

Perbuatan Dosa

Khamis, 21 Safar 1445H: Perbuatan Dosa 

عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الْأُمَّهَاتِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنَعَ وَهَاتِ وَكَرِهَ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ

Daripada Al-Mughirah bin Syu'bah berkata; Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mengharamkan atas kalian durhaka kepada ibu, mengubur anak perempuan hidup-hidup,  mempercayai setiap khabar yang tidak tentu  sumbernya, banyak bertanya dan menyia-nyiakan harta (boros)". (HR Bukhari No: 2231) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah melarang setiap Muslim daripada melakukan perkara berikut:

1.  Mendurhakai ibu 

2.  Menanam anak perempuan hidup-hidup

3.  Mempercayai kepada khabar yang tidak pasti sumbernya (sama ada melalui lisan juga media sosial seperti FB, Twiter, Whatsapp, Telegram, Akhbar, TV dan lain-lain) lalu di sebarkan (forward). Awaslah daripada menjadi penyebar berita palsu.

4.  Banyak bertanya yang bertujuan untuk menguji atau mengadu domba

5.  Boros terhadap harta (tidak berjimat).

Marilah kita menjadi Muslim yang Rahmah dengan taat kepada kedua ibu dan bapa, mengasihi anak-anak dengan diberikan didikan dan asuhan, memastikan setiap berita yang sampai pada kita diselidiki terlebih dahulu kesahihannya sebelum mempercayai dan disebarkan, kurangkan bertanya yang bukan ikhlas untuk mendapatkan maklumat dan berjimat dalam membelanjakan harta.


Wednesday, September 6, 2023

Ghibah,Gosip Perbuatan Tercela

Rabu, 20 Safar 1445H: Ghibah, Gosip Perbuatan Tercela

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ قِيلَ أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ قَالَ إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah  SAW pernah bertanya: "Tahukah kamu, apakah ghibah (mengumpat) itu?" Para sahabat menjawab; Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Engkau menyebut sesuatu mengenai saudara kamu dengan perkara yang tidak disukainya." Baginda ditanya lagi, "Bagaimana pendapatmu jika apa yang ada pada saudaraku sesuai dengan yang aku katakan?" Baginda menjawab: "Jika apa yang engkau katakan itu memang benar-benar ada padanya maka engkau telah berbuat ghibah (mengumpat), namun jika tidak benar, maka engkau telah memfitnahnya." (HR Muslim No: 4690)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Perbuatan ghibah atau mengumpat atau gossip  adalah berdosa.

2.  Ghibah atau mengumpat adalah menceritakan sesuatu yang buruk yang ada pada diri orang lain. Sesuatu yang diceritakan mengenai orang lain itu mungkin berkaitan  tubuh badan seseorang, agamanya, dunia, diri, akhlak, harta, anak, orang tua, isteri, pembantu, pakaian, cara jalan, gerak-gerik, wajah atau segala hal yang berkaitan dengannya.

3.  Imam al-Ghazali mengatakan ghibah itu bermaksud: ‘…engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya, sekiranya sampai perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh badannya, keturunan, akhlak, perbuatan, perkataan, agama, atau dunianya hatta pakaian, rumah atau haiwannya..’. (Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)

4.  Ghibah atau Mengumpat atau Gossip boleh berlaku melalui lisan, tulisan, gambar atau melalui bahasa isyarat.

5.  Walaupun yang diperkatakan itu betul pada orang tersebut, ia adalah ghibah atau mengumpat yang diharamkan. Jika yang dibicarakan itu tidak benar, maka ia adalah fitnah.

6.  Dunia sosial hari ini mudah terdedah dengan mengumpat dan fitnah melalui media sosial sama ada melalui FB, Twitter, Whatsapp, Telegram dan sebagainya. Bila di post atau ditularkan, akhirnya ia mengundang komen dan umpatan netizen walaupun ia betul  atau boleh menjadi fitnah jika tidak benar.

Berhati-hatilah dalam pertuturan, penulisan dan perbuatan daripada perkara yang tidak benar, palsu, mencela, mengumpat, atau memfitnah.


Tuesday, September 5, 2023

Berhati-hati Dalam Berbicara

Selasa, 19 Safar 2023: Berhati-hati Dalam Berbicara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:  Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun. (HR Tirmizi No: 2314) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dalam menyampaikan berita, seseorang mesti bertanggungjawab dalam segala ucapan dan penyampaiannya sama ada secara lisan mahupun tulisan.  

2.  Al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa sebahagian manusia memandang remeh perkataan yang diucapkannya sehingga dia tidak menyangka perkataan tersebut menjadi penyebab kepada dia dihumban ke neraka. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 12/79).

3.  Setiap berita yang disampaikan mestilah benar serta tidak akan mengundang kepada keaiban dan pembohongan. Jangan sampai mengundang kemurkaan  Allah SWT dan berlaku kekacauan di dalam masyarakat. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ  لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم  بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ  لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ  وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).(Surah An-Nur, 11).

Al-Maraghi berkata: Allah SWT menerangkan hukuman yang menimpa ke atas orang yang ikut serta menyebarkan berita dusta; mereka semua akan mendapat hukuman yang setimpal dengan peranan yang dimainkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4730).

Moga kita sentiasa berhati-hati dalam menyebarkan sebarang maklumat termasuk di media sosial.


Monday, September 4, 2023

Bertakwa Walau Dimana Berada

Isnin, 18 Safar 1445H: Bertakwa Walau Dimana Berada

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Daripada Abu Zar RA beliau berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan ikutilah setiap (amalan) kejahatan dengan (amalan) kebaikan yang dapat menghapuskannya serta berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik." (HR Tirmizi, No: 1987) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Taqwa kepada Allah SWT merupakan kewajipan setiap Muslim dan menjadi benteng daripada melakukan kejahatan dan maksiat.

2. Taqwa menurut Imam At-Tabari adalah beriman dan melakukan ketaatan kepada Allah, meninggalkan perkara yang dilarang Allah dan melaksanakan perintah serta sangat waspada terhadap siksaan Allah jika meninggalkan petunjuk yang telah diketahui

3. Bersegeralah melakukan kebaikan setelah menyedari atau melakukan kejahatan atau maksiat. Antaranya beristighfar, bersedekah dan sebagainya.

4. Para ulama’ bersepakat bahawa kebaikan hanya dapat menghapuskan dosa-dosa kecil sahaja. Adapun dosa besar seperti derhaka kepada ibu bapa, membunuh, memakan riba, meminum arak dan selainnya tidak akan terhapus kecuali dengan taubat nasuhah.

5. Setiap Muslim hendaklah bersungguh-sungguh menjauhi amalan kejahatan dan memperbanyakkan amalan kebaikan serta menghias diri dengan akhlak terpuji.

Bertakwalah walau dimana kita berada.


Sunday, September 3, 2023

Memutuskan Ukhuwah Menjauhkan Rahmat

Ahad, 17 Safar 1445H: Memutuskan Ukhuwah Menjauhkan Rahmat

عَنْ هِشَامَ بْنَ عَامِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ مُسْلِمًا فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ فَإِنْ كَانَ تَصَارَمَا فَوْقَ ثَلَاثٍ فَإِنَّهُمَا نَاكِبَانِ عَنْ الْحَقِّ مَا دَامَا عَلَى صُرَامِهِمَا وَأَوَّلُهُمَا فَيْئًا فَسَبْقُهُ بِالْفَيْءِ كَفَّارَتُهُ فَإِنْ سَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ وَرَدَّ عَلَيْهِ سَلَامَهُ رَدَّتْ عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ وَرَدَّ عَلَى الْآخَرِ الشَّيْطَانُ فَإِنْ مَاتَا عَلَى صُرَامِهِمَا لَمْ يَجْتَمِعَا فِي الْجَنَّةِ أَبَدًا

Daripada Hisyam bin 'Amir berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal bagi seorang muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudara Muslim lebih dari tiga malam, jika mereka berdua saling mendiamkan lebih dari tiga malam tersebut, keduanya jauh dari kebenaran selama mereka berdua masih memutuskan hubungan. Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dari rasa marah (menyambung kembali hubungan ukhuwah), maka ia menjadi penebus dosanya. Jika (si 'A') memberi salam terhadap temannya (si 'B') namun tidak diterima, padahal (si 'A') masih mahu menjawab salamnya, maka (si 'A') akan dijawab oleh Malaikat, dan (si 'B') yang mendiamkan akan dijawab oleh syaitan. Jika mereka berdua meninggal dalam keadaan saling mendiamkan, maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya." (HR Ahmad No: 15668) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Seorang muslim tidak boleh memutuskan hubungan dengan saudara Muslimnya lebih dari tiga malam

2.  Jika kedua-dua Muslim yang berselisih, saling mendiamkan diri dengan tidak bertegur sapa lebih dari tiga malam, keduanya akan jauh dari kebenaran (Rahmat) selama mereka berdua masih memutuskan hubungan.

3.  Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dan segera menyambung kembali hubungan ukhuwah, maka ia akan menjadi penebus dosanya kerana memutuskan.

4.  Jika ia memberi salam kepada temannya namun tidak dijawab oleh temannya, maka ucapan salamnya akan dijawab oleh Malaikat, dan teman yang berdiam akan dijawab oleh syaitan. 

5.  Jika mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan saling mendiamkan diri (tidak mahu menghubungkan kembali ukhuwah), maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya. 

Saturday, September 2, 2023

Jujur & Dusta

Sabtu, 16 Safar 1445H: Jujur ke Syurga, Berdusta ke Neraka

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Daripada Abdullah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur hingga ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan menghantar kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan mengiringi ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta." (HR Bukhari No: 5629) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap Muslim dituntut memiliki sifat kejujuran dalam setiap amal dan perbuatan.

2. Orang yang jujur akan sentiasa melakukan kebaikan dan amal soleh.

3. Sifat jujur yang dimiliki secara berterusan akan menjadi tabiat kebiasaan yang akhirnya membentuk akhlak kepada seseorang

4. Sifat jujur akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang Muslim di dunia menjadi orang yang soleh dan menuju ke syurga.

5. Sifat dusta dan berbohong yang dimiliki akan mendorong seseorang kepada kejahatan.

6. Sifat dusta dan bohong yang menjadi kebiasaan secara berterusan kepada seseorang, akhirnya akan membentuk tabiat dan akhlak yang buruk.

7. Sifat dusta akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang ke neraka. Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ

Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepda orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta (Mukmin: 28).

Berusahalah memiliki sifat jujur dan jauhilah dusta dan bohong.


Friday, September 1, 2023

Saling Menyayangi

Jumaat, 15 Safar 1445H: Saling Menyayangi 

عن أبي موسى الأشعري أنه سمع النبي - صلى الله عليه وسلم - يقول : " لَنْ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَرْحَمُوا " . قَالُوا : يَا رَسُولُ الله  كُلُّنَا رَحِيم . قال : " إِنَّهُ لَيسَ بِرَحْمَةِ أَحَدِكُمْ صَاحِبَهُ  وَلَكِنَّهَا رَحْمَةَ النَّاسِ رَحْمَةَ الْعَامَّةِ 

Daripada Abi Musa al-Asyari, sesungguhnya aku mendengar Nabi SAW bersabda: Kamu tidak dianggap beriman sehingga kamu saling menyayangi. Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami semua adalah penyayang. Rasulullah SAW bersabda: Kasih sayang yang dimaksudkan bukanlah kasih sayang di antara kalian sahaja bahkan kasih sayang kepada seluruh manusia dan seluruh makhluk. (HR Tobrani No 13671) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1.  Sikap Prihatin, saling sayang menyayangi antara sesama makhluk berkait rapat dengan Imannya kepada Allah.

2.  Tuntutan menyayangi bukan hanya kepada sesama Muslim malah kepada orang bukan Islam juga seluruh makhluk yang lain dengan memberi hak mereka sewajarnya.

3.  Sifat berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluk yang bernyawa. Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada binatang. Naluri kasih sayang selalu ada pada manusia seperti kasih sayang kepada orang tua, orang muda, kanak-kanak, serta sesama manusia.

4.  Menurut Ibnu Qayyim: Kasih sayang adalah sifat memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain dan bersedia bersusah payah mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan kepada orang lain. 

5.  Allah menyayangi orang yang menyayangi sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda:

إنما ير حم الله من عباده الرحماء

Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya) HR Bukhari