Wednesday, February 28, 2024

Solat Sunat Yang Tidak Ditinggalkan Rasulullah

Rabu, 18 Syaaban 1445H  |   Solat Sunat Yang Tidak Ditinggalkan Rasulullah

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَدَعُ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْغَدَاةِ

Daripada 'Aisyah radliallahu 'anha bahawa "Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat empat rakaat sebelum Zohor dan dua rakaat sebelum solat Subuh". (HR Bukhari No: 1110) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW sentiasa melaksanakan solat sunat empat rakaat sebelum zohor.

2.  Baginda SAW juga sentiasa melaksanakan solat sunat dua rakaat sebelum subuh.


Tuesday, February 27, 2024

Witir Penutup Solat Malam

Selasa, 17 Syabaan 1445H  |  Witir Penutup Solat Malam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ سَأَلَ رَجُلٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ مَا تَرَى فِي صَلَاةِ اللَّيْلِ قَالَ مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيَ الصُّبْحَ صَلَّى وَاحِدَةً فَأَوْتَرَتْ لَهُ مَا صَلَّى وَإِنَّهُ كَانَ يَقُولُ اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ وِتْرًا فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِهِ

Daripada 'Abdullah bin 'Umar berkata: "Seorang laki-laki bertanya kepada Nabi SAW yang pada ketika itu sedang berada di atas mimbar. "Bagaimana cara solat malam?" Baginda menjawab: "Dua rakaat dua rakaat. Apabila dikhuatirkan masuk subuh, maka solatlah satu rakaat sebagai witir (penutup) bagi solatnya." Ibnu  Umar berkata: "Jadikanlah witir sebagai solat terakhir kalian, kerana Nabi SAW memerintahkan hal yang demikian." (HR Bukhari No: 452) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW mengajar cara solat sunat malam hari (qiamullail) dilaksanakan dua rakaat dan salam diikuti dua rakaat lagi dan salam dan seterusnya sehingga ditutup dengan solat sunat witir.

2.  Jika waktu dah hampir solat subuh, disarankan agar menunaikan solat sunat witir satu rakaat.

3.  Solat witir dijadikan solat penutup kepada solat sunat di malam hari paling kurang satu rakaat.

Ayuh kita tunaikan solat sunat di malam hari sekurang-kurangnya satu rakaat witir.


Monday, February 26, 2024

Bangunkan Ahli Keluarga Solat Sunat Malam

 Isnin, 16 Syaaban 1445H  | Bangunkan Ahli Keluarga Solat Sunat Malam

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي وَأَنَا رَاقِدَةٌ مُعْتَرِضَةً عَلَى فِرَاشِهِ فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يُوتِرَ أَيْقَظَنِي فَأَوْتَرْتُ

Daripada 'Aisyah berkata, "Nabi SAW pernah berdiri solat malam sedangkan aku berbaring di atas tikarnya. Apabila baginda melaksanakan solat witir, baginda membangunkan aku hingga aku pun bangun mengerjakan solat witir." (HR Bukhari No: 997) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bangun di waktu malam untuk qiamullail menunaikan solat malam antara amalan yang perlu dicontohi daripada Rasulullah SAW.

2.  Rasulullah SAW mengejutkan ahli keluarganya untuk menunaikan solat sunat malam.

Ayuh bangunkan ahli keluarga kita untuk menunaikan solat sunat malam, walaupun satu rakaat. Semoga solat sunat malam membina jati diri kita. Semoga kebiasaan baik yang kita lakukan di bulan Syaaban akan berterusan di bulan Ramadan yang penuh 

Sunday, February 25, 2024

Jangan Tinggalkan Qiamullail

Ahad, 15 Syaaban 1445H   | Jangan Tinggalkan Qiamullail

عَنْ يَزِيدَ بْنِ خُمَيْرٍ قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي قَيْسٍ يَقُولُ قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا لَا تَدَعْ قِيَامَ اللَّيْلِ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَدَعُهُ وَكَانَ إِذَا مَرِضَ أَوْ كَسِلَ صَلَّى قَاعِدًا

Daripada Yazid bin Khumair dia berkata; saya mendengar Abdullah bin Abu Qais berkata; Aisyah RA berkata; "Janganlah kamu meninggalkan solat malam (Qiamullail), kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya, bahkan apabila baginda sedang sakit atau kepayahan, baginda solat dengan duduk." (HR Abu Daud No: 1307) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara sunnah Rasulullah SAW ialah melaksanakan qiamullail.

2.  Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan qiamullail walaupun dalam keadaan sakit atau kepayahan (lemah juga malas).

3.  Lakukanlah solat sunat di malam hari walaupun dalam keadaan duduk.

Ayuh contohi Rasulullah SAW dalam ibadat Qiamullail

Saturday, February 24, 2024

Solat Malam Amalan Orang Soleh

Sabtu, 14 Syaaban 1445H   | Solat Malam Amalan Orang Soleh

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَنْهَاةٌ لِلْإِثْمِ

Daripada Abu Umamah dari Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: "Hendaknya kalian melakukan solat malam kerana solat malam adalah amalan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian, dapat mendekatkan kepada Tuhan kalian, menghapus keburukan, serta mencegah dosa." (Sunan Tirmidzi No: 3472) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Solat malam atau qiamullail adalah amalan orang-orang yang soleh. Allah SWT memuji para hamba-Nya yang soleh yang sentiasa melakukan solat malam seperti tahajud dan witir.

كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“Mereka sedikit tidur di waktu malam; dan di akhir-akhir malam mereka memohon keampunan (kepada Allah).” [Adz-Dzaariyaat/51: 17-18]

2.  Solat malam adalah amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, sebagai makanan roh membina kekuatan dalaman diri setiap Muslim.

3.  Solat malam boleh menghapuskan keburukan atau kesalahan serta dosa.

4.  Solat malam juga boleh mencegah seseorang dari melakukan dosa dan maksiat.

Peruntukkanlah sedikit waktu pada waktu malam sebelum solat subuh untuk melakukan solat sunat malam agar ia menjadi sebahagian dari kebiasaan kita sepertimana kebiasaan amalan orang yang soleh.

Friday, February 23, 2024

Malam Nisfu Syaaban

Jumaat, 13 Syaaban 1445H  | Malam Nisfu Syaaban

عَنْ مُعَاذِ بن جَبَلٍ عَن ِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: يَطَّلِعُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Daripada Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Allah mendatangi makhlukNya pada malam Nisfu Syaaban. Dia mengampuni makhluk kecuali orang musyrik (berbuat syirik) dan yang bermusuhan (HR Tobrani No: 16639) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bulan Syaaban memiliki kelebihan tersendiri dimana merupakan bulan yang Rasulullah SAW paling banyak berpuasa sunat di dalamnya.

2.  Malam Nisfu Syaaban (malam 15hb Syaaban) juga terdapat kelebihan dan keutamaan bagi mereka yang beribadat dengan diberikan keampunan kecuali kepada mereka yang melakukan syirik dan bermusuhan sesama Muslim.

3.  Digalakkan kita memperbanyakkan ibadat dan memohon keampunan kerana  Nabi SAW bersabda:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً فَخَرَجْتُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ فَقَالَ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كَلْبٍ

Daripada 'Aisyah RA dia berkata, Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah SAW, lalu saya keluar, ternyata saya dapati baginda sedang berada di Baqi', baginda bersabda: " Apakah kamu takut akan dizalimi oleh Allah dan Rasul-Nya?" saya berkata, wahai Rasulullah, saya mengira tuan mendatangi sebahagian isteri-isterimu, baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah ta'ala turun ke langit dunia pada malam pertengahan bulan Syaaban, lalu mengampuni manusia lebih banyak dari sejumlah bulu kambing." (HR Tirmizi No:670) Status: Hadis Daif

4.  Ibnu Rajab mengatakan, berkaitan dengan malam nisfu Syaaban, para tabi’in penduduk Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Mak-hul, Luqman bin Amir, dan beberapa tabi’in lainnya memuliakannya dan bersungguh-sungguh dalam beribadah di malam itu” (Lathaiful Ma’arif, hlm. 247).

5.  Ulama bersetuju tidak ada jenis ibadat yang dikhususkan pada malam tersebut seperti tidak ada solat Nisfu Syaaban 100 rakaat, tiada doa-doa khusus atau bacaan-bacaan khusus. Namun boleh sahaja untuk kita melaksanakan solat sunat malam juga mempelbagaikan doa dan zikir.

Marilah kita merebut peluang memperbanyakkan ibadat dengan solat sunat, zikir, membaca al-Quran, selawat, doa dan memohon keampunan setiap waktu dan masa.


Thursday, February 22, 2024

Hari Puteh (13, 14 & 15) Hijrah

  Khamis, 12 Syaaban 1445H  |  Puasa Hari Puteh (13, 14 & 15) Hijrah

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Daripada Abu Dzarr RA dia berkata; "Rasulullah  SAW  memerintahkan kami agar berpuasa tiga hari Bidh  (Puteh) dalam sebulan iaitu tiga belas, empat belas dan lima belas." (HR Nasai No: 2380) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW paling banyak berpuasa  sunat pada bulan Syaaban. Ada kalanya sebulan penuh, ada juga sebahagian besar daripadanya kecuali beberapa hari.

2.  Antara hari yang digalakkan berpuasa pada setiap bulan hijrah ialah pada pertengahan bulan atau dipanggil puasa hari puteh (13, 14 dan 15 haribulan Hijrah)

3.  Disepanjang bulan Syaaban ini kita digalakkan berpuasa sunat. Ada puasa sunat yang khusus antaranya puasa hari  Isnin dan Khamis juga puasa pada hari-hari puteh (13, 14 dan 15) yang akan jatuh pada hari Jumaat 23hb Feb, Sabtu 24hb Feb dan Ahad 25hb Feb ini.

4.  Berpuasa tiga hari sebulan menyamai ganjarannya seperti berpuasa sebulan (kerana kebaikan itu digandakan dengan sepuluh kali ganda). Hadis Rasulullah SAW:

مَنْ صَامَ الْأَبَدَ صَوْمُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ الشَّهْرِ صَوْمُ الشَّهْرِ كُلِّهِ

Barangsiapa berpuasa tiga hari dalam satu bulan, sama halnya dengan berpuasa sebulan penuh."  (HR Muslim No: 1967)

Marilah kita merebut peluang melaksanakan ibadah puasa sunat di bulan Syaaban ini. 

Wednesday, February 21, 2024

Amalan Yang Tidak Ditinggalkan

Rabu, 11 Syaaban 1445H   | Amalan Yang Tidak Ditinggalkan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ صِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Daripada Abu Hurairah radliallahu 'anhu berkata: "Kekasihku Rasulullah SAW memberi wasiat kepadaku agar aku berpuasa tiga hari dalam setiap bulan, mendirikan solat Dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum aku tidur". (HR Bukhari: No 1845) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah SAW mewasiatkan agar tidak meninggalkan tiga amalan sunat:

a.  Puasa sunat tiga hari sebulan

b.  Menunaikan solat sunat dhuha dua rakaat setiap hari

c.  Solat witir setiap malam sebagai penutup malam atau sebelum tidur

Marilah kita berusaha agar dapat melaksanakan apa yang dipesan oleh Rasulullah SAW.


Tuesday, February 20, 2024

Riya Itu Syirik Kecil

 Selada, 10 Syaaban 1445H | Riya Itu Syirik Kecil

عَنْ مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً

Daripada Mahmud bin Labid Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil. 
Para Sahabat bertanya : apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah. Nabi saw bersabda : Itulah Riya’. Allah SWT akan befirman pada hari kiamat kelak: Pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalam kamu).” 
HR Ahmad No: 23630. Status: Sanad Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syirik kecil merupakan perkara yang perlu dijauhi kerana ia menghilangkan segala pahala amal soleh yang dilakukan.

2.  Rasulullah SAW bimbang umatnya akan terjerumus dengan Syirik kecil iaitu Riya’.

3.  Riya adalah perbuatan seseorang  menunjukkan amal untuk dilihat, disebut atau disanjung oleh manusia lain. Contohnya berselfie ketika beribadah dan muat naik di media sosial seperti di TikTok, FB, Instagram dan lain-lain. Di hari kiamat nanti, orang yang riya’ dalam beramal akan diminta untuk menuntut ganjaran daripada manusia yang ingin disanjung atau disebut.

4.  Riya’ boleh berlaku pada agama, tubuh badan, percakapan mahupun amalan seseorang, contohnya:

•  Riya’ pada agama dan tubuh badan dengan menzahirkan kekurusan dan berpakaian lusuh supaya orang menganggapnya bersungguh melakukan ibadah serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat

•  Riya’ pada percakapan dengan memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang Islam ataupun berzikir kuat di hadapan orang ramai.

•  Riya’ pada amalan seperti menzahirkan qiyam dan ruku’ yang lama ketika bersolat di hadapan orang ramai.

5.  Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang yang menangis ketika sujud di dalam masjid beliau berkata: ”Hai kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah.”

6.  Berusahalah melaksanakan ibadah dengan ikhlas dan bermujahadah melawan sifat riya yang datang dalam diri. Jika ibadah tersebut ada pilihan, maka lebih baik dilakukan secara sembunyi seperti bersedekah tidak secara terang-terangan.

7.  Berdoalah agar dijauhi perbuatan syirik.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syirik yang aku sedari. Dan, aku memohon ampun kepada-Mu atas dosa-dosa yang tidak aku ketahui.


Monday, February 19, 2024

Pelihara Solat Sunat Sebelum Subuh

Isnin,  9 Syaaban 1445H   | Pelihara Solat Sunat Sebelum Subuh

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ عَلَى شَيْءٍ مِنْ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مُعَاهَدَةً مِنْهُ عَلَى رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الصُّبْحِ

Daripada 'Aisyah, bahawa tidak ada solat sunat yang lebih di jaga Nabi SAW daripada dua rakaat sebelum fardhu subuh." (HR Muslim No: 1191) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW menunjukkan contoh dalam amalan harian antaranya solat sunat.

2.  Antara solat sunat yang dijaga agar sentiasa dilaksanakan Rasulullah SAW  ialah solat sunat dua rakaat sebelum subuh.

Marilah kita memelihara solat fardhu juga solat sunat mengiringi waktu. Antara solat sunat mengiringi waktu yang perlu kita bersungguh melaksanakannya ialah solat sunat sebelum subuh.


Sunday, February 18, 2024

Mahligai Di Syurga Kerana 12 Rakaat Solat Sunat Sehari

Ahad, 8 Syaaban 1445H  |  Mahligai Di Syurga Kerana 12 Rakaat Solat Sunat Sehari

عَنْ أُمِّ حَبِيبَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلَاةِ الْفَجْرِ

Daripada Ummu Habibah ia berkata; "Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa dalam sehari semalam solat sunat dua belas rakaat maka Allah akan membangunkan baginya rumah di syurga; iaitu empat rakaat sebelum zuhur, dua rakaat selepas zohor, dua rakaat selepas maghrib, dua rakaat selepas isya
 dan dua rakaat sebelum subuh." (HR Tirmizi No: 415) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Selain daripada solat fardhu lima waktu sehari semalam, kita juga digalakkan melakukan solat sunat mengiringi waktu.

2.  Orang yang melaksanakan 12 rakaat solat sunat sehari semalam, Allah akan membangunkan sebuah mahligai di syurga.

3.  12 rakaat solat sunat yang sangat di tuntut mengiringi solat fardhu sehari semalam terdiri dari empat rakaat sebelum zuhur, dua rakaat selepas zohor, dua rakaat selepas maghrib, dua rakaat selepas isya
dan dua rakaat sebelum subuh.


Friday, February 16, 2024

Solat Sunat Subuh Lebih Baik Dari Seisi Dunia

 Jumpa,  6 Syaaban 1445H   | Solat Sunat Subuh Lebih Baik Dari Seisi Dunia

عَنْ عَائِشَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Daripada 'Aisyah dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Dua rakaat sunat fajar (sebelum solat fardhu subuh) lebih baik daripada dunia seisinya." (HR Muslim No: 1193) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Keutamaan solat sunat dua rakaat sebelum fardhu subuh lebih baik daripada dunia seisinya.

2.  Solat sunat subuh hanya  dilakukan setelah terbit fajar subuh. Dianjurkan solat tersebut di awal waktunya dan dilakukan dengan dua rakaat yang ringan. Inilah pendapat Imam Malik, Imam Syafi’i  dan jumhur ulama  seperti yang dicatat dalam Syarh Shahih Muslim..

3.  Jika solat sunat sebelum subuh lebih baik daripada seluruh isi dunia ini, apatah lagi solat fardhu subuh yang kelebihannya lebih baik daripada itu.

Ayuh kita rebut peluang memelihara solat subuh dan solat sunat sebelum subuh


Thursday, February 15, 2024

Tanda Kebahagiaan dan Kecelakaan

 Khamis, 5 Syaaban 1445H  |  Tanda Kebahagiaan dan Kecelakaan

عَنْ إِسْمَاعِيلَ  بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ  عَنْ أَبِيهِ  عَنْ جَدِّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ  وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ  وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَب الْهَنِيءُ  وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ  وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ  وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ  وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

Daripada Ismail Muhammad Bin Sa’ad Bin Abi Waqqas daripada ayahnya daripada datuknya. Datuknya (Sa’ad Bin Abi Waqqas) berkata : Rasulullah SAW bersabda: 4 tanda kebahagiaan. Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan yang elok. Manakala 4 tanda kedukaan adalah jiran yang buruk, isteri yang teruk, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk.” (HR Ibnu Hibban No: 4032) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Empat tanda kebahagiaan di dunia

a.  Isteri yang solehah iaitu isteri yang baik. Dipandang suami ia menggembirakan, sentiasa menjaga maruah diri dan suami.

b.  Tempat tinggal yang luas iaitu yang banyak manfaat bagi penghuninya (tidak semestinya rumah besar). Rumah yang didalamnya hati akan menjadi lapang dan tidak sempit (Takhrij al-Musnad no 15372).

c.  Jiran yang soleh iaitu jiran yang baik serta sentiasa bermanfaat dan tidak menyakiti orang lain.

d.  Kenderaan yang elok iaitu kenderaan yang selesa, tidak membebankan sama ada dengan hutang mahupun kerosakan.

2.  Empat tanda kesengsaraan di dunia

a.  Jiran yang buruk iaitu yang buruk akhlaknya serta kehidupannya akan mempengaruhi kita dan anak-anak.

b.  Isteri yang jahat iaitu isteri yang berakhlak dan perangai yang buruk

c.  Tempat tinggal yang sempit iaitu rumah yang tidak menjadikan kita bahagia dan merasa lapang berada di dalamnya

d.  Kenderaan yang buruk iaitu yang menyusahkan dan membebankan.

Setiap Muslim disyariatkan berdoa antaranya doa memohon kelapangan dan keberkatan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sering berdoa:

ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺇِﻧِّﻲ ﺃَﻋُﻮﺫُ ﺑِﻚَ ﻣِﻦْ ﺟَﺎﺭِ ﺍﻟﺴُّﻮﺀ ﻭَﻣِﻦْ ﺯَﻭْﺝٍ ﺗُﺸَﻴِّﺒُﻨِﻲ ﻗَﺒْﻞَ ﺍﻟْﻤَﺸِﻴﺐِ ﻭَﻣِﻦْ ﻭَﻟَﺪٍ ﻳَﻜُﻮﻥُ ﻋَﻠَﻲَّ ﺭِﺑًﺎ  ﻭَﻣِﻦْ ﻣَﺎﻝٍ ﻳَﻜُﻮﻥُ ﻋَﻠَﻲَّ ﻋَﺬَﺍﺑًﺎ  ﻭَﻣِﻦْ ﺧَﻠِﻴﻞٍ ﻣَﺎﻛِﺮٍ  ﻋَﻴْﻨَﻪُ ﺗَﺮَﺍﻧِﻲ ﻭَﻗَﻠْﺒُﻪُ ﺗَﺮْﻋَﺎﻧِﻲ ﺇِﻥْ ﺭَﺃَﻯ ﺣَﺴَﻨَﺔً ﺩَﻓَﻨَﻬَﺎ ﻭَﺇِﺫَﺍ ﺭَﺃَﻯ ﺳَﻴِّﺌَﺔً ﺃَﺫَﺍﻋَﻬَﺎ
 
Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari tetangga yang buruk,  dari isteri yang membuatku beruban sebelum masa beruban, dari anak yang menjadi tuan bagiku, dari harta yang menjadi siksaan atasku, dan dari kawan yang berbuat makar, matanya memandangiku sedang hatinya mengawasiku. Jika ia melihat kebaikan, maka ia tanam (sembunyikan), dan jika melihat keburukan, maka ia menyebarkannya.  (HR. Hannad dalam Az-Zuhd (no. 1038) Status: Hadis sahih dalam Ash-Shohihah no. 3138).


Wednesday, February 14, 2024

Segerakan Apa Yang Perlu Disegerakan

Rabu, 4 Syaaban 1445H  |  Segerakan Apa Yang Perlu Disegerakan

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهُ يَا عَلِيُّ ثَلَاثٌ لَا تُؤَخِّرْهَا الصَّلَاةُ إِذَا آنَتْ وَالْجَنَازَةُ إِذَا حَضَرَتْ وَالْأَيِّمُ إِذَا وَجَدْتَ لَهَا كُفْئًا

Daripada Ali bin Abu Thalib bahawa Nabi SAW pernah bersabda kepadanya: "Wahai Ali, ada tiga perkara jika tiba waktunya tidak boleh ditunda-tunda, solat jika telah masuk waktunya, jenazah jika telah hadir untuk disolatkan dan wanita jika telah datang jodoh yang sekufu (sepadan) dengannya." (HR Tirmidzi No: 1075) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Tiga perkara yang perlu disegerakan oleh setiap orang Islam apabila sampai waktunya iaitu:

1.  Solat fardhu perlu disegerakan jika telah masuk waktunya (kerana kematian boleh berlaku bila-bila masa)

2.  Jenazah perlu disegerakan urusan pengkebumian

3.  Perempuan yang telah ada lelaki yang sekufu (sepadan) yang ingin berkahwin dengannya.


Tuesday, February 13, 2024

Ucapkan Alhamdulillāh

Selasa, 3 Syaaban 1445H  |   Ucapkan Alhamdulillāh

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ  صلى الله عليه وسلم إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ  الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ  الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Daripada 'Aisyah RA, kebiasaannya Rasulullah SAW jika menyaksikan hal-hal yang baginda sukai, baginda mengucapkan “Alhamdulillahilladzi bi ni’matihi tatimmus solihat” (segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala amal soleh sempurna). Sedangkan jika baginda menyaksikan hal-hal yang tidak menyenangkan baginda mengucapkan “Alhamdulillah ‘ala kulli hal“ (segala puji bagi Allah atas segala keadaan)” (HR Ibn Majah No: 3803)  Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah contoh ikutan yang paling baik.

2.  Rasulullah SAW mengajar kita ucapan terpuji apabila melihat atau menerima suatu berita atau perkara yang kita sukai, maka  ucapkanlah kalimah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

3.  Rasulullah SAW juga mengajar kita ucapan apabila menerima berita atau menyaksikan sesuatu yang tidak menyenangkan hati, maka ucapkanlah kalimah

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Bersyukurlah dengan pelbagai nikmat yang Allah kurniakan. Bersyukur kerana masih berkesempatan berada di bulan Syaaban. Moga Allah pertemukan kita dengan Ramadan yang penuh barakah.


Pintu Kebaikan

Isnin, 2 Syaaban 1445H |   Pintu Kebaikan

عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW bersabda; "Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun (qiamullail) di malam hari. (Musnad Ahmad No: 21628). Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Nabi SAW  menyampaikan pesanan tentang pintu-pintu kebaikan kepada umatnya iaitu Ibadat puasa, sedekah dan qiamullail.

2.  Pintu kebaikan pertama ialah Ibadat puasa. Puasa menjadi benteng atau perisai kepada seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Puasa adalah perisai yang akan melindungi daripada kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri daripada terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar.

3.  Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah. Puasa adalah perisai seseorang dari api neraka. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدُ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai yang dapat melindungi seorang hamba dari siksa neraka” (HR Ahmad No: 3868 dalam sahih al-Jami’).

4.  Persiapkanlah diri dengan mula berpuasa sunat pada bulan  Syaaban ini. Moga akan memudahkan kita melaksanakannya pada bulan Ramadan yang menjelang tiba. Semoga ibadat puasa menjadi perisai buat kita dari api neraka.

5.  Pintu kebaikan kedua ialah bersedekah. Sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api. Kita dianjurkan bersedekah khususnya kepada mereka yang memerlukan seperti derma kepada mereka yang terkesan akibat musibah banjir, gempa bumi dan lain-lain.

6.  Ambillah kesempatan untuk menyumbang dan menderma. Semoga sumbangan kita menjadi pelebur dosa dan penghindar kita dari api neraka. Sabda Nabi SAW:

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji korma. (Sahih Bukhari No: 5677) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

7.  Pintu kebaikan ketiga adalah menghidupkan malam dengan Qiamullail. Antaranya dengan melaksanakan solat sunat malam, memperbanyakkan zikir dan munajat kepada Allah. Semoga amalan ini  mampu membina kekuatan rohani kita.

Marilah kita melaksanakan amal-amal  yang menjadi antara pintu kebaikan iaitu membanyakkan puasa sunat, bersedekah dan qiamullail.

Sunday, February 11, 2024

Amalan Syaaban Menghadapi Ramadan

Ahad, 1 Syaaban 1445H   | Amalan  Syaaban Menghadapi Ramadan

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا

Daripada Abu Salamah bahawa 'Aisyah RA menceritakan kepadanya, katanya: "Rasulullah SAW tidak pernah melaksanakan puasa lebih banyak dalam sebulan selain bulan Syaaban, ada kalanya baginda melaksanakan puasa bulan Syaaban seluruhnya. Baginda bersabda: "Lakukanlah amal-amal yang kalian sanggup melaksanakannya, kerana Allah tidak akan berpaling (dalam memberikan pahala) sampai kalian yang lebih dahulu berpaling (dari mengerjakan amal) ". Solat yang paling Nabi SAW cintai adalah solat yang dijaga kesinambungannya sekalipun sedikit. Baginda bila sudah biasa melaksanakan solat (sunat) baginda menjaga kesinambungannya". (HR Bukhari No: 1834) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW melaksanakan puasa sunat paling banyak pada bulan Syaaban untuk kita contohi.

2.  Laksanakanlah setiap amal kita semampunya dengan istiqamah, kerana Allah sentiasa memberikan ganjaran pahala.

3.  Solat sunat yang Nabi SAW cintai ialah yang dilakukan secara istiqamah walaupun sedikit.

4.  Pelihara solat sunat mengiringi waktu, duha, tahajud, witir dan lain-lain  walaupun hanya dua rakaat.

Marilah kita berterusan melaksanakan puasa sunat, solat sunat serta pelbagai amal soleh di bulan Syaaban ini khususnya sebagai persiapan menemui bulan Ramadan. Semoga kebiasaan yang kita lakukan pada bulan ini akan berterusan di bulan Ramadan.


Saturday, February 10, 2024

Syaaban dan Puasa Sunat

Sabtu, 29 Rejab 1445H  | Syaaban dan Puasa Sunat

عَنْ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنَ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Daripada Usamah bin Zaid dia berkata, aku bertanya kepada Rasulullah SAW; "Wahai Rasulullah SAW, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Sya’ban. Baginda bersabda: Bulan tersebut merupakan waktu manusia lalai iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada Allah Rab semesta alam. Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa". (HR an-Nasai No: 2317) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Bulan Syaaban, bulan paling banyak Rasulullah SAW berpuasa sunat berbanding bulan lain.

2.  Bulan Syaaban, bulan kebanyakan manusia lalai daripada meningkatkan amal. Ramai yang menyibukkan diri dengan urusan dunia seperti menyediakan persiapan hari raya, mengadakan majlis kenduri kendara dan sebagainya.

3.  Ibnu Rajab menyatakan: “Dalam hadis ini terdapat dalil mengenai dianjurkan melakukan amalan ketaatan di saat manusia lalai. Inilah amalan yang dicintai di sisi Allah.” (Lathaif Al Ma’arif, 235) Beribadah pada waktu ramai orang dilalaikan akan lebih ikhlas sehingga pahalanya semakin besar. Beribadat ketika ini akan lebih berat dirasakan oleh jiwa, kerana biasanya jiwa kita ini akan terpengaruh dengan apa yang dilihatnya. Ketika orang mungkin sibuk menjamu selera sebab nanti di bulan Ramadan tak boleh makan siang hari, maka akan semakin berat bagi jiwa untuk menjalankan ketaatan. Oleh sebab itu, secara umum, meningkatkan ibadah seperti puasa sunat pada bulan Sya'ban dan menjaga diri dari terikut-ikut orang lain adalah amal yang dicintai.

4.  Setiap kita disarankan agar memperbanyakkan amal pada bulan Syaaban seperti puasa sunat, solat sunat, sedekah, membaca al-Quran dan lain-lain sebagai persiapan bertemu  bulan Ramadan.

5.  Setiap hari amalan kita akan diangkat ke langit, ada amalan kita yang akan dibawa naik kepada Allah SWT pada bulan Syaaban.

6.  Rasulullah SAW memperbanyakkan amal seperti puasa sunat pada bulan Syaaban kerana baginda suka amalnya diangkat ketika sedang berpuasa.

7.  Abu Bakr Al-Balkhi berkata:

شَهْرُ رَجَبٍ شَهْرُ الزَّرْعِ  وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سَقْيِ الزَّرْعِ وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حِصَادِ الزَّرْعِ

Bulan Rajab waktu menanam, bulan Syaaban waktu menyiram tanaman dan bulan Ramadhan waktu menuai hasil.

Ayuh kita merebut peluang memperbanyakkan amal soleh di bulan Syaaban  antaranya berpuasa sunat. Jadikanlah bulan ini untuk kita menyiram amal soleh agar ia tumbuh subur dan segar berterusan di bulan Ramadan nanti.


Friday, February 9, 2024

Perbanyak Puasa Sunat Dibulan Syaaban

Jumaat, 28 Rejab 1445H  | Perbanyak Puasa Sunat Dibulan Syaaban

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنْ صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ صَامَ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَفْطَرَ وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلَّا قَلِيلًا

Daripada Abu Salamah ia berkata, saya pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang puasa Rasulullah SAW, maka ia pun berkata; Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami mengira bahawa baginda akan puasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak puasa) sehingga kami mengira baginda akan berbuka (tidak puasa) terus-menerus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda puasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban. Baginda berpuasa pada bulan Syaaban hingga sisa harinya tinggal sedikit." (HR Muslim No: 1957) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW sentiasa memelihara ibadat puasa sunat setiap bulan seperti puasa Isnin, Khamis juga pada hari-hari puteh (13, 14 dan 15 hari bulan).

2.  Rasulullah SAW berpuasa penuh sebulan pada bulan Ramadan

3.  Rasulullah membanyakkan puasa sunatnya pada bulan Syaaban kecuali beberapa hari dihujung Syaaban.

4.  Bulan Syaaban akan menemui kita. Marilah kita membuat persiapan untuk membanyakkan berpuasa sunat di bulan Syaaban.

5.  Ambillah peluang kelebihan berpuasa dengan memperbanyakkan doa agar dilepaskan dari pelbagai musibah dan lain-lain kerana doa orang yang sedang berpuasa adalah mustajab. Hal ini berdasarkan hadis daripada  Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”. (HR Ibn Majah No:1752) Status:Hadis  hasan

Marilah kita melaksanakan ibadat puasa sunat dibulan Syaaban sebagai latihan dan persiapan menghadapi Ramadan.

Thursday, February 8, 2024

Kelebihan Solat Berjemaah Isyak dan Subuh

 Khamis, 27 Rejab 1445H   | Kelebihan Solat Berjemaah Isyak dan Subuh

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ شَهِدَ الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ قِيَامُ نِصْفِ لَيْلَةٍ وَمَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ وَالْفَجْرَ فِي جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ كَقِيَامِ لَيْلَةٍ

Daripada Utsman bin 'Affan RA ia berkata; "Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa melaksanakan solat isyak berjamaah maka ia mendapatkan pahala solat setengah malam, dan barangsiapa melaksanakan solat isyak dan subuh dengan berjamaah maka ia mendapatkan pahala solat sepanjang malam." (HR Tirmizi No: 205) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Solat yang dilaksanakan secara berjamaah akan diganjari balasan pahala yang berganda

2.  Seseorang yang melaksanakan solat isya berjemaah seolah-olah ia solat separuh dari malam

3.  Seseorang yang melaksanakan solat isya dan subuh berjemaah, ia akan mendapat pahala seperti dia solat sepanjang malam

Rebut peluang mendapat ganjaran berganda dengan ibadat sepanjang malam dengan memelihara solat berjemaah isya dan subuh di masjid.

Wednesday, February 7, 2024

Pengunjung Masjid Dijanjikan Tempat Tinggal Di Syurga

Rabu, 26 Rejab 1445H  |  Pengunjung Masjid Dijanjikan Tempat Tinggal Di Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ وَرَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ نُزُلَهُ مِنْ الْجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid di pagi dan petang hari, maka Allah akan menyediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga setiap kali dia berangkat ke masjid di pagi dan petang hari." (HR Bukhari No: 622) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Isra dan Mikraj yang berlaku di bulan Rejab kepada baginda Nabi SAW mengingatkan kita tentang keutamaan masjid dan bermulanya kewajipan solat waktu.

2.  Orang yang pagi dan petang hari sentiasa ke Masjid, Allah akan menyediakan untuknya tempat tinggal yang baik di syurga.

3.  Satu daripada golongan yang mendapat naungan di sisi Allah dihari kiamat ialah lelaki yang hatinya sentiasa tertambat di masjid kerana mengimarahkannya. Sesuai dengan hadis Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ تَعَالَى فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لاَظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ.... وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ.....

“Tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah di hari yang tidak ada perlindungan pada hari kiamat melainkan perlindungan Allah: …….. lelaki yang hatinya sentiasa tertambat kepada masjid…” (HR Bukhari No: 620)

Menjadi tanggungjawab kita khususnya kaum lelaki untuk menunaikan solat fardhu di masjid sebagai satu cara mengimarahkannya.


Tuesday, February 6, 2024

Balasan Pengumpat dan Pengaib

 Selasa, 25 Rejab 1445H | Balasan Pengumpat dan Pengaib

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " لَمَّا عُرِجَ بِي مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمُشُونَ وُجُوهَهُمْ وَصُدُورَهُمْ فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جِبْرِيلُ قَالَ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ لُحُومَ النَّاسِ وَيَقَعُونَ فِي أَعْرَاضِهِمْ

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda : ‘Ketika aku dinaikkan ke langit (pada malam isra dan mikraj), aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka, maka aku berkata : Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab : Merekalah orang-orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan mengaibkan maruah mereka.” (Riwayat Abu Daud No: 4878) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam adalah agama yang mementingkan akhlak dan adab terpuji

2.  Islam melarang umatnya berakhlak buruk seperti mengumpat serta mengaibkan orang lain.

3.  Rasulullah SAW diperlihatkan pada malam baginda di isra dan dimikrajkan sekumpulan manusia yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka menyiksa diri sendiri dengan mencakar-cakar muka dan dada mereka. Jibril memberitahu mereka berbuat demikian kerana semasa di dunia mereka mengumpat dan mengaibkan orang Islam lain.

4.  Orang yang gemar membicarakan aib orang  sama ada melalui tulisan, tiktok dan lain lain, sebenarnya tanpa ia sedari ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli. Semakin banyak aib yang ia sebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar itu. Allah mengingatkan dengan nada keras kepada golongan ini:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ١٩

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (An-Nur: 19)

Orang mukmin perlu menjaga agar jangan sampai mengumpat dan mengaibkan orang lain hingga menjadi penyebab diseksa di akhirat dengan mencakar dada dan muka sendiri.

Banyakkanlah berdoa agar dijauhi fitnah di dunia di alam kubur juga di hari akhirat:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

“Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”


Monday, February 5, 2024

Diseksa Di alam Kubur

  Isnin, 24 Rejab 1445H   | Diseksa Di alam Kubur

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ بَعْضِ حِيطَانِ الْمَدِينَةِ فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا فَقَالَ يُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ وَإِنَّهُ لَكَبِيرٌ كَانَ أَحَدُهُمَا لَا يَسْتَتِرُ مِنْ الْبَوْلِ وَكَانَ الْآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ دَعَا بِجَرِيدَةٍ فَكَسَرَهَا بِكِسْرَتَيْنِ أَوْ ثِنْتَيْنِ فَجَعَلَ كِسْرَةً فِي قَبْرِ هَذَا وَكِسْرَةً فِي قَبْرِ هَذَا فَقَالَ لَعَلَّهُ يُخَفَّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا

Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; Nabi SAW pernah keluar dari salah satu kebun yang ada di Madinah, lalu baginda mendengar suara dua orang yang sedang di seksa di kuburnya, setelah itu baginda bersabda: "Tidaklah keduanya diseksa kerana dosa besar namun hal itu adalah perkara yang besar, salah satu darinya adalah tidak bersuci dari kencingnya dengan sempurna manakala seorang lagi diseksa kerana selalu mengadu domba." Kemudian baginda meminta sepotong pelepah kurma yang masih basah. Baginda membelahnya menjadi dua, sepotong baginda tancapkan di kubur yang satu dan sepotong di kuburan yang lain. Baginda kemudian bersabda: 'Semoga ia boleh meringankan seksa keduanya selagi daun kurma ini belum kering.'(HR Bukhari No: 1361) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu memiliki akhlak yang sejahtera.

2.  Ada orang yang diseksa di alam kubur disebabkan akhlak buruk mereka semasa di dunia.

3.  Dua jenis penghuni kubur diseksa disebabkan tidak membasuh kencing dengan sempurna dan kesalahan mengadu domba (menimbulkan permusuhan).

4. Perbuatan namimah atau mengadu domba adalah buruk. Rasulullah SAW Ketika peristiwa Isra Mikraj telah diperlihatkan azab pengadu domba ini. Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَمَّا عُرِجَ بِيْ مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمِشُون بها وُجُوْهَهُمْ وصُدورَهم فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلاَءِ يَا جِبْرِيْلُ؟ قَالَ : هَؤُلاَءِ الَّذِيْنَ يَأْكُلُوْنَ لُـحُوْمَ النَّاسِ وَيَقَعُوْنَ فِي أَعْرَاضِهِم

“Ketika aku dinaikkan ke langit (dalam peristiwa isra’ dan Mi’raj), aku melalui satu kaum yang memiliki kuku panjang dibuat daripada tembaga, mereka mencakar muka dan dada mereka. Lalu aku bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Jibril?” Jibril AS menjawab: “Mereka adalah orang yang memakan daging manusia dan mencela kehormatan mereka.” (HR Abu Daud  No: 4878)

Jadilah kita seorang yang pembersih dan sentiasa menjauhi perbuatan mengadu domba.


Sunday, February 4, 2024

Tiga Perkara Haram dan Tiga Perkara Dibenci

Ahah, 23 Rejab 1445H |  Tiga Perkara Haram dan Tiga Perkara Dibenci

عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الْأُمَّهَاتِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنْعًا وَهَاتِ وَكَرِهَ لَكُمْ ثَلَاثًا قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ

Daripada Mughirah bin Syu'bah RA dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah 'azza wajalla mengharamkan kalian menderhakai seorang ibu, mengubur anak perempuan hidup-hidup, dan tidak suka memberi dan suka meminta-minta. Dan membenci atasmu tiga perkara; mengatakan sesuatu yang tidak jelas sumbernya, banyak bertanya dan menyia-nyiakan harta." (HR Muslim No 3237) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Antara perkara yang diharamkan keatas seorang Muslim:

a.  Derhaka kepada ibu

b.  Menanam anak perempuan hidup-hidup

c.  Tidak suka memberi (bakhil, sombong & tidak menunaikan hak harta seperti zakat, sedekah) dan suka meminta-minta

Allah benci tiga sifat jika dilakukan oleh seorang Muslim:

a.  Mengatakan sesuatu yang tidak jelas sumbernya (sekadar copy & paste) @ suka forward tanpa disahkan kebenarannya.

b.  Banyak bertanya (bertanya pada perkara yang tidak perlu dan mendatangkan kesukaran kepadanya).

c.  Menyia-nyiakan harta (boros dan membazir)

Jauhilah sifat buruk yang diharamkan serta akhlak keji dalam hidup kita.


Saturday, February 3, 2024

Allah Mengangkat Darjat Orang Pemurah dan Pemaaf

 Sabtu, 22 Rejab 1445H |  Allah Mengangkat Darjat Orang Pemurah dan Pemaaf 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah tidak akan mengurangi harta. Allah pasti menambahkan kemuliaan kepada seorang hamba yang memiliki sifat memaafkan. Tidak ada balasan bagi seseorang yang rendah hati kepada Allah, kecuali Allah mengangkat darjatnya”  (HR Muslim No: 4689) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sedekah dalam apa jua bentuk seperti wang ringgit, barangan, makanan tidak sama sekali mengurangkan harta malah menambahkannya.

عَنْ أَسْمَاءَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَنْفِقِي وَلَا تُحْصِي فَيُحْصِيَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَلَا تُوعِي فَيُوعِيَ اللَّهُ عَلَيْكِ

Dari Asma RA Rasulullah SAW bersabda: Bersedekahlah, jangan engkau menghitung-hitungnya, agar Allah tidak menghitung-hitung pemberian-Nya kepadamu dan janganlah engkau mengumpul-ngumpulkannya (tidak bersedekah) agar Allah tidak kikir kepadamu” (HR Bukhari No: 2402)  Status: Hadis Sahih

2.  Orang yang pemaaf, Allah akan menambahkan kemuliaan untuknya di sisi Allah. Ambillah kesempatan  untuk saling bermaafan sesama kita.

3.  Pemaaf dapat menghilangkan rasa permusuhan dan memperbanyak sahabat

4.  Pemaaf akan melahirkan sifat tawaduk, menghilangkan sifat sombong dan angkuh. Firman Allah:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ (١٩٩)

Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh. (Al-A’raf 7:199)

5.  Orang yang rendah hati, Allah mengangkat darjat kepada orang yang tawadukk.

Tawaduk ialah bersikap rendah hati iaitu sifat yang diperintahkan di dalam Islam. Di dalam Al-Quran Allah berfirman:

وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan rendahkanlah dirimu kepada kaum mukminin yang mengikutimu.” (Al Hijr: 88)

Marilah kita jadi pemurah, pemaaf dan rendah hati


Friday, February 2, 2024

Jaminan Masuk Syurga

Jumaat, 21 Rejab 1445H   | Jaminan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah bertanya: "Siapakah di antara kalian yang pagi ini sedang berpuasa?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menghantar jenazah?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah memberi makan orang miskin?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menjenguk orang sakit?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah semua itu ada pada seseorang kecuali dia pasti akan masuk syurga." (HR Muslim No: 1707) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syurga disediakan untuk mereka yang beriman dan melakukan amal yang soleh.

2.  Abu Bakar adalah contoh sahabat Rasulullah SAW yang menunjukkan amal soleh.

3.  Melaksanakan ibadat puasa adalah sebahagian daripada ibadat peribadi setiap Muslim sebagai bukti ketaatan dan keikhlasan seseorang kepada Allah.

4.  Menghantar jenazah, memberi makan kepada orang miskin dan menjenguk orang sakit merupakan kewajipan Muslim kepada masyarakat. Ia adalah sebahagian daripada penunaian tanggungjawab terhadap hak orang lain apabila kita hidup bermasyarakat.

5.  Mukmin yang melaksanakan kewajipan ibadat individu seperti solat, puasa, zakat serta kewajipan untuk cakna kepada masyarakat seperti ziarah orang sakit, menolong orang susah, pasti akan masuk syurga.

Marilah kita menyantuni orang yang lemah seperti golongan fakir dan miskin, orang yang sakit juga anak yatim. Hidupkan budaya menziarahi atau bertanya khabar kerabat, sahabat, teman, jiran, rakan kita yang kurang sihat.


Thursday, February 1, 2024

Doa Mohon Keampunan dan Keselamatan

Khamis, 20 Rejab 1445H  | Doa Mohon Keampunan dan Keselamatan

عن ابن عمر رضي الله عنهما قَالَ: لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يدع هؤلاء الكلمات إذا أصبح وَإذا أَمْسَى: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Daripada Ibn Umar RA berkata: Nabi SAW tidak pernah meninggalkan doa-doa ini pada waktu petang dan pagi: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) pada agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku. Ya Allah! Jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar (dalam keadaan tidak sedar) dari bawahku.” (HR Abu Daud No: 5074) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut sentiasa berdoa memohon kepada Allah kerana ia adalah sebahagian daripada ibadah.

2.  Antara doa seorang Muslim adalah memohon keampunan iaitu  pelepasan daripada melakukan dosa dan memohon afiyah iaitu keselamatan..

3.  Syarah Sunan Ibn Majah menjelaskan: memohon ‘afiyah adalah memohon  keselamatan daripada sebarang kerosakan dan juga kesusahan. Menutup aib bermaksud menutup apa-apa yang memalukannya dan tidak disukai apabila ia dilihat oleh orang lain. Adapun, berilah ketenteraman di dalam hatiku bermaksud ketenangan hati daripada perasan takut, berbangga dan sebagainya. [Lihat: Syarah Sunan Ibn Majah, 1/276]

4.  Menurut Imam al-Nawawi: makna ‘afiyah di dalam doa di atas, adalah satu lafaz umum yang mana terkandung di dalamnya menolak segala perkara yang tidak baik pada badan dan batin serta agama sama ada di dunia dan juga di akhirat. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 46/12]

5.  Syeikh al-Munawi menjelaskan: ‘afiyah bermaksud keselamatan (kesejahteraan) daripada penyakit-penyakit dan bala. Ia juga menghimpunkan di antara dua kesejahteraan iaitu di dunia dan agama. Selain itu, ‘afiyah akan menolak penyakit-penyakit dunia yang ada di hati dan juga yang berada di badan. [Lihat: Faidh al-Qadir, 107/4]

6.  Doa ini memohon keselamatan dan kesejahteraan pada agama daripada segala bentuk fitnah, pada tubuh badan daripada segala penyakit sama ada penyakit hati atau sebagainya dan kepada pada ahli keluarga dan harta daripada segala bala dan musibah. Hal ini termasuklah perlindungan daripada pelbagai wabak penyakit.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Marilah kita amalkan doa ini. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesejahteraan yang berpanjangan serta menjauhkan kita daripada segala perkara yang tidak baik sama ada di dunia mahupun di akhirat.