Sunday, December 31, 2023

Dosa Besar Menderhaka Kepada Ibu bapa

Isnin, 18 Jamadilakhir 1445H: Dosa Besar Menderhaka Kepada Ibu bapa

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْكَبَائِرِ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ

Daripada Anas radliallahu 'anhu berkata; Nabi SAW ditanya tentang  dosa-dosa besar. Maka baginda bersabda: "Menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua orang tua, membunuh orang dan bersumpah palsu". (HR Bukhari No: 2459) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dosa besar ialah kesalahan yang dijanjikan azab yang pedih jika  pelakunya  tidak melakukan taubat nasuhah  hingga diampunkan dosanya oleh Allah.

2.  Antara dosa besar tersebut:

a.  Syirik kepada Allah
b.  Derhaka kepada kedua ibu bapa
c.  Membunuh
d.  Bersumpah dengan sumpah palsu

3.  Setiap anak tidak boleh menyakiti kedua ibu bapaknya, baik dengan perkataan, tindakan mahupun perbuatan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

4.  Berbuat baiklah kepada kedua ibubapa. Firman Allah SWT:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

“Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” al-Isra’:24

Derhaka kepada ibu bapa merupakan dosa besar kedua selepas dosa perbuatan syirik. Semoga kita menjauhi dosa-dosa besar ini.


Saturday, December 30, 2023

Golongan Yang Dilaknat

Sabtu, 17 Jamadilakhir 1445H:   Golongan Yang Dilaknat

أَبُو الطُّفَيْلِ عَامِرُ بْنُ وَاثِلَةَ قَالَ كُنْتُ عِنْدَ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسِرُّ إِلَيْكَ قَالَ فَغَضِبَ وَقَالَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسِرُّ إِلَيَّ شَيْئًا يَكْتُمُهُ النَّاسَ غَيْرَ أَنَّهُ قَدْ حَدَّثَنِي بِكَلِمَاتٍ أَرْبَعٍ قَالَ فَقَالَ مَا هُنَّ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ قَالَ قَالَ لَعَنَ اللَّهُ مَنْ لَعَنَ وَالِدَهُ وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ ذَبَحَ لِغَيْرِ اللَّهِ وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ آوَى مُحْدِثًا وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ غَيَّرَ مَنَارَ الْأَرْضِ

Abu At Thufail 'Amir bin Wastilah berkata, "Saya berada di samping Ali bin Abu Thalib, tiba-tiba seorang laki-laki datang menemuinya seraya berkata, "Apakah Nabi SAW pernah menyampaikan suatu rahsia kepadamu (yang tidak diberitahukan kepada orang lain)?" Abu Thufail berkata, "Ali pun marah seraya berkata, "Tidaklah Nabi SAW menyampaikan suatu rahsia kepadaku dan tidak menyampaikannya kepada manusia, kecuali bahawa baginda pernah menyampaikan empat hal kepadaku." Abu Thufail berkata, "Laki-laki tersebut bertanya, "Apakah empat perkara itu wahai Amirul Mukminin?" Abu Thufail melanjutkan, "Ali lalu menjawab, "Allah melaknat orang yang melaknat orang tuanya;  melaknat orang yang menyembelih untuk selain Allah; melaknat orang yang menyembunyikan penjahat (orang yang melanggar hukum Allah) dan;  melaknat orang yang memindah batas tanah." (HR Muslim No: 3657) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Allah melaknat empat golongan pelaku maksiat berikut:

1.  Allah melaknat orang yang mencela orang tuanya; 

2.  Allah melaknat orang yang menyembelih untuk selain Allah;

3.  Allah melaknat orang yang melindungi pelaku kejahatan (orang tersebut mendapat keringanan hukuman atau bebas dari hukuman yang telah ditetapkan syariat)  dan;

4.  Allah melaknat orang yang memindah batas tanah (batu tanda mengukur sempadan tanah) .

Hidup berkeluarga dan bermasyarakat menuntut kita bersifat rahmah kepada ahli keluarga dan anggota masyarakat di sekeliling. Pastikan kita tidak tergolong orang yang dilaknat Allah.


Friday, December 29, 2023

Mencela Ibu bapa

Jumaat, 16 Jamadilakhir 1445H | Mencela Ibu bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْكَبَائِرِ أَنْ يَشْتُمَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَهَلْ يَشْتُمُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ نَعَمْ يَسُبُّ أَبَا الرَّجُلِ فَيَشْتُمُ أَبَاهُ وَيَشْتُمُ أُمَّهُ فَيَسُبُّ أُمَّهُ

Daripada Abdullah bin Amr RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Termasuk Al-Kaba`ir (dosa-dosa besar), yakni bila seseorang mencela kedua orang tuanya." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, mungkinkah seseorang mencela kedua orang tuanya?" baginda menjawab: "Ya, bila ia mencaci bapa seseorang, maka orang itu pun akan mencaci bapanya. Dan bila ia mencaci ibu seseorang, lalu orang itu pun akan mencaci ibunya." (HR Tirmizi No: 1824)  Status:  Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Termasuk dosa besar apabila seseorang mencaci atau mencela kedua ibu bapanya.

2.  Apabila seseorang mencaci atau memaki  ibu atau bapa orang lain, ia bermakna turut mencaci dan memaki ibu atau bapanya sendiri.

3.  Menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa orang lain bermakna kita menghormati dan mengasihi ibu bapa kita.

4.  Berbuat baik, berlemah lembut dan hormatilah ibu bapa kita dan ibu bapa orang lain. Frman Allah SWT:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

“Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Isra’:24)


Thursday, December 28, 2023

Anak Tidak Mampu Membalas Jasa Ibu Bapa

Khamis, 15 Jamadilakhir 1445H | Anak Tidak Mampu Membalas Jasa Ibu Bapa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَجْزِي وَلَدٌ وَالِدًا إِلَّا أَنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكًا فَيَشْتَرِيَهُ فَيُعْتِقَهُ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW  bersabda: "Seorang anak tidak akan mampu untuk membalas kebaikan orang tuanya, kecuali ia mendapatinya dalam keadaan hamba, lalu ia membeli dan memerdekakannya." (HR Tirmizi No: 1829) Status: Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak amat besar. Bermula dari kesusahan si ibu ketika mengandungkannya, melahirkan hinggalah membesarkannya

2.  Seorang anak tidak akan mampu membalas kebaikan ibu bapanya yang telah mengasuh, membimbing dan memberikan pendidikan di samping keperluan fizikal seperti makan, minum serta pakaian.

3.  Perbandingan membalas jasa keduanya diumpamakan jika orang tuanya seorang hamba, lalu si anak berusaha untuk membeli dan memerdekakannya.

Daripada kedua ibu bapa, kita dilahirkan ke dunia. Berkhidmatlah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa semampu yang boleh.


Wednesday, December 27, 2023

Gembirakan Ibu bapa

Rabu, 14 Jamadilakhir 1445H |  Gembirakan Ibu bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ جِئْتُ أُبَايِعُكَ عَلَى الْهِجْرَةِ وَتَرَكْتُ أَبَوَيَّ يَبْكِيَانِ فَقَالَ ارْجِعْ عَلَيْهِمَا فَأَضْحِكْهُمَا كَمَا أَبْكَيْتَهُمَا

Daripada Abdullah bin 'Amr RA, ia berkata; terdapat seorang laki-laki yang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata; aku datang membaiah engkau untuk berhijrah, dan aku telah meninggalkan kedua orang tua ku dalam keadaan menangis. Kemudian baginda bersabda: "Kembalilah kepada mereka berdua dan buatlah mereka tertawa sebagaimana engkau membuat mereka menangis!" (HR Abu Daud: 2166) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kewajipan anak ialah sentiasa mengembirakan kedua ibu bapanya

2.  Lakukan sesuatu yang sentiasa membuatkan kedua orang tua kita gembira

3.  Tidak ada hadiah yang berharga melainkan sesuatu yang membuatkan kedua ibu bapa gembira di dunia dan gembira di syurga.

Bagi setiap anak yang masih memiliki kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya, buatlah sesuatu yang mengembirakan kedua mereka.


Tuesday, December 26, 2023

Jangan Jadi Orang Celaka

 Selasa, 13 Jamadilakhir 1445H:  Jangan Jadi Orang Celaka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Nabi SAW bersabda: "Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!" lalu baginda ditanya; "Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?" Jawab Nabi SAW: "Barang Siapa yang mendapati kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah seorang dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya)."  (HR Muslim No: 4628) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Jangan jadikan kita orang yang celaka

2.  Orang yang celaka dimurkai Allah dan menyediakan dirinya ke neraka

3.  Orang yang celaka adalah mereka yang masih ada ibu atau bapa yang sudah tua tapi tidak berusaha berbakti kepada mereka.

4.  Celakalah anak-anak yang tidak sanggup menjaga kedua ibu bapa lalu menghantar kerumah orang tua. Dibiarkan orang tua tanpa diziarahi.

5.  Bagi yang ada ibu atau bapa yang sudah tua, rebutlah peluang berbakti dan berbuat baik kepada mereka dengan segala daya upaya.

6.  Daripada Abu Darda’ RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

الوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الجَنَّةِ، فَإِنْ شِئْتَ فَأَضِعْ ذَلِكَ البَابَ أَوْ احْفَظْهُ

“Ibubapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga, Jika kamu mahu letakkanlah pintu itu atau jagalah ia”.(HR Tirmizi No:1900)

Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini berkata bahawa kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa. Barangsiapa yang mentaati orang tua maka dia telah mentaati Allah dan barangsiapa yang memurkai mereka sesungguhnya mereka dimurkai Allah. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 21,23/6]

Hindarkan diri dari tergolong orang yang celaka.


Monday, December 25, 2023

Tiga Golongan Mustajab Doa

  Isnin, 12 Jamadilakhir 1445H: Tiga Golongan Mustajab Doa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada keraguan padanya; doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang bermusafir, dan doa orang tua untuk anaknya." (HR Tirmizi No: 1828) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Muslim dituntut sentiasa berbuat baik dalam pergaulan dan perhubungan dengan anggota masyarakat termasuk kedua ibu bapa.

2.  Elakkan hubungan yang buruk hingga menjadi penyebab kita menzalimi orang lain.

3.  Tiga golongan doanya mustajab di sisi Allah:

b.  Doa dari orang yang dizalimi
c.  Doa orang yang  sedang bermusafir
d.  Doa dua ibu bapa kepada anak

4.  Pastikan kita tidak melakukan sesuatu yang buruk kepada golongan ini sehingga menjadi penyebab mereka berdoa yang buruk untuk kita

Semoga kita mendapat doa yang baik dari orang yang sedang bermusafir. Bagi  kedua ibu bapa, pastikan apa yang keluar dari mulut dan yang terlintas dalam  doa untuk anak-anak adalah yang baik-baik kerana ia boleh menjadi mustajab.

Mari kita bina keluarga yang sejahtera dengan doa yang terbaik menuju ke syurga. Doa ibubapa memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga Bahagia.


Sunday, December 24, 2023

Sebaik-baik Bakti Kepada Kedua Ibu bapa

Ahad, 11 Jamadilakhir 1445H:  Sebaik-baik Bakti Kepada Kedua Ibu bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَعْرَابِ لَقِيَهُ بِطَرِيقِ مَكَّةَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ عَبْدُ اللَّهِ وَحَمَلَهُ عَلَى حِمَارٍ كَانَ يَرْكَبُهُ وَأَعْطَاهُ عِمَامَةً كَانَتْ عَلَى رَأْسِهِ فَقَالَ ابْنُ دِينَارٍ فَقُلْنَا لَهُ أَصْلَحَكَ اللَّهُ إِنَّهُمْ الْأَعْرَابُ وَإِنَّهُمْ يَرْضَوْنَ بِالْيَسِيرِ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ إِنَّ أَبَا هَذَا كَانَ وُدًّا لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أَبَرَّ الْبِرِّ صِلَةُ الْوَلَدِ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ

Daripada Abdullah bin Umar RA dia berkata; "Seorang laki-laki desa bertemu dengannya di salah satu jalan di kota Mekah. Lalu Abdullah memberi salam kepadanya dan menaikkannya ke atas keldai yang dinaikinya, dan diberinya serban yang sedang dipakainya di kepala." Kata Ibnu Dinar; "Maka kami berkata kepada Abdullah bin Umar; 'semoga Allah membalas kebaikan anda. Sesungguhnya orang desa itu lebih suka yang sederhana." Jawab Abdullah; "Bapa orang ini adalah sahabat baik Umar bin Khathab. Aku mendengar Rasulullah SAW  bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik bentuk berbakti (berbuat baik) adalah seseorang menyambung hubungan dengan keluarga dari kenalan baik ayahnya (HR Muslim No: 4629) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berbuat baik kepada kedua ibu bapa perlu berterusan, walaupun selepas keduanya meninggal dunia.

2.  Selain daripada mendoakan kebaikan serta keampunan untuk kedua ibu bapa, seorang anak juga disuruh menyambung hubungan dengan keluarga  dan sahabat ibu bapa.

3.  Berbuat baik dengan sahabat baik ibu bapa juga adalah antara cara berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia.

Semoga kita sentiasa berbakti kepada ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia dengan cara menghubungkan silaturahim keluarga dan menyambung hubungan sahabat handai ibu bapa.


Saturday, December 23, 2023

Tiga Amalan Penerus Ganjaran Pahala

 Sabtu, 10 Jamadilakhir 1445H: Tiga Amalan Penerus Ganjaran Pahala

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang mendoakannya." (HR Muslim No: 3084) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap keturunan anak Adam bergantung dengan amal yang mereka lakukan semasa hidup.

2.  Ada amalan yang dilakukan semasa hidup akan berterusan mengalir pahalanya walaupun dia telah meninggal dunia antaranya:

a.  Sedekah jariah berbentuk harta seperti wakaf, derma yang disumbang semasa hidup yang manfaatnya diguna oleh orang lain termasuk haiwan.

b.  Ilmu bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain dan dimanafaatkannya untuk kemaslahatan hidup termasuk hasil ciptaan daripada ilmu yang dipelajari. Ilmu juga termasuk sesuatu yang dihasilkan berbentuk buku, artikel, video juga sebarang penulisan yang baik dan bermanfaat dalam bentuk elektronik seperti laman web, FB, tiktok, telegram, whatsapp dan lain-lain..  

c.  Anak soleh yang melakukan amal-amal soleh serta yang mendoakan keampunan untuk kedua ibu bapanya.

Lakukanlah sesuatu yang baik dan bermanfaat semasa kita hidup, agar ia  menjadi penerus amal dan pemberi ganjaran pahala berterusan walaupun kita telah meninggal dunia.


Friday, December 22, 2023

Amalan Anak Soleh

Jumaat, 9 Jamdilakhir 1445H: Amalan Anak Soleh

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أُمِّيَ افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَإِنِّي أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ فَلِي أَجْرٌ أَنْ أَتَصَدَّقَ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ

Daripada 'Aisyah RA, bahawa seorang laki-laki bertanya kepada Nabi SAW, katanya, "Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia, dan saya kira jika dia dapat berbicara dia akan bersedekah, apakah saya juga akan mendapatkan pahala jika saya bersedekah atas namanya?" baginda menjawab: "Ya." (HR Muslim No: 3082) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Anak yang soleh akan sentiasa berbakti untuk kedua ibu bapanya.

2.  Anak yang soleh masih boleh berbakti kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

3.  Pahala amal soleh yang dilakukan oleh sianak akan turut diperolehi oleh kedua ibu bapa antaranya sedekah yang diniatkan untuk kedua ibu bapanya yang beriman.

Semoga amal baik yang dilakukan oleh anak yang soleh turut menyumbang ganjaran amal baik untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

Thursday, December 21, 2023

Sepuluh Wasiat Rasulullah SAW

 Khamis, 8 Jamadilakhir 1445H:  Sepuluh Wasiat Rasulullah SAW

عَنْ مُعَاذٍ قَالَ أَوْصَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَشْرِ كَلِمَاتٍ قَالَ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ شَيْئًا وَإِنْ قُتِلْتَ وَحُرِّقْتَ وَلَا تَعُقَّنَّ وَالِدَيْكَ وَإِنْ أَمَرَاكَ أَنْ تَخْرُجَ مِنْ أَهْلِكَ وَمَالِكَ وَلَا تَتْرُكَنَّ صَلَاةً مَكْتُوبَةً مُتَعَمِّدًا فَإِنَّ مَنْ تَرَكَ صَلَاةً مَكْتُوبَةً مُتَعَمِّدًا فَقَدْ بَرِئَتْ مِنْهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَلَا تَشْرَبَنَّ خَمْرًا فَإِنَّهُ رَأْسُ كُلِّ فَاحِشَةٍ وَإِيَّاكَ وَالْمَعْصِيَةَ فَإِنَّ بِالْمَعْصِيَةِ حَلَّ سَخَطُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَإِيَّاكَ وَالْفِرَارَ مِنْ الزَّحْفِ وَإِنْ هَلَكَ النَّاسُ وَإِذَا أَصَابَ النَّاسَ مُوتَانٌ وَأَنْتَ فِيهِمْ فَاثْبُتْ وَأَنْفِقْ عَلَى عِيَالِكَ مِنْ طَوْلِكَ وَلَا تَرْفَعْ عَنْهُمْ عَصَاكَ أَدَبًا وَأَخِفْهُمْ فِي اللَّهِ

Daripada Mu'adz bin Jabal RA berkata; "Rasulullah SAW telah mewasiatkan kepada saya mengenai sepuluh perkara.  Jangan menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun walaupun kamu akan dibunuh atau dibakar.  Jangan kamu menderhakai kedua-dua ibu bapa kamu meskipun mereka menyuruh kamu berpisah dengan isteri dan harta-benda kamu.  Janganlah kamu meninggalkan solat fardu dengan sengaja kerana sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka dia terlepas daripada tanggungjawab Allah S.W.T.  Jangan sekali-kali minun arak kerana perbuatan ini adalah punca segala maksiat. Jauhilah diri kamu daripada perbuatan maksiat kerana perbuatan ini akan menyebabkan kemurkaan Allah S.W.T.  Jangan lari dari medan pertempuran walaupun semua rakan kamu telah terbunuh. Jangan berpindah dari tempat berlakunya kematian akibat wabak yang sedang merebak seperti taun dan sebagainya. Belanjalah untuk keluarga kamu mengikut kemampuan kamu. Jangan kamu mengelak daripada merotani anak-anak sebagai amaran supaya mereka berakhlak baik. Takutkan mereka (anak-anak) kepada Allah S.W.T." (HR Ahmad No: 21060).  Status: Hadis Hassan

Pengajaran:

Rasulullah SAW dalam hadis ini meninggalkan sepuluh wasiat berbentuk pesanan:

1.  Tidak melakukan syirik walaupun dibunuh

2.  Tidak menderhakai ibu bapa meskipun mereka menyuruh berpisah dengan isteri dan harta-benda yang kita miliki.

3.  Tidak meninggalkan solat fardhu dengan sengaja kerana  dia terlepas daripada tanggungjawab Allah

4.  Tidak minum arak (sesuatu yang memabukkan) kerana ia punca segala maksiat

5.  Tidak melakukan maksiat kerana perbuatan ini akan menyebabkan kemurkaan Allah

6.  Tidak lari dari medan perang walaupun semua rakan pejuang telah terbunuh

7.  Tidak berpindah dari tempat berlakunya kematian akibat wabak (kurantin) yang sedang merebak seperti covid 19, taun dan sebagainya

8.  Berbelanjalah untuk keluarga mengikut kemampuan

9.  Jangan mengelak daripada merotani atau menghukum anak-anak (dalam mendidik jika mereka melakukan larangan) sebagai amaran supaya mereka berakhlak baik.

10.  Takutkan mereka (anak-anak) kepada Allah (tanamkan rasa takut kepada Allah dalam diri mereka).


Wednesday, December 20, 2023

Ciri Wanita Untuk Dikahwini

Rabu, 7 Jamadilakhir 1445H:  Ciri Wanita Untuk Dikahwini

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, nescaya kamu akan beruntung dan bernasib baik." (HR Bukhari No: 4700) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Perkahwinan adalah ibadah yang digalakkan bagi yang berkemampuan bagi menyalurkan naluri seks yang halal serta dibenarkan oleh syarak untuk mencari keredhaan Allah.

2.  Wanita ideal yang dipilih menjadi isteri sebaiknya memiliki empat ciri berikut:

a.  Harta
b.  Keturunan (termasuk keturunan yang ramai)
c.  Kecantikan
d.  Agama

3.  Pemilihan wanita yang berdasarkan kepada harta, keturunan dan kecantikan semata-mata tidak digalakkan oleh Islam. Pemilihan ini tidak dapat menjamin sepenuhnya kebahagiaan rumahtangga serta pendidikan anak-anak yang bakal dilahirkan.

5.  Pemilihan jodoh sama ada bagi lelaki mahupun wanita hendaklah mengutamakan kepada mereka yang beragama dan beramal dengan kehendak agama (soleh dan solehah). Selepas aspek beragama, barulah dilihat aspek harta, keturunan dan kecantikan.

6.  Memilih pasangan yang beragama sebagai keutamaan dan pra syarat akan melahirkan kehidupan yang Sakinah mawaddah warahmah serta menjadikan hidupnya sentiasa kaya dengan akhlak, rohani dan jasmani serta beruntung di dunia dan akhirat

Rasulullah SAW juga mengingatkan kita:

لاَ تَزَوَّجُوا النِّسَاءَ لِحُسْنِهِنَّ فَعَسَى حُسْنُهُنَّ أَنْ يُرْدِيَهُنَّ وَلاَ تَزَوَّجُوهُنَّ لأَمْوَالِهِنَّ فَعَسَى أَمْوَالُهُنَّ أَنْ تُطْغِيَهُنَّ وَلَكِنْ تَزَوَّجُوهُنَّ عَلَى الدِّينِ وَلأَمَةٌ خَرْمَاءُ سَوْدَاءُ ذَاتُ دِينٍ أَفْضَلُ

Janganlah kalian menikahi para wanita semata-mata kerana kecantikan mereka, kerana kecantikannya mungkin akan merosakkan mereka (kerana tertipu dan sombong dengan kecantikan). Jangan juga menikahi para wanita kerana harta mereka kerana berkemungkinan harta akan menyebabkan mereka jatuh dalam maksiat dan kejahatan. Akan tetapi, hendaklah kalian berkahwin dengan perempuan atas dasar agama. Seorang hamba perempuan yang sumbing pada mulut dan telinga tetapi mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna lebih baik (daripada perempuan yang merdeka yang membelakangi perintah agamanya. (HR Ibn Majah No: 185).


Tuesday, December 19, 2023

Pemberian Pada Anak Menjadi Pelindung Neraka

Selasa, 6 Jamadilakhir 1445H;  Pemberian Pada Anak Menjadi Pelindung Neraka

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ دَخَلَتْ امْرَأَةٌ مَعَهَا ابْنَتَانِ لَهَا تَسْأَلُ فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي شَيْئًا غَيْرَ تَمْرَةٍ فَأَعْطَيْتُهَا إِيَّاهَا فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ ابْنَتَيْهَا وَلَمْ تَأْكُلْ مِنْهَا ثُمَّ قَامَتْ فَخَرَجَتْ فَدَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا فَأَخْبَرْتُهُ فَقَالَ مَنْ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ الْبَنَاتِ بِشَيْءٍ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنْ النَّارِ

Daripada ‘Aisyah RA berkata; Telah datang seorang wanita bersama dua puterinya menemuiku untuk meminta sesuatu namun aku tidak mempunyai apa-apa selain sebutir kurma lalu aku berikan kepadanya. Lalu wanita itu membahagi kurma itu menjadi dua bahagian yang diberikannya untuk kedua puterinya sedangkan dia tidak memakan sedikitpun. Lalu wanita itu berdiri untuk segera pergi. Ketika itulah Nabi SAW datang kepada kami, lalu aku ceritakan masalah itu, maka Baginda bersabda: “Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada kehadiran anak-anak perempuannya (lalu dia berbuat baik kepada mereka), maka mereka akan menjadi pelindung baginya dari api neraka”. (HR Bukhari No: 1329) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan keperluan ahli keluarga khususnya anak-anak, termasuk penyediaan makanan, pakaian tempat tinggal, pendidikan dan sebagainya.

2.  Ibu bapa yang soleh akan mendahulukan keperluan anak-anaknya walaupun terpaksa mengikat perut.

3.  Ibu bapa yang bersusah payah memberikan sesuatu makanan atau menyediakan keperluan seperti pembiayaan pembelajaran dan lain-lain kepada anaknya, akan menjadi saham melindunginya dari api neraka.

4.  Sebagai ibu bapa, berusahalah sebaik mungkin menyediakan keperluan untuk ahli keluarga khususnya keperluan anak-anak dari sumber yang halal dan baik.


Monday, December 18, 2023

Sedekah Mengikut Keutamaan

Isnin, 5 Jamadilakhir 1445H:  Sedekah Mengikut Keutamaan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَدَّقُوا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ أَنْتَ أَبْصَرُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bersedekahlah kalian", lalu seseorang berkata ya Rasulullah aku hanya memiliki satu dinar, baginda menjawab: "Bersedekahlah dengannya untuk dirimu," ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk isterimu, " ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk anakmu, " ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk pembantumu," ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Engkau lebih tahu yang berhak engkau beri." (HR Nasai No: 2488) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW  menganjurkan agar kita bersedekah jika memiliki harta. Setiap yang dibelanjakan kepada orang lain, ia akan mendapat pahala  sedekah.

2.  Jika kita memiliki harta atau wang ringgit, belanjakanlah untuk keperluan mengikut keutamaan dengan mendahului untuk :

a.  Diri sendiri  dengan menunaikan hak tubuh badan seperti makanan dan pakaian yang wajib. Jika ada lebihan, boleh diberi kepada;

b.  Isteri (keperluan isteri yang menjadi tanggungjawab suami sama ada yang wajib mahupun yang sunat). Jika ada lebihan boleh di beri kepada;

c.  Anak (keperluan anak-anak seperti makan minum, pelajaran dan lain-lain), Jika ada lebihan boleh di beri kepada;

d.  Pembantu. Jika ada lebihan boleh di beri kepada;

e.  Mereka yang dirasakan layak dan berhak mengikut keutamaan.

Ayuh bersedekah mengikut keutamaan kepada yang berhak.


Sunday, December 17, 2023

Pemberian Nafkah Kepada Keluarga Adalah Sedekah

Ahad  4 Jamadilakhir 1445H;  Pemberian Nafkah Kepada Keluarga Adalah Sedekah

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ فَقُلْتُ عَنْ النَّبِيِّ فَقَالَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَنْفَقَ الْمُسْلِمُ نَفَقَةً عَلَى أَهْلِهِ وَهُوَ يَحْتَسِبُهَا كَانَتْ لَهُ صَدَقَةً

Daripada Abu Mas'ud Al-Anshari maka aku berkata; Dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Jika seorang muslim memberi nafkah pada keluarganya dengan niat mengharap pahala, maka baginya hal itu adalah sedekah." (HR Bukhari No: 4932) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bagi seorang suami dan bapa kepada anak-anak, memberi nafkah keperluan kepada ahli keluarga adalah tanggungjawab wajib.

2.  Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga isteri dan anak-anak-anak mengikut kemampuannya. Menyia-nyiakannya akan menyebabkan berdosa. Sabda Rasulullah SAW:

كفى بًالمرء إثما أن يضيع من يقوت

“Cukuplah seseorang dikatakan berdosa jika ia menyia-nyiakan orang yang menjadi tanggungannya” (HR. Abu Daud 1692) Status:  Hadis Sahih

3.  Memberi nafkah  ke atas orang yang berada di bawah tanggungannya adalah sedekah. Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga dengan sebab perkahwinan, merangkumi makan minum, rumah kediaman, penjagaan kesihatan, perlindungan, kasih sayang, pendidikan dan lain-lain.

4.  Dalam masyarakat hari ini, walaupun isteri sama-sama bekerja, namun tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami. Isteri masih boleh membantu di mana yang sesuai sebagai pelengkap. Sumbangan isteri kepada keluarga juga dikira sebagai sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah S.W.T.

5.  Muslim yang memberi nafkah pada ahli keluarganya dengan niat mengharap pahala, maka itu adalah sedekah


Saturday, December 16, 2023

Sedekah Kepada Ahli Keluarga

  Sabtu, 3 Jamadilakhir 1445H: Sedekah Kepada Ahli Keluarga

عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Daripada Az Zuhriy berkata, telah mengkhabarkan kepada saya Sa'id bin Al Musayyab bahawa dia mendengar Abu Hurairah RA dari Nabi SAW  bersabda,: "Sebaik-baik sedekah adalah yang di luar keperluan (yang sudah cukup untuk keperluan dirinya). Maka mulakanlah pemberian untuk orang yang menjadi tanggunganmu".(HR Bukhari No: 1337) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Amalan bersedekah atau pemberian kepada orang lain adalah amalan mulia yang dituntut kepada setiap Muslim.

2.  Antara perkara yang membawa kebahagiaan dalam berkeluarga adalah saling melaksanakan tanggungjawab. Satu daripada tanggungjawab ketua keluarga ialah menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Pemberian kepada ahli keluarga merupakan sedekah.

3.  Bersedekah atau pemberian yang sebaiknya adalah selepas menyempurnakan hak dan tanggungjawab keluarga. Firman Allah:

وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ

“Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ” Yang lebih dari keperluan.” (QS. Al Baqarah: 219).

Al ‘afwu dalam ayat di atas bermakna sedekah itu di luar keperluan asas (Ibnu Katsir, 2: 145).

4.  Sedekah atau pemberian kepada keluarga terlebih dahulu lebih diutamakan kerana ganjarannya lebih besar berbanding sedekah (pemberian) kepada orang lain.

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَتُكَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الْقُرْبَى الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

Rasulullah SAW bersabda: "Sedekahmu pada orang-orang miskin bernilai satu sedekah, sedangkan sedekahmu pada kerabatmu bernilai dua iaitu; (1) sedekah dan (2) menyambung silaturahim." (Musnad Ahmad No: 17197) Isnad Hasan

Mulakan pemberian kepada ahli keluarga terlebih dahulu termasuk ibu bapa serta kaum kerabat yang terdekat, lebih-lebih lagi apabila kita mengetahui ada ahli keluarga kita yang terkesan ekonomi mereka mutakhir ini.


Friday, December 15, 2023

Setiap Pemimpin Akan Dipertanggungjawabkan

Jumaat, 2 Jamadilakhir 1445H:  Setiap Pemimpin Akan Dipertanggungjawabkan

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْأَمِيرُ رَاعٍ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW bersabda: "Setiap kita adalah pemimpin. Setiap kita akan diminta bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. Seorang ketua adalah pemimpin. Seorang suami juga pemimpin atas keluarganya. Seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan atas yang dipimpinnya." (HR Bukhari No: 4801) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap kita adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan setiap yang berada di bawah kepimpinan kita

2.  Seorang ketua sama ada sebagai pemimpin Negara, negeri, daerah, organisasi, jabatan, unit termasuk keluarga, besar atau kecil tetap akan dipertanggungjawabkan kepimpinan dibawahnya..

3.  Sebagai suami akan ditanya kepimpinannya terhadap isteri, anak-anak serta yang berada di bawah tanggungjawabnya.

4.  Sebagai isteri ada tanggungjawab dalam rumahtangga, sama ada terhadap suami mahupun anak-anak.

Dalam membina keluarga bahagia, suami dan isteri sewajarnya saling bekerjasama berperanan memimpin dan mencorakkan rumahtangga.

Laksanakanlah amanah tanggungjawab yang ada dengan sebaik mungkin kerana ianya akan dipertanggungjawabkan.


Thursday, December 14, 2023

Jadilah Suami Mithali

Khamis, 1 Jamadilakhir 1445H:   Jadilah Suami Mithali

عَنْ الْأَسْوَدِ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ فِي بَيْتِهِ قَالَتْ كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ تَعْنِي خِدْمَةَ أَهْلِهِ فَإِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ

Daripada Al Aswad berkata, "Aku pernah bertanya kepada 'Aisyah tentang apa yang dikerjakan Nabi SAW ketika berada di rumah. Maka 'Aisyah pun menjawab, "Baginda selalu membantu keluarganya, jika datang waktu solat maka baginda keluar untuk melaksanakannya (di masjid)." (HR Bukhari No: 635) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW menunjukkan contoh apabila berada di rumah dengan membantu kerja-kerja rumah tangga seperti membasuh, memasak dan lain-lain.

2.  Rasulullah SAW juga tidak mengabaikan ibadat solat fardhu di masjid apabila sampai waktunya di samping peranannya dalam masyarakat.

3.  Pemimpin yang baik ialah yang dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah,  keluarga (rumah tangga) dan kemudian tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara dengan baik dan sempurna.

4.  Keluarga yang bahagia akan terhasil apabila suami dan isteri dapat melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan saling membantu dalam urusan harian tanpa mengabaikan kewajipan kepada Allah S.W.T.

Para suami sewajarnya mencontohi Rasulullah SAW dalam kehidupan berkeluarga dengan membantu urusan harian isteri di rumah dan menjaga kewajipan terhadap Allah seperti solat fardhu yang ditunaikan di masjid.


Wednesday, December 13, 2023

Paling Baik Terhadap Ahli Keluarga

Rabu, 29 Jamadilawal 1445H:  Paling Baik Terhadap Ahli Keluarga

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ

Daripada Aisyah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku, apabila sahabat kalian meninggal dunia maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia jangan membicarakan keburukan- keburukannya)." (HR Tirmidzi No: 3830) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Perkahwinan bertujuan untuk mewujudkan rumah tangga dan ahli keluarga yang bahagia.

2.  Bagi mewujudkan kebahagiaan dalam berumah tangga, kita perlu berlaku baik terhadap ahli keluarga antaranya dengan saling memenuhi hak dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri, bapa dan ibu serta anak.

3.  Sebaik-baik kita adalah orang yang paling baik pergaulannya terhadap ahli keluarganya.

4.  Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Mubarakfuri  ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. Rujuk Tuhfat al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (10/269).

5.  Bertimbang rasa, bertolak ansur dan saling menyayangi antara pasangan dan anak-anak merupakan antara faktor yang menjamin keharmonian rumahtangga.

6.  Contohilah Rasulullah SAW dalam berbuat baik dan memberi layanan kepada ahli keluarganya kerana Rasulullah SAW paling baik layanan terhadap isteri dan anak-anaknya.


Tuesday, December 12, 2023

Ucapan Untuk Pasangan Pengantin

 Selasa, 28 Jamadilawal 1445H: Ucapan Untuk Pasangan Pengantin

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَفَّأَ الْإِنْسَانَ إِذَا تَزَوَّجَ قَالَ بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الْخَيْرِ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa jika Nabi SAW mendoakan orang yang baru menikah baginda membaca: "BARAKALLAHU LAKA WA BARAKA 'ALAIKA WA JAMA'A BAINAKUMA FIL KHAIR (semoga Allah memberi berkah kepadamu dan keberkahan atas pernikahan kamu, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan)." (Sunan Tirmizi No: 1011) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Apabila seseorang mendapat kebaikan, kita digalak mengucapkan tahniah dan mendoakan kebaikan buat mereka.

2.  Apabila ada orang yang berkahwin, kita disunahkan memberi ucapan dan mendoakan kepada pasangan pengantin yang kita raikan:

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الْخَيْرِ

"BARAKALLAHU LAKA WA BARAKA 'ALAIKA WA JAMA'A BAINAKUMA FIL KHAIR

(Semoga Allah memberi barakah kepadamu dan keberkahan atas pernikahan kamu, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan).


Monday, December 11, 2023

Menghadiri Majlis Walimah

Isnin, 27 Jamadilawal 1445H: Menghadiri Majlis Walimah

عن ابن عمر قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إِذَا دُعِىَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

“Daripada Ibnu Umar dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu dijemput ke majlis kenduri perkahwinan, maka hadirilah.” (HR. Bukhari No: 5173). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ulama bersepakat bahawa wajib menghadiri kenduri kahwin apabila dijemput jika majlis kenduri itu tidak bercampur aduk dengan maksiat.

Abu Hurairah mengatakan,

شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ ، وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ ، وَمَنْ تَرَكَ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ – صلى الله عليه وسلم –

Seburuk-buruk makanan kenduri kahwin ialah kenduri yang hanya dijemput orang-orang kaya, dan tidak dijemput orang miskin. Sesiapa yang tidak memenuhi jemputan maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasulnya SAW. (HR Bukhari No: 5177).

2.  Syarat-syarat yang menjadikan seseorang wajib menghadiri kenduri kahwin:

a.  Jemputan tidak dikhaskan kepada orang-orang kaya sahaja
b.  Jemputan itu memang ditujukan khas kepada kita (bukan jemputan umum contohnya hanya diumumkan imam selepas solat untuk para jamaah
c.  Yang menjemput itu adalah Muslim
d.  Yang dijemput tidak mempunyai keuzuran seperti sakit dan sebagainya

3.  Haram menghadiri kenduri kahwin yang diisi dengan perkara maksiat. Akan tetapi jika seseorang mampu mengubah maksiat itu agar berhenti dengan kehadirannya, hendaklah dia hadir. Sebahagian ulama berpendapat boleh hadir kerana bukan kita yang melakukan maksiat itu.

4.  Ulama berbeza pendapat tentang hukum memenuhi jemputan kenduri selain majlis perkahwinan. Di sisi mazhab Syafie, hukum memenuhi jemputan kenduri selain perkahwinan adalah tidak wajib.

Tunaikan jemputan walimah jika tiada sebarang keuzuran syarie.


Sunday, December 10, 2023

Mukmin Yang Dikagumi

Ahad, 26 Jamadilawal 1445H: Mukmin Yang Dikagumi

عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Daripada Shuhaib berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh mengagumkan urusan orang mukmin, sesungguhnya semua urusannya baik baginya, yang demikian itu tidaklah dimiliki seorang pun kecuali hanya orang yang beriman. Jika mendapat kebaikan (kemudian) ia bersyukur, maka itu merupakan kebaikan baginya, dan jika keburukan menimpanya (kemudian) ia bersabar, maka itu merupakan kebaikan baginya.” (HR Muslim No: 5318) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mukmin yang dikagumi ialah yang sentiasa redha setiap yang berlaku keatas dirinya.

2.  Mukmin yang dikagumi ialah yang sentiasa bersyukur diatas  setiap  kebaikan atau nikmat yang diperolehi. Syukur itu diperlihatkan pada lima perkara:

a.  Tunduk dan merendah kepada Allah, zat yang disyukuri

b.  Cinta kepada Allah

c.  Mengakui bahawa nikmat itu adalah pemberian Allah

d.  Memuji Allah dengan lisan dan perbuatan atas limpahan nikmat tersebut

e.  Tidak memanfaatkannya dalam perkara yang dibenci Allah.

3.  Mukmin yang dikagumi itu ialah apabila mendapat keburukan atau musibah, dia bersabar dan redha.

4.  Ibnu Qayyim menyatakan: sabar merupakan setengah dari keimanan dan setengahnya lagi adalah syukur.

Berusahalah menjadi mukmin yang dikagumi.


Saturday, December 9, 2023

Sakit Penghapus Dosa

Sabtu, 25 Jamadilawal 1445H: Sakit Penghapus Dosa

عَنْ الْحَارِثِ بْنِ سُوَيْدٍ  قَالَ : قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ  قَالَ : رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أَذًى مَرَضٌ فَمَا سِوَاهُ  إِلَّا حَطَّ اللَّهُ لَهُ سَيِّئَاتِهِ كَمَا تَحُطُّ الشَّجَرَةُ وَرَقَهَا " .

Daripada al-Harith bin Suiyed beliau berkata, telah berkata Abdullah bin Masud bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” (HR Bukhari No: 5255) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sihat dan sakit adalah anugerah Allah kepada makhluk.

2.  Rasa sakit adalah  suatu anugerah yang harus disyukuri kerana Allah memberikan rasa sakit sebagai tanda kasih sayang Allah terhadap mahluknya. Apabila sakit, kita akan segera menyedari kelemahan kita sebagai hamba. Kita akan segera mengingati Allah dan berdoa agar diberi kesembuhan.

3.  Bagi manusia yang berpikir tentunya, rasa sakit adalah sebagai ujian dari Allah untuk menghilangkan dosa seseorang malah juga untuk meningkatkan darajatnya di sisi Allah.

4.  Orang yang bersabar dan redha di atas penyakit yang menimpanya, nescaya Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pokok yang mengugurkan daun-daunnya yang kering.


Friday, December 8, 2023

Ujian Penghapus Dosa

Jumaat  24 Jamadilawal 1445H:   Ujian Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي نَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَمَالِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Ujian (bala) akan sentiasa menimpa orang mukmin  sama ada lelaki mahupun perempuan, pada dirinya, anak dan hartanya hingga ia bertemu Allah dengan tidak membawa satu kesalahan (dosa) pun atasnya.” (HR Tirmizi No: 2323) Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap ujian (bala) atau musibah yang dihadapi oleh orang mukmin sama ada pada dirinya, harta serta ahli keluarganya adalah sebagai pengampun dosa-dosanya.

2.  Al-Baghawi menyatakan: Tidak ada satupun musibah yang menimpa seorang hamba, demikian pula musibah yang lebih besar (dan luas) darinya, kecuali kerana sebab dosa yang Allah mengampuninya hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya) atau Allah hendak mengangkat darjatnya (kepada suatu darjat kemuliaan) hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya)” (Tafsir Al-Baghawi: 4/85)

3.  Ada Muslim di hari akhirat nanti diampunkan semua dosanya ketika bertemu Allah kerana kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berbentuk musibah semasa di dunia.

4.  Antara tujuan utama Allah SWT menimpakan ujian kepada hamba-Nya adalah untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلً

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” Al-Mulk: 2

Moga kita bersabar dengan setiap ujian yang dilalui agar ia menjadi penghapus dosa-dosa kita.


Thursday, December 7, 2023

Membaca Istirja' dan Doa Ketika Musibah

Khamis 23 Jamadilawal 1445H:  Membaca Istirja' dan Doa Ketika Musibah

أُمَّ سَلَمَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ  مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا إِلَّا أَجَرَهُ اللهُ فِي مُصِيبَتِهِ وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا

Daripada Ummul Mukminin, Ummu Salamah isteri Nabi SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tiada daripada kalangan hamba (Allah) yang ditimpa suatu musibah, kemudian mengucapkan: “Innā lillāhi wa innā ilaihi rājiʿun (Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya), Ya Allah! Aku mohon agar kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini,” melainkan Allah akan memberikan pahala kepadanya kerana musibah itu dan menggantikan yang lebih baik.” (HR Muslim No: 918) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Musibah adalah ujian yang didatangkan oleh Allah kepada kita dalam bentuk kesusahan, kesakitan, dukacita  seperti kematian, banjir dan sebagainya.

2.  Bersabar terhadap segala musibah yang menimpa adalah tuntutan kepada setiap Muslim.

3.  Musibah yang menimpa seorang mukmin mempunyai banyak hikmahnya antaranya bertujuan untuk menghapuskan dosa dan meningkatkan pahala.

4.  Muslim yang menerima musibah seperti banjir, kemalangan, kesakitan dan sebagainya, disunatkan agar mengucapkan kalimah istirja dan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ . اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

“Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya, Ya Allah! Aku mohon agar kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini”.

5.  Orang yang membaca kalimah istirja dan doa diatas apabila menerima musibah akan diberi gantian yang lebih baik antaranya pahala di sisi Allah diatas kesabarannya serta pengampunan dosa.

6.  Sebagai Muslim, kita perlu meyakini bahawa setiap yang berlaku terdapat didalamnya hikmah tertentu.

Wednesday, December 6, 2023

Musibah Menghapus Dosa

Rabu, 22 Jamadilawal 1445H: Musibah Menghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya." (HR Bukhari No: 5641) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap yang dihadapi oleh seseorang, sama ada berupa kesenangan mahupun kesusahan adalah ujian untuk melihat siapakah yang lebih baik amalannya di sisi Allah.

2.  Setiap muslim perlu sentiasa bersabar dan reda apabila ditimpa dengan penyakit, keletihan, kesedihan, mahupun  kesusahan termasuk musibah banjir yang melanda di beberapa kawasan sekarang ini.

3.  Musibah banjir dibeberapa negeri khususnya di Pantai Timur Malaysia  menyebabkan orang yang terlibat mengalami kesusahan dan kepayahan. Ada yang kehilangan nyawa, kemusnahan harta juga kerosakan harta benda terkena air banjir seperti kenderaan yang ditenggelami air.

4.  Sebagai Muslim hendaklah sentiasa sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan ada hikmah yang tersendiri. Allah SWT mendatangkan ujian berupa musibah, kesakitan, keletihan, kegusaran, dan sesuatu yang menganggu kehidupan adalah sebagai penghapus dosa dan peninggi darajat agar hamba-Nya sentiasa dalam rahmat-Nya.

5.  Rahmat Allah SWT Maha Luas. Seseorang hamba yang bersabar dengan musibah maka akan diampuni dosanya. Usahlah kita menyalahkan antara satu sama lain diatas musibah ini.

6.  Semoga dosa kita terampun walaupun kesakitan dan kesulitan yang kita lalui mungkin kecil berbanding dengan orang lain. Mungkin ibarat duri yang mencucuk atau melukakan anggota tubuh.

7.  Marilah kita menyerahkan segala musibah kepada Allah dengan memperbanyakkan zikir yang diajar oleh Rasulullah kepada sahabat:  Nabi SAW bersabda:

يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ قُلْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ  فَإِنَّهَا كَنْزٌ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ

Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’ (Tidak ada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung), kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga. (HR. Bukhari no. 7386)

Semoga kesusahan, kepayahan, kesedihan dan keperitan akibat banjir ini kita terima dengan bersabar dan reda. Moga Allah menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.


Tuesday, December 5, 2023

Waktu Mustajab Berdoa

Selasa, 21 Jamadilawal 1445H: Waktu Mustajab Berdoa

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ثِنْتَانِ لاَ تُرَدَّانِ اَلدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ وَتَحْتَ الْمَطَرِ

Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda. Dua doa yang tidak pernah ditolak; doa selepas waktu azan dan doa pada waktu hujan turun. (HR al-Hakim, No: 2534) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Doa adalah ibadah yang dituntut kepada setiap Muslim melakukannya.

2.  Ada waktu yang sesiapa berdoa kepada Allah akan diperkenankan iaitu:

a.  Doa selepas azan dan sebelum iqamah
b.  Doa pada waktu hujan mula turun

3.  Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu turun hujan tidak ditolak atau jarang ditolak kerana pada waktu tersebut,  sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).


Monday, December 4, 2023

Doa Awan Mendung dan Hujan Turun

 Isnin, 20 Jamadilawal 1445H: Doa Awan Mendung dan Hujan Turun

عَنْ الْمِقْدَامِ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ عَائِشَةَ أَخْبَرَتْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى سَحَابًا مُقْبِلًا مِنْ أُفُقٍ مِنْ الْآفَاقِ تَرَكَ مَا هُوَ فِيهِ وَإِنْ كَانَ فِي صَلَاتِهِ حَتَّى يَسْتَقْبِلَهُ فَيَقُولُ اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا أُرْسِلَ بِهِ فَإِنْ أَمْطَرَ قَالَ اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثَةً وَإِنْ كَشَفَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَمْ يُمْطِرْ حَمِدَ اللَّهَ عَلَى ذَلِكَ

Daripada Al-Miqdam dari ayahnya bahawa Aisyah telah mengkhabarkan kepadanya bahwa Nabi SAW apabila baginda melihat awan gelap yang bergerak di antara ufuk yang tinggi, maka baginda meninggalkan semua kegiatannya termasuk solat sunat, sampai menatapnya dan berdoa: "Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari keburukan yang Engkau datangkan bersamanya." Jika turun hujan, maka baginda berdoa: Ya Allah jadikanlah curahan (air hujan) bermanfaat  (penuh keberkatan)." (baginda membacanya) dua kali atau tiga kali. Dan jika Allah Azza Wa Jalla menghilangkannya dan tidak jadi turun hujan, maka baginda (bersyukur) memuji Allah atas semua itu." (HR Ibnu Majah No: 3879)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap peristiwa yang berlaku seperti awan mendung yang berarak dan hujan yang turun adalah ketentuan dan ketetapan dari Allah

2.  Rasulullah mengajar kita berdoa apabila melihat awan mendung yang berarak agar jauh dari musibah

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا أُرْسِلَ بِهِ

Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari keburukan yang Engkau datangkan bersamanya

3.  Rasulullah juga mengajar kita berdoa apabila hujan turun.

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

Ya Allah jadikanlah curahan (air hujan) ini sebagai curahan yang bermanfaat (penuh keberkatan).

4.  Al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa doa di atas adalah sunat untuk dibaca ketika turunnya hujan bagi menambahkan kebaikan dan juga keberkatan di samping menolak segala yang boleh memberi mudharat. (Lihat: Fath al-Bari, 518/2)

Kebetulan sekarang ini di kebanyakan tempat musim hujan, marilah kita membaca doa ini bila nampak awan mendung dan apabila hujan turun.


Sunday, December 3, 2023

Keluasan Keampunan Allah

Ahad, 19 Jamadilawal 1445H: Keluasan Keampunan Allah

حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً

Telah menceritakan kepada kami Anas bin Malik RA ia berkata; saya mendengar Rasulullah SAW berkata: "Allah tabaraka wa ta'ala berfirman: "Wahai anak Adam, jika kamu mengharap dan  berdoa kepadaKu, Aku pasti akan menghapuskan dosa mu yang telah lalu.  Aku tidak akan memperdulikannya lagi. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepadaKu nescaya aku akan mengampunimu, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemuiKu dengan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu, Aku pasti akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi." (HR Tirmizi No: 3463) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah Maha Pengampun ke atas hamba-hambaNya.

2.  Sebagai hamba, kita sewajarnya sentiasa berharap dan berdoa agar diampunkan segala dosa-dosa sama ada dosa yang kecil mahupun besar, dosa yang kita sedar atau tidak.

3.  Allah akan mengampunkan dosa hambanya melainkan dosa syirik.

وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah An Nisa’ ayat: 110).

4.  Berputus asa dari rahmat dan keampunan Allah termasuk dosa besar. Berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Abdurrazaq:

عن بن مسعود قال أكبر الكبائر الإشراك بالله والأمن من مكر الله والقنوط من رحمة الله واليأس من روح الله

“Daripada Ibnu Mas’ud, ia berkata bahawa di antara dosa besar yang terbesar adalah berbuat syirik pada Allah, merasa aman dari murka Allah dan merasa putus asa dan putus harapan dari ampunan Allah.” (HR. Abdurrozaq, 10: 460, dikeluarkan pula oleh Ath Thobroni. Lihat Kitab Tauhid dengan tahqiq Syaikh Abdul Qodir Al Arnauth, hal. 128).

Berusahalah bersungguh-sungguh memohon ampun dari dosa yang lalu dan sentiasa mengharap rahmat dan kasih sayang Allah.

Saturday, December 2, 2023

Tundukkan Hawa Nafsu

Sabtu,  18 Jamadilawal 1445H: Tundukkan Hawa Nafsu

عَنْ أَبِي مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ العَاصِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعاً لِمَا جِئْتُ بِهِ.

Daripada Abu Muhammad Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Tidak beriman seorang dari kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa.” (HR Baihaqi dalam al Madkhal Ilas Sunnan al Kubra (1/88) Status Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Salah satu daripada tuntutan iman adalah menjadikan hawa nafsunya tunduk dan menurut ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Sekiranya dia mengutamakan hawa nafsunya daripada mengamalkan ajaran lslam, menyintai maksiat daripada amal kebajikan, maka imannya tidak sempurna.

2.  Ungkapan ‘tidak benar-benar beriman’ bererti imannya tidak sempurna dan masih cacat atau tempang, bukan bererti dia jatuh kufur. Dia hanya jatuh kufur apabila dia menafikan atau menolak mana-mana ajaran lslam.

3.  Mujahadah hawa nafsu adalah mujahadah yang berat yang tidak tertanggung kecuali oleh orang yang benar-benar ikhlas beriman dan menyintai Allah dan RasulNya


Friday, December 1, 2023

Dunia Adalah Jambatan Akhirat

Jumaat, 17 Jamadilawal 1445H:   Dunia Adalah Jambatan Akhirat

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي فَقَالَ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

Daripada Ibnu Umar radliallahu ‘anhuma dia berkata;  Rasulullah SAW pernah memegang bahuku dan bersabda: Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah orang asing atau seorang pengembara. Ibnu Umar telah berkata; Apabila kamu berada di waktu petang,  janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan apabila kamu berada di pagi hari, maka janganlah menunggu waktu petang. Manfaatkanlah  waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu. (HR Bukhari No: 5937) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dunia adalah jambatan menuju akhirat. Jangan jadikan dunia sebagai matlamat dan tempat tinggal hakiki. Sebagai musafir di perjalanan, kita tidak membawa kesemua yang kita milik berbentuk harta untuk bermusafir. Kita hanya membawa sekadarnya.

2.  Jadikanlah diri kita sebagai seorang musafir di perjalanan. Orang yang bermusafir  tidak membawa kesemua  yang dimiliki berbentuk harta. Kita hanya membawa bekalan yang perlu dan sekadarnya sebagai bekalan.

3.  Seorang Muslim perlu bersegera melakukan amal kebajikan, memperbanyak ketaatan dan amal soleh sebagai bekalan perjalanan menuju akhirat.

4.  Elakkan dari bertangguh untuk melakukan amal soleh kerana kita tidak pasti apakah berkesempatan untuk melakukannya pada masa akan datang.

5.  Setiap Muslim perlu merebut peluang dan kesempatan yang ada sebaik mungkin. Lakukan amal kebaikan ketika kita sihat dan masih hidup. Sakit dan ajal boleh berlaku bila-bila masa.

Rebutlah peluang beramal ketika kita masih muda, sihat, berharta, lapang dan semasa hidup ini. Peluang yang ada belum tentu berulang buat kita.


Thursday, November 30, 2023

Perkara Yang Dimaafkan

 Khamis, 16 Jamadilawal 1445H: Perkara Yang Dimaafkan

عَنِ ابْنِ عَبَّاس رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا : أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى الله عليه وسلم قَالَ : إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ لِيْ عَنْ أُمَّتِي : الْخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Daripada lbnu ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya Allah telah mengampunkan dari umatku perbuatan yang dilakukan secara tersilap, terlupa dan secara paksaan. (HR Ibnu Majah No: 2045) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Islam adalah agama rahmat. Luasnya rahmat dan belas kasihan Allah SWT terhadap hambaNya, Dia hanya mempertanggungjawabkan dosa yang dilakukan secara sedar, sengaja dan dengan kemahuan sendiri tanpa paksaan.

2.  Islam memiliki dasar perundangan dan kehakiman yang mengutamakan keadilan, di mana perbuatan yang dilakukan secara tidak sengaja tanpa disedari, atau kerana dipaksa dia tidak akan diberikan dosa.

3.  Allah SWT mengutamakan umat ini dengan menghilangkan berbagai kesulitan dan memaafkan dosa kesalahan seseorang yang berpunca dari tidak sengaja, sifat lupa dan dipaksa.

4.  Sesungguhnya Allah SWT tidak menghukum seseorang kecuali jika dia sengaja berbuat maksiat dan hatinya telah berniat untuk melakukan penyimpangan dan meninggalkan kewajiban dengan sukarela.

5.  Manfaat adanya kewajiban adalah untuk mengetahui siapa yang taat dan siapa yang engkar.

6.  Ada beberapa perkara yang tidak dimaafkan. Misalnya seseorang melihat najis di bajunya akan tetapi dia mengabaikan untuk menghilangkannya segera, kemudian dia solat dengannya kerana lupa, maka wajib baginya mengqada solat tersebut.


Wednesday, November 29, 2023

Jalan Taqarub Dan Mendapat Kecintaan Allah

Rabu, 15 Jamadilawal 1445H: Jalan Taqarub Dan Mendapat Kecintaan Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Allah berfirman; Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku umumkan perang kepadanya.  Tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada yang telah Aku wajibkan kepadanya. Tidaklah seseorang itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amalan-amalan  sunat, kecuali Aku akan mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Akulah pendengarannya yang ia jadikan untuk mendengar, dan pengelihatannya yang ia jadikan untuk melihat dengannya, dan tangannya yang ia jadikan untuk melakukan sesuatu, dan kakinya yang dijadikannya untuk berjalan, jikalau dia memohon kepada Ku, pasti akan Aku akan memberinya, dan jika meminta perlindungan daripada Ku, pasti Aku melindunginya.  (HR Bukhari No: 6021) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Wali Allah adalah orang yang taat dan ikhlas dalam beramal,  beriman dan bertaqwa, beramal dengan al-Quran dan Sunnah.

2.  Orang yang menyakiti mukmin yang bertakwa maka Allah akan membinasakannya.

3.  Melaksanakan amal fardhu adalah yang paling afdal dan disukai Allah.

4.  Meninggalkan maksiat adalah sebahagian daripada melaksanakan kefardhuan.

5.  Mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan fardhu juga melalui amalan sunat akan melayakkan seseorang hamba mendapat kecintaan Allah.

6.  Ibnu Rajab menyatakan: sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan fardu dan sunat, darjatnya akan diangkat di sisi Allah. Jika dia bertutur, dia bertutur kerana Allah. Jika dia melihat, dia melihat kerana Allah.

7.  Diantara penghormatan yang Allah kurniakan  kepada orang yang dicintai Allah ialah Allah akan memperkenankan doanya jika dia meminta.


Tuesday, November 28, 2023

Kadar Balasan Kebaikan dan Kejahatan

Selasa, 14 Jamadilawal 1445H:  Kadar Balasan Kebaikan dan Kejahatan

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً

Daripada Ibnu Abbas RA, dari Nabi SAW yang baginda riwayatkan dari rabbnya (hadis qudsi) Azza wa jalla berfirman, yang baginda sabdakan; “Sesungguhnya Allah menulis kebaikan dan kejahatan, “ selanjutnya baginda menjelaskan; “barangsiapa yang berniat untuk melakukan kebaikan lalu ia tidak jadi melakukannya, maka Allah mencatat satu kebaikan disisi-Nya secara sempurna, dan jika ia berniat melakukan kebaikan lalu ia laksanakan, Allah mencatat baginya sepuluh kebaikan, bahkan hingga dilipat gandakan tujuh ratus kali, bahkan sehingga lipatganda yang tidak terbatas, sebaliknya barang siapa yang berniat melakukan kejahatan kemudian tidak jadi dilakukan, Allah menulis satu kebaikan disisi-Nya secara sempurna, dan jika ia berniat melakukan kejahatan dan ia melakukan, Allah menulisnya sebagai satu kejahatan saja.” (HR Bukhari No: 6010) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Balasan setiap amal seseorang Muslim bergantung pada niat atau cita-cita serta perbuatannya. Terdapat 4 jenis kadar balasan untuk manusia:

a.  Orang yang mendapat balasan sebanyak satu kebaikan yang sempurna iaitu orang yang berniat dan bercita-cita untuk mengerjakan satu amal kebaikan tetapi dia tidak dapat melakukannya atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

b.  Orang yang mendapat 10 kebaikan dan sehingga 700 kali ganda malah lebih banyak dari itu iaitu orang yang berniat dan bercita-cita untuk mengerjakan satu amal kebaikan lalu ia terus mengerjakannya.

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنۢبُلَةٖ مِّاْئَةُ حَبَّةٖۗ وَٱللَّهُ يُضَٰعِفُ لِمَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١

Bandingan pahala orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah  (adalah) seperti satu  biji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai ada serratus  biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah ayat: 261)

c.  Orang yang mendapat satu kejahatan iaitu orang yang berniat dan bercita-cita untuk melakukan satu kejahatan kemudian dikerjakannya.

وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَلَا يُجۡزَىٰٓ إِلَّا مِثۡلَهَا وَهُمۡ لَا يُظۡلَمُونَ ١٦٠
Sesiapa yang mengerjakan amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun). (Surah al-an’am ayat: 160)

d.  Orang yang mendapat sebanyak satu kebaikan yang sempurna iaitu orang yang bercita-cita mengerjakan satu kejahatan kemudian tidak dikerjakannya kerana takut kepada Allah.

2.  Setiap perbuatan ada balasannya termasuk cita-cita yang terpendam dalam hatinya

Monday, November 27, 2023

Mukmin Yang Terpelihara

Isnin, 13 Jamadilawal 1445H: Mukmin Yang Terpelihara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: ‘Barang siapa membebaskan seorang mukmin dari suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat. Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut menolong saudaranya sesama muslim. Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya. Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca Al-Quran, melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya. Barang siapa yang ketinggalan amalnya (kurang), maka keturunannya tidak akan dapat meninggikannya (menambah amalnya).’ (HR Muslim No: 4867) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mukmin yang membebaskan mukmin lain dari suatu kesulitan di dunia, nescaya Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat.

2.  Mukmin yang memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan semasa di dunia, nescaya Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat.

3.  Mukmin yang menutupi aib seorang muslim semasa di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.

4.  Allah akan menolong sesiapa yang menolong saudara muslim yang lain.

5.  Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya.

6.  Orang yang berkumpul di masjid untuk membaca Al-Quran, Allah akan mengurniakan ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.

7.  Barang siapa yang kurang amalnya semasa di dunia,  maka keturunannya tidak akan dapat menambah amalnya. (Amal kita seperti solat, puasa, zakat, tilawah al-Quran adalah tanggung jawab kita).

Marilah kita cakna terhadap saudara kita yang lain dengan berusaha bertolong bantu dalam urusan kebaikan.

Sunday, November 26, 2023

Persaudaraan Islam dan Hak Muslim

Ahad, 12 Jamadilawal 1445H:  Persaudaraan Islam dan Hak Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah kalian saling mendengki, saling memfitnah, saling membenci, dan saling memusuhi. Janganlah ada seseorang di antara kalian yang berjual beli sesuatu yang masih dalam penawaran muslim lainnya dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara. Muslim yang satu dengan muslim yang lainnya adalah bersaudara tidak boleh menyakiti, merendahkan, ataupun menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya), Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Seseorang telah dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim. Muslim yang satu dengan yang Iainnya haram darahnya, hartanya, dan kehormatannya.” (HR Muslim No: 4650) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam melarang umatnya berakhlak buruk antaranya:

a.  Mendengki
b.  Memfitnah
c.  Membenci
d.  Memusuhi
e.  Membeli sesuatu yang telah dibeli atau dijanjikan kepada orang lain

2.  Setiap Muslim adalah bersaudara. Muslim dilarang berbuat zalim dengan Muslim yang lain sama ada dengan perbuatan, lisan mahupun tulisan antaranya dengan cara:

a.  Menyakiti
b.  Merendahkan
c.  Menghina

3.  Takwa itu di dada (rasa taat dan patuh kepada Allah itu terletak di dalam hati)

4.  Seseorang Muslim dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim.

5.  Penghinaan  boleh berlaku apabila seseorang meremeh, memperlekeh juga merendahkan orang lain sama ada dengan perkataan, tulisan atau perbuatan termasuk kesalahan mereka. Penghinaan ini adalah bentuk sifat sombong dan bangga diri serta menganggap dirinya lebih mulia dari orang tesebut.

6.  Muslim sesama Muslim dilarang:

a.  Menumpahkan darah sesama Muslim
b.  Menzalimi hartanya
c.  Merendahkan kehormatannya

Dalam kita membina sebuah masyarakat dan negara yang harmoni, marilah kita memelihara hak saudara Muslim sebagai tanda kita menyayangi mereka. Jauhilah berakhlak buruk terhadap Muslim yang lain serta tidak menzaliminya.

Saturday, November 25, 2023

Wajib Mencegah Kemungkaran

 Sabtu, 11 Jamadilawal 1445H:  Wajib Mencegah Kemungkaran

فَقَالَ أَبُو سَعِيدٍ أَمَّا هَذَا فَقَدْ قَضَى مَا عَلَيْهِ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Abu Said berkata; ini merupakan sesuatu yang telah pasti padanya, Saya mendengar dari Rasulullah SAW, ia bersabda: Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran hendaklah ia mencegah kemungkaran itu dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan lisan, jika tidak mampu juga, hendaklah ia mencegahnya dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman (HR Muslim No: 70) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Mukmin wajib mencegah perkara maksiat mengikut semampunya.

2.  Jika mampu mencegah kemungkaran dengan tangan atau kuasa yang ada padanya hendaklah dilakukan. Jika tidak mampu maka hendaklah mencegah dengan lisannya atau perkataannya. Jika tidak mampu, maka hendaklah benci dengan hati. 

3.  Mengingkari dengan hati antaranya dengan membenci kemungkaran dan pelaku kemungkaran dengan cara menjauhi diri dari mereka, hati tidak merasa tenang dan benci terhadap kemungkaran tersebut.

4.  Pengingkaran dengan hati merupakan tahap iman yang paling lemah Namun itu lebih baik daripada tidak mengingkari sama sekali.


Friday, November 24, 2023

Asas Kehakiman Dalam Islam

Jumaat, 10 Jamadilawal 1445H: Asas Kehakiman Dalam Islam

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ، لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ، وَلَكِنِ البَيِّنَةُ عَلَى المُدَّعِي، وَاليَمِيْنُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Daripada Ibnu ‘Abbas RA bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya setiap manusia dipenuhi tuntutannya dengan semata-mata dakwaan mereka, nescaya akan ada sebahagian manusia mendakwa mempunyai hak terhadap harta dan darah suatu kaum yang lain. Oleh kerana itu, orang yang mendakwa hendaklah mendatangkan saksi (baiyinah) dan orang yang mengingkari hendaklah bersumpah.” (HR Bukhari No: 4219) Status Hadis Sahih

Pengajaran

1.  Sikap dan tabiat buruk kebanyakan manusia adalah gemar mendakwa sesuatu yang bukan milik mereka. Sekiranya semua dakwaan mereka dituruti, nescaya akan kecohlah sistem kehidupan manusia. Secara tidak langsung ia membayangkan bahawa banyak persengketaan, pergaduhan malah pembunuhan dan peperangan yang berlaku dalam kalangan manusia membabitkan soal harta benda dan kekayaan.

2.  Untuk menghadapi kes tuntutan dan dakwaan terhadap sesuatu perkara, lslam membawa suatu kaedah kehakiman yang bijaksana iaitu setiap orang yang mendakwa sebarang tuntutan mestilah mengemukakan bukti keterangan menyokong dakwaannya sementara orang yang didakwa pula mestilah bersumpah menafikan tuduhan tersebut.

3.  Di antara bayyinaat (bukti) adalah adanya saksi yang adil dan diterima persaksiannya, atau adanya indikasi, atau yang dituduh mengaku. Jika tidak ada bukti, yang tertuduh hendaklah  bersumpah agar terlepas dari hukuman. Jika yang dituduh enggan bersumpah, ia bererti penakut dan ingin menghindarkan diri dari dihukum.

4.  Seorang hakim wajib berusaha mengetahui segenap sudut dakwaan dan memutuskan hukuman berdasarkan kebenaran yang dibuktikan.


Thursday, November 23, 2023

Islam Menolak Kemudaratan

Khamis, 9 Jamadilawal 1445H:  Islam Menolak Kemudaratan

عَنْ  أَبِـيْ  سَعِيْدٍ سَعْدِ بْنِ مَالِكِ بْنِ سِنَانٍ الْـخُدْرِيِّ  رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّـى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Daripada Abû Sa’îd Sa’d bin Mâlik bin Sinân al-Khudri RA, Rasûlullâh SAW bersabda, “Jangan bahayakan diri dan jangan bahayakan orang lain. (HR Mâlik dalam al-Muwaththa’ (II/571, No: 31). Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Islam menolak sebarang bentuk kemudaratan sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain.

2.  Melakukan kemudaratan kepada diri sendiri seperti mendedahkan diri kepada penyakit dengan pergi ketempat yang berpotensi tersebarnya virus adalah dilarang. Termasuk mendedahkan diri kepada sesuatu yang memudaratkan dan haram seperti manghisap rokok, mengambil dadah, pil kuda dan lain-lain

3.  Dilarang melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan orang lain seperti di waktu tersebarnya penyakit berjangkit seperti Covid 19 dan telah diperintahkan kurantin di rumah tetapi kita dengan sengaja keluar dari rumah. Ia boleh menyebabkan virus terus merebak serta boleh mengundang kemudaratan pada diri dan orang lain.

4.  Dalam riwayat al-Hâkim dan al-Baihaqi ada tambahan,

مَنْ ضَارَّ ضَرَّهُ اللهُ وَمَنْ شَاقَّ شَقَّ اللهُ عَلَيْه

Barangsiapa membahayakan orang lain, maka Allâh akan membalas bahaya kepadanya dan barangsiapa menyusahkan atau menyulitkan orang lain, maka Allâh akan menyulitkannya.” Al-Hâkim (II/57-58).

5.  Suatu prinsip utama dalam kehidupan ini adalah jangan mencari mudarat dan menyebabkan kemudaratan kepada orang lain. la bertujuan menjaga kesejahteraan umat manusia keseluruhannya sama ada muslim atau bukan muslim.

6.  Kaedah Usul Fiqh menyebutkan:

الضَّرَرُ يُدْفَعُ بِقَدْرِ الْإِمْكَانِ

Kemadharatan itu harus dicegah semampunya (bersungguh-sungguh)

7.  Hal ini juga bertepatan dengan peringatan yang disebutkan oleh Al-Quran menerusi firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan. (Surah Al-Baqarah ayat: 195)

lslam menggalakkan umatnya mencari keharmonian hidup. Sebarang angkara yang membawa mudarat sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung, segera atau lambat, sedikit atau banyak semuanya dilarang.


Wednesday, November 22, 2023

Sifat Zuhud dan Kesannya

Rabu, 8 Jamadilawal 1445H:  Sifat Zuhud dan Kesannya

عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ الَى النَّبِيِّ صَلَي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَمَ فَقَالَ: يَا رَسولَ الله دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ اَحَبَنِيَ اللهُ وَ اَحَبَنِيَ النَّاسُ فَقَالَ: ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللهُ وَ ازْهَدْ فِي مَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ حَدِيثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ ابْنُ مَاجَه وَ غَيْرُهُ بِأَسَانِيدَ حَسَنَةٍ

Daripada Abi al-Abbas Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi r.a berkata, bahawa seseorang datang kepada Nabi SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah saya suatu pekerjaan yang jika dikerjakan nescaya saya dicintai Allah dan dicintai umat manusia.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Zuhudlah engkau akan dunia, nescaya Allah akan menyintaimu, dan zuhudlah engkau akan apa yang ada pada manusia, nescaya mereka mencintaimu.” (HR Ibn Majah No: 4102) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Suatu sifat penting yang wajib ada pada diri setiap mukmin ialah sifat zuhud.

2.  Zuhud terhadap dunia mempunyai banyak pengertian di kalangan ulama tasauf antaranya ialah membenci, berpaling, meninggalkan dan menjauhkan diri dari kemewahan dunia serta mengosongkan hati dari mengingati perkara dunia.

3.  Zuhud terhadap apa yang dimiliki manusia, bererti menjauhkan diri dari merasa irihati terhadap apa yang dimiliki oleh manusia serta mengosongkan hati dari mengingati harta milik orang. Bukan bererti membenci sehingga suka agar kesenangan orang lain hilang kerana itu hasad dengki yang amat dilarang.

4.  Zuhud sebenar bukan bererti meninggalkan dunia atau langsung tidak berharta. Zuhud sejati ialah tidak menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat hidup, walaupun kekayaannya memenuhi dunia seumpama yang terjadi pada jutawan zaman Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman ibn ‘Auf, kerana matlamat hidup seorang mukmin ialah Allah dan keredhaanNya, bukan benda-benda selainNya.

5.  Sesiapa yang memiliki sifat zuhud, nescaya Allah akan menyintainya.


Tuesday, November 21, 2023

Suruhan dan Larangan

Selasa, 7 Jamadilawal 1445H: Suruhan dan Larangan

عن أبي ثعلبة الخشني رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: إِنَّ اللهَ تَعَالَى فَرَضَ فَرَائِضَ فَلاَ تُضَيِّعُوهَا وَحَدَّ حُدُوداً فَلاَ تَعْتَدُوهَا وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلاَ تَنْتَهِكُوهَا وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً لَكُمْ غَيْرَ نِسْيَانٍ فَلاَ تَبْحَثُوا عَنْهَا حَدِيثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ الدَّارَقُطْنِي وَغَيْرُهُ

Daripada Abi Tsa’labah al-Khusyani RA dari Nabi SAW, Baginda bersabda:  “Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan beberapa kefardhuan, maka janganlah engkau meninggalkannya. Dia telah menentukan beberapa hudud (hukuman yang telah diturunkan), maka janganlah engkau melampauinya. Dia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah engkau melanggarinya. Dan Dia telah diam daripada beberapa perkara (tidak menyebut hukumnya) sebagai rahmat bagimu, bukan disebabkan Dia lupa, maka janganlah engkau mencari-cari dan mempersoalkannya.” (HR Baihaqi No: 20217 dalam al-Sunan al-Kubra dan Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya (9/17)] Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Setiap mukmin dituntut supaya mematuhi perintah Allah SWT sama ada berbentuk suruhan fardhu seperti solat, puasa, zakat mahupun larangan haram.

2.  Setiap mukmin diingatkan agar memelihara dengan baik segala amalan fardhu yang Allah SWT fardhukan, jangan sampai dipersiakan atau dihilangkan begitu sahaja.

3.  Allah menentukan beberapa batasan dan beberapa perkara haram, maka setiap mukmin dituntut agar benar-benar menjaga sempadan halal haram ini, jangan sampai dia mencabuli perkara haram apatah lagi kalau sampai menghalalkan perkara haram.

4.  Allah SWT mendiamkan beberapa perkara iaitu tidak menyatakan halal haramnya secara jelas, maka janganlah kita menyusahkan diri mencari hukumnya. Allah berbuat demikian bukan kerana lupa, bahkan sebagai rahmat dan belas kasihan Allah kepada hambanya demi memberi kemudahan bagi manusia. Sekiranya dilakukan ia tidak berdosa dan jika ditinggalkan juga tidak berdosa.


Monday, November 20, 2023

Pintu Kebaikan

Isnin, 6 Jamadilawal 1445H:  Pintu Kebaikan
 
عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قُلْت يَا رَسُولَ اللَّهِ! أَخْبِرْنِي بِعَمَلٍ يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ وَيُبَاعِدْنِي مِنْ النَّارِ، قَالَ: “لَقَدْ سَأَلْت عَنْ عَظِيمٍ، وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ: تَعْبُدُ اللَّهَ لَا تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصُومُ رَمَضَانَ، وَتَحُجُّ الْبَيْتَ، ثُمَّ قَالَ: أَلَا أَدُلُّك عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ؟ الصَّوْمُ جُنَّةٌ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ، وَصَلَاةُ الرَّجُلِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ، ثُمَّ تَلَا: ” تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ ” حَتَّى بَلَغَ “يَعْمَلُونَ”، ثُمَّ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُك بِرَأْسِ الْأَمْرِ وَعَمُودِهِ وَذُرْوَةِ سَنَامِهِ؟ قُلْت: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: رَأْسُ الْأَمْرِ الْإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذُرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ، ثُمَّ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُك بِمَلَاكِ ذَلِكَ كُلِّهِ؟ فقُلْت: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ ! فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ وَقَالَ: كُفَّ عَلَيْك هَذَا. قُلْت: يَا نَبِيَّ اللَّهِ وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ؟ فَقَالَ: ثَكِلَتْك أُمُّك وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ عَلَى وُجُوهِهِمْ -أَوْ قَالَ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ- إلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ؟

Daripada Mu’az ibn Jabal R.A. beliau berkata: Aku berkata: Ya Rasulullah! Terangkan padaku suatu amalan yang boleh memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku daripada api neraka. Baginda bersabda: Sesungguhnya engkau telah bertanya suatu perkara besar, namun sesungguhnya ia adalah ringan bagi orang yang dipermudahkan Allah; iaitu engkau menyembah Allah, jangan mensyirikkanNya dengan sesuatu, engkau mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah. Kemudian Baginda bersabda: Apakah engkau mahu aku tunjukkan beberapa pintu kebajikan? Puasa itu adalah perisai, sedekah dapat memadamkan dosa seumpama air memadamkan api dan sembahyang seorang lelaki di tengah malam. Kemudian Baginda membaca ayat al-Qur’an yang bererti: (Tulang-tulang rusuk mereka telah renggang dari tempat tidur mereka. Mereka menyeru Tuhan mereka dengan perasaan takut dan penuh harapan dan mereka membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka. Seseorang tidak mengetahui apakah yang disembunyikan bagi mereka yang terdiri daripada perkara yang menyejukkan mata sebagai balasan terhadap amalan yang mereka telah lakukan). Kemudian Baginda bersabda: Apakah engkau mahu aku khabarkan kepadamu tunggak segala amal, tiang-tiangnya dan puncaknya? Aku berkata: Mahu ya Rasulullah! Baginda bersabda: Tunggak amalan ialah lslam, tiang-tiangnya ialah sembahyang dan puncaknya ialah jihad. Kemudian Baginda bersabda: Apakah engkau mahu aku khabarkan kepadamu kunci segala perkara tersebut? Aku berkata: Mahu ya Rasulullah! Lalu Baginda memegang lidahnya seraya bersabda: Peliharalah benda ini! Aku berkata: Ya Nabi Allah! Adakah kita akan diseksa lantaran apa yang dibicarakannya? Baginda bersabda: lbumu akan kehilanganmu wahai Mu’az! Tiadalah manusia itu dihumbankan mukanya – atau Baginda bersabda – dihumbankan batang hidungnya ke dalam api neraka kecuali kerana hasil tanaman lidah-lidah mereka. (HR Tirmizi No: 2619). Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Amal soleh yang dituntut untuk menjadi penyebab seseorang hamba masuk syurga selain rahmat Allah SWT (yang menjadi penyebab utama masuk syurga) ialah menyembah Allah dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah.

2.  Antara pintu kebajikan yang boleh menjadi penyebab ke syurga adalah:

a.  Ibadah puasa yang menjadi perisai dari api neraka

b.  Sedekah yang boleh memadamkan dosa, seumpama air memadamkan api

c.  Sembahyang sunat di tengah malam (tahajjud) yang mampu mendekatkan diri kepada Allah dan menegah daripada dosa.

3.  Tunggak segala perkara ialah lslam, tiangnya ialah sembahyang dan kemuncaknya ialah jihad. Seorang mukmin sejati mesti melaksanakan tuntutan-tuntutan ini dengan baik walau apapun cabaran dan rintangan.

4.  Anak kunci kepada semua ibadah adalah menjaga lidah. Antara anggota paling banyak terdedah melakukan maksiat ialah lidah. Seseorang yang dapat menjaga lidahnya daripada perbuatan jahat dan maksiat, Rasulullah SAW memberi jaminan kepadanya syurga.

Setiap patah perkataan yang dituturkan oleh lidah akan dipersoalkan Allah S.W.T. Ramai manusia yang dihumbankan ke neraka akibat dosa-dosa lidahnya.


Sunday, November 19, 2023

Menghayati Sunnah Menjauhi Bidaah

Ahad  5 Jamadilawal 1445H: Menghayati Sunnah Menjauhi Bidaah

حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ أَبِي الْمُطَاعِ قَالَ سَمِعْتُ الْعِرْبَاضَ بْنَ سَارِيَةَ يَقُولُ قَامَ فِينَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً وَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ وَذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَظْتَنَا مَوْعِظَةَ مُوَدِّعٍ فَاعْهَدْ إِلَيْنَا بِعَهْدٍ فَقَالَ عَلَيْكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا وَسَتَرَوْنَ مِنْ بَعْدِي اخْتِلَافًا شَدِيدًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَالْأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Telah menceritakan kepadaku Yahya bin Abi Al Mutha' ia berkata; aku mendengar 'Irbadl bin Sariyah berkata; "Pada suatu hari Rasulullah SAW berdiri di tengah-tengah kami. Baginda memberi nasihat yang sangat menyentuh, membuat hati menjadi gemetar, dan airmata berlinangan. Lalu dikatakan; "Wahai Rasulullah, engkau telah memberikan nasihat kepada kami satu nasihat perpisahan, maka berilah kami satu wasiat." Baginda bersabda: "Hendaklah kalian bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat meskipun kepada seorang hamba Habasyi. Dan sepeninggalku nanti, kalian akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat, maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham, dan jangan sampai kalian mengikuti perkara-perkara (bidaah) yang dibuat-buat, kerana sesungguhnya semua bidaah itu adalah sesat." (HR Ibnu Majah No: 42) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah SAW meninggalkan wasiat untuk kita laksanakan:

1.  Hendaklah kita bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat kepada pemimpin yang benar dan hak, meskipun kepada seorang hamba Habasyi.

2.  Sepeninggalan Rasulullah SAW,  akan berlaku banyak perselisihan yang dahsyat. Sebagai orang beriman, kita mesti berpegang teguh dan bersungguh-sungguh (menggigit dengan gigi geraham)  sunnah Rasulullah SAW dan sunnah para khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Mengigit dengan gigi geraham lebih kuat dan mantap berbanding mengigit dengan gigi kacip yang boleh terlepas.

3.  Berpegang teguh dengan sunnah yang dimaksudkan ialah teguh dan berterusan mengikuti dan mencontohi semua jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam segenap lapangan hidup. Juga mengikuti jalan hidup khulafa ar-Rashidin.

Jadilah seperti Saidina Abu Bakar Ash Shiddiq RA yang menyatakan:

لَسْتُ تَارِكًا شَيْئًا كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يَعْمَلُ بِهِ إِلَّا عَمِلْتُ بِهِ إِنِّي أَخْشَى إِنْ تَرَكْتُ شَيْئًا مِنْ أَمْرِهِ أَنْ أَزِيْغَ

“Tidaklah aku biarkan satupun yang Rasulullah SAW amalkan kecuali aku mengamalkannya kerana aku takut jika meninggalkannya sedikit saja, aku akan menyimpang.” (HR. Abu Daud No. 2970. Atsar ini sahih)

4.  Jangan terlibat dengan perkara bidaah yang dikeji. Bidaah yang dikeji mengikut Ibnu Hajar al-Asqalani adalah menambah atau mengurangkan dalam hal agama yang tiada dalil syarak dan ia adalah amalan yang dikeji oleh syarak.

Marilah sempena mengingati bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengamalkan dan mencontohi sunnah baginda dan khulafa ar-Rashidin.


Saturday, November 18, 2023

Kebajikan dan Dosa

Sabtu  4 Jamadilawal 1445H:  Kebajikan dan Dosa

عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سِمْعَانَ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ فَقَالَ الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ

Daripada An Nawwas bin Sim'an Al-Anshari dia berkata; "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang erti kebajikan dan dosa. Sabda baginda: "Kebajikan itu ialah budi pekerti yang baik. Sedangkan dosa ialah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, dan engkau sendiri benci jika perbuatanmu itu diketahui orang lain." (HR Muslim No: 4632) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap kebajikan yang dilakukan oleh seorang Muslim dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya akan diberikan ganjaran pahala.

2.  Kebajikan bermaksud setiap budi pekerti dan akhlak terpuji oleh seorang Muslim dalam setiap aspek perlakuan hidupnya ketika berinteraksi sesama makhluk.

3.  Dosa ialah perlakuan maksiat yang dilakukan oleh seseorang.

4.  Dosa ialah sesuatu perlakuan yang menyebabkan jiwa gelisah, tidak tenang serta menyesakkan dada.

5.  Orang yang melakukan dosa tidak suka jika orang lain mengetahui perbuatannya.

Lakukan amal kebajikan dan hiasi dengan akhlak terpuji. Jauhkan setiap perkara dosa dan akhlak keji.


Friday, November 17, 2023

Berbuat Baik Terhadap Orang Lain

Jumaat, 3 Jamadilawal 1445H:  Berbuat Baik Terhadap Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ سُلَامَى مِنْ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ يَعْدِلُ بَيْنَ الِاثْنَيْنِ صَدَقَةٌ وَيُعِينُ الرَّجُلَ عَلَى دَابَّتِهِ فَيَحْمِلُ عَلَيْهَا أَوْ يَرْفَعُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ وَكُلُّ خُطْوَةٍ يَخْطُوهَا إِلَى الصَّلَاةِ صَدَقَةٌ وَيُمِيطُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ

Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Setiap ruas tulang pada manusia wajib atasnya bersedekah setiap hari mulai terbitnya matahari. Seseorang yang mendamaikan antara dua orang yang berselisih adalah sedekah dan menolong seseorang untuk menaiki kenderaan tunggangannya lalu mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaan tunggangannya adalah sedekah dan ucapan yang baik adalah sedekah dan setiap langkah berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu yang boleh menyakiti atau menghalangi orang dari jalan adalah sedekah". (HR Bukhari No: 2767) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut untuk melakukan amal kebajikan kepada orang lain setiap hari dan waktu  dengan menggunakan seluruh ruas tulang yang ada.

2.  Antara sumbangan amal yang boleh dilakukan oleh setiap Muslim bagi menggerakkan sendi dan tulangnya untuk mendapat ganjaran pahala sedekah melalui amalan khidmat yang dilakukan antaranya:

a.  Mendamaikan antara dua orang yang berselisih atau bergaduh

b.  Menolong seseorang untuk menaiki kenderaan seperti membukakan pintu kereta, membantu mengangkat barang ke atas kenderaan dan sebagainya

c.  Mengucapkan atau menuturkan perkataan yang baik ke atas orang lain seperti memberi salam, bertegur sapa, menasihati. Malah menahan tangan dan lisan agar tidak menyakiti orang lain juga sedekah.

d.  Langkah berjalan menuju tempat untuk menunaikan solat seperti masjid.

e.  Mengutip atau mengalihkan sesuatu yang boleh menyakiti atau menjadi halangan di jalan raya termasuk sampah.

Semoga segala kegiataan dan aktiviti yang kita lakukan setiap masa akan mendapat ganjaran pahala sedekah ke atas ruas tulang yang digerakkan. Jadilah kita orang yang bermanfaat kepada orang lain.


Thursday, November 16, 2023

Kurniaan dan Keluasan Rahmat Allah

Khamis, 2 Jamadilawal 1445H:   Kurniaan dan Keluasan Rahmat Allah

عَنْ أَبي ذَرٍّ رضي الله عنه قال: أَنَّ أُنَاسَاً مِنْ أَصحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالوا للنَّبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَارَسُولَ الله: ذَهَبَ أَهلُ الدثورِ بِالأُجورِ، يُصَلُّوْنَ كَمَا نُصَلِّيْ، وَيَصُوْمُوْنَ كَمَا نَصُوْمُ، وَيَتَصَدَّقُوْنَ بفُضُوْلِ أَمْوَالِهِمْ، قَالَ: أَوَ لَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُوْنَ؟ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيْحَةٍ صَدَقَة.وَكُلِّ تَكْبِيْرَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَحْمَيْدَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَهْلِيْلَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بالِمَعْرُوْفٍ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ وَفِيْ بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. قَالُوا: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيَأْتِيْ أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُوْنُ لَهُ فِيْهَا أَجْرٌ؟ قَالَ:أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فَيْ حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ؟ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فَي الحَلالِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ

Daripada Abu Dzar RA  bahawa ada beberapa sahabat  berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya raya telah pergi membawa pahala yang banyak. Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami juga berpuasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka (sedangkan kami tidak boleh bersedekah).” Baginda SAW bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan untuk kamu sesuatu untuk kalian boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya setiap tasbih itu adalah sedekah, setiap takbir itu adalah sedekah, setiap tahmid itu adalah sedekah, setiap tahlil itu adalah sedekah, memerintahkan kepada hal yang makruf itu adalah sedekah, mencegah kemungkaran itu adalah sedekah, dan dalam kemaluan kalian itu juga terdapat sedekah.” Para sahabat bertanya, ”Wahai Rasulullah, apakah salah seorang dari kami jika menyalurkan syahwatnya dia akan mendapatkan pahala?” Baginda bersabda, “Bagaimana pendapat kamu seandainya dia memuaskan nafsu syahawatnya pada yang haram, bukankah berdosa? Demikianlah sebaliknya kalau ia menyalurkannya pada yang halal, tentu dia memperoleh pahala.” (HR Muslim No: 1006) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap orang sama ada miskin mahupun kaya berpeluang melakukan amal soleh

2.  Muslim yang berharta, di samping melaksanakan ibadat solat dan puasa, dia berpeluang melakukan amal soleh yang lain seperti  bersedekah.

3.  Muslim yang tidak berharta (miskin) juga berpeluang memperolehi ganjaran pahala seperti orang kaya malah mungkin lebih baik. Selain daripada ibadat solat dan puasa kita dianjurkan oleh Rasulullah SAW  menjana ganjaran pahala melalui amalan tasbih, takbir, tahmid, tahlil  dan melakukan kerja dakwah iaitu menyeru kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

4.  Ganjaran pahala juga diberikan kepada mereka yang memberi nafkah kepada ahli keluarga seperti makan minum dan pakaian juga mendapat pahala apabila seorang suami mengauli isteri atau sebaliknya.

5.  Diantara kebesaran kurniaan Allah kepada Muslim ialah perlakuan suatu adat kebiasaan akan berubah menjadi bentuk ibadah yang diberi pahala apabila disertai dengan niat yang baik kerana Allah dan tidak bercangah dengan syarak.

Wednesday, November 15, 2023

Larangan Melakukan Kezaliman

Rabu, 1 Jamadilawal 1445H:  Larangan Melakukan Kezaliman

عن أبي ذر الغفاري رضي الله عنه  عن النبي  صلى الله عليه وسلم  فيما يرويه عن ربه عز وجل أنه قال : يَا عِبَادِي: إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّماً فَلاَ تَظَالَمُوا. يَا عِبَادِي: كُلُّكُمْ ضَالٌّ إِلاَّ مَنْ هَدَيْتُهُ فَاسْتَهْدُونِي أَهْدِكُمْ. يَا عِبَادِي: كُلُّكُمْ جَائِعٌ إِلاَّ مَنْ أَطْعَمْتُهُ فَاسْتَطْعَمُونِي أَطْعِمْكُمْ. يَا عِبَادِي: كُلُّكُمْ عَارٍ إِلاَّ مَنْ كَسَوْتُهُ فَاسْتَكْسُونِي أَكْسُكُمْ. يَا عِبَادِي: إِنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعاً فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ. يَا عِبَادِي: إِنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضُرِّي فَتَضُرُّونِي وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُونِي. يَا عِبَادِي: لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَتْقَى قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ مَا زَادَ ذَلِكَ فِي مُلْكِي شَيْئاً. يَا عِبَادِي: لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئاً. يَا عِبَادِي: لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيْدٍ وَاحِدٍ فَسَأَلُونِي فَأَعْطَيْتُ كُلَّ وَاحِدٍ مَسْأَلَتَهُ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إِلاَّ كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَطُ إِذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ. يَا عِبَادِي: إِنَّمَا هِيَ أَعْمَالُكُمْ أُحْصِيهَا لَكُمْ ثُمَّ أُوَفِّيكُمْ إِيَّاهَا فَمَنْ وَجَدَ خَيْراً فَلْيَحْمَدِ اللهَ وَمَنْ وَجَدَ غَيْرَ ذَلِكَ فَلاَ يَلُومَنَّ إِلاَّ نَفْسَهُ

Daripada Abu Zar al-Ghifari RA daripada Rasulullah SAW berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Baginda daripada Allah SWT bahawa Dia berfirman: Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi diantara satu sama lain. Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua sesat kecuali sesiapa yang Aku berikan petunjuk, maka mintalah petunjuk (hidayah) dariKu nescaya akan Ku berikan petunjuk. Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka hendaklah kamu meminta makanan daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu makanan. Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua telanjang kecuali orang yang Aku berikannya pakaian, maka hendaklah kamu meminta pakaian daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu pakaian. Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampunkan semua dosa, maka mintalah keampunan daripadaKu nescaya Aku akan ampunkan kamu. Wahai hamba-hambaKu! Selamanya kamu tidak akan mampu mendatangkan kememudaratan yang boleh menyakitiKu.  Dan kamu tidak akan mampu mendatangkan faedah yang boleh memberi manfaat kepada Ku. Wahai hamba-hambaKu! Kalau semua manusia, yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, dari kalangan manusia dan jin, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanKu. Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya semua manusia yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak akan mengurangkan apa-apapun dalam kerajaanKu. Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya semua manusia yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, dari kalangan manusia dan jin, sekiranya mereka semua berhimpun di suatu tempat, lalu mereka meminta daripadaKu (iaitu meminta sesuatu pemberian), lantas Aku kurniakan setiap orang dari kalangan mereka permintaannya, nescaya hal itu tidak mengurangkan sedikitpun apa-apa yang ada di sisiKu kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum. Wahai hamba-hambaKu! Bahawa sesungguhnya hanya amalan kamu yang Aku akan perhitungkannya bagi kamu, kemudian Aku sempurnakan pembalasannya. Maka barangsiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan barangsiapa yang mendapat selain kebaikan, maka janganlah dia mencela kecuali mencela dirinya sendiri.

(HR Muslim No: 2577) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Zalim adalah suatu sifat keji yang diharamkan Allah SWT ke atas diri-Nya dan ke atas hamba-hamba-Nya. Barangsiapa yang melakukan kezaliman bererti dia telah melampaui batasan yang digariskan oleh Allah SWT.

2.  Menegakkan keadilan di antara manusia serta haramnya berlaku zalim di antara mereka merupakan tujuan dari ajaran Islam yang paling penting.

3.  Semua hamba adalah berhajat dan bergantung penuh kepada kurniaan dan kemurahan Allah SWT. Dialah Tuhan yang memberikan petunjuk, memberikan rezeki, memberi pakaian dan Dia juga Tuhan Yang Maha Pengampun segala dosa hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya rahmat Allah sentiasa mendahului murka-Nya.

4.  Segala permohonan hendaklah hanya diajukan kepada Allah SWT, sama ada permohonan meminta hidayah, rezeki, makanan dan pakaian juga permohonan agar diampunkan segala dosa.

5.  Sesungguhnya Allah SWT Maha Gagah Perkasa. Manusia sekali-kali tidak mampu memberikan-Nya manfaat dan mudarat.

6.  Segala perbuatan manusia sama ada ketaqwaan atau kejahatan, walaupun pada tahap yang paling maksimum dan paling dahsyat, semuanya tidak akan menambah atau menjejaskan kedudukan Allah SWT walaupun sedikit.

7.  Segala kurniaan Allah kepada seluruh manusia dan jin, biar betapa banyak sekalipun, ia tidak akan mengurangkan apa yang dimiliki-Nya walaupun sedikit. la hanya umpama air yang terlekat pada sebatang jarum kerdil yang dijunamkan ke lautan luas.

8.  Setiap amalan manusia akan dihitung satu persatu oleh Allah SWT dan Dialah yang akan menyempurnakan pembalasannya, sama ada balasan baik mahupun buruk.