Tuesday, February 28, 2017

Tiga Golongan Allah Tidak Bercakap

Selasa, 1 Jamadialakhir 1438H: Dari Abu Dzar r.a., dari Nabi saw., sabdanya: 

"Ada tiga golongan, di mana Allah tidak akan bercakap dengan mereka pada hari kiamat. Mereka itu ialah:

(1) Orang yang suka memberi, tetapi suka menyebut-nyebut pemberiannya itu.
(2) Orang yang menawar-nawarkan dagangannya dengan sumpah palsu.
(3) Orang yang suka berpakaian berjela-jela kerana sangat luasnya.

Hadis Sahih Muslim

Monday, February 27, 2017

Kalimah Ringan Di Lidah, Berat Di Timbangan

Isnin, 30 Jamadilawwal 1438H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Dua kalimat yang ringan di lidah (mengucapkannya) tetapi berat timbangan (pahala)nya, dan keduanya disukai Allah swt. ialah : 

"Subhanallahi wa bi hamdih, subhaanallaahil 'azhiim"(Maha Suci Allah dan Maha Terpuji Dia, Maha Suci Allah Yang Maha Agung)

Hadis Sahih Muslim

Friday, February 24, 2017

Mudah Yang Tidak Berdosa

Jumaat, 27 Jamadilawal 1438H: Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw. katanya: "Apabila Rasulullah saw. diberi pilihan dua urusan atau pekerjaan, beliau memilih yang termudah, selama yang termudah itu tidak mengandung dosa, jika pekerjaan itu mengandung dosa, maka beliau menjauhkan diri daripadanya sejauh-jauhnya. 

Dan beliau tidak pernah mencela seseorang, melainkan apabila orang itu melanggar larangan Allah 'Azza wa Jalla."

Hadis Sahih Muslim 

Tuesday, February 21, 2017

Panas Terik Dari Neraka Jahannam

Selasa, 24 Jamadilawal 1438H: Dari Abu Dzar r.a., katanya: "Kami bersama-sama dengan Nabi saw. dalam suatu perjalanan. Tiba-tiba Muadzin hendak azan. 

Maka bersabda Nabi saw. kepadanya, "Biarkan udara agak sejuk lebih dahulu! " 

Kemudian orang itu hendak azan pula. Beliau pun berkata, "Nantikanlah udara agak sejuk lebih dahulu!" 

Kemudian orang itu hendak azan pula. Beliau pun berkata, "Nantikanlah udara agak sejuk lebih dahulu!" 

Sehingga akhirnya bayangan bukit-bukit kecil telah sepadan dengan tingginya masing-masing. Maka bersabda Nabi saw., "Sesungguhnya panas yang terik itu dari neraka Jahannam".

Hadis Sahih Bukhari.

Monday, February 20, 2017

Balasan Syurga Buat Ibu

Isnin, 23 Jamadilawal 1438H: Dari 'Aisyah r.a. katanya: "Pada suatu hari seorang perempuan miskin datang kepada ku membawa dua orang anak perempuannya. Maka ku beri dia kurma tiga buah.

Lalu perempuan itu memberi anaknya masing-masing sebuah. Sedang yang sebuah lagi diangkat ke mulutnya hendak dimakannya sendiri, tetapi diminta oleh kedua anaknya.

Maka dibelahnya kurma yang hendak dimakannya itu lalu diberikannya kepada kedua anaknya, seorang sebelah.

Aku kagum menyaksikan perempuan itu, lalu ku ceritakan apa yang telah diperbuatnya itu kepada Rasulullah saw.

Maka bersabda beliau, "Sesungguhnya Allah Ta'ala mewajibkan syurga baginya, atau Allah Ta'ala membebaskannya dari seksa neraka."

Hadis Sahih Muslim

Friday, February 17, 2017

Sedang Marah

Jumaat, 20 Jamadilawal 1438H: Muhammad bin Katsir menyampaikan kepada kami dari Sufyan yang mengkhabarkan dari Abdul Malik bin Umair, dari Abdurrahman bin Abu Bakrah bahawa ayahnya pernah menulis surat kepadanya yang berisi sabda Rasulullah SAW,

"Seorang hakim tidak boleh memutuskan perkara di antara dua orang berperkara ketika dia sedang marah.'"

(HR Abu Dawud, 3589)

Thursday, February 16, 2017

Catatan Amal Diangkat

Khamis, 19 Jamadilawal 1438H: Utsman bin Abu Syaibah menyampaikan kepada kami dari Yazid bin Harun, dari Hammad bin Salamah yang mengkhabarkan dari Hammad, dari Ibrahim, dari al-Aswad, dari Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda,

"Pena (catatan amal) diangkat kerana tiga hal: orang yang tidur hingga dia terbangun, orang gila hingga sembuh dan anak kecil hingga dia dewasa.'"

(HR Abu Dawud, 4398)

Wednesday, February 15, 2017

Saat Kewafatan Rasulullah SAW

Rabu, 18 Jamaldilawal 1438H: Dari Aisyah r.a., katanya: Di antara nikmat Allah kepada saya, Rasulullah s.a:w. wafat di rumah saya, di hari giliran saya, antara dada dan leher saya (bersandar kepadanya). Dan Tuhan mempercampurkan air liur saya dengan air liur beliau kerana sugi waktu beliau akan wafat. 

Abdur Rahman datang ke rumah saya, di tangannya ada sugi (pembersih gigi) sedang Rasulullah s.a.w. bersandar kepada saya. Saya lihat beliau memandang kepadanya. Saya ketahui bahawa beliau ingin bersugi. Saya tanyakan: "Akan saya pakaikan sugi itu untuk tuan?" 

Lalu beliau isyaratkan dengan kepala beliau (mengatakan setuju). Lalu saya berikan kepada beliau dan terasa keras oleh beliau. Lalu saya berkata: "Akan saya lunakkankah untuk tuan?" 

Beliau isyaratkan dengan kepala (tanda setuju). Lalu saya lunakkan dengan gigi. Dan di hadapan beliau ada bejana kecil atau bejana besar yang berisi air. 

Lalu beliau masukkan kedua tangan beliau ke dalam air itu dan beliau sapukan ke muka beliau sambil bersabda: "Tiada Tuhan selain Allah! Sesungguhnya bagi kematian itu ada sakaratul maut". Lalu beliau mengangkat tangannya sambil mengucapkan: "Teman Yang Maha Tinggi". Lalu beliau wafat dan rebahlah tangan beliau.

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, February 7, 2017

Ragu-Ragu Dalam Solat

Selasa, 10 Jamadilawal 1438H: Dari 'Abbad bin Tamim, dari pakciknya, katanya: 

"Ditanyakan orang kepada Nabi saw. perihal seorang lelaki yang ragu-ragu dalam solatnya, apakah dia keluar hadas (kentut dll) atau tidak. 

Jawab Nabi saw., "Jangan memutuskan solat, kecuali bila jelas terdengar kentut atau mencium bau."

Hadis Sahih Muslim 

Monday, February 6, 2017

Halal Dan Haram

Isnin, 6 Jamadilawal 1438H: Dari Nukman bin Basyir r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Yang halal sudah nyata, yang haram sudah nyata dan antara keduanya beberapa perkara yang diragukan. 

Barangsiapa meninggalkan apa yang diragukan tentang dosanya, biasanya orang itu meninggalkan pula apa yang sudah nyata berdosa. 

Dan siapa yang berani , melakukan apa yang masih diragukan tentang dosanya, dikhuatirkan ia jatuh pada perkara yang nyata dosanya. 

Segala macam maksiat adalah larangan Allah. Barangsiapa bermain-main sekitar larangan Allah, dikhuatirkan ia akan jatuh ke dalamnya.

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, February 2, 2017

Tidak Diterima Sedekah

Khamis, 5 Jamadilawal 1438H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: 

"Tidak diterima solat seseorang tanpa suci, dan tidak diterima sedekah yang berasal dari kejahatan (seperti mencuri, menipu, menggelapkan atau korupsi (rasuah), rompak, judi dan sebagainya).

Hadis Sahih Muslim