Monday, August 30, 2010

Lailatul Qadar

Isnin; 20 Ramadhan 1431H : Alhamdulillah kita sudah melepasi dua fasa bulan Ramadhan iaitu fasa permulaan dengan rahmat dan fasa pertengahan dengan keampunan. Kini masuklah fasa terakhir dalam bulan Ramadhan iaitu dijauhkan daripada api neraka jahaman. Sepuluh fasa terakhir ini merupakan fasa yang penting dimana pada sepuluh terakhir ini dikurniakan oleh Allah SWT dengan satu malam yang terlebih baik dari seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar. Hadith daripada Aisyah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “ Berusahalah untuk mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.” (HR al-Bukhari )

Lailatul Qadar juga diriwayatkan turun pada malam ganjil sepuluh terakhir Ramadhan. Hadith yang diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. ia berkata: “Dinampakkan dalam mimpi seorang lelaki bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam kedua puluh tujuh, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Saya pun (Nabi) bermimpi seperti mimpimu, (dinampakkan pada sepuluh malam terakhir.) maka carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam yang ganjil.” (HR Muslim)


Pengajaran Hadis :

1. Malam Lailatul qadar adalah satu malam yang paling istimewa yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Ia merupakan satu malam yang penuh rahmat dan nikmat yang paling besar daripada Allah S.W.T.

2. Umat Islam hendaklah mengambil peluang ini dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat di malam yang kesepuluh akhir bulan Ramadhan iaitu dengan mengerjakan sembahyang terawih, membaca Quran, berzikir dan sebagainya kerana sesungguhnya Allah S.W.T. akan memberi keampunan bagi mereka yang menghidupkan malam tersebut

3. Lailatul Qadar adalah tanda kasihnya Allah kepada hambanya yang beriman dan beramal soleh yang beribadah semata-mata mengharapkan keredaan dan keampunan dari-Nya.

4. Berlakunya malam Lailatul Qadar itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, bila masa dan kepada siapa yang dapat dari kalangan hamba-hambanya yang dikehendakinya.

5. Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turun padanya Malaikat Jibril dan malaikat-malaikat yang lain ke bumi dengan perintah Allah.

6. Setiap ibadat yang dilakukan bertepatan pada malam lailatul qadar dengan penuh ikhlas, insyaAllah amalannya akan diterima oleh Allah dan diampunkan semua dosanya yang telah lalu.

Thursday, August 26, 2010

Iktifaf & Beribadat 10 Terakhir Ramadhan

Khamis, 16 Ramadhan 1431H : Pada 10 terakhir bulan Ramadhan Allah SWT menganugerahkan Syurga kepada hamba-hambanya yang berpuasa dengan sempurna. Hadis daripada "Aisyah r.a menerangkan bahawasanya Nabi SAW beriktikaf pada puluhan yang akhir dari bulan Ramadhan sehingga Allah mewafatkannya. Kemudian isteri-isteri baginda beriktikaf sesudah baginda wafat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Daripada Aisyah r.a. katanya: “Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang kesepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya) Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadis :

1. Beriktikaf dari segi bahasa bermaksud menahan, berhenti dan tetap di sesuatu tempat. Manakala mengikut istilah syarak pula ialah berdiam diri di dalam masjid dengan sifat yang tertentu.

2.Hukum beriktikaf ini adalah sunat dan ia amat digalakkan terutama pada puluhan akhir bulan Ramadhan.

3.Iktikaf sebenarnya tidak mempunyai zikir-zikir yang khusus dan tidak juga ditetapkan dengan amalan-amalan yang khusus juga tempoh masa yang tertentu bahkan cukup sekiranya hanya diam di dalam masjid dan berniat iktikaf.

4.Rasulullah SAW lazimnya tidak meninggalkan amalan beriktikaf di dalam masjid pada puluhan akhir bulan Ramadhan yang kebiasaannya berlaku Lailatul Qadar.

5. Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya supaya menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadat kerana fadhilatnya amat besar di sisi Allah S.W.T.

6. Selaku umat Islam, kita sepatutnya mencontohi baginda serta berusaha bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan memanfaatkan bulan ini sebaik-baiknya terutama sekali dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan di mana Rasulullah S.A.W dalam kebanyakan hadith memberitahu mengenai kemungkinan besar pada malam-malam ini terutama malam ganjil adalah merupakan malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan melebihi seribu bulan

7. Islam menuntut umatnya yang berpuasa agar berusaha untuk menambahkan amal ibadat mereka apabila masuk hari yang kedua puluh satu Ramadhan sehingga akhir, kerana di malam-malam tersebut akan berlaku Lailatul Qadar.

8. Oleh itu adalah sangat digalakkan untuk kita memperbanyakkan amal ibadat beriktikaf di dalam masjid melakukan sembahyang-sembahyang sunat seperti sunat taubat, sunat tahajjud, sunat tasbih, sunat hajat dan sebagainya selain daripada sunat tarawikh, membaca al-Quran dan berzikir.

9. Bagi para suami, inilah saatnya merebut peluang beribadah bersama keluarga dengan mengajak isteri mereka bangun beribadat bersama-sama. Mudah-mudahan rumahtangga yang dibina sentisa aman dan mendapat rahmat daripada Allah SWT.

Wednesday, August 25, 2010

Puasa Menghapuskan Dosa

Rabu, 15 Ramadhan 1431H ; Dipertengahan bulan Ramadahan Allah SWT dengan sifat rahmat dan rahimNya akan menberi pengampunan kerpada orang yang berpuasa dengan menghapuskan dosa orang yang melakukannya.Hadith dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu.” ( HR Bukhari & Muslim).

Ibadat puasa yang dilakukan dalam bulan Ramadhan juga akan menyelamat orang yang berpuasa dari kedahsyatan api Neraka. Hadith daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sahari dengan niat kerana Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.” (HR al-Bukhari dan muslim)


Pengajaran Hadis.

1. Antara keistimewaan puasa ialah Allah S.W.T. akan menggandakan pahala bagi orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan yang dilakukan pada bulan-bulan yang lain.

2. Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan serta mengharapkan keredhaan Allah, maka baginya keampunan dari segala dosa-dosa yang pernah dilakukan itu.

3. Ramadhan adalah bulan yang paling mulia di mana di dalamnya terkandung seribu keberkatan. Malah pada bulan inilah juga Allah S.W.T menurunkan kitab al-Quran.

4. Setiap orang yang berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan-amalan yang ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan.

5.Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh meskipun sedikit tetap ada ganjarannya dan dinilai oleh Allah SWT. Ia menjadi saham yang boleh membantu manusia tersebut di akhirat kelak.

Friday, August 20, 2010

Puasa Lidah

Jumaat, 10 Ramadhan 1431H : Ibadat berpuasa bermula daripada niat di malam hari dan menahan makan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa disiang hari. Antara perkara yang perlu dijaga ketika berpuasa ialah puasa lidah. Ini didalilkan dari hadis daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Lidah merupakan punca yang menyebabkan orang yang berpuasa tidak mendapat pahala puasa selain dari lapar dan dahaga. Setengah ulama mengatakan batal puasanya. Hadis daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (HR al-Bukhari)


Pengajaran Hadis :
1. Kelebihan orang yang berpuasa bukan sahaja terletak kepada menahan makan dan minum sahaja dan perkara perkara yang membatalkan puasa, tetapi menjaga setiap anggota dari melakukan perkara yang mengosongkan pahala puasa. Bahkan inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti menjaga lidah dari mengeluarkan perkataan-perkata yang kotor atau sebagainya.

2. Orang yang berpuasa hendaklah banyak bersabar dalam menerima dugaan dan ujian daripada Allah S.W.T. Sekiranya mereka dimaki hamun dan diajak berkelahi oleh seseorang maka hendaklah ia berkata “aku berpuasa”.

3. Untuk mengelak dari melakukan perkara yang akan merosakkan pahala puasa, maka kita digalakkan agar banyak beristighfar kepada Allah, berzikir, membaca Al-Quran dan berselawat kepada Nabi dan sebagainya.

4. Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapan yang tidak baik) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala puasa oleh Allah selain mendapat lapar dan dahaga sahaja.

5. Puasa yang paling bernilai di sisi Allah S.W.T. ialah puasa orang yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat dan dosa di samping menambahkan amal ibadat sepanjang mereka berpuasa.

6. Maka amatlah malang dan ruginya bagi orang yang berpuasa, tetapi masih mengeluarkan perkataan-perkataan yang kotor memaki hamun dan sebagainya, sebagaimana biasa, sedangkan ia berpuasa, maka ia tidak mendapat apa-apa kelebihan atau pahala di sisi Allah S.W.T bahkan mendapat dosa pula.

Thursday, August 19, 2010

Mengawal Syawhat Di bulan Ramdhan

Khamis, 9 Ramadhan 1431H : Orang yang berpuasa diharamkan melakukan perkara yang halal pada siang hari seperti makan,minum dan melakukan persetubuhan bersama isteri. Walau bagaimanapun mencium isteri tidak membatalkan puasa sebagaimana hadis dari Aisyah r.ha berkata : “ Sesungguhnya Rasulullah SAW sering mencium isteri-isterinya sedangkan baginda sedang berpuasa. Kemudian Aisyah tertawa.” (HR Bukhari dan Muslim)

Aisyah r.a berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dimasjid. Dia berkata : “ Saya telah terbakar. “ Nabi bertanya : “Mengapa engkau terbakar?” Orang itu menjawab: “Saya menyetubuhi isteri saya di siang Ramadhan.” Nabi berkata kepadanya:“ Bersedekahlah engkau.” Dia menjawab: “Tidak ada sesuatu pun yang dapat aku sedekahkan.” Sesudah itu dia pun duduk dan datanglah kepada Nabi seorang yang menuntun keldai yang membawa makanan(Abdul Rahman salah seorang perawi hadis ini berkata: “Saya tidak mengetahui makanan apa yang dibawa itu). Maka Nabi pun berkata : “Mana orang yang sudah terbakar?” Orang itu menjawab : “Ini saya.” Berkata nabi:“ Ambillah makanan ini dan sedekahkanlah.” Orang itu bertanya :“Adakah orang yang lebih berhajat daripada kami, sedangkan ku tidak mempunyai makanan?” Nabi bersabda : “ makanlah makanan itu bersama-sama keluarga mu.” (HRBukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadis :

1. Mencium isteri tidak membatalkan puasa. Namun bagi orang yang tidak kuat menahan nafsunya hal tersebut tidak digalakkan kerana ia akan membawa kepada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

2. Orang yang bersetubuh di siang hari bulan Ramadhan maka puasanya menjadi batal. Sebagai hukumannya, dia hendaklah membayar kaffarah berdasarkan tertib seperti berikut; memerdekakan seorang budak, jika tidak sanggup dia hendaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut, jika tidak sanggup maka hendaklah memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.

3. Jauhilah perkara yang boleh meransang syawhat dibulan Ramadhan. Jika yang halal dilarang apatah lagi maksiat zina yang terang-terang diharam dalam Islam.

Wednesday, August 18, 2010

Ramadhan Bulan Bersedekah

Rabu, 8 Ramadhan 1431H ; Ramadhan pengulu segala bulan yang penuh berkah dan kelebihan-kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT diantaranya ialah bersedekah di bulan Ramadhan amat dituntut. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.” (HR at- Tirmidzi )

Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, "bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.” (HR Bukhari dan Muslim)

Memberi makan kepada yang yang berpuasa juga merupakan sedekah. Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun”. (HR At-Tirmidzi)

Pengajaran Hadis:

1) Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.

2) Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.

3) Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan-bulan lain juga kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya di mana seseorang itu akan dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

4) Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.

5) Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk melipatgandakan amal kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi atau personal dan merupakan rahsia antara seorang manusia dengan Tuhannya.

6) Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadatnya pada bulan Ramadhan sahaja. Tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik. Sabda Rasulullah yang bermaksud : "Sekiranya umatku mengetahui kebaikan yang ada di dalam Ramadhan nescaya mereka akan menginginkan agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan."

7) Umat Islam yang berpuasa Ramadhan digalakkan melakukan amal soleh sebanyak mungkin seperti bersedekah, menolong orang yang susah, memberi atau menjamu makanan bagi orang yang berpuasa dan sebagainya kerana sedekah yang paling afdhal ialah bersedekah di bulan yang mulia iaitu di bulan Ramadhan.

8) Islam merupakan agama yang sangat menitikberatkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. Oleh itu segala perkara yang dapat melahirkan persefahaman, kasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain tidak pernah diabaikan.

Tuesday, August 17, 2010

Kelonggaran Berbuka Puasa Ramadhan.

Selasa, 7 Ramadhan 1431H : Puasa dibulan Ramadhan adalah diwajibkan ke atas orang Islam, walau bagimanapun Allah maha pengasih lagi penyayang memberi kelonggaran kepada hamba-hamba atas sebab-sebab yang diizinkan oleh agama. Walau bagaimanapun Rasulullah s.a.w memberi peringatan kepada orang yang berbuka tanpa sebarang alasan. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sesiapa yang berbuka puasa Ramadhan bukan kerana rukhsah (kelonggaran) yang dirukhsahkan oleh Allah, tidak dapat diqadha’kan dengan puasa setahun walaupun ia betul-betul (melakukan) puasa setahun itu.” (HR Abu Daud, Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

Orang yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan kerana terlupa, maka tidak wajib qadha dan tidak wajib kifarat kerana terdapat sebuah hadis Rasulullah s.a.w menyebutkan yang maksudnya: "Apabila ia (orang yang berpuasa) lupa, kemudian ia makan dan minum, maka hendaklah ia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah-lah yang telah memberi makan dan minum kepadanya" (HR Bukhari dan Muslim). "

Pengajaran Hadis:

i) Orang sakit. Ketentuan sakit untuk tidak berpuasa adalah sakit yang menyebabkan penderitaan atau menjadi semakin parah jika terus berpuasa, atau akan semakin lambat sembuhnya sesuatu penyakit. Di sisi syarak peranan ahli perubatan (doktor) adalah sangat penting dan diperlukan untuk menentukan apakah seseorang pesakit itu boleh berpuasa ataupun tidak.

ii) Kelonggaran yang biasa diharuskan untuk berbuka puasa itu ialah seperti kepada orang yang terlalu tua atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh, orang yang sedang bermusafir, wanita yang mengandung dan menyusukan anak yang ditakuti akan mendatangkan mudharat kepada diri atau pun anaknya dan beberapa jenis keadaan sakit yang lain. Manakala sakit yang ringan seperti sakit kepala dan sebagainya tidak diharuskan meninggalkan puasa. Walhal meninggalkan puasa walaupun sehari, dengan sengaja tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak merupakan satu dosa besar sebagaimana yang pernah tersebut di dalam hadis.

iii) Wanita yang haid dan wanita yang keluar darah nifas adalah golongan yang wajib berbuka puasa tetapi diwajibkan mengqada’kan semula puasanya di bulan yang lain.

iv) Puasa tidak wajib hukumnya ke atas kanak-kanak yang belum baligh tetapi hendaklah dididik dan dibiasakan semenjak kecil untuk berpuasa

Monday, August 16, 2010

Keberkatan Berbuka Puasa

Isnin, 6 Ramadhan 1431H; Orang yang berpuasa disunatkan supaya jangan melengah-lengahkan waktu berbuka apabila sudah sampai waktunya kerana banyak keberkatan yang ada padanya sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Manusia tidak henti-hentinya mendapat kebaikan selama mereka mempercepatkan berbuka puasa.”( HR Bukhari dan Muslim)

Orang yang berpuasa juga disunatkan berbuka dengan buah kurma atau berbuka dengan air kosong terlebih dahulu. Ini berdasarkan hadis daripada Salman bin Amir Addabbi Assohaabi r.a. daripada Nabi s.a.w. bersabda: “Jika seseorang kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma. Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong. Sesungguhnya air itu bersih lagi suci”. (HR Abu Daud dan at-Tirmidzi).

Pengajaran Hadis:
  1. Menyegerakan berbuka adalah antara perkara yang disunatkan di dalam Islam kerana ia membezakan antara cara puasa oarang-orang Yahudi dan Nasrani yang sengaja melambat-lambatkan waktu berbuka.

  2. Sunat berbuka puasa dengan tamar (kurma) sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Ini adalah kerana tamar mengandungi karbohidrat yang tinggi di samping mengandungi asid amino. Di antaranya ialah triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan.

  3. Antara hikmah disunatkan berbuka dengan buah tamar juga adalah kerana kandungan gula di dalam kurma adalah lebih mudah diserap oleh badan berbanding dengan makanan manis yang lain di mana badan akan segera kembali segar setelah seharian berpuasa. Sebaliknya jika seseorang itu berbuka puasa dengan memulakan pengambilan makanan yang berat tanpa memulakan makanan yang manis, maka gula yang diambil kemudiannya memerlukan waktu yang lebih lama iaitu antara 3-4 jam sebelum dapat diserap oleh usus.

  4. Dari sudut perubatan puasa itu sendiri sebenarnya merupakan satu kaedah perubatan yang dapat mengubati gangguan usus selain boleh mengawal berat badan dan mengubati penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

  5. Setiap Muslim hendaklah memastikan bahawa makanan yang dimakan sewaktu berbuka adalah yang halal dan bersih bukan makanan yang haram atau syubhat selain berwaspada dengan kuantiti makanan yang diambil itu sendiri iaitu janganlah terlalu banyak sehingga menyebabkan badan terasa berat untuk mengerjakan ibadat seperti solat terawih dan sebagainya

  6. Rutob ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering. Ianya lembut dan manis. Manakala tamar ialah buah kurma yang sudah kering.

  7. Orang yang berpuasa disunatkan berbuka dengan rutob atau kurma atau meminum air biasa jika ketiadaan kurma. Inilah tertib yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

  8. Hikmah disunatkan kita berbuka dengan tamar ialah kerana kurma dipercayai mengandungi glukosa yang mampu memberikan tenaga segera kepada badan. Ia juga dipercayai kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A & C serta zat mineral seperti besi, kalsium, sodium dan potassium. Kandungan protein di dalam sebiji kurma adalah kira-kira 1.8 hingga 2.0%, serat 2.0 hingga 4.0% manakala kandungan gulanya adalah 50 hingga 57%.

  9. Sesiapa yang berpuasa dengan ikhlas kerana Allah, kemudian beramal mengikut sunnah Rasulullah SAW akan diberi ganjaran pahala di akhirat serta mendapat nikmat dan rahmat Allah SWT di dunia dan akhirat.

Friday, August 13, 2010

Ramadhan - Bersahur

Jumaat; 3 Ramadhan 1431H : Bulan Ramadhan Allah SWT menganugerahkan rahmatNya yang tidak terhingga sehinggakan orang yang berpuasa akan mendapat kelebihan jika bangun bersahur. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.” ( HR Bukhari & Muslim )

Kita juga disunat melambatkan waktu bersahur sebagaimana hadis daripada Zaid bin Sabit r.a. katanya: “Kami pernah bersahur bersama-sama Rasulullah s.a.w. Selepas itu kami berdiri untuk menunaikan solat subuh, kamipun bertanya kepada baginda: “Berapa jarak sebenar di antara kedua-dua itu? (di antara makan sahur dengan sembahyang subuh)”. Baginda pun menjawab: “sekira-kira cukup membaca lima puluh ayat”. (HR Bukhari & Muslim)

Pengajaran Hadis:

1.. Orang yang hendak makan sahur disunatkan melambatkan berbuat demikian sehingga hampir dengan waktu subuh.

2. Jarak yang paling afdhal untuk bersahur dengan masuknya waktu subuh ialah sekadar lama bacaan lima puluh ayat al-Quran.

3. Umat Islam digalakkan bersahur kerana perbezaan antara puasa orang-orang Islam dengan puasa ahli Kitab ialah dengan makan sahur.

4. Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar namun disunatkan untuk mengakhirkan waktu bersahur iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.

5. Mengantuk dan letih tidak boleh dijadikan alasan untuk enggan bersahur kerana sahur dapat membantu menguatkan badan orang yang berpuasa untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, di samping sahur itu sendiri adalah satu amalan sunat yang berkat. Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani, yang dimaksud dengan berkat (barakah) itu ialah akan mendapat ganjaran dan pahala di mana Allah akan merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat juga akan mendoakannya.

6. Pengambilan makanan sahur adalah titik yang membezakan antara puasa penganut agama lain dengan puasa kaum muslimin kerana penganut lain tidak bersahur sebelum berpuasa.

7. Waktu sahur adalah waktu yang paling mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T.

8. Sahur itu boleh dilakukan dengan sedikit makan walaupun cuma seteguk air. Namun tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit pasti akan mengganggu kesihatan.

Thursday, August 12, 2010

Hakikat Puasa

Khamis, 2 Ramadhan 1431H : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Puasa itu perisai dan benteng yang membentengi dari sentuhan api neraka.” ( HR Ahmad dan Baihaqi ).

Pengajaran Hadis:

i) Seorang Muslim yang sejati ialah orang yang menunggu-nunggu kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh persediaan, rindu untuk mengerjakan ibadah puasa dan bercita-cita untuk memenuhi setiap detik Ramadhan dengan pengisian yang bukan sahaja perkara wajib malah berbagai-bagai perkara sunat yang lain.

ii) Oleh itu puasa sepatutnya menjadi pemadam dosa apabila segala ibadat yang dilakukan diterima oleh Allah S.W.T di mana orang-orang yang seperti inilah yang diharamkan jasadnya daripada api neraka.

iii) Di antara ibadat-ibadat yang sangat digalakkan dilakukan bagi meraih keampunan Allah S.W.T itu ialah melakukan :

a) Solat Sunat - solat tarawikh, solat witir, solat dhua, solat tahjud, solat taubat, solat hajat,dan solat-solat sunat yang lain.
b) Membaca al-Quran - memahaminya dan mengamalkan semua yang terkandung dalam AlQuran. Sebaik-baiknya khatam Al Quran dalam bulan Ramadhan. Bertadarus samada bersama jemaah masjid atau surau atau bersama keluarga.
c) Beriktikaf di dalam masjid khususnya 10 terakhir ramadhan.
d) Memperbanyakkan zikir pagi dan petang serta waktu malam.
e) Banyak berdoa.
f) Banyak beristighfar.
g) Membanyakkan sedekah.
h) Menjamu orang berbuka puasa.
i) Mengerjakan umrah (bagi yang mampu).

Namun amalan-amalan ini hendaklah dikerjakan dengan hati yang ikhlas kerana Allah bukan untuk menunjuk-nunjuk kerana di situlah letaknya keberkatan sesuatu amalan yang dilakukan.

iv) Puasa sebenarnya menggariskan undang-undangnya yang tersendiri dan jika dipraktikkan dengan penuh ketaatan terbukti ia akan mampu mendidik dan mengasuh jiwa yang rakus menjadi lembut seperti malaikat yang sentiasa melakukan ibadah dalam mencari keredaan Allah S.W.T.

Allah SWT berfirman : "Wahai orang yang beriman, diwajibkan berpuasa kepada kamu sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu menjadi orang bertakwa"

Tuesday, August 10, 2010

Khutbah Menjelang Ramadhan

Selasa, 29 Syaaban 1431H : Rasulullah SAW bersabda , diriwayatkan oleh Salman ra,“ Pada hari terakhir Sya'aban, Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami ":

“ Wahai manusia kini muncul kepadamu satu bulan yang besar (mulia), bulan yang tersangat berkat terkandung di dalammya satu malam yang terlebih tinggi nilainya daripada seribu bulan.

"Inilah bulan yang Allah fardhukan puasa di siang hari dan menjadikan solat Tarawih sebagai sunnah di malam hari."

"Sesiapa yang ingin menghampirkan diri kepada Allah (taqarrub) melalui amalan baik dibulan ini, maka akan dibalas kepadanya dengan ganjaran seolah-olah dia melakukan amalan fardhu dibulan lain pada tahun itu.

"Barangsiapa melakukan amalan fardhu akan dibalas kepadanya dengan tujuh puluh amalan fardhu pada bulan lain. "

" Ini sesungguhnya bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran yang sejati ialah “Jannah”.

"Inilah bulan simpati terhadap sesama lainnya, dibulan inilah rezeki orang-orang beriman bertambah.

Barangsiapa memberi makan ( untuk berbuka puasa ) kepada orang yang berpuasa maka dibalas kepadanya dengan keampunan terhadap dosa-dosanya dan bebas daripada api neraka Jahannam dan dia juga memperolehi ganjaran yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tadi tanpa sedikitpun mengurangi pahala orang yang berpuasa itu."

Maka kami pun berkata: “Ya Rasulullah tidak kesemua kami mempunyai sesuatu yang dapat diberikan kepada orang yang berpuasa makan untuk mereka berbuka." ?

Jawab Rasulullah SAW, “Allah akan mengurniakannya balasan kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar kepada orang yang berpuasa, ataupun seteguk air atau sehirup susu untuk dia berbuka puasa."

"Inilah bulannya yang pada awalnya Allah menurunkan Rahmat, dipertengahannya Allah memberikan keAmpunanNya dan pada akhirnya Allah memBebaskan hambaNya daripada api neraka Jahaanam.”

Di dalam bulan ini berusahalah segiat-giatnya memperbanyakkan empat perkara.

Dua di antaranya ialah untuk menyukakan Allah SWT sedangkan yang dua lagi kamu tidak boleh lakukan tanpaNYa. Perkara yang dapat menyukakan Allah SWT ialah kamu hendaklah memperbanyakkan membaca kalimah tayyibah dan beristighfar.

Dan perkara yang kamu tidak dapat lakukan tanpanNya ialah kamu bermohon kepada Allah untuk masuk Syurga dan berlindung denganNya daripada dicampak ke dalam neraka Jahannam.

Barangsiapa memberi minum kepada orang yang berpuasa, maka Allah akan memberikannya minuman daripada telaganya ( haud ) yang sekali minum dia tidak akan kedahaga lagi sehinggalah dia memasuki `Jannah’.”

( Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah didalam sahihnya).

Monday, August 9, 2010

Selamat Datang Ramdhan AlMubarak 1431H

Isnin, 28 Syaaban 1431H : Insyallah, umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada hari Rabu atau Khamis ini. Mari kita menyingkap serba sedikit tentang bulan Ramadhan yang agong ini. Ramadan dalam Bahasa Arab: رمضان, transliterasi: Ramadān, terjemahan harfiah: "panas terik"dan biasa digelar "Ramadan Al-Mubarak, adalah merupakan bulan yang ke-9 dan bulan paling suci di dalam kalendar Islam. Seperti bulan Islam lain, bulan ini mempunyai 29 atau 30 hari. Pada bulan ini umat Islam ini diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub dalam al-Qur'an yang bermaksud:

Bulan Ramadan, yang di dalamnya diturunkan al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu...”(Surah Al Baqarah, Ayat 185).

Daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; “Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan (hilal) dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bulan tersebut (tiga puluh hari).

Puasa ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai daripada terbit fajar hingga tenggelam matahari. Umat Islam adalah diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan apabila sahaja ternampaknya hilal iaitu anak bulan, dan disertai pula pengisytiharan bermulanya puasa oleh pihak yang berkuasa. Islam juga telah memberi garis panduan kepada umatnya untuk menentukan tarikh puasa dan juga hari raya dengan mengikut rukyah atau pun hisab. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. iaitu ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui Allah di hari akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.” (HR Bukhari & Muslim)

Puasa merupakan perkara ‘dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum. Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadhan berlangsung.

Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T. Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadhan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.

Ramadhan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.

Bulan Ramadan merupakan masa untuk umat Islam berfikir dan merenung diri sendiri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Diharapkan dengan berpuasa dari fajar hingga senja umat Islam akan dapat mempertingkatkan disiplin diri dan menjadi pemurah, dengan mengingati kesusahan hidup sebahagian manusia yang miskin papa.

Friday, August 6, 2010

Hadis :Rebutlah Rahmat Allah di Bulan Ramadhan

Jumaat ; 25 Syaaban 1431H : Rasulullah SAW bersabda: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan….menyerulah Malaikat, katanya: "Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan: Tampillah mengerjakannya, dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan; berhentilah dari meneruskannya; dan (ketahuilah) Allah banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya."Seruan dan keampunan yang demikian, ada pada tiap-tiap malam (dalam bulan yang tersebut)." (HR Abu Hurairah r.a)

Pengajaran hadith:

i) Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling mulia dan diberkati oleh Allah S.W.T.

ii) Tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda berbanding pada bulan-bulan yang lain.

iii) Umat Islam diseru agar tidak mensia-siakan keberkatan di bulan ini ,malah sewajarnya merebut peluang yang ada dengan menambahkan lagi ibadat dan amal kebajikan.

iv) Bersempena dengan kemuliaan bulan ini juga umat Islam ditegah daripada mendekati perkara yang dilarang dan mungkar kerana pada bulan ini rahmat dan kasih sayang Allah amat luas sehingga orang-orang yang telah dijanjikan neraka sekalipun akan dibebaskan oleh Allah dengan berkat kebaikan yang dilakukannya

v) Tiap-tiap malam dalam bulan Ramadhan, malalikat menyeru kepada manusia untuk keampunan daripada Allah dan membebaskan mereka daripada api neraka..

Thursday, August 5, 2010

Hadis : Amal Baik & Buruk di Bawa Hingga Mati

Khamis, 24 Syaaban 1431H :Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Sesiapa yang memberi contoh yang baik dalam Islam maka ia akan memperolehi pahala dan pahala orang yang beramal selepas ia meninggal tanpa kurang sedikit pun daripada pahala mereka dan siapa yang memberi contoh yang buruk di dalam Islam maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang beramal dengannya selepas ia meninggal dunia tanpa kurang sedikitpun daripada dosa mereka.” ( HR Muslim )


Huraian

i) Kita hendaklah berusaha sedaya upaya mengawal tingkahlaku menurut syariat Islam agar dapat menunjukkan contoh teladan yang baik kepada orang lain. Sekiranya perbuatan kita yang baik itu menjadi ikutan orang lain maka kita akan diberi ganjaran pahala seolah-olah kita juga melakukannya walaupun kita sudah meninggal dunia. Contohnya amalan suka bersedekah, amlan mengerjakan solat berjemaah, mengajarkan ilmu yang baik, menjaga aurat dan sebagainya.

ii) Sebaliknya jika kita menunjukkan sikap dan perangai yang buruk yang bertentangan dengan syariat Islam kepada orangramai, bukan sahaja kita akan mendapat kejian dan cacian malah sesiapa yang menjadikan kita sebagai ikutan mereka dengan bersikap suka menipu, berkelakuan tidak senonoh dan seumpamanya maka kita juga akan mendapat dosa yang sama seperti orang yang melakukannya walaupun kita sudah meninggal dunia.

iii) Oleh itu berusahalah untuk menjadi individu yang baik dan terpuji kerana cerminan akhlak dan peribadi yang mulia akan menjulang syiar Islam serta menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.

iv) Sebaik-baik amalan atau akhlak untuk diikuti dan dijadikan idola ialah akhlak Rasulullah SAW.

Wednesday, August 4, 2010

Hadis : Jangan Bertangguh Melakukan Amalan-Amalan Baik

Rabu, 23 Syaaban 1431H ;Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:“Bersegeralah kamu semua untuk melakukan amalan-amalan yang baik sebelum datang tujuh perkara: Adakah kamu semua menunggu sehingga menjadi fakir yang melalaikan diri kamu semua, atau pun kekayaan yang menjadikan diri kamu curang, atau sakit yang membawa kebinasaan tubuh badan, atau tua yang menjadi nyanyuk, atau mati dengan tiba-tiba, atau pun kedatangan pengaruh dajjal yang ianya adalah seburuk buruk makhluk yang tidak dapat dilihat yang memang dinanti-nanti kedatangannya, ataupun datangnya hari qiamat pada hal hari qiamat itu adalah hari yang paling dahsyat bencananya serta pahit pula penderitaannya” ( HR At-Tarmizi )


Huraian :

1. Umat Islam dilarang menangguh-nangguh dan berlambat-lambatkan amal ibadat yang diamanahkan kepada mereka.

2. Kekayaan dan kemiskinan tidak menghalang seseorang itu menambah amalan untuk beribadat kepada Allah kerana kekayaan dan kemiskinanan merupakan satu dari ujian kehidupan.

3. Buatlah amalan sebanyak mungkin semasa tubuh masih sihat dan semasa usia masih muda seelum menjadi tua dan nyanyuk.

4. Kedatangan dajjal dan qiamat akan berlaku pada bila-bila masa. Oleh itu jangan bertangguh dan beranggapan ia tidak akan berlaku atau menanti kedatangannya kerana ia adalah seburuk-buruk kedatangan kepada manusia.

5. Terdapat setengah golongan yang menjadi sibuk dan leka dengan kekayaan dan ada pula menjadi kufur disebabkan hidup menjadi fakir.