Friday, October 31, 2014

Puasa Asyura (10 Muharram)

Jumaat, 7 Muharram 1436H: Dari 'Aisyah r.a.. katanya: 

"Biasanya orang-orang Quraisy pada masa jahiliyah, puasa dari hari 'Asyura. Dan Rasulullah saw. pun mempuasakannya. 

Ketika beliau tiba di Madinah, dia mempuasakannya dan suruhnya pula orang-orang puasa pada hari itu. 

Tatkala puasa Ramadhan telah diwajibkan, beliau meninggalkan puasa Asyura, dan siapa yang ingin mengerjakannya dibolehkan dan siapa yang ingin meninggalkannya boleh pula."

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, October 30, 2014

Puasa Hari Asyura (10 Muharram)

Khamis, 6 Muharram 1436H: Dari 'Abdullah bin 'Abbas r.a., dia menceritakan bahawa ketika Rasulullah saw. puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan memerintahkan kaum Muslimin supaya puasa, para sahabat berkata, 

"Hari ini adalah hari raya orang-orang Yahudi dan Nasrani." 

Lalu Rasulullah saw. bersabda: "Apabila masih menyaksikan tahun yang akan datang, insya Allah kita puasa pada tanggal sembilan Muharram." 

Kata 'Abdullah selanjutnya, "Ternyata tahun depan itu, beliau sudah wafat."

Hadis Sahih Muslim .

Wednesday, October 29, 2014

Seutama-Utama Puasa & Solat

Rabu, 5 Muharram 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : 

"Seutama-utama puasa sesudah puasa Ramadhan ialah puasa bulan Muharram, dan seutama-utama solat sesudah solat fardu ialah solat malam."

Hadis Sahih Muslim.

Tuesday, October 28, 2014

Syarat Menjadi Imam Solat Berjemaah

Selasa, 4 Muharam 1436H: Dari Abu Mas'ud Al Anshari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Orang yang patut jadi imam (solat berjemaah) ialah yang paling pandai membaca Kitabullah. 

Jika ternyata mereka sama pandai, maka yang paling alim tentang sunnah. 

Jika ternyata mereka sama alim, maka yang paling dahulu hijrah. 

Jika ternyata mereka bersamaan pula hijrah, maka yang paling dahulu masuk Islam.
 
Janganlah kamu menjadi imam dalam wilayah kekuasaan orang lain, 

dan jangan pula duduk di tempat yang disediakan khusus untuk kemuliaan seseorang, kecuali dengan izinnya"

Hadis Sahih Muslim 

Monday, October 27, 2014

Memelihara Anjing

Isnin, 3 Muharam 1436H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Siapa memelihara anjing selain anjing penjaga ternak atau anjing pemburu, maka berkurang pahala amalnya setiap hari sebesar dua qirath." (Satu qirath sebesar bukit Uhud).

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, October 21, 2014

Kelebihan Surah Ikhlas

Selasa, 26 Zulhijjah 1435H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: Rasulullah saw. mengirim seorang lelaki dalam satu pasukan, lalu orang itu membaca dalam solat dengan para sahabatnya "Qul huwallahu ahad" (Surah Ikhlas sampai tamat). Ketika mereka telah kembali, hal itu diceritakan orang kepada Rasulullah saw. 

Maka sabda beliau, "Tanyakanlah kepadanya, apa alasannya berbuat seperti itu." 

Lalu mereka tanyakan kepada lelaki itu kenapa dia berbuat demikian. 

Jawabnya, "Kerana di dalam surah Ikhlas itu tersebut sifat-sifat Allah. Kerana itu aku suka membacanya." 

Sabda Rasulullah saw., "Sampaikan kepadanya, bahawa Allah menyukainya pula."

Hadis Sahih Muslim.

Monday, October 20, 2014

Berbakti Kepada Ibubapa Adalah Jihad

Isnin, 25 Zulhijjah 1435H: Dari Abdullah bin Amru r.a., katanya: 

"Seorang lelaki datang kepada Nabi saw. minta izin hendak ikut jihad (berperang). 

Tanya Nabi saw. kepadanya, "Apakah kedua orang tua mu masih hidup?" 

 Jawab orang itu, "Masih!" 

Sabda beliau, "Berbakti kepada keduanya adalah jihad."

Hadis Sahih Muslim

Friday, October 17, 2014

Pemimpin Yang Jujur & Yang Tidak Jujur

Jumaat, 22 Zulhijjah 1435H: Dari Ma'qil r.a. katanya: Saya akan menceritakan kepada engkau hadis yang saya dengar dari Rasulullah saw. dan saya telah mendengar beliau bersabda: "Seseorang yang telah ditugaskan Tuhan memerintahi rakyat, kalau dia tidak memimpin rakyat itu dengan jujur, nescaya dia tiada akan memperoleh bau syurga." 

Dari Maaqil r.a. katanya: Saya akan menceritakan kepada engkau hadis yang saya dengar dari Rasulullah saw. dan beliau bersabda: "Seorang pembesar yang memerintahi rakyat kaum Muslimin, apabila pembesar itu mati, sedang dia tidak jujur terhadap rakyat, nescaya dia dilarang oleh Allah, masuk syurga."

Hadis Sahih Bukhari.

Thursday, October 16, 2014

Tiga Golongan Yang Mendapat Seksaan Pedih

Khamis,21 Zulhijjah 1435H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah saw. bersabda: 

"Tiga golongan tidak bercakap-cakap Allah dengan mereka dan tidak akan menyucikan mereka di hari kiamat dan mereka memperoleh seksaan yang pedih: 

1. Orang yang mempunyai kelebihan air dalam perjalanan, tetapi dia tidak mahu memberikannya kepada musafir (yang memerlukan).

2. Orang yang setia kepada Imam (Kepala Pemerintahan), tetapi dia berjanji setia itu hanya kerana hendak memperoleh keuntungan dunia. Kalau dia diberi, dipenuhinya janjinya. Tetapi kalau tidak diberi, janji itu tidak dipenuhinya. 

3. Orang yang jual beli suatu barang sesudah Asar, lalu orang yang membeli itu bersumpah dengan nama Allah, bahawa telah dibayarnya sekian, lalu dibenarkan oleh orang menjual. Maka diberikannya barang itu, pada hal yang sebenarnya belum dibayar."

Hadis Sahih Bukhari.

Friday, October 10, 2014

Mohon Berlindung Dari Neraka

Jumaat, 15 Zulhijjah 1435H: Dari 'Adi bin Hatim r.a. bahawa Nabi saw. menyebut neraka, lalu memalingkan mukanya dan Mohon berlindung dari neraka. 

Kemudian beliau menyebutnya sekali lagi, lalu memalingkan mukanya dan Mohon berlindung dari neraka. 

Kemudian beliau bersabda: "Pelihara diri mu dari neraka, walaupun dengan memberikan sebelah kurma. Siapa yang tidak sanggup hendaklah dengan mengucapkan perkataan yang baik."

Hadis Sahih Bukhari .

Thursday, October 9, 2014

Tanda-Tanda Kiamat

Khamis, 14 Zulhijjah 1435H: Dari Hudzaifah bin Asid Al Ghiffari r.a. katanya: 

"Rasulullah saw. menengok kami ketika kami sedang berbincang-bincang seraya bertanya: 

"Apa yang sedang kalian perbincangkan?" 

Jawab para sahabat, "Kami berbincang-bincang mengenai hari kiamat." 

Sabda beliau, "Kiamat tidak akan terjadi sebelum terlihat sepuluh macam tanda: 

(1) Ad Dukhan (asap atau kabut), 
(2) Dajjal (si penipu besar), 
(3) Dabbah (binatang melata). 
(4) Matahari terbit di barat. 
(5) 'Isa anak Maryam a.s. turun 
(6) Ya'juj dan Ma'juj. 
(7) Gerhana di timur. 
(8) Gerhana di barat. 
(9) Gerhana di Jazirah 'Arab. 
(10) Api menyala di Yaman menghalau ummat manusia ke mahsyar (tempat berkumpul)."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, October 8, 2014

Gerhana Matahari & Gerhana Bulan

Rabu, 13 Zulhijjah 1435H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: 

"Pada suatu hari di masa Rasulullah saw. masih hidup, terjadi gerhana matahari. Kerana itu beliau berdiri mengerjakan solat (gerhana) dan berdirinya itu sangat lama. 

Kemudian beliau rukuk, dan rukuknya itu sangat lama. 

Kemudian beliau mengangkat kepala (i'tidal) dan i'tidalnya itU sangat lama pula, tetapi tidak selama berdirinya yang pertama. 

Kemudian rukuk pula lama-lama, tetapi tidak selama yang pertama. 

Kemudian beliau sujud, dan sesudahnya langsung berdiri kembali lama-lama, tetapi tidak selama berdirinya yang pertama. 

Kemudian beliau rukuk pula lama-lama tetapi tidak selama rukuk yang pertama. 

Kemudian beliau mengangkat kepala (i'tidal) dan sesudah itu berdiri pula lama-lama, tetapi tidak selama berdirinya yang pertama. 

Kemudian beliau sujud, dan sesudah itu selesai. 

Sedangkan matahari telah terang kembali. Lalu beliau berkhutbah di hadapan orang ramai. Mula-mula beliau memuji dan menyanjung Allah swt., dan sesudah itu beliau bersabda, antara lain sabdanya: "Sesungguhnya matahari dan bulan adalah suatu bukti di antara sekian banyak bukti kebesaran Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang. Kerana itu jika kamu melihat gerhana matahari dan bulan, takbir dan mendoalah kepada Allah swt., solat dan bersedekahlah kamu banyak-banyak. 

"Hai, umat Muhammad! Tidak seorang pun yang sangat benci kepada perzinaan selain daripada Allah. (Kerana itu hindarilah!) 

Hai, umat Muhammad! Kalaulah kamu tahu apa yang ku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis, dan sedikit tertawa. 

Camkanlah! Bukankah telah kusampaikan."

Hadis Sahih Muslim.

Friday, October 3, 2014

Puasa Sunat Hari Arafah

Jumaat, 8 Zulhijjah 1435H: Ahmad bin Mani' menceritakan kepada kami, Isma'il bin 'Ulabbah memberitahukan kepada kami, Ayub memberitahukan kepada kami di mana keduanya berkata: "Hammad bin Zaid memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ghailan bin Jarir dari 'Abdullah bin Ma'bad Az-Zamani dari Abu Qatadah bahawasanya nabi s.a.w. bersabda: 

"Puasa pada hari 'Arafah, sesungguhnya saya memohon kepada Allah, agar dapat menghapus dosa satu tahun sesudahnya dan satu tahun sebelumnya." 

Di dalam bab ini terdapat hadis dari Abu Sa'id. Abu 'Isa berkata: "Hadis Abu Qatadah tersebut adalah hadis hasan. Para ulama' menganggap sunat untuk berpuasa pada hari 'Arafah kecuali di 'Arafah."

Hadis Sunan At-Termizi .

Thursday, October 2, 2014

Wuquf Di Arafah Termasuk Syiar Islam

Khamis, 7 Zulhijjah 1435H: Dari Muhammad ibnu Jubair bin Muth'im dari ayahnya berkata: 

"Pada hari Arafah, aku kehilangan untaku, maka aku mencarinya di padang Arafah, dimana aku Rasulullah saw sedang wuquf, maka aku berkata: "Sesungguhnya wuquf di Arafah ini termasuk syiar Islam."

Hadis Sunan An-Nasai 

Wednesday, October 1, 2014

Larangan Berpuasa Hari Arafah di Padang Arafah

Rabu, 6 Zulhijjah 1435H: Mewartakan kepada kami Abu Bakr bin Abu Syaibah dan 'Ali bin Muhammad, mereka berkata: Mewartakan kepada kami Waki', mewartakan kepada kami Hausyab bin 'Aqil, mewartakan kepadaku Mahdiy Al-'Abdiy, dari 'Ikrimah, dia berkata: 

"Saya mengunjungi Abu Hurairah di dalam rumahnya, lalu saya bertanya kepadanya tentang puasa hari 'Arafah. Lalu Abu Hurairah menjawab: Rasulullah SAW. melarang berpuasa hari 'Arafah di padang 'Arafah."

Hadis Sunan Ibnu Majjah.