Thursday, June 30, 2011

Susu dan Arak

Khamis, 28 Rejab 1432H : Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Pada malam terjadinya israk dan mikraj di Baitul Maqdis, baginda dihidangkan dua gelas minuman, masing-masing berisi arak dan susu. Setelah baginda meneliti kedua gelas itu, maka baginda mengambil gelas berisi susu. Berkata Jibrail:”Segala puji bagi Allah yang membimbing anda memilih yang suci. Seandainya anda memilih arak, nescaya sesatlah umatmu.”(HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Susu dan arak adalah simbolik kepada dua nikmat yang berbeza. Satunya bersifat nikmat sementara dan satu lagi bersifat nikmat yang kekal (berkhasiat pada tubuh manusia).

2. Dalam ajaran Islam, arak adalah haram kerana ia memabukkan sekalipun padanya terdapat beberapa kebaikan yang lain tetapi yang nyata keburukannya telah mengatasi kebaikan. Arak mampu membuatkan manusia hilang pertimbangan dan mengheret kepada berlakunya beberapa perkara buruk seperti maksiat, pembunuhan dan sebagainya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Arak ialah setiap yang merosakkan akal fikiran.”(HR al-Bukhari dan Muslim)

3. Orang-orang Islam ditegah sama sekali meminum arak.Begitu juga membuat, menyedia, menghidang, membawa, menyimpan dan apa saja yang berkaitan dengannya. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Dalam persoalan arak ada sepuluh orang yang dikutuk kerananya iaitu pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan hasil wangnya, pembayarnya dan pemesannya ”(HR Anas)

4.Sebaliknya pada minuman susu, ia menjadi minuman yang bukan sahaja tidak memabukkan bahkan boleh mengubati penyakit. Madu dan susu merupakan minuman kegemaran Rasulullah saw.

5. Susu juga merupakan minuman yang istimewa di dalam syurga di hari akhirat kelak di samping arak di mana umat Islam yang tinggal di dalamnya dihidangkan dengan berbagai jenis makan dan minuman yang lazat, tidak memudaratkan malah belum pernah dirasai oleh manusia ketika di dunia.

6. Sesungguhnya keseronokan yang dinikmati di dunia ini hanya bersifat sementara dan sedikit berbanding dengan nikmat di akhirat yang indah dan kekal abadi.

Wednesday, June 29, 2011

Israk dan Mikraj

Rabu, 27 Rejab 1432H :Tanggal 27 Rejab tahun kesebelas selepas daripada kenabian Rasulullah s.a.dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah nabi s.a.w ke Madinah Munawwarah, telah berlaku suatu peristiwa yang sangant penting dalam sejarah Islam iaitu peristiwa isra' dan mikraj di mana ia merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra' yang bermaksud : "Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat"

Allah berfirman tentang mi'raj AlQuran QS. An-Najm:13-18: "Dan sesungguhnya dia (Nabi Muhammad SAW) telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain, di Sidratul Muntaha*. Di dekat (Sidratul Muntaha) ada syurga tempat tinggal. (Dia melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh suatu selubung. Penglihatannya tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar."

Renungilah firman Allah dalam ayat 286 penutup surah al-Baqarah yang merupakan ayat yang diterima oleh nabi semasa bertemu Allah pada malam Isra’ Mikraj selain daripada kewajipan solat lima waktu sehari semalam:Maksudnya : "Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat ganjaran kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau mengirakan kami berdosa jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami!Janganlah Engkau bebankan ke atas kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu bantulah kami dalam mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kufur."

Peristiwa Isra' dan Mikraj benar-benar menguji keimanan, bagi orang mu'min semua kejadian itu benar diyakini terjadinya. Allah Maha Kuasa atas segalanya. Allah berfirman :"Dan (ingatlah), ketika Kami wahyukan kepadamu: "Sesungguhnya (ilmu) Tuhanmu meliputi segala manusia". Dan Kami tidak menjadikan pemandangan yang telah Kami perlihatkan kepadamu, melainkan sebagai ujian bagi manusia...." (QS. 17:60).

Rasulullah bersabda :"Ketika orang-orang Quraisy tak mempercayai saya (kata Nabi SAW), saya berdiri di Hijr (menjawab berbagai pertanyaan mereka). Lalu Allah menampakkan kepada saya Baitul Maqdis, saya dapatkan apa yang saya inginkan dan saya jelaskan kepada mereka tanda-tandanya, saya memperhatikannya...." (HR. Bukhari, Muslim, dan lainnya).

Tuesday, June 28, 2011

Israk dan Mikraj - Kewajipan Solat

Selasa, 26 Rejab 1432H: Dari Anas r.a katanya:”Nabi Muhammad SAW telah bersabda :...(selain dari apa yang telah aku saksikan semasa aku dibawa israk dan mikraj pada malam itu), maka Allah fardhukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang...lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah SWT berfirman:”Sembahyang fardhu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti...”(HR Bukhari )

Keterangan Hadis:

1. 27 Rejab mencatatkan lakaran sejarah penting yang berlaku ke atas Rasulullah S.A.W kerana pada tarikh tersebutlah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj ke atas baginda. Ia berlaku pada tahun yang dinamakan “Tahun Dukacita” di mana baginda telah kehilangan dua orang insan yang telah banyak memberi pertolongan dan bantuan sepanjang menjalankan dakwah suci iaitu isteri baginda Siti Khadijah dan bapa saudara baginda Abu Talib.

2. Di dalam peristiwa Israk dan Mikraj banyak perkara telah berlaku dan yang paling utama adalah mengenai sembahyang yang merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima.

3. Baginda S.A.W telah menerima kewajipan sembahyang lima waktu ketika Mikraj secara langsung daripada Allah SWT tanpa melalui Jibiral.Ini menunjukkan betapa besarnya nilai solat lima waktu kepada umat Islam.

4. Jika kita perhatikan mengenai kewajipan ini maka fahamlah kita tentang betapa besarnya ganjaran dan peranan sembahyang di mana sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna mampu mencegah umat Islam daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

5. Peringatan Rasulullah S.A.W mengenai sembahyang ini harus dititikberatkan memandangkan sekarang ini ramai di kalangan umat Islam yang mengabai dan memandang mudah terhadap sembahyang lima waktu apatah lagi menunaikannya secara berjemaah. Pengaruh keduniaan telah menghantui mereka sehingga sanggup meninggalkannya demi mengejar habuan dunia yang tidak seberapa.

Monday, June 27, 2011

Hati Yang Sejahtera

Isnin, 25 Rejab 1432H: Hati yang merajai dan memimpin anggota manusia terbahagi kepada tiga jenis;Hati yang sejahtera ( qalbun salim ), Hati yang sakit ( qalbun saqim) dan hati yang mati ( qalbun mayyit )

Hati yang sejahtera ( qalbun salim )

Firman Allah swt;
(يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (89) [الشعراء: 88، 89].
Maksudnya; Pada hari itu harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali mereka yang dating kepada Allah dengan hati yang sejahtera.

Hati yang baik di dalam ayat di atas bermaksud orang yang meninggal dunia dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt, akhir kehidupannya dapat mengucap kalimah syahadah, kehidupan mereka di akhirat nanti akan mendapat kebahagiaan dan keredhaan Allah swt. Itulah kesudahan bagi mereka yang memiliki hati yang baik ( qalbun salim ). Ya Allah anugerahkanlah kami hati yang sejahtera, hati yang baik yang dapat memimpin kami ke jalan yang yang Engkau radhai.

Antara ciri-ciri hati yang sejahtera;

1. Sentiasa mengingati Allah swt dalam apa jua keadaan, ketika berdiri, duduk mahupun ketika berbaring, lidahnya sentiasa basah mengingati Allah swt.

2. Sentiasa membaca al-Quran dan mentadabburkan makna-maknanya.

3. Sentiasa peka dengan kewajipan-kewajipan yang ditaklifkan serta menunaikannya dengan cara yang paling sempurna.

4. Sentiasa berhati-hati terhadap larangan-larangan agama dan menjauhkannya.

5. Sentiasa bermuhasabah diri dan segera bertaubat kepada Allah swt.
Berperibadi dengan akhlak yang mulia.

4. Sentiasa berbaik sangka dan menjauhkan dari berburuk sangka, hasad dengki dan semua sifat-sifat mazmumah dalam hati.

5. Sentiasa bersyukur kepada Allah swt dan redha dengan ketetapan ilahi.

Friday, June 24, 2011

Golongan Yang Tidak Dipedulikan Allah Di Akhirat

Jumaat, 22 Rejab 1432H : Daripada Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim, Ahmad dan Ibnu Asakir meriwayatkan daripada Fudhalah bin ‘Ubaid r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka : Seorang lelaki yang meninggalkan jemaah, menderhakai imamnya dan mati sebagai penderhaka. Seorang hamba lelaki atau wanita yang lari lalu mati. Seorang wanita yang ketiadaan suaminya di rumah padahal suaminya telah mencukupkan kepadanya belanja dunia lalu ia berhias selepas ketiadaan suaminya di rumah. Maka mereka tidak ditanya. Dan tiga orang yang tidak ditanya mengenai mereka iaitu: Seorang lelaki yang merebut pakaian Allah kerana pakaian Allah ialah kesombongan dan kainnya ialah kemuliaan. Dan seorang lelaki yang ragu mengenai urusan Allah dan putus asa dari rahmat Allah.” (HR al-Bukhari, Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim dan Ibnu Asakir)

Keterangan Hadis:

1. Allah SWT amat benci kepada orang yang melakukan perkara-perkara dosa dan maksiat. Antara ancaman dan kutukan itu ialah Allah melaknat perbuatan tersebut, menjanjikan pelakunya dengan azab seksa yang pedih, memasukkannya ke dalam neraka, Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, tidak membersihkan dosa-dosa mereka dan tidak memandang mereka.

2. Perkara-perkara maksiat yang dikutuk dan diancam itu menunjukkan bahawa Allah SWT sangat murka kepada mereka yang melakukannya. Apa yang dimaksudkan dengan “Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat” ialah Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka sebagaimana kata-kata orang-orang yang baik dan tidak menyatakan keredaan-Nya, malah Allah akan berkata-kata kepada mereka sebagaimana kata-kata orang-orang yang murka.

3. Menurut jumhur ahli tafsir, ia bermaksud bahawa Allah tidak akan berkata-kata dengan perkataan yang memberi manfaat dan menggembirakan mereka. Ada juga yang berpendapat bahawa Allah tidak akan mengutus malaikat kepada mereka untuk memberi penghormatan kepada mereka.

4. Sementara maksud “Allah tidak akan memandang mereka” ialah Allah Ta‘ala akan memalingkan pandangan-Nya dari mereka. Manakala maksud pandangan Allah kepada hamba-hamba-Nya ialah rahmat dan taufik serta perlindungan-Nya terhadap mereka.

5. Satu-satunya nanungan yang adan dan sangat diharapkan diakhirat ialah naungan Allah. Jika tiada naungan daripada Allah maka celakalah mereka dan neraka akan menjadi tempat tinggal mereka selama-lamanya.

Thursday, June 23, 2011

Jumaat Penghulu Segala Hari

Khamis, 23 Rejab 1432H : Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:“Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani. “ ( HR al-Bukhari)

Pengajaran Hadis:

1. Islam menyerlahkan perbezaan yang begitu ketara dengan agama-agama lain agar umatnya tidak terkeliru seperti membezakan arah qiblat, kitab suci, hari raya, hari kebesaran dan sebagainya.

2. Islam menetapkan bahawa hari Jumaat adalah sebagai penghulu segala hari. Ini berbeza dengan Yahudi yang membesarkan hari Sabtu dan Kristian yang membesarkan hari Ahad.

3. Perbezaan-perbezaan yang ditetapkan oleh Islam ini hendaklah diamalkan dan dihayati secara praktikal oleh umat Islam kerana dengan cara ini akan menyerlahkan lagi jati diri setiap muslim serta menjauhkan mereka daripada terpengaruh dengan adat dan budaya yang cuba dibawa masuk oleh musuh Islam.

4. Kegagalan umat Islam dalam mempromosikan Islam terhadap masyarakat bukan Islam akan mengakibatkan umat Islam dipandang hina dan Islam dipandang sepi. Dengan itu umat Islam hendaklah berhati-hati agar tidak terikut dengan semua adat dan budaya orang-orang bukan Islam sehingga membawa kepada rosaknya aqidah dan terpadamnya garisan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Wednesday, June 22, 2011

Amalan Bersugi

Rabu, 20 Rejab 1432H: Daripada Abu Musa r.a katanya, saya datang kepada nabi SAW lalu saya mendapatinya sedang menggosok gigi dengan suatu kayu sugi di tangannya. Baginda menyebutkan u’ u’ sedangkan sugi berada di mulutnya, seolah-olah nabi mahu muntah.” (HR al-Bukhari & Muslim )

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Jikalau tidak menjadi keberatan ke atas umatku, nescaya aku menyuruh mereka bersugi ketika setiap kali sembahyang.”(HR at-Tirmidzi)

Pengajaran Hadis:

1. Rasulullah SAW menegaskan seandainya tidak menyusahkan umatnya nescaya baginda mewajibkan setiap daripada kita bersugi pada tiap-tiap kali hendak bersolat. Namun apabila baginda memikirkan kesukaran pelaksanaannya maka hukumnya sekadar menjadi sunat.

2. Antara hikmah bersugi ialah supaya kita berada dalam keadaan sempurna dan bersih sebelum mengerjakan ibadat kepada Allah SWT. Iman an-Nawawi menyatakan bahawa kita digalakkan bersugi dalam lima waktu iaitu :

i) Ketika hendak bersolat
ii) Ketika berwudhu’.
iii) Ketika hendak membaca al-Quran
iv) Ketika bangun daripada tidur
v) Ketika berubah bau mulut disebabkan tidak makan dan minum atau kerana memakan sesuatu yang berbau busuk seperti petai, jering dan sebagainya

Tuesday, June 21, 2011

Berpegang Teguh Kepada Al Quran

Selasa, 19 Rejab 1432H : Katanya: Ingatlah! Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: " Awaslah! Sesungguhnya akn berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar".

Aku bertanya: " Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, Ya Rasulullah?"

Baginda menjawab: " (Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah, ia mengandungi kisah-kisah perihal umat-umat yang terdahulu dari kamu, dan berita perkara-perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum-hukum mengenai apa yang berlaku di antara kamu;

(kitab Allah al-Quran) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah), bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah, dan sesiapa yang mencari pertunjuk dari yang lainnya - akan disesatkan oleh Allah;

al-Quran ialah tali Allah yang teguh kukuh, dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan, dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus).

Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk; dan alim ulama pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang, meskipun ia dibaca dengan berulang-ulang; dan kandungannya yang menakjubkan, tidak berkesudahan.

Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, yang memimpin ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya."

(Demikian juga) sesiapa yang memperkatakannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala; dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hukumnya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajaran-ajarannya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah pertunjuk ke jalan yang lurus." ( Ali r.a )

Monday, June 20, 2011

Qana'ah

Isnin,18 Rejab 1432H: Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Nabi saw. bersabda yang maksudnya:”Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripadamu dan jangan melihat kepada orang yang lebih tinggi. Itulah tembok yang kukuh supaya kamu tidak menghina pemberian Allah kepadamu.” (HR Bukhari)

Pengajaran Hadis:

1. Selaku insan mukmin, kita tidak harus menyalahkan apa sahaja pemberian Allah SWT apalagi menghinanya kerana jika dihitung-hitung nikmat Allah, nescaya kita tidak akan sanggup menghitungnya lagi disebabkan terlampau banyaknya nikmat tersebut termasuklah pemberian yang tidak kita sedari.

2. Kita jangan merasa kesal atau kecewa dengan ciptaan atau pemberian Allah sama ada kita mengalami kecacatan, kekurangan dan sebagainya. Hal ini kerana jika kita mengeluh terhadap-Nya, padahal kita sedang menikmati rahmat-Nya, itu bermakna kita tamak dan menutup mata atas nikmat yang telah kita miliki selama ini dan hal demikian akan menjerumuskan kita ke lembah kekufuran serta mengundang kemurkaan Allah sehingga tiba suatu masa kelak, Allah SWT akan menarik semula segala nikmat pemberian-Nya itu dan menggantikannya dengan kesusahan.

3. Ketika itulah kita akan menyesal dan celik akan hakikat sebenarnya. Sesungguhnya sebahagian besar musibah yang menimpa manusia adalah disebabkan oleh keluhan-keluhan mereka terhadap-Nya sedangkan Allah itu Maha Pengasih, Maha Adil dan lemah-lembut terhadap hamba-hamba-Nya.

4. Oleh itu dalam apa juga perkara kita hendaklah bersifat qana’ah dan sentiasa bersyukur di samping berusaha dan bersabar kerana Allah ada berfirman yang maksudnya:”...boleh jadi kamu benci pada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahui.” (al-Baqarah:216)

5. Untuk melahiran sifat sentiasa bersyukur kepada Allah, kita mestilah melihat merekan yang dibawah kita bukan diatas kita.

Friday, June 17, 2011

Pakaian Berwarna Putih

Jumaat,15 Rejab 1432H: Dari Samurah bin Jundab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu”. (Sunan at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad)

Pengajaran Hadis:

1. Solat adalah sah jika menepati segala rukun dan syarat yang telah ditentukan oleh syarak walaupun memakai pakaian yang ada gambar (bergambar), tulisan dan corak-corak. Diriwayatkan dari Aisyah katanya;:”Nabi s.a.w pernah solat memakai baju bergambar (bercorak-corak). Suatu ketika nabi s.a.w terlihat kepada gambar di baju itu. Setelah selesai solat, nabi berkata:”Bawalah bajuku ini kepada Abu Jahm dan bawa kembali tukaran daripada Abu Jahm. Baju ini melalaikanku sebentar tadi dari solatku.” (HR al-Bukhari)

2. Walau bagaimanapun dari segi adab dalam beribadat, perkara ini tidak digalakkan kerana ia mungkin mengganggu penumpuan kita atau orang lain terhadap solat kecuali tidak ada pakaian yang lebih baik ketika itu.

3. Sesungguhnya dalam beribadat, bukan sahaja rukun dan syarat perlu diikuti tetapi adab juga mesti diutamakan kerana ia boleh mempengaruhi kesempurnaan dalam solat sepeti khusyukkan dalam bersolat.

4. Memakai pakaian yang sopan dan selayaknya dipakai mestilah dititikberatkan apalagi ketika behadapan dengan Allah Ta'ala. Itulah yang dinamakan sifat ihsan iaitu merasakan bahawa Allah Ta'ala melihat ibadat yang sedang kita kerjakan. Jika kita tidak menjaga adab ini dikhuatiri ibadat kita tidak sempurna walaupun di sisi syarak ianya dianggap sah.

5. Di dalam kitab Bahrulmazi ada menyebut bahawa Siti Aishah RA menceritakan hadis Nabi SAW yg berbunyi "Adalah Nabi itu berminat dengan pakaian yang putih bersih dan banci pada pakaian yang kotor."

6. Maka pada hadis ini menunjukkan bahawa disunatkan bagi sekalian umat-umatnya berpakaian dgn pakaian yang putih dan bersih, terutamanya untuk hadir Solat Jumaat dan Jemaah, dan juga pada tempat-tempat keramaian dan memberi pakai kepada anak-anak mahupun keluarga pakaian yg berwarna Putih kerana mengikut perbuatan dan suruhan Nabi SAW.

Thursday, June 16, 2011

Adab Bersin

Khamis, 14 Rejab 1432H:Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya Allah S.W.T sukakan bersin dan benci pada menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan memuji Allah S.W.T "(Alhamdulillah)", hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan “(Yarhamukallah)”. Sedangkan menguap itu adalah daripada syaitan. Maka jika seorang kamu menguap hendaklah ia mengembalikannya (menahannya) sedapat mungkin, kerana apabila kamu menguap, syaitan akan ketawa melihatnya.”( H Riwayat al-Bukhari)

Pengajaran Hadis:

1. Islam selaku agama yang mulia amat menekankan kesopanan dan kesantunan dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya sama ada dalam pergaulan, percakapan ataupun tingkahlaku refleks seperti menguap, bersin dan sebagainya.

2. Ketika menguap terdapat adabnya yang tersendiri iaitu hendaklah meletakkan tangan di mulut ketika menguap untuk menutup pandangan yang tidak elok ketika mulut terbuka dan juga untuk menghalang sesuatu daripada masuk ke dalam mulut. Selain itu kita disuruh mengurangkan bunyi ketika menguap, seboleh-bolehnya tidak kedengaran langsung.

3. Manakala apabila bersin pula kita hendaklah memalingkan muka ke arah lain sambil menutup mulut dan hidung untuk mengurangkan bunyi bersin tersebut selain untuk mengelak daripada terkena jangkitan pada orang lain. Selepas bersin hendaklah mengucapkan “alhamdulillah” dan orang yang mendengarnya hendaklah mengucapkan “yarhamukallah” sebagai mendoakan kesejahteraan orang yang bersin itu serta dibalas pula oleh orang yang bersin dengan mengucapkan “Yahdiinaa wayahdiikumullah”.

4. Bersin yang terlalu kerap melebihi 3 kali menandakan seseorang itu kemungkinan diserang selsema manakala menguap yang terlampau kerap menandakan seseorang itu tidak cukup tidur selain menunjukkan ciri-ciri kemalasan yang patut dihindari dengan melakukan aktiviti senam ringan dan sebagainya.

Wednesday, June 15, 2011

Adab Menguap

Rabu, 13 Rejab 1432H: Dari Abu Sa’id al-Khudri, dari bapanya r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Apabila seseorang kamu menguap, maka hendaklah ia menutup mulutnya kerana syaitan dapat masuk.” ( HR Muslim )

Pengajaran Hadis:

1. Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Menguap (dengan mulut terbuka luas) merupakan gangguan dari syaitan. Apabila ada di antara kamu yang menguap maka hendaklah dia menutup mulutnya mengikut kemampuan. (Muslim)

2. Dari Abu Said Al-Khudri r.a dari Nabi saw ia bersabda:“Jika ada di antara kamu menguap, tutuplah mulutmu kalau-kalau syaitan masuk..(Abu Dawud]

3. Terdapat beberapa hadith lain lagi yang berkisar perihal menguap dan adab-adabnya. Dan kesemua hadis-hadis tersebut membawa kepada satu makna, iaitu Islam tidak suka seseorang menguap tanpa menutup mulut apatah lagi ketika sembahyang.

Tuesday, June 14, 2011

Bergurau Senda

Selasa, 12 Rejab 2011: Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”:Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah !” (H.Riwayat Abu Daud)

Pengajaran Hadis:

i) Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda.

ii) Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.

iii) Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:
a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a..w .
b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.
c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-buat.
f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.

iv) Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya.

Monday, June 13, 2011

Elakkan Berkata "kalau".

Isnin, 11 Rejab 2011:Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”Sekiranya (kalau) aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘kalau’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” (H Riwayat Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Kekuatan seseorang Muslim itu diukur bukan sahaja dari segi fizikal (tubuh badan) tetapi juga dinilai daripada aspek kekuatan iman. Bahkan itulah yang paling penting.

2. Orang yang sentiasa bewaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan mudah terjerumus dalam perangkap syaitan. Segala tindakan yang diambil mencerminkan ketaqwaannya kepada Allah dan dia sekali-kali tidak membiarkan kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kegembiraan (kemenangan) dan kesedihan semata tetapi percaya bahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri daripada Allah untuk diambil pengajaran.

3. Ucapan ‘kalau’ tidak harus diamalkan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak redha dengan apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan ingat bahawa segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri kita sendiri. Oleh sebab itu Islam menyuruh umatnya agar bertawakkal (berserah) kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu usaha dan percaya bahawa setiap sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa keizinan daripada-Nya jua.

Friday, June 3, 2011

Bulan Rejab

Jumaat, 1 Rejab 1432H : Rejab secara bahasa bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab merupakan bulan yang ke tujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa jua bentuk peperangan pada bulan ini. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan bulan Rejab ini adalah bani Mudhar.


Di dalam kalendar umat Islam terdapat dua belas bulan yang mana Allah S.W.T. telah memuliakan empat bulan darinya. Firman-Nya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. – al-Tawbah (9) : 36


Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu” di dalam ayat di atas bermaksud jangan seseorang itu menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.


Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:
Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662


Ternyata bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T.. Justeru itu telah tersebar dalam masyarkat kita behawa terdapat amalan-amalan yang dikhaskan sempena bulan Rejab ini dan ianya memiliki fadilat-fadilat yang besar. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil yang sah menunjukkan terdapat amal-amal ibadah yang tertentu bersempena dengan bulan Rejab. Hal ini telah diperakui oleh tokoh ulamakk hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani r.h dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis yang sahih tentang keutamaan bulan Rejab (melainkan ia termasuk bulan-bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada bulan Rejab yang dapat dijadikan pegangan. – Rujuk Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, (edisi terjemahan dengan tajuk Bidaah Bidaah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta, 2004) ms. 152.


PUASA REJAB


Adalah masyhur di sisi masyarkat kita bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 1hb Rejab, hari Khamis minggu pertama bulan Rejab, Nisfu Rejab dan 27hb Rejab sempena Israk Mikraj. Untuk menguatkan hujah puasa-puasa sunat ini maka diketengahkan beberapa riwayat-riwayat palsu serta lemah bersertakan ganjaran pahala yang besar. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah r.h di dalam Majmu’ Fatawa:


Adapun puasa bulan Rejab secara khusus disandarkan kepada hadis-hadis yang kesemuanya dha’if (lemah) bahkan maudhu’ (palsu) yang tidak dijadikan sebagai hujah oleh ahli ilmu dan bukan pula termasuk hadis dha’if yang dikategorikan dalam amalan-amalan mulia tetapi hadis-hadis dha’if yang masuk dalam kategori hadis dusta. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry (edisi terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta 2003), ms. 243-244.


Ibnu Rajab di dalam al-Mughni pula berkata:
Mengenai keutamaan puasa khusus pada bulan Rejab, tidak ada satupun hadis sahih yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. mahupun para sahabat. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah, ms. 245.


Syaikh Sayyid Sabiq r.h pula berkata:
Mengenai puasa pada bulan Rejab, tiada kelebihan yang menonjol baginya berbanding bulan-bulan lain melainkan ia termasuk bulan-bulan suci. Dan tidak diterima dari sunnah keterangan yang sah bahawa berpuasa pada bulan itu mempunyai keistimewaan khusus. Ada juga diterima riwayat (tentang keutamaan berpuasa pada bulan Rejab), tetapi tidak dipertanggung-jawabkan sebagai hujah – Sayyid Sabiq, Fiqhu as-Sunnah (edisi terjemahan dengan tajuk Fikih Sunnah, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990), jilid 3, ms. 205.


Sungguhpun begitu apa yang ditemui adalah riwayat daripada para sahabat Nabi yang melarang puasa pada bulan Rejab. Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan daripada Kharsyah bin Hurr yang berkata: Saya melihat ‘Umar r.a membuat makanan untuk manusia pada bulan Rejab hingga mereka meletakkanya di dalam mangkuk besar. ‘Umar berkata: Makanlah, kerana ini adalah bulan yang diagungkan oleh orang-orang jahiliyah. – Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannif, jilid 3, ms. 102
Malah Saidina ‘Umar juga dikatakan telah memukul tangan mereka yang berpuasa pada bulan Rejab


Daripada Atha’, dia berkata: “Ibnu ‘Abbas melarang puasa pada bulan Rejab seluruhnya, agar tidak dijadikannya sebagai hari besar (hari raya). – Hadis riwayat Abdurrazaq dalam Mushannif, no: 7854. Selain dari itu terdapat juga di kalangan masrakat kita yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. Amalan ini juga sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sah. Imam Ibnul Qayyim r.h berkata:


Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang dan baginda sama sekali tidak berpuasa pada bulan Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada bulan Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah. – Rujuk Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, ms. 152. Meskipun begitu sekiranya seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab tanpa niat mengagungkan bulan tersebut sebagaimana golongan jahiliah dan tidak menyakini fadilat-fadilat palsu yang dikaitkan dengan puasa pada bulan Rejab tersebut atau dia hanya berpuasa bertepatan dengan hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti puasa hari Isnin dan Khamis, puasa Ayyam al-Bidh (puasa pada tarikh 13,14 dan 15 setiap bulan) atau Puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) dalam bulan Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan oleh syarak. Wallahu a’lam.


SOLAT BULAN REJAB


Terdapat beberapa solat yang dikhususkan sempena bulan Rejab seperti solat pada malam pertama bulan Rejab, solat Nisfu Rejab, solat pada malam 27hb Rejab dan yang paling diketahui ramai yakni solat yang dikerjakan pada malam Jumaat minggu pertama bulan Rejab yang dikenali sebagai solat Raghaib. Kesemua dalil tentang solat-solat khusus sempena bulan Rejab ini adalah sama ada dha’if atau mawdhu’ sebagaimana yang telah diperkatakan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar r.h dalam Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab. Tentang solat Raghaib ini Imam al-Nawawi yang juga merupakan seorang tokoh dalam mazhab Syafie telah berkata di dalam Fatawa an-Nawawi (ms. 40): Solat Raghaib adalah bidaah yang tercela, mungkar dan sangat diingkari, yang mencakup kemungkaran-kemungkaran sehingga harus ditinggalkan, ditentang dan diingkari pelakunya. Kepada para penguasa harus melarang manusia dari melaksanakan solat ini kerana mereka adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas rakyatnyaPara ulamak telah menulis buku-buku khusus tentang masalah ini untuk mengingkari dan mencelanya serta membodohkan pelakunya. Janganlah kita terperdaya oleh banyaknya orang yang melakukannya di banyak negara Islam dan jangan pula tergoda kerana solat itu tertulis dalam kitab Quut al-Qulub (karya Muhammad bin Ali bin Athiyah al-Ajami al-Makki) dan Ihya’ ‘Ulum ad-Din (karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali) dan sebagainya kerana kedua solat itu iaitu (solat Raghaib dan solat Nisfu Syaaban) itu adalah bidaah yang batil. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, ms. 286.


UMRAH PADA BULAN REJAB


Terdapat juga pandangan bahawa pada bulan Rejab disunatkan untuk mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu menurut ‘Aisyah r.a Rasulullah s.a.w tidak pernah mengerjakan atau menganjurkan umrah untuk dikerjakan pada bulan Rejab.Daripada Mujahid dia berkata: Aku masuk bersama Urwah bin az-Zubair ke masjid, ternyata ‘Abdullah bin ‘Umar r.a sedang duduk di samping bilik Saidatina ‘Aisyah r.a ... Kemudian dia berkata kepadanya: Berapa kali Rasulullah s.a.w. melakukan umrah? Dia (Ibnu ‘Umar) menjawab: Empat kali Rasulullah s.a.w. melakukan umrah. Dia (Ibnu ‘Umar) menjawab: Empat kali, salah satunya pada bulan Rejab. Lalu kami pun enggan untuk membenarkan perkataannya.Dia (mujahid) berkata: Kami mendengar dia (iaitu ‘Aisyah) sedang bersiwak. Kemudian Urwah bertanya kepada ‘Aisyah r.a: Wahai ibu orang-orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu ‘Abdurrahman? Dia berkata: Apa yang dia katakan? Aku menjawab: Dia berkata bahawa Nabi s.a.w. pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab. Beliau berkata: Semoga Allah merahmati Abu ‘Abdurrahman. Rasulullah tidak melakukan satu Umrah pun melainkan dia (yakni ‘Aisyah) ikut bersama baginda dan baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Umrah, no: 1775 & 1776.


Ternyata Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab dan tidak ada juga riwayat yang sabit daripada baginda yang menganjurkan umrah dikerjakan pada bulan Rejab. Oleh itu pendapat yang lebih tepat adalah bahawa ibadah umrah tidak memiliki keutamaan tertentu sekiranya dikerjakan pada bulan Rejab malah tidak ada dalil yang kuat menunjukkan ianya disunnahkan untuk dikerjakan pada bulan tersebut. Riwayat-riwayat yang menunjukkan terdapat dikalangan generasi salaf yang mengerjakan umrah pada bulan Rejab bukan menunjukkan mereka telah berniat untuk mengkhususkan bulan itu untuk berumrah. Namun tujuan mereka adalah untuk melaksanakan haji dan umrah dalam dua waktu atau perjalanan yang berbeza.


‘ATIRAH BULAN REJAB


‘Atirah adalah haiwan yang disembelih pada bulan Rejab yang digunakan oleh orang-orang Arab jahiliyah untuk mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka. Ianya dilaksanakan pada sepuluh hari pertama bulan Rejab dan haiwan yang biasanya dipergunakan untuk ritual ini adalah kambing. Terdapat sesetengah umat Islam yang masih melaksanakan ‘Atirah ini berpandukan beberapa hadis seperti dibawah.


Al-Harith bin Amru pernah bertanya Rasulullah s.a.w. tentang ‘Atirah maka jawab baginda:
Sesiapa yang mahu menyembelih ‘Atirah silakan menyembelih dan siapa yang tidak mahu jangan menyembelih. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Fara’ wa al-‘Atirah, no: 4154


Sabda Rasulullah s.a.w.: Wahai manusia, kepada setiap ahlul bait diwajibkan untuk berkurban dan menyembelih ‘Atirah setiap tahun. Tahukah kalian apa itu ‘Atirah? Iaitu apa yang kalian namakan Rajaban. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Adhahi, no: 1438.


Namun hadis-hadis tersebut hanya menunjukkan ‘Atirah telah dibenarkan perlaksanaanya pada zaman awal kedatangan Islam sedangkan ia telah dimansuhkan hukumnya setelah itu sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. seperti diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a:
Tidak ada lagi Fara’ dan juga ‘Atirah. Fara’ ialah anak unta pertama yang disembelih dan dipersembahkan kepada berhala dengan harapan induknya (ibu unta tersebut) akan lebih banyak melahirkan anak. Sedangkan ‘Atirah adalah kambing yang disembelih pada sepuluh hari pertama bulan Rejab. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Aqeeqah, no: 5473.


Imam Ibnul Qayyim r.h di dalam Tahdzib Sunan Abi Dawud berkata:
Orang-orang Arab mengerjakan tradisi (al-‘Atirah) itu pada masa jahiliah, lalu dikerjakan sebahagian orang Islam sehingga Rasulullah s.a.w. memerintahkannya, tetapi setelah itu baginda melarangnya seraya bersabda “Tidak ada lagi Fara’ dan juga ‘Atirah” sehingga umat Islam setelah itu dilarang mengerjakan ‘Atirah. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, ms. 241.


Namun ini bukan bermakna dilarang sama sekali untuk menyembelih haiwan pada bulan Rejab. Yang dilarang adalah menghidupkan semula al-‘Atirah atau menyembelih haiwan dengan niat untuk mengagungkan bulan Rejab sebagaimana golongan Arab jahiliah. Wallahu a’lam.



SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ


Setiap kali apabila munculnya tarikh 27 Rejab maka umat Islam seluruh dunia akan rancak membincangkan tentang peristiwa Israk dan Mikraj. Pelbagai program keagamaan diatur demi memuliakan peristiwa bersejarah tersebut. Hal ini merupakan satu usaha murni untuk mengingatkan kembali umat Islam kepada peristiwa-peristiwa bersejarah yang mana di dalamnya terdapat pelbagai pengajaran bermanfaat. Rata-rata umat Islam di Malaysia yakin bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memang benar-benar berlaku pada 27 Rejab. Seolah-olah ia telah disepakati di kalangan para ulamak ahli sunnah wal jamaah. Hakikat yang sebenar adalah wujudnya perbezaan pendapat di kalangan para ulamak tentang tarikh terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj tersebut. Hal ini telah diperjelaskan oleh al-Hafidz Ibu Hajar al-'Asqalani r.h:
Para ulamak berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum baginda dilantik menjadi Nabi. Pendapat ini ganjil (syaz) kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulamak berpendapat setelah baginda menjadi Nabi. Mereka juga berselisih tentang tarikh sebenar peristiwa ini.Antara mereka ada yang menyatakan peristiwa ini berlaku setahun sebelum hijrah. Ini merupakan pendapat Ibn Sa'd dan yang lainnya dianggap benar oleh Imam al-Nawawi dan Ibn Hazm. Bahkan, Ibn Hazm berlebihan dengan menukil kononnya ulamak telah berijmak bahawa peristiwa itu terjadi pada bulan Rabiul Awal. Dakwaan ijmak ini tertolak kerana terdapat perselisihan yang banyak, iaitu lebih dari sepuluh pendapat." – Rujuk Kitab Fathul Baari Syarah Shahih al-Bukhari, (edisi terjemahan dengan tajuk Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pustaka Azzam, Jakarta 1997),jilid. 7, ms. 203.


Seterusnya al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan pendapat para ulama tersebut satu pesatu. Antara ringkasannya ialah:
1. Berlaku setahun sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rabiul Awal. Ini adalah pendapat Ibn Sa'd dan selainnya. Pendapat ini dibenarkan oleh Imam al-Nawawi.
2. Tarikh peristiwa ini berlaku ialah lapan bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rejab. Ini menurut pendapat Ibn Hazam. Katanya: Ia berlaku pada bulan Rejab tahun ke 12 kenabian.
3. Ia berlaku enam bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Ramadan. Pendapat ini disampaikan oleh Abu al-Rabie’ bin Saalim.
4. Ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rabiul Akhir. Ini pendapat Ibrahim bin Ishaq al-Harbiy. Katanya: Ia berlaku pada bulan Rabiul Akhir, setahun sebelum hijrah. Pendapat ini dibenarkan Ibn al-Munayyir di dalam Syarh al-Sirah karya Ibn Abdul Bar.
5. Setahun dua bulan sebelum hijrah. Pendapat ini disampaikan oleh Ibn Abdul Bar.
6. Setahun tiga bulan sebelum hijrah. Pendapat ini disampaikan oleh Ibn Faaris.
7. Setahun lima bulan sebelum hijrah. Ini adalah pendapat al-Suddiy.
8. Lapan belas bulan sebelum hijrah dan jatuh pada bulan Ramadan. Pendapat ini disampaikan Ibn Saad, Ibn Abi Subrah dan Ibn Abdul Bar.
9. Berlaku pada bulan Rejab tiga tahun sebelum hijrah. Pendapat ini di sampaikan Ibn al-Atsir.
10. Lima tahun sebelum hijrah. Ini menurut pendapat Imam al-Zuhriy dan dibenarkan oleh al-Qadhi ‘Iyaadh’.
Dari sini, benarlah dakwaan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h bahawa tidak ada dalil yang tegas menunjukkan bila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj ini. Bahkan, Imam Abu Syamah al-Syafie r.h menegaskan:
Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada bulan Rejab. Dalam hal ini, menurut ahli al-Jarh wa al-Ta’dil (ulamak hadis) hal itu merupakan pembohongan. – Rujuk Kitab al-Ba’its karya Abu Syamah Abdul Rahman bin Ismail, ms. 171.
Ibn Rajab al-Hanbali r.h pula berkata:
Telah diriwayatkan bahawa pada bulan Rejab terjadi banyak peristiwa yang istimewa. Tetapi, tidak ada satu pun dalil yang sahih dalam hal ini. Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w lahir pada awal malam bulan Rejab, diangkat menjadi Nabi pada tarikh 27 Rejab, ada yang menyatakan tarikh 25 Rejab dan sebagainya. Semua riwayat itu tidak sahih. – Rujuk Kitab Latoif al-Ma’aa-rif karangan Ibn Rajab Abdul Rahman bin Ahmad, ms. 168.


PENGAJARAN DARI PERSELISIHAN INI


Apa kepentingannya untuk membawa perbezaan pendapat tentang tarikh peristiwa Israk dan Mikraj ini? Tidakkah ia hanya akan menimbulkan kekeliruan? Bagi penulis, apabila kita ingin menyampaikan ilmu berkaitan agama kita hendaklah berlaku adil dan memastikan kesahihan fakta.


Walaupun sesuatu perkara yang ingin kita sampaikan itu bertentangan dengan pandangan majoriti masyarakat setempat. Namun, kita tetap mesti bersifat amanah demi menjaga ketulenan agama. Pengajaran yang dapat kita ambil dari pendedahan ini adalah:
1. Kita perlu mempertingkatkan kefahaman kita terhadap agama ALLAH. Jangan kita menelan bulat-bulat apa yang disuapkan oleh pihak lain terhadap kita. Kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami ajaran sebenar Rasulullah s.a.w agar dapat membezakan antara perkara hak dan batil. Hal ini hanya dapat direalisasikan melalui kesungguhan kita dalam mempelajari ilmu-ilmu agama. Ketahuilah bahawa menuntut ilmu itu diwajibkan ke atas setiap Muslim.


Sabda Nabi s.a.w: "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim." - Hadis riwayat Imam Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, Kitab al-Muqaddimah, hadis no: 220.


ALLAH juga meninggikan darjat mereka yang memiliki ilmu melalui firman-NYA:
"ALLAH akan meninggikan kedudukan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat." – Surah al-Mujadilah: 11.


Ini merupakan ganjaran paling besar bagi mereka yang berusaha bersungguh-sungguh mempelajari apa jua bidang ilmu terutamanya ilmu-ilmu berkaitan agama. Sekiranya kita hanya berpuas hati dengan ilmu agama yang telah dipelajari ataupun yang telah kita warisi secara turun-temurun tanpa mempunyai niat untuk mempertingkatkannya, natijahnya kita hanya berpegang kepada pendapat bahawa tarikh peristiwa Israk dan Mikraj tersebut berlaku pada malam 27 Rejab kononnya menurut ijmak para ulama.


Oleh itu, dalami ilmu agama dari sumber sahih bersumberkan al-Quran dan sunnah menurut fahaman generasi salafussoleh. Siapakah generasi salafussoleh? Mereka adalah generasi terbaik bagi umat Islam sebagaimana sabda Nabi s.a.w: "Sebaik-baik generasi ialah generasiku (sahabat), kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ al-Tabi’in)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, hadis no: 3650.


Inilah manhaj sebenar ahli sunnah wal jamaah, iaitu mereka yang berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah dan mengikuti semua ajaran yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w sama ada berupa iktikad, ibadah, muamalah atau akhlak sebagaimana yang difahami dan dilaksanakan oleh generasi salafussoleh dan para pengikut mereka hingga ke hari ini.


2. Apabila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj tidak diketahui secara jelas oleh generasi salafussoleh, ini menunjukkan bahawa mereka tidak mengkhususkan apa-apa upacara sambutan atau amal ibadah tertentu seperti puasa, solat, bacaan wirid mahupun doa yang khusus sempena tarikh tersebut.


Ada golongan yang lebih ekstrem beranggapan bahawa beribadah pada malam 27 Rejab ini adalah lebih utama berbanding ibadah pada malam lailatulqadar. Sekiranya terdapat amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj tentu generasi salafussoleh mengetahui dengan pasti tentang bila sebenarnya ia berlaku sebagaimana amalan sunnah lain yang ditentukan waktu amalannya seperti puasa ‘Asyura pada tarikh 9 dan 10 Muharram, puasa pada hari-hari 'putih', iaitu pada tarikh 14, 15 dan 16 setiap bulan, beribadah pada malam lailatulqadar yang boleh berlaku pada mana-mana malam ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan dan lain-lain lagi.


Ini semua hanya memperlihatkan bahawa tidak terdapat amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj. Sekiranya memperingati malam Israk dan Mikraj dengan ibadah tertentu itu disyariatkan serta membawa kebaikan di dunia mahupun akhirat, tentu sekali orang pertama yang akan melaksanakannya adalah Rasulullah s.a.w, para sahabat serta generasi salafussoleh yang lain.


Namun, tidak ada satu riwayat yang sahih daripada baginda, para sahabat serta generasi salafussoleh termasuk imam-imam mazhab seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad tentang wujudnya amal-amal ibadah tertentu sempena malam Israk dan Mikraj.


Menurut Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry r.h: "Pembacaan kisah al-Mikraj dan berkumpul untuk merayakannya pada malam 27 Rejab adalah bidaah. Sementara oang yang mengistimewakan malam tersebut dengan zikir dan ibadah adalah bidaah. Doa-doa yang khusus dibaca pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan hanyalah ciptaan manusia dan bidaah. Sekiranya amalan-amalan tersebut baik, sudah pasti para sahabat telah melakukannya terlebih dahulu. Juga tidak ada dalil pasti yang menetapkan bilanya terjadi peristiwa Israk dan juga bulannya." - Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry (edisi terjemahan bertajuk Bidaah -Bidaah yang Dianggap Sunnah), ms. 153-154.


Ibn al-Haj al-Maliki r.h berkata: “Antara bidaah yang diciptakan pada malam 27 Rejab adalah sambutan malam Israk dan Mikraj.” – Rujuk Kitab al-Madhkal karangan Ibn al-Haj, jil. 1, ms. 294.


3. Ulama ahli sunnah wal jamaah melihat pentingnya sentiasa berpegang teguh dengan sunnah Nabi s.a.w dalam melakukan amal ibadah. Setiap amalan yang tidak ada contohnya daripada Nabi s.a.w, ia tertolak walaupun dianggap baik.Para ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh ALLAH. Amat penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia dan tidak diterima oleh ALLAH. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana ALLAH dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w. yang tsabit.


Sekiranya kedua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, amal ibadah tersebut dianggap terbatal dan tidak diterima.
Firman ALLAH S.W.T: "DIAlah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan DIA Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." – Surah al-Mulk:


2. Maksudَ ‘yang lebih baik amalannya’ adalah sebagaimana tafsiran Fudhail bin ‘Iyaadh r.h, iaitu: "Yang paling ikhlas dan yang paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh), apakah yang dimaksudkan dengan yang paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas akan tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas nescaya tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana ALLAH dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” - Dinukil daripada Kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, jil. 2, ms. 258.


Berlandaskan pada kaedah ini maka para ulama ahli sunnah wal jamaah menolak untuk mengkhususkan amalan tertentu pada malam 27 Rejab sempena peristiwa Israk dan Mikraj kerana Nabi s.a.w tidak pernah memerintahkan umatnya untuk melakukannya. Imam Ibn Nuhas al-Syafie r.h berkata: "Sesungguhnya peringatan malam Israk dan Mikraj adalah bidaah yang besar dalam agama yang dibuat oleh Ikhwan al-Syayatin (sahabat-sahabat syaitan)." – Rujuk Tanbih al-Ghafilin karya Ibn Nuhas, ms. 379-380.


Sewajarnya umat Islam memastikan bahawa amal ibadah mereka benar-benar bebas dari syirik ataupun riak dan ia ikhlas hanya ditujukan untuk mendapat keredhaan ALLAH. Di samping itu, kita juga wajib mengamalkan ibadah yang benar-benar berasaskan sunnah Nabi s.a.w dan bebas dari amalan-amalan bidaah kerana semua bidaah menyesatkan walaupun nampak seperti amalan yang boleh membawa kepada kebaikan.


Kita hendaklah benar-benar faham bahawa mencontohi Rasulullah s.a.w adalah bukti jelas menunjukkan kecintaan kita kepada ALLAH sebagaimana firman-NYA:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutlah aku, pasti ALLAH Mengasihi kamu serta Mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." – Surah Ali Imran: 31.


4. Ahli sunnah wal jamaah berkeyakinan bahawa syariat Islam telah sempurna sebelum Rasulullah s.a.w wafat dan tidak memerlukan ciptaan amalan-amalan baru yang tidak pernah dianjurkan mahupun diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Apa yang ada pada zaman Rasulullah s.a.w tidak termasuk sebahagian syariat agama maka ia juga tidak akan menjadi sebahagian agama pada hari ini dan buat selama-lamanya.


Oleh itu, segala amal ibadah para ahli sunnah wal jamaah sentiasa berdalil kepada sunnah Nabi s.a.w yang tsabit dan meninggalkan amal ibadah yang hanya berdasarkan rekaan manusia serta hadis-hadis lemah atau palsu. Mereka menggabungkan antara ilmu dan ibadah. Ini berbeza dengan golongan selain mereka yang melakukan amal ibadah tanpa ilmu sehingga amalan-amalan bidaah mudah meresap dan kemudiannya dianggap sunnah.


Sekiranya pada zaman Rasulullah s.a.w masih hidup, baginda langsung tidak pernah menyuruh para sahabat menghidupkan malam 27 Rejab dengan amalan-amalan khusus sempena memperingati malam Israk dan Mikraj, maka dapat kita fahami bahawa hal tersebut bukan sebahagian dari agama pada hari ini dan selama-lamanya.


Tidak dapat dinafikan lagi bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan tanda kebesaran ALLAH dan ia membuktikan betapa tingginya darjat sayyidul mursalin (penghulu segala rasul), iaitu Muhammad bin Abdullah s.a.w.
Firman ALLAH S.W.T: "Maha Suci ALLAH yang telah menjalankan hamba-NYA (Muhammad) pada malam hari dari masjidilharam (di Makkah) ke masjidilaqsa (di Palestin, yang KAMI berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) KAMI. Sesungguhnya ALLAH jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." – Surah al-Israa’: 1.


Melalui peristiwa tersebut terdapat begitu banyak pelajaran yang begitu bermanfaat yang tidak selayaknya sekiranya ia hanya ingin diketengahkan pada tarikh 27 Rejab. Mari kita perhatikan beberapa pegajaran penting dari peristiwa tersebut secara ringkas:
a. Ia membatalkan fahaman bahawa ALLAH berada di mana-mana sebagaimana iktikad kelompok menyeleweng seperti Muktazilah dan Jahmiyah. Melalui peristiwa ini Nabi Muhammad s.a.w telah di angkat ke atas langit untuk bertemu dengan ALLAH. Ini membenarkan iktikad bahawa ALLAH bersemayam di atas ‘Arasy yang terletak di atas langit.


Firman ALLAH S.W.T: "ALLAH yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian DIA bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain daripada ALLAH. Oleh itu, tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredhaan-NYA)?." - Surah al-Sajadah (32) :


4.Iktikad ini juga telah disepakati oleh imam-imam mazhab yang empat termasuk Imam Syafie r.h. Imam al-Zahabi r.h telah menyebutkan di dalam kitabnya al-‘Uluw li al-‘Aliy al-Ghaffar bahawa Imam Syafie r.h pernah berkata:“Pendapatku tentang sunnah, di mana aku berpegang kepadanya dan juga sebagaimana ia menjadi pegangan orang-orang yang aku lihat seperti Sufyan, Malik dan lain-lain, iaitu pengakuan terhadap persaksian bahawa tiada TUHAN selain ALLAH dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasulullah serta beriktikad bahawa ALLAH itu berada di atas Arasy-NYA yang terletak di atas langit-NYA.” - Rujuk kitab Manhaj Akidah Imam al--Syafie karya Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil, ms. 282.


b. Melalui peristiwa inilah ALLAH telah memfardukan ibadah solat sebanyak lima waktu sehari. Ini membuktikan keagungan serta keistimewaan ibadah solat ini berbanding dengan ibadah-ibadah lain. Tidak seperti ibadah lain, kewajipan ibadah solat diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad s.a.w pada malam berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.


c. Peristiwa ini juga membuktikan bahwa Rasulullah s.a.w memilki status yang lebih tinggi berbanding rasul-rasul yang lain. Ketika Israk baginda telah menjadi imam kepada semua para Nabi dan Rasul, iaitu mengerjakan solat dua rakaat di dalam masjidilaqsa. Oleh itu, sewajarnya kita taat kepada ajarannya serta menghindari segala larangannya.


d. Rasulullah s.a.w juga telah diperlihatkan balasan ngeri yang dikenakan kepada penghuni neraka yang melakukan dosa-dosa besar seperti mengumpat dan manusia yang menyeru ke arah kebaikan namun dia sendiri tidak mengamalkannya.


e. Rasulullah s.a.w juga telah diperlihatkan keindahan syurga melalui peristiwa ini dan ia boleh dijadikan sumber motivasi untuk kita melakukan perkara-perkara yang makruf.


f. Melalui peristiwa ini juga kita dapat mempelajari nilai-nilai murni yang terdapat dalam diri para sahabat. Ketaatan serta keyakinan tanpa berbelah-bahagi kepada Rasulullah s.a.w jelas kelihatan di dalam jiwa mereka apabila menerima berita yang dianggap tidak munasabah oleh golongan musyrik Makkah. Ketika dikhabarkan berita ini walaupun dianggap tidak logik oleh golongan musyrikin, namun Abu Bakar r.a hanya menjawab:
"Sesungguhnya aku telah membenarkan baginda terhadap apa yang lebih jauh dari ini. Aku membenarkan baginda terhadap berita dari langit yang baginda bawa." - Hadis riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak.


Jawapan daripada Abu Bakar al-Shiddiq tentang peristiwa ini menunjukkan keyakinan serta ketaatan tanpa berbelah-bahagi kepada baginda. Walaupun baginda telah lama wafat, namun umat Islam pada zaman ini masih boleh menunjukkan ketaatan yang sama sebagaimana amalan generasi para sahabat dengan mematuhi segala perintah Rasulullah s.a.w dan menghindari segala larangan. Selain itu, dia perlu mengamalkan segala sunnahnya dan menjauhkan segala bentuk amalan bidaah, syirik, khurafat dan perkara lain yang membawa kepada kekufuran.


Perkara-perkara yang telah penulis gariskan di atas merangkumi hal-hal berkaitan akidah, ibadah, muamalah serta akhlak yang amat penting dan ia memerlukan penjelasan yang berterusan terhadap umat Islam keseluruhannya dan bukan sekadar menanti setahun sekali, iaitu pada tarikh 27 Rejab.


Demikianlah beberapa perbahasan tentang amalan-amalan yang dianggap sunnah pada bulan Rejab. Kesimpulannya tidak ada dalil yang sah menunjukkan adanya amalan-amalan khusus seperti solat, puasa, umrah, zikir-zikir, bacaan istighfar tertentu, doa-doa sempena bulan Rejab. Hendaklah seluruh umat Islam menghindari amalan-amalan yang tidak pernah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sewajarnya kita tetap taat dalam mengikuti hanya amalan-amalan yang sabit daripada baginda s.a.w.. Ini adalah kerana setiap amalan yang tidak ada contohnya daripada baginda ianya tidak diterima sebagai ibadah. Sabdanya: Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Sulh, no: 2697.


Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Aqdhiyah, no: 1718.


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Thursday, June 2, 2011

Adab Menziarahi Pesakit

Khamis, 29 Jamadilakhir 1432H :Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila kamu ziarahi orang sakit atau orang yang hampir mati, hendaklah kamu memperkatakan perkara yang baik, kerana sesungguhnya Malaikat mengucap Amin terhadap apa yang kamu katakan itu."( Ummi Salamah r.a)

Dari Ibn Abbas r.a katanya: "Diantara adab peraturan yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w ialah: Memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising semasa melawat orang sakit." Ibn Abbas berkata lagi: "Rasulullah s.a.w bersabda ketika sahabat-sahabat banyak membuat bising dan berselisih pendapat (semasa mereka melawat Baginda yang sedang gering): "Bangunlah kamu semua tinggalkan daku!".( Ibn Abbas r.a)

Dari Ibnu Abbas r.a nabi s.a.w masuk ke dalam rumah orang Arab Dusun untuk melihat di sakit. Kata Ibnu Abbas:”Pernah Nabi s.a.w apabila dia masuk ke rumah orang yang sakit untuk melihatnya, baginda bersabda:”Tidak mengapa! Sembuh, insya Allah.” Ucap nabi kepada orang sakit itu. “Tidak mengapa, sembuh, insya Allah!” Jawabnya:”Tuan katakan:”Sembuh . Sebenarnya itu demam panas yang sedang meluap dan mengancam orang yang sangat tua dan akan membawa maut.” Nabi s.a.w bersabda:”Ya, benar katamu itu.” (HR al-Bukhari)

“Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Taala, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkah mu dan ambillah tempat tinggal mu di dalam syurga” (Riwayat: at-Tirmizi)

Anas r.a berkata:”Seorang anak Yahudi yang berkhidmat dengan nabi s.a.w telah jatuh sakit, maka baginda s.a.w telah datang melawatnya. Baginda duduk di sisi kepala serta berkata kepada anak itu:”Terimalah Islam (iaitu masuklah kamu ke dalam agama Islam)”. Anak itu melihat kepada bapanya yang berada di sisinya, lalu bapanya itu berkata kepadanya:”Patuhlah kepada seruan Abu al-Qasim ini.“ (mendengar bapanya berkata demikian) dia terus menerima agama Islam (dengan mengucapkan dua kalimah syadahadah). Selepas itu nabi s.a.w keluar dari tempat itu lantas bersyukur kepada Allah dengan ucapan:”Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan dari api neraka.” (HR Bukhari)

Pengajaran Hadis :

Antara adab menziarahi orang sakit ialah:

1. Jangan duduk terlalu lama ketika menziarahi pesakit kerana perbuatan ini boleh mengganggunya.

2. Ketika berada disisinya, hendaklah kita sentuh dan pegang tangannya kemudian letakkan tangan di dahinya dan tanya tentang penyakit dan keadaannya sekarang.

3. Hendaklah kita doakan agar cepat sembuh dengan menyebut: Semoga Allah menyembuhkan... (sebutkan nama dan pangkatnya).

4. Doa dan ceritakan tentang kelebihan sakit yang dialami oleh para sahabat, Rasul dan Nabi dan juga orang beriman supaya pesakit itu tidak merasa resah gelisah terhadap kesakitan yang dialaminya.

5. Berikanlah nasihat-nasihat yang baik serta ucapkan perkataan “Sabarlah sakit ini adalah salah satu ujian Allah dan cubaan semata-mata di atas ketakwaan seseorang terhadap Allah kerana sakit ini juga, seseorang memperolehi ganjaran pahala yang banyak”.

6. Jangan makan makanan yang dihadiahkan kepadanya atau makanan yang telah disediakan untuknya. Sekiranya kita makan makanan tersebut, hilanglah pahala ibadah ziarah itu.

7. Sunat dibacakan doa untuknya yang bermaksud: “Ya Allah ! Hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan tidak ada sembuhan melainkan sembuhan dariMu jua, sesuatu sembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit”. (Riwayat at-Tirmizi)

8. Menziarahi orang sakit adalah salah satu amalan baik yang digalakkan oleh Islam. Hal ini bukan sahaja akan mengeratkan hubungan persaudaraan ataupun ikatan kasih-sayang taetapi juga merupakan satu kaedah merawat penyakit secara psikologi kerana dengan kunjungan tersebut diharapkan akan mendatangkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi harapan kepadanya untuk segera sembuh dari sakitnya itu.

9. Sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, kita hendaklah berkata atau bersikap lemah lembut kepada pesakit dan mengucapkan perkataan yang baik kepadanya seperti mendoakan kesihatannya dan sebagainya. Jangan sekali-kali membicarakan sesuatu yang menambahkan kesedihannya apalagi memutuskan harapannya untuk sembuh.

10. Ulama’ telah membahagikan golongan kafir ini kepada empat golongan iaitu kafir harbi, kafir zimmi, kafir muahad dan kafir musta’min. Sama ada golongan kafir ini adalah terdiri dari kalangan saudara-mara, jiran atau mereka yang berminat dengan Islam, kita amat digalakkan menziarahi mereka semasa hidupnya lebih-lebih lagi ketika ia sedang sakit. Hal ini termasuk dalam lingkungan tanggungjawab sosial yang perlu diberi perhatian sebagai lambang syiar Islam selaku agama yang menyuruh umatnya mengamalkan kehidupan yang harmoni.

Wednesday, June 1, 2011

Hutang

Rabu, 28 Jamadilakhir 1432H: Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:” Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari.”( HR al-Baihaqi)

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: ”Sesiapa yang memberi tangguh kepada orang yang tidak mampu membayar hutangnya atau mengurangkan bayaran jumlah hutangnya, nescaya Allah menaunginya di bawah naungan-Nya pada hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah.” ( HR Muslim dan Imam Ahmad)

Dari Abu Hurairah r.a, katanya: Rasululullah s.a.w bersabda: “ Roh “orang mati “ yang beriman tergantung (diawang-awangan) dengan sebab hutangnya-sehinggalah hutangnya dibayar oleh warisnya atau orang ain”. (HR Tirmizi)

Dari Abdullah bin Abu Qatadah r.a, katanya:”Abu Qatadah mencari seseorang yang berhutang kepadanya dan menghilangkan diri. Kemudian orang itu ditemuinya. Dia berkata kepada Abu Qatadah,:”Aku sedang dalam kesulitan.” Maka berkata Abu Qatadah:“Demi Allah! Demi Allah! Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,:”Sesiapa yang ingin dibebaskan Allah dari kesulitan pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelapangan bagi orang-orang yang dalam kesulitan atau membebaskannya dari hutang.” (HR Muslim)

Dari Qabishah bin Mukhariq al-Hilali r.a katanya,:”Aku pernah menanggung hutang (untuk mendamaikan dua kabilah yang saling bersengketa). Lalu aku datang kepada Rasulullah s.a.w meminta bantuan kepada baginda untuk membayarnya. Jawab baginda,:”Tunggulah hingga orang datang menghantarkan zakat, nanti kusuruh serahkan kepadamu.” Kemudian baginda melanjutkan sabdanya, “Hai Qabishah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak boleh (tidak halal) kecuali untuk tiga golongan:

1) Orang yang menanggung hutang (gharim, untuk mendamaikan dua orang yang bersengketa atau seumpamanya). Maka orang itu boleh meminta-minta, sehingga hutangnya langsai. Apabila hutangnya telah selesai, maka tidak boleh lagi dia meminta-minta.

2) Orang yang ditimpa bencana, sehingga harta bendanya musnah. Orang itu boleh meminta-minta sehingga dia memperolehi sumber kehidupan yang layak bagi dirinya.

3) Orang yang ditimpa kemiskinan, (disaksikan atau diketahui oleh tiga orang yang dipercayai bahawa dia memang miskin). Orang itu boleh meminta-minta hingga dia memperolehi sumber kehidupan yang layak. Selain tiga golongan tersebut , haram baginya meminta-minta dan haram pula baginya memakan hasil perbuatan meminta-minta itu.” (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Sesorang lelaki memberi hutang kepada Rasulullah s.a.w lalu ditagihnya secara kasar. Oleh sebab itu para sahabat tidak senang terhadap orang tersebut. Maka bersabda nabi s.a.w,:”Orang yang memberi hutang berhak menagih. Belikan dia seekor unta muda kemudian berikan kepadanya!”. Berkata para sahabat:”Tidak ada unta muda ya Rasulullah! Yang ada hanya unta dewasa dan lebih bagus daripada untanya.”Sabda baginda:”Belilah, kemudian berikan kepadanya. Sesungguhnya sebaik-baik kamu ialah yang paling baik membayar hutang.” (HR Muslim)

Pengajaran hadis:

1) Strategi pengawalan perbelanjaan adalah bergantung pada kesesuaian dan keperluan tertentu seseorang atau sesebuah keluarga. Pepatah ada mengatakan “ Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis”.

2) Seharusnya setiap individu mengamalkan sifat ‘qanaah’ iaitu bersyukur dan redha dengan apa yang ada serta memastikan bahawa keperluan tidak melebihi kemampuan. Amalkan sikap berjimat cermat dan membuat simpanan (tabungan) bagi mencapai keselamatan ekonomi kerana orang yang mengamalkan sikap tamak dan boros sehingga sanggup berhutang bukan sahaja boleh meningkatkan inflasi malah membawa kemuflisan dan kepapaan.

3) Hutang wajib dibayar sesuai dengan waktu yang dijanjikan iaitu tidak menangguh-nangguhkannya. Adalah dikira berdosa bagi orang yang tidak mahu membayar hutangnya dengan sengaja walau bagaimana kecilpun hutang tersebut. Hal ini termasuk juga hutang yang berlaku dengan orang yang bukan Islam serta seseorang yang berhutang tetapi telah meninggal dunia dan belum sempat membayar hutangnya. Maka ahli waris si mati hendaklah berusaha untuk melangsaikannya.

4) Islam selaku agama yang sempurna telah menyusun beberapa langkah mengenai proses berhutang di mana hutang yang dibuat hendaklah dicatat jumlah dan masa pembayarannya serta dilantik seorang penulis yang adil sebagai saksi. Ia bertujuan untuk mengelak dari sebarang penipuan dan penganiayaan.

5) Sesungguhnya melepaskan hutang orang menghutangi kita adalah suatu perbuatan yang mulia. Ganjaran yang besar menanti iaitu berupa naungan Arasy di akhirat kelak.

6) Kita hendaklah mengelak daripada bersikap suka berhutang sebaliknya amalkanlah sifat ‘qanaah’ iaitu bersyukur dan redha dengan apa yang ada dengan memastikan bahawa keperluan tidak melebihi kemampuan sehingga terikat dengan hutang.

7) Sebaik-baiknya sebelum berhutang, buatlah pertimbangan yang wajar sama ada sesuatu kepentingan itu merupakan keperluan yang mendesak atau sekadar keinginan untuk berlagak kerana hutang yang tidak mampu dibayar akan mendatangkan kemudaratan di kemudian hari.

8) Setiap yang dinamakan hutang wajib dibayar walau sekecilmana pun ia dan dengan siapa pun ia berhutang termasuklah dengan orang kafir. Malah dikira berdosa bagi orang yang berniat tidak mahu membayar hutangnya

9) Membebaskan hutang orang yang susah atau mengurangkannya merupakan satu perbuatan yang terpuji dan ganjarannya amat besar di sisi Allah S.W.T .

10) Hadis ini mengingatkan warisnya supaya segera membayarkan hutangnya jika ia meninggalkan harta

11) Berhutang kalau boleh pada perkara yang penting sahaja dan ingat selalu untuk menjelaskannya sebelum terlupa

12) Di zaman sekarang, hampir tidak ada orang yang tidak mempunyai hutang. Apabila seseorang yang berhutang itu meninggal dunia, semua amal akan ditangguhkan oleh Allah hingga hutang orang yang meninggal itu dilunasi.

13) Maka sebagai satu agama yang begitu berkasihan belas dan berperikemanusiaan, Islam menggalakkan orang yang berhutang untuk menghalalkan hutang mereka. Malah, disebutkan dalam ayat 280, Surah al-Baqarah yang bermaksud:”Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”

14) Namun begitu dalam hal ini, sebagai orang yang berhutang adalah tidak wajar untuk kita mengharapkan orang yang kita hutangi menghalalkan hutang yang diberi kerana ia berkaitan dengan hak dan kewajipan kita sehingga kegagalan kita menjelaskan hutang memungkinkan timbul kesulitan di pihak yang memberi hutang hingga akhirnya menyebabkan perbalahan.

15) Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang. Perkara ini dijelaskan menerusi hadith daripada Uqbah bin 'Amir yang bermaksud: “Janganlah kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya.” Mereka berkata: “Apa itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Hutang.”

16) Rasulullah mengajarkan kita sepotong doa yang bermaksud: “Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada kegundahan dan kesedihan, daripada kelemahan dan kemalasan, daripada sifat pengecut dan bakhil, daripada kesempitan hutang dan penindasan orang.” Maka dengan itu orang yang telah berhutang hendaklah menjelaskan hutangnya kerana Allah mengetahui apa yang mereka lakukan.

17) Membayar balik hutang sesungguhnya adalah sesuatu yang wajib dilakukan sehingga harta orang yang sudah meninggal dunia pun perlu ditolakkan hutang-piutang mereka terlebih dulu, sebelum diagihkan kepada waris. Bukan itu sahaja Islam juga menjanjikan bahawa jika seseorang itu berhutang dengan niat untuk membayar, insya-Allah, Allah akan memudahkan ia membayarnya.

18)Jika berhutang dan berniat tidak mahu membayar, maka Allah Maha Kaya dalam perhitungan-Nya sepertimana dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: “Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan membayarkan.

19) Sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya." Maksud ‘Allah akan membayarkan’ di sini adalah Allah akan memudahkan rezeki seseorang itu agar dia dapat membayar hutangnya dan begitulah jika sebaliknya.