Tuesday, October 30, 2018

Wuduk Rasulullah SAW

Selasa, 21 Safar 1440H: Humran r.a., maula Usman (bin Affan) mengkhabarkan, bahawa dia melihat Usman bin Affan meminta setimber air untuk berwuduk. Dia menuangkan air itu ke tangannya dan membasuh kedua telapak tangannya tiga kali. 

Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam air, lalu berkumur-kumur dan membersihkan, hidung dengan menghirup air ke hidung dan menyemburkannya kembali. 

Kemudian dia membasuh mukanya tiga kali, membasuh kedua belah tangannya hingga siku tiga kali. 

Kemudian dia menyapu kepalanya, dan setelah itu dia membasuh kaki hingga dua mata kaki tiga kali.

Kemudian dia berkata, "Bersabda Rasulullah saw. 'Barangsiapa berwuduk seperti wudukku ini, kemudian solat dua rakaat dengan khusyuk, nescaya diampuni (Allah) dosanya yang telah lalu."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0117.

Monday, October 29, 2018

Membersih Hidung

Isnin, 20 Safar 1440H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. beliau bersabda:

"Apabila seseorang di antara kamu bangun dari tidurnya, lalu ia berwuduk, maka hendaklah menyemburkan air dari hidung (membersihkan hidungnya) tiga kali, kerana sesungguhnya syaitan bermalam pada lubang hidungnya".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1458.

Friday, October 26, 2018

Membuang Sial Perbuatan Syirik

Jumaat, 17 Safar 1440H: Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpaling daripada melakukan sesuatu hajat kerana beranggapan akan bernasib sial maka dia telah melakukan syirik.”

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah penebus anggapan itu?

Baginda menjawab: “Hendaklah seseorang daripada kamu mengucapkan:

اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
(Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau).” 

(Hadith sahih riwayat Ahmad, No. Hadith : 6748)

Matan Hadith:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا كَفَّارَةُ ذَلِكَ قَالَ أَنْ يَقُولَ أَحَدُهُمْ اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
]التخريج: مسند أحمد بن حنبل , مُسْنَدُ المُكْثِرِينَ مِنَ الصَّحَابَةِ , مسْنَدُ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرو بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ عنهما,من ردته الطيرة من حاجة فقد أشرك , رقم الحديث 6748 , وقال أحمد شاكر خلاصة حكم المحدث إسناده صحيح[

Pengajaran Hadith :

1.Bulan Safar adalah bulan kedua dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram. Antara maksud Safar adalah bulan yang diharamkan untuk berperang sebagaimana yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Safar juga bermaksud ulat yang berada di dalam perut manusia ketika lapar (menyebabkan muka orang yang mengalaminya kelihatan kuning), yang berkemungkinan boleh membawa maut. Terdapat ulama yang berpandangan bahawa ianya lebih teruk serta berjangkit berbanding penyakit kulit.

2.Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa perkara buruk akan berlaku apabila datang bulan Safar. Bahkan mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Tanggapan tersebut termasuk tatayyur yang dilarang dalam Islam. Antara larangan yang lain adalah menganggap sial bagi hari tertentu seperti hari Rabu, menganggap bulan Syawal sebagai bulan sial secara khusus dalam urusan pernikahan, larangan untuk bermusafir pada bulan Safar dan lain-lain. Maka pandangan-pandangan ini adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam. Kedatangan Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut kerana ianya adalah amalan syirik.

3.Justeru, setiap Muslim hendaklah memantapkan keimanan dengan percaya kepada Qada’ dan Qadar yang telah ditetapkan Allah SWT serta menghilangkan tanggapan yang silap tersebut dengan bertawakal kepada Allah SWT. Selain daripada itu, dianjurkan agar sentiasa membaca doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith ini.

Thursday, October 25, 2018

Dusta Yang DiBolehkan

Khamis, 16 Safar 1440H: Dari Ummu Kaltsum binti 'Uqbah bin Abi Muaith - dia termasuk muhajirat yang pertama-tama berbaiat dengan Nabi saw. mengatakan bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda,

"Tidak termasuk pendusta orang yang memperdamaikan dua orang yang berselisih, dia mengatakan yang baik lalu dia berhasil dengan baik."
Kata Ibnu Syihab, "Aku tidak pernah mendengar Rasulullah saw membolehkan orang berdusta, melainkan dalam tiga hal: 

(1) Dalam perang.
(2) Dalam mendamaikan dua orang yang berselisih.
(3) Berita suami kepada isterinya dan berita isteri kepada suaminya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2232.

Wednesday, October 24, 2018

Tiga Wasiat Rasulullah saw

Rabu, 15 Safar 1440H: Dari Abu Darda' r.a., katanya : "Sahabatku yang tercinta (Rasulullah saw.) mewasiatkan kepada ku tiga macam amal yang tidak pernah ku tinggalkan selama hidupku: 

(1) Puasa tiga hari setiap bulan.
(2) Solat Dhuha.
(3) Solat witir sebelum tidur."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0689.

Tuesday, October 23, 2018

Apa Itu Ghibah (Mengumpat)?

Selasa, 14 Safar 1440H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Tahukah kamu apa yang dikatakan Ghibah (mengumpat)?" 

Jawab para sahabat, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu."

Sabda Rasulullah saw., "Ghibah, iaitu mempercakapkan saudara mu tentang hal yang tidak disukainya."

Ditanya orang beliau, "Bagaimana kalau yang kami percakapkan itu ternyata memang benar?"
Jawab beliau, "Jika yang kamu ucapkan ternyata benar, bererti engkau mengumpat. Dan Jika tidak benar, bererti engkau melakukan suatu kebohongan (dusta) tentang dirinya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2219.

Monday, October 22, 2018

Terlupa Rakaat Ketika Solat

Isnin, 13 Safar 1440H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Rasulullah saw. memberi salam sesudah dua rakaat. Lalu Zulyadain bertanya: "Ya Rasulullah! Telah pendek solat atau engkau lupa?" 

Nabi berkata: "Benarkah perkataan Zulyadain?" 

Kata orang banyak: "Benar!" 

Lalu Rasulullah saw. berdiri dan solat dua rakaat lagi. Sesudah itu memberi salam.

Kemudian beliau takbir dan sujud seperti sujud yang biasa atau lebih lama, lalu bangkit kembali, kemudian itu takbir dan sujud lagi seperti biasa, lalu bangkit dari sujud."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1942.

Friday, October 19, 2018

Kelebihan Hari Jumaat

Jumaat, 10 Safar 1440H: Mewartakan kepada kami Sahl bin Abu Sahl dan Hautsarah bin Muhammad, mereka berkata: Mewartakan kepada kami Yahya bin Sa'id Al-Qaththan, dari Ibnu 'Ajlan, dari Sa'id Al-Maqburiy, dari ayahnya, dari 'Abdullah bin Wadi'ah, dari Abu Dzarr, dari Nabi SAW.

Beliau bersabda: Barangsiapa mandi di hari Jumaat, kemudian membaguskan mandinya, bersuci lalu membaguskan sucinya, memakai pakaian yang paling bagus, memakai minyak wangi keluarganya apa yang Allah tetapkan, kemudian mendatangi Jumaat, tidak berbuat sia-sia dan tidak memisahkan antara dua orang, maka akan diampuni dosa-dosa yang terjadi antara Jumaat ini dan Jumaat yang lain."

Dalam Az-Zawa-id; Isnadnya Shahih dan para perawinya terpercaya.

Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 2. Hadis Nombor 1097.

Thursday, October 18, 2018

Selepas Solat Subuh

Khamis, 9 Safar 1440H: Dari Samak bin Harb r.a. katanya: "Aku bertanya kepada Jabir bin Samurah r.a., "Pernahkah kamu duduk bersama-sama Rasulullah saw"?"

Jawab Jabir. "Bahkan sering. Beliau biasanya belum berdiri dari tempatnya solat (di mana beliau solat) Subuh, sebelum terbit matahari. Apabila matahari telah terbit barulah beliau berdiri. Selama duduk-duduk itu para sahabat ada yang bercakap-cakap urusan masa jahiliyah, lalu mereka tertawa, sedangkan beliau tersenyum."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2151.

Wednesday, October 17, 2018

Rasulullah SAW Guru Terbaik

Dari Mu'awiyah bin Hakam As Sulami, katanya: "Ketika aku sedang solat bersama-sama Rasulullah saw., tiba-tiba ada orang bersin. Lalu ku ucapkan 'Yarhamukallah'(Semoga Allah memberi Anda rahmat).

Kerana itu seluruh jemaah menujukan pandangannya kepada ku. Aku berujar, "Aduh, ibu! Mengapa anda semua menengok kepada ku?" 

Mereka bahkan menepuk paha mereka. Setelah itu barulah aku tahu bahawa mereka menyuruh ku diam. Tetapi aku telah diam.

Tatkala Nabi saw. telah selesai solat, Demi Allah! Aku belum pernah bertemu dengan seorang guru yang sepandai beliau mengajar, Demi Allah! Beliau tidak mengasari ku, tidak memukul dan tidak memaki ku.

Beliau bersabda, "Sesungguhnya tidak patut bercakap-cakap dalam solat; kerana solat itu ialah tasbih, takbir dan membaca Qur'an."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0492.

Tuesday, October 16, 2018

Hak Jalanan

Selasa, 8 Safar 1440H; Dari Thalhah ra, katanya: "Pada suatu ketika. kami sedang duduk-duduk dan bercakap-cakap di jalanan.

Rasulullah saw. mendatangi kami seraya bersabda: "Apa kerja kalian duduk-duduk di jalanan? Jauhilah duduk-duduk di jalanan!"

Jawab kami. "Kami hanya sekadar duduk-duduk dan bercakap-cakap."

Sabda beliau. "Kalau begitu, bayar hak jalanan. Iaitu pejamkan mata. jawab salam dan berbicaralah yang berguna (baik)!"

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2022.

Monday, October 15, 2018

Jujur Dan Dusta

Isnin, 6 Safar 1440H: Dari 'Abdullah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hendaklah kamu selalu berlaku jujur. Kerana berlaku jujur membimbing kepada kebajikan, dan kebajikan membawa ke syurga. 

Seseorang yang sentiasa berlaku jujur dan berusaha mempertahankan/mencari kejujuran, maka dia dicatat Allah sebagai "Sadiq" (orang yang jujur). 

Dan hindarilah olehmu dusta, kerana sesungguhnya dusta itu membimbing kepada kejahatan, dan kejahatan membawa ke neraka. 

Seseorang yang sentiasa berdusta dan mempertahankan kedustaan, maka dia dicatat Allah Taala sebagai "Kadzdzab" (si Pendusta atau si Pembohong)."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2234.

Friday, October 12, 2018

Banyakkan Selawat Pada Hari Jumaat

Jumaat, 3 Safar 1440: Daripada Abu Aus bin Aus RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya di antara hari yang paling mulia bagi kamu semua ialah hari jumaat, oleh yang demikian hendaklah kamu semua memperbanyakkan membaca selawat kepadaku pada hari itu, kerana sesungguhnya ucapan selawat kamu semua akan ditunjukkan kepadaku (pada hari kiamat nanti).

Huraian Hadith:

1.Hari jumaat merupakan hari yang paling digalakkan kepada kita supaya memperbanyakkan beramal, kerana itu penuh dengan keberkatan dan kebaikan seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW.

2.Untuk mengerjakan amal kebajikan janganlah ditangguh-tangguh dan mengira masa, kerana setiap amal yang baik akan dibalas dengan ganjaran pahala.

3.Orang yang paling banyak berselawat kepada Rasulullah SAW akan mendapat syafaat Baginda pada hari akhirat nanti dan paling hampir dengan Baginda.

(Hadis Riwayat Abu Daud dengan isnad yang sahih)

Thursday, October 11, 2018

Tiga Pesanan Rasulullah SAW

Dari Abu Darda' r.a., katanya : "Sahabatku yang tercinta (Rasulullah saw.) mewasiatkan kepada ku tiga macam amal yang tidak pernah ku tinggalkan selama hidupku: 

(a) Puasa tiga hari setiap bulan.
(b) Solat Dhuha.
(c) Solat witir sebelum tidur."

Hadis Sahih Muslim Nombor 2 (068 Hadis Sam J9.

Wednesday, October 10, 2018

Imam Yang Baik & Buruk

Rabu, 1 Safar 1440H: Dari 'Auf bin Malik r.a., dari Rasulullah saw., katanya: "Imam (pemimpin atau pembesar) yang terbaik ialah mereka yang mencintai mu dan kamu mencintai mereka; mereka mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka. Imam yang paling buruk (jahat) ialah yang kamu benci dan mereka membenci mu; kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk mu." 

Bertanya seseorang, "Ya, Rasulullah! Bolehkah kami menyingkirkannya dengan pedang?" 

Jawab Rasulullah saw., "Tidak, selama mereka masih solat bersama-sama kamu. Apabila kamu lihat suatu tindakan (kebijaksanaan) yang tidak baik dari pembesar mu, proteslah tindakannya, dan jangan lepas tangan untuk tidak taat (terhadap tindakannya yang baik)."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1821.

Tuesday, October 9, 2018

Cintai Semata-Mata Kerana Allah

Selasa, 29 Muharram 1440H: Dari Anas r.a, dari Nabi saw., katanya: "Ada tiga perkara, barangsiapa melaksanakan ketiga-tiganya, nescaya ia akan mendapatkan kesedapan iman: 

(1) Orang yang cinta kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada cintanya kepada yang lain dari pada keduanya.

(2) Orang yang mencintai orang lain semata-mata kerana Allah 

(3) Orang yang benci untuk kembali kepada kafir, setelah Allah melepaskannya daripada (belenggu) kekafiran itu, sama dengan bencinya akan dijatuhkan ke dalam neraka."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0016.

Monday, October 8, 2018

Bilakan Hari Kiamat?

Isnin, 28 Muharram 1440H: Dari Anas r.a.: Ada seorang laki-laki menanyakan kepada Nabi s.a.w. mengenai kiamat. 

Katanya: "Bilakah hari kiamat?" 

Beliau bersabda: "Apakah yang telah engkau siapkan untuk hari itu?" 

Katanya: "Tiada suatu pun selain mencintai Allah dan RasulNya". 

Beliau bersabda: " Engkau akan bersama orang yang engkau cintai!" 

Kata Anas: Belum pernah kami gembira seperti kegembiraan kami kerana mendengar sabda Nabi s.a.w.: " Engkau akan bersama orang yang engkau cintai!" 

Kata Anas: "Saya mencintai Nabi, Abu Bakar, dan Umar dan saya mengharapkan kiranya saya bersama mereka kerana mencintai mereka, sekalipun saya belum beramal serupa amal mereka".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1551.

Thursday, October 4, 2018

Solat Sunat Akhir Malam

Khamis, 24 Muharram 1440H; Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Seorang laki-laki bertanya kepada Nabi saw. ketika beliau sedang di atas mimbar,

"Bagaimana caranya solat malam?" 

Nabi menjawab, "solat malam dua-dua rakaat, dan bila khuatir subuh datang, maka solatlah satu rakaat, bererti anda telah witir untuk setiap rakaat yang telah anda perbuat."

Ibnu Umar mengatakan, "Buatlah solatmu yang akhir di waktu malam ganjil (witir) rakaatnya, kerana Nabi saw. menyuruh begitu."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0281.

Wednesday, October 3, 2018

Gempa,Munafik & Dajjal

Rabu, 23 Muharram 1440H: Dari Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Tidak sebuah jua pun negeri, melainkan semua dipijak oleh Dajjal. Kecuali Mekah dan Madinah. 

Semua jalan yang menuju ke sana, dijaga Malaikat dengan berbaris. 

Maka berhentilah Dajjal di sebuah kebun (di pinggir kota Madinah). Madinah bergoyang (gempa) tiga kali. 

Orang-orang kafir dan orang-orang munafik keluar semuanya dari kota Madinah menemui Dajjal."

Hadis Sahih Muslim & Bukhari.

Tuesday, October 2, 2018

Hari Kiamat

Selasa, 22 Muharram 1440H: Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda:

"Hari kiamat belum akan terjadi sehingga telah dihapuskan ilmu pengetahuan, banyak terjadi gempa bumi, masa (waktu) terasa pendek, timbul berbagai macam bencana, banyak terjadi peristiwa yang menggemparkan seperti pembunuhan, dan wang berlimpah-limpah di sekitarmu."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0543.

Monday, October 1, 2018

Doa Rasulullah SAW Ke Atas Negeri Syam & Yaman

Isnin, 21 Muharram 1440H: Ibnu Umar r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah. saw. pernah mendoa: 

"Wahai Allah! Berilah kami berkat di negeri kami Syam dan Yaman!" 

Tanya mereka (para sahabat), "Nejd, bagaimana ya, Rasulullah?" 

Jawab Nabi saw., "Wahai, Allah! Berilah kami berkat di negeri kami Syam dan Yaman!" 

Tanya mereka, "Nejd, bagaimana ya,Rasulullah?" 

Jawab Nabi saw., "Di sana akan banyak terjadi gempa bumi dan berbagai macam bencana. Dan di sana akan timbul juga kurun syaitan."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0544.