Thursday, June 28, 2018

Siapa Yang Percaya Allah & Hari Akhirat

Khamis, 14 Syawal 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang percaya kepada Allah dan hari akhirat, maka ucapkanlah kata-kata yang baik-baik, atau diam saja.

Siapa yang percaya kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah ia menyakiti tetangganya.

Siapa yang percaya kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya."

Hadis Sahih Bukhari & Muslim

Wednesday, June 27, 2018

Makanlah Makanan Yang Baik & Halal

Dari Abu Hurairah r.a., katanya "Rasulullah saw. bersabda : "Hai, manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik pula. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul,

Firman-Nya: "Wahai, para Rasul! Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al Mukminun : 51)

"Wahai, orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu.. " (Al Baqarah : 172)

Kemudian Nabi saw. menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya. Sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu.

Orang itu menadahkan tangannya ke langit seraya mendoa: "Wahai, Tuhan ku! Wahai, Tuhanku!"
Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram, dan dia diasuh dengan makanan yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?"

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0971.

Tuesday, June 26, 2018

Kewajiban Haji

Selasa, 12 Syawal 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah saw. bersabda kepada kami dalam suatu pengajian, sabdanya: "Hai manusia! Allah telah mewajibkan kepada mu ibadah haji; kerana itu hajilah kamu semua."

Lalu bertanya seorang lelaki, "Apakah setiap tahun, ya Rasulullah?"

Beliau diam beberapa ketika, sehingga orang itu bertanya sampai tiga kali.

Kemudian beliau menjawab, "Seandainya ku katakan ya, tentulah wajib kamu tunaikan setiap tahun; nescaya kau tidak akan sanggup melaksanakannya. Kerana itu biarkanlah untuk sementara masalah yang belum ku jelaskan.

Sesungguhnya orang-orang yang sebelum engkau mendapat celaka kerana mereka banyak tanya dan suka mendebat para Nabi mereka.

Kerana itu bila ku perintahkan kamu mengerjakan sesuatu, laksanakanlah seboleh-bolehnya, dan apabila ku larang kamu mengerjakan sesuatu, hentikanlah segera."

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1275.

Monday, June 25, 2018

Bertetamu Itu Tiga Hari

Isnin, 11 Syawal 1439H: Dari Abu Syuraih Al Khiza'iy r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Bertetamu itu tiga hari; dan selebihnya siang maupun malam. Tidak halal bagi seorang muslim menetap di rumah saudaranya, sehingga saudaranya itu berdosa kerananya.
Tanya para sahabat, "Bagaimana caranya dia berdosa?"

Jawab beliau, "Orang itu menetap tinggal di rumah saudaranya, padahal saudaranya itu tidak punya apa-apa lagi yang akan dijamukannya.

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1711.

Thursday, June 21, 2018

Memenuhi Undangan

Khamis, 7 Syawal 1439H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya Nabi saw. bersabda: 

"Apabila seorang saudara mu mengundang kamu menghadiri suatu jamuan, hendaklah diperkenankan, baik undangan itu jamuan perkahwinan atau sebagainya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1361.

Tuesday, June 12, 2018

Beribadah Di Bulan Ramadhan & Di Malam Lailatul Qadar

Dari Yahya ibnu Katsir dari Abu Salamah dari Abu Hurairah katanya: "Telah bersabda Rasulullah: "Barangsiapa yang beribadah malam di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan berharap pahala dari Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.

Dan barangsiapa yang beribadah malam di malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan berharap pahala dari Allah, maka dia akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2173.

Monday, June 11, 2018

Zakat Fitrah

Isnin, 26 Ramadhan 1439H: Daripada Ibn ‘Abbas RA berkata: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa daripada perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk serta untuk menjadi makanan kepada orang-orang miskin. Oleh sebab itu, sesiapa yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka jadilah ia zakat fitrah yang diterima. Sesiapa yang menunaikannya sesudah solat hari raya maka jadilah ia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain.”

 (Hadith riwayat Abu Daud, No.1609, Ibn Majah, No. 1827, al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, No. 7513, al-Daruqutni dalam sunannya, No. 2042)

Pengajaran Hadith :

1.Zakat daripada sudut bahasa adalah keberkatan, kesucian, kebaikan dan berkembang. Dinamakan zakat kerana ia dapat mengembangkan harta yang telah dikeluarkan zakatnya dan menjauhkannya daripada segala kerosakan dan kebinasaan.

2.Antara hikmah disyariatkan zakat ialah, pengurusannya mampu memperbaik kedudukan masyarakat dari sudut moral dan material di mana ia dapat menyatukan anggota masyarakat sehingga menjadi seolah-olah satu tubuh.

 3.Selain dari itu, ia juga dapat membersihkan jiwa dari sifat kedekut dan bakhil. Ia juga merupakan benteng keamanan dalam sistem ekonomi Islam dan jaminan ke arah kestabilan dan kesinambungannya.

4.Sesiapa yang mengingkari kewajipan zakat, bererti orang tersebut terkeluar dari agama Islam dan dia hendaklah diminta supaya bertaubat. 

5.Adapun orang yang enggan membayar zakat tetapi masih tetap mengakui kewajipannya, maka dia berdosa kerana tindakannya itu. Walau bagaimanapun dia tidaklah sampai terkeluar dari agama Islam. Oleh yang demikian, pemerintah wajib mengambil zakat hartanya secara paksa sekaligus menjatuhkan hukuman takzir (pengajaran).

Friday, June 8, 2018

Tanda- Tanda Malam Qadar


Jumaat, 21 Ramadhan 1439H: Diceritakan oleh Abu Salamah r.a., katanya: "Aku datang bertanya kepada Abu Sa'id Al Khudri,tanyaku: "Tidakkah lebih baik kita pergi ke Nakhl supaya kita dapat bercakap-cakap di sana?" 

Lalu kami pergi ke sana. Aku berkata kepadanya, "Ceritakanlah kepada ku, apa yang telah tuan dengar dari Nabi saw. tentang Malam Qadar" 

Katanya, "Rasulullah sedang iktikaf sepuluh hari pertama bulan Ramadhan. Kami pun iktikaf pula bersama-sama dengan beliau. Maka datanglah malaikat Jibril mengatakan, "Yang tuan inginkan itu (malam qadar) belum datang." 

Nabi saw. meneruskan lagi iktikaf beliau pada sepuluh hari pertengahan bulan. Kami pun iktikaf pula bersama-sama dengan beliau. Lalu datang pula malaikat Jibril mengatakan: "Yang tuan inginkan belum datang. "Keesokan pagi dari malam kedua puluh bulan Ramadhan, Nabi saw. berpidato. 

Sabda beliau: "Barangsiapa iktikaf bersama-sama dengan ku, hendaklah diteruskannya, kerana kepada ku telah diperlihatkan Malam Qadar itu, tetapi aku lupa tanggalnya. Malam qadar itu ialah dalam sepuluh yang akhir (Ramadhan) di bilangan ganjil. 

Saya bermimpi seolah-olah saya sujud di tanah basah." Atap masjid terbuat dari pelepah kurma. Di langit, kami tidak melihat awan sedikit pun. Tetapi tidak lama kemudian, datanglah awan gelap dan hujan pun turun dengan lebatnya. Kami solat bersama-sama dengan Nabi saw. dan kami melihat tanah dan air melekat di kening dan di puncak hidung Nabi, sesuai benar dengan mimpi beliau. "

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0446.


Thursday, June 7, 2018

Malam Qadar Itu Malam ke 9,7 & 5.

Diceritakan oleh Ubadah bin Shamit r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. keluar hendak mengkhabarkan tentang terjadinya Malam qadar. (Kebetulan) beliau bertemu dengan dua orang laki-laki muslim sedang berbantah.

Maka Nabi bersabda, "Saya keluar hendak mengkhabarkan tentang terjadinya Malam qadar; kebetulan saya melihat dua orang sedang berbantah, maka aku jadi lupa. Mudah-mudahan kelupaan itu berguna untuk anda sekalian.

Carilah Malam qadar itu di malam ketujuh, kesembilan dan kelima."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0041.

Wednesday, June 6, 2018

Lailatul-Qadar Malam Sepuluh Akhir & Malam Ke-27

Rabu, 21 Ramadhan 1439H: Ibnu Abi Umar ceritakan kepada kami, Sufyan menceritakan kepada kami dari Allah bin Abi Lubabah dan Ashim yang mendengar Zirr bin Hubaisy berkata:

"Barang siapa melakukan ibadah sesaat setiap malam selama satu tahun, tentu dia memperoleh Lailatul-Qadar.

Ubai berkata: "Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa Abu Abdur Rahman sesungguhnya dia telah mengetahui bahawa Lailatul-Qadar adalah pada sepuluh akhir dari bulan Ramadhan dan sesungguhnya Lailatul-Qadar adalah malam dua puluh tujuh bulan Ramadhan tetapi dia menghendaki agar manusia tidak berpegang kepada perkiraan itu kemudian Ubai bersumpah yang pasti bahawa Lailatul-Qadar adalah. malam dua puluh tujuh bulan Ramadhan".

Ziir berkata kepada Ubai: "Dengan dasar apa kamu berkata demikian hai Abal-Mundair?"

Dia berkata: "Dengan dasar tanda yang diberitahukan Rasulullah SAW kepada kita iaitu bahawa matahari pada waktu itu terbit tanpa ada cahaya".

Hadis ini adalah hadis Hasan Sahih.Hadis Sunan At-Termizi Jilid 5. Hadis Nombor 3409.

Tuesday, June 5, 2018

Beribadah Di Malam Lailatul Qadar

Selasa, 20 Ramadhan 1439H: Dari Zuhri katanya: "Aku telah diberitahu oleh 'Urwah ibnu Zubair bahawasanya Aisyah pernah berkata: "Pada suatu malam di bulan Ramadhan Rasulullah saw mengerjakan solat malam berjamaah di masjid."

Dan seterusnya kata Aisyah: "Nabi hanya menanjurkan sahabat-sahabatnya untuk gemar beribadah di malam hari di bulan Ramadhan, dan anjurannya itu tidak bersifat perintah, kerana itu beliau bersabda: "Barangsiapa yang beribadah di malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan berharap pahala dari Allah, maka dia akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu".

Kata 'Urwah: "Demikianlah keadaan itu terus berlangsung hingga Rasulullah saw pulang ke rahmatullah".

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2161.

Monday, June 4, 2018

Aktiviti Rasulullah saw Menjelang 10 Ramadhan

Isnin, 19 Ramadhan 1349H: Dari Aisyah RA berkata "Apabila menjelang 10 hari (yang akhir daripada bulan Ramadan), Rasulullah menghidupkan malam-malam Ramadan, mengejutkan ahli keluarganya bangun beribadah kepada ALLAH, lebih tekun beribadat, dan mengetatkan kain (tidak mendekati isteri-isteri Baginda dalam lingkungan masa tersebut)."

(Riwayat Muslim

Friday, June 1, 2018

Puasa Orang Bermusafir

Jumaat, 16 Ramadhan 1439H: Dari 'Urwah dari Abu Muraawih bahawasanya Hamzah bin Amru pernah berkata pada Rasulullah saw: "Wahai Rasulullah, aku masih mampu melakukan puasa dalam perjalananku, bolehku aku meneruskan puasaku?"

Sabda beliau: "Allah telah memberi izin bagi seorang musafir untuk membatalkan puasanya. Kerana itu siapa saja yang mahu meneruskan puasanya, maka hal itu dibolehkan, tetapi barangsiapa yang ingin membatalkan puasanya, maka hal itupun dibolehkan juga."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2264.