Wednesday, April 25, 2018

Memilih Pemimpin

Rabu, 9 Syaában 1439H: Mari kita meneliti pesanan Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar al-Ghifari yang datang memohon jawatan kepada Rasulullah s.a.w.;

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya: "Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ianya pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." ( Riwayat Muslim dalam Sahihnya, kitab al-Imarah..)

Dalam riwayat al-Imam Muslim yang lain : Daripada Abu Zar, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim.


Dalam hadith ini Rasulullah SAW tidak memberikan jawatan sekalipun kepada Abu Zar, seorang sahabat yang sangat dikasihi baginda, apabila dilihat ciri-ciri kelayak tidak wujud sepenuh. Abu Zar adalah seorang sahabi yang soleh lagi warak dan zuhud. Namun begitu, amanah jawatan dan politik berhajat ciri-ciri yang yang lebih dari itu, yang bukan semua individu memilikinya. Justeru itu tidak semua sahabah layak mengendalikan urusan siyasah atau politik seperti al-Khulafa ar-Rasyidun. Demikian juga bukan semua mereka kuat agama boleh mengendalikan urusan politik.


Hadith ini juga menjelaskan besarnya tanggungjawab kepimpinan dan pengurusan di dalam Islam dan bukan sebarangan individu yang benar-benar mampu memikulnya. Justeru itu memberikannya kepada seseorang yang tidak memiliki keahlian atau kelayakan adalah punca kerosakan masyarakat dan umat. Kerosakan sistem masyarakat menatijahkan kerosakan individu keseluruhannya. Nabi SAW sering memberi amaran tentang kemusnahan hidup apabila amanah dikhianati.


Sabda Nabi SAW Maksudnya:  "Daripada Abu Hurairah dia berkata: “Ketika Nabi SAW di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badawi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah SAW meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan baginda tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, baginda bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badawi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat". ( Riwayat al-Bukhari.)


Firman Allah (maksudnya) :"Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia hendaklah kamu berhukum dengana `adil." ( Surah an-Nisa': ayat 58)


Kata al-Imam al-Qurtubi : "Ayat ini adalah pusat segala hukum-hakam yang mengandungi seluruh isi agama dan syara'." Katanya juga: "Yang sebenarnya ayat ini adalah umum untuk semua manusia, ianya menyentuh para pemerintah mengenai amanah yang mereka tanggung dalam membahagikan harta-harta, menolak segala kezaliman dan adil dalam pemerintahan. Demikian juga, ayat ini juga menyentuh golongan yang selain mereka.."   (Al-Jami` li Ahkam al-Quran, 5/256, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).


Itulah titah perintah Allah, agar posisi penting di dalam kepimpinan umat hanya diberikan kepada yang benar-benar layak menyendalikannya sehingga tidak berlakunya kepincangan, kecacatan dan kezaliman. Persoalan amanah merangkumi setiap aspek hidup, terutamanya persoalan kenegaraan. Termasuk dalam rangkaian amanah persoalan pentadbiran rumahtangga, pejabat, kampung, sekolah dan seumpamanya. Namun huraian para ulama banyak tertumpu kepada persoalan sistem politik dan negara kerana natijah kerosakan adalah besar jika amanah mengenainya diabaikan. Sekiranya pemimpin yang dipilih berkelayakan maka sejahteralah seluruh rangkaian di bawahnya. Sekiranya cacat maka cacatlah seluruh rangkaian dibawahnya.


Di atas nama amanah maka seseorang dituntut membuat pemilihan dan perlantikan yang tepat dengan tuntutan jawatan yang ada. Sekiranya tidak, maka dia dianggap pengkhianat. Apakah ciri-ciri yang jika seseorang melandasinya maka dia tidak dianggap khianat dalam perlantikan?

Ciri-ciri pemimpin yang perlu di pilih:


Secara umumnya pemilihan yang bertanggungjawab berteraskan dua ciri asas yang mesti ada pada tokoh yang bakal dipilih iaitu ciri al-Quwwah dan al-Amanah.


Allah menyebut di dalam al-Quran menceritakan kisah Musa a.s.: (maksudnya) "Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)." ( Surah al-Qasas ayat: 26 )


Maka tugasan yang diberikan kepada seseorang wajar dilihat pada dua ciri utama yang disebut di dalam nas di atas. Ini seperti yang dihuraikan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam as-Siyasah asy-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar-Ra`iyyah iaitu:


Pertama: Al-Quwwah iaitu kekuatan, kemampuan dan kemahiran menjalankan tugas. Ciri-ciri al-Quwwah atau kemampuan merujuk bidang tugas yang diberikan. Contohnya, jika jawatan berkenaan berkaitan ekonomi konsep al-Quwwah merujuk kepada kemahirannya dalam pengurusan ekonomi. Bagi bidang kehakiman maka al-Quwwah merujuk kepada pengetahuan dalam persoalan hukum-hakam. Dalam bidang ketenteraan merujuk kepada persoalan kepakaran medan perang, semangat juang dan keberanian.

Kedua: Al-Amanah iaitu bersikap amanah atau bertanggungjawab. Ini merujuk kepada tiga perkara utama iaitu: Takutkan Allah, Tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah untuk mendapat habuan dunia dan tidak takutkan manusia.



Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: "Hendak dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Ini seperti yang Allah firmankan: (maksudnya) "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah." ( Surah al-Qasas ayat: 26)



Firman Allah dalam menyifatkan Jibril: (maksudnya) "Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai `arsy. Yang ditaati (di alam malaikat) lagi dipercayai) .  ( Surah al-Takwir ayat 19-21)


Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah lagi: "Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. ...

al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia.
Inilah tiga ciri yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia, firman Allah: (maksudnya): "Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Barang siap yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir” ( Surah al-Maidah: ayat 44 )..
Oleh itu sesiapa yang melantik atau memilih seseorang bagi mengendalikan sesuatu urusan yang berkait dengan umat tanpa diteliti persoalan al-Quwwah dan al-Amanah atau persoalan kemampuan dan amanah bererti telah menyerahkan urusan bukan kepada ahlinya. Perbuatan itu mengundang kemurkaan Allah.

Di mana pun jawatan yang dipegang , sama ada pemimpin negara di peringkat negara atau negeri atau apa sahaja, maka setiap tugasan yang bakal diserahkan kepadanya berpandukan konsep al-Quwwah iaitu kemampuan untuk melaksanakan dan al-Amanah iaitu perasaan takutkan Allah dari melakukan pengkhianatan atau kecuaian. Sekiranya dua perkara ini dipastikan, maka sudah tentu tanggungjawab kepimpinan tidak akan dicemari, kekusutan masyarakat tidak akan timbul.


Kadangkala kita mungkin bertembung dengan satu masalah iaitu ketandusan tokoh untuk sesuatu jawatan melainkan dua orang atau jenis kelompok sahaja, seorang atau satunya daripadanya memiliki al-Quwwah atau kekuatan dan kemampuan tetapi kurang amanah, sementara seorang lagi satu kelopok lagi memiliki ciri amanah iaitu solih dan bertanggungjawab tetapi lemah atau tidak berkemampuan, siapakah yang patut dipilih?



Dalam hal ini maka para `ulama al-siyasah al-syar`iyyah menyatakan pemilihan dalam keadaan sebegini hendaklah dilihat kepada jenis atau keadaan jawatan yang hendak diserahkan, kemudian menilai siapakah yang paling boleh memberi manfaat dan paling kurang mudharatnya apabila menduduki jawatan tersebut. Sekiranya jawatan berkenaan berteraskan kepada kekuatan seperti medan peperangan maka hendaklah didahulukan yang memiliki kekuatan dan keberanian walaupun kurang solih ataupun tidak baik peribadinya. Sekiranya jawatan berhajat kepada amanah yang lebih seperti mengendalikan kewangan maka hendaklah didahulukan yang amanah walaupun ada kelemahan dalam pengurusannya.


Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: [i]"Apabila dua orang lelaki, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, lelaki yang kuat dan berani walaupun padanya ada kejahatan diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.

Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi solih tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: "Yang kuat dan jahat, kekuatan untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri adapun yang solih tetapi lemah maka kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam"


Oleh itu usaha untuk memilih pemimpin yang memiliki dengan sempurna kedua-dua ciri ini adalah tanggungjawab besar umat agar terpeliharanya kita daripada golongan yang khianat dan merosakkan masyarakat. Perlu disedari, apa ertinya jika generasi pakar teknologi atau ilmu-ilmu lain yang tanpa amanah atau dalam kata lain tiada perasaan takutkan Allah yang akan menyebabkan mereka menggunakan kepintaran dan kecekapan untuk merosakkan tanggungjawab, melanggar hukum-hakam Allah sekaligus merosakkan umat. Pun begitu kita juga tidak mahu menyerahkan tugasan kepimpinan umat kepada suatu kelompok manusia yang baik, salih atau pandai agama tetapi jahil tentang selok belok pentadbiran dan perlaksanaannya sehingga mudah ditipu oleh golongan musuh dan pengkhianat yang menyebabkan kelemahan dan kelembapan perjalanan urusan umat. Maka menjadi tanggungjawab umat mencari pemimpin yang solih lagi takutkan Allah dengan melaksanakan seluruh arahan dan meninggalkan seluruh tegahanNya di samping pakar dan cekap dalam mengendalikan pentakbiran dan urusan.


Sunnah Puasa di Bulan Syaában.

Rabu, 9 Sya'aban 1439H: Dari Abu Salamah bin Abdurrahman dari Aisyah katanya: "Kadang-kadang kami para isteri Nabi tidak sempat membayar puasa Ramadhan yang tertinggal kecuali jika telah tiba bulan Sya'ban.

Dan Rasulullah saw tidak pernah berpuasa sebulan penuh atau hampir sebulan terkecuali di bulan Sya'ban. Boleh dikatakan beliau sering berpuasa sunnah di bulan Sya'ban sebulan penuh".

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2144.

Tuesday, April 24, 2018

Paling DiSukai Allah

Selasa, 8 Sya'aban 1439H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. tidak pernah puasa sunat tiap bulan dalam setahun, lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya'aban.
Beliau bersabda, "Beramallah kamu sesuai dengan kemampuanmu. Sesungguhnya Allah tidak pernah bosan (memberi pahala) sehingga kamu sendiri yang bosan beramal. Sedangkan amal yang paling disukai Allah ialah amal yang dilakukan secara tetap walaupun sedikit."
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1126.

Monday, April 23, 2018

Bertaqwa Kepada Allah

Isnin, 7 Sya'aban 1439H: Daripada Abu Zar RA beliau berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan ikutilah setiap (amalan) kejahatan dengan (amalan) kebaikan yang dapat menghapuskannya serta berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik." 

Hadith semakna juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah.  Abu Isa berkata; Ini adalah hadith hasan sahih.

(Hadith riwayat at-Tirmizi)

Pengajaran Hadith ;

1.Taqwa kepada Allah SWT merupakan kewajipan setiap Muslim dan menjadi benteng daripada melakukan  kejahatan dan maksiat.
2.Bersegeralah melakukan kebaikan setelah menyedari atau melakukan kejahatan dan maksiat.
3.Para ulama’ bersepakat bahawa kebaikan hanya dapat menghapuskan dosa-dosa kecil sahaja. Adapun dosa besar seperti derhaka kepada ibu bapa, membunuh, memakan riba, meminum arak dan selainnya tidak akan terhapus kecuali dengan bertaubat.
4.Setiap Muslim hendaklah bersungguh-sungguh untuk menjauhi amalan kejahatan dan memperbanyakkan amalan kebaikan serta menghias diri dengan akhlak mulia.

Friday, April 13, 2018

Persediaan Solat Jumaat

Jumaat, 26 Rejab 1439H: Mewartakan kepada kami Sahl bin Abu Sahl dan Hautsarah bin Muhammad, mereka berkata: Mewartakan kepada kami Yahya bin Sa'id Al-Qaththan, dari Ibnu 'Ajlan, dari Sa'id Al-Maqburiy, dari ayahnya, dari 'Abdullah bin Wadi'ah, dari Abu Dzarr, dari Nabi SAW. 

Beliau bersabda: "Barangsiapa mandi di hari Jumaat, kemudian membaguskan mandinya, bersuci lalu membaguskan sucinya, memakai pakaian yang paling bagus, memakai minyak wangi keluarganya apa yang Allah tetapkan, kemudian mendatangi Jumaat, tidak berbuat sia-sia dan tidak memisahkan antara dua orang, maka akan diampuni dosa-dosa yang terjadi antara Jumaat ini dan Jumaat yang lain." 

Dalam Az-Zawa-id; Isnadnya Shahih dan para perawinya terpercaya.

Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 2. Hadis Nombor 1097.

Thursday, April 12, 2018

Jangan Terburu-Buru

Khamis, 25 Rejab 1439H: Berita dari Ibnu Umar r.a. mengatakan bahawa Rasulullah saw. bersabda: 

"Apabila makan malam telah dihidangkan, dan qamat untuk solat telah diucapkan, dahulukanlah makan malam dan jangan terburu-buru hingga kamu selesai makan.

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0382

Wednesday, April 11, 2018

Bersikap Tenang

Rabu, 24 Rejab 1439H: Berita dari Abu Qatadah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda:

"Apabila muadzin telah qamat untuk solat, maka janganlah kamu berdiri lebih dahulu, sebelum melihat ku (berdiri di hadapanmu), dan hendaklah kamu bersikap tenang. "

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0361.

Tuesday, April 10, 2018

Terlupa Mandi Junub

Selasa, 23 Rejab 1439H: Abu Hurairah r.a. menceritakan: " (Pada suatu ketika) orang telah qamat untuk solat. Saf telah diluruskan sambil berdiri. Rasullullah saw. datang kepada kami. Setelah beliau berdiri di tempatnya biasa solat, tiba-tiba ia teringat bahawa beliau junub.

Beliau berkata kepada kami, "Tunggulah sebentar!"

Sesudah mandi ia datang kembali kepada kami, sedangkan rambutnya masih basah. Lalu beliau takbir dan solat bersama-sama dengan kami."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0176.

Monday, April 9, 2018

Qamat Solat Jamak

Isnin, 22 Rejab 1439H: Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Nabi saw. pernah menjamakkan solat Maghrib dan Isyak ketika di Jama' (Muzdalifah).

Tiap-tiapnya dengan satu qamat tanpa solat sunat antara keduanya dan tidak pula setelah keduanya selesai."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0861.

Thursday, April 5, 2018

Solat Sesudah Qamat

Khamis, 16 Rejab 1439H: Berita dari Malik bin Buhainah r.a., mengatakan. bahawa Rasulullah saw. pernah melihat seorang laki-Iaki solat dua rakaat sesudah qamat. 

Ketika Rasulullah saw. telah selesai solat, dan orang banyak memandang hairan kepada orang itu, maka Rasulullah saw. bersabda: "Subuh! Subuh! Subuh! Subuh!" (empat kali)."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0379.

Wednesday, April 4, 2018

Apabila Azan & Qamat

Rabu, 17 Rejab 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Apabila orang azan, maka syaitan lari terkentut-kentut sampai tak kedengaran lagi olehnya azan. 

Apabila azan telah selesai, dia kembali pula. Kemudian, apabila orang qamat dia lari pula, dan apabila qamat telah selesai dia datang pula kembali menggoda orang (yang sedang solat). 

Dia membisik, "Ingatlah ini dan itu!" Yaitu hal-hal yang tidak pernah diingatnya selama ini, sehingga orang lupa telah berapa rakaat dia solat. 

Maka apabila kamu lupa telah berapa rakaat kamu solat, sujudlah dua kali ketika sedang duduk (sujud sahwi)."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0522.

Tuesday, April 3, 2018

Diperlihatkan Syurga Dan Neraka

Selasa, 16 Rejab 1439H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Nabi saw. bersabda: "Setiap yang masuk ke dalam syurga, diperlihatkan kepadanya tempat diamnya dalam neraka, kalau seandainya dia melakukan kesalahan, supaya dengan itu bertambah syukurnya kepada Tuhan.

Setiap orang yang masuk ke dalam neraka, diperlihatkan kepadanya tempat diamnya di dalam syurga, kalau seandainya dia mengerjakan perbuatan baik, supaya dengan itu timbul penyesalannya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1767.

Monday, April 2, 2018

Tinggalkan Yang Meragukanmu

Isnin, 15 Rejab 1439H: Daripada Abi Muhammad Al Hasan bin Ali bin Abi Talib RA katanya : Aku telah menghafal daripada Rasulullah SAW : "Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada sesuatu yang tidak meragukanmu kerana kebenaran/kejujuran itu ketenangan dan sifat dusta itu mendatangkan keraguan."

(Hadith Sahih riwayat At-Tirmizi, No.Hadith : 2518)

Pengajaran Hadith :

1.Maksud perkataan الريبة adalah meninggalkan apa yang mendatangkan syak (keraguan) dalam hati pada sesuatu perkara dan berpegang kepada sesuatu yang tidak mendatangkan syak (keraguan) pada perkara tersebut.

2.Galakan untuk bersifat benar kerana itu adalah sumber kepada kebaikan dan peringatan untuk menjauhi sifat dusta kerana itu adalah punca bagi setiap keburukan.

3.Hendaklah seseorang itu menjauhi perkara yang mendatangkan syubhah (keraguan) kepadanya dan berpegang kepada perkara yang jelas lagi nyata kerana sesiapa yang menjauhi perkara syubhah maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Sebaliknya sesiapa yang terjatuh dalam perkara syubhah, maka dia telah jatuh dalam perkara yang haram.