Thursday, March 31, 2011

Sujud Syukur Dan Sujud Sajdah

Khamis, 26 Rabiulakhir 1432H: Dari Abu Bakar r.a bahawa “Nabi Muhammad SAW biasanya apabila menerima berita yang mengembirakan baginda terus sujud kepada Allah.”(HR Ahmad )

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:”Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, “Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka.” (HR al-Bukhari dan Muslim)


Keterangan Hadis:

1. Sujud Syukur sunat dilakukan apabila mendapat sesuatu nikmat yang meliputi sebarang perkara yang baik dan mengembirakan.


2. Sujud ini juga sunat dikerjakan apabila kita melihat sesuatu bala bencana dan kita diselamatkan daripadanya.


3. Cara melakukan sujud syukur itu ialah dengan sujud sekali sahaja dan dilakukan di luar sembahyang.


4. Tilawah ertinya bacaan. Maka sujud tilawah ertinya adalah sujud bacaan. Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat iaitu apabila dibaca ayat tersebut, kita disunatkan bersujud. Ayat inilah disebut ayat sajdah dan sujudnya disebut sujud tilawah.


5. Sujud tilawah disunatkan tidak hanya pada waktu solat tetapi juga di luar solat. Namun dalam solat berjamaah, sekiranya imam tidak melakukannya, maka makmumnya juga tidak perlu bersujud kerana makmum wajib selalu menyesuaikan gerakannya dengan imam iaitu tidak boleh melakukan gerakan yang tidak dilakukan oleh imam.


6. Sujud tilawah juga boleh ditangguhkan. Misalnya ketika sedang di jalanan tiba-tiba kedengaran seseorang membaca ayat sajdah. Maka tidak diharuskan sujud seketika itu juga kerana untuk melakukannya, seseorang itu mestilah dalam keadaan suci dan berada di tempat yang suci, sama seperti mahu mengerjakan solat.


7. Ayat-ayat sajdah itu ialah surah as-Sajdah:15, al-A'raaf: 206, ar-Ra'd: 15, an-Nahl: 49, al-Israa': 107, Maryam: 58, al-Haj: 18, al-Furqaan: 60, an-Naml: 25, Fussilat: 38, al-'Alaq:19, an-Najm: 62, Insyiqaaq: 21, Saad: 24.


8. Cara melakukan sujud sajdah di luar solat menurut mazhab Syafi’e ialah dengan mengangkat tangan sambil bertakbir dan terus sujud dan membaca sepotong ayat ketika sujud yang maksudnya: “Aku bersujud dengan wajahku kepada Dzat yang telah merupakan dan menciptakannya, dan menciptakan pendengaran dan penglihatannya dengan kekuatan-Nya. Maha memberkati Allah, sebaik-baik Pencipta". Kemudian kembali duduk dan memberi salam.


9. Manakala ketika di dalam solat pula cara melakukan sujud sajdah ialah sebaik sahaja membaca ayat sajdah, hendaklah terus bersujud dan membaca bacaan seperti di atas (di dalam sujud). Setelah itu berdiri semula meneruskan bacaan seterusnya

10. Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Rasulullah s.a.w membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda:”Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T.” (HR Muslim)

Wednesday, March 30, 2011

Jin dan Syaitan

Rabu, 25 Rabiulakhir 1432H: Dari Abdullah bin Mas’ud r.a katanya:”Tidak seorangpun di antara kamu melainkan telah ada jin yang ditugaskan pemimpinnya untuk selalu menggodanya:”Para sahabat bertanya:”Anda juga ya Rasulullah?” Jawab baginda:”Ya. Aku juga. Tetapi Allah selalu melindungiku dari godaan mereka sehingga mereka yang menggodaku akhirnya Islam (menyerah). Kerana itu mereka tidak berani menyuruhku melainkan untuk kebaikan.” (HR Muslim)


Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya di Madinah terdapat sekelompok jin yang telah Islam. Maka sesiapa yang telah melihat jin-jin ini, beri izinlah dia tinggal selama tiga hari. Jika sesudah tiga hari telah diperingatkan supaya pergi, tetapi dia masih kelihatan, bunuhlah. Kerana itu adalah syaitan.” (HR Muslim)


Rasulullah s.a.w memerintahkan daku dengan bersabda: "Hendaklah engkau memohon perlindungan Allah daripada angkara syaitan-syaitan manusia dan jin". Aku pun meminta penjelasan Baginda s.a.w, dengan berkata: "Ya Rasulullah! Adakah manusia juga menjadi syaitan-syaitan?" Baginda menjawab: "Ya! Benar!". ( HR Abu Zar r.a)


Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah.” (H.Riwayat Muslim)


Daripada Abdullah ibn Abbas r.ahuma, bahawa rasulullah pernah berdoa, “ ya Allah aku berserah kepada engkau, aku beriman kepada engkau, aku bertawakal kepada engkau, aku kembali kepada engkau dan aku berjuang kerana engkau. Ya Allah ,aku berlindung dengan kemuliaan dan kekuatan engkau, tiada Tuhan yang aku sembah melainkan engkau, janganlah aku disesatkan . Engkau yang hidup dan tidak akan mati sedangkan jin dan manusia semuanya akan mati ( Muttafiqun alaih) (H.Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Pengajaran hadith:

1. Setiap manusia yang lahir disertakan 'qarin' oleh Allah yang bertugas sebagai 'penggoda' seseorang itu sejak seseorang itu lahir hinggalah saat kematiannya.


2. Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith di atas, Qarin adalah dari golongan jin. Ia sentiasa mengajak manusia yang didampingi ke arah kejahatan. Sedangkan sifat manusia itu lemah, mudah lupa menjadi penyebab terjerumusnya manusia ke lembah nista dan kemaksiatan akibat tergoda dengan hasutan qarin ini.


3. Hanya Rasulullah s.a.w sahaja yang tidak dapat digoda oleh Qarin. Dalam al-quran. Allah SWT berfirman: "Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-quran), Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi qarin (teman yang selalu menyertainya).(az-Zukhruf:36)

4. Kita diseru agar memohon perlindungan Allah supaya dijauhkan dari godaan syaitan.


5. Sesiapa yang menjadikan syaitan sebagai teman hidupnya (mengikut hasutan) maka ia tergolong di kalangan mereka (sekutu syaitan) malah merekalah yang dikenali sebagai “syaitan manusia”.


6. Maka berwaspadalah dalam menjalinkan hubungan sesama manusia, janganlah sekali-kali terikut atau berkompromi dengan “syaitan manusia” ini kerana kesudahannya kita akan ditimpa malang (kemudharatan) akibat daripada kejahatan mereka.


7. Rumah adalah sebahagian daripada kesempurnaan nikmat pemberian Allah SWT kepada manusia. Rumah menjadi tempat tinggal, tempat berehat dan banyak lagi manfaat lain yang boleh diperoleh daripadanya. Itulah yang dikatakan Ibnu Katsir ketika mentafsirkan surat An Nahl ayat 80 “Dan Allah menjadikan bagi mu rumah-rumah mu sebagai tempat tinggal”. Justeru mereka yang dikurniakan kemampuan memiliki rumah sendiri tidak kira besar mahupun kecil perlu mensyukurinya.


8. Islam mengajarkan kita tata cara tertentu dalam mendirikan rumah atau menduduki rumah baru iaitu membanyakkan membaca surat Al Baqarah dari ayat pertama sehingga ayat terakhir. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Bacalah surat al- Baqarah di rumah kalian, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak akan memasuki sesebuah rumah yang di dalamnya dibacakan surat al-Baqarah”


9. Surah al-Baqarah menceritakan asal usul kejadian manusia, serta asal usul kemurkaan Allah kepada syaitan. Hakikat inilah yang melemahkan syaitan apabila kita membaca surah tersebut. Ia mendedahkan kelemahan mereka dan kehormatan kita yang dilantik oleh Allah SWT sebagai khalifah di dunia. Dengan membacakan surah al-Baqarah suasana rumah akan menjadi lebih tenang dan akan dijauhi daripada gangguan syaitan.


10. Jangan pula ketika memasuki rumah baru kita membawa masuk segala perkara baru yang bercanggah dengan agama seperti mengamalkan perkara khurafat dan ritual-ritual seperti memanggil dukun dan paranormal agar rumah terhindar daripada gangguan syaitan atau perkara-perkara ghaib. Semua ini jelas merupakan perbuatan syirik dan mengundang kemurkaan Allah!


11. Ketika di rumah sama ada rumah baru atau yang sudah lama didiami jangan sekali-kali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang syaitan untuk masuk dan tinggal di dalamnya seperti membawa masuk perkara-perkara haram dan maksiat, menyimpan patung berhala dan sebagainya. Mahukah kita mendiami rumah bersama-sama syaitan?


12. Ketahuilah bahawa syaitan sekali-kali tidak akan pernah berhenti berusaha untuk memasuki rumah orang-orang yang beriman dengan tujuan untuk menyesatkannya.

Tuesday, March 29, 2011

Mualaf

Selasa, 24 Rabiulakhir 1432H ;-Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a :” Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:” Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya.” (HR al-Bukahri)

Huraian


1. Mualaf ialah orang yang baru berjinak-jinak Islam. Dari segi bahasa mualaf bererti lemah. Istilah ini lalu disandarkan kepada mereka yang baru saja memeluk Islam dan masih lemah pemahamannya tentang Islam.

2. Kebanyakan daripada kita tidak memahami keperluan mualaf. Mualaf sebenarnya mengharapkan teman dan sahabat yang dapat memberi sokongan moral dan perlindungan dari kecaman keluarga mahupun saudara, kerana perpindahan agama bukanlah perkara yang mudah sebaliknya memerlukan banyak pengorbanan.

3. Justeru perlu ada pihak yang menyelia dan membimbing golongan yang baru memeluk Islam ini agar mereka tidak kembali murtad. Contohnya menziarahi mereka supaya tidak terabai dan memantau perkembangan mereka. Kebanyakan kes yang berlaku hari ini, orang memeluk Islam sekadar untuk mencukupkan syarat membolehkannya berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam. Bukan dengan niat yang benar-benar ikhlas mahu mentauhidkan Allah SWT.

4. Setiap orang Islam juga bertanggungjawab untuk membantu dan membimbing mereka mengenal Islam dengan sempurna. “Daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Agama Islam ditegakkan atas lima perkara, iaitu mengucap dua kalimah syahadat, mendirikan sembahyang fardhu, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah (jika mampu), dan berpuasa pada bulan Ramadhan.”(HR al-Bukhari dan Muslim)

5. Bagi mualaf yang ikhlas ingin memeluk Islam pula, mereka akan melaksanakan ajaran Islam secara bertahap. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada antara golongan mualaf ini yang jauh lebih taat daripada mereka yang sejak lahir memeluk Islam. Golongan inilah yang disebutkan di dalam hadis di atas.

Monday, March 28, 2011

Zina

Isnin,23 Rabiulakhir 1432H:- Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:” Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam neraka dapat mengganggu ahli neraka kerana sangat busuknya. ” (H.Riwayat al-Bazzar)


Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda:” Ada tiga golongan di mana Allah tidak akan bercakap dengan mereka, tidak membersihkan mereka daripada dosa,”- kata Muawiyah, “juga tidak akan memandang mereka (mengendahkan mereka), bahkan mereka akan mendapat siksa yang pedih iaitu: 1) Orang tua penzina; 2) Raja (penguasa) yang pembohong ; 3) si miskin yang sombong.” (HR Muslim)


Dari Anas r.a katanya:”Akan kusampaikan kepadamu sebuah hadith yang tidak akan disampaikan orang kepadamu sepeninggalanku. Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Di antara tanda-tanda kiamat ialah: berkurangnya ilmu, meratanya kebodohan, berlakunya (merebaknya) perzinaan dan banyaknya perempuan serta sedikitnya lelaki sehingga bagi lima puluh perempuan hanya seorang pengawalnya.” (HR Bukhari)


Dari Abdullah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak halal darah seorang muslim yang mengakui bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan mengakui aku Rasulullah, melainkan dengan tiga perkara: 1) Seorang janda yang berzina, 2) seorang pembunuh yang harus dibunuh, 3) seorang yang keluar dari dari agamanya (Islam), lalu dia berpisah dari jamaah muslimin.” (HR Muslim)


Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan katanya : “Aku bertanya : “ Ya Rasulullah! Manakah satu dosa yang paling besar? Baginda bersabda : “Engkau menjadikan sekutu bagi Allah sedangkan Ia yang menciptakan engkau. Aku bertanya : “ Kemudian apa ?” Baginda bersabda : “ Engkau membunuh anak mu kerana takut ia makan bersama mu. Aku bertanya : “ Kemudian apa ?” Baginda bersabda : “ Engkau berzina dengan isteri jiran mu.” (HR al-Bukhari, Muslim, an-Nasaie dan at-Tirmidzi)


Keterangan Hadis :


i) Di antara sifat orang-orang mukmin yang sebenar adalah menjaga kemaluannya dari perbuatan zina kerana zina adalah termasuk dalam kategori dosa-dosa besar (al-kaba'ir) di samping menyekutukan Allah, meminum minuman keras, berjudi, mencuri dan membunuh.


ii) "Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Al-Israa': 32) Larangan zina yang digunakan di dalam al-Quran ini iaitu ''Janganlah kamu mendekati zina, bukan ''Janganlah melakukan zina'' mempunyai makna yang sangat mendalam iaitu bukan hanya perzinaan sahaja dilarang, tetapi segala-gala yang menjadi pintu ke arah itu adalah dilarang sama sekali seperti memandang aurat wanita, mendengar perkara yang boleh menaikkan nafsu seperti kelunakan suara (rayuan atau pujukan), bergaul bebas antara lelaki dan wanita, berdua-duaan dengan orang yang bukan muhrim dan sebagainya.


iii) Etika berpakaian juga harus dititikberatkan di mana pakaian seorang muslimah itu wajib memenuhi fungsi dasarnya iaitu menghindarkan seseorang dari dorongan berahi kerana jika aurat tidak ditutup dengan sempurna ia akan mengundang berlakunya kejadian rogol atau perbuatan zina yang boleh merosakkan maruah individu yang terlibat.


iv) Hari ini seakan menjadi “trend”, kebanyakan pakaian yang dipakai oleh golongan muda (ada juga yang telah berumur) terlalu pendek, ketat dan nipis Fenomena seperti ini patut dicegah demi kesejahteraan seluruh masyarakat.


v) Segala-saluran yang dikira boleh membawa manusia kepada perzinaan seperti rumah-rumah pelacuran, disko-disko, rumah-rumah urut dan sebagainya hendaklah dicegah ditutup keseluruhannya. Jika tidak akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini.


vi)Islam melarang keras daripada melakukan perbuatan zina yang boleh mencemarkan keturunan manusia


vii) Menolak daripada melakukan maksiat apalagi zina merupakan tanda kekuatan iman seseorang yang berjihad melawan nafsunya dan bisikan syaitan yang menggoda. Oleh itu mereka yang berjaya melakukannya adalah orang yang teguh imannya, tidak mudah goyah untuk melakukan sebarang kejahatan


viii) Orang yang telah melakukan dosa hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha dan meminta ampun kepada Allah kerana pintu taubat sentiasa terbuka sampai terbitnya matahari dari barat.

Friday, March 25, 2011

Fitnah

Jumaat, 20Rabiulakhir 2010; Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita” (Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Syaitan akan menghantar tentera-tenteranya untuk memfitnah manusia, manusia yang lebih tinggi kedudukan akan mendapat fitnah syaitan yang lebih hebat. Syaitan akan datang kepada seseorang kamu dan berkata:”Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini? Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini ? Sehingga syaitan akan berkata:” Siapakah yang telah menjadikan Tuhan kamu?” Apabila perkara ini berlaku kepada kamu maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”( H.Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka.” (HR Muslim)

Ibnu Abbas menceritakan :”Nabi SAW berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran oleh baginda suara dua orang sedang disiksa dalam kuburnya. Maka bersabda Rasulullah SAW :”Keduanya disiksa bukanlah kerana dosa besar.” Kemudian baginda melanjutkan perkataannya,:”Yang seorang disiksa kerana kencing di tempat terbuka) dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan.” Sesudah itu baginda menyuruh supaya mengambil pelepah tamar lalu dipatah dua oleh baginda dan diletakkan di atas kedua kubur itu masing-masing satu pelepah. Seseorang pun bertanya:”Ya Rasulullah! Mengapa kamu lakukan seperti itu?” Jawab baginda “Mudah-mudahan kedua-duanya mendapat keringanan selama pelepah tamar itu tidak kering.” (HR Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Tanda hari kiamat semakin dekat, dihapuskan (dicabut) ilmu (agama), lalu timbul fitnah (bala bencana atau kekacuan). Di mana-mana dijumpai kebakhilan serta banyak pembunuhan.” (HR Muslim )

Keterangan Hadis:

1. Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah SWT telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah.

2. Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka.

3. Oleh itu Rasulullah SAW menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi.

4. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.

5. Lintasan hati tidak akan memudaratkan iman yang ada pada seseorang.

6. Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan. Oleh itu sebarang bisikan yang menafikan segala kesempurnaan Allah wajib disanggah agar seseorang itu bebas daripada kesesatan yang meracuni akal fikirannya. Mintalah perlindungan daripada Allah daripada bisikan Syaitan.

7.Kemungkaran dan kemaksiatan adalah jalan yang memandu manusia ke arah kesesatan. Ia merupakan perangkap syaitan dan Iblis yang mahukan manusia tergolong sebagai makhluk yang menderhaka seperti mereka.

8. Fitnah syaitan akan mendatangi sesiapa sahaja. Hanya iman yang teguh dan mantap sahaja dapat menangkisnya. Oleh itu sebagai pendindingnya kita hendaklah sentiasa membiasakan diri dengan berzikir dan beristighfar agar hati tidak mudah lalai dan terpesong kepada perkara yang mendatangkan dosa dan maksiat.

9. Orang yang berkedudukan tinggi, berkuasa akan lebih hebat didatangi fitnah oleh syaitan kerana mereka boleh menyebabkan bencana yang besar kepada orangramai.

10. Bencana fitnah menyebabkan berlakunya permusuhan dan yang lebih teruk lagi membawa kepada pembunuhan sesama sendiri, anak beranak, saudara mara dan sahabat handai. Mereka akan diseksa didalam kubur lagi.

11. Semakin hampirnya Kiamat maka semakin banyak fitnah yang muncul. Mereka yang cetek iman dan ilmunya akan hanyut dengan fitnah ini kerana tidak tahu membezakan yang benar dan yang bathil.

Thursday, March 24, 2011

Syirik

Khamis,19 Rabiulakhir 1432H; Rasullah s.a.w bersabda: " Sesiapa mati dalam keadaan ia melakukan sebarang syirik terhadap Allah, masuklah dia ke dalam neraka."(HR Abdullah bin Mas'ud r.a)

Rasullah s.a.w bersabda: " Jauhkan dan singkirkanlah perkara-perkara yang membinasakan." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: " Apakah dia perkara-perkara itu ya Rasulullah?'' Baginda s.a.w menjawab: " (Salah satu yang terbesar di antaranya) ialah melakukan syirik terhadap Allah…."(HR Abu Hurairah r.a)

Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: " Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah?" Baginda s.a.w menjawab: "( Syirik yangkecil itu) ialah riak - Allah Taala akan berfirman pada hari Kiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing: " Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan riak di dunia dahulu ( untuk menunjukan kepada meraka ), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?"( HR Mahmud bin Labid r.a )

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambatkan hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik.”(H Riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari.” (H.Riwayat Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:“Adakah kamu mahu aku memberitahu kamu tentang suatu perkara yang aku takuti ke atas kamu daripada dajal? Mereka menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah! Bagindapun berkata:” Syirik khafi iaitu seorang lelaki bangun bersembahyang lalu dia memperelokkan sembahyangnya kerana ada orang yang memerhatikannya.” (H Riwayat Ibnu Majah)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan.Baginda ditanya:”Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda berkata:" Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.”(H.Riwayat Muslim)

Dari Abdullah bin Umar r.a katanya,:”Tatkala turun ayat yang berbunyi:”Mereka yang beriman dan tidak mencampur-baurkan iman mereka dengan aniaya, mereka akan beroleh ketenteraman dan akan dipimpin (Allah). Bertanya para sahabat Rasulullah s.a.w:”Siapakah di antara kami yang tidak aniaya terhadap dirinya sendiri? Maka diturunkan Allah ayat:”Sesungguhnya syirik (mempersekutukan Allah) adalah aniaya yang amat besar.)” (HR al-Bukhari)

Dari ‘Auf bin Malik al-Asyja’i r.a katanya:”Kami biasa melakukan mantera pada masa jahiliyah. Lalu kami bertanya kepada Rasulullah s.a.w:”Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat anda tentang mentera ?” Jawab baginda:”Peragakanlah (bacalah) menteramu itu di hadapanku. Mentera tidak ada salahnya selama tidak mengandungi syirik.” (HR Muslim)

Pengajaran hadis:

1. Kita diperintahkan menjauhi dosa syirik kerana dosa orang yang mensyirikkan Allah SWT amat besar. Antaranya ialah seperti yang disebutkan di dalam firman Allah yang maksudnya: ”Orang yang menyekutukan Allah, diharamkannya syurga atasnya dan tempat kembalinya adalah neraka. Dan orang-orang zalim itu tidak memiliki para penolong.” (Al Ma’idah: 72)

2. Syirik dikatakan sebagai satu kezaliman yang sangat besar kerana manusia yang diciptakan Allah, diberi rezeki oleh Allah, kehidupan oleh Allah, tetapi ia tidak tahu berterima kasih bahkan menyekutukan Allah dengan yang lain. Rasulullah SAW telah mengajarkan sebuah doa agar terhindar daripada dosa syirik iaitu: “Ya Allah, aku meminta perlindungan kepada-Mu dari perbuatan menyekutukan Engkau dengan sesuatu, sedangkan aku mengetahui hal itu. Dan aku meminta perlindungan kepada Engkau dari tindakan menyekutukan-Mu dengan sesuatu dan aku tidak tahu.”

3. Tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram di sisi Islam sekiranya ia mengandungi perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang berdasarkan sihir, memuja hantu syaitan dan jin iblis atau yang mengandungi benda-benda najis dan kotor.

4. Perbuatan ini adalah termasuk dalam perbuatan ‘syirik yang tersembunyi’ yang diertikan sebagai mengiktiqadkan sesuatu sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan yang baik atau buruk, contohnya disebabkan tangkal azimat yang digunakan itu maka seseorang itu terselamat daripada bahaya dan sebagainya.

5.Kecuali jika ia menggunakan ayat-ayat al-Quran, nama-nama Allah atau sifat-Nya atau yang berbentuk zikrullah maka yang demikian tidaklah diharamkan.

6. Di antara perbuatan syirik tersembunyi yang lain adalah seperti;
a) Menanamkan perasaan takut dan gerun kepada kekuatan sesuatu yang lain dari Allah.
b) Menumpukan harapan kepada sesuatu yang lain daripada Allah.
c) Bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada menyebut nama atau sifat Allah.
d) Mengatakan:” Kalaulah tidak kerana pertolongan dia, tentulah aku tidak berjaya” dan sebagainya.
e) Mengatakan:” Kalaulah tidak kerana ayam berkokok, polis meronda dan sebagainya tentulah rumahku dimasuki pencuri”.
f) Melakukan sesuatu amal ibadat atau membuat sesuatu pengorbanan, perjuangan, bukan kerana menjunjung perintah Allah tetapi untuk suatu tujuan yang lain.

7. Selaku umat Islam hendaklah kita menjauhi segala bentuk perbuatan yang mensyirikkan Allah kerana dosa syirik adalah dosa yang paling besar. Sebaliknya hendaklah meletakkan keyakinan bahawa segala sesuatu itu adalah bergantung pada takdir Allah dan keizinan-Nya jua.

8. Antara unsur syirik yang sering berlegar dalam kehidupan masyarakat Islam pada hari ini ialah keramat, perdukunan dan bertenung nasib.

9. Bagi seseorang dukun dan tukang ramal kebiasaannya mereka mengaku tahu tentang perkara-perkara yang tersembunyi atau bersifat ghaib sehingga banyak memberitahu tentang kejadian masa lalu kepada orang yang datang kepadanya menerusi jampinya. Sedangkan hal yang diperkatakan itu berada dalam persangkaan dan ramalan yang samar atau sekadar meneka semata-mata di mana menaruh kepercayaan seratus peratus padanya hukumnya adalah berdosa besar di sisi Islam.

10. Seorang mukmin, kita wajib percaya sepenuhnya terhadap Rukun Iman dan Rukun Islam yang menuntut agar tidak meletakkan sesuatu yang selain daripada Allah S.W.T sebagai tempat bergantung sebaliknya hendaklah memperbanyakkan usaha dan berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar memperkenankan segala apa yang dihajati atau mengelak dari segala kecelakaan yang mendatang.

11. Di antara tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu lebih suka menyembunyikan kebaikannya sebaliknya tidak suka jika kejahatannya disembunyikan. Dia melakukan kebaikan semata-mata kerana mahukan keredhaan daripada Allah S.W.T.

12. Sebaliknya riya’ pula adalah mencari sesuatu untuk keuntungan diri daripada amalan yang dilakukan di dunia sama ada untuk mendapatkan pujian, sanjungan, hadiah dan sebagainya bahkan hal ini termasuk dalam perbuatan syirik (syirik khafi).

13. Definisi perubatan Islam adalah melaksanakan amalan perubatan berdasarkan paradigma, nilai dan tatacara yang tidak bercanggahan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Ramai di kalangan umat Islam terkeliru dengan istilah perubatan sehingga terjebak ke dalam dunia syirik.

14. Islam telah memberikan panduan yang jelas bahawa semua ilmu perubatan yang mengandungi sihir (jampi mentera yang melanggar syariat), bercampur dengan amalan-amalan haram (bersemah – sembelihan korban sebagai jamu) dan amalan-amalan berdamping dengan makhluk halus yang diyakini berkuasa menentukan kesembuhan penyakit adalah syirik serta amat dilarang dalam Islam.

15. Islam meletakkan bahawa apa-apa perubatan sekalipun sama ada tradisional mahupun perubatan moden semuanya hendaklah bersandarkan kepada hukum bahawa Allah adalah Maha Berkuasa dalam menetapkan penyembuhan sesuatu penyakit. Segala macam bahan yang digunakan dalam proses perawatan tidak kira sama ada menggunakan teknologi perubatan yang telah dipermodenkan mahupun secara terapi tradisional adalah sekadar alat semata-mata. Dalam perkataan lain, segala kaedah dan ubatan yang digunakan hanyalah sebagai ´al-asbab´ dan kita wajib percaya bahawa makhluk tidak berkuasa ke atas sesuatu melainkan segalanya terletak pada ketentuan dan keizinan Allah S.W.T jua.

Wednesday, March 23, 2011

Bersangka Baik Dengan Allah

Rabu, 18 Rabiulakhir 1432H; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; "Sungguh menakjubkanku apabila melihat orang beriman. Tidak ada suatu ketetapan yang Allah putuskan untuknya melainkan semuanya baik baginya. Tatkala ia ditimpa perkara-perkara yang menggembirakan, ia bersyukur, maka itu adalah baik baginya. Tatkala ia ditimpa perkara-perkara yang memudaratkannya, ia bersabar, maka itu juga baik baginya” (Diriwayatkan dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu) -. Lihat hadis ini dalam; Tafsir Ibnu Kathir, surah Saba’, ayat 19).

Berdasarkan hadis ini kita wajib meyakini kasih sayang Allah kepada kita selagimana kita beriman kepadaNya. Wajib kita bersangka baik dengan Allah. Di dalam hadis Qudsi, Allah sendiri berfirman kepada hamba-hambaNya; "Aku adalah bergantung kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Jika ia bersangka baik (kepadaKu), kebaikanlah (yang akan Aku berikan) untuknya. Namun jika ia bersangka jahat (kepadaKu), kejahatanlah (yang akan Aku berikan) untuknya” (Riwayat Imam Ahmad dari Abi Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 6051).

Berkata Imam Ibnu al-Qayyim; di antara sebesar-besar dosa kepada Allah ialah bersangka buruk terhadapNya, kerana seorang yang bersangka buruk terhadap Allah ia bersangka dengan sangkaan yang bercanggah dengan kesempurnaan Allah yang maha qudus (suci dan bersih dari segala kekurangan) dan sangkaan itu bertentangan dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah.

Allah memberi ancaman yang berat kepada orang yang bersangka buruk sebagaimana yang Ia berikan kepada orang-orang munafik dan musyrik;“Dan supaya ia menyeksa orang-orang munafik -lelaki dan perempuan- dan orang-orang musyrik - lelaki dan perempuan- yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk (bahawa ia akan mengecewakan RasulNya). atas merekalah tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh peredaran zaman; dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka Jahannam; sedang neraka jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (al-Fath, ayat 6).(Faidhul-Qadier, hadis no. 1933)

Kita dapat lihat dalam ayat di atas bahawa bersangka buruk berhadap Allah ialah sikap orang munafik dan musyrik. Kerana sikap itulah mereka dimurkai dan dilaknat oleh Allah. Berbalik kepada soalan saudara di atas, bukan ujian yang menandakan laknat Allah ke atas kita, akan tetapi tatkala kita berputus asa dari rahmat Allah dan bersangka buruk kepadaNya itulah sebenarnya yang akan mengundang laknat Allah kepada kita.

Nasihatilah kawan saudara itu agar bersangka baik kepada Allah, bersabar menghadapi ujian Allah dan terus beribadah dan berdoa kepada Allah dengan sungguh-sungguh. Yakinlah, akan tiba saatnya segala kesakitan, kepayahan dan kesusahannya akan hilang dan digantikan Allah dengan nikmat dan kesenangan yang paling manis sebagaimana janji Allah;“Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran akan disusuli kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran akan disusuli kemudahan. Maka apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)” (al-Insyirah, ayat 5-7).

Petikan drp : USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Tuesday, March 22, 2011

Empat Kunci Kemurkaan

Selasa, 17 Rabiulakhir 1432H : Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Empat kalangan yang pada waktu pagi mereka dimurkai Allah dan pada waktu petangnya juga dimurkai Allah. Abu Hurairah bertanya: Siapa mereka wahai Rasulullah? Jawab baginda:” Orang lelaki yang berlagak seperti wanita, kaum wanita yang berlagak seperti lelaki. Orang yang bersetubuh dengan binatang dan orang yang melakukan hubungan sejenis.” (HR At-Tabrani dan al-Baihaqi)

Huraian:

1. Allah S.W.T melaknat orang yang melakukan perbuatan keji dan terkutuk seperti golongan bapuk (maknyah), perempuan yang berperwatakan lelaki, mereka yang bersetubuh dengan binatang dan orang yang melakukan homoseks dan lesbian.

2. Semua perbuatan ini jelas menunjukkan penentangan terhadap hukum fitrah manusia yang seolah-olah menolak ketetapan Allah S.W.T. Mereka membiarkan hawa nafsu menguasai diri hingga sanggup melakukan perkara mungkar bahkan lebih jijik lagi sanggup bersetubuh dengan binatang.

3. Sesungguhnya manusia adalah makhluk yang amat dimuliakan oleh Allah S.W.T. Sewajarnya mereka bertindak selaku orang yang berakal fikiran bukan seperti binatang yang bernafsu buas tanpa mengenal buruk baik, halal dan haram.

4. Syaitan adalah musuh utama manusia. Setiap perbuatan buruk yang dilakukan adalah petanda bahawa seseorang itu sudah terpengaruh dengan godaan dan hasutannya.

5. Islam mengambil berat perkara berkaitan akhlak umatnya sehingga memastikan setiap perbuatan tidak membawa kepada kerosakan kepada umatnya. Dari Abu said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan. Lelaki tidak boleh berselimut sesama lelaki dalam satu selimut tanpa pakaian dan perempuan tidak boleh berselimut sesama perermpuan dalam satu selimut tanpa pakaian.” (HR Bukhari)

Monday, March 21, 2011

Berpuasa Sunat 3 Hari Setiap Bulan

Isnin, 16 Rabiulakhir 1432H : - Rasulullah SAW bersabda ; “Berpuasa tiga hari pada setiap bulan seumpama berpuasa sepanjang masa” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin ‘Amru r.a.).

Abu Hurairah r.a. juga pernah menceritakan; “Temanku (yakni Rasulullah s.a.w.) telah mewasiatkanku dengan tiga perkara;1. Berpuasa tiga hari pada setiap bulan. 2. Mengerjakan dua rakaat solat dhuha. 3. Menunaikan solat witir sebelum aku tidur”.(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Hari terbaik untuk berpuasa tiga hari ialah hari ke 13, 14 dan 15 pada setiap bulan.

2. Bulan yang dimaksudkan ialah bulan Islam, bukan bulan Masihi. Hari-hari tersebut dinamakan dengan hari-hari putih dan mempunyai fadhilat khusus.

3.Namun jika tidak dapat memilih hari-hari tersebut, harus memilih hari-hari lain asalkan mencukupi tiga hari. Ini berdalilkan riwayat dari Mu’azah al-‘Adawiyyah r.a. yang menceritakan bahawa ia bertanya Saidatina ‘Aisyah r.a.; “Adakah Rasulullah berpuasa tiga hari dari setiap bulan?”. Jawab ‘Aisyah; “Ya”. Aku bertanya lagi kepadanya; “Pada hari-hari yang mana dalam sebulan itu baginda berpuasa?”. Aisyah menjawab; “Baginda tidak menghiraukan hari-hari mana dalam sebulan itu untuk ia berpuasa (yakni baginda tidak mengkhususkan hari-hari tertentu untuk berpuasa)” (Riwayat Imam Muslim).

4. Melihat kepada amalan Sahabat dan Tabi’in; Saidina Umar bin al-Khattab, Ibnu Mas’ud, Abu Dzar dan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie memilih berpuasa pada tanggal 13, 14 dan 15 iaitu hari-hari putih tadi.

5. Imam an-Nakha’ie dan beberapa ulamak yang lain memilih tiga hari di akhir bulan.

6. Sebahagian ulamak yang lain –antaranya Imam al-Hasan- memilih tiga hari di awal bulan.

7. Saidatina Aisyah r.a. dan sekumpulan ulamak memilih untuk berpuasa pada hari Sabtu, Ahad dan Isnin pada suatu bulan dan hari Selasa, Rabu dan Khamis pada bulan berikutnya.

8. Imam Malik pula berpuasa pada hari pertama, hari ke sepuluh dan hari ke dua puluh pada setiap bulan”. (Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, jil. 8, hlm. 53-54).

Wednesday, March 16, 2011

Hari Qiamat Sudah Dekat

Rabu, 11 Rabiulakhir 1432H: 1) Rasulullah s.a.w telah menjenguk kepada kami semasa kami sedang ingat meningati satu sama lain, lalu Baginda s.a.w bertanya: "Apa yang kamu ingat mengingatkan itu?" Kami menjawab:"Kami mengingati perihal hari kiamat dan saat berlakunya"; Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya saat kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelumnya sepuluh alamat." Lalu Baginda s.a.w menyebut alamat atau tanda-tanda itu iaitu: Asap, Dajal (orang yang menyembunyi dan mengubah keadaan perkara-perkara yang benar dengan perkataan dustanya atau perbuatan sihirnya) Dabbatul-Ardh, terbit matahari dari pihak masuknya (dari pihak barat), turunnya Nabi Isa anak Mariam, dan Ya'juj wa Ma'juj…"( Huzaifah bin Asid al-Ghifari r.a)

2) Rasulullah s.a.w menyebut perihal Dajal serta menyatakan: "…..Sebenarnya Dajal itu seorang muda yang rambutnya kerinting, biji matanya timbul (buta sebelah); ……Sebenarnya ia akan keluar di satu tempat di antara negeri Syam dengan negeri Iraq, serta ia akan melakukan kerosakan di serata tempat yang ia sampai kepadanya (dengan menjadikan kampung orang yang menerima dakwaannya sebagai Tuhan - mewah makmur, dan kampung orang yang enggan menerima dakwaannya - susah meleset; dan dengan menunjukkan kepandaian sihirnya dengan menjadikan tempat yang terbiar dan tanah yang kering kontang - mengeluarkan khazanah buminya dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau subur;juga menjadikan orang muda yang kuat gagah dibelah dua badannya, sepotong dicampakkan jauh dari satu lagi, kemudian diserunya, lalu kedua potongan badan itu bersatu dan orang muda itu pun hidup semula dengan tersenyum-senyum seolah-olah tidak ada sesuatu yang menimpanya; demikian juga mana-mana yang menyembahnya dimasukkan ke dalam Syurganya yang dirasai oleh orang itu sebagai Neraka, sebaliknya orang yang enggan menyembahnya dimasukkan ke dalam nerakanya yang dirasai oleh orang itu sebagai Syurga; dan lain-lain lagi).

" Nabi s.a.w bersabda lagi: "Wahai sekalian hamba Allah, setelah kamu mengetahui demikian maka tetapkanlah iman kamu, jangan terpengaruh kepada dakwaannya!" Kami bertanya: "Ya Rasulullah! Berapa lama ia bermaharajalela di bumi?" Baginda s.a.w menjawab: "Empat puluh hari - hari yang pertama: Panjangnya seperti setahun, dan hari yang kedua: Panjangnya seperti setahun, dan hari yang ketiga: Seperti seminggu, manakala hari-hari yang lain: Seperti hari-hari kamu yang biasa.

"Kami bertanya lagi: "Ya Rasulullah! Jika demikian, hari yang panjangnya seperti setahun iu misalnya cukupkah kami mengerjakan padanya sembahyang untuk sehari?" Baginda s.a.w menjawab: "Tidak, tetapi kirakanlah masa untuk mengerjakan sembahyang itu sekadar masa yang biasa kamu lakukan;"….

Baginda s.a.w menerangkan lagi: "Semasa Dajal itu bermaharajalela, Allah hantar turun Nabi Isa anak Mariam lalu ia turun berhampiran dengan menara putih yang letaknya di timur bandar Damsyik…..maka Nabi Isa pun mengejar Dajal sehingga dapat menawannya di pintu kariah yang bernama: "Lud", lalu membunuhnya.

Setelah itu datanglah suatu kaum yang Allah selamatkan dari bencana Dajal itu menghadap Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa hapuskan kesan kedukaan dan kesedihan dari air muka mereka dengan menyatakan: Bahawa Dajal telah pun dibunuh, serta mengembirakan mereka denga darjat-darjat kedudukan mereka dalam Syurga;

" Nabi s.a.w menerangkan lagi: "Bahawa semasa Nabi Isa sedang menerangkan perkara-perkara yang menggembirakan mereka, Allah wahyukan kepada Nabi Isa dengan firmannya: "Bahawa Aku telah mengeluarkan sekumpulan hamba-hambaKu (Ya'juj wa Ma'juj) yang tidak ada daya upaya bagi sesiapa pun memerangi mereka; oleh itu maka bawalah hamba-hambaKu yang bersama-samamu berlindung di bukit Tursina; setelah itu Allah keluarkan Ya'juj wa Ma'juj dan mereka pun meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi….;

Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya pun terkepung lama di bukit itu sehingga kepala lembu menjadi lebih berharga dan lebih baik kepada mereka dari seutas dinar kepada seseorang kamu sekarang; lalu Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya merayu kepada Allah supaya membinasakan musuh mereka, maka Allah s.w.t hantarkan ulat-ulat menyerang batang leher Ya'juj wa Ma'juj itu,mereka pun mati bergelimpangan dengan serentak seperti matinya satu jiwa. Kemudian Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya turun dari bukit itu, lalu mereka dapati tidak ada barang sejengkal pun di bumi melainkan penuh dengan bau hapak dan busuk disebabkan bangkai Ya'juj wa Ma'juj itu; maka Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya merayu lagi kepada Allah lalu Allah Taala hantarkan kumpulan burung yang batang lehernya seperti batang leher unta, maka kumpulan burung itu pun mengangkut serta mencampakkan bangkai-bangkai itu ke tempat yang dikehendaki Allah.

Kemudian Allah Taala turunkan hujan lebat yang sebarang bangunan tidak dapat menahan airnya daripada meliputi serta mencuci muka bumi sehingga menjadi bersih dan rata seperti cermin. Kemudian Tuhan berfirman kepada bumi: Tumbuhkanlah tanamanmu serta keluarkanlah buahmu, dan kembalikanlah segala nikmatmu"; maka pada masa itu sebilangan orang boleh kenyang dengan memakan sebiji buah delima, dan boleh berteduh dengan kulitnya; dan pada masa itu juga diberkatkan Tuhan pada susu sehingga susu seekor unta perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu kaum yang besar jumlahnya, dan susu seekor lembu perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu qabilah; dan susu seekor kambing perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu suku kaum."

Nabi s.a.w bersabda lagi: "Semasa manusia sedang menikmati kemakmuran dan kemewahan yang tersebut tiba-tiba Allah menghantar sejenis angin yang baik….lalu mengambil nyawa tiap-tiap orang yang baik - mukmin dan muslim, dan tinggallah sahaja orang-orang jahat dengan keadaan bercakaran sesama sendiri dan berhubung jenis seperti haiwan, maka pada zaman mereka inilah berlakunya hari kiamat."

(Dan pada satu riwayat yang lain: "Kemudian Allah menghantar sejenis angin yang sejuk nyaman, yang datangnya dari arah negeri Syam, maka pada saat itu tidak tinggal di atas muka bumi seorang pun yang terdapat dalam hatinya seberat zarah kebaikan atau iman melainkan diambil nyawanya oleh angin itu.

"Nabi s.a.w bersabda lagi: "Maka tinggallah sahaja orang-orang jahat yang cepat bergerak melakukan maksiat dan kedurhakaan secepat burung terbang, dan yang menceroboh serta menzalimi satu sama lain seperti binatang buas; mereka tidak suka dan tidak mengenal perkara yang baik, dan tidak benci serta tidak melarang daripada melakukan perkara yang buruk.

Pada saat itu syaitan menyamar diri kepada mereka serta bertanya: "Tidak malukah kamu meninggalkan jalan mendampingkan diri kepada Allah? Tidak mahukah kamu menurut ajakanku? Maka mereka pun bertanya: Jika demikian apa yang engkau suruh kami lakukan? Syaitan pun menyuruh mereka menyembah berhala untuk mendampingkan diri mereka dengan Tuhan (konon), mereka menerima ajakan Syaitan itu lalu menyembah berhala, sedang rezeki mereka mencurah-curah dan penghidupan mereka baik dan mewah; kemudian ditiup sangkakala, yang pertama, yang mematikan segala yang bernyawa….") ( al-Nawwas bin Sam'an r.a )

3) Dari Huzaifah r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Dajal selalu membawa air dan api. Api itu sebenarnya adalah air sejuk, sedangkan air sebenarnya adalah api. Kerana itu waspadalah kamu agar tidak celaka. (HR muslim)

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya Dajal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.” Dari Jabir bin Abdullah pula katanya, Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.”

Tuesday, March 15, 2011

Sifat Pembohong

Selasa, 10 Rabiulakhir 1432H : Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika kamu bercakap dengan saudaramu percakapan yang ia mempercayainya, sedangkan kamu membohonginya, sesungguhnya perbuatan ini merupakan pengkhianatan besar.” (HR Abu Daud)

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (HR al-Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a katanya :Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:“Tiga Golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong”. ( HR Muslim)

Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Saya dengar nabi SAW bersabda:”Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak.” (Bukhari )

Pengajaran Hadis:

1. Berbohong ialah menyampaikan sesuatu yang tidak sesuai dengan keadaan sebenarnya.

2. Gejala pembohongan adalah amat keji dan sangat dibenci apalagi yang dibohongi itu adalah orang ramai, maka sudah tentu bahaya dan dosanya lebih berat. Oleh itu Islam menganggap perbuatan berbohong atau berdusta adalah satu perbuatan munafiq.

3. Selaku ibu bapa adalah tidak wajar untuk membohongi anak-anak dengan alasan untuk memujuk mereka atau menahan mereka daripada sesuatu kemarahan. Hal ini kerana ia akan menghilangkan kepercayaan anak-anak terhadap ibu bapa menjadikan segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan tidak berkesan.

4. Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapan yang tidak baik) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala puasa oleh Allah selain mendapat lapar dan dahaga sahaja.

5. Amatlah malang dan ruginya bagi orang yang berpuasa, tetapi masih mengeluarkan perkataan-perkataan yang kotor memaki hamun, berbohong dan sebagainya, sebagaimana biasa, sedangkan ia berpuasa, maka ia tidak mendapat apa-apa kelebihan atau pahala di sisi Allah S.W.T bahkan mendapat dosa pula

6. Allah S.W.T. amat benci kepada tiga golongan manusia, iaitu orang tua yang masih tidak meninggalkan perbuatan zina, pemimpin yang bercakap bohong dan orang miskin yang sombong.

7. Siksaan di akhirat adalah amat pedih. Oleh itu selagi hayat dikandung badan, pergunakanlah masa sepenuhnya untuk membanyakkan amal ibadat agar kehidupan di dunia dan akhirat mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T.

8. Rasulullah SAW menjelaskan sifat-sifat orang munafiq, di antaranya: Apabila ia berkata, ia berbohong, apabila berjanji, ia mungkiri dan apabila diberi amanah, ia khianat. Maka wajar jika Rasulullah SAW menyatakan bahawa berdusta atau berbohong itu termasuk dalam dosa besar.

9. Dalam sebuah riwayat diceritakan, telah datang kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki meminta nasihat. Lelaki itu mengaku bahawa dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya, iaitu berzina. Mendengar pengakuan jujur lelaki ini Rasulullah SAW berwasiat kepadanya:” Hanya dengan satu perkara: "Laa Takzib! (Jangan berbohong!)." Ternyata dengan menjaga untuk tetap melaksanakan nasihat Rasulullah SAW itu, lelaki ini dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan ingat kepada nasihat baginda itu."Bagaimana kalau saya ditanya oleh Rasulullah SAW? Jika saya menjawab:”Tidak, bererti saya telah berbohong. Jika saya mengaku bererti saya wajib dihukum", fikir lelaki tersebut sehingga telah berhenti dari berzina.

Monday, March 14, 2011

Syukur Atas Nikmat Allah

Isnin, 9 Rabiulakhir 1432H ; Firman Allah SWT yang maksudnya:”Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (Ibrahim:7).

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:“Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang diberi ia dianggap sebagai kufur nikmat.”(H.Riwayat At-Tabrani)

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan.” (HR Bukhari)

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Sesungguhnya Allah mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan . Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat tersebut kepada kaum yang lain pula.”(H.Riwayat Tabrani)

Pengajaran Hadith:
  1. Sesungguhnya setiap nikmat itu wajib disyukuri dan antara kunci rahsia dalam bersyukur ialah dapat mengundang nikmat Allah yang berterusan.
  2. Tidak merasa memiliki kecuali meyakini bahawa segalanya adalah menjadi milik Allah. Hal demikian dapat mengelak seseorang daripada menjadi angkuh dan sombong dengan nikmat yang ada padanya.
  3. Selalu mengucapkan “Alhamdulillah”, memuji Allah dalam segala keadaan sama ada ketika susah ataupun senang kerana nikmat yang harus disyukuri itu sebenarnya lebih banyak daripada musibah.
  4. Mempercayai bahawa sebarang nikmat yang dikurniakan adalah jalan menuju Allah atau mendekatkan diri kepada Allah dan tahu membalas budi dan berterima kasih dengan kebaikan yang telah diberikan oleh seseorang apatah lagi nikmat yang diberi oleh Allah SWT.
  5. Hakikatnya tidak ada sesiapa yang berhak menerima kesyukuran dan pujian, selain daripada Allah S.W.T kerana terlalu besar nikmat dan pemberian yang diberikan oleh Allah kepada kita. Oleh itu sebagai tanda bersyukur kepada Allah kita hendaklah mengekalkan baik sangka kepada-Nya serta meletakkan keyakinan kepada Allah S.W.T dalam apa jua keadaan diiringi dengan ketaatan dalam beribadah.
  6. Budaya bersyukur hendaklah disuburkan dalam masyarakat di mana rakyat hendaklah disedarkan supaya menghargai keamanan dan kemakmuran negara, tidak lupa daratan sehingga menyalahgunakan kuasa, kemewahan untuk pembaziran, melakukan maksiat dan gejala tidak sihat yang mengakibatkan berlakunya kerosakan dan bencana pada diri, keluarga dan masyarakat. Semua ini menunjukkan tanda kufur terhadap nikmat Allah S.W.T dan kesudahannya ia akan menjerumuskan masyarakat dan negara kepada kerosakan dan kehancuran.
  7. Segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita hendaklah digunakan bertepatan dengan tujuan ia diberikan. Itulah tanda kesyukuran yang dituntut oleh Islam.
  8. Setiap muslim janganlah bersifat kedekut untuk melakukan amal kebajikan dan bersedia memperbaiki segala amal perbuatannya kerana Allah akan memberi ganjaran walau sekecil mana pun amalan tersebut.
  9. Kita hendaklah mengambil pengajaran di atas kesusahan yang menimpa orang lain agar terbit rasa bersyukur di dalam diri dan supaya kita tidak mempersia-siakan nikmat yang diperolehi kerana nikmat yang tidak disalahgunakan dan tidak disyukuri akan ditarik balik oleh Allah S.W.T.

Friday, March 11, 2011

Melepak

Jumaat, 6 Rabiulakhir 1432H: Dari Abu Sai’d. Al-Khudri r.a, dari Nabi SAW sabdanya:”Hindarilah daripada duduk-duduk di pinggir jalan!” Jawab para sahabat,” Kami terpaksa duduk-duduk di situ membincangkan hal-hal yang perlu.” Sabda Rasulullah SAW, “Jika memang perlu kalian duduk-duduk di situ berikan hak jalanan.” Mereka bertanya:”Apa haknya, ya Rasulullah Jawab baginda :”Tundukkan pandangan, jangan mengganggu, jawab salam (orang yang lalu) menganjurkan kebaikan dan mencegah yang mungkar.” (HR Muslim)


Keterangan Hadis.

1. Mengikut Kamus Dewan, melepak memberi makna tentang suatu tabiat yang negatif di kalangan masyarakat seperti di kalangan remaja dan dewasa yang menghabiskan masa dengan duduk-duduk tanpa melakukan kegiatan yang berfaedah. Pada peringkat awalnya kegiatan ini merupakan budaya yang dilakukan oleh kutu-kutu jalanan.

2. Melepak yang bertujuan untuk kebaikan seperti untuk berbual tentang perkara yang bermanfaat adalah dibenarkan dalam Islam tetapi mestilah tidak sampai menghalang orang yang lalu-lalang dan membuat sesuatu yang menyakitkan masyarakat sekeliling seperti membuat bising, mengata-ngata orang, mengusik dan sebagainya kerana sedemikian sudah terkeluar daripada adab-adab dalam bersosial.

3. Setiap muslim seharusnya menjauhi perbuatan yang melalaikan kerana Islam amat membenci perkara yang menggambarkan sikap orang yang suka membuang masa.

Thursday, March 10, 2011

Wudhuk Yang Sempurna

Khamis, 5 Rabiulakhir 1432H :Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Mahukah aku tunjukkan satu pemadam yang dengannya dapat kamu hapuskan dosa serta mengangkat darjat? Jawab para sahabat:”Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Kata baginda:”Sempurnakanlah wudhuk sewaktu kepayahan (seperti sejuk, sakit dan sebagainya) banyak berjalan ke masjid dan menanti waktu masuk sembahyang, perkara inilah yang dinamakan Ribat” (HR Muslim)

Dari Abdullah bin Zaid bin Aasim al-Ansariy r.a, beliau telah ditanya: “Tunjukkan kepada kami cara Rasulullah S.A.W berwuduk.. Maka beliau pun meminta sebekas air, lalu menuang sedikit air ke atas tapak tangan dan membasuhnya sebanyak tiga kali. Kemudian beliau memasukkan tangan ke dalam bekas untuk mencedok air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali. Kemudian beliau mencedok air sekali lagi lalu membasuh muka sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau mencedok lagi dengan tangannya lalu membasuh tangan hingga ke paras siku dua kali. Kemudian beliau mencedok lagi lalu menyapu kepala dalam keadaan menyapu tangannya dari arah depan kepala ke arah belakang dan menyapu tangannya kembali ke arah depan kepala, kemudian beliau membasuh kedua kakinya hingga ke paras buku lali. Selepas itu beliau berkata: Beginilah cara Rasulullah s.a.w mengambil wuduk .” (HR Muslim )

Dari Nu’aim bin Abdullah r.a katanya, dia melihat Abu Hurairah berwudhuk. Dia mencuci muka dan tangannya hingga sampai ke batas bahu. Kemudian dicucinya kedua kakinya hingga sampai ke betis. Sesudah itu dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Sesungguhnya umatku akan datang kelak di hari kiamat bercahaya-cahaya wudhuknya. Maka siapa yang dapat melebihi batas-batas yang wajib, lebihkanlah” (HR Muslim)

Dari Umar bin al-Khattab r.a katanya:” Ada seorang lelaki berwudhuk tetapi ada kakinya yang tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi s.a.w. Disebabkannya baginda bersabda:”Ulang kembali wudhukmu dengan sempurna dan sebagus-bagusnya!” Orang itu pun berwudhuk kembali dan sesudah itu dia solat.” (HR Muslim)

Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah SAW lebih suka mandahulukan yang kanan dalam segala keadaan (perbuatan) seperti memakai terompah, bersikat, berwudhuk dan mandi.” (HR Muslim)

Dari Anas r.a mengatakan;” Nabi s.a.w berwudhuk setiap kali beliau hendak sembahyang” Bertanya Amr bin Amir kepada Anas,:”Bagaimana yang anda sendiri lakukan?” Jawab Anas:”Kami cukupkan saja wuduk yang telah ada, selagi belum berhadath.” (HR al-Bukhari)

Keterangan Hadis;

1. Salah satu syarat sah sembahyang ialah mengambil wudhuk. Dengan wudhuk yang sempurna seseorang akan dapat mengerjakan solat/sembahyang dengan penuh khusyuk.

2. Ketika berwudhuk kita diharuskan membaca doa-doa yang tertentu seperti berikut:

i. Ketika berkumur, berniatlah: "Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini".
ii. Ketika membasuh muka, berniatlah:"Ya Allah, putihkanlah (berikanlah cahaya) pada mukaku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini".
iii. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah:"Ya Allah, berikanlah buku hisab ku di tangan kanan ku ini".
iv. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah:"Ya Allah, janganlah Kau berikan buku hisab ku di tangan kiri ku ini".
v. Ketika membasuh kepala, berniatlah:"Ya Allah, lindunglah aku dari terik matahari di padang Mahsyar dengan Arasy Mu".
vi. Ketika membasuh telinga, berniatlah:"Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini". vii. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah:"Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqim".
viii. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah:"Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat-tempat maksiat".

3. Berwudhuk tidak sahaja diperlukan ketika hendak mengerjakan solat tetapi kita juga disarankan agar berwudhuk apabila hendak membaca al-Quran, mempelajari sesuatu ilmu dan ketika hendak masuk tidur kerana sesungguhnya wudhuk itu dapat menggugurkan dosa-dosa kecil yang dilakukan dan menjadikan seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan bersih di samping menambah keserian wajah.

4. Wudhuk yang sempurna akan mendapat kekhusyukan dalam sembahyang. Sembahyang yang dimaksudkan ialah sembahyang yang mampu menegah seseorang itu daripada melakukan kerja-kerja yang keji dan mungkar kerana wudhuk itu bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran najis dan hadas sedangkan sembahyang pula dapat membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah kerana sembahyang adalah merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosa yang telah lalu, selagi seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar.

5. Selaku manusia yang beriman peluang-peluang ini hendaklah direbut dengan penuh keimanan apalagi jika perkara-perkara itu kelihatan terlalu remeh (biasa) dan mudah.Dalam setiap perbuatan niat adalah perkara yang paling penting kerana dengan inilah Allah mengukur sejauhmanakah keikhlasan hati hamba-Nya.

6. Kanan adalah bahagian atau pihak yang berlawanan dengan kiri. Kanan menunjukkan makna yang baik. Oleh itu anggota kanan diutamakan dalam segala perkara yang dilakukan melainkan untuk mencuci kotoran atau najis di mana tangan kiri yang akan mengambil alih.

7. Islam menyarankan kita agar mendahulukan anggota kanan dalam berwudhuk dan termasuk ketika makan, minum dan mengambil serta memberi. Bahkan di akhirat kelak orang yang menerima buku amalnya melalui tangan kanan menunjukkan ia bakal menjadi penghuni syurga dan begitulah sebaliknya.

Wednesday, March 9, 2011

Zalim

Rabu, 4 Rabiulakhir 1432H; Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Takutlah doa orang yang dizalimi sekalipun ia seorang kafir kerana sesungguhnya tidak ada halangan di antara doanya dengan Allah”. (H. Riwayat Ahmad )

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya::” Janganlah salah seorang daripada kamu berpeluk tubuh dalam keadaan seseorang itu dibelasah secara zalim, kerana laknat akan turun ke atas orang yang menyaksikan ketika mereka tidak mempertahankannya.”(H. Riwayat at-Tabrani)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu dia tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya." (HR Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Daripada Aishah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda dalam rumahku ini, “ Ya Allah, sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, kemudian ia melakukan kezaliman ke atas mereka, maka kembalikan kezaliman itu ke atas mereka. Sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, dengan menunjukkan kasih sayang kepada mereka, maka kasihilah orang tersebut”. ( H.Riwayat Muslim)

Pengajaran Hadith:

1) Sikap menzalimi orang lain adalah satu sifat yang dibenci dan dilaknat oleh Allah S.W.T.

2) Selaku orang Islam kita hendaklah bersikap adil meskipun terhadap orang yang bukan Islam kerana keadilan itu adalah cermin keimanan yang sebenar yang boleh melembutkan hati yang keras dan mengubah akhlak yang buruk kepada baik. Malah keadilan itu boleh menerbitkan perasaan kasih sayang dan hormat-menghomati dalam masyarakat.

3) Di dalam hadis ini Allah juga telah menunjukkan sifat-Nya yang adil di mana sesiapa juga hamba-Nya yang menzalimi orang lain akan dibalas dengan balasan yang setimpal sekalipun orang yang dizalimi itu adalah orang kafir.
4) Perbuatan zalim adalah perbuatan yang mendatangkan kesusahan atau kemudaratan kepada orang lain atau mungkin dalam bentuk mengambil manfaat dari orang lain dengan cara yang salah ataupun melakukan sesuatu terhadap orang lain yang menimbulkan rasa sakit kerana perlakuan tersebut memberi keseronokan atau kepuasan kepada yang melakukannya. Pemerasan, pemaksaan dan penipuan demi keuntungan peribadi juga termasuk dalam perbuatan yang zalim.

5) Perbuatan zalim lazimnya dilakukan oleh orang yang mempunyai kelebihan dan kekuatan berbanding dengan orang yang dizalimi. Ini kerana, fenomena kezaliman tidak akan berlaku sekiranya orang yang hendak dizalimi mempunyai kelebihan atau kekuatan yang sama. Kelebihan atau kekuatan ini boleh diukur dari pelbagai aspek, seperti kekuatan fizikal, kekayaan, kebijaksanaan, kuasa ataupun pengaruh.

6) Realiti masyarakat hari ini mengamalkan gaya hidup individualistik sehingga sanggup membiarkan penganiayaan dan kezaliman berlaku di hadapan mata mereka sendiri. Sikap ‘tidak mengambil endah’ ini tidak wajar berlaku kerana selaku anggota sesebuah masyarakat setiap individu mestilah bersikap saling mengambil berat, sayang-menyayangi dan belas-kasihan di antara satu sama lain.

7) Doa orang yang dizalimi terhadap orang yang menzaliminya sangat mudah dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Oleh itu perbuatan zalim sebenarnya merupakan perbuatan yang sangat merugikan kepada si pelakunya. Allah S.W.T boleh memberi hukuman ke atas si pelaku tersebut ketika di dunia lagi seperti nasib yang menimpa Firaun. Malah di akhirat kelak orang-orang yang berlaku zalim akan menerima nasib yang sangat malang kerana kebaikan yang dimilikinya akan berpindah kepada orang-orang dizaliminya. Sekiranya dia tidak mempunyai kebaikan, maka keburukan orang-orang yang teraniaya akan terlempar kepadanya dan akan ditanggung olehnya.

8) Seorang muslim mukmin yang sebenar sepatutnya menjauhkan diri daripada perbuatan keji zalim dan mungkar serta mencegahnya, bukan terus duduk bersama orang yang berbuat kezaliman dan maksiat kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka redha dengan kezaliman ,maksiat dan kekufuran yang dilakukan.

9) Membiarkan kezaliman dan perlakuan maksiat merupakan satu maksiat (dosa). Perbuatan ini akan mengundang bala daripada Allah SWT yang akan menimpa bukan sahaja ke atas pelaku maksiat semata tetapi terhadap semua anggota masyarakat.

10) Menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan dan kezaliman adalah satu bentuk tanggungjawab sosial. Ini bukanlah untuk menjaga hal ehwal (tepi kain) orang lain melainkan untuk memelihara kepentingan bersama kerana keharmonian dan ketenteraman dalam masyarakat hakikatnya dapat menjamin kehidupan yang aman dan damai bagi seluruh penduduk sekitarnya.

11) Orang yang dilantik menjadi ketua atau pemimpin hendaklah menjaga kebajikan orang ramai dan haram menindas serta menzalimi mereka.

12) Setiap rakyat harus menasihati dan menegur pemerintah yang zalim dengan teguran yang membina demi untuk memajukan negara. Rakyat juga berhak menyuarakan pendapat, serta boleh membantah sekiranya pemerintah melakukan kezaliman terhadap rakyatnya.

13) Pemerintah hendaklah menunaikan semua tanggungjawabnya sebagai pemimpin dengan melaksanakan tugas-tugas pemerintahan dengan adil untuk kepentingan semua rakyat dengan menyediakan segala kemudahan, pembangunan, kemajuaan, keselamatan, dan kemakmuran negara.

14) Setiap orang akan disoal di akhirat tentang tanggungjawab yang telah diamanahkan ketika di dunia.

Tuesday, March 8, 2011

Keutamaan Saf Pertama & Saf Sempurna

Selasa, 3 Rabiulakhir 1432H ; Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah memberi rahmat dan Malaikatnya pula mendoakan bagi orang-orang yang masuk menutup celah-celah saf sembahyang serta orang-orang yang merapatkannya; dan orang yang masuk menutup celah saf sembahyang itu (akan beroleh satu tambahan lagi, iaitu) diangkatkan Allah martabatnya dengan perbutannya yang tersebut: satu darjat."( HR Aisyah r.a )

Dari Abu Mas’ud r.a katanya:”Rasulullah s.a.w menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata:”Luruskan barisanmu, jangan bengkok-bengkok kerana barisan yang bengkok, nescaya akan menyebabkan hatimu berpecah-belah. Orang dewasa yang cerdik dan pandai hendaklah berdiri dekat di belakangku, kemudian yang pandai dan seterusnya.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadith:

i) Solat berjamaah adalah lebih besar ganjarannya daripada bersolat seorang diri dengan 27 kali ganda pahalanya.

ii) Setiap saf mestilah disusun dengan sempurna iaitu rapat dan penuh serta tidak terputus-putus. Saf mestilah lurus, bahu bertemu bahu dan tumit bertemu tumit. Dari Anas r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Luruskan saf! Aku dapat melihatmu di belakangku. Di antara kami ada yang bertemu bahu dengan bahu kawannya dan tumit dengan tumit.” (HR al-Bukhari)

iii) Orang-orang yang mengambil berat tentang barisan (saf) sembahyang jemaah yang disertainya dijanjikan balasan rahmat dari Allah S.W.T serta malaikat mendoakan kebaikan untuk dirinya malah orang yang masuk menutup celah-celah saf sembahyang akan diangkat lagi martabatnya dengan satu darjat.

Monday, March 7, 2011

Sifat Malu Sebahagian Daripada Iman

Isnin, 2 Rabiulakhir 1432H; Dari Salim bin Abdullah r.a dari ayahnya, katanya:”Nabi s.a.w lalu di hadapan seorang Ansar yang sedang mencela saudaranya kerana saudaranya itu pemalu. Maka sabda rasulullah s.a.w kepadanya:”Biarkanlah dia! Sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman.” (HR Bukhari)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:“Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan”. (H.Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya:”Rasulullah s.a.w adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari gadis pingitan. Apabila baginda tidak menyenangi sesuatu, kami dapat mengetahuinya dari wajah baginda.”(HR. Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Laa ilaha illallah (Tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang dari iman.”(HR al- Baihaqi).

2. Di dalam perjalanan manusia sebagai hamba untuk mendekatkan diri kepada-Nya, ‘rasa malu’ merupakan tangga yang pertama. Maka, masih sangat jauh sebenarnya kita daripada kewujudan rasa cinta kepada Allah. Rasulullah sekalipun mempunyai rasa malu terhadap Allah SWT. Ia terserlah dalam kisah Mi'raj baginda iaitu di saat Rasulullah menerima perintah secara langsung agar umatnya mengerjakan solat. Di peringkat awalnya, Allah memerintahkan solat sebanyak 50 kali dalam sehari. Baginda menyanggupinya, namun Nabi dan Rasul lain yang ditemui dalam perjalanan mikraj tersebut menasihati bahawa tugas itu terlalu berat bagi umat Muhammad. Lantas baginda meminta keringanan sehingga bilangan solat dikurangkan kepada lima kali sehari. Saat itu, baginda diingatkan sekali lagi bahawa solat lima kali sehari pun masih terlampau berat. Namun, baginda berasa amat malu untuk kembali meminta keringanan daripada Allah SWT. Inilah contoh sifat malu yang ada pada diri baginda.

3. Malu untuk mengurangi nilai pengabdian seorang hamba terhadap Tuhannya. Namun kita selaku umatnya tidak pula mempunyai rasa malu mengabaikan perintah solat dan lain-lain ibadah-ibadah yang diwajibkan. Begitulah manusia, lazimnya hanya merasa malu untuk urusan duniawi di hadapan manusia, bukan urusan keakhiratan di hadapan Tuhan.

4. Kita tidak merasa malu dengan dosa yang berbukit yang pernah kita lakukan. Malah mungkin tidak pernah terdetik rasa enggan kita untuk bertemu Allah lantaran merasa malu di atas segala kejahatan yang dilakukan yang tak pernah luput dari pengelihatan Nya? Sesungguhnya kita benar-benar tidak tahu malu.

5. Abdullah Ibn Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Orang yang malu kepada Allah dengan sepenuh malu adalah orang yang menjaga kepalanya dari isinya, menjaga perutnya dari segala rezeki tidak halal, selalu mengingati kematian, meninggalkan kemewahan dunia dan menjadikan perbuatan akhirat sebagai hal yang lebih utama. Sesiapa yang melakukan semua itu, maka ia telah malu kepada Allah dengan sepenuh malu”.

6. Dari sudut syarak malu adalah menahan diri dari melakukan sesuatu yang mengakibatkan sesuatu yang negatif bukan malu tersipu-sipu yang tidak kena pada tempatnya. Sifat malu tersipu-sipu dan merendah diri ini adalah al-jahalu. Contoh malu tersipu-sipu hingga takut menjawab soalan guru di kelas adalah contoh al-jahalu. Sikap ini disebabkan kurangnya keyakinan diri dan lemah peribadi.
7. Tetapi al-haya’ (malu) adalah disebabkan sifat percaya diri dan kuat keperibadian lantaran kuatnya iman dalam menolak segala sesuatu yang negatif. Maka sifat malu itu sendiri adalah sebahagian daripada iman dan terpuji. Sifat malu menjadikan seseorang jauh daripada perbuatan hina dan maksiat sebaliknya meletakkan dirinya dalam keadaan kesempurnaan kerana selalu melakukan hal-hal yang positif. Dia akan berkata bahawa: “ Sesungguhnya aku adalah lebih tinggi daripada perbuatan terkutuk itu dan aku lebih mulia daripada perbuatan tercela itu.”.

8. Sifat malu adalah suatu sifat yang terpuji. Sesiapa yang memilikinya akan terlepas daripada segala kejahatan kerana dengan adanya sifat malu kita tidak akan melakukan segala keburukan.

9. Kesimpulannya sifat malu akan meninggikan darjat keimanan orang yang milikiny. Seseorang yang tidak mempunyai sifat malu, dia bukanlah hidup sebenarnya, tetapi sudah mati atau hampir mati imannya.

Friday, March 4, 2011

Kaya Harta & Kaya Ilmu

Jumaat, 29 Rabiulawal 1432H :Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :” Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.” (HR al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.”( H. Riwayat at-Tirmidzi)

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi - sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut - sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai." ( HR Abu Umamah r.a)

Dari Abi Barzah al-Aslami, r.a, dari Nabi s.a.w, sabdanya : “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia dihabiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?’’ ( H. Riwayat al-Tirmizi )

Keterangan Hadis :

1. Perumpamaan orang yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji. Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang.

2. Al Hikmah atau ilmu lebih baik dari kekayaa seperti kata sayidina Ali: “Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus menjaganya.”

3. Yang terbaik ialah jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.

4. Usaha mengajar dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan membawa kebajikan kepada masyarakat adalah amat tinggi nilainya di sisi Islam.

5. Bagi sesiapa yang melakukannya akan dilimpahkan rahmat oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan para malaikat dan sekalian makhluk di langit dan di bumi, semuanya berdoa untuknya agar Allah memberikan balasan yang sebaik-baiknya

6. Harta kekayaan, kemewahan dan pangkat menyilaukan pandangan serta dapat mengubah pendirian seseorang.

7. Islam melarang umatnya bersikap terlalu mementingkan kehidupan dunia dan mengutamakan kehidupan peribadi lebih daripada kepentingan masyarakat. Sedangkan pemberian atau nikmat-nikmat keduniaan itu sebenarnya adalah suatu bentuk ujian daripada Allah SWT untuk mengukur sama ada manusia menghargainya dengan bersyukur atau tenggelam dalam kelekaan hingga menjadi kufur terhadap Allah SWT.

8. Oleh itu setiap individu perlu berwaspada agar tidak menjadikan harta kekayaan sebagai alasan untuk melupakan perintah dan suruhan Allah SWT sebaliknya menjadikan nikmat-nikmat tersebut sebagai faktor pendorong untuk melakukan kebajikan dan amal soleh yang dituntut dengan ikhlas bersungguh-sungguh kerana golongan seperti ini bukan sahaja akan beruntung di dunia bahkan mendapat ganjaran besar yang di akhirat kelak.

Thursday, March 3, 2011

Mentaati Ibu Bapa

Khamis, 28 Rabiulawal 1432H : Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”( H.Riwayat al-Hakim )

DaripadaAbu Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya:“Janganlah kamu membenci bapa-bapa kalian. Sesiapa yang membenci bapanya bererti ia kafir.” (H. Riwayat Muslim )

Keterangan :

1. Seorang ibu mahupun bapa tidak akan menjadi ibu dan bapa tanpa anak-anak dan begitulah sebaliknya. Oleh itu ibu bapa berhak mendapat penghormatan daripada anak-anak mereka sama sebagaimana anak-anak mereka berhak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa.

2. Islam melarang keras anak-anak mencela atau memarahi ibu bapa dengan bahasa yang kasar. Anak yang mengasari ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka yang diharamkan syurga ke atasnya oleh Allah S.W.T di akhirat kelak.

3. Untuk mendapatkan anak-anak yang baik, ibu bapa hendaklah terlebih dahulu menunjukkan akhlak yang baik dengan anak-anak. Apabila anak-anak yang soleh ini dapat dibentuk, tiadalah permusuhan dan perbalahan dalam keluarga. Masing-masing akan saling sayang menyayangi antara satu dengan lain. Daripada Ibnu Abbas r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w:”Tanggungjawab bapa kepada anaknya ialah memberikan nama yang baik dan memperelokkan adabnya.” (H. Riwayat al-Baihaqi)

4) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.

5) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

6) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

7) Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.

8) Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.

Wednesday, March 2, 2011

Hadith Dha'if & Hadith Maudhuk

Rabu, 27 Rabiulawal 1432H : Hadis Dha'if ialah hadis yang tidak diketahui periwayat atau pun periwayatnya tidak bersifat seperti periwayat Hadis Sahih atau Hasan.

Hadis Dha'if adalah hadis yang tidak bersambung sanadnya, atau di antara sanadnya ada orang yang cacat. Cacat yang dimaksud, rawinya bukan orang Islam, atau belum baligh, atau tidak dikenal orang, atau pelupa/pendusta/fasik dan suka berbuat dosa. Contohnya, "Barangsiapa yang berkata kepada orang miskin, 'bergembiralah', maka wajib baginya surga." (H.R. Ibnu 'Adi).

Di antara perawi hadis tersebut ialah Abdu Mali bin Harun. Menurut Imam Yahya, ia pendusta, sedangkan Ibnu Hiban mengatakannya sebagai pemalsu hadis.

"..Dalam madzhab Syafi’I Hadits dha’if tidak dipakai untuk dalil bagi penegak hukum, tetapi dipakai untuk dalil bagi “ fadhailul a’mal”. Fadhailul A’mal maksudnya ialah amal ibadat yang sunat-sunat, yang tidak bersangkut dengan orang lain, seperti zikir, doa, tasbih, wirid dan lain- lain.Hadits Mursal tidak dipakai juga bagi penegak hukum dalam madzhab Syafi’e kerana Hadits Mursal juga Hadits dha’if. Tetapi dikecualikan mursalnya seorang Thabi’in bernama Said Ibnul Musayyab.

Dalam madzhab Hambali lebih longgar. Hadits dha’if bukan saja dipakai dalam Fadhailul A’mal, tetapi juga bagi penegak hukum, dengan syarat dha’ifnya itu tidak keterlaluan.

Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad memakai Hadits yang dha’if kerana Mursal, baik untuk Fadhailul A’mal mahupun bagi penegak hukum.

Imam-imam Mujtahid memakai Hadits-hadits dha’if untuk dalil kerana Hadits itu bukanlah Hadits yang dibuat-buat, tetapi hanya lemah saja sifatnya. Kerana itu tidaklah tepat kalau amal-amal ibadat yang berdasarkan kepada Hadits dha’if dikatakan bid’ah, apalagi kalau dikatakan bid’ah dhalalah..."

Hadis Maudhuk ialah hadis yang diriwayatkan oleh mereka dengan mendustakannya dari Nabi Muhammad s.a.w. pada halnya nyata tidak. Juga dikenali sebagai Hadis Palsu (diriwayatkan berdasar kepentingan tertentu).

Tuesday, March 1, 2011

Hadith Sahih & Hadis Hasan

Selasa, 26 Rabiulawal 1432H: Hadis Sahih ialah hadis yang berhubung/bersambungan sanad dari permulaan hingga akhir dan periwayat-periwayat tersebut bersifat berikut:
  • Adil
  • Kuat Ingatannya
  • Sejahtera dari keganjilan
  • Sejahtera dari kecederaan yang memburukkan

Hadis Sahih perlu cukup sanadnya dari awal sampai akhir dan oleh orang-orang yang sempurna hafalannya.Syarat hadis sahih, iaitu:

  • Sanadnya bersambung
  • Perawinya sudah baligh
  • Berakal
  • Tidak mengerjakan dosa
  • Sempurna hafalannya
  • Perawi yang ada dalam sanad itu hams adil dan hadis yang diriwayatkannya tidak bertentangan dengan hadis Mutawatir atau dengan ayat al-Quran.

Hadis Sahih terbagi menjadi dua:

  1. Sahih Lizatihi, yakni hadis yang sahih dengan sendirinya tanpa diperkuat dengan keterangan lain. Contoh, "Tangan di atas {memberi} lebih baik dari tangan di bawah {menerima}." (H.R Bukhari dan Muslim).
  2. Sahih Lighairihi, yakni hadis yang sahihnya kerana diperkuat dengan keterangan lain. Contohnya, "Kalau sekiranya tidak terlalu menyusahkan umatku untuk mengerjakannya, maka aku perintahkan mereka bersugi {siwak} setiap akan solat. " (H.R Hasan).

Dilihat dari sanadnya, semata-mata hadis Hasan Lizatihi, namun kerana dikuatkan oleh riwayat Bukhari, maka jadilah ia sahih Lighairihi.

Hadis Hasan ialah hadis yang berhubung/bersambungan sanad dari permulaan hingga akhir dan periwayat-periwayat tersebut bersifat seperti Hadis Sahih, tetapi mereka tidak mempunyai ingatan yang kuat.

Hadis Hasan, adalah hadis yang dari segi hafalannya kurang dari hadis sahih. Hadis Hasan dibahagi dua:

  1. Hasan Lizatihi, yakni hadis yang dengan sendirinya dikatakan Hasan, Hadis ini ada yang sampai tingkat sahih lighairihi.
  2. Hasan Lighairihi, yakni hadis yang Hasannya dibantu keterangan lain. Contohnya, "Sembelihan bagi bayi haiwan yang ada dalam perut ibunya {janin} cukuplah dengan sembelihan ibunya saja." (H.R beberapa Imam, antara lain Tirmizi, Hakim dan Darimi).

Hadis di atas jika kita ambil dari sanad Imam Darimi, ialah Darimi menerima

dari

1. Ishak bin Ibrahim,

dari

2. Itab bin Basir,

dari

3. Ubaidillah bin Abu Ziyad,

dari

4. Abu Zubair,

dari

5. Jabir,

dari

Nabi Muhammad s.a.w.

Nama yang tercela dalam sanad di atas ialah nomor 3 (Ubaidillah bin Abu Ziyad) sebab ia bukan seorang yang kuat dan teguh menurut Abu Yatim.