Tuesday, May 30, 2017

Bersahur Itu Terdapat Berkat

Selasa, 4 Ramadhan 1438H: Dari Anas r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Sahurlah kamu, kerana di dalam sahur itu terdapat berkat."

Hadis Sahih Bukhari & Muslim

Monday, May 29, 2017

Antara Makan Sahur & Mulai Subuh

Isnin, 3 Ramadhan 1438H: Berita dari Anas bin Malik mengatakan bahawa Nabi saw. dan Zaid bin Tsabit keduanya makan sahur bersama-sama. Tatkala keduanya telah selesai sahur, Nabi saw. berdiri hendak pergi solat, maka solatlah beliau. 

"Aku bertanya kepada Anas," kata Tsabit, "Berapa lamanya antara keduanya selesai makan sahur dan mulai solat?" 

Jawab Anas, "Kira-kira selama orang membaca lima puluh ayat."

Hadis Sahih Bukhari & Muslim

Friday, May 26, 2017

Diampuni Allah Dosanya

Jumaat, 29 Syaaban 1438H : Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Siapa yang puasa di bulan Ramadhan kerana iman dan ikhlas diampuni Allah dosanya yang telah lalu"

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, May 25, 2017

Berbekam Ketika Berpuasa

Khamis, 28 Syaaban 1438H:  Muhammad bin Rafi' An-Naisaburi, Mahud bin Ghailan dan Yahya bin Musa menceritakan kepada kami di mana mereka berkata: " 'Abdur Razzaq memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ma'mar dari Yahya bin Abu Katsir dari Ibrahim bin 'Abdullah bin Qaridh dari 'As-Sa'ib bin Yazid dari Rafi' bin Khadij dari Nabi s.a.w. di mana baginda bersabda:

"Orang yang membekam dan orang yang dibekam itu batal puasanya."

Di dalam bab ini terdapat hadis dari Sa'd, 'Ali, Syaddad bin Aus, Tsauban, Usamah bin Zaid, 'Aisyah dan Ma'qil bin Yasar. Ada yang mengatakan Ma'qil bin Sinan, Abu Hurairah, Ibnu 'Abbas, Abu, Musa dan Bilal. Abu Musa berkata: "Hadis Rafi' bin Khadij adalah hadis hasan sahih.

Disebutkan dari Hmad bin Hanbal bahawasanya ia berkata: "Hadis yang paling sahih dalam masalah ini adalah hadis Rafi' bin Khadij." Disebutkan dari 'Ali bin 'Abdullah bahawasanya ia berkata: "Hadis yang paling sahih dalam masalah ini adalah hadis Tsauban dan Syaddad bin Aus kerana Yahya bin Abu Katsir meriwayatkan dari Abu Qilabah dua hadis secara bersamaan, iaitu hadis Tsauban dan hadis Syaddad bin Aus." Sekelompok ulama' dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. dan yang lain melarang berbekam bagi orang yang berpuasa sehingga ada sebahagian sahabat Nabi s.a.w. berbekam pada waktu malam, antara lain Abu Musa Al-Asy'ari dan Ibnu 'Umar.

Pendapat ini diikuti oleh Ibnul Mubarak. Abu 'Isa berkata: "Dan saya mendengar Ishaq bin Manshur berkata: " 'Abdur Rahman bin Mahdi berkata: "Barangsiapa yang berbekam sedangkan ia sedang berpuasa maka ia wajib mengqada'nya." Itulah pendapat Ishaq bin Manshur. Ahmad bin Hanbal dan Ishaq bin Ibrahim juga mempunyai pendapat seperti itu.

Abu 'Isa berkata: "Al-Hasan bin Muhammad Az-Za'farani memberitahukan kepada ku di mana ia berkata: "Asy-Syafi'i berkata: "Diriwayatkan dari Nabi s.a.w. bahawasanya baginda sedang berbekam sedangkan baginda sedang berpuasa" ; serta diriwayatkan dari Nabi s.a.w. bahawasanya baginda bersabda: "Orang yang membekam dan dibekam itu batal puasanya"

Saya tidak mengetahui mana di antara dua hadis tersebut yang tsabit (dapat dijadikan pedoman). Seandainya ada seseorang khuatir untuk berbekam sewaktu sedang berpuasa maka itulah yang saya senangi. Namun seandainya ada seseorang yang berbekam sewaktu sedang berpuasa maka saya berpendapat bahawa tidak batal puasanya.

Abu 'Isa berkata: "Demikian itulah pendapat As-Syafi'i di Baghdad; sedangkan sewaktu beliau di Mesir, beliau lebih cenderung untuk memberikan rukhsah (keringanan), dan tidak berpendapat bahawa berbekam itu mempunyai kesan hukum. Beliau mengambil dalil bahawasanya Nabi s.a.w. berbekam dalam haji Wada' sedangkan baginda berihram dan berpuasa."

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 2. Hadis Nombor 0771.

Wednesday, May 24, 2017

Niat Puasa Wajib & Puasa Sunat

Rabu, 27 Syaaban 1438H: Ishaq bin Manshur menceritakan kepada kami, Ibnu Abi Maryam memberitahukan kepada kami, Yahya bin Ayyub memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari 'Abdullah Abu Bakr dari Ibnu Syihab dari Salim bin 'Abdullah dari ayahnya dari Hafshah dari Nabi s.a.w. di mana baginda bersabda: 

"Barangsiapa yang tidak menyengajakan (niat) berpuasa sebelum fajar maka tidak ada puasa baginya." Abu 'Isa berkata: "Hadis Hafshah itu tidak kami ketahui marfu' kecuali dari riwayat ini. Hadis ini diriwayatkan pula dari Nafi' dari Ibnu 'Umar seperti ungkapan tersebut diatas dan itu lebih sahih. 

Menurut sebahagian ulama' yang dimaksudkan oleh hadis ini ialah tidak sah berpuasa bagi orang yang tidak berniat sebelum terbit matahari dalam puasa bulan Ramadan, mengqada'kan puasa Ramadan atau dalam puasa nazar di mana apabila ia tidak niat untuk berpuasa sejak malam hari maka puasanya tidak sah. 

Sedangkan mengenai puasa sunat, boleh berniat selepas waktu subuh. Demikianlah pendapat Asy-Syafi'i, Ahmad dan Ishaq.

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 2. Hadis Nombor 0726.

Tuesday, May 23, 2017

Puasa Adalah UntukKu

Selasa, 26 Syaaban 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Allah 'Azza wa Jalla berfirman: "Setiap amal anak Adam teruntuk baginya kecuali puasa; puasa itu adalah untukku dan aku akan memberinya pahala. 

Puasa itu ialah perisai. Apabila kamu puasa janganlah kamu rosak puasamu itu dengan sanggama, dan jangan menghina orang. 

Apabila kamu yang dihina atau dipukul orang, maka katakanlah: "Aku puasa." 

Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang puasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada bau kasturi. 

Dan bagi orang puasa ada dua kegembiraan. Apabila dia berbuka dia gembira dengan bukaannya dan apabila dia menemui Tuhannya (meninggal) dia gembira dengan puasanya."

Hadis Sahih Muslim

Monday, May 22, 2017

Tiada Kebajikan Berpuasa Abadi

Isnin, 25 Syaaban 1438H: Dari Habib katanya: "Aku telah diberitahu oleh Abul Abbas - Seorang dari Syam, penyair dan amat jujur - bahawasanya ia pernah di beritahu oleh Abdullah ibnu Amru:

"Pada suatu kali Rasulullah saw bersabda padaku: "Aku dengar engkau sentiasa menghabiskan waktu malammu untuk beribadah dan waktu siangmu untuk berpuasa, benarkah demikian?'.

Kata Abdullah: "Benar wahai Rasulullah, aku tidak melakukan yang sedemikian kecuali hanya bermaksud baik saja".

Sabda beliau: "Tidak akan mendapatkan kebajikan seorang yang berpuasa abadi, akan tetapi aku mahu menunjukkan padamu puasa yang sama dengan puasa abadi, iaitu berpuasalah tiga hari dalam sebulan".

Kata Abdullah: "Wahai Rasulullah, aku masih mampu mengerjakan yang lebih dari itu".

Sabda beliau: "Kalau begitu berpuasalah lima hari dalam sebulan".

Kata Abdullah: "Aku masih mampu lebih dari itu".

Sabda beliau: "Kalau begitu berpuasalah sepuluh hari dalam sebulan".

Kata Abdullah: "Aku masih mampu mengerjakan lebih dari itu".

Sabda beliau: "Kalau begitu berpuasalah seperti puasanya Nabi Daud a.s, iaitu berpuasa sehari dan berbuka sehari".

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2,Hadis No 2357

Friday, May 19, 2017

Memuliakan Tamu & Diam

Jumaat, 22 Syaaban 1438H: Dari Ibnu Syuraih Al 'Adawi r.a., katanya: "Kedua telinga ku mendengar dan kedua mata ku melihat ketika Rasulullah saw. mengucapkan sabdanya,

"Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, selebihnya,"

Para sahabat bertanya, "Apa yang dimaksud dengan selebihnya, ya Rasulullah?"
Jawab beliau, "Iaitu siang dan malamnya. Bertetamu itu hanya tiga hari. Lebih dari itu adalah sedekah atas tetamu itu."

Dan sabda beliau, "Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik, atau diam!"

Hadis Sahih Muslim

Thursday, May 18, 2017

Bai'at (Berjanji)

Dari 'Ubbadah bin Shamit r.a., salah seorang sahabat Nabi yang turut ambil bahagian dalam perang Badar, dan ikut dalam pertemuan pada malam Aqabah, katanya:

"Pada suatu waktu, ketika Rasulullah saw. sedang di kelilingi oleh sekelompok para sahabat, beliau bersabda: "Bai'atlah (berjanjilah) Anda semua dengan ku:

(1) Tidak mempersekutukan dengan sesuatu apa pun,
(2) Tidak mencuri,
(3) Tidak berzina,
(4) Tidak membunuh anak-anakmu,
(5) Tidak membuat fitnah antara sesama kamu,
(6) Tidak durhaka terhadap perintah kebaikan.

Barangsiapa menepati perjanjian itu, nescaya ia diberi pahala oleh Allah, dan siapa melanggar salah satu daripadanya, maka dia akan dihukum di dunia ini.

Hukuman itu menjadi Kaffarah (denda) baginya. Dan barangsiapa melanggar salah satu daripadanya, kemudian ditutup oleh Allah (tidak diketahui orang, sehingga ia bebas dari hukuman dunia), maka perkaranya terserah kepada Allah.

Kalau Allah suka mengampuni, diampuniNyalah, dan kalau Allah hendak menyeksa, diseksaNya.
Maka kami semua (para sahabat yang hadir mengelilingi Nabi waktu itu) berjanji kepada beliau atas hal-hal tersebut."

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, May 17, 2017

Infaklah Kerana Allah

Rabu, 20 Syaaban 1438H: Saad bin Abi Waqas r.a., menceritakan bahawa Rasulullah saw. pernah bersabda:

"Nafkah (infak) yang Anda berikan semata-mata kerana Allah, nescaya diberi pahala oleh Allah; bahkan apa yang Anda berikan untuk makan isteri Anda (belanja rumah tangga) akan diberi pahala juga oleh Allah."

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, May 16, 2017

"Berinfaklah Kamu, Aku Akan Berinfak Kepada Kamu"

Selasa, 19 Syaaban 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Sesungguhnya Allah berfirman kepada ku: Berinfaklah kamu, Aku akan berinfak kepada mu."

Sabda Rasulullah saw., "Pemberian Allah selalu cukup, dan tidak pernah berkurang walaupun mengalir siang dan malam. Adakah terfikir olehmu, sudah berapa banyakkah yang dinafkahkan Allah sejak terciptanya langit dan bumi?

Sesungguhnya apa yang di dalam tangan Allah tidak pernah berkurang kerananya. 'Arasynya di atas air, sedangkan di tanganNya yang lain maut yang selalu naik turun."

Hadis Sahih Muslim

Monday, May 15, 2017

Infakkan Apa Yang Kamu Kasihi

Isnin, 18 Syaaban 1438H: Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Abu Thalhah al Anshari adalah seorang kaya Madinah yang banyak mempunyai kebun kurma.

Di antara kebun yang paling disukainya, ialah kebunnya di Bairuha yang berhadap-hadapan dengan masjid. Rasulullah sendiri pernah masuk ke kebunnya itu dan minum air tawar yang ada di situ.

Anas menceritakan, ketika turun ayat: Lan tanaaJuul birra hatta tunfiquu mimmaa tuhibbun . . . . . (hingga akhir ayat), Abu Thalhah pergi menemui Rasulullah dan berkata,

"Ya, Rasulullah! Allah tabaaraka wa ta'aalaa telah berfirman: Sekali-kali tidak kamu capai kebaikan sehingga kamu infakkan (sedekahkan) apa-apa yang kamu kasihi. 

Sesungguhnya hartaku yang paling ku kasihi ialah kebunku di Bairuha. 
Maka kerana itu kebunku itu aku sedekahkan kerana Allah, semata-mata kerana mengharapkan kebaikannya dari Allah. kerana itu, ya, Rasulullah! Berikanlah kebunku itu ke mana saja Allah menghendakinya."

Jawab Rasulullah saw., "Wah! Itulah harta yang paling menguntungkan. (diucapkan beliau dua kali). Telah aku dengar apa yang kamu inginkan. Aku berpendapat, lebih baik engkau serahkan kebunmu itu kepada keluargamu."

Kata Abu Thalhah, "Saya laksanakan, Ya, Rasulullah!"
Kemudian Abu Thalhah membahagi-bahagikan kebunnya itu kepada keluarga serta anak-anak pakciknya."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, May 12, 2017

Amil Zakat

Jumaat, 15 Syaaban 1438H: Dari Ibnu Sa'idi Al Maliki r.a., katanya: "Umar bin Khaththab pernah menugaskan ku sebagai 'amil zakat. Setelah tugas itu selesai ku laksanakan dan hasil zakat yang ku kumpulkan telah ku serahkan kepadanya, maka 'Umar menyuruh ku mengambil bahagian 'amil untuk ku.

Lalu jawab ku, "Aku bekerja kerana Allah, kerana itu upah ku pun ku serahkan kepada Allah."

Kata 'Umar, "Ambillah apa yang diberikan kepada mu itu. Sesungguhnya aku pernah pula bertugas pada masa Rasulullah saw. sebagai 'amil zakat. Lalu aku diberi oleh beliau bahagian 'amil zakat. Aku menolak pemberian itu seraya berujar seperti kamu itu pula."

Maka bersabda Rasulullah saw., "Apabila kamu diberi orang suatu pemberian (zakat, sedekah, wakaf, infak dan sebagainya) tanpa kamu minta, makanlah dan atau sedekahkan."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, May 11, 2017

Rasulullah SAW Menangis

Khamis, 14 Syaaban 1438H: Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya: "Ketika Sa'ad bin 'Ubadah jatuh sakit, Rasulullah saw. datang mengunjunginya bersama-sama dengan 'Abdurrahman bin 'Auf, Sa'ad bin Abi Waqqash dan 'Abdullah bin Mas'ud:

Ketika Nabi masuk ke rumahnya, didapatinya Sa'ad sedang pengsan. Nabi saw. bertanya, "Apakah sudah meninggal?"

Jawab mereka, "Belum, ya Rasulullah!"

Rasulullah saw. menangis. Melihat beliau menangis, maka orang banyak pun menangis pula. Kemudian beliau bersabda, "Tahukah kamu, sesungguhnya Allah tidak menyeksa seseorang kerana menangis, dan tidak pula kerana bersedih hati.

Tetapi Allah menyeksa kerana ini, sambil beliau menunjuk lidahnya - atau memberi rahmat kerananya."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, May 9, 2017

Dilarang Membaca Quran Ketika Rukuk & Sujud

Selasa, 12 Syaaban 1438H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Rasulullah saw. membuka tirai (kamarnya ketika beliau sakit akan meninggal), padahal ketika itu jemaah sedang solat berjemaah diimami Abu Bakar.

Lalu beliau bersabda: "Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus ku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim.

Ketahuilah! Aku dilarang membaca Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah 'Azza wa Jalla di dalam rukuk, dan perbanyaklah doa di dalam sujud, pasti doamu diperkenankan Allah swt."

Hadis Sahih Muslim

Monday, May 8, 2017

Jujur &Dusta

Isnin, 11 Syaaban 1438H: Dari 'Abdullah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hendaklah kamu selalu berlaku jujur. Kerana berlaku jujur membimbing kepada kebajikan, dan kebajikan membawa ke syurga. 

Seseorang yang sentiasa berlaku jujur dan berusaha mempertahankan/mencari kejujuran, maka dia dicatat Allah sebagai "Sadiq" (orang yang jujur).

Dan hindarilah olehmu dusta, kerana sesungguhnya dusta itu membimbing kepada kejahatan, dan kejahatan membawa ke neraka. 

Seseorang yang sentiasa berdusta dan mempertahankan kedustaan, maka dia dicatat Allah Taala sebagai "Kadzdzab" (si Pendusta atau si Pembohong)."

Hadis Sahih Muslim

Friday, May 5, 2017

Rasulullah SAW Ikutan Terbaik

Jumaat, 8 Syaaban 1438H: Dari Sa'id bin Yasar r.a., katanya: "Pada suatu ketika aku berjalan bersama-sama Abdullah bin Umar di jalan menuju Mekah. 

Ketika aku merasa khuatir Subuh akan datang, aku turun dari kenderaanku lalu aku solat witir, sesudah itu aku susul Abdullah.

Tanya Abdullah, "Kemana engkau?"

Jawab ku, "Aku khuatir waktu Subuh akan segera datang. Aku turun dari kenderaan, lalu aku solat witir."

Kata Abdullah, "Bukankah Rasulullah saw. itu ikutan yang baik?"

Jawab ku, "Ya! Demi Allah!"

Kata Abdullah, "Sesungguhnya Rasulullah saw. pernah solat witir di atas kenderaannya."

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, May 4, 2017

Bacalah Quran Pada Waktu Subuh

Khamis, 7 Syaaban 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda : "Pahala solat berjemaah melebihi pahala solat sendirian dua puluh lima darjat. Malaikat malam dan siang bertemu pada waktu Subuh." 

Kata Abu Hurairah selanjutnya, "Kerana itu bacalah Quran pada waktu Subuh, kerana membacanya waktu Subuh disaksikan para malaikat."

Hadis Sahih Muslim.

Wednesday, May 3, 2017

Solat Sunat Selepas Qamat

Rabu, 6 Syaaban 1438H: Berita dari Malik bin Buhainah r.a., mengatakan. bahawa Rasulullah saw. pernah melihat seorang laki-Iaki solat dua rakaat sesudah qamat. 

Ketika Rasulullah saw. telah selesai solat, dan orang banyak memandang hairan kepada orang itu, maka Rasulullah saw. bersabda: "Subuh! Subuh! Subuh! Subuh!" (empat kali)."

Hadis Sahih Bukhari.

Tuesday, May 2, 2017

Solat Qasar Nabi saw

Selasa, 5 Syaaban 1438H: Dari Abu Juhaifah, dari bapanya, katanya: "Aku mendatangi Nabi saw. di Mekah, ketika itu beliau berada di Abthah, dalam jubah merah terbuat dari kulit. 

Tiba-tiba Bilal datang membawakan air wuduk untuk beliau. Dari sisa air itu ada orang yang mendapatkannya dan ada pula yang hanya mendapat percikannya saja. 

Kemudian Nabi saw. keluar memakai pakaian merah. Seolah-olah masih kelihatan olehku bagaimana putihnya betis Nabi. Ketika Nabi saw. wuduk, Bilal azan. Aku mengikuti gerak-gerik mulut Bilal berseru ke kanan dan ke kiri mengucapkan "Hayya 'alash shalah, hayya 'alal falah". 

Kemudian, Bilal memasakkan sebuah tongkat berujung besi, lalu Nabi saw. maju ke depan mengimami solat qasar Zohor dan Asar, masing-masing dua rakaat. Ketika Nabi sedang solat, keldai dan anjing lewat di balik tongkat itu, tetapi Nabi saw. tidak mencegahnya. 

Selama dalam perjalanan itu Nabi sentiasa solat qasar dua-dua rakaat hingga tiba kembali di Madinah."

Hadis Sahih Muslim