Tuesday, August 30, 2022

Jauhi Dengki, Marah dan Memutuskan Ukhuwah

Selasa, 2 Safar 1444H: Jauhi Dengki, Marah dan Memutuskan Ukhuwah

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَقَاطَعُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Daripada Anas RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Janganlah kalian saling berdengki, saling marah, dan jangan pula saling memutuskan hubungan satu sama lain. Tetapi jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara." 

(HR Muslim No: 4642) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Sebagai Muslim kita dilarang saling berdengki sesama Muslim

2.Elakkan dari berkelahi dan memarahi sesama Muslim.

3.Muslim juga dilarang memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim sesama kita.

4.Berusahalah menjaga ukhuwah sesama Muslim kerana orang Mukmin itu bersaudara.

5.Sifat dengki dan tidak boleh mengawal marah yang ada pada seseorang menjadi penyebab putusnya hubungan ukhuwah dan silaturrahim.

Monday, August 29, 2022

Jaga Hak Allah, Diri dan Masyarakat

Isnin, 1 Safar 1444H: Jaga Hak Allah, Diri dan Masyarakat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَأْخُذُ عَنِّي هَؤُلَاءِ الْكَلِمَاتِ فَيَعْمَلُ بِهِنَّ أَوْ يُعَلِّمُ مَنْ يَعْمَلُ بِهِنَّ فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَقُلْتُ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَخَذَ بِيَدِي فَعَدَّ خَمْسًا وَقَالَ اتَّقِ الْمَحَارِمَ تَكُنْ أَعْبَدَ النَّاسِ وَارْضَ بِمَا قَسَمَ اللَّهُ لَكَ تَكُنْ أَغْنَى النَّاسِ وَأَحْسِنْ إِلَى جَارِكَ تَكُنْ مُؤْمِنًا وَأَحِبَّ لِلنَّاسِ مَا تُحِبُّ لِنَفْسِكَ تَكُنْ مُسْلِمًا وَلَا تُكْثِرْ الضَّحِكَ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ

Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Siapakah yang mahu mengambil beberapa kalimat daripadaku lalu mengamalkannya atau mengajarkan pada orang yang akan mengamalkannya?" 

Abu Hurairah menjawab: Saya, wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah memegang tanganku lalu menyebut lima perkara; Jauhkanlah larangan-larangan nescaya kamu akan menjadi orang yang paling beribadah, terimalah pemberian Allah dengan rela nescaya engkau akan menjadi orang paling kaya, berbuat baiklah kepada jiran tetangga nescaya kamu akan menjadi orang yang benar-benar beriman, kasihilah orang lain sepertimana engkau mengasihi dirimu sendiri nescaya engkau akan menjadi orang muslim yang sebenar-benarnya dan, janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa akan mematikan hati." 

(HR Tirmidzi No: 2227) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Rasulullah SAW mengajar kepada kita untuk mengambil pesanan baginda bagi di amalkan dan disampaikan kepada orang lain. Antara pesanan untuk dilaksanakan dan disampaikan:

a.Jauhi larangan dan tegahan seperti minum arak, mencuri, meninggalkan perintah wajib umpama solat dan sebagainya agar kita menjadi orang yang paling beribadat.

b.Merasa reda dan puas hati dengan apa yang dikurniakan Allah. Tidak merasa keluh kesah, kecewa serta tamak dengan apa yang dimiliki. Yakin setiap sesuatu itu adalah ketentuan taqdir Allah nescaya kita akan menjadi orang yang paling kaya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW baginda bersabda: "Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati." (HR Bukhari No: 5965)

c.Berbuat baik kepada jiran tetangga dengan sentiasa menyayangi, memberi pertolongan, menziarahi, tidak menyakitinya sama ada dengan perbuatan, perkataan dan sebagainya. Menjaga hak jiran sama ada Muslim mahupun tidak, adalah bukti kesempurnaan iman.

d.Mengasihi orang lain sepertimana kita mengasihi diri sendiri adalah bukti keislaman dan keimanan seseorang. Tidak boleh menzalimi dan menganiaya serta menyakiti saudara kita. Firman Allah:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَة
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara (Hujurat: 10)

e.Jangan banyak ketawa kerana banyak gelak ketawa akan melalaikan seseorang daripada mengingati Allah serta akan menjadi penyebab menghalang cahaya petunjuk dan boleh mematikan hati.

2. Marilah kita menjaga hak Allah, hak diri dan hak manusia. Peliharalah hubungan yang baik sama ada hubungan dengan Allah juga dengan masyarakat seluruhnya.

Friday, August 26, 2022

Akhlak Muslim

 Jumaat, 28 Muharram 1444H: Akhlak Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: 'Janganlah kalian saling mendengki, saling memfitnah, saling membenci, dan saling memusuhi. Janganlah ada seseorang di antara kalian yang berjual beli sesuatu yang masih dalam penawaran muslim lainnya dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara. Muslim yang satu dengan muslim yang lainnya adalah bersaudara tidak boleh menyakiti, merendahkan, ataupun menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya), Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Seseorang telah dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim. Muslim yang satu dengan yang Iainnya haram darahnya. hartanya, dan kehormatannya." 

(Sahih Muslim No: 4650) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Islam melarang umatnya berakhlak buruk antaranya:

a.Mendengki
b.Memfitnah
c.Membenci
d.Memusuhi
e.Membeli sesuatu yang telah dibeli atau dijanjikan kepada orang lain

2.Setiap Muslim adalah bersaudara. Muslim dilarang berbuat zalim dengan Muslim yang lain antaranya dengan cara:

a.Menyakiti
b.Merendahkan
c.Menghina

3.Takwa itu di dada (rasa taat dan patuh kepada Allah itu terletak di dalam hati)

4.Seseorang Muslim dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim.

5.Penghinaan boleh berlaku apabila seseorang meremeh, memperlekeh juga merendahkan orang lain sama ada dengan perkataan atau perbuatan termasuk kesalahan mereka. Penghinaan ini adalah bentuk sifat sombong dan bangga diri serta menganggap dirinya lebih mulia dari orang tesebut.

6.Muslim sesama Muslim dilarang:

a.Menumpahkan darah sesama Muslim
b.Menzalimi hartanya
c.Merendahkan kehormatannya

Thursday, August 25, 2022

Jadilah Hamba Allah Yang Bersaudara

 Khamis, 27 Muharram 1444H: Jadilah Hamba Allah Yang Bersaudara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara." 

(Sahih Bukhari No: 5717) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Islam mengajar agar kita menjauhi prasangka buruk kepada orang lain

2.Islam menyuruh agar tidak mendiamkan diri jika kemungkaran berlaku di hadapan kita (perlu dicegah atau dinasihat)

3.Muslim dilarang mencari-cari isu atau kelemahan orang lain.

4.Setiap kita juga dilarang saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci terhadap saudara Muslim kita yang lain.

5.Setiap Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim.

Tuesday, August 23, 2022

Mengasihi Akan Dikasihi

 Selasa, 25 Muharram 1444H: Mengasihi Akan Dikasihi

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَبَّلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ وَعِنْدَهُ الْأَقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ التَّمِيمِيُّ جَالِسًا فَقَالَ الْأَقْرَعُ إِنَّ لِي عَشَرَةً مِنْ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا فَنَظَرَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ مَنْ لَا يَرْحَمُ لَا يُرْحَمُ

Bahawa Abu Hurairah RA berkata; "Rasulullah SAW pernah mencium Al-Hasan bin Ali sedangkan di samping baginda ada Al-Aqra' bin Habis At-Tamimi sedang duduk, lalu Aqra' berkata; "Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka sekali pun," maka Rasulullah SAW memandangnya dan bersabda: "Barang siapa tidak mengasihi maka ia tidak akan dikasihi." 

(Sahih Bukhari No: 5538) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Setiap kita wajib memiliki sifat pengasih dan penyayang terhadap orang lain khususnya kepada anak-anak kecil.

2.Satu daripada cara mengasihi dan menyayangi anak-anak kecil adalah mencium dengan penuh kasih sayang seperti Rasulullah SAW mencium cucunya Saidina Hassan.

3.Belailah dan kasihilah anak-anak kita dengan penuh kasih sayang.

4.Sesiapa yang tidak memiliki sifat untuk mengasihi orang lain, sesungguhnya Allah tidak akan mengasihinya.

Monday, August 22, 2022

Berilah Salam Walaupun Pada Kanak-kanak

Isnin, 24 Muharram 1444H: Berilah Salam Walaupun Pada Kanak-kanak

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى غِلْمَانٍ فَسَلَّمَ عَلَيْهِم

Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW pernah bertemu dengan beberapa orang anak kecil, lalu baginda memberi salam kepada mereka.

(Sahih Muslim No: 4031) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Rasulullah SAW mengajar kita berakhlak mulia walau dengan sesiapapun

2.Antara akhlak mulia ialah mengucapkan salam apabila bertemu dengan orang Islam.

3.Rasulullah SAW memberi salam walaupun kepada kanak-kanak kecil

Friday, August 19, 2022

Kemanisan Iman

Jumaat, 21 Muharram 1444H: Kemanisan Iman Kerana Cinta Dan Benci

عن أنسٍ رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Ada tiga perkara, barangsiapa ada pada dirinya tiga perkara ini, maka dia akan merasakan manisnya iman (iaitu, yang pertama): Allâh Azza wa Jalla dan Rasul-Nya lebih dia cintai berbanding dengan yang lain, (kedua) dia mencintai seseorang dan dia tidak mencintai kecuali kerana Allâh dan (ketiga) dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan kedalam api neraka"

(Sahih Muslim No: 43) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Tiga perkara jika dimiliki oleh seorang Muslim akan menjadikannya memperoleh kemanisan iman:

a.Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selain keduanya.

b.Apabila ia mencintai seseorang, ia hanya mencintainya kerana Allah.

c.Ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

2.Mencintai Rasulullah SAW mewajibkan adanya penghormatan, ketundukan dan mengikuti serta mencontohi apa yang dilakukan oleh baginda (mengagungkan sunnahnya).

3.Di antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan mengamalkan Sunnahnya, menghidupkan, dan mengajak kaum Muslimin untuk mengamalkannya, serta berjuang membela As-Sunnah dari orang-orang yang mengingkari As-Sunnah dan melecehkannya. Termasuk cinta kepada Nabi SAW adalah menolak dan mengingkari semua bentuk bidah dan kesesatan.

4.Mencintai seseorang adalah semata-mata kerana Allah sebagai tanda mencapai kemanisan iman. Ibnul Qayyim berkata: “Setiap kecintaan dan pengagungan kepada manusia hanya dibolehkan dalam rangka mengikuti kecintaan dan pengagungan kepada Allah. Mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW adalah penyempurnaan kecintaan dan pengagungan kepada Allah”.

5.Buktikan kemanisan iman kita dengan mencintai saudara kita yang lain seperti mana kita mencintai diri kita sendiri.

6.Kemanisan iman juga tercapai apabila kita tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkan kita, sebagaimana kita tidak mahu (benci) untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

Thursday, August 18, 2022

Disayangi Penghuni Langit

Khamis, 20 Muharram 1440H: Menyayangi Untuk Disayangi

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:"الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ارْحَمْ مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكَ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Daripada Abdullah bin Amir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang yang menyayangi (orang lain) pasti akan disayangi Allah. Sayangilah setiap penduduk bumi, nescaya engkau akan disayangi para penghuni langit” 

(Mu’jam Awsat li al-Tabarani No: 9009) Maktabah al-Maarif Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Menjadi tanggungjawab setiap Muslim memiliki sifat penyayang mengikut panduan syarak.

2.Orang yang menyayangi makhluk nescaya Allah akan menyayanginya

3.Orang yang mengasihi orang lain, dia akan disayangi oleh penghuni dilangit

4.Sifat saling menyayangi datang daripada mereka yang memiliki kejernihan jiwa dan kesucian rohani

Wednesday, August 17, 2022

Rahmah Terhadap Orang Jahil

 Rabu, 19 Muharram 1444H: Rahmah Terhadap Orang Jahil

عن أنس بن مالك بَيْنَمَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَقَامَ يَبُولُ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْ مَهْ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ دَعُوهُ فَتَرَكُوهُ حَتَّى بَالَ ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ أَوْ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَمَرَ رَجُلًا مِنْ الْقَوْمِ فَجَاءَ بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَشَنَّهُ عَلَيْهِ

Daripada Anas B. Malik RA. Beliau berkata: “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing didalam masjid. Para sahabat Rasulullah SAW ingin mengertaknya, tetapi Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” 

Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah SAW memanggil dan menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan membuat kotor, masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca al-Quran.” Atau sebagaimana sabda Nabi SAW yang sesuai. Setelah itu, Nabi SAW memerintahkan seorang sahabat untuk mengambil satu baldi air dan menyiram keatas kencingnya.” 

(HR Muslim, 2/133, no. 429). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Masjid merupakan tempat suci yang perlu dijaga kebersihan dan kesuciannya.

2.Masjid adalah tempat untuk berzikir (mengingati Allah), melaksanakan solat, membaca al-Quran, dan majlis ilmu.

3.Rasulullah SAW menunjukkan akhlak dan kebijaksanaan dalam menangani orang yang jahil iaitu dengan cara lemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Walaupun kencing di masjid adalah suatu kesalahan dan termasuk perbuatan mengotorkan masjid, tetapi Rasulullah SAW tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan.

4.Sikap lemah-lembut dan kesantunan lebih memberi kesan dalam penyampaian dakwah kerana ianya boleh menarik dan mendekatkan sasaran kepada kebenaran. Sebaliknya kekasaran akan menyebabkan sasaran menjauhkan diri.

5.Islam mengajar kaedah menolak kemudaratan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika orang yang sedang kencing tersebut dicegah dengan tiba-tiba, mungkin ia akan mengakibatkan mudarat yang lebih besar. Mungkin ia akan terkejut lalu lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya bersepah-sepah. Akhirnya najis tersebut akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya, serta terpalit ke tubuh-badannya pula.

6.Kebijaksanaan Rasulullah SAW, dengan tidak diperlakukan orang jahil itu dengan kasar yang mungkin hanya akan menjadikannya malu atau marah. Rasulullah berjaya menasihati dengan lemah-lembut dan penuh hikmah kepada Badwi tersebut.

7.Kita tidak boleh mencegah sesuatu kemungkaran dengan cara yang salah serta terburu-buru. Juga tidak boleh mencegah sesuatu keburukan dengan cara yang buruk juga.

8.Kita hendaklah meneliti di antara maslahah (kebaikan) dan mafsadahnya (keburukan) dengan pertimbangan yang tepat. Kita tidak boleh mengingkari sesuatu kemungkaran dengan suatu kemungkaran yang lain. Kita juga tidak boleh mengingkari kemungkaran sehingga menyebabkan berlaku kemungkaran yang lebih besar lagi.

Tuesday, August 16, 2022

Jadilah Pengasih Untuk Dirahmati Allah

 Selasa, 18 Muharram 1444H: Jadilah Pengasih Untuk Dirahmati Allah

سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ

Daripada Saad bin Ubadah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah hanya merahmati hamba-hambaNya yang pengasih" 

(HR Bukhari No: 1284). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Sifat penyayang dan pengasih adalah dituntut pada setiap Muslim

2.Allah hanya merahmati Muslim yang memiliki sifat kasih sayang kepada sesama manusia dan makhluk lain untuk diberi ganjaran syurga.

3.Milikilah sifat kasih sayang terhadap orang lain. Antaranya ialah sifat membantu mereka yang sedang menghadapi musibah, sama ada dengan wang ringgit, tenaga mahupun pandangan dan nasihat.

4.Kasihilah orang lain dengan mendoakan kebaikan, memaafkan mereka, menolong orang yang dalam kesusahan, membantu orang yang sedang kesempitan, memberi makan orang yang kelaparan serta mengunjungi orang sakit dan yang ditimpa musibah.

5.Jika kita benci atau tidak suka kepada kejahatan seseorang, lakukan dengan cara yang dibenarkan syarak bukan dengan cara memaki hamun dilaman sosial.

Friday, August 12, 2022

Tidak Masuk Syurga

 Jumaat, 14 Muharram 1444H: Tidak Masuk Syurga Kerana Memudaratkan Jiran

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga, orang yang jiran tetangganya tidak aman dari bahayanya." 

(HR Muslim No: 66) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Berbuat baik dan memuliakan jiran tetangga adalah pokok kehidupan bermasyarakat yang bahagia dan harmoni.

2.Keberadaan kita sebagai jiran sentiasa dirasai bermanfaat dan membawa keamanan dan kesejahteraan.

3.Jadilah jiran yang mendorong orang lain menjadi baik dan bahagia di dunia dan akhirat.

4.Elakkan menganggu jiran atau melakukan perkara yang memudaratkan jiran sama ada dengan perbuatan mahupun perkataan.

5.Tidak akan masuk syurga seseorang yang dengan sebab perbuatan atau perkataannya, menyebabkan jirannya mendapat mudarat dan musibah.

6.Ingatlah pesanan Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah RA berkata:

قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ فُلَانَةَ يُذْكَرُ مِنْ كَثْرَةِ صَلَاتِهَا، وَصِيَامِهَا، وَصَدَقَتِهَا، غَيْرَ أَنَّهَا تُؤْذِي جِيرَانَهَا بِلِسَانِهَا، قَالَ: هِيَ فِي النَّارِ

Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.” (HR Ahmad No: 9675) Sanadnya Hasan

Thursday, August 11, 2022

Jadilah Sahabat dan Jiran Yang Paling Baik

Khamis, 13 Muharram 1444H: Jadilah Sahabat dan Jiran Yang Paling Baik

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُ الْأَصْحَابِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِصَاحِبِهِ وَخَيْرُ الْجِيرَانِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِجَارِهِ

Daripada Abdullah bin Amr RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik sahabat di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap temannya. Dan sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap jirannya." 

(Sunan Tirmizi No: 1867) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Setiap orang mengharapkan kehidupan yang baik dan sejahtera.

2.Antara kesejahteraan seseorang apabila memiliki sahabat dan jiran yang baik.

3.Sebaik-baik sahabat di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap temannya

4.Sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap tetangganya

5. Dalam kita hidup bermasyarakat dan bernegara, jadikanlah diri kita sebagai sahabat dan jiran yang paling baik. Negara yang makmur dan sejahtera adalah hasil dari kehidupan anggota masyarakat yang saling bertolong bantu dan bekerjasama.

Wednesday, August 10, 2022

Jiran Kelaparan

 Rabu, 12 Muharram 1444H: Mukmin Prihatin Kepada Jiran

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ.

Daripada Ibnu Abas RA dari Nabi SAW: "Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan".

(HR Thobrani No: 12579) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Antara bukti keimanan seseorang adalah memiliki sifat prihatin terhadap kesusahan jiran tetangga.

2.Tidak sempurna iman seseorang yang tidur dalam kekenyangan sedangkan ada jiran tetangga yang kelaparan.

3.Jadilah kita orang yang sentiasa berusaha menyantuni dan berbuat baik pada jiran. Jangan kita sahaja bergembira sedangkan ada jiran kita yang dibiarkan kelaparan dan kesusahan.

Tuesday, August 9, 2022

Bergantung Kepada Jiran Di Akhirat

 Selasa, 11 Muharram 1441H; Akhirat Kita Berkait Dengan Jiran

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ :كَم مِن جَارٍ مُتَعَلِّقٍ بِجَارِهِ يَومَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ: يَارَبِّ هَذَا أَغْلِقُ بَابَهُ دُونِي فَمَنَعَ مَعْرُوفَهُ

Daripada Ibnu Umar RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Berapa ramai orang di hari kiamat (nasibnya) bergantung pada tetangganya yang lain, (tetangganya itu) berkata: “Wahai Tuhanku, orang ini menutup pintunya untukku, dia tidak mahu memberi miliknya kepadaku” 

(HR Hannad dalam kitab Az-Zuhd No 2/58) Status: Hadis Hasan dalam Silsilah Ahadits Ash-Sahihah No:2616.

Pengajaran:

1. Sebagai Muslim kita bertanggungjawab terhadap jiran tetangga.

2. Dalam hidup bermasyarakat dan bernegara, kita ada jiran yang terdiri daripada kerabat, ada jiran sesama Islam dan ada jiran bukan Islam. Setiap mereka ada hak yang menjadi tanggungjawab kepada kita untuk ditunaikan. Antara hak jiran yang menjadi tanggungjawab kita ialah sikap prihatin dan mengambil tahu hal ehwal jiran. Menunaikan tanggungjawab antaranya memberi menasihati, mengajak kepada maaruf dan mencegah kemungkaran. Tidak lupa juga memberi bantuan kepada yang memerlukan.

3. Berbuat baik kepada jiran dengan menunaikan hak mereka merupakan sebahagian dari tanggungjawab iman kita. Daripada Abi Syuraih RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (HR Muslim No: 77)

4. Jangan sampai di hari kiamat, ketika kita nak masuk syurga tetapi tertahan kerana ada jiran mendakwa semasa di dunia, kita tidak ambil tahu hal jiran. Dibiarkan jiran tanpa keprihatinan dan bantuan dari kita.

Monday, August 8, 2022

Puasa Sunat 10 Muharram

 Isnin, 10 Muharram 1444H: Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharram)

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُا حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Abdullah bin Abbas RA, beliau menceritakan: Ketika Nabi SAW melaksanakan puasa Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk puasa. Kemudian ada sahabat yang berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya hari Asyura adalah hari yang diagungkan orang yahudi dan nasrani. Kemudian Nabi SAW bersabda: “Tahun depan, Insha Allah kita akan berpuasa pada hari ke sembilan.” Namun, belum sampai tahun depan, Nabi SAW diwafatkan. 

 (HR. Muslim No: 1916) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Antara hari yang digalakan berpuasa pada bulan Muharam ialah puasa hari Tasu'a (9hb Muharam) iaitu sehari sebelum hari Asyura (10hb Muharam)

2.Puasa dua hari iaitu puasa sunat Tasu'a (9hb Muharam) dan puasa sunat Asyura (10hb Muharam) adalah untuk membezakan amalan berpuasa seorang Muslim dengan puasa orang Yahudi dan Keristian.

3.Ibnul Qayim dalam Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada tiga Kategori:

a) Kategori paling sempurna, puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, hari Asyura, dan sehari selepas Asyura (9hb, 10hb dan 11hb Muharam).

b) Kategori kedua, puasa pada 9hb dan 10hb Muharam berdasarkan banyak hadis.

c) Kategori ketiga, puasa pada10hb Muharam saja.

Friday, August 5, 2022

Kesempurnaan Iman Dengan Mengasihi Orang Lain

Jumaat, 7 Muharram 1444H: Kesempurnaan Iman Dengan Mengasihi Orang Lain

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidak beriman (sempurna iman) seseorang dari kalian sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri". 

(Sahih Bukhari No: 13) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memiliki sifat saling mencintai sesama Muslim.

2.Jika kita suka diri kita mendapat nikmat dalam hal keagamaan, maka wajib baginya mencintai saudara Muslim yang lain agar mendapat nikmat yang sama.

3.Jika kita suka memperolehi nikmat dunia kita juga sewajarnya suka agar saudara muslim yang lain juga memperolehinya.

4.Jangan sesekali kita memiliki sifat dengki dan khianat dengan nikmat yang dimiliki oleh saudara kita yang lain.

5.Ambillah iktibar kisah Aus dan Khazraj di Madinah yang mana kedua-dua kaum ini begitu taksub dan fanatik dengan kaum masing-masing namun Allah telah satukan hati mereka dengan kasih sayang dan mereka saling mencintai antara satu sama lain apabila menerima Islam. Mereka bersatu atas nama Islam dan mereka berjuang atas nama Islam.

6.Ingatlah bahawa setiap mukmin ini bersaudara. Firman Allah:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara. Oleh itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat” (al-Hujurat: 10)

7.Saudara kita seagama adalah tanggungjawab kita untuk membantu jika mereka memerlukan bantuan, memberi nasihat ketika mereka memerlukan nasihat, meminjamkan telinga kita untuk mendengar masalah dan kisah mereka, memberi sokongan dan dorongan kepada mereka dan akhir sekali jangan kita lupa untuk mendoakan kepada mereka kerana doa adalah senjata terbaik apatah lagi doa yang tidak diketahui oleh saudaranya sendiri.

Thursday, August 4, 2022

Puasa Sunat Bulan Muharam

Khamis, 6 Muharram 1444H: Puasa Sunat Di bulan Muharam

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Seutama-utama puasa setelah Ramadan ialah puasa dalam bulan Allah iaitu bulan Muharam, dan seutama-utama solat sesudah solat Fardu, ialah solat malam." 

(HR Muslim No: 1982) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Kita telah memasuki bulan Muharam, ia adalah salah satu bulan haram yang didalamnya dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk memperbanyakan puasa sunat.

2.Bulan Muharam disebut sebagai bulan Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihan bulan Muharam.

3.Menurut Imam Nawawi bulan Muharam adalah antara bulan yang paling utama untuk memperbanyak puasa sunat. Antaranya berpuasa pada hari ke-9 (Tasuua’a) dan ke-10 (Asyura’).

4.Solat sunat yang utama selepas solat fardu ialah solat sunat malam (qiamullail).

Wednesday, August 3, 2022

Manusia Dan Amalan Yang DiCintai Allah

 Rabu, 5 Muharram 1444H: Jadilah Warganegara Bermanfaat

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ , وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi SAW bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh 

(HR Tobarani dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453. Status hadis hasan dalam Sahih Al Jaami’ no. 176).

Pengajaran:

1.Sebagai anggota masyarakat dalam sebuah negara, berusahalah menjadi orang yang paling bermanfaat kepada orang lain kerana orang yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.

2.Hidup bermasyarakat menuntut setiap kita cakna terhadap orang di sekeliling. Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat orang lain bahagia antaranya dengan cara meringankan kesusahan seseorang, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya.

3.Realiti hidup pada masa kini ada yang terkesan dengan pelbagai masalah antaranya kemiskinan, penyakit, masalah pekerjaan juga keluarga. Orang yang prihatin akan sentiasa menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluan serta meringankan masalah orang lain. Perbuatan tersebut lebih dicintai Allah daripada dia beriktikaf sebulan di masjid Nabawi.


Tuesday, August 2, 2022

Kesempurnaan Iman

Selasa, 4 Muharram 1444H: Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, dari Nabi SAW, sabdanya: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”. 

(HR Bukhari No: 12 ) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Ukhuwah sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2. Kesempurnaan iman seseorang ditunjukkan dengan sifat mengasihi saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri.

3. Ibn Qayyim menyatakan:

a. Kasih sayang itu adalah sifat memberikan manfaat kepada orang lain

b. Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada orang lain atau menjauhkannya daripada bencana.

4. Sebelum peristiwa Hijrah, Rasulullah SAW telah mengislamkan beberapa orang pimpinan kaum Aus dan Khazraj dan mereka telah dipersaudarakan yang sebelum ini puluhan tahun sering berperang dan bermusuhan tanpa henti. Tiada lagi permusuhan antara mereka, bahkan mereka saling berkasih sayang, bantu membantu antara satu sama lain. Apabila berlaku peristiwa hijrah, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan pula golongan Muhajirin dan Ansar.

5. Langkah strategik Rasulullah SAW mempersaudarakan ini demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan penduduk Madinah kukuh terpatri. Ia menjadi faktor utama kepada kejayaan pembinaan Negara Madinah yang digeruni dan dihormati oleh kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi.

6. Marilah kita menjadikan peristiwa hijrah ini saling berkasih sayang. Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama.