Thursday, May 31, 2018

Amran Meninggalkan Puasa Ramadhan

Khamis, 15 Ramadhan 1439H: Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu, dia berkata, “Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, 
Barangsiapa berbuka sehari dari (puasa) bulan Ramadhân bukan dengan (alasan) keringanan yang Allâh berikan kepadanya, maka tidak akan diterima darinya (walaupun dia berpuasa) setahun semuanya.

[HR. Ahmad, no. 9002; Abu Dâwud, no. 2396; Ibnu Khuzaimah, no.1987; dll]

Namun hadis didhaifkan oleh Iman Khuzaimah,Syailh Syuaib Al Albani dan lainnya kerana ada perawi yang tidak dikenal yang bernama Ibnul Muqawwis. Walau bagaimanapun banyak para sahabat yang menguatkannya.

Wednesday, May 30, 2018

Solat Nabi saw Dalam Bulan Ramadhan

Rabu, 14 Ramadhan 1439H: Dari Abu Salamah bin 'Abdur Rahman r.a., dia bertanya kepada 'Aisyah r.a., katanya: "Bagaimana caranya Nabi saw. solat dalam (malam) bulan Ramadhan?"

Jawab 'Aisyah, "Beliau solat tidak lebih dari sebelas rakaat, baik dalam bulan Ramadhan maupun lainnya. Mula-mula beliau solat empat rakaat. Jangan tanya, alangkah bagus dan lamanya.

Kemudian empat rakaat lagi, jangan tanya pula tentang bagus dan lamanya.

Kemudian solat witir tiga rakaat."

Kata 'Aisyah, dia pernah bertanya kepada Rasulullah saw., apakah beliau tidur lebih dahulu sebelum witir.

Jawab beliau, "Wahai, 'Aisyah! Kedua mata ku memang kelihatan tidur, tetapi hatiku tidak."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0712.

Friday, May 25, 2018

Ramadhan Jibril Bertadarus Al Quran Bersama Rasulullah saw

Jumaat, 9 Ramadhan 1439H: Dari Ubaidillah ibnu Abdillah ibnu Utbah dikatakan bahawasanya Ibnu Abbas berkata: "Rasulullah saw adalah seorang yang paling murah tangan, lebih-lebih lagi disaat beliau menemui Jibril disetiap bulan Ramadhan.

Di setiap malam di bulan Ramadhan Jibril menemui beliau untuk bertadarus Al Quran. Di saat itulah Rasulullah saw lebih bermurah tangan dari kencangnya angin yang berhembus".

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2064.

Thursday, May 24, 2018

Pintu Ar-Rayyan Tempat Masuk Orang Berpuasa

Khamis 8 Ramadhan 1439H: Daripada Sahl bin Sa’ad berkata: Bersabda Nabi s.a.w. “Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang-orang yang berpuasa di hari qiamat.

Tidak dapat masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya:”Dimanakah orang – orang yang telah berpuasa?”

Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa sahaja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa sahaja.”

(HR Bukhari & Muslim)

Wednesday, May 23, 2018

Pahala Umrah Di Bulan Ramadhan

Rabu, 7 Ramadhan 1439H: Kata Atha': 'Aku pernah mendengar Ibnu Abbas berkata: "Telah bersabda Rasulullah saw kepada seorang wanita Ansar: 

"Jika telah tiba bulan Ramadhan, maka kerjakanlah ibadah umrah di bulan Ramadhan, sebab seorang yang mengerjakan ibadah umrah di bulan Ramadhan, maka dia mendapat pahala seperti seorang yang melakukan ibadah haji."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2079.

Tuesday, May 22, 2018

Berbuka Dengan Ruthab, Tamar Atau Seteguk Air

Dari Anas Ibn Malik ra, “Rasulullah SAW berbuka puasa dengan ruthab (kurma basah) sebelum solat maghrib.

Jika tidak ada kurma basah, maka baginda berbuka dengan tamar (kurma kering).

Dan jika tidak ada yang demikian baginda berbuka dengan seteguk air.”

(Riwayat Abu Daud dan Ahmad, hasan sahih)

Monday, May 21, 2018

Malaikat Menyeru Pada Setiap Malam Ramadhan

Isnin, 5 Ramadhan 1439H: Dari 'Arfajah katanya: "Ketika kami berkunjung kepada Utbah bin Farqad, maka kami membicarakan tentang keutamaan bulan Ramadhan".

Tanya Utbah: "Apa yang sedang kamu bicarakan?"

Jawab kami: "Kami sedang membicarakan keutamaan bulan Ramadhan".

Kata Utbah: "Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Selama didalam bulan Ramadhan pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan para syaitan dibelenggu."

Pada setiap malam di bulan Ramadhan, ada seorang malaikat yang menyerukan: "Wahai orang-orang yang ingin mendapatkan kebaikan, tingkatkan ibadah kalian; wahai orang-orang yang gemar berbuat jahat, kurangilah kejahatan kalian".

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2076.

Friday, May 18, 2018

Jarak Antara Sahur Dengan Solat

Jumaat, 2 Ramadhan 1439H: Dari Anas r.a., dari Zaid bin Tsabit r.a., katanya: "Kami pernah makan sahur bersama-sama Rasulullah saw. Tidak berapa lama kemudian kami pergi solat.

Tanya Anas, "Kira-kira berapa lama jaraknya antara waktu makan sahur dengan solat?"

Jawab Zaid, "Kira-kira selama membaca lima puluh ayat."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1061.

Thursday, May 17, 2018

Sahur Ada Berkat

Khamis, 1 Ramadhan 1439H: Dari Anas r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Makan sahurlah kamu, kerana makan sahur itu mengandung berkat!"

Hadis Sahih Muslim & Bukhari .

Wednesday, May 16, 2018

Melihat Hilal Ramadhan & Syawal.

Rabu, 30 Sya'aban 1439H: Dari Manshur dari Rib'iy katanya: "Telah bersabda Rasulullah saw: "Jika kalian melihat hilal Ramadhan, maka berpuasalah dan jika kalian melihat hilal Syawal, maka berbukalah.

Dan jika kalian terhalang oleh mendung, maka genapkan bulan Sya'ban hingga 30 hari, kecuali jika kalian melihat hilal Ramadhan sebelumnya dan genapkan puasaRamadhan 30 hari kecuali jika kalian melihat hilal Syawal sebelumnya."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2095.

Tuesday, May 15, 2018

Perumpamaan Orang Yang Membaca Al Quran

Selasa, 29 Sya'aban 1439H: Dari Abu Musa Al Asy'ari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Perumpamaan orang mukmin yang membaca Quran ialah seperti jeruk manis. Baunya harum dan rasanya manis.

Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Quran, ialah seperti kurma, tidak berbau tetapi rasanya manis.

Dan perumpamaan orang munafik yang membaca Quran, ialah seperti kemangi, baunya harum tetapi rasanya pahit.

Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Quran, ialah seperti peria, tidak berbau dan rasanya pahit."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0766.

Monday, May 14, 2018

Ganjaran Membaca Quran

Isnin, 28 Sya'aban 1439H: Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Orang (mukmin) yang mahir membaca Quran, maka kedudukannya di akhirat di teman para malaikat yang mulia.

Dan orang yang membaca Quran, padahal dia gagap sesulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda. "

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0767.

Tuesday, May 8, 2018

Bukan Dari Golonganku

Selasa, 22 Sya'aban 1439H: Dari Ashim Al-Adawy dari Ka'ab ibnu Ujrah berkata: "Rasulullah saw datang pada kami dan kami sembilan orang yang terdiri dari bangsa Arab dan bangsa non Arab.

Sabda beliau: "Dengarkanlah, mahukah kamu mendengarkan bahawasanya sepeninggalku kelak akan ada pemimpin-pemimpin yang zalim, barang siapa yang bergaul dengan mereka dan membenarkan kedustaan mereka serta menolong kezaliman mereka, maka ia bukan dari golonganku dan akupun bukan dari golongannya; dan kelak ia tidak akan mencapai telagaku.

Tetapi barang siapa yang tidak bergaul dengan mereka, tidak membenarkan kedustaan mereka, dan tidak membantu kezaliman mereka, maka ia dari golonganku dan akupun dari golongannya, dan kelak ia mencapai telagaku."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 4. Hadis Nombor 4057.

Monday, May 7, 2018

Pemimpin Yang Menipu Rakyat

Isnin, 21 Sya'aban 1439H: Dari Al Hasan r.a., katanya: "Pada suatu hari, 'Ubaidullah bin Ziyad datang berkunjung ke rumah Ma'qil bin Yasar, ketika Ma'qil sedang sakit yang menyebabkan kematiannya. 
Kata Ma'qil kepada 'Ubaidullah, "Akan ku sampaikan kepada Anda sebuah hadis yang ku dengar sendiri dari Rasullullah saw. Kalaulah aku yakin bahawa aku akan lama hidup, hadis itu belum akan ku sampaikan pada Anda. Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda:
"Seorang hamba yang dipercayakan Allah memimpin rakyatnya, tetapi dia menipu rakyat, maka jika dia mati, Allah mengharamkan syurga baginya."
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0114.

Friday, May 4, 2018

Jangan Melangkahi Leher-Leher Manusia

Jumaat, 18 Sya'aban 1439H: Dari Abdullah bin Busur katanya: "Pada waktu aku duduk di samping rasulullah saw pada suatu hari Jumaat, maka ada seorang yang melangkahi leher-leher manusia sehingga rasulullah saw berkata:

"Wahai fulan, duduklah kamu jangan kamu melangkahi pundak orang lain, sebab kamu telah mengganggu orang lain.''

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 1373.

Thursday, May 3, 2018

Panduan Memilih Pemimpin


PDF
Print
E-mail


Khamis, 17 Sya'aban 1439H: Menurut ajaran Islam, perlantikan ketua negara adalah amat penting kerana ia merupakan tempat untuk mengganti Rasulllah s.a.w bagi melindungi agama dan mentadbir hal-hal keduniaan. Pemerintahan ketua negara meliputi aspek-aspek keagamaan dan keduniaan. Islam tidak memisahkan aspek-aspek tersebut. Menurut al-Mawardi, melantik ketua negara merupakan wajib secara ijma’. Cuma perbezaan sama ada wajib secara syarak atau akal.

Pandangan yang pertama menyatakan wajib secara akal kerana orang yang berakal pastinya memilih dan mematuhi pemerintahan yang boleh menghindarkan mereka dari kezaliman dan menyelesaikan perbalahan dan perkelahian. Jika tidak ada pemimpin, nescaya akan kucar-kacir.
Pandangan yang kedua menyatakan wajib secara syarak kerana pemimpin atau ketua negara adalah bertanggungjawab untuk mengendalikan urusan-urusan syarak yang mungkin pada pandangan akal tidak memikir soal-soal ibadat lalu akal tidak mewajibkannya. Ini ialah akal fikiran hanya mewajibkan seorang yang berakal untuk melindungi dirinya dari kezaliman tetapi sebaliknya syarak menyerahkan segala urusannya kepada penguasanya dalam agama.

Menurut Abu Ya’la al-Fara bahawa perlantikan Imam merupakan wajib secara syarak dan bukan secara akal kerana akal tidak mengetahui perkara-perkara fardu, harus, halal mahu pun haram. Beliau berdalilkan peristiwa di Saqifah Bani Sa’adah. Berkata Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, berkata al-Nawawi:“Telah bersepakat bahawa wajib melantik ketua negara, dan perlantikan ini wajib secara syarak dan bukan secara akal.” Manakala Muztazilah menyatakan perlantikan ketua negara secara akal.

Perlantikan ketua negara ini juga merupakan kewajipan yang merangkumi kewajipan secara syarak dan juga kewajipan secara akal. Kerana tidak ada tegahan untuk melantik ketua negara yang pada pandangan akal adalah untuk memelihara rakyat dan syarak menguatkan pandangan akal ini. Oleh itu, akal dan syarak telah mewajibkan perlantikan ketua negara.

Menurut Ibn Hazim al-Andalusi dalam al-Fasl fi Milal wa al-Nihal:-

“Bersepakat ahli sunnah, Marji’ah, Syiah, Khawarij atas kewajipan melantik ketua negara. bahawa umat wajib melantik Imam yang adil yang dapat mendirikan hukum-hukum Allah dan mentadbir urusan mereka dengan shariat yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w”.

Berkata Ahmad bin Abdul Mu’iem al-Damanhuri (w.1192) dalam buku
al-Naf’u al-Aziz fi Islah al-Sultan wa al-Wazir: “Ketahuilah bahawa penguasa atas urusan manusia adalah fardhu kifayah yang merupakan sangat penting dalam kewajipan agama dan dalam urusan kaum muslimin, malah tidak akan tertegak agama dan dunia tanpanya.”

al-Mawardi menyebutkan bahawa ketua negara merupakan tempat pengganti Rasulullah s.a.w. dalam menjaga agama dan mentadbir urusan keduniaan dan membuat akad setia dengan mereka yang memegang tampuk pemerintahan merupakan wajib secara ijma’.Dari takrif ini bahawa ketua negara adalah pengganti Rasul iaitu pertama, menjaga kemuliaan agama dan kedua mentadbir keduniaan berdasarkan Shariat Ilahi. Menurut al-Mawardi, ketua negara merupakan amanah, tanggungjawab dan tugas yang semestinya pemerintah melakukan dengan sebaik mungkin.

Syarat-Syarat Menjadi Ketua Negara

Ketua negara merupakan amanah yang paling penting yang harus dipikul tanggungjawabnya. Ia bukan untuk sebarang orang untuk memegang jawatan tersebut. al-Farabi menggariskan sifat-sifat yang perlu dimiliki oleh ketua negara. Beliau menekankan konsep
“Insan Kamil” bagi ketua negara bagi mencapai manusia sempurna hendaklah memiliki dua belas sifat seperti yang diterangkan di bawah tajuk al-Qawl fi Qisal Ra’is al-Madinah al-Fadilah. Dua belas sifat itu ialah:

1. Hendaklah sempurna anggota tubuh badan dan bertenaga atau berkemampuan supaya dengan itu ia dapat menjalankan tugasnya dengan mudah.

2. Baik kefahamannya serta dapat menggambarkan setiap sesuatu yang ia lafaz atau ucapkan serta tahu apa yang harus dibuat.

3. Baik hafalan (ingatan) sesuatu yang ia telah faham, lihat, dengar atau dapat (idrak). Ia juga bukanlah seorang yang pelupa.

4. Bijaksana dan cerdik apabila mendengar sesuatu walaupun dengan reaksi sahaja, ia telah faham.

5. Dapat membuat penjelasan atau huraian yang jelas berhubung dengan sesuatu ibarat.

6. Ia sangat suka atau minat terhadap ilmu pengetahuan, senang menerima ilmu tidak merasa atau kenal penat dalam menimba ilmu pengetahuan.

7. Ia hendaklah tidak bersikap buruk iaitu berlebih-lebihan dalam hal makan minum dan juga hubungan kelamin. Menjauhkan diri dari permainan yang hanya untuk bersuka-suka.

8. Memiliki sifat cintakan kebenaran dan orang-orang yang bersifat dengan kebenaran itu. Bencikan pembohongan serta orang-orang yang bersifat demikian.

9. Ia memiliki jiwa besar atau berhemah tinggi hingga mengatasi perkara-perkara yang rendah atau remeh-temeh.

10. Tidak berminat tentang pemgumpulan wang ringgit (dirham wa dinar) dan kekayaan dunia yang lain.

11. Ia bersikap pro keadilan dan anti kezaliman dan penindasan. Tidak mudah dipengaruhi oleh perkara oleh perkara-perkara buruk sebaliknya mudah diseru kepada kebaikan, keadilan dan seumpamanya.

12. Ia hendaklah mempunyai keazaman yang kuat dan berani terhadap sesuatu hal yang dirasakan perlu ia lakukan dan tidak lemah semangat atau jiwa.

Islam telah menggariskan syarat-syarat yang harus dipenuhi oleh seseorang yang ingin menjadi ketua negara. Antara syarat yang telah ditetapkan oleh para ulamak ialah:

1. Islam

Adalah wajib ketua negara seorang yang muslim. Ketua negara merupakan penjaga dan pelaksana shariat Islam sudah tentu memerlukan seorang yang beriman kepada Allah dan percaya bahawa ketentuan hukum adalah hak mutlak Allah.

2. Baligh

Islam tidak mewajib kanak-kanak yang belum mencapai tahap baligh menjadi pemerintah. Ini kerana ketua negara memerlukan kepada kematangan pemikiran dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

3. Akal

Islam mensyaratkan akal kerana ketua negara memerlukan ketajaman fikiran dalam bertindak. Orang yang gila ia tidak dapat berfungsi sebagai pemimpin malah segala kewajipan ke atasnya terangkat. Malah Islam menggalakkan bahawa ketua negara seorang yang mempunyai kecergasan otak, kebijaksanaan dalam mengatur strategi dan menyusun rancangan untuk kepentingan umat.

4. Merdeka

Golongan hamba tidak dibenarkan menjadi ketua negara kerana golongan hamba ini mempunyai tugas dan hak yang mesti dilakukan terhadap tuannya dan tidak mempunyai kebebasan terhadap dirinya sendiri. Ketua negara memerlukan seorang yang mempunyai sepenuh masa terhadap tugas pemerintahan dan tidak terikat dengan tugas-tugas yang boleh menjejaskan pentadbiran seperti golongan hamba.

5. Lelaki

Bersepakat para ulamak bahawa tidak harus orang perempuan menjadi ketua negara berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dan tidak akan mendapat kejayaan sesuatu kaum yang pada urusan mereka terletak pada perempuan.”29 Walaupun begitu, larangan tersebut dalam memegang jawatan khalifah. Al-Qaradawi mengharuskan wanita dilantik menjadi ahli parlimen atau ahli perwakilan dengan syarat menjaga adab-adab sebagai wanita muslimah.

6. Adil

Perlu diingatkan di sini bahawa maksud adil di sini bukan sehingga menganggap bahawa ketua negara itu sebagai “maksum” iaitu tidak melakukan dosa dalam perbuatan-perbuatan atau tingkah lakunya. Sifat maksum ini hanya terdapat pada rasul-rasul sahaja dan tidak terdapat pada golongan lain. Pendapat golongan syiah yang mengatakan bahawa Imamah mestilah seorang yang maksum adalah penyataan yang batil. Sebagai seorang muslim kadangkalanya mungkin berlaku kesilapan maka hendaklah kembali bertaubat kepada Allah. Maksud adil di sini adalah hendaklah kita memilih pemerintah yang sentiasa beriltizam dengan shariat Islam, melakukan amanah dan tidak melakukan kezaliman dalam pemerintahannya. Adil juga membawa erti seorang yang bertaqwa, warak, bercakap benar, menjauhi perkara haram, sentiasa redha dengan tuhan dan menjaga maruah dalam setiap urusan kehidupan. Ia juga bererti mendirikan segala tanggungjawab fardhu dan melaksanakan hukuman dengan adil.

7. Kemampuan Melaksanakan Tugas

Seorang ketua negara hendaklah seorang yang mempunyai kemampuan dalam melaksanakan tugas mentadbir, berani, dapat menyelesaikan masalah rakyat dengan mudah, memikir mengenai kepentingan rakyat dan masa depan negara, jauh dari sifat-sifat lupa dan lalai.

8. Berilmu

Para ulamak bersepakat ketua negara mestilah seorang yang berilmu tetapi mereka berselisih mengenai tahap ilmu tersebut. Ada pendapat yang menyatakan bahawa ia mesti mencapai tahap mujtahid dan tidak harus melantik ketua negara yang tidak mencapai tahap mujtahid seperti pendapat Abu Hasan al-Mawardi, Abu Ya'la al-Fara’ al-Hanbali, Ibn Khaldun, Abu Mansur Abdul Qader al-Baghdadi, al-‘Iji dan al-Kardastani dalam bukunya Taqrib al-Maram fi syarah Tahzib al-Kalam.

Mereka berhujahkan bahawa ketua negara merupakan tempat rujukan umat apabila berlakunya perselisihan, maka sudah tentunya ia memerlukan seorang yang pakar dalam bidang perundangan dan hukum-hakam yang mencapai tahap mujtahid.

Golongan kedua pula menyatakan tidak perlu mencapai tahap mujtahid, cukup memadai berilmu kerana sekiranya untuk mencapai tahap mujtahid maka tidak ada yang mencukupi syarat-syaratnya disebabkan peredaran zaman dan kelemahan umat Islam kini. Para fuqaha kini mengharuskan melantik ketua negara walaupun tidak mencapai tahap mujtahid asalkan ia dapat melaksanakan hak-hak shariat dengan berpandukan tunjuk ajar dan nasihat dari orang yang lebih arif dalam sesuatu perkara. Berkata Sharastani: “Dan berterusan jamaah dari ahli sunnah kepada perkara ini sehingga mereka mengharuskan bahawa ketua negara bukan seorang mujtahid dan tidak pakar dalam soal ijtihad tetapi hendaklah bersama ia seorang yang pakar dalam bidang ijtihad yang menjadi tempat rujukan hukum dan mengeluarkan fatwa halal dan haram.”

Para pemerintah hendaklah cintakan ilmu dan ulamak serta sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu. Faktor-faktor ini menjadi pemerintah sentiasa berada di jiwa rakyat.

9. Tidak Cacat Anggota Dan Tubuh Badan

Ketua negara hendaklah seorang yang mempunyai kesempurnaan tubuh badan dan tidak cacat anggota yang boleh menjejaskan pemerintahannya seperti pekak, buta atau hilang kedua-dua tangan atau kedua-dua kaki yang mana ia tidak dapat lagi berfungsi untuk bertindak secara cepat dan cergas dalam pentadbiran pemerintahan.

Abul Hasan Ali al-Nadwi membahagikan kepimpinan kepada dua kategori iaitu kepimpinan kebendaan dan pencukaian (al-jibayah) dan kepimpinan petunjuk dan hidayah (al-hidayah). Kepimpinan al-jibayah ini menjadikan kebendaan sebagai ukuran keberhasilannya. Kepimpinan yang mementingkan pembangunan material, tenggelam dalam kemewahan dan masing-masing berebut untuk mengaut kekayaan peribadi. Di samping itu, mereka memeras keringat orang miskin dengan kewajipan cukai yang mencekik leher. Mereka tidak mempedulikan pendidikan moral dan agama bagi rakyat. Sementara kepimpinan al-hidayah pula ialah kepimpinan yang menjadikan hidayah sebagai syiarnya dan tugas utamanya menyeru manusia kepada Allah, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kayu pengukur penghasilan kepimpinannnya ialah integrati moral dan sahsiah , zuhud terhadap kemewahan dunia dan berlumba-lumba dalam kebajikan.

Gambaran golongan ini seperti yang dirakamkan dalam al-Quran, “Dan orang-orang yang Kami perteguhkan kedudukan mereka di bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan”. (al-Hajj 41).

Al-Quran juga memberi panduan kepada umat Islam untuk memilih pemimpin berdasarkan ayat yang bermaksud : “ ikutilah orang-orang yang tidak meminta upah dan mereka yang terbimbing dengan hidayah “ ( Yasin :21). Ayat tersebut mengisyaratkan dua kriteria penting kepimpinan iaitu seorang yang menghayati hidayah Tuhan dan tidak meminta rakyat membalas budi dan baktinya. Disamping itu, beliau turun ke medan masyarakat bukan untuk mengaut harta kekayaan untuk peribadi dan keluarga atau untuk glamour peribadi tetapi semata- mata untuk memajukan masyarakat dan tidak rela bangsanya diperhambakan oleh mana-mana pihak.

Keunggulan seseorang pemimpin terletak kepada kemampuannya membina dan mendidik bangsanya. Kepimpinan sedemikian yang disebut sebagai pemimpin pendidik (al-qa’idu ‘l-murabbi) yang dapat merubah bangsanya menjadi lebih kuat, unggul dan bermaruah. Perubahan manusiawi atau human transformation ini yang telah dilakukan oleh para nabi. Nabi Muhammad s.a.w. misalnya telah berjaya merubah watak bangsa Arab yang serba rosak menjadi umat terunggul, dari umat yang berperang selama 600 tahun kerana seekor unta kepada pemimpin dunia. Oleh itu, pemimpin yang terbaik adalah pemimpin yang mampu membina dan membentuk generasi terunggul (jil al-farid). Mereka menggabungkan kepimpinan unggul dengan petunjuk Ilahi. Dengan kata lain, mereka sentiasa berada dalam naungan petunjuk Allah dengan mengikut sepenuhnya perintah Tuhan. Secara ringkasnya dalam konteks masyarakat di Malaysia, kita memerlukan kepimpinan berwibawa - berilmu, berakhlak, beramanah, berwawasan dan berintegriti moral, pimpinan yang mampu melaksanakan tugas besar, melahirkan daya saing dan daya juang yang tinggi pada bangsanya.

 Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali



Seksa Kubur

Khamis, 17 Sya'aban 1439H: Ibnu Abbas r.a. menceritakan: "Nabi saw. berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran oleh beliau suara dua orang sedang diseksa dalam kuburnya.

Maka berkata Nabi saw., "Keduanya diseksa bukanlah kerana dosa besar."

Kemudian Nabi melanjutkan perkataannya, "Yang seorang diseksa kerana kencing di tempat terbuka, dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan."

Sesudah itu Nabi menyuruh ambil sebuah pelepah tamar, lalu dipatah dua oleh beliau, dan diletakkannya di atas kedua kuburan itu masing-masing sepotong.

Seseorang bertanya, "Ya, Rasulullah! Mengapa Anda lakukan itu?"

Jawab Nabi, "Mudah-mudahan keduanya mendapat keringanan, selama pelepah tamar itu tidak kering."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0149.

Wednesday, May 2, 2018

Memilih Pemimpin Negara

Rabu, 16 Sya'aban 1439H : Memilih pemimpin negara adalah perkara yang amat penting dalam kehidupan bernegara. Jika kita memilih pemimpin negara yang jujur, baik, cerdas dan amanah, niscaya rakyatnya akan makmur. Sebaliknya jika pemimpinnya tidak jujur, korup, serta menzalimi rakyatnya, niscaya rakyatnya akan sengsara.


Oleh karena itulah Islam memberikan pedoman dalam memilih pemimpin yang baik. Dalam Al Qur’an, Allah SWT memerintahkan ummat Islam untuk memilih pemimpin yang beriman: Antara Firman Allah : 

“Kabarkanlah kepada orang-orang munafik bahwa mereka akan mendapat siksaan yang pedih, (yaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mu'min. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah. “ (An Nisaa 4:138-139)

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimmpin (mu): sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagiaa yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka sebagai pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada oarng-orang yang zalim " (QS. Al-Maidah: 51)

"Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan bapak-bapak dan saudara-saudaramu menjadi pemimpin-pemimpinmu, jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan. Dan siapa di antara kamu menjadikan mereka menjadi pemimpin, maka mereka itulah orang-orang yang zalim" (At Taubah:23) 

"Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali (teman atau pelindung)" (An Nisaa:144) 

"Janganlah orang-orang  mukmin mengambil orang-orang kafir jadi pemimpin, bukan orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, bukanlah dia dari (agama) Allah sedikitpun..." (Ali Imran:28)

Selain beriman, seorang pemimpin juga harus adil:

Dari Abu Hurairah ra, ia berkata, bahwasanya Rasulullah saw bersabda: “ada tujuh golongan manusia yang kelak akan memperoleh naungan dari Allah pada hari yang tidak ada lagi naungan kecuali naungan-Nya, (mereka itu ialah): 

1. Imam/pemimpin yang adil 
2. Pemuda yang terus-menerus hidup dalam beribadah kepada Allah 
3. Seorang yang hatinya tertambat di masjid-masjid
4. Dua orang yang bercinta-cintaan karena Allah, berkumpul karena Allah dan berpisah pun karena Allah
5. Seorang pria yang diajak (berbuat serong) oleh seorang wanita kaya dan cantik, lalu ia menjawab “sesungguhnya aku takut kepada Allah”
6. Seorang yang bersedekah dengan satu sedekah dengan amat rahasia, sampai-sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya 
7. Seorang yang selalu ingat kepada Allah (dzikrullâh) di waktu sendirian, hingga melelehkan air matanya.
(HR. Bukhari dan Muslim)

Hai orang-orang yang beriman! Tegakkanlah keadilan sebagai saksi karena Allah. Dan janganlah rasa benci mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena itu lebih dekat dengan taqwa…” (Q.s. Al-Maidah 5: 8)

Keadilan yang diserukan al-Qur’an pada dasarnya mencakup keadilan di bidang ekonomi, sosial, dan terlebih lagi, dalam bidang hukum. Seorang pemimpin yang adil, indikasinya adalah selalu menegakkan keutamaan hukum; memandang dan memperlakukan semua manusia sama di depan hukum, tanpa pandang bulu. Hal inilah yang telah diperintahkan al-Qur’an dan dicontohkan oleh Rasulullah ketika bertekad untuk menegakkan hukum (dalam konteks pencurian), walaupun pelakunya adalah puteri beliau sendiri, Fatimah. Allah berfirman :

Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi karena Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau bapak ibu dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya atau miskin, Allah lebih mengetahui kemaslahatan keduanya”. (Qs. An-Nisa; 4: 135)

Disebutkan dalam sebuah kesah, ketika seorang perempuan dari suku Makhzun dipotong tangannya lantaran mencuri, kemudian keluarga perempuan itu meminta Usama bin Zaid supaya memohon kepada Rasulullah SAW untuk membebaskannya, Rasulullah SAW pun marah. Beliau bahkan mengingatkan bahwa, kehancuran masyarakat sebelum kita disebabkan oleh ketidakadilan dalam melaksanakan hukum seperti itu.

Dari Aisyah ra. bahwasanya Rasulullah saw. bersabda: “ Adakah patut engkau memintakan kebebasan dari satu hukuman dari beberapa hukuman (yang diwajibkan) oleh Allah? Kemudian ia berdiri lalu berkhutbah, dan berkata: ‘Hai para manusia! Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu itu rosak/binasa dikeranakan apabila orang-orang yang mulia diantara mereka mencuri, mereka bebaskan. Tetapi, apabila orang yang lemah mencuri, mereka berikan kepadanya hukum’. (HR. Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa'i, Abu Daud, Ahmad, Dariini, dan Ibnu Majah)

“Sesungguhnya Allah akan melindungi negara yang menegakkan keadilan walaupun ia kafir, dan tidak akan melindungi negara yang dzalim (tiran) walaupun ia muslim”. (Mutiara I dr Ali ibn Abi Thalib)

Pilihlah pemimpin yang jujur:


Dari Ma’qil ra. Berkata: saya akan menceritakan kepada engkau hadis yang saya dengar dari Rasulullah saw. Dan saya telah mendengar beliau bersabda: “seseorang yang telah ditugaskan Tuhan untuk memerintah rakyat (pejabat), kalau ia tidak memimpin rakyat dengan jujur, niscaya dia tidak akan memperoleh bau surga”. (HR. Bukhari)

Pilihlah pemimpin yang bersungguh-sungguh dan ikhlas mahu mencegah dan memberantas kemungkaran seperti korupsi, nepotisme, manipulasi, dll: Rasulullah SAW bersabda : “Barang siapa melihat kemungkaran, maka hendaknya ia merubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka hendaknya merubah dengan lisannya, jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Dan yang demikian itulah selemah-lemahnya iman”. (HR. Muslim)

Pilih pemimpin yang bisa mempersatukan ummat, bukan yang fanatik terhadap kelompoknya sendiri:

Padahal Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menyatakan dalam Al Qur’an : “ … Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian, orang-orang Muslim, dari dahulu … .” (QS. Al Hajj : 78)

Dalam menafsirkan ayat di atas, Imam Ibnu Katsir menukil satu hadits yang berbunyi : “Barangsiapa menyeru dengan seruan-seruan jahiliyah maka sesungguhnya dia menyeru ke pintu jahanam.” Berkata seseorang : “Ya Rasulullah, walaupun dia puasa dan shalat?” “Ya, walaupun dia puasa dan shalat, walaupun dia mengaku Muslim. Maka menyerulah kalian dengan seruan yang Allah telah memberikan nama atas kalian, yaitu : Al Muslimin, Al Mukminin, Hamba-Hamba Allah.” (HR. Ahmad jilid 4/130, 202 dan jilid 5/344)

Ada beberapa sifat baik yang harus dimiliki oleh para Nabi, yaitu: Amanah (dapat dipercaya), Siddiq (benar), Fathonah (cerdas/bijaksana), serta tabligh (berkomunikasi dgn baik dgn rakyatnya). Sifat di atas juga harus dimiliki oleh pemimpin yang kita pilih. 

Pilihlah pemimpin yang amanah, sehingga dia benar-benar berusaha mensejahterakan rakyatnya. Bukan hanya pandai menjual aset negara atau kekayaan Negara untuk kepentingan pribadi dan kelompoknya.

Pilih pemimpin yang cerdas, sehingga dia tidak bisa ditipu oleh anak buahnya atau kelompok lain sehingga merugikan negara. Pemimpin yang cerdas punya visi dan misi yang jelas untuk memajukan rakyatnya.

Dalam Islam, kepemimpinan itu penting, sehingga Nabi pernah berkata, “jika kalian berpergian, pilihlah satu orang jadi pemimpin. Jika hanya berdua, maka salah satunya jadi pemimpin.” Sholat wajib pun yang paling baik adalah yang ada pemimpinnya (imam). Kepentingan memilih pemimpin juga dapat dilihat apabila wafatnya Rasulullah SAW, dimana para sahabat yang agong lagi rapat dengan Rasulullah SAW seperti Abu Bakar ra, Umar ra, Osman ra ,dan sahabat besar yang lain tidak ada semasa urusan pengkebumian baginda kerana memilih Khalifah (pemimpin ) untuk memimpin umat seterusnya.


Wa’allahualam

Doa Berlindung Dari Seksa Kubur

Rabu, 16 Sya'aban 1439H: Dikatakan oleh Abdullah ibnu Abbas: "Rasulullah saw mengajarkan kepada kami doa memohon perlindungan dan seksa kubur, sebagaimana ketika beliau mengajarkan Al-Quran kepada kami,

Sabda beliau: "Ucapkanlah (dalam tasyahudmu) yang terakhir: "Allahumma innaa na'uudzubika min 'adzaabi jahannama wa a'uudzu bika min 'adzaabil qabri wa a'uudzubika min fitnatil masiihid-dajjal wa a'uudzu bika min fitnatil mahya wal mamaati"

("Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari seksa jahanam, dari seksa kubur, dari fitnah masiihid dajjal dan dari fitnah dalam kehidupan dan setelah mati.")

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2032.