Wednesday, February 29, 2012

Perempuan

Rabu,7 Rabiulakhir 1433H: Daripada Aisyah r.a, dari Nabi S.A.W baginda telah bersabda yang maksudnya:”Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka."(HR Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Pengajaran Hadis:

1. Perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka.

2. Kedua ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran anak-anak perempuan merupakan aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.

3. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud: "Takutlah kamu kepada Allah SWT dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita." Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan dan isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah SWT.

4. Kata orang ‘menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang’. Kemungkinan ini ada benarnya apakala kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti menjaga dan memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan sahaja. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya. Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan berbagai keburukan yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama.

5. Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik akan memberi faedah kepada ibubapanya semasa hidup dan selepas mati bahkan secara logiknya tiada ibubapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi beban dan membawa kecelakaan kepada mereka di dunia apalagi di akhirat kelak.

Tuesday, February 28, 2012

Majlis Zikir

Selasa, 6 Rabiulakhir 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Allah Tabaraka wa Ta'ala mempunyai para malaikat yang bertugas keliling mencari-cari majlis zikir. Bila mereka telah menemukannya, lalu mereka duduk bersama-sama dengan orang-orang yang sedang zikir, memanggil teman-temannya, berkerumun mengitari orang-orang yang sedang zikir itu dengan sayap-sayap mereka sehingga memenuhi ruangan antara mereka dengan langit dunia.

Apabila majlis telah bubar, para malaikat naik kembali ke langit. Lalu Allah Ta'ala bertanya kepada mereka, - padahal Allah Maha Tahu perbuatan mereka - "Kalian datang dari mana?" Jawab mereka, "Kami baru kembali memeriksa hamba-hamba-Mu di bumi. Mereka tasbih, takbir, tahlil, tahmid dan memohon kepada-Mu."

Tanya: "Apa yang dimohon mereka kepadaKu?" Jawab : "Mereka memohon syurga kepada-Mu."

Tanya: "Pernahkah mereka menampak syurga-Ku?" Jawab : "Tidak'" Firman Allah, "Apalagi kalau mereka menampak syurgaKu!" Kata para malaikat, "Mereka juga memohon kebebasan."

Tanya: "Mohon bebas dari apa?" Jawab: "Mohon bebas dari neraka."

Tanya: "Pernahkah mereka menampak nerakaKu?" Jawab: "Tidak." Firman Allah Ta'ala: "Apalagi kalau mereka nampak nerakaKu!" Kata para malaikat: "Mereka juga memohon ampun kepadaMu." Jawab: "Aku mengampuni mereka dan memberikan apa yang mereka minta serta membebaskan mereka dari apa yang mereka takuti."

Kemudian para malaikat berkata: "Di antara mereka terdapat seorang hamba yang penuh dosa. Dia lalu di majlis itu lalu duduk bersama-sama dengan orang-orang yang zikir." Firman Allah: "Orang itu pun Ku ampuni, begitu pula setiap orang yang terlibat dalam majlis zikir itu tidak ada yang celaka." ( Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2311.)

Monday, February 27, 2012

Jihad

Isnin, 5 Rabiul Akhir 1433H ; Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tuhan menjamin bahawa orang yang berjihad pada jalan Allah, jika ia keluar (berjihad), semata-mata berjihad untuk jalan (agama) Allah dan kerana membenarkan perintahNya, Tuhan akan memasukkannya ke dalam syurga, atau mengembalikannya ke tempat kediamannya semula dengan mendapat pahala dan rampasan".Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1395.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Saya dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Perumpamaan orang yang berjihad dalam agama Allah (dan Tuhan mengetahui orang yang berjihad dalam agamaNya), seumpama orang puasa yang mengerjakan solat. Tuhan menjamin kemenangan bagi orang yang berjihad dalam agamaNya; kalau dia gugur Tuhan akan memasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya pulang dalam keadaan selamat serta mendapat pahala dan rampasan".Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1269.

Dari Abdullah bin Amru r.a., katanya: "Seorang lelaki datang kepada Nabi saw. minta izin hendak ikut jihad (berperang). Tanya Nabi saw. kepadanya, "Apakah kedua orang tua mu masih hidup?" Jawab orang itu, "Masih!" Sabda beliau, "Berbakti kepada keduanya adalah jihad."Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2179.

Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hai, Abu Sa'id! Siapa yang rela Allah menjadi Tuhannya, Muhammad menjadi Nabinya, dan Islam menjadi agamanya, dia wajib masuk syurga." Abu Sa'id kagum mendengar sabda Nabi saw. tersebut, lalu dia meminta supaya Nabi mengulang sabdanya itu. Maka diulang oleh beliau. Kemudian bersabda pula beliau, "Ada lagi yang lain. Iaitu seorang hamba dinaikkan darjatnya seratus darjat di syurga. Jarak antara dua darjat seperti jarak antara langit dan bumi." Tanya, "Apa itu, ya Rasulullah?" Jawab beliau. "Jihad fi sabilillah! Jihad fi sabilillah! (berjuang atau berperang menegakkan agama Allah!)"
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1840.

Friday, February 24, 2012

Sujud Sajadah

Jumaat, 2 Rabiulakhir 1433H :Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada solat Subuh hari Jumaat, Nabi saw. membaca surah Alif Loom Miim Tanzail, As Sajadah dan surah Hal Ala 'Alai Insaani.( HR Bukhari)

Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Nabi saw. biasa dalam solat Subuh hari Jumaat membaca surat Alif lam mim Tanzil (surat As Sajadah) dan Hal ata 'alai insani hinun minad dahri (surat Al Insan). Dan dalam solat Jumaat beliau membaca surat Jumaah dan surat Munafiqun." (HR Muslim)

Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Pada suatu ketika Nabi saw. membaca Quran. Lalu beliau sampai kepada surat yang terdapat di dalamnya ayat sajadah (ayat yang bertalian dengan perintah sujud), maka beliau sujud dan kami sujud pula bersama-sama dengan beliau, sehingga hampir saja sebahagian kami tidak mendapat tempat untuk meletakkan dahinya (HR Muslim)

Dari Ibnu Umar r.a., katanya: "Nabi saw. sering membaca Quran. Setiap kali beliau membaca ayat sajadah, beliau sujud bersama-sama dengan kami sehingga kami berdesak-desak di samping beliau, bahkan di antara kami ada yang tidak mendapat tempat untuk sujud, sedang sujud itu di luar solat."(HR Muslim)

Thursday, February 23, 2012

Tiga Pembohongan Besar Terhadap Allah

Khamis, 1 Rabiulakhir 1433H : Dari Masruq r.a., katanya: "Pada suatu waktu, ketika aku duduk dekat 'Aisyah r.a., dia berkata kepada ku, "Hai, Abu 'Aisyah! Ada tiga perkara, barangsiapa mengatakan salah satu di antaranya, maka bererti orang itu mengatakan suatu kebohongan besar terhadap Allah."

Aku bertanya, "Apakah itu?"

Jawabnya, (1) Siapa yang mengatakan bahawa Muhammad saw. pernah melihat Tuhannya, maka dia itu sesungguhnya telah mengadakan kebohongan besar terhadap Allah.

Kata Masruq, "Ketika itu aku sedang bersandar, lalu aku duduk seraya berkata: "Ya, Ummul Mukminin! Tunggu sebentar, dan jangan tergesa-gesa. Bukankah Allah 'Azza wa Jalla telah berfirman: "Sesungguhnya dia telah melihatnya ditepi langit yang terang". (Takwir: 23) "Sesungguhnya dia telah melihatnya di waktu yang lain". (An Najm:13)

Jawab 'Aisyah, "Akulah orang yang pertama-tama dari umat ini yang menanyakan masalah itu kepada Rasulullah saw." Beliau bersabda, "Sesungguhnya yang terlihat itu ialah Jibril. Aku belum pernah melihatnya dalam bentuknya yang asli selain dua kali itu. Ketika ia turun dari langit, sebahagian tubuhnya tertutup antara langit dan bumi."

Kata 'Aisyah selanjutnya, "Belum Anda dengarkah firman Allah yang mengatakan: "Penglihatan tidak sampai kepada-Nya, tetapi Dia mengetahui segala penglihatan. Dia itu lemah-lembut dan Maha Tahu". (An'am: 103) "Dan Tiada seorang pun akan dapat berkata-kata dengan Allah, melainkan dengan wahyu, atau di balik tabir, atau dikirim-Nya utusan, lalu dengan izin-Nya diwahyukan-Nya apa yang dikehendaki-Nya: sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana". (Syura:51)

Kata 'Aisyah melanjutkan : (2) Orang yang mengatakan bahawa Rasulullah saw. menyembunyikan sesuatu ayat dari Kitab Allah (tidak disampaikannya). Maka orang itu sesungguhnya telah berbuat kebohongan besar terhadap Allah. Firman Allah: "Hai, Rasul! Sampaikanlah apa yang diwahyukan kepada mu dari Tuhanmu! Apabila itu tidak engkau lakukan, bererti engkau tidak menyampaikan risalah-Nya (tidak menjalankan tugas daripada-Nya".) (Al Maidah:67)

(3) Orang yang mengatakan bahawa Rasulullah saw. tahu apa yang akan terjadi esok. Orang itu sungguh-sungguh telah mengadakan suatu kebohongan besar terhadap Allah. Firman Allah: "Katakan: Tidak seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui apa yang tersembunyi, melainkan Allah." (Naml:65)( HR Muslim )

Wednesday, February 22, 2012

Ikhlas Kerana Allah

Rabu,29 Rabiulawal 1433H: Dari 'Itban bin Malik r.a., iaitu seorang sahabat Nabi saw. dari golongan Ansar yang turut dalam peperangan Badar, dia datang kepada Nabi saw. lalu berkata: "Ya, Rasulullah! Aku sudah buta. Sedangkan aku menjadi imam solat bagi wargaku. Apabila hari hujan, air mengalir di lembah antara rumahku dengan rumah-rumah mereka, sehingga aku tak dapat datang ke masjid mengimami mereka solat berjemaah.Kerana itu aku mengharapkan semoga anda sudi datang ke rumahku, lalu di sana anda solat di tempat ku solat dan kemudian menjadikannya Mushalla.

Jawab Rasulullah saw. "Baiklah! Insya Allah aku akan datang. Besok, ketika hari telah agak siang, Rasulullah saw. dan Abu Bakar Siddiq datang. Beliau minta izin masuk. Lalu ku persilakan. Tanpa duduk lebih dahulu beliau langsung menanyakan. "Di manakah anda sukai aku solat di rumah mu ini?" Aku menunjuk ke salah satu pujok rumah.

Rasulullah berdiri di sana lalu beliau takbir. Kami berdiri di belakang beliau, mengikuti beliau solat dua rakaat. Kemudian memberi salam. Sesudah itu kami jamu beliau dengan hidangan sup daging yang telah kami sediakan untuk beliau.

Penduduk kampung berkumpul semuanya ke rumah ku. Seorang di antaranya bertanya, "Mana Malik bin Dukhsyun?" Yang lain menjawab, "Dia itu munafik! Dia tidak suka kepada Allah dan Rasul-Nya."

Maka bersabda Rasulullah saw., "Jangan berkata begitu terhadapnya. Bukankah anda telah menyaksikannya mengucapkan kalimah "La ilaha illallah" dengan ikhlas kerana Allah?" Jawab mereka, "Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih tahu."

Kami mendapat kesan, bahawa Rasulullah saw. mengarahkan nasihatnya itu kepada orang-orang munafik. Sabda beliau, "Sesungguhnya Allah mengharamkan api neraka bagi orang-orang yang telah mengucapkan kalimah "La ilaha illallah" dengan ikhlas kerana Allah. " (HR Muslim)

Tuesday, February 21, 2012

Pekerjaan di Nilai Mengikut Akhirnya.

Selasa,28 Rabiulawal 1433H: Dari Sahal r.a., bahawa ada seorang laki-laki yang paling cukup keberaniannya mempertahankan kaum Muslimin dalam suatu peperangan bersama dengan Nabi saw. Lalu beliau memperhatikan laki-laki itu dan berkata: "Siapa yang ingin hendak memperhatikan seorang isi neraka, hendaklah diperhatikannya orang: Ini!"

Lalu ada seorang di antara orang banyak mengikuti laki-laki itu, sedang dia ketika itu masih termasuk seorang yang amat berani melawan kaum musyrik. Akhirnya dia luka dan ingin hendak cepat mati. Maka diletakkannya ujung pedangnya antara dua susunya sehingga pedang itu keluar (tembus) di antara kedua bidang bahunya.

Orang yang mengikuti laki-laki yang bunuh diri itu segera datang menemui Rasulullah saw. dan mengucapkan: "Saya mengakui bahawa anda sebenarnya Utusan Allah." Nabi bertanya: "Mengapa begitu?" Jawabnya: "Anda mengatakan kepada si Anu, bahawa siapa yang ingin hendak memperhatikan seorang isi neraka, maka hendaklah memperhatikan orang itu, padahal dia termasuk orang ya ng paling berani membela kaum Muslimin.
Kerana itu, saya merasa, bahawa dia tidak akan mati dalam keadaan serupa itu. Setelah menderita luka, dia ingin cepat mati, lalu dibunuhnya dirinya.

" Ketika itu Nabi bersabda: "Sesungguhnya ada seorang yang mengerjakan pekerjaan isi neraka, pada hal dia termasuk isi syurga. Dan ada pula yang mengerjakan pekerjaan isi syurga, padahal dia termasuk isi neraka. Sesungguhnya pekerjaan itu dinilai menurut akhirnya." ( Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1782.)

Monday, February 20, 2012

Doa Dan Harapan

Isnin 27 Rabiulawal 1433H: Nukman bin Basyir meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W pernah bersabda:”Doa merupakan satu ibadat, lalu baginda membaca ayat: “Dan berkata Tuhan-Mu: “Berdoalah kepada-Ku...” (Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Huraian :

Doa adalah jambatan seorang hamba untuk menyampaikan keinginannya. Namun hendaknya kita tidak hanya meminta sesuatu yang hanya mencakupi urusan dunia semata, melainkan mencakupi urusan dunia dan akhirat sekaligus sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran yang maksudnya:” "Maka di antara manusia ada yang berdoa, 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia'. dan tiadalah baginya kebahagiaan di akhirat. Dan di antara mereka ada yang berdoa, 'Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka.' Mereka itulah orang-orang yang mendapat kebahagiaan dari apa yang mereka usahakan. Dan, Allah sangat cepat perhitungan-Nya." (al- Baqarah : 200-202).

Friday, February 17, 2012

Cara Wudhuk Rasulullah S.a.w

Jumaat,24 Rabiulawal 1433H: Dari Abdullah bin Zaid bin Aasim al-Ansariy r.a, beliau telah ditanya: “Tunjukkan kepada kami cara Rasulullah S.A.W berwuduk.. Maka beliau pun meminta sebekas air, lalu menuang sedikit air ke atas tapak tangan dan membasuhnya sebanyak tiga kali. Kemudian beliau memasukkan tangan ke dalam bekas untuk mencedok air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali. Kemudian beliau mencedok air sekali lagi lalu membasuh muka sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau mencedok lagi dengan tangannya lalu membasuh tangan hingga ke paras siku dua kali. Kemudian beliau mencedok lagi lalu menyapu kepala dalam keadaan menyapu tangannya dari arah depan kepala ke arah belakang dan menyapu tangannya kembali ke arah depan kepala, kemudian beliau membasuh kedua kakinya hingga ke paras buku lali. Selepas itu beliau berkata: Beginilah cara Rasulullah s.a.w mengambil wuduk .” (HR Muslim )


Pengajaran Hadis:

1. Wudhuk yang sempurna akan mendapat kekhusyukan dalam sembahyang. Sembahyang yang dimaksudkan ialah sembahyang yang mampu menegah seseorang itu daripada melakukan kerja-kerja yang keji dan mungkar.

2.Wudhuk bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran najis dan hadas sedangkan sembahyang pula dapat membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah kerana sembahyang adalah merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosa yang telah lalu, selagi seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar.

Tuesday, February 14, 2012

Tiga Perkara Kebaikan Dan Keburukan

Selasa, 21 Rabiulawal 1433H: Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Tiga perkara yang menyelamatkan , iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.”( Riwayat Abu Syeikh)

Keterangan Hadis:

i) Terdapat tiga perkara yang memberikan keselamatan kepada manusia iaitu :
a) Sentiasa menjaga tingkahlaku kerana sesungguhnya Allah S.W.T Maha Melihat dan Mendengar apa jua yang dilakukan oleh hamba-Nya. Bahkan setiap amalan itulah yang akan menentukan sama ada seseorang manusia itu diberi kebahagiaan atau ditimpa celaka dalam hidupnya.
b) Berlaku adil yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa ada diskriminasi dan beremosi. Ini termasuk memberikan hak kepada yang berhak yang bukan terhad pada hubungan antara sesama makhluk sahaja malah dalam menjaga hubungan dengan Tuhan. Sifat adil akan menghidupkan suasana berkasih sayang dalam masyarakat.
c) Berjimat cermat ketika susah dan senang kerana ini akan menyelamatkan seseorang itu daripada menyesal di kemudian hari.

ii) Manakala Rasulullah berpesan pula bahawa terdapat tiga perkara lain yang akan membinasakan manusia iaitu:

a) Mengikut telunjuk syaitan yang sentiasa mendorong kepada kehendak hawa nafsu yang mengakibatkan kebinasaan diri.
b) Bersifat kedekut sehingga menyebabkan orang lain membenci dan menjauhinya.
c) Kagum dengan diri sendiri iaitu ujub dengan kelebihan diri sehingga menjadikan seseorang itu bersikap angkuh dan sombong serta suka menghina orang lain menyebabkan dia akhirnya disisihkan daripada masyarakat.

iii) Sesungguhnya setiap perkara yang dilarang itu ada hikmahnya begitu juga dengan perkara yang baik itu pasti ada kemuliaannya. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati agak tidak melakukan kesilapan hingga terjerumus ke lambah kebinasaan.