Monday, October 29, 2012

Melontar Jamaratul Aqabah

Isnin, 13 Zulhijjah 1433H: Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Bahwasanya Usamah pernah menjadi pengiring Rasulullah saw. semenjak dari 'Arafah sampai ke Muzdalifah. Kemudian digantikan oleh Fadhal dari Muzdalifah sampai ke Mina. Kata Ibnu Abbas, keduanya mengatakan bahawa Nabi saw. sentiasa membaca talbiyah sehingga beliau melontar Jamratul 'Aqabah.

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0803.

Thursday, October 25, 2012

Khutbah Arafah Rasulullah SAW

Khamis, 9 Zulhijjah 1433H: Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah melakukan ibadah Haji yang terakhir pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah yang juga berlakunya peristiwa Haji Wida’ di Lembah Uranah, Bukit Arafah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyampaikan khutbah :
.
Rasululah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda; Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan!!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
  • Wahai manusia sekalian! Sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
  • Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba hendaklah dibatalkan mulai sekarang.
  • Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. Sesungguhnya syaitan itu masih terus berusaha (untuk mengganggu kamu) dengan cara yang lain. Syaitan akan puas jika kamu sekalian melakukan perbuatan tercela. Oleh kerana itu hendaklah kamu menjaga agamamu dengan baik.
  • Takutlah kepada Allah SWT dalam bersikap kepada wanita, kerana kamu telah mengambil mereka (menjadi isteri) dengan amanah Allah dan kehormatan mereka dihalalkan bagi kamu sekalian.
  • Wahai manusia sekalian! Sebagaimana kamu mempunyai hak (kewajipan) atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai kewajipan atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan kewajipan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
  • Layanilah wanita-wanita (hamba) kamu dengan baik! Berikanlah makan kepada mereka dengan apa yang kamu makan dan berikanlah pakaian kepada mereka dengan pakaian yang kamu pakai dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. Jika mereka melakukan suatu kesalahan yang tidak boleh kamu maafkan, maka pulangkanlah hamba tersebut dan janganlah kamu menyeksa mereka.
  • Wahai manusia sekalian! Dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.
  • Ketahuilah kamu sekalian, bahawa setiap Muslim itu adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh. Oleh sebab itu janganlah kamu menganiaya diri kamu sendiri.
Ya Allah, sudahkah aku menyampaikan mesej ini kepada mereka?
  • Ingatlah bahawa kamu akan menemui dan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
  • Wahai manusia sekalian! Tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.
  • Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Sekiranya kamu berpegang teguh dengan apa yang aku tinggalkan itu dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
  • Hendaklah orang-orang yang hadir mendengar ucapanku ini menyampaikannya kepada orang lain yang tidak hadir dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitulah seterusnya. Mungkin nanti orang yang mendengar berita tentang khutbah ini lebih memahami kata-kataku ini dari kamu yang mendengar terus dariku pada hari ini.
.
Kalau kamu semua nanti akan ditanya tentang kau, maka apakah yang akan kamu katakan?
Semua yang hadir menjawab, Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan tentang kerasulanmu, engkau telah menyampaikan amanah, dan telah memberikan nasihat.”
Sambil menunjuk ke langit, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kemudian bersabda; Saksikanlah Ya Allah! Bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”
.
(HR. Bukhari dan Muslim).

Ibadah Haji ialah Wukuf Di Arafah

Khamis, 9 Zulhijjah 1433H: Dari Bukair ibnu 'Atha' dari Abdur Rahman ibnu Ya'mar r.a berkata: "Saya telah menyaksikan Rasulullah saw didatangi orang-orang dan ditanya tentang manasik haji, jawab beliau: "Yang terpenting dalam ibadah haji adalah wuquf di Arafah, maka barangsiapa yang mendapatkan malam Arafah sebelum fajar terbit, maka ia telah menyempurnakan hajinya."
 
Hadis Sunan An-Nasai Jilid 3. Hadis Nombor 2877.

Wednesday, October 24, 2012

Wukuf di Arafah

Rabu, 8 Zulhijjah 1433H: Dari 'Abdullah bin 'Abdullah bin 'Umar, dari bapanya, katanya, "Kami berangkat pagi-pagi bersama-sama Rasulullah saw. dari Mina ke Arafah. Sementara itu, dalam rombongan kami ada yang membaca talbiyah, dan ada pula yang membaca takbir."

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1229.

Tuesday, October 23, 2012

Ibadat Qurban

Selasa, 7 Zulhijjah 1433H: Dari Al Bara' r.a. katanya: "Pakcikku Abu Burdah menyembelih korbannya sebelum solat hari raya.
 
Maka bersabda Rasulullah saw., "Itu hanya kambing untuk daging makanan (bukan kurban)."
 
Jawab Pakcik, "Ya, Rasulullah! Kambingku hanya tinggal seekor kambing muda."
 
Sabda Nabi saw., "(Kali ini) engkau boleh berkorban dengan itu, tetapi tidak mencukupi bagi yang lain-lain."
 
Kemudian beliau melanjutkan sabdanya "Siapa menyembelih korban sebelum solat 'Id, dia hanya menyembelih untuk dirinya sendiri (tidak menyembelih kurban), dan siapa menyembelih sesudah solat 'Id maka sempurnalah ibadatnya dan dia telah melaksanakan sunnah kaum muslimin dengan tepat."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1908.

Monday, October 22, 2012

Haji - Solat Jamak Tamam di Muzdalifah

Isnin, 6 Zulhijjah 1433H: Dari Usamah bin Zaid r.a., katanya: "Rasulullah saw. berangkat dari Arafah. Ketika sampai di suatu bukit, beliau turun hendak buang air kecil dan sesudah itu beliau wuduk dengan sederhana. Lalu aku bertanya kepada beliau, "Apakah akan solat sekarang?"
 
Jawab beliau, "Belum. Nanti saja pada perhentian yang berikut." Lalu beliau naik kenderaan kembali.
 
Setelah sampai di Muzdalifah beliau turun, lalu wuduk dengan sempurna. Kemudian diqamatkan orang solat Maghrib dan semua orang berhenti di situ. Lalu diqamatkan pula solat Isyak, tanpa solat sunat antara keduanya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1230.

Friday, October 19, 2012

Puasa Sunat Hari Arafah

Jumaat, 3 Zulhijjah 1433H: Ahmad bin Mani' menceritakan kepada kami, Isma'il bin 'Ulabbah memberitahukan kepada kami, Ayub memberitahukan kepada kami di mana keduanya berkata: "Hammad bin Zaid memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ghailan bin Jarir dari 'Abdullah bin Ma'bad Az-Zamani dari Abu Qatadah bahawasanya nabi s.a.w. bersabda: "Puasa pada hari 'Arafah, sesungguhnya saya memohon kepada Allah, agar dapat menghapus dosa satu tahun sesudahnya dan satu tahun sebelumnya."
 
Di dalam bab ini terdapat hadis dari Abu Sa'id. Abu 'Isa berkata: "Hadis Abu Qatadah tersebut adalah hadis hasan. Para ulama' menganggap sunat untuk berpuasa pada hari 'Arafah kecuali di 'Arafah."

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 2. Hadis Nombor 0746

Thursday, October 18, 2012

Wukuf di Arafah

Khamis, 2 Zulhijjah 1433H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Orang-orang Quraisy dan orang-orang yang seagama dengan mereka, dahulu mereka wukuf di Muzdalifah dan mereka dinamakan "Al Hums" (pemberani).
 
Tetapi orang-orang Arab lainnya wukuf di Arafah. Ketika Islam datang Allah 'Azza wa Jalla memerintahkan kepada Nabi-Nya supaya datang ke Arafah dan wukuf di sana. Setelah itu berangkat dari sana bersama-sama.
 
Itulah yang dimaksud dengan firman Allah swt.: "Kemudian berangkatlah kamu semua dari tempat berangkatnya orang ramai."(Al Baqarah : 199)

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1191.

Wednesday, October 17, 2012

Solat Jamak di Muzdalifah

Rabu, 1 Zulhijjah 1433H: Dari Abu Ayyub al Anshary r.a., katanya: "Bahawasanya Rasulullah saw. pernah menjamak solat Maghrib dan Isyak di Muzdalifah ketika Haji Wada'."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0862

Tuesday, October 16, 2012

Haji Yang Mabrur


Selasa, 30 Zulkaedah 1433H : Dari Abu Hurairah r.a, katanya ada orang bertanya kepada Rasulullah saw, tanyanya: "Apakah amal yang paling utama?"

Jawab Nabi saw, "Percaya kepada Allah dan Rasul-Nya."

Tanyanya pula, "Sesudah itu apakah?"

Jawab beliau, "Jihad (berusaha keras atau berjuang) di jalan Allah!"

Tanyanya lagi, "Sesudah itu apa pula?"

Jawab beliau, " Haji yang mabrur (haji yang diterima Allah, kerana memenuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan Allah)"

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0021.

Friday, October 12, 2012

Haji Ibadat Quran (Unta & Lembu)

Jumaat,28 Zulkaedah 1433H: Dari Jabir r.a., katanya: "Kami pergi haji bersama Rasulullah saw. Lalu beliau menyuruh kami bersekutu tujuh orang untuk korban seekor unta atau seekor sapi bersekutu tujuh orang. "

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1254.

Tuesday, October 9, 2012

Haji - Jangan Menyeksa Diri

Selasa, 23 Zulkaedah 1433H: Dari Anas r.a., katanya Nabi saw. pernah melihat seorang orang tua berjalan dipimpin oleh dua orang anaknya.
 
Lalu beliau bertanya, "Bagaimana orang tua ini?"
 
Jawab mereka, "Beliau bernazar akan melakukan (ibadah haji) dengan berjalan kaki."
 
Sabda Rasulullah saw., "Sesungguhnya Allah swt. Maha Kaya untuk menyuruh seseorang menyeksa diri." Lalu orang tua itu diperintahkan beliau supaya naik kenderaan.

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1626.

Monday, October 8, 2012

Rasulullah & Tawaf

Isnin, 22 Zulkaedah 1433H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya : "Rasulullah saw. melakukan tawaf qudum untuk haji dan umrah, berlari-lari kecil tiga kali putaran dan berjalan empat kali putaran. Kemudian beliau soat dua rakaat (di Maqam Ibrahim) dan sesudah itu saai antara Safa dan Marwa."
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1217

Thursday, October 4, 2012

Larangan Haji & Umrah

Khamis, 18 Zulkaedah 1433H: Dari Ya'la bin Umayyah, dari bapanya r.a., katanya: "Seorang lelaki mendatangi Rasulullah saw. di Ja'ranah, ketika beliau sedang umrah. Janggut dan rambut lelaki itu dicatnya kuning (pakai pacar) dan dia memakai jubah. Lalu dia bertanya kepada Rasulullah saw., "Bolehkah aku umrah dalam keadaan dan pakaianku seperti sekarang?"
 
Jawab Rasulullah saw., "Tanggalkan jubahmu, cuci cat janggut dan rambutmu. Lalu apa yang diperbuat dalam haji lakukan pula dalam umrah."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1148

Wednesday, October 3, 2012

Haji, Perempuan & Muhrim

Rabu,17 Zulkaedah 1433H: Dari Ibnu Abbas r.a.: Ia mendengar Nabi s.a.w. bersabda: "Janganlah seorang laki-laki tinggal berdua saja dengan seorang perempuan!
 
"Dan janganlah seorang perempuan berpergian, melainkan bersama muhrim!"
 
Seorang laki-laki lalu berdiri, katanya: "Hai Rasulullah! Nama saya telah didaftarkan untuk peperangan ini dan itu, sedang isteri saya akan pergi mengerjakan haji".
 
Beliau bersabda: "Pergilah engkau mengerjakan haji bersama isteri engkau!"
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1357.

Tuesday, October 2, 2012

Haji. Terlanjur atau Terlupa

Selasa, 16 Zulkaedah 1433H: Dari 'Abdullah bin 'Amru bin 'Ash r.a .,katanya: "Ketika haji wada', Rasulullah saw. pernah berhenti di Mina untuk menunggu orang banyak agar bertanya kepada beliau. Maka tampillah seorang lelaki, lalu dia bertanya: "Ya, Rasulullah. Aku sudah terlanjur bercukur sebelum menyembelih korban, bagaimana itu?" Jawab beliau, "Sembelihlah, tidak mengapa!"
 
Kemudian datang pula lelaki yang katanya: "Ya, Rasulullah! Aku sudah terlanjur menyembelih lebih dahulu sebelum melontar, bagaimana itu?" Jawab beliau, "Lontarlah. Tidak mengapa!"
 
Kata 'Abdullah, "Segala sesuatu yang ditanyakan kepada beliau, ialah hal-hal yang urutannya tidak tertib kerana terlanjur atau lupa. Dijawab oleh beliau, "Teruskanlah, tidak berdosa."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1248.

Monday, October 1, 2012

Haji Rasulullah SAW

Isnin, 15 Zulkaedah 1433H: Dari Zaid bin Arqam r.a., katanya: "Rasulullah saw. berperang sembilan belas kali peperangan, dan beliau naik haji sesudah hijrah satu kali, di mana beliau tidak pergi haji lagi sesudah itu, selain haji Wada'."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1783.