Thursday, August 30, 2012

Undangan Tanpa Mengikut Darjat

Khamis, 12 Syawal 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Seburuk-buruk makanan ialah makanan pesta, apabila yang diundang ke pesta itu hanya orang-orang kaya saja, tanpa mengikut-sertakan orang-orang miskin. Siapa yang tidak mendatangi suatu undangan, sesungguhnya dia mendurhakai Allah dan Rasul-Nya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1365

Wednesday, August 29, 2012

Penuhilah Undangan

Rabu, 11 Syawal 1433H: Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Penuhilah suatu undangan apabila kamu memang diundang menghadirinya. Kata Nafi', 'Abdullah bin 'Umar memang selalu mendatangi setiap undangan, baik undangan pesta perkahwinan atau tidak; bahkan sekalipun dia sedang puasa."

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1362.

Tuesday, August 28, 2012

Menziarahi Kubur

Selasa, 10 Syawal 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. ziarah ke kubur ibunya, lalu beliau menangis, maka menangis pulalah orang sekelilingnya. Kemudian beliau bersabda: "Aku mohon izin kepada Tuhan ku untuk memintakan ampun bagi ibu ku, tetapi tidak diperkenankan-Nya. Kemudian ku mohon izin untuk menziarahi kuburnya, maka diperkenankan-Nya bagi ku. Kerana itu pergilah kalian ke kubur, kerana hal itu akan mengingatkan kalian kepada maut.
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0924.

Monday, August 27, 2012

Puasa Sunat Syawal 6 Hari

 
Isnin, 9 Syawal 1433H: Dari Abu Ayyub Al Anshari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang puasa bulan Ramadhan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa.'"
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1134.

Thursday, August 16, 2012

Malam Qadar

Khamis, 27 Ramadhan 1433H: Dari Salim bin 'Abdullah bin 'Amru r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda perihal malam qadar. Sabdanya: "Beberapa orang di antara kamu telah bermimpi bahawa malam qadar ita terdapat pada tujuh malam yang awal, sedangkan yang lain bermimpi terdapat pada tujuh malam yang akhir dari Ramadhan. Maka carilah dia pada sepuluh yang akhir
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1137.

Wednesday, August 15, 2012

Menanti Malam 27 Ramadhan

Rabu, 26 Ramadhan 1433H: Dari 'Abdullah bin Mas'ad r.a., katanya: "Siapa yang melakukan solat malam sepanjang tahun nescaya dia bertemu dengan "Malam Qadar"
 
Jawab Ubay, "Demi Allah! Malam itu sesungguhnya terdapat dalam bulan Ramadhan. Demi Allah! Aku tahu malam itu, di mana Rasulullah saw. menyuruh kami menegakkannya (beribadah pada malam itu), iaitu yang kedua puluh tujuh Ramadhan.
 
Tanda-tandanya ialah, esok pagi matahari kelihatan putih tanpa sinar yang mencorot."

(Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0736.)

Tuesday, August 14, 2012

Mencari Lailatul Qadar Malam ke-27

Selasa, 25 Ramadhan 1433H: Dari Salim, dari bapanya r.a., katanya seorang lelaki bermimpi bahawa malam qadar terdapat pada malam kedua puluh tujuh bulan Ramadhan.

Maka bersabda Nabi saw., "Aku bermimpi seperti mimpimu, iaitu pada sepuluh yang akhir. Kerana itu carilah dia pada malam-malam yang ganjil."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1136.

Monday, August 13, 2012

Lailatul Qadar - Diampun Dosa Bagi Yang Iklhas

Isnin, 24 Ramadhan 1433H: Dari Abu Hurairah: Rasulullah saw telah bersabda: "Barangsiapa yang beribadah malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan berharap pahala dari Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu. Dan barangsiapa yang beribadah di malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan berharap pahala dari Allah, maka dia akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu." ( Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2168.)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw., bersabda: "Barangsiapa melakukan solat di malam qadar kerana iman dan ikhlas, nescaya diampuni (Allah) dosanya yang telah lalu." ( Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0029.)

Friday, August 10, 2012

Lailatul Qadar 25, 27, 29 ?

Jumaat,21 Ramadhan 1433H: Diceritakan oleh Ubadah bin Shamit r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. keluar hendak mengkhabarkan tentang terjadinya Malam qadar. (Kebetulan) beliau bertemu dengan dua orang laki-laki muslim sedang berbantah.

Maka Nabi bersabda, "Saya keluar hendak mengkhabarkan tentang terjadinya Malam qadar; kebetulan saya melihat dua orang sedang berbantah, maka aku jadi lupa. Mudah-mudahan kelupaan itu berguna untuk Anda sekalian.

Carilah Malam qadar itu di malam ketujuh, kesembilan dan kelima."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0041.

Thursday, August 9, 2012

Lailatul Qadar Malam ke 21 ?

Khamis, 20 Ramadhan 1433H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Rasulullah saw. i'tikaf pada sepuluh awal bulan Ramadhan, kemudian dilanjutkannya pada sepuluh pertengahan, dalam sebuah kubah kecil yang pintunya ditutup dengan tikar. Lalu beliau ambil tikar itu dan diletakkannya di sudut gobah. Kemudian diulurkannya kepalanya seraya berujar memanggil orang banyak. Maka mendekatlah mereka kepada beliau, lalu beliau bersabda: "Aku telah i'tikaf sejak sepuluh awal bulan untuk mendapatkan Malam qadar, kemudian sepuluh yang pertengahan. Kemudian dikatakan kepada ku bahawa malam qadar itu terdapat pada sepuluh yang akhir. Maka siapa yang suka i'tikaf, silakan!"
 
Lalu orang banyak i'tikaf bersama-sama dengan beliau. Sabda beliau pula, "Aku bermimpi melihat malam qadar di malam yang ganjil, di mana pagi-pagi aku sujud di tanah basah. Memang, pagi-pagi malam kedua puluh satu beliau solat Subuh sedangkan hari hujan sehingga masjid tergenang air. Aku melihat tanah dan air. Setelah selesai solat Subuh, Nabi saw. keluar sedangkan di kening dan di hidungnya ada tanah basah.
Malam itu ialah malam kedua puluh satu dari sepuluh yang akhir bulan Ramadhan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1139.

Tuesday, August 7, 2012

Malam Seribu Bulan

Selasa, 18 Ramadhan 1433H: Harun bin Ishaq Al-Hamdani menceritakan kepada kami, 'Abdah bin Sulaiman memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Hisyam bin 'Urwah dari ayahnya dari 'Aisyah di mana ia berkata: "Rasulullah s.a.w. biasa beri'tikaf pada sepuluh terakhir dalam bulan Ramadan, dan bersabda: "Bersungguh-sungguhlah kamu (untuk mendapatkan) Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadan."
Masalah yang sama diriwayatkan pula dari 'Umar, Ubayy bin Ka'b, Jabir bin Samurah, Jabir bin 'Abdullah, Ibnu 'Umar, Al-Falatan bin 'Ashim, Anas, Abu Sa'id, 'Abdullah bin Unais, Abu Bakrah, Ibnu 'Abbas, Bilal dan 'Ubadah dan Ash-Shamit. Abu 'Isa berkata: "Hadis 'Aisyah itu adalah hadis hasan sahih; sedangkan kata yujaawiru ertinya adalah beri'tikaf. Banyak riwayat dari Nabi s.a.w. bahawasanya baginda bersabda: "Carilah Lalatul Qadar itu pada sepuluh terakhir pada setiap yang ganjil."
Diriwayatkan dari Nabi s.a.w. tentang Lailatul Qadar iaitu bahawasanya Lailatul Qadar itu adalah pada malam 21, 23, 25, 27, 29 dan malam terakhir dari bulan Ramadan."
Asy-Syafi'i berkata: "Itu hanyalah pendapat saya. Dan Allah Maha Mengetahui; di mana Nabi s.a.w. menjawab suatu pertanyaan sewaktu ditanya tentang Lailatul Qadar. Dikatakan kepada baginda bahawa kamu mencarinya pada malam ini, kemudian baginda bersabda: "Carilah Laiatul Qadar itu pada malam ini." Asy-Syafi'i berkata: "Riwayat yang paling kuat menurut pendapat saya ialah bahawa Lailatul Qadar itu jatuh pada malam tanggal 21."
Abu 'Isa berkata: "Diriwayatkan dari Ubbay bin Ka'b bahawasanya ia bersumpah bahawa Lailatul Qadar itu berada pada malam 27 di mana ia berkata: "Rasulullah s.a.w. memberitahukan kepada kami dengan tanda-tanda malam itu kemudian kami menyebut-nyebut dan menghafalnya."
Diriwayatkan dari Abu Qilabah bahawasanya ia berkata: "Lailatul Qadar itu berkisar pada sepuluh terakhir." 'Abd bin Humaid memberitahukan yang demikian kepada kami, 'Abdur Razzaq memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ma'mar dari Ayyub dari ABu Qilabah dengan maksud seperti itu."
Hadis Sunan At-Termizi Jilid 2. Hadis Nombor 0789.

Monday, August 6, 2012

Ayat-ayat Mutasyabihat

Isnin, 17 Ramadhan 1433H: Dari Aisyah r.a. katanya, Rasulullah saw. membaca ayat : "Dialah yang menurunkan Kitab (Al Quran) kepada mu. Di antara isinya terdapat ayat-ayat maklumat (yang jelas dan tegas maksudnya), dan yang lain (ayat-ayat) mutasyabihat (samar-samar). Adapun orang-orang yang hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti ayat-ayat yang mutasyabihat, untuk menimbulkan fitnah (bencana) dan untuk mencari-cari takwilnya. Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan hanya Allah.
 
Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman kepada ayat-ayat mutasyabihat, semuanya itu turun dari Tuhan kami " Dan tidak dapat memahaminya kecuali orang-orang yang cerdas. " (Ali 'Imran, 3 : 7).
 
Kata 'Aisyah, maka bersabda Rasulullah saw., Apabila tuan-tuan melihat orang-orang yang mengikuti ayat-ayat mutasyabihat itulah orang-orang yang dimaksud Allah dalam ayat itu. Maka jauhilah mereka:"

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2288.

Friday, August 3, 2012

Malam Qadar

Jumaat, 14 Ramadhan 1433H: Diceritakan oleh Abu Salamah r.a., katanya: "Aku datang bertanya kepada Abu Sa'id Al Khudri, tanyaku: "Tidakkah lebih baik kita pergi ke Nakhl supaya kita dapat bercakap-cakap di sana?" Lalu kami pergi ke sana.
 
Aku berkata kepadanya, "Ceritakanlah kepada ku, apa yang telah tuan dengar dari Nabi saw. tentang Malam Qadar"
 
Katanya, "Rasulullah sedang iktikaf sepuluh hari pertama bulan Ramadhan. Kami pun iktikaf pula bersama-sama dengan beliau. Maka datanglah malaikat Jibril mengatakan, "Yang tuan inginkan itu (malam qadar) belum datang."
 
Nabi saw. meneruskan lagi iktikaf beliau pada sepuluh hari pertengahan bulan. Kami pun iktikaf pula bersama-sama dengan beliau. Lalu datang pula malaikat Jibril mengatakan: "Yang tuan inginkan belum datang."
 
Keesokan pagi dari malam kedua puluh bulan Ramadhan, Nabi saw. berpidato. Sabda beliau: "Barangsiapa iktikaf bersama-sama dengan ku, hendaklah diteruskannya, kerana kepada ku telah diperlihatkan Malam Qadar itu, tetapi aku lupa tanggalnya. Malam qadar itu ialah dalam sepuluh yang akhir (Ramadhan) di bilangan ganjil. Saya bermimpi seolah-olah saya sujud di tanah basah."
 
Atap masjid terbuat dari pelepah kurma. Di langit, kami tidak melihat awan sedikit pun. Tetapi tidak lama kemudian, datanglah awan gelap dan hujan pun turun dengan lebatnya. Kami solat bersama-sama dengan Nabi saw. dan kami melihat tanah dan air melekat di kening dan di puncak hidung Nabi, sesuai benar dengan mimpi beliau. "
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0446.

Thursday, August 2, 2012

Sunnah Berbuka Puasa

Khamis, 13 Ramadhan 1433H: Dari Ja'far bin Muhammad dari ayahnya dari Jabir bin Abdillah katanya: "Di tahun penaklukan kota Mekah ketika Rasulullah saw menuju kota Mekah di bulan Ramadhan, maka Rasulullah saw tetap berpuasa hingga sampai di "Kuraa'ul Ghamiim", dan orang-orang pun juga ikut berpuasa.
 
Ketika beliau mendengar bahawa ada sebahagian orang tidak kuat untuk meneruskan puasanya, maka beliau minta diambilkan segelas air untuk diminumnya, walaupun waktu itu telah petang hari.
 
Sebahagian sahabat beliau ada yang membatalkan puasanya dan sebahagian lain ada yang meneruskan puasanya.
 
Ketika Rasulullah saw mendengar berita bahawa ada sebahagian sahabatnya yang tidak membatalkan puasanya, maka beliau bersabda: "Mereka termasuk orang-orang yang tidak meniru jejakku."


Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2227.

Wednesday, August 1, 2012

Lailatul-Qadar

Rabu, 12 Ramadhan 1433H: Ibnu Abi Umar ceritakan kepada kami, Sufyan menceritakan kepada kami dari Allah bin Abi Lubabah dan Ashim yang mendengar Zirr bin Hubaisy berkata: "Barang siapa melakukan ibadah sesaat setiap malam selama satu tahun, tentu dia memperoleh Lailatul-Qadar,
 
Ubai berkata: "Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa Abu Abdur Rahman sesungguhnya dia telah mengetahui bahawa Lailatul-Qadar adalah pada sepuluh akhir dari bulan Ramadhan dan sesungguhnya Lailatul-Qadar adalah malam dua puluh tujuh bulan Ramadhan tetapi dia menghendaki agar manusia tidak berpegang kepada perkiraan itu kemudian Ubai bersumpah yang pasti bahawa Lailatul-Qadar adalah. malam dua puluh tujuh bulan Ramadhan".
 
Ziir berkata kepada Ubai: "Dengan dasar apa kamu berkata demikian hai Abal-Mundair?"
 
Dia berkata: "Dengan dasar tanda yang diberitahukan Rasulullah SAW kepada kita iaitu bahawa matahari pada waktu itu terbit tanpa ada cahaya". Hadis ini adalah hadis Hasan Sahih.


Hadis Sunan At-Termizi Jilid 5. Hadis Nombor 3409.