Friday, November 30, 2018

Jual Beli

Jumaat, 22 Rabiulawal 1440H: Daripada Jabir RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Allah memberi rahmat kepada orang yang bermurah hati ketika berjual beli dan ketika meminta haknya”.

(Hadith Sahih Riwayat Al-Bukhari)

Huraian Hadith:

1.Allah memberi rahmat kepada mereka yang suka bertolak-ansur dalam semua perkara terutama dalam berjual beli.
2.Berlemah lembut, bermanis muka dan berlebih kurang semasa menagih hutang adalah antara sifat yang dipuji oleh Islam.

Wednesday, November 28, 2018

Beberapa Nama Rasulullah SAW

Rabu, 20 Rabiulawal 1440H: Dari Muhammad bin Jubair bin Muth'im, dari bapanya r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Aku mempunyai beberapa nama:
(1) Aku bernama Muhammad.
(2) Aku bernama Ahmad
(3) Aku bernama Al Mahi (penumpas), di mana Allah menumpas kekafiran keranaku.
(4) Aku bernama Al Hasyir (pengumpul) di mana Allah swt. mengumpulkan manusia atas risalahku.
(5) Dan aku bernama Al 'Aqib (penutup), di mana tidak ada seorang jua pun lagi Nabi sesudahku.
(6)Dan sesungguhnya, juga aku oleh Allah diberi nama Ra'uf (penyantun)
(7)Dan Rahim (penyayang)."


Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2168.

Monday, November 26, 2018

Ilmu Agama Akan Hilang

Isnin, 18 Rabiulawal 1440H: Dari Urwah r.a. katanya: Abdullah bin Umar naik haji bersama dengan kami, dan kami dengar dia berkata: Saya mendengar Nabi saw. bersabda:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengambil (menghilangkan) ilmu sekaligus sesudah diberikanNya, melainkan mengambil itu dengan mengambil (mewafatkan) ahli ilmu (Ulama) bersama ilmunya.

Maka tinggallah orang-orang bodoh. Mereka diminta fatwanya, lalu mereka berfatwa menurut kemahuan sendiri. Sebab itu, mereka menyesatkan dan sesat."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1964.

Friday, November 23, 2018

Keberkatan Membaca Bismillah

Jumaat, 15 Rabiulawal 1440H: Daripada Aishah RA katanya, “Rasulullah SAW menghadapi hidangan bersama enam orang sahabat Baginda, tiba-tiba datang seorang arab (badwi) lalu makan makanan tersebut dengan dua kali suapan sahaja.

Lalu Baginda bersabda, “Sekiranya orang itu membaca Bismillah sebelum ia makan nescaya makanan itu mencukupi untuk semua (ada keberkatannya pada makanan tersebut).”
 

(Hadith Riwayat at-Tirmizi, katanya hadith hasan sahih)

 Huraian Hadith:

1.Islam menggalakkan umatnya makan secara berjemaah.

2.Setiap makanan yang dimakan bersama akan diberkati, tambahan pula apabila membaca Bismillah

Friday, November 16, 2018

Kelebihan Menuntut Ilmu

Jumaat, 8 Rabiulawal 1440H: Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah memudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke Syurga”.

(Hadith Riwayat Muslim)

Huraian Hadith : 

1.Orang yang menuntut ilmu akan mendapat kemudahan dan pertolongan daripada Allah SWT, dan mendapat ganjaran Syurga di akhirat kelak.
2.Orang yang berilmu pengetahuan mempunyai kelebihan tertentu kerana ia dapat memberi petunjuk kepada kebaikan dan dapat membezakan yang hak dengan yang batil.
3.Orang yang menuntut ilmu akan dapat memberi faedah kebaikan pada dirinya, masyarakat dan negara.

Monday, November 12, 2018

Enam Hak Seorang Muslim

Isnin, 4 Rabiulawal 1440H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Hak seorang muslim terhadap seorang muslim enam perkara." 

Lalu beliau ditanya orang, "Apa yang enam perkara itu, ya Rasulullah?" 

Jawab beliau,
(1) Bila engkau bertemu dengannya, ucapkanlah Salam kepadanya.
(2) Bila dia mengundangmu, penuhilah undangannya.
(3) Bila dia minta nasihat, berilah dia nasihat.
(4) Bila dia bersin lalu dia membaca tahmid, doakanlah semoga dia beroleh rahmat.
(5) Bila dia sakit, kunjungilah dia.
(6) Dan bila dia meninggal, ikutlah mengantar jenazahnya ke kubur."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2025.

Thursday, November 8, 2018

Mimpi Buruk

Khamis, 30 Safar 1440H: Dari Abu Qatadah r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda: 

"Mimpi yang baik dari Tuhan, dan mimpi buruk dari syaitan. 

Apabila seseorang di antara kamu memimpikan suatu mimpi yang menakutkannya, hendaklah ia meludah ke sebelah kirinya, dan mohon berlindung kepada Tuhan dari pada bahaya. 

Sesungguhnya dengan demikian, nescaya tiada akan membahayakan kepadanya".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1457.

Wednesday, November 7, 2018

Takutlah Berlaku Zalim & Bakhil

Rabu, 29 Safar 1440H: Dari Jabir bin 'Abdullah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda : 

'Takutlah kamu akan berbuat zalim. Kerana perbuatan zalim itu menyebabkan kegelapan kelak di hari kiamat. 

Dan takutlah kamu akan berlaku bakhil. Kerana berlaku bakhil itu telah membinasakan orang-orang yang sebelum kamu kerana telah menyebabkan mereka saling menumpahkan darah dan menyebabkan mereka melanggar larangan (segala yang diharamkan) Allah:'

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2209.

Thursday, November 1, 2018

Sebab Anak Beragama Yahudi & Nasrani

Khamis, 23 Safar 1440H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Setiap anak dilahirkan menurut fitrah (ciptaan asli). Kedua ibu bapanya yang menyebabkan anak itu beragama Yahudi dan Nasrani. 

Sebagaimana binatang ternak dilahirkan, adakah kamu dapati yang telah dipotong (dilubangi) hidungnya sehingga kamu tidak perlu lagi memotongnya (melubanginya)?" 

Mereka bertanya lagi: "Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat engkau tentang anak yang meninggal di waktu kecil?" 

Jawab Nabi: "Allah lebih mengetahui apa yang mereka kerjakan."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1779.