Friday, February 24, 2023

Amalan Syaaban Menghadapi Ramadan

Jumaat, 3 Syaaban 1444H: Amalan  Syaaban Menghadapi Ramadan

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا

Daripada Abu Salamah bahawa 'Aisyah RA menceritakan kepadanya, katanya: "Rasulullah SAW tidak pernah melaksanakan puasa lebih banyak dalam sebulan selain bulan Syaaban, ada kalanya baginda melaksanakan puasa bulan Syaaban seluruhnya. Baginda bersabda: "Lakukanlah amal-amal yang kalian sanggup melaksanakannya, kerana Allah tidak akan berpaling (dalam memberikan pahala) sampai kalian yang lebih dahulu berpaling (dari mengerjakan amal) ". Solat yang paling Nabi SAW cintai adalah solat yang dijaga kesinambungannya sekalipun sedikit. Baginda bila sudah biasa melaksanakan solat (sunat) baginda menjaga kesinambungannya". 

(HR Bukhari No: 1834) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW melaksanakan puasa sunat paling banyak pada bulan Syaaban untuk kita contohi.

2.  Laksanakanlah setiap amal kita semampunya dengan istiqamah, kerana Allah sentiasa memberikan ganjaran pahala.

3.  Solat sunat yang Nabi SAW cintai ialah yang dilakukan secara istiqamah walaupun sedikit.

4.  Pelihara solat sunat mengiringi waktu, duha, tahajud, witir dan lain-lain  walaupun hanya dua rakaat.

Thursday, February 16, 2023

Diseksa Di Alam Kubur

Khamis, 25hb Rejab 1444H; Diseksa Di Alam Kubur

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ بَعْضِ حِيطَانِ الْمَدِينَةِ فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا فَقَالَ يُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ وَإِنَّهُ لَكَبِيرٌ كَانَ أَحَدُهُمَا لَا يَسْتَتِرُ مِنْ الْبَوْلِ وَكَانَ الْآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ دَعَا بِجَرِيدَةٍ فَكَسَرَهَا بِكِسْرَتَيْنِ أَوْ ثِنْتَيْنِ فَجَعَلَ كِسْرَةً فِي قَبْرِ هَذَا وَكِسْرَةً فِي قَبْرِ هَذَا فَقَالَ لَعَلَّهُ يُخَفَّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا

Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; Nabi SAW pernah keluar dari salah satu kebun yang ada di Madinah, lalu baginda mendengar suara dua orang yang sedang di seksa di kuburnya, setelah itu baginda bersabda: "Tidaklah keduanya diseksa kerana dosa besar namun hal itu adalah perkara yang besar, salah satu darinya adalah tidak bersuci dari kencingnya sedangkan yang lain selalu mengadu domba." 

Kemudian baginda meminta sepotong pelepah kurma yang masih basah. Baginda membelahnya menjadi dua, sepotong baginda tancapkan di kubur yang satu dan sepotong di kuburan yang lain. Baginda kemudian bersabda: 'Semoga ia boleh meringankan seksa keduanya selagi daun kurma ini belum kering.'

(HR Bukhari No: 1361) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu memiliki akhlak yang sejahtera.

2.  Ada orang yang diseksa di alam kubur disebabkan akhlak buruk mereka semasa di dunia.

3.  Dua jenis penghuni kubur diseksa disebabkan tidak membasuh kencing dan kesalahan mengadu domba (menimbulkan permusuhan).

4. Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Disunatkan untuk meletakkan pelepah yang hijau di atas kubur kerana ittiba’ (mengikut Nabi SAW), sanadnya sahih, dan kerana sesungguhnya perbuatan itu boleh meringankan azab dengan berkat tasbih pelepah itu, lantaran tasbih itu lebih sempurna berbanding tasbih dari pelepah yang kering, yang mana kehijauan itu adalah sejenis tanda-tanda hidup. Boleh diqiyaskan hukum ini pada apa yang biasa dilakukan dengan meletakkan tumbuhan-tumbuhan yang wangi, dan seumpamanya. Haram mencabutnya (setelah diletakkan) seperti mana yang telah diperbahaskan (oleh ulama) kerana perbuatan mencabut itu menafikan hak mayat. Namun, pada zahirnya, tidak haram kalau mencabut tumbuhan yang sudah kering untuk dibuang, kerana sudah hilang hak bagi mayat itu kerana kekeringannya, itulah kaitannya. Disunatkan untuk meletakkan yang tumbuhan masih kehijauan dan membuang yang sudah kering, secara keseluruhan, kerana melihat kepada kaitan yang disebut oleh baginda SAW tentang peringanan azab dengan warna hijau selama mana tidak kering.” (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (3/197)

Wednesday, February 15, 2023

Jangan Hanya Bercakap Tapi Tidak Melaksanakan

Rabu, 24 Rejab 1444H: Jangan Hanya Bercakap Tapi Tidak Melaksanakan

يُؤْتَى بِالرَّجُلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ فَتَنْدَلِقُ أَقْتَابُ بَطْنِهِ فَيَدُورُ بِهَا كَمَا يَدُورُ الْحِمَارُ بِالرَّحَى فَيَجْتَمِعُ إِلَيْهِ أَهْلُ النَّارِ فَيَقُولُونَ يَا فُلَانُ مَا لَكَ أَلَمْ تَكُنْ تَأْمُرُ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَى عَنْ الْمُنْكَرِ فَيَقُولُ بَلَى قَدْ كُنْتُ آمُرُ بِالْمَعْرُوفِ وَلَا آتِيهِ وَأَنْهَى عَنْ الْمُنْكَرِ وَآتِيهِ

"Seseorang didatangkan pada hari kiamat kemudian dilemparkan ke neraka hingga ususnya terburai keluar dan berputar-putar dineraka seperti keledai memutarkan alat penumbuk gandumnya. Kemudian penghuni neraka berhimpun sekelilingnya seraya bertanya: 'Wahai fulan! Kenapa kamu begini?, bukankah dulu kamu menyuruh supaya melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran?' Lalu dia menjawab: 'Benar, dulu saya memerintahkan agar melakukan kebaikan tapi saya tidak melakukannya dan saya melarang kemungkaran tapi saya melakukannya' 

(HR Muslim No: 5305) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Tugas setiap Muslim antaranya adalah mengajak orang lain melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

2. Suruhan dan ajakan kepada orang lain perlu didahului oleh diri sendiri terlebih dahulu.

3. Rasulullah SAW memberi amaran kepada orang yang hanya mengajak orang lain berbuat kebaikan dan menjauhi mungkar namun dia sendiri tidak melakukannya bahawa mereka akan dilemparkan ke neraka hingga ususnya terburai keluar dan berputar-putar dineraka.

4. Allah mengingatkan pada setiap orang beriman:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ ٢ كَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ ٣

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! (2) Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya (3) As-Soff: 2-3

Friday, February 10, 2023

Amal Kebaikan

Jumaat, 19 Rejab 1444H: Amal Kebaikan

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْحَارِثِ بْنِ عَاصِمٍ الْأَشْعَرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيْمَانِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلآنِ – أَوْتَمْلأُ – مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَالصَّلاَةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَائِعُ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi (bukti). Sabar itu adalah sinaran (memberi cahaya). Al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi (berusaha), ada yang menjual dirinya (sama ada kepada Allah dengan melakukan ketaatan atau kepada syaitan dan hawa nafsu dengan melakukan maksiat dan kemurkaan Allah), ada yang memerdekakan dirinya (daripada kehinaan di dunia dan azab akhirat) dan ada pula yang mencelakakan dirinya (dengan melakukan maksiat)."

(HR Muslim No: 223) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. lslam amat menitikberatkan soal kebersihan, sehingga menganggapnya sebahagian daripada lman. Jagalah kebersihan terutama di zaman Wabak Covid-19 ini.

2. Bersuci merupakan syarat sahnya ibadah, oleh itu setiap Muslim perlu sentiasa mengambil perhatian.

3. Menjaga ibadat solat akan mendatangkan cahaya petunjuk dan mampu memperbaiki diri seorang muslim terhadap manusia lain, menjadikan ia berakhlak dan berperilaku terpuji, memiliki sifat kewarakan dan ketakwaan di sisi Allah.

4. Semua amalan soleh merupakan kebaikan dan keindahan bagi seorang mukmin dan mempunyai nilai yang tinggi. Ada amalan yang menjadi hujah baginya, ada yang menjadi cahaya baginya, ada yang menjadi pemberat timbangannya dan sebagainya. Antaranya;

a. Zikir al-Hamdulillah akan memenuhi neraca timbangan.

b. Zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi.

c. Solat adalah cahaya.

d. Sedekah adalah saksi (Seruan untuk berinfaq pada jalan-jalan kebaikan dan bersegera melakukannya dimana hal tersebut merupakan pertanda dan bukti benarnya keimanan).

e. Sabar adalah sinaran. (bersabar tatkala mengalami musibah, khususnya apa yang dialami seorang muslim kerana perbuatan amar ma’ruf nahi munkar)

f. Al-Qur’an adalah hujah bagi mukmin (Membaca Al Quran dengan pemahaman dan mentadabbur (merenungkan) maknanya, mengamalkan kandungannya kerana hal tersebut dapat memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari kiamat).

5. Setiap manusia dalam kegiatan hariannya mendedahkan dirinya sama ada kepada kebaikan atau kecelakaan. Ada yang menjual dirinya kepada Allah, lalu beroleh kebaikan dan kejayaan dan pula ada yang menjual dirinya kepada syaitan lalu beroleh kecelakaan.

6. Pastikan segala aktiviti harian kita membawa kebaikan dan pahala bukan keburukan dan dosa.

Thursday, February 9, 2023

Miliki Sifat Santun dan Malu

Khamis, 18 Rejab 1444H:  Miliki Sifat Santun dan Malu

حَدَّثَنَا يُونُسُ قَالَ زَعَمَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ أَشَجُّ بْنُ عَصَرٍ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ فِيكَ خُلَّتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ قُلْتُ مَا هُمَا قَالَ الْحِلْمُ وَالْحَيَاءُ قُلْتُ أَقَدِيمًا كَانَ فِيَّ أَمْ حَدِيثًا قَالَ بَلْ قَدِيمًا قُلْتُ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَبَلَنِي عَلَى خُلَّتَيْنِ يُحِبُّهُمَا

Telah menceritakan kepada kami Yunus ia berkata, Abdurrahman bin Ubay berkata, Asyajj bin Ashr berkata, "Rasulullah SAW bersabda kepadaku: "Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua sifat yang keduanya dicintai oleh Allah 'azza wajalla." Saya bertanya, "Sifat apakah itu?" baginda menjawab, "Al Hilm (santun, tidak mudah marah) dan rasa malu." Saya bertanya lagi, "Apakah kedua sifat itu telah ada padaku sejak lama atau baru melekat?" baginda menjawab: "Sejak lama." Saya berkata, "Segala puji Allah yang telah memberiku dua sifat yang dicintai-Nya." 

(Musnad Ahmad No: 17160) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Dua sifat yang dicintai Allah kepada pemiliknya:

a. Al-Hilm iaitu sifat santun, mampu menahan emosi atau tidak mudah marah
b. Malu iaitu sifat yang mendorong seseorang untuk meninggalkan segala keburukan sama ada perkataan, perbuatan dan sikap yang dapat mencegah dirinya dari kelalaian.

2. Antara bentuk malu:

a. Malu melakukan kejahatan seperti mengadu domba
b. Malu kerana merasa lemah
c. Malu kepada diri sendiri

3. Malu itu punca dari iman. Hadis Rasulullah SAW:

اَلحَيَاءُ والإِيمَانِ قُرَنَاءُجَمِيعًا فَإِذَا رَفَعَ أَحَدَهُمَارَفَعَ الآخَرَ

Rasa malu dan iman adalah sama, apabila salah satu daripadanya hilang, maka yang lain akan hilang juga (HR al-Hakim dan Tabrani)

4. Milikilah iman yang sempurna dengan sifat malu untuk berbuat dosa seperti dosa mengadu domba dan membuat fitnah.

5. Marilah kita miliki sifat hilm mampu menahan emosi atau tidak mudah marah dan malu yang dicintai Allah.

Wednesday, February 8, 2023

Sedekah Berkualiti

Rabu, 17hb Rejab 1444H ,Sedekah Berkualiti

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبَقَ دِرْهَمٌ مِائَةَ أَلْفِ دِرْهَمٍ قَالُوا وَكَيْفَ قَالَ كَانَ لِرَجُلٍ دِرْهَمَانِ تَصَدَّقَ بِأَحَدِهِمَا وَانْطَلَقَ رَجُلٌ إِلَى عُرْضِ مَالِهِ فَأَخَذَ مِنْهُ مِائَةَ أَلْفِ دِرْهَمٍ فَتَصَدَّقَ بِهَا

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda, “Satu dirham dapat mengalahkan seratus ribu dirham“. Lalu ada sahabat yang bertanya, “Bagaimana boleh terjadi wahai Rasulullah?” Baginda menjelaskan, “Ada seorang yang memiliki dua dirham lalu mengambil satu dirham untuk disedekahkan. Ada pula seseorang memiliki harta yang banyak sekali, lalu ia mengambil dari hartanya seratus ribu dirham untuk disedekahkan.” 

(HR. Nasai No: 2527) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Sedekah setiap Muslim ganjarannya bergantung kepada keikhlasan dan harta yang dimiliki.

2. Ada Muslim yang bersedekah dengan nilai satu dirham, namun ganjarannya mengatasi orang yang bersedekah seratus ribu dirham kerana ia bersedekah separuh dari harta yang dimilikinya (dua dirham) walaupun yang disedekahkan dari segi jumlahnya sedikit namun nilainya sangat besar pada dirinya.

3. Ada Muslim yang bersedekah seratus ribu dirham, mungkin dari segi jumlahnya banyak namun nilainya kecil di sisinya (hanya sedikit) kerana dia memiliki jutaan dirham yang lain.

4. Sedekah itu bukan bergantung pada kuantiti namun yang lebih penting adalah kualiti dan keikhlasan.

5. Galakan bersedekah tidak hanya kepada orang kaya malah juga kepada orang yang kurang berada kerana sedekah itu tidak akan mengurangi hartanya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda: Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya." (HR. Muslim no. 4689) Status: Hadis Sahih

Friday, February 3, 2023

Berbakti Kepada Ibu Bapa

Jumaat, 12 Rejab 1443H: Berbakti Kepada Ibu Bapa

عَنْ أَبِي أُسَيْدٍ مَالِكِ بْنِ رَبِيعَةَ السَّاعِدِيِّ قَالَ: بَيْنَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ بَنِي سَلَمَةَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ: هَلْ بَقِيَ مِنْ بِرِّ أَبَوَيَّ شَيْءٌ أَبَرُّهُمَا بِهِ بَعْدَ مَوْتِهِمَا قَالَ: نَعَمْ, الصَّلَاةُ عَلَيْهِمَا وَالِاسْتِغْفَارُ لَهُمَا وَإِنْفَاذُ عَهْدِهِمَا مِنْ بَعْدِهِمَا وَصِلَةُ الرَّحِمِ الَّتِي لَا تُوصَلُ إِلَّا بِهِمَا وَإِكْرَامُ صَدِيقِهِمَا

Daripada Abu Usaid Malik bin Rabi'ah As-Sa'idi RA berkata: "Ketika kami sedang bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba ada seorang lelaki daripada Bani Salamah datang kepada Baginda SAW. Lelaki tersebut bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah masih ada ruang untuk aku berbuat baik kepada kedua orang tuaku setelah mereka meninggal dunia?." 

Baginda menjawab: "Ya, mendoakan dan memintakan keampunan untuk kedua-duanya, melaksanakan wasiatnya, menyambung silaturahim mereka dan memuliakan teman mereka." 

(HR Abu Daud No. 5142) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang anak wajib mentaati dan berbakti kepada kedua ibu bapanya sama ada semasa hidup mahupun apabila keduanya telah meninggal dunia.

2. Antara amalan kebajikan yang boleh dilakukan oleh seseorang anak kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia ialah:

a. Berdoa agar dicucuri rahmat
b. Memohon keampunan bagi dosa keduanya
c. Melaksanakan wasiatnya
d. Menyambung silaturahim keluarga dan kerabatnya
e. Memuliakan teman mereka

3. Marilah kita menghayati peranan seorang anak kepada ibu bapa. Tanpa mereka siapalah kita dan adakah kita boleh berada dalam keadaan dan kedudukan yang kita miliki pada hari ini?. Sedarlah bahawa tanpa keredhaan mereka, kita juga tidak akan mendapat keredhaan Allah SWT. Semoga kita akan tergolong dalam golongan yang diredhai-Nya.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا

“Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”

Thursday, February 2, 2023

Anak Boleh Menjadikan Ibubapa Bakhil

Khamis, 11 Rejab 1444H: Anak Boleh Menjadikan Ibubapa Bakhil

عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي رَاشِدٍ عَنْ يَعْلَى الْعَامِرِيِّ أَنَّهُ قَالَ جَاءَ الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ يَسْعَيَانِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضَمَّهُمَا إِلَيْهِ وَقَالَ إِنَّ الْوَلَدَ مَبْخَلَةٌ مَجْبَنَةٌ

Dari Sa'id bin Abu Rasyid dari Ya'la Al 'Amiri bahawa dia berkata, "Al-Hasan dan Al-Husain berusaha datang kepada Nabi SAW, kemudian baginda memeluk mereka berdua sambil bersabda: "Sesungguhnya anak adalah tempat kebakhilan dan kekhawatiran." 

(HR Ibnu Majah No: 3656) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Anak adalah amanah kepada ibu bapa untuk dijaga dan dididik

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari apa Neraka (at-Tahrim: 6)

2. Anak adalah ujian (fitnah) untuk kedua ibubapa. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memberi perlindungan, nafkah, pendidikan mahupun kasih sayang yang sebaiknya agar mereka menjadi anak yang soleh. Firman Allah:

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

“Dan Ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (QS. Al Anfal: 28)

3. Anak boleh menyebabkan ibu bapa memiliki sifat bakhil (tidak mahu bersedekah kerana ingin mengutamakan anak. Anak juga boleh menjadi penyebab orangtuanya pengecut untuk berdakwah atau berjihad kerana takut sesuatu berlaku sebab sayangkan anak.

4. Al-Munawiy berkata: anak-anak boleh membawa kedua orang tuanya untuk menjadi bakhil dan mendorongnya untuk bersifat demikian sehingga dia menjadi kedekut harta kerananya, serta meninggalkan jihad kerananya.

5. Al-Mawardiy berkata: “Hadis ini menjelaskan seseorang perlu berhati-hati terhadap anak, kerana ia boleh menyebabkan munculnya sifat-sifat ini (kedekut). Juga akan memunculkan akhlak yang demikian…”

6. Sifat bakhil akan mendapat seksa di hari kiamat. Firman Allah:

وَلَا يَحۡسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَبۡخَلُونَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦ هُوَ خَيۡرٗا لَّهُمۖ بَلۡ هُوَ شَرّٞ لَّهُمۡۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُواْ بِهِۦ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ ١٨٠

“Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan (Ali Imran:180)