Friday, December 30, 2016

Kisah Putera Abu Thalhah

Jumaat, 30 Rabiulawal 1438H: Dari Anas r.a., katanya: "Putera Abu Thalhah sakit, dan menyebabkan dia meninggal dunia; sedangkan Abu Thalhah tidak di rumah ketika itu. Setelah isteri Abu Thalhah tahu bahawa puteranya telah meninggal dunia, maka dipindahkannya mayat anaknya itu ke tepi, kemudian disiapkannya makanan (untuk suaminya yang tidak lama lagi akan pulang).

Ketika Abu Thalhah telah datang, ia bertanya, "Bagaimana halnya sakit anak kita?" 

Isterinya mula-mula diam saja. Kemudian ia menjawab, "Saya harapkan mudah-mudahan ia senang." 

Abu Thalhah mengira bahawa isterinya berkata sebenarnya, lalu ia pergi tidur. Paginya, sesudah ia mandi dan akan berangkat, barulah isterinya memberi tahukan bahawa puteranya telah meninggal dunia. Maka disolatkannya mayat anaknya itu bersama-sama dengan Rasulullah saw. dan diceritakannya kepada beliau peristiwa yang dialaminya tentang kematian anaknya itu. Rasulullah bersabda kepadanya, "Semoga Allah swt. memberi berkah kepada anda berdua pada malam itu."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, December 9, 2016

Apabila Kejahatan Bermaharajalela

Jumaat, 9 Rabiulawal 1438

Balasan Syurga

Jumaat, 9 Rabiulawal 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Masa dari satu umrah ke umrah berikutnya adalah masa Penghapusan dosa.

Dan ganjaran haji yang mabrur tiada lain hanya syurga."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, December 8, 2016

Bersihkanlah Harum-Harumanmu

Khamis, 8 Rabiulawal 1438H: Dari Abu Ya'la r.a., katanya ia pernah mengatakan kepada Umar: 

"Ceritakanlah kepada saya keadaan Nabi saw. ketika wahyu turun kepada beliau."

Kata Umar, "Pada suatu waktu, ketika Nabi saw. dan para sahabat berada di Jikranah, datang seorang laki-laki kepada beliau dan berkata: "Hai, Rasulullah! Bagaimana pendapat Tuan tentang orang yang ihram untuk umrah, padahal dia memakai harum-haruman?"

Nabi diam seketika, dan ketika itu wahyu turun. Umar memberi isyarat kepada Yaala, lalu ia datang dekat. Lalu Rasulullah saw. diselubungi dengan kain dan memasukkan kepalanya ke dalam selubung itu. Kelihatan muka Rasulullah saw. merah dan beliau seperti mendengkur.

Setelah wahyu selesai turun beliau bersabda: "Mana orang yang bertanyakan tentang Umrah"

Laki-laki yang bertanya tadi dihadapkan kepada Nabi saw. Sabda beliau, "Bersihkanlah harum-harumanmu itu sampai tiga kali dan bukalah bajumu, dan kerjakanlah umrah sebagai mengerjakan haji."

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, December 7, 2016

Umrah & Haji Rasulullah

Rabu, 7 Rabiulawal 1438H: Dari Qatadah r.a., katanya dia bertanya kepada Anas: "Berapa kali Nabi saw. mengerjakan 'Umrah?"

Jawabnya, "Empat kali: 'Umrah Hudaibiyah, iaitu bulan Dzul Qaidah ketika beliau dihalangi kaum musyrik; 'Umrah pada tahun berikutnya dalam bulan Dzul Qa-idah, sesuai dengan perjanjian damai dengan mereka; dan Umrah Ji'ranah. iaitu ketika membahagi rampasan, yang menurut dugaanku rampasan Hunain."

Tanya ku, "Berapa kali beliau mengerjakan Haji?"

Jawabnya, "Satu kali."

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, December 6, 2016

Ikhlas Kerana Allah

Selasa, 6 Rabiulawal 1438H: Dari 'Itban bin Malik r.a., iaitu seorang sahabat Nabi saw. dari golongan Ansar yang turut dalam peperangan Badar, dia datang kepada Nabi saw. lalu berkata: "Ya, Rasulullah! Aku sudah buta. Sedangkan aku menjadi imam solat bagi wargaku. Apabila hari hujan, air mengalir di lembah antara rumahku dengan rumah-rumah mereka, sehingga aku tak dapat datang ke masjid mengimami mereka solat berjemaah. Kerana itu aku mengharapkan semoga anda sudi datang ke rumahku, lalu di sana anda solat di tempat ku solat dan kemudian menjadikannya Mushalla."

Jawab Rasulullah saw. "Baiklah! Insya Allah aku akan datang."

Besok, ketika hari telah agak siang, Rasulullah saw. dan Abu Bakar Siddiq datang. Beliau minta izin masuk. Lalu ku persilakan. Tanpa duduk lebih dahulu beliau langsung menanyakan. "Di manakah anda sukai aku solat di rumah mu ini?"

Aku menunjuk ke salah satu pujok rumah. Rasulullah berdiri di sana lalu beliau takbir. Kami berdiri di belakang beliau, mengikuti beliau solat dua rakaat. Kemudian memberi salam. Sesudah itu kami jamu beliau dengan hidangan sup daging yang telah kami sediakan untuk beliau. Penduduk kampung berkumpul semuanya ke rumah ku.

Seorang di antaranya bertanya, "Mana Malik bin Dukhsyun?"

Yang lain menjawab, "Dia itu munafik! Dia tidak suka kepada Allah dan Rasul-Nya."

Maka bersabda Rasulullah saw., "Jangan berkata begitu terhadapnya. Bukankah anda telah menyaksikannya mengucapkan kalimah "La ilaha illallah" dengan ikhlas kerana Allah?"

Jawab mereka, "Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih tahu."

Kami mendapat kesan, bahawa Rasulullah saw. mengarahkan nasihatnya itu kepada orang-orang munafik. Sabda beliau, "Sesungguhnya Allah mengharamkan api neraka bagi orang-orang yang telah mengucapkan kalimah "La ilaha illallah" dengan ikhlas kerana Allah. "

Hadis Sahih Muslim

Monday, December 5, 2016

Kecuali Hutang

Isnin, 5 Rabiulawal 1438H: Dari Abu Qatadah r.a. katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. berdiri di hadapan para sahabat, lalu bersabda: "Sesungguhnya Jihad fi sabilillah serta iman kepada Allah, adalah amal yang paling utama." 

Maka berdiri seorang lelaki seraya bertanya, "Ya, Rasulullah! Bagaimana jika aku mati dalam jihad fi sabilillah, hapuskah dosa-dosaku?" 

Jawab Rasulullah saw., "Hapus, jika engkau mati, sedangkan engkau seorang yang sabar dan ikhlas kerana Allah, engkau mati kerana maju bertempur tidak kerana lari dari pertempuran," 

Kemudian beliau bertanya, "Apa tanyamu tadi? 

Maka diulangnya pertanyaannya, "Bagaimana jika aku mati dalam jihad fi sabilillah, hapuskah dosa-dosaku?" 

Jawab Rasulullah, "Ya, hapus, jika engkau seorang pejuang yang sabar, ikhlas kerana Allah semata-mata, mati kerana maju bertempur, tidak kerana lari dari pertempuran. Kecuali yang tidak hapus ialah hutang. Begitulah kata Jibril kepada ku."

Hadis Sahih Muslim

Friday, December 2, 2016

Kentut!

Jumaat, 2 Rabiulawal 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda :

"Apabila kamu merasa ada angin dalam perutmu, kemudian kamu ragu apakah angin itu keluar atau tidak, maka janganlah keluar dari masjid sebelum jelas terdengar suara (kentut) atau mencium bau."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, December 1, 2016

Dilemparkan Ke Neraka

Khamis, 1 Rabiulawal  1438H: Dari Usamah bin Zaid r.a. katanya dia ditanya orang: "Mengapa Anda tidak menghadap kepada Usman supaya Anda dapat berbicara dengannya?"

Jawab Usamah, "Apakah kamu mengira bahawa aku tidak berani berbicara dengannya kecuali bila kamu dengar?

Demi Allah, aku telah berbicara empat mata dengannya tanpa menyebut-nyebut perkara yang tidak ku sukai, iaitu supaya aku sebagai orang pertama yang memulainya, dan aku tidak pernah berkata kepada seseorang bahawa dia sebagai Amir (penguasa). Sesungguhnya dia adalah orang yang terbaik. Iaitu setelah aku mendengar Rasulullah saw. bersabda:

"Kelak di hari kiamat seseorang akan dihadapkan, lalu dia dilemparkan ke neraka. Maka bertaburan isi perutnya keluar, lalu diputar-putar seperti keldai memutar kilangan.

Maka berkumpul dekatnya penduduk neraka, lalu mereka bertanya, "Hai Fulan! Apa dosamu? Tidakkah engkau menyuruh dengan yang makruf (baik) dan mencegah yang mungkar?"

Jawabnya, "Ada! Aku menyuruh yang makruf tetapi aku sendiri tidak melaksanakan. Dan aku melarang yang mungkar tetapi aku sendiri melanggarnya."

Hadis Sahih Muslim