Tuesday, June 30, 2015

Solat Rasulullah Di Bulan Ramadhan

Selasa, 13 Ramadhan 1436H: Dari Abu Salamah bin Abdurrahman r.a., ia bertanya kepada 'Aisyah r.a. tentang bagaimana caranya Nabi saw. solat pada bulan Ramadhan. 

Jawab 'Aisyah, "Rasulullah tidak pernah menambah solatnya di bulan Ramadhan dan tidak pula di bulan lainnya, atas sebelas rakaat. 

Mula-mula beliau solat empat rakaat, tetapi janganlah ditanya tentang kebagusan panjangnya solat beliau itu. 

Kemudian beliau solat empat rakaat lagi, dan janganlah ditanya pula bagaimana bagus dan lamanya.

Kemudian beliau solat tiga rakaat. 

Kata 'Aisyah, aku bertanya kepada Rasulullah, "Ya, Rasulullah! Apakah Tuan tidur sebelum solat Witir?" 

Jawab Nabi saw., "Wahai, 'Aisyah! Hanya mata ku saja yang tidur, tetapi hatiku tidak."

Hadis Sahih Bukhari 

Monday, June 29, 2015

Dua Kegembiraan Orang Yang Berpuasa

Isnin, 12 Ramadhan 1436H : Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Allah berfirman: "Setiap amal anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku, dan Aku membalasi puasanya itu. 

Puasa itu bagaikan perisai; maka apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah berkata kotor dan jangan pula berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya, maka hendaklah ia mengatakan: 'Aku ini puasa.' 

Demi Allah, yang diri Muhammad berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. 

Bagi orang yang puasa ada dua kegembiraan yang menggembirakannya: Apabila ia berbuka ia gembira, dan apabila ia menemui Tuhannya, ia gembira dengan puasanya. "

Hadis Sahih Bukhari .

Friday, June 26, 2015

Puasa Dalam Perjalanan

Jumaat, 9 Ramadhan 1436H: Dari Abu Darda' r.a., katanya: 

"Kami berpergian bersama-sama Rasulullah saw. dalam suatu perjalanan dalam bulan Ramadhan di bawah terik matahari yang sangat panas, sehingga masing-masing kami meletakkan tangannya di kepala kerana sangat panasnya. 

Ketika itu tidak seorang jua pun kami yang puasa, melainkan Rasulullah saw. dan 'Abdullah bin Rawahah."

Hadis Sahih Muslim.

Thursday, June 25, 2015

Puasa Kerana Iman & Ikhlas

Khamis, 8 Ramadhan 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Siapa yang puasa di bulan Ramadhan kerana iman dan ikhlas diampuni Allah dosanya yang telah lalu"

Hadis Sahih Bukhari 

Wednesday, June 24, 2015

Puasa Dalam Keadaan Junub

Rabu, 7 Ramadhan 1436H: Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw., katanya: 

"Sesungguhnya Rasulullah saw. pernah mendapati fajar (kesiangan) di bulan Ramadhan, padahal beliau dalam keadaan junub kerana jimak. Lalu beliau mandi dan terus puasa."

Hadis Sahih Muslim .

Tuesday, June 23, 2015

Solat Tarawih

Selasa, 6 Ramadhan 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Pada suatu malam di bulan Ramadhan, Rasulullah saw. solat di masjid, lalu diikuti oleh beberapa orang sahabat. 

Kemudian pada malam kedua beliau diikuti oleh lebih banyak orang, iaitu satu kabilah. 

Kemudian pada malam ketiga atau keempat mereka berkumpul lebih banyak lagi. Tetapi Nabi saw. tidak keluar mendapatkan mereka. 

Setelah Subuh, beliau bersabda "Sesungguhnya aku tahu apa yang kalian lakukan semalam. Tiada satu pun yang menghalangi ku untuk keluar kepada anda sekalian, melainkan hanya kerana aku takut kalau solat Tarawih itu menjadi wajib bagi mu."

Hadis Sahih Muslim .

Monday, June 22, 2015

Berbuka Puasa

Isnin, 5 Ramadhan 1436H: Dari 'Abdullah bin Abi Aufa r.a., katanya: 

"Kami berpergian bersama-sama Rasulullah saw. dalam suatu perjalanan di bulan Ramadhan. Ketika matahari telah terbenam beliau bersabda: "Hai, Fulan! Turunlah, dan siapkan makan kita!" 

Jawab orang itu, "Hari masih siang, ya Rasulullah!" 

Sabda Rasulullah, "Turunlah dan siapkan makan kita!" 

Kata 'Abdullah, "Orang itu pun segera turun, lalu dia menyiapkan makanan dan menyajikannya kepada Rasulullah saw., dan beliau langsung minum. Kemudian beliau bersabda sambil menunjuk dengan tangannya: 

"Apabila matahari telah terbenam di sana, dan malam telah datang di sini, maka orang puasa sudah boleh berbuka."

Hadis Sahih Muslim.

Friday, June 19, 2015

Puasa Ramadhan Ketika Berperang

Jumaat, 2 Ramadhan 1436H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: 

"Kami pernah pergi berperang bersama-sama Rasulullah saw. dalam bulan Ramadhan. Sebagian kami ada yang puasa dan sebahagian lagi tidak puasa. Orang yang puasa tidak keberatan terhadap orang yang tidak puasa, dan sebaliknya orang yang tidak puasa tidak keberatan terhadap yang puasa. Mereka berpendapat, siapa yang kuat puasa sebaiknyalah dia puasa, dan siapa yang tidak kuat sebaiknyalah dia berbuka."

Hadis Sahih Muslim .

Thursday, June 18, 2015

Kewajiban Membayar Zakat Fitrah

Khamis, 1 Ramadhan 1436H: Dari Nafi', dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Rasulullah saw. mewajibkan zakat fitrah (atau beliau mengatakan: zakat ramadhan) kepada laki-laki dan perempuan merdeka dan hamba sahaya, segantang kurma atau segantang gandum. Kemudian orang banyak menyamakan segantang gandum itu dengan setengah gantang bur (gandum yang baik). 

Ibnu Umar pernah memberikan kurma untuk membayar zakat fitrahnya. Pada suatu ketika orang-orang Madinah sulit untuk memperoleh kurma, lantas dibayarnya dengan gandum. 

Ibnu Umar membayar zakat fitrah untuk anak-anak dan orang dewasa. Sehingga jika ada, anak-anak saya pun dibayarkannya. Biasanya Ibnu Umar membayarkannya langsung kepada orang yang berhak menerimanya. Dan biasanya pula, orang banyak membayarkannya satu atau dua hari sebelum Aidilfitri."

Hadis Sahih Bukhari .

Wednesday, June 17, 2015

Jangan Berpuasa Mendahului Ramadhan

Rabu, 30 Syaaban 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Janganlah kamu dahului puasa Ramadhan dengan puasa satu atau dua hari sebelumnya, melainkan bagi orang yang memang biasa puasa pada hari itu, maka dia boleh puasa pada hari itu."

Hadis Sahih Bukhari 

Tuesday, June 16, 2015

Apabila Tiba Ramadhan

Selasa, 29 Syaaban 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Bila Ramadhan telah datang, maka dibukakan pintu rahmat, dikunci neraka jahannam, dan dirantai semua syaitan."

Hadis Sahih Muslim

Monday, June 15, 2015

Puasa Ramadhan - Melihat Anak Bulan & Hitungan Hari

Isnin, 28 Syaaban 1436H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya Nabi saw. bersabda mengenai Ramadhan, sabdanya: "Janganlah kamu puasa sebelum melihat bulan (terbit) dan janganlah berbuka sebelum melihatnya (terbit kembali). Jika bulan itu tertutup dari pandanganmu, maka hitunglah (jumlah harinya tiga puluh hari)."( Hadis Sahih Muslim.) 

Dari Abdullah r.a., katanya Rasulullah saw. pernah berbicara perihal Ramadhan. Sabda beliau: "Janganlah kamu puasa sehingga kamu melihat bulan, dan janganlah kamu berbuka sehingga kamu melihatnya. Maka jika bulan itu tertutup di atasmu, kira-kirakanlah bilangannya (buatlah perhitungan hari baginya)." (Hadis Sahih Bukhari .)

Friday, June 12, 2015

Peristiwa Di Bulan Ramadhan

Jumaat, 25 Syaaban 1436H: Dari 'Aisyah r.a.ha, isteri Rasulullah saw., katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. ketika beliau sedang berada dalam masjid di bulan Ramadhan, lalu orang itu berkata: "Ya, Rasulullah! Celaka aku! Celaka aku!" 

Kerana itu Rasulullah saw. bertanya, apa sebabnya? 

Lalu jawabnya, "Aku telah menyetubuhi isteri ku siang hari bulan Ramadhan." 

Sabda Rasulullah saw.,"Bersedekahlah!" 

Jawab orang itu, "Ya Nabiyallah! Demi Allah! Aku tidak punya apa-apa. Kerana itu aku tidak sanggup melaksanakannya.

Sabda Nabi saw. "Tunggulah di sini sebentar!" Sementara dia duduk menunggu, datang seorang lelaki mengiring seekor keldai membawa makanan. Maka bertanya Rasulullah saw., "Mana orang yang dapat celaka tadi?" 

Maka berdirilah orang itu, lalu Rasulullah saw. bersabda kepadanya, "Bersedekahlah anda dengan ini." 

Jawab orang itu, "Ya, Rasulullah! Tentu harus ku sedekahkan kepada orang yang lebih miskin daripada kami. Demi Allah, sesungguhnya kami lapar, sedangkan kami tidak punya apa-apa." 

Jawab Nabi saw., "Kalau begitu, boleh kamu makan."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, June 11, 2015

Apabila DiWajibkan Puasa Ramadhan

Khamis, 24 Syaaban 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: Biasanya orang banyak puasa pada hari 'Asyura, sebelum diwajibkan puasa Ramadhan. Pada hari itu Kaabah diselubungi. Maka setelah Allah swt. mewajibkan puasa Ramadhan, Rasulullah bersabda, 

"Barangsiapa ingin puasa ' Asyura, silakan. Dan barangsiapa hendak meninggalkannya, silakan meninggalkannya. "

Hadis Sahih Bukhari

Friday, June 5, 2015

Apabila Ragu Dalam Solat

Jumaat, 18 Syaaban 1436H: Dari Abdullah r.a., katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. solat melebihi atau kurang dari jumlah rakaat yang semestinya. Setelah beliau memberi salam, ditanyakan orang kepadanya: "Ya, Rasulullah! Apakah ada perubahan dalam solat?" 

Tanya Nabi saw., "Mengapa begitu tanya anda?" 

Jawab mereka, "Anda solat begini, begini, begini." 

Lalu beliau menyimpuhkan kedua kakinya menghadap ke kiblat, kemudian sujud dua kali dan sesudah itu memberi salam. Kemudian beliau menghadapkan mukanya kepada kami seraya bersabda:  
"Jikalau ada suatu perubahan tentang cara solat, tentu ku beritahukan kepada anda semua. Aku adalah manusia pelupa seperti anda juga. Kerana itu, apabila aku lupa ingatkan lah aku. Dan apabila kamu ragu dalam solat tentang jumlah rakaatnya, ambillah yang pasti (iaitu jumlah yang sedikit), lalu cukupkanlah, kemudian sujudlah dua kali."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, June 4, 2015

Bersikap Tenang Hendak Solat Berjemaah

Khamis, 17 Syaaban 1436H: Dari Abu Qatadah r.a., katanya: "Ketika kami sedang solat bersama Nabi saw., tiba-tiba beliau mendengar suara gaduh seorang laki-laki. Setelah selesai solat beliau bertanya, "Apa yang terjadi?" 

Jawab mereka, "Kami tergopoh-gopoh hendak solat." Sabda Nabi saw., "Jangan berbuat begitu! Apabila kamu hendak solat (berjemaah), bersikaplah tenang. Mana yang kamu dapati, solatlah bersama mereka, dan mana yang kamu tertinggal sempurnakanlah kemudian."

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, June 3, 2015

Abu Bakar Menjadi Imam Solat

Rabu, 16 Syaaban 1436H: Dari Aisyah r.a. ibu orang-orang beriman (isteri Nabi) bahawa Rasulullah saw. mengatakan, ketika beliau sedang sakit: "Suruhlah Abu Bakar solat menjadi Imam bagi orang banyak!" 

Aisyah menjawab: "Sesungguhnya Abu Bakar apabila dia berdiri di tempat engkau (menjadi Imam), nescaya tidak akan kedengaran suaranya oleh orang banyak kerana tangisnya. Sebab itu suruhlah Umar solat (menjadi Imam)." 

Beliau berkata sekali lagi: "Suruhlah Abu Bakar supaya solat menjadi Imam bagi orang banyak!"

'Aisyah mengatakan kepada Hafshah, supaya menyampaikan (kepada Nabi): "Bahawa Abu Bakar apabila berdiri di tempat engkau jadi Imam), nescaya tidak akan kedengaran suaranya oleh orang banyak, kerana tangisnya. Sebab itu suruhlah Umar, supaya solat menjadi Imam bagi orang banyak!" 

Lalu Hafshah melaksanakan anjuran Aisyah. Mendengar itu Rasulullah saw. berkata: "Sesungguhnya kamu serupa dengan perempuan-perempuan (yang menggoda) Yusuf! Suruh Abu Bakar, supaya dia solat menjadi Imam bagi orang banyak!" 

Hafshah berkata kepada 'Aisyah: "Saya tidak mendapat kebaikan kerana mengikuti anjuran engkau."

Hadis Sahih Bukhari.

Tuesday, June 2, 2015

Subuh Terakhir

Selasa, 15 Syaaban 1436H: Diberitakan oleh Anas bin Malik r.a., katanya: "Pada suatu waktu, ketika kaum Muslimin sedang solat Subuh, mereka terkejut kerana tiba-tiba Rasulullah membuka tabir bilik 'Aisyah (di mana beliau sedang terbaring sakit keras). Rasulullah senyum tertawa melihat mereka sedang solat dalam beberapa saf. 

Abu Bakar r.a. (yang menjadi imam ketika itu) mundur sampai ke saf di belakangnya, kerana mengira Rasulullah akan datang solat bersama-sama dengan mereka. Hampir saja kaum muslimin tergoda dalam solat mereka kerana peristiwa itu. 

Maka Nabi memberi isyarat kepada mereka supaya mereka meneruskan solat. Sesudah itu beliau menutupkan tabirnya kembali. Beliau wafat pada akhir hari itu juga."

Hadis Sahih Bukhari .

Monday, June 1, 2015

Solat Subuh dan Isyak

Isnin, 14 Syaaban 1436H: Berita dari Abu Hurairah ra. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: 

"Tidak ada solat yang lebih berat bagi orang munafik daripada solat Subuh dan Isyak. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan kedua solat itu (dilaksanakan berjemaah), nescaya mereka akan datang (ke masjid), sekalipun dengan merangkak." 

"Sesungguhnya saya ingin menyuruh seseorang azan dan qamat, kemudian menyuruh yang lain menjadi imam solat berjemaah, kemudian aku sendiri pergi mengambil suluh (obor), lalu ku bakar orang-orang yang tidak datang solat (berjemaah)."

Hadis Sahih Bukhari .