Friday, August 28, 2015

Haji Untuk Dirimu....

Jumaat, 13 Zulkaedah 1436H: Mewartakan kepada kami Muhammad bin 'Abdullah bin Numair; mewartakan kepada kami 'Abdah bin Sulaiman, dari Sa'id, dari Qatadah, dari Gharazah, dari Sa'id bin Jubair dari Ibnu 'Abbas, bahawasanya Rasulullah saw. mendengar seseorang berkata: 

"Labbaik 'an Syubrumah (Yakni, aku berhaji untuk Syubrumah."

Maka Rasulullah saw. bertanya: "Siapa Syubrumah itu?" 

Dia menjawab: "Dia adalah kerabatku". 

Beliau bertanya: "Apakah engkau sudah haji?" "

Belum". Jawabnya. 

Beliau berkata: "Jika demikian, jadikanlah haji ini untuk dirimu, kemudian hajikan Syubrumah".

Hadis Sunan Ibnu Majjah

Thursday, August 27, 2015

Haji - Terkepung Oleh Musuh

Khamis, 12 Zulkaedah 1436H: Dari Salim dari ayahnya (Abdullah ibnu Umar r.a) bahawa ia tidak mengakui adanya penambahan syarat dalam haji, dan ia berkata; 

"Sudah cukup bagimu sunnah Rasulullah saw, dan beliau tidak pernah menambahkan syarat haji. Maka jika salah seorang dari kamu terkepung musuh ketika melakukan haji, maka cukup baginya datang di Baitullah dan tawaf disana, kemudian sa'i antara Shafa dan Marwa. kemudian bercukur atau memotong rambut. Selanjutnya ia telah dihalalkan melakukan apa saja yang dilarang ketika ia ihram, dan hendaklah ia melaksanakan haji lagi pada tahun mendatang."

Hadis Sunan An-Nasai.

Wednesday, August 26, 2015

Tiga Cara Haji

Rabu, 11 Zulkaedah 1436H: Mewartakan kepada kami Abu Bakr bin Abu Syaibah; mewartakan kepada kami Muhammad bin Bisyr Al-'Abdiy, dari Muhammad bin 'Amr; mewartakan kepadaku Yahya bin 'Abdurrahman bin Hathib, dari 'Aisyah, dia berkata: 

"Kami keluar bersama Rasulullah saw. untuk haji, menurut tiga cara. Diantara kami ada yang berihram untuk baji dan 'umrah sekaligus. 

Dan diantara kami ada yang berihram untuk haji saja (haji Ifrad) Dan diantara kami ada yang berihram untuk 'umrah saja. 

Dan barangsiapa yang berihram untuk haji dan'umrah sekaligus, maka dia tidak halal (tahallul) dari sesuatu yang haram baginya sehingga menyelesaikan seluruh manasik haji. 

Dan barangsiapa berihram untuk haji saja, maka dia tidak halal dari sesuatu yang haram baginya sehingga menyelesaikan seluruh manasik haji. 

Dan barangsiapa berihram untuk 'umrah saja, lalu dia thawaf di baitullah dan sa'i antara Shafa dan Marwa, maka dia telah halal dari apa yang haram baginya sehingga dia menghadapi (mengerjakan) haji".

Hadis Sunan Ibnu Majjah

Tuesday, August 25, 2015

Umrah Termasuk Dalam Haji

Selasa, 10 Zulkaedah 1436H: Ahmad bin 'Abdah Adh-Dhabbi menceritakan kepada kami, Ziyad bin 'Abdullah menceritakan kepada kami (yang berasal) dari Mujahid dari Ibnu 'Abbas "bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: 

"'Umrah itu masuk ke dalam haji sampai hari Kiamat." 

Masalah yang sama diriwayatkan dari Suraqah bin Malik bin Ju'syum dan Jabir bin 'Abdullah. Abu 'Isa berkata: "Hadis Ibnu 'Abbas itu adalah hadis hasan. Yang dimaksudkan dengan hadis ini iaitu bahawasanya tidak ada larangan menunaikan 'umrah dalam bulan-bulan haji. Demikianlah pendapat Asy-Syafi'i, Ahmad dan Ishaq. Maksud dari hadis ini ialah bahawa orang-orang Jahiliyah tidak mengerjakan 'umrah pada bulan-bulan haji. 

Ketika Islam datang, Nabi s.a.w. memberikan keringanan dalam masalah itu, di mana baginda bersabda: " 'Umrah itu masuk ke dalam haji sampai hari Kiamat"; maksudnya tidak ada larangan mengerjakan 'umrah pada bulan-bulan haji. Bulan-bulan haji itu adalah Syawal, Zulkaedah dan sepuluh hari dari bulan Zulhijjah. Seseorang tidak boleh menunaikan haji kecuali pada bulan-bulan haji. 

Sedangkan bulan-bulan yang mulia adalah bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Demikianlah diriwayatkan oleh para ulama' yang tidak sedikit dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. dan yang lain."

Hadis Sunan At-Termizi 

Monday, August 24, 2015

Haji - Anak Berumur 7 Tahun

Isnin, 9 Zulkaedah 1436H: Qutaibah bin Sa'id menceritakan kepada kami, Hatim bin Isma'il memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Muhammad bin Yusuf dari Sa'ib bin Yazid di mana ia berkata: "Ayah saya mengerjakan haji dengan saya bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. pada haji Wada', sedangkan saya adalah anak yang berumur tujuh tahun". 

Abu 'Isa berkata: "Hadis ini adalah hadis hasan sahih. Para ulama' bersepakat bahawa apabila anak-anak mengerjakan haji sebelum menginjak dewasa kerana haji sewaktu anak-anak itu tidaklah mencukupi sebagai haji (yang termasuk rukun) Islam." 

Demikian juga seorang hamba, apabila ia mengerjakan haji semasa menjadi hamba kemudian ia dimerdekakan maka ia berkewajipan untuk menunaikan haji lagi apabila memenuhi syarat untuk mengadakan perjalanan (ke Mekah); dan haji sewaktu ia menjadi hamba itu tidaklah menggugurkan kewajipan haji." 

Demikianlah pendapat Ats-Tsauri, Asy-Syafi'i, Ahmad dan Ishaq".

Hadis Sunan At-Termizi 

Friday, August 21, 2015

Doa Malaikat Setiap Pagi

Jumaat, 6 Zulkaedah 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Setiap pagi dua malaikat turun mendampingi seorang hamba. 

Yang satu mendoa: "Wahai, Allah! Berikanlah ganti bagi dermawan yang menyedekahkan hartanya." 

Dan yang satu lagi berkata: "Wahai Allah! Musnahkanlah harta si bakhil!"

Hadis Sahih Muslim.

Thursday, August 20, 2015

Umrah Di Bulan Zulkaedah

Khamis, 5 Zulkaedah 1436H: Dari Anas r.a., katanya : "Rasulullah saw. mengerjakan umrah empat kali. Semuanya itu dikerjakan beliau di bulan Zulkaedah, selain yang dikerjakannya bersama-sama dengan haji. 

Iaitu, umrah yang dilakukan beliau dari Hudaibiyah, ketika berlakunya perdamaian Hudaibiyah dalam bulan Zulkaedah,dan umrah tahun sesudah itu juga dalam bulan Zulkaedah, dan umrah yang dilakukan beliau dari Ji'ranah ketika membahagi-bahagi harta rampasan perang Hunain, juga di bulan Zulkaedah, dan sesudah itu umrah yang dilakukan beliau sama-sama dengan haji."

Hadis Sahih Muslim.

Tuesday, August 18, 2015

Berkerja ?

Selasa, 3 Zulkaedah 1436H: Dari Imran r.a. katanya: Saya bertanya: "Ya Rasulullah! Apa dasarnya kerja orang yang bekerja?" 

Beliau menjawab: "Setiap orang dimudahkan mengerjakan apa yang dia telah diciptakan untuk itu."

Hadis Sahih Bukhari

Monday, August 17, 2015

Apabila Amanah Disia-siakan

Isnin, 2 Zulkaedah 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika Nabi saw. sedang berbicara dengan orang banyak (memberi ceramah atau pengajian), tiba-tiba datang seorang Arab dusun menanyakan kepada beliau: Bilakah datangnya saat (kiamat)?"

Rasulullah saw. tidak langsung menjawab, tetapi beliau meneruskan pembicaraannya dengan orang banyak. Kerana sikap Rasulullah saw. yang demikian itu, sementara orang mengatakan Rasulullah mendengar pertanyaan itu, tetapi beliau tidak menyukainya. Dan setengah lagi mengatakan beliau tidak mendengarnya. 

Setelah Rasulullah saw. selesai berbicara, beliau bertanya, "Di mana orang yang bertanya perkara saat tadi?" 

Orang itu menyahut, "Saya! Ya, Rasulullah! 

Rasulullah saw. bersabda, "Apabila amanah telah disia-siakan orang, maka waspadalah terhadap datangnya saat (kiamat,kehancuran)." 

Tanya orang itu, "Bagaimanakah cara disia-siakannya amanah?" 

Jawab Rasulullah saw., "Apabila suatu urusan (pekerjaan) diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka waspadalah terhadap datangnya saat (kiamat, kehancuran)."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0049.

Friday, August 14, 2015

Saudara Sesama Muslim

Jumaat, 29 Syawal 1436H: Dari Salim r.a. dari bapaknya katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim. Dia tidak boleh menganiaya saudaranya dan tidak boleh pula membiarkan saudaranya (teraniaya). 

Siapa yang membantu (mencukupkan) keperluan saudaranya maka Allah Taala membantunya pula (mencukupkan) keperluannya. 

Siapa yang melapangkan kesulitan seorang muslim. maka Allah Taala melapangkan pula kesulitannya kelak di hari kiamat. 

Dan siapa yang menutup kesalahan(rahsia.) orang muslim, maka Allah menutupi pula kesalahannya kelak di hari kiamat."

Hadis Sahih Muslim & Bukahri

Thursday, August 13, 2015

Meminta-Minta Menjadi Pembesar

Khamis, 28 Syawal 1436H: Dari 'Abdurrahman bin Samurah r.a., katanya: "Rasulullah saw. bersabda kepada ku, 

"Hai, 'Abdurrahman! Janganlah engkau meminta-minta hendak jadi pembesar negara. Kerana jika engkau jadi pembesar kerana permintaan, tanggung jawabmu akan besar sekali. Dan jika engkau di angkat tanpa permintaan, engkau akan ditolong orang dalam tugasmu."

Hadis Sahih Muslim 

Wednesday, August 12, 2015

Pembesar Paling Baik & Jahat

Rabu, 27 Syawal 1436H: Dari 'Auf bin Malik r.a., dari Rasulullah saw., katanya: "Imam (pemimpin atau pembesar) yang terbaik ialah mereka yang mencintai mu dan kamu mencintai mereka; mereka mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka. 

Imam yang paling buruk (jahat) ialah yang kamu benci dan mereka membenci mu; kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk mu." 

Bertanya seseorang, "Ya, Rasulullah! Bolehkah kami menyingkirkannya dengan pedang?" 

Jawab Rasulullah saw., "Tidak, selama mereka masih solat bersama-sama kamu. Apabila kamu lihat suatu tindakan (kebijaksanaan) yang tidak baik dari pembesar mu, proteslah tindakannya, dan jangan lepas tangan untuk tidak taat (terhadap tindakannya yang baik)."

Hadis Sahih Muslim 

Tuesday, August 11, 2015

Berlaku Jujur Dalam Jual Beli

Selasa, 26 Syawal 1436H: Dari Hakim bin Hizam r.a., dari Nabi saw., sabdanya: 

"Dua orang yang berjual beli, masing-masing mempunyai hak pilih (untuk meneruskan jual beli atau tidak) selama keduanya belum berpisah. 

Jika keduanya berlaku jujur dan terus-terang menjelaskan (keadaan barang yang diperjual belikan), maka mereka diberi berkat dengan jual beli mereka; tetapi jika mereka berdusta dan menyembunyikan (cacat masing-masing), hilanglah berkat jual beli mereka."

Hadis Sahih Muslim 

Monday, August 10, 2015

Pemerintah Yang Tidak Jujur

Isnin, 25 Syawal 1436H: Dari Ma'qil r.a. katanya: Saya akan menceritakan kepada engkau hadis yang saya dengar dari Rasulullah saw. dan saya telah mendengar beliau bersabda: 

"Seseorang yang telah ditugaskan Tuhan memerintahi rakyat, kalau dia tidak memimpin rakyat itu dengan jujur, nescaya dia tiada akan memperoleh bau syurga." 

Dari Maaqil r.a. katanya: Saya akan menceritakan kepada engkau hadis yang saya dengar dari Rasulullah saw. dan beliau bersabda: 

"Seorang pembesar yang memerintahi rakyat kaum Muslimin, apabila pembesar itu mati, sedang dia tidak jujur terhadap rakyat, nescaya dia dilarang oleh Allah, masuk syurga."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, August 7, 2015

Sadiq Dan Kadzdzab

Jumaat, 22 Syawal 1436H: Dari 'Abdullah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hendaklah kamu selalu berlaku jujur. Kerana berlaku jujur membimbing kepada kebajikan, dan kebajikan membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa berlaku jujur dan berusaha mempertahankan/mencari kejujuran, maka dia dicatat Allah sebagai "Sadiq" (orang yang jujur). 

Dan hindarilah olehmu dusta, kerana sesungguhnya dusta itu membimbing kepada kejahatan, dan kejahatan membawa ke neraka. Seseorang yang sentiasa berdusta dan mempertahankan kedustaan, maka dia dicatat Allah Taala sebagai "Kadzdzab" (si Pendusta atau si Pembohong)."

Hadis Sahih Muslim.

Thursday, August 6, 2015

Perkerjaan Itu Adalah Amanah

Khamis, 21 Syawal 1436H: Dari Abu Dzar r.a., katanya dia pernah bertanya kepada Rasulullah saw., "Ya, Rasulullah! Apakah Anda tidak hendak mengangkat ku untuk memegang suatu jawatan pemerintahan?" 

Lalu beliau menepuk bahu ku dengan tangan beliau seraya berkata, "Hai, Abu Dzar! Engkau ini lemah. Sedangkan pekerjaan itu adalah amanah, yang pada hari kiamat kelak dipertanggung-jawabkan dengan risiko penuh kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang memenuhi syarat dan dapat melaksanakan tugas yang dibebankan kepadanya dengan baik."

Hadis Sahih Muslim.

Wednesday, August 5, 2015

Hilangnya Amanah

Rabu, 20 Syawal 1436H: Dari Hudzaifah r.a., katanya: "Kami menerima dua buah hadis dari Rasulullah saw., yang satu telah ku lihat kenyataannya, sedangkan yang satu lagi masih ku tunggu-tunggu. 

Rasulullah saw. bersabda kepada kami, "Sesungguhnya amanah itu bertempat di hati sanubari seseorang. Kemudian Al Quran turun, lalu mereka belajar dari Al Quran dan Sunnah." 

Kemudian Rasulullah saw. bersabda pula tentang hilangnya amanah. Sabda beliau, "Seorang sedang tidur, lalu dicabut amanah dari hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti noktah. Kemudian ia tidur lagi, lalu dicabut pula amanah dari hatinya maka kini tinggallah bekasnya seperti lepuh yang membengkak di tangan atau di kaki yang terkena bara panas, dan lepuh itu mengandung air sedikit. 

Ketika itu, amanah hampir saja hilang sehingga orang mencarinya ke mana-mana. Ketika dikatakan orang: Di sana ada amanah! Mereka sama berkata: alangkah sabarnya dia; atau alangkah baiknya dia; dan atau alangkah cerdiknya dia. Tetapi yang sebenarnya batin orang itu kosong dari iman." 

Kata Hudzaifah, "Dahulu, ketika amanah masih dipegang orang erat-erat, aku bisa berdagang dengan siapa pun. Jika dengan orang muslim, ia berlaku jujur kerana agamanya, dan jika dengan orang Nasrani atau dengan orang Yahudi, kejujuran itu pun terdapat pada majikannya. Tetapi sekarang, aku tak hendak berdagang lagi melainkan dengan orang-orang tertentu, seperti si Anu dan si Anu yang masih memegang amanah erat-erat."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, August 4, 2015

Beribadatlah Mengikut Kamampuan

Selasa, 19 Syawal 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. pulang ke rumahku, dan ketika itu di rumahku ada seorang tamu perempuan. Rasulullah saw. bertanya: "Siapa ini?" 

Jawab ku, "Inilah perempuan yang tidak pernah tidur, kerana dia solat sepanjang malam." 

Sabda Nabi saw., "Beribadatlah sesuai dengan kemampuanmu. Demi Allah! Dia tidak pernah bosan memberi pahala, sehingga kamu sendiri yang bosan mengerjakan amal ibadatmu. Dan amal yang paling disukai Allah, ialah yang dikerjakan secara tetap oleh pelakunya."

Hadis Sahih Muslim.

Monday, August 3, 2015

Melayani Tertamu

Isnin, 18 Syawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. lalu dia berkata, "Aku dalam kesulitan susah hidup dan lapar." 

Maka beliau bawa pulang itu ke rumah isteri beliau satu persatu menanyakan kalau-kalau mereka ada sedia makanan. Para isteri beliau menjawab. "Demi Allah yang mengutus Anda dengan yang hak, aku tidak sedia apa-apa selain air." Begitulah jawapan mereka masing-masing. 

Lalu bersabda beliau kepada para sahabat. "Siapa bersedia menerima tetamu malam ini nescaya di beri rahmat oleh Allah Ta'ala." Maka berdirilah seorang lelaki Ansar seraya berkata, "Aku, ya Rasulullah!" 

Maka dibawanya lah orang itu ke rumahnya. Dia bertanya kepada isterinya, "Adakah engkau sedia makanan?" 

Jawab isterinya, "Tidak ada, kecuali makanan anak-anak." 

Katanya, "Pujuklah mereka dengan apa saja. Bila tetamu kita dah masuk tunjukkan kepadanya bahawa kita makan bersamanya. Bila dia telah mulai makan, berdirilah ke dekat lampu lalu padamkan." 

Maka duduklah mereka dan sang tetamu pun makanlah. Setelah Subuh, sahabat tersebut bertemu dengan Nabi saw. lalu kata beliau, "Allah kagum dengan cara kamu berdua melayani tetamu kalian malam tadi."

Hadis Sahih Muslim