Friday, October 30, 2015

Doa Yang Paling Banyak DiBaca Nabi SAW

Jumaat, 17 Muharram 1237H: Dari 'Abdul 'Aziz r.a. iaitu Ibnu Shuhaib katanya: 

"Qatadah bertanya kepada Anas r.a., Doa apakah yang sering dibaca Nabi saw"?" 

Kata Anas, "Doa yang paling banyak dibaca Nabi saw. ialah: 

"Allahumma aatina fid dunya hasanah. wa fil aakhirati hasanah, Wa qinaa 'adzaban nar." 
(Wahai Allah, berilah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat, serta hindarkanlah kami dari seksa neraka)

Hadis Sahih Muslim

Thursday, October 29, 2015

Doa Orang Bersin

Khamis, 16 Muharram 1437H: Dari Anas r.a, katanya: Ada dua orang bersin di dekat Nabi saw., lalu Nabi mendoakan salah seorang dari mereka, dan tidak mendoakan yang lain.

Orang itu berkata: "Ya Rasulullah! Anda mendoakan orang ini, tetapi tidak mendoakan saya." 

Rasul menjawab: "Orang ini memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah) sedangkan engkau tidak."

Hadis Sahih Bukhari.

Wednesday, October 28, 2015

Doa Rasulullah Kepada Abu Jahal & Kawannya

Rabu, 15 Muharam 1437H: Abdullah bin Mas'ud r.a. menceritakan: "Pada suatu ketika Nabi saw. solat dekat Kaabah. Sedangkan Abu Jahal dan beberapa orang kawannya duduk bersama-sama. Salah seorang di antara mereka berkata kepada yang lain,

"Siapa yang berani, mengambil Uri (isi perut) unta Bani Fulan dan meletakkannya di punggung si Muhammad ketika dia sujud?"

Seorang yang paling jahat di antara mereka (Uqbah bin Abu Muaith) bangkit, lalu pergi mengambil uri unta itu. Kemudian dia menunggu sebentar. Waktu Nabi saw. sujud, diletakkannya uri unta itu ke punggung Nabi, antara kedua bahu beliau.

Saya melihat kejadian itu, tetapi saya tidak berdaya apa-apa, andaikata saya mendapat kekuatan tentu saya cegah. Mereka tertawa terbahak-bahak saling mengolok satu sama lain untuk mempermainkan Nabi.

Rasulullah saw. sujud terus, tidak mengangkat kepalanya hingga datang Fatimah (puteri beliau) membuangkan kotoran itu dari punggung beliau. Nabi mengangkat kepalanya dan mendoa tiga kali,

'Ya, Allah , Hukumlah orang Quraisy! , Ya Allah, Hukumlah orang Quraisy!, Ya Allah, Hukumlah orang Quraisy!".

Abu Jahl dan kawan-kawannya ketakutan mendengar Nabi mendoakan mereka, kerana mereka tahu bahawa doa di tempat itu diperkenankan Allah.

Kemudian Nabi menyebut nama mereka satu persatu, "Ya, Allah! Binasakanlah Abu Jahl, Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, Walid bin Uqbah, Umaiyah bin Khalf, Uqbah bin Abu Muaith."
Nabi menyebut nama orang yang ketujuh tetapi saya telah lupa nama orang itu. 

Kata Abdullah bin Masuud selanjutnya,
"Demi Allah, yang diri ku dalam genggaman-Nya, aku melihat sendiri orang-orang yang disebutkan Rasulullah saw dalam doanya itu, mati terkubur dalam lobang bekas sumur (waktu perang) Badar."

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, October 27, 2015

Rasulullah Berdoa Minta Hujan Ketika Berkhutbah

Selasa, 14 Muharam 1437H: Berita dari Anas bin Malik r.a., katanya: 

"Pada suatu ketika di zaman Nabi, terjadi musim kemarau. Ketika Nabi saw. membaca khutbah Jumaat, tiba-tiba seorang Arab dusun berdiri dan berkata: 

Ya, Rasulullah! Harta benda telah binasa dan rakyat kelaparan. kerana itu mendoalah kepada Allah swt. untuk kita semua." 

Nabi mendoa dengan mengangkat kedua belah tangannya. Ketika Nabi mulai mendoa itu kami tidak menampak awan sedikit pun di langit. Demi Allah yang diri ku dalam kekuasaanNya, belum sampai Nabi menurunkan tangannya, awan mendung telah kelihatan bergulung-gulung seperti bukit. Nabi saw. belum turun dari mimbar, namun hari telah hujan, sehingga kelihatan air hujan bertitikan dari janggut Nabi saw. Hujan lebat turun pula hari itu, esok, lusa dan seterusnya beberapa hari berikutnya sampai hari Jumaat pula. Arab dusun itu atau mungkin juga Arab yang lain berdiri dan berkata pula: 

"Ya, Rasulullah! Bangun-bangunan telah roboh dan harta benda telah habis tenggelam. kerana itu mendoalah kepada Allah (mohon diselamatkan). 

Nabi mengangkat kedua belah tangannya dan mendoa: "Ya, Allah! Di sekitar kami saja dan jangan di atas kami." 

Beliau menunjuk dengan tangannya ke suatu penjuru berawan, maka kelihatan, awan itu menyingkir. Di atas kota Madinah kelihatan lingkaran-lingkaran seperti lubang yang bundar. Lembah-lembah padang pasir mengalirkan air selama sebulan. Setiap orang yang datang dari segenap penjuru memberitakan kemurahan yang melimpah-ruah."

Hadis Sahih Bukhari 

Monday, October 26, 2015

Doa Yang Tidak Diperkenankan

Isnin, 13 Muharam 1437H: Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi saw. bersabda: 

"Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba, selama doa itu tidak mengandung dosa, atau memutus silaturrahim dan selama tidak minta cepat-cepat diperkenankan." 

Lalu beliau ditanya orang, "Apa maksudnya minta cepat-cepat?" 

Jawab beliau, "Umpamanya seorang berkata dalam doanya, Aku telah mendoa, Aku telah mendoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu dia putus asa dan berhenti mendoa."

Hadis Sahih Muslim

Friday, October 23, 2015

Peristiwa-Peristiwa Besar 10 Muharram

Jumaat, 10 Muharram 1437H :

10 Muharram juga dikenali sebagai Hari Asyura. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran:

1.Nabi Adam a.s bertaubat kepada Allah.
2.Nabi Idris a.s diangkat oleh Allah ke langit.
3.Nabi Nuh a.s diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
4.Nabi Ibrahim a.s diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
5.Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s.
6.Nabi Yusuf a.s dibebaskan dari penjara.
7.Penglihatan Nabi Ya'qub a.s yang kabur dipulihkan Allah SWT.
8.Nabi Ayub a.s dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
9.Nabi Yunus a.s selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
10.Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa a.s dan pengikutnya dari tentera Firaun.
11.Kesalahan Nabi Daud a.s diampuni Allah SWT.
12.Nabi Sulaiman a.s dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13.Hari pertama Allah menciptakan alam.
14.Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
15Hari pertama Allah menurunkan hujan.
16.Allah menjadikan 'Arasy.
17.Allah menjadikan Luh Mahfuz.
18.Allah menjadikan alam.
19.Allah menjadikan Malaikat Jibril a.s.
10.Nabi Isa a.s diangkat ke langit

Thursday, October 22, 2015

Hari Berpuasa Di Hari Asyura

Khamis, 9 Muharram 1437H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: 

"Ketika Rasulullah saw. belum lama tiba di Madinah, didapatinya orang-orang Yahudi puasa pada hari 'Asyura. Maka bertanya beliau kepada mereka, "Hari apakah ini, sehingga anda semua mempuasakannya?" 

Jawab mereka, "Hari ini hari besar, di mana Allah telah memenangkan Musa serta kaumnya, dan menenggelamkan Firaun serta kaumnya. Kerana itu Musa puasa setiap hari itu untuk menyatakan syukur, lalu kami mempuasakannya pula." 

Maka bersabda Rasulullah saw., "Kami lebih berhak dan lebih patut memuliakan Musa daripada kamu semua." 

Lalu Rasulullah saw. puasa pada hari 'Asyura dan memerintahkan kaum muslimin puasa pada hari itu.

Hadis Sahih Muslim

Puasa Hari Tasua & Asyura


Wednesday, October 21, 2015

Puasa Bulan Muharram

Rabu, 8 Muharram 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda :

"Seutama-utama puasa sesudah puasa Ramadhan ialah puasa bulan Muharram, dan seutama-utama solat sesudah solat fardu ialah solat malam."

Hadis Sahih Muslim

Monday, October 19, 2015

10 Muharram

Isnin, 5 Muharram 1437H: Dari 'Abdullah bin 'Abbas r.a., dia menceritakan bahawa ketika Rasulullah saw. puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan memerintahkan kaum Muslimin supaya puasa, para sahabat berkata, 

"Hari ini adalah hari raya orang-orang Yahudi dan Nasrani." 

Lalu Rasulullah saw. bersabda: "Apabila masih menyaksikan tahun yang akan datang, insya Allah kita puasa pada tanggal sembilan Muharram." 

Kata 'Abdullah selanjutnya, "Ternyata tahun depan itu, beliau sudah wafat."

Hadis Sahih Muslim

Friday, October 16, 2015

Yahudi Masuk Islam?

Jumaat, 3 Muharam 1437H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Nabi saw. bersabda:

"Seandainya ada sepuluh orang Pendeta Yahudi yang sungguh-sungguh iman dengan ku, tidak seorang jua pun orang-orang Yahudi yang tinggal, melainkan mereka masuk Islam semuanya."

Hadis Sahih Muslim 

Thursday, October 15, 2015

Tiada Lagi Hijrah Sesudah Penaklukan Mekah

Khamis, 2 Muharam 1437: Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. ditanya orang mengenai hijrah. Maka bersabda Rasulullah saw., 

"Tidak ada lagi hijrah sesudah penaklukan Mekah. Yang ada ialah Jihad dan Niat yang soleh. Apabila kamu diperintahkan berjihad (berjuang atau berperang) maka patuhilah!"

Hadis Sahih Muslim 

Monday, October 12, 2015

Tiap-Tiap Amal Disertai Dengan Niat

Isnin, 28 Zulhijjah 1436H: Dari Umar bin Khathab r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: 

"Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. 

Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehnya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya untuk apa dia hijrah"

Hadis Sahih Bukhari

Friday, October 9, 2015

Bertanya Tentang Keburukan...

Jumaat, 25 Zulhijjah 1436H: Dari Huzaifah bin Yaman r.a. katanya: Orang banyak biasanya menanyakan kepada Rasulullah saw. tentang kebaikan, tetapi saya menanyakan kepada beliau tentang keburukan (bahaya), kerana takut akan ditimpanya.

Saya bertanya: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya kami dahulu dalam masa jahiliyah dan keburukan, lalu didatangkan Allah kepada kami kebaikan. Adakah sesudah kebaikan ini akan terjadi keburukan?"

Jawab Nabi: "Ya!"

Saya bertanya: " Adakah sesudah keburukan itu ada kebaikan?"

Jawab Nabi: "Ya, tetapi ada yang merosaknya."

Saya bertanya: "Apakah perosak itu?"

Jawab Nabi: "Sekumpulan orang yang memimpin bukan menurut jalan yang benar. Sebahagian tindakan mereka ada yang engkau pandang baik dan ada yang tidak."

Saya bertanya: "Apakah sesudah kebaikan itu terjadi lagi keburukan?"

Jawab Nabi: "Ya! Orang-orang yang memanggil dipintu neraka. Siapa yang memperkenankan panggilannya, mereka dilemparkannya ke dalam neraka."

Saya bertanya: "Ya Rasulullah! Terangkanlah kepada kami keadaan mereka!"

Jawab Nabi: "Kulit mereka sama dengan kulit kita dan mereka berbicara dengan bahasa kita."

Saya bertanya: "Apakah yang engkau perintahkan kepada saya, kalau seandainya saya mendapati hal yang demikian?"

Jawab Nabi: "Hendaklah engkau tetap dalam jemaah (persatuan) kaum Muslimin dan mengikuti Imam (pemimpin) mereka."

Saya bertanya: "Bagaimana kalau mereka tidak mempunyai jemaah (persatuan) dan tidak mempunyai Imam (pemimpin"?"

Jawab Nabi: "Jauhilah semua kumpulan biarpun kerana itu engkau sampai menggigit (mengunyah) urat-urat kayu, sehingga engkau meninggal dunia dalam keadaan serupa itu."

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, October 8, 2015

Bagaimana Berselawat .....

Khamis, 24 Zulhijjah 1436H: Dari Abu Mas'ud Al Anshari r.a., katanya: "Ketika kami sedang berada di dalam majlis Sa'ad bin 'Ubbadah, tiba-tiba Nabi saw. datang. 

Basyir bin Sa'ad bertanya kepada beliau, "Allah Ta'ala memerintahkan kami supaya berselawat kepada Anda. Bagaimana caranya kami berselawat itu, ya Rasulullah?" , 

Kata Abu Mas'ud, "Rasulullah saw. diam saja tidak segera menjawab. Sehingga kami mengira, mungkin beliau tidak menyukai pertanyaan kami itu." 

Kemudian beliau bersabda, "Ucapkanlah: 'Allahumma shalli 'ala Muhammad, wa 'ala aali Muhammad. Kama shallaita 'ala aali Ibrahim. Wa baarik 'ala Muhammad, wa 'ala aali Muhammad. Kama barakta 'ala aali Ibrahim. Fil 'alamina innaka hamidun majid.' (Wahai Allah! Limpahkanlah rahmatMu kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau melimpahkannya kepada keluarga Ibrahim. Dan limpahkanlah berkatMu kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau melimpahkannya kepada keluarga Ibrahim. Di alam semesta ini sesungguhnya Engkau Maha terpuji lagi Maha Agung)

Kemudian memberi salam, dan caranya ialah sebagaimana anda semua telah mengetahui."

Hadis Sahih Muslim & Bukhari

Wednesday, October 7, 2015

Apabila Muadzin Menyeru Azan, Jawablah....

Rabu, 23 Zulhijjah 1436H: Dari 'Umar bin Khaththab r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Apabila muadzin menyerukan azan, maka jawablah sebagai berikut:

"Allahu Akbar, Allahu Akbar", 
Jawabnya: "Allahu Akbar, Allahu Akbar."

"Asyhadu alla iillaha illallah", 
Jawabnya: "Asyhadu alla ilaaha illallah."

"Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah", 
Jawabnya: "Asyhadu anna Muhhammadar Rasulullah."

"Hayya 'aillsh shalah"
Jawabnya: "La hawla wala quwwala illa billah."

"Hayya 'alal falah", 
Jawabnya: "La hawla wala quwwata ilia billah."

''Allahu Akbar, Allahu Akbar", 
Jawabnya: "Allahu Akbar, Allahu Akbar."

La iillaha illallah", 
Jawabnya: "La ilaaha illallah."

Jika kamu jawab seperti itu dengan sepenuh hatimu, maka kamu masuk syurga."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, October 6, 2015

Zina Telah DiTetapkan

Selasa, 22 Zulhijjah 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. sabdanya: 

"Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. 
Dua mata, zinanya memandang. 
Dua telinga, zinanya mendengar. 
Lidah, zinanya berkata. 
Tangan, zinanya memukul. 
Kaki, zinanya melangkah. 
Hati, zinanya ingin dan rindu, 
Sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti."

Hadis Sahih Muslim

Monday, October 5, 2015

Sebelum Tidur....

Isnin, 21 Zulhijjah 1436H: Barra' bin Azib r.a. mengatakan bahawa Nabi w. bersabda kepadanya:

Apabila engkau hendak tidur, berwuduk lebih dahulu seperti wuduk untuk solat. Sesudah itu berbaring ke kanan, dan bacalah: 

"Ya, Allah! Ku bserahkan diri ku kepada Engkau, ku serahkan segala urusanku kepada Engkau, aku berlindung diri kepada Engkau dengan pengharapan (beroleh kebaikan) dan takut (mendapat seksa); tidak ada tempat berlindung dan tempat mencari keselamatan, hanyalah kepada Engkau. 

Ya, Allah! Aku percaya dengan Kitab yang Engkau turunkan dan kepada Nabi yang Engkau utus." 

Kalau kamu mati malam itu, maka kamu mati dalam Islam. Dan jadikanlah doa itu sebagai akhir pembicaraanmu (tidak berkata-kata lagi sesudah itu)."

Hadis Sahih Bukhari 

Friday, October 2, 2015

Muflis?

Jumaat, 18 Zulhijjah 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Tahukah kamu apa erti muftis ?" 

Jawab para sahabat. "Muflis menurut kami ialah orang yang tidak punya wang dan tidak punya harta." 

Sabda Rasulullah saw., "Muflis dari umat ku akan datang kelak di hari kiamat membawa solat, puasa dan zakat; dan membawa dosa kerana dia pernah memaki orang, pernah menuduh-nuduh orang, pernah memakan harta orang, pernah membunuh orang, dan pernah memukul orang, maka diberikan pahala kebaikannya kepada orang-orang yang dizaliminya. 

Jika pahala kebaikannya habis sebelum terbayar lunas kepada orang-orang yang dizaliminya, maka diambil dosa-dosa mereka yang dizaliminya lalu ditimpakan kepadanya, kemudian dia di lemparkan ke neraka."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, October 1, 2015

Islam, Iman Dan Ihsan

Khamis, 17 Zulhijjah 1436H: Daripada Umar r.a. katanya: Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w. tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih kainnya, sangat hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga dia duduk berdekatan dengan Rasulullah s.a.w. lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada kedua-dua lutut Rasulullah s.a.w. dan meletakkan kedua-dua telapak tangannya ke atas kedua-dua paha Nabi s.a.w.

Kemudian dia berkata: "Hai Nabi Muhammad! Khabarkanlah kepadaku darihal Islam." 

Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: "Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa bulan Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya." 

Dia berkata: "Benarlah engkau!" 

Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: "Maka khabarkan kepadaku darihal Iman". 

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman kepada takdir baik-Nya dan jahat-Nya."

Dia berkata: "Benarlah engkau!"

Kemudian dia bertanya lagi: "Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan." 

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau."

(HR. Muslim)