Monday, November 27, 2017

Amal Yang Paling DiCintai

Isnin, 8 Rabiulawal 1439H: Dari A'isyah r.a. katanya: Orang bertanya kepada Nabi saw.: "Amal manakah yang paling dicintai Allah?"

Beliau berkata: "Yang dikerjakan secara tetap walaupun sedikit."

Beliau berkata lagi: "Lakukanlah amal perbuatan mana yang sanggup kamu lakukan."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1741.

Thursday, November 23, 2017

Ziarah Semata-Mata Kerana Allah

Khamis, 4 Rabiulawal 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Seorang lelaki pergi mengunjungi saudaranya yang bermukim di negeri asing (jauh dari tempatnya bermukim). 

Maka Allah Ta'ala mengirim seorang malaikat untuk menemaninya dalam perjalanan. Setelah malaikat bertemu dengan orang itu, maka bertanya malaikat, "Hendak kemana Anda?" 

Jawab orang itu, "Aku hendak mengunjungi saudara ku di negeri Anu." 

Tanya malaikat, "Apakah Anda berkunjung ini kerana Anda berhutang budi kepadanya?" 

Jawab orang itu, "Tidak!" Aku mencintainya hanya semata-mata kerana Allah Ta'ala." 

Kata malaikat, "Sesungguhnya aku (malaikat) diutus Allah Ta'ala menemani Anda, sebab Anda mencintai saudara mu kerana Allah semata-mata."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2198.

Wednesday, November 22, 2017

Pemimpin Baik & Jahat

Rabu, 3 Rabiulawal 1439H: Dari 'Auf bin Malik r.a., dari Rasulullah saw., katanya: "Imam (pemimpin atau pembesar) yang terbaik ialah mereka yang mencintai mu dan kamu mencintai mereka; mereka mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka. 

Imam yang paling buruk (jahat) ialah yang kamu benci dan mereka membenci mu; kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk mu." 

Bertanya seseorang, "Ya, Rasulullah! Bolehkah kami menyingkirkannya dengan pedang?" 

Jawab Rasulullah saw., "Tidak, selama mereka masih solat bersama-sama kamu. Apabila kamu lihat suatu tindakan (kebijaksanaan) yang tidak baik dari pembesar mu, proteslah tindakannya, dan jangan lepas tangan untuk tidak taat (terhadap tindakannya yang baik)."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1821.

Tuesday, November 21, 2017

Kesempurnaan Iman


Selasa, 2 Rabiulawal 1439H: Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 
 
"Belum sempurna iman seseorang kamu, sebelum ia mencintai ku, melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya." 
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0035.

Friday, November 17, 2017

Mencintai Semata-Mata Kerana Allah

Jumaat, 29 Safar 1439H: Dari Anas r.a, dari Nabi saw., katanya: "Ada tiga perkara, barangsiapa melaksanakan ketiga-tiganya, nescaya ia akan mendapatkan kesedapan iman: 

(1) Orang yang cinta kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada cintanya kepada yang lain dari pada keduanya. 

(2) Orang yang mencintai orang lain semata-mata kerana Allah.

(3) Orang yang benci untuk kembali kepada kafir, setelah Allah melepaskannya daripada (belenggu) kekafiran itu, sama dengan bencinya akan dijatuhkan ke dalam neraka."
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0016.

Wednesday, November 15, 2017

Cinta Bertemu Allah

Rabu, 28 Safar 1439H: Dari 'Ubadah bin as-Shamit, dari Nabi saw., beliau bersabda: "Siapa yang cinta untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga cinta untuk menemuinya." 

"Siapa yang benci untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci untuk bertemu dengannya."
Lalu 'Aisyah atau salah seorang isteri Nabi yang lain berkata: "Kami memang benci untuk mati." 

Nabi berkata: "Bukan begitu! Tetapi seorang yang beriman, kalau kematian telah datang kepadanya, maka ia diberi berita gembira dengan keredhaan dan kemurahan Tuhan. Maka tidak ada yang lebih disenanginya selain dari apa yang di depannya (akan diperolehnya). Kerana itu, ia cinta untuk menemui Allah dan Allah cinta pula untuk bertemu dengannya. 

Sedangkan orang yang kafir kalau telah didatangi kematian, maka ia diberi berita tentang seksaan dan hukuman Allah. Kerana itu tidak ada yang lebih dibencinya dari apa yang di depannya (akan ditanggungkannya). Ia benci bertemu dengan Allah, dan Allah benci pula bertemu dengannya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1748.

Tuesday, November 14, 2017

Bersama Orang Yang Kau Cintai

Selasa, 25 Safar 1439H: Dari Anas r.a.: Ada seorang laki-laki menanyakan kepada Nabi s.a.w. mengenai kiamat. 

Katanya: "Bilakah hari kiamat?" 

Beliau bersabda: "Apakah yang telah engkau siapkan untuk hari itu?" 

Katanya: "Tiada suatu pun selain mencintai Allah dan RasulNya"
.
Beliau bersabda: " Engkau akan bersama orang yang engkau cintai!" 

Kata Anas: Belum pernah kami gembira seperti kegembiraan kami kerana mendengar sabda Nabi s.a.w.: " Engkau akan bersama orang yang engkau cintai!" 

Kata Anas: "Saya mencintai Nabi, Abu Bakar, dan Umar dan saya mengharapkan kiranya saya bersama mereka kerana mencintai mereka, sekalipun saya belum beramal serupa amal mereka".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1551.

Monday, November 13, 2017

Satu Bahagian Daripada Rahmat Allah

Isnin, 24 Safar 1439H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda:

"Allah Ta'ala menjadikan sifat rahmat seratus bahagian (peratus). 

Maka dipeganglah di sisi-Nya sembilan puluh sembilan bahagian dan diturunkanNya satu bahagian ke bumi. 

Maka dengan yang satu bahagian inilah seluruh makhluk berkasih-sayang sesamanya, sehingga seekor haiwan mengangkat kakinya kerana takut anaknya akan terpijak olehnya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2366.

Friday, November 10, 2017

Solat Rasulullah saw

Jumaat, 21 Safar 1439H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. memulai solat beliau dengan takbir. Sesudah itu beliau baca surat Al Fatihah.

Apabila beliau rukuk, kepalanya tidak mendongak dan tidak pula terlalu menunduk, tetapi pertengahan (sehingga kepalanya kelihatan rata dengan punggung). 

Apabila beliau bangkit dari rukuk, beliau tidak sujud sebelum dia berdiri lurus lebih dahulu.
Apabila beliau mengangkat kepala dari sujud (pertama), beliau tidak sujud (kedua) sebelum duduknya antara kedua sujud itu tepat benar lebih dahulu. 

Tiap-tiap selesai dua rakaat, beliau membaca Tahiyat sambil duduk menghimpit kaki kiri dan menegakkan kaki kanan. 

Beliau melarang duduk seperti syaitan duduk atau seperti binatang buas duduk. Dan beliau menyudahi solat dengan membaca salam."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0449

Thursday, November 9, 2017

Solat Sambil Menggedong Bayi

Khamis, 20 Safar 1439H: Dari Abu Qatadah Al Anshari r.a., katanya: "Aku melihat Nabi saw. mengimami solat orang banyak sambil menggedong Umamah binti Abil 'Ash, bayi Zainab binti Muhammad saw. di tengkuk beliau. Apabila beliau rukuk diletakkannya bayi itu dan apabila beliau berdiri dari sujud diambilnya kembali."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0497.

Wednesday, November 8, 2017

Menyaringkan Bacaan

Rabu, 19 Safar 1439H: Dari 'Imran bin Hushain r.a., katanya: "Pada suatu kali Rasulullah saw. mengimami kami solat Zohor atau 'Asar. 

Setelah selesai solat beliau bersabda; "Siapa tadi di belakangku yang menyaringkan bacaan 'Sabbihisma rabbikal a'la?" 

Jawab seorang sahahat, "Aku. Maksudku hanya semata-mata untuk kebaikan." 

Sabda Rasulullah saw., "Aku tahu maksudmu baik. Tetapi kamu mengganggu orang lain"

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0353.

Tuesday, November 7, 2017

Imam Solat Muhajirin Yang Pertama

Selasa, 18 Safar 1439H: Dari Umar r.a. diceritakannya, bahawa Salim maula (hamba sahaya yang dimerdekakan) Abu Huzaifah menjadi Imam dalam solat bagi kaum Muhajirin yang pertama dan beberapa orang sahabat Nabi saw. di masjid Quba. Di antara mereka termasuk Abu Bakar, Umar, Abu Salamah, Zaid dan Amir' bin Rabiah.

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1912.

Monday, November 6, 2017

Imam Untuk DiIkuti

Isnin, 17 Safar 1439H: Dari Anas r.a., katanya: "Rasulullah saw. jatuh dari kuda dan luka di sebelah kanan. kerana itu kami pergi mengunjungi beliau. Ketika waktu solat tiba, beliau solat sambil duduk, maka kami pun solat pula sambil duduk. Setelah selesai solat beliau bersabda: 

"Sesungguhnya imam itu diadakan untuk diikut. Apabila dia takbir, maka takbir pulalah kamu. Apabila dia rukuk, maka rukuk pulalah kamu.

Dan apabila dia mengangkat kepala maka angkat pula kepalamu.

Dan apabila dia membaca: Sami'allaahu liman hamidah, maka bacalah: Rabbana wa lakal hamdu."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0576.

Friday, November 3, 2017

Membaca Takbir Ketika Solat

Jumaat, 14 Safar 1439H: Diceritakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa ketika ia menjadi imam bagi mereka. Dia membaca takbir setiap kali dia menunduk dan bangkit. Setelah selesai solat dia berkata:

"Bahawasanya solat ku itu sama dengan solat Rasulullah saw."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0433

Thursday, November 2, 2017

Satu Rakaat Berserta Imam

Khamis, 13 Safar 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Siapa mendapatkan solat satu rakaat beserta imam, bererti dia telah mendapatkan solat seluruhnya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0564.

Wednesday, November 1, 2017

Diampuni Allah Dosa

Rabu, 12 Safar 1439H: Diceritakan oleh Abu Hurairah r.a., "bahawa Rasulullah saw. bersabda:

"Apabila imam membaca 'Samiallahu liman hamidah', 
 
 maka bacalah: "Allahumma Rabbana lakal hamd. "

Barangsiapa bacaannya bersamaan dengan bacaan malaikat, diampuni Allah dosanya yang telah lalu."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0438